Sabtu, 1 September 2012

Kosmo Online - Rencana Utama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Hutan tanpa tanah

Posted:

Hutan tanpa tanah

MENAKJUBKAN. Itu ungkapan yang paling sesuai untuk menggambarkan keunikan dan kekayaan alam di Taman Negara Bako, Sarawak.

Terletak 37 kilometer dari bandar raya Kuching, hutan ini diwartakan sebagai taman negara pada tahun 1957 iaitu tahun yang sama negara mencapai kemerdekaan 55 tahun lalu.

Jaraknya yang tidak terlalu jauh dari pusat bandar raya menjadikannya lokasi tumpuan pelancong dari dalam dan luar negara. Setiap tahun, dianggarkan antara 40,000 hingga 45,000 pelancong melawat taman negara ini.

Bagi penulis pula, ini merupakan kali kedua berkunjung ke situ. Kesempatan yang ada dimanfaatkan sepenuhnya untuk menjelajah bahagian yang belum diterokai lagi.

Babi hutan

Ditemani jurufoto, Fairuz Izyana Ayub dan pemandu pelancong yang mesra dengan panggilan Lenjoe, kami bergerak dari Kuching menuju ke Taman Negara Bako seawal pukul 7 pagi selepas masing-masing mengalas perut dengan mi sapi dan air teh cina, juadah sarapan yang menjadi kemestian di Bumi Kenyalang.

Sebaik sahaja sampai di Jeti Taman Negara Bako di Kampung Bako, kelihatan sudah ramai pelancong yang sedang beratur untuk menaiki bot.

Menurut Lenjoe, perjalanan menaiki bot mengambil masa lebih kurang 20 minit.

"Nampak tak papan tanda amaran buaya itu?

"Di sungai ini memang banyak buaya, tetapi jangan risau, ia tidak mengganggu bot. Kalau bernasib baik, kita boleh lihat buaya berjemur di tebing sungai nanti," ujar Lenjoe, lelaki berketurunan Bidayuh ini.

Beberapa minit selepas bot meninggalkan jeti, muara sungai semakin lama semakin melebar. Air sungai yang keruh mula ditinggalkan. Begitupun, pemandangan yang sama masih kelihatan, iaitu rimbuan pokok bakau dengan akar berceracak yang menjadi pemegang tebing di kiri dan kanan sungai.

Jelas Lenjoe, istilah Bako yang menjadi identiti kawasan tersebut turut berasal daripada pokok bakau yang ada di kawasan itu.

"Orang Sarawak menyebut bakau sebagai 'bako'. Semasa penempatan pinggir laut ini mula dibuka ratusan tahun dahulu, pokok bakau memang banyak ditemui di sini," ujarnya.

Selain pokok bakau, pandangan mata pastinya tidak lari daripada melihat pancang-pancang kayu yang ditanam sama ada hampir dengan tebing sungai mahupun di tengah-tengah muara yang semakin melebar.

"Itu kawasan memukat udang. Setiap pancangan kayu itu ada tuannya sendiri. Kalau nak tahu, selain belacan Bintulu, belacan Bako juga terkenal di Sarawak," ujar Lenjoe yang merupakan penggemar belacan Bako.

FORMASI bukit batu yang menarik ini dikatakan berada di dasar laut jutaan tahun lalu.


Terkecil

Selepas 20 minit dilambung ombak, dataran kelabu Taman Negara Bako mula kelihatan. Untuk sampai ke destinasi, pengunjung perlu meranduk air separas lutut sebelum merentasi dataran kelabu yang terbentuk daripada padatan butiran pasir halus selama lebih kurang 15 minit.

"Berjalan di dataran pasir ini adalah pengalaman yang cukup mengujakan apatah lagi pemandangan di sini sangat menarik. Lihat sahaja cenuram bukit batu yang menghijau di sebelah kiri anda. Ia sungguh menakjubkan.

"Saya kira ini adalah permulaan yang baik untuk pengembaraan saya," ujar Ian Wedrick, seorang pelancong solo berusia 63 tahun dari New Zealand.

Tiba sahaja di pekarangan ibu pejabat Taman Negara Bako, sambutan ucapan selamat datang yang diterima para pengunjung juga sangat unik, malah mungkin ia hanya boleh ditemui di sini.

Jika anda membayangkan tarian gemalai daripada barisan penari jelita yang diiringi alunan merdu petikan sapeh, bayangan itu silap sama sekali kerana satu-satunya penyambut tetamu yang tidak pernah jemu mengalu-alukan kedatangan anda ke taman negara ini ialah babi hutan.

Menurut Timbalan Pengurus Besar Perbadanan Perhutanan Sarawak (Kawasan Perlindungan Bahagian Pemuliharaan dan Biodiversiti), Oswald Braken Tisen, bilangan babi hutan di Taman Negara Bako memang banyak.

"Di sini kami amalkan konsep mesra alam, mesra haiwan. Sungguhpun bilangannya banyak, babi hutan tidak suka bercampur dengan manusia.

"Hanya tiga empat ekor yang suka muncul di khalayak umum seperti yang anda lihat hari ini. Ia juga sudah jinak dan tidak pernah menyerang manusia. Jika ada pengunjung yang kurang selesa, mereka boleh menghalaunya," ujar Oswald.

Beliau menjelaskan, taman negara tersebut merupakan yang tertua di Sarawak.

"Mempunyai keluasan 27 kilometer persegi, ia adalah taman negara terkecil di Asia Tenggara. Sungguhpun saiznya kecil, hampir keseluruhan spesies flora di Kepulauan Borneo yang merangkumi Sarawak dan Sabah, Malaysia serta wilayah Kalimantan, Indonesia, boleh ditemui di sini," katanya.


TUNGGUL laut ini menjadi identiti Taman Negara Bako.


Bukit dalam laut

Selain itu, jelas Oswald, taman tersebut turut merekodkan 316 spesies tumbuhan, 22 spesies burung, 24 spesies haiwan reptilia dan binatang berdarah sejuk, 57 spesies mamalia termasuk monyet proboskis atau monyet belanda.

"Kalau bernasib baik, anda boleh terserempak dengan ikan lumba-lumba di perairan taman negara ini," ujarnya.

Tidak hanya itu, banyak lagi haiwan lain yang boleh ditemui di taman ini termasuklah biawak, memerang dan tupai.

"Keunikan lain di Taman Negara Bako, ia mempunyai tujuh ekosistem lengkap iaitu tumbuhan pantai, tumbuhan cenuram, hutan kerangas, hutan bakau, hutan diteroka campuran, padang rumput dan hutan paya gambut.

"Kepelbagaian biologi seperti ini membuktikan kekayaan yang terdapat di taman ini," ujarnya.

Menyediakan jumlah trek yang banyak, Taman Negara Bako memudahkan penjelajahan denai dengan memberi rundingan dan panduan serta membekalkan peta trek secara percuma di ibu pejabat taman negara yang terletak di Teluk Assam.

Trek terpanjang di taman ini ialah sejauh 10.5 kilometer yang menuju ke Tanjung Kruin manakala yang paling pendek merupakan trek ke Tanjung Sapi dengan jarak 800 meter.

Mengambil keputusan untuk menyusuri trek menunju Telok Pandan Kecil sepanjang 2.5 kilometer, laluan yang ditanda dengan cat kuning ini tidak kurang mencabarnya.

Berjalan di atas pelantar kayu yang didirikan di kawasan hutan bakau, trek akan melewati kawasan hutan yang muka buminya agak mencanak dan dipenuhi akar pokok, batu dan pasir.

Penjelajahan diteruskan dengan mendaki bukit setinggi 500 meter dari aras laut. Ketahanan fizikal teruji apabila terpaksa menempuh laluan berbukit sejauh kira-kira 1.3 kilometer.

"Tahu tak anda sedang berjalan di atas apa sekarang?" tanya Lenjoe.

"Pastinya tanah berbukit," jawab saya.

"Anda salah. Apa yang kita daki dari tadi bukanlah tanah, sebaliknya campuran batu, pasir, daun-daun kering dan akar-akar kayu yang berselirat.

"Kalau tak percaya, cuba hentakkan kaki. Permukaannya lembut seperti span bukan?"

"Memandangkan kawasan ini dipenuhi pasir, daun-daun kering dan akar-akar kayu, andainya taman negara ini terbakar, hutan ini memerlukan 1,000 tahun lagi untuk jadi seperti sekarang," katanya.

PERJALANAN menaiki bot dari Kampung Bako mengambil masa 20 minit untuk sampai ke Taman Negara Bako.


Penjelasan lelaki yang sudah berbelas tahun menjadi pemandu pelancong ini menambah keterujaan kami untuk terus mendaki walaupun ketika itu nafas sudah mula mengah.

Tiba di kawasan bukit batu, Lenjoe memberitahu, 100 juta tahun lalu, batu itu letaknya di dalam laut.

"Ia dapat dibuktikan dengan tanda hakisan yang memanjang ini. Hampir setiap inci permukaan bukit ini mempunyai tanda hakisan yang sama.

"Mengikut kajian, batu bukit ini mengandungi batu, silika dan ferrous oksida. Kalau nak tahu, pada zaman dahulu, orang menjadikan ferrous oksida ini sebagai senjata," ujarnya lagi.

Manusia kebal bukan karut

Posted:

Manusia kebal bukan karut

Oleh MEGAT LUTFI MEGAT RAHIM

TRICHAN mengambil ayam goreng daripada minyak bersuhu 480 darjah Celcius dengan tangan.


MANUSIA secara semula jadi akan cedera bahkan boleh terbunuh jika badannya ditusuk benda tajam seperti pisau atau ditembak dengan senjata api. Jarang sekali ada orang yang bertubuh kebal.

Bagaimanapun, cerita manusia kebal popular di seluruh dunia. Pada tahun 2008, daerah Gorontalo di Indonesia gempar dengan kelibat seorang lelaki yang digelar Tarzan kerana tidak lut peluru.

Kejadian itu bermula selepas Tarzan membunuh seorang anggota polis yang datang ke rumahnya bersama seorang orang kampung untuk menagih hutang wang yang dipinjamnya.

Sebagai tindak balas, sepasukan anggota polis menyerbu rumah Tarzan dan melepaskan 107 tembakan yang mengenai tubuh lelaki pelik itu. Anehnya, peluru itu langsung tidak mencederakan Tarzan.

Pihak polis yang terkejut dengan kejadian itu buntu. Kemudian, seorang jiran Tarzan memberitahu bahawa kekebalan lelaki itu terletak pada sebentuk cincin yang dipakai di jari kanannya.

Berdasarkan maklumat itu, pihak polis menyasarkan tembakan ke arah cincin itu hingga ia terlucut dan akhirnya membolehkan peluru menembusi tubuh lelaki itu.

Kadangkala manusia bukan sahaja tidak lut senjata tajam malah kebal daripada arus elektrik dan minyak panas.

Di Indonesia juga, seorang lelaki yang digelar Manusia Elektrik, Suparlan, 59, 'kebal' daripada arus elektrik sejak kecil lagi.

Dia yang mempunyai sembilan anak dan 12 cucu berkata, rasa terkena kejutan elektrik sama seperti digigit semut.

"Sekiranya sakit badan atau lenguh, memegang kabel yang mengandungi arus elektrik boleh membuatkan tubuh saya menjadi segar," katanya yang bekerja sebagai juruelektrik di sebuah syarikat tenaga di negara itu.

Di Chiang Mai, Thailand, Kann Trichan, 50, selamba mencelupkan tangannya ke dalam minyak panas.

Trichan ialah pemilik sebuah kedai makan yang menyediakan menu ayam goreng. Setiap kali menggoreng ayam, lelaki itu mencelupkan tangannya ke dalam kuali untuk mengambil ketulan ayam yang telah masak.

Peliknya, tangan Trichan tidak pernah melecur. Kebolehan luar biasa itu menyebabkan ramai orang berkunjung ke kedainya.

Otot

Trichan menyedari kemampuan uniknya itu semasa berusia tujuh tahun ketika dia menjual makanan di bawah sebatang pohon mangga.

Tanpa diduga, seekor tupai menjatuhkan sebiji mangga ke dalam kuali minyak panas hingga minyak itu terpercik mengenai sebahagian besar tubuh Trichan.

"Saya fikir akan cedera parah tetapi tiada apa yang berlaku," kenangnya.

Kemampuan Trichan mendapat pengiktirafan Guiness Book of Records sebagai lelaki yang paling pantas mengambil ayam goreng dalam minyak bersuhu 480 Celcius dengan tangan iaitu sebanyak 20 ketul dalam tempoh seminit.

Berdasarkan ilmu fizik, kemampuan Trichan disebabkan kesan Leidenfrost iaitu fenomena pembentukan lapisan tipis pada cairan (atau kulit) untuk mencegah pertukaran suhu.

Tindak balas kimia ini terjadi secara spontan ketika cairan panas bersentuhan dengan kulit manusia walaupun pada suhu yang ekstrem.

Menurut Ketua Unit Jabatan Anatomi, Fakulti Kesihatan dan Perubatan, Universiti Putra Malaysia, Dr. Mohamad Aris Mohd. Moklas, tiada istilah kebal dalam bidang sains.

Ini kerana lapisan kulit manusia hanya mempunyai tisu yang lembut. Beliau menyangkal dakwaan bahawa tubuh manusia mengandungi besi tetapi bersetuju jika badan manusia mempunyai zat besi dalam bentuk terampai.

"Kebal mungkin dikaitkan dengan keadaan tubuh seseorang. Jika badannya berotot pejal maka potensi untuk dia luka lebih kecil," terang beliau.

Lemak dalam badan turut menjadi faktor. Kata Aris, seseorang yang berotot, kurang lemak dalam tubuhnya.

"Lemak yang wujud di bawah kulit membuatkan badan seseorang lebih lembut dan potensi untuk luka lebih tinggi.

"Sama seperti beberapa individu yang berjalan di atas api, bukan disebabkan dia kebal tetapi kulit tapak kaki manusia sebenarnya lebih tebal berbanding kulit di bahagian lain," ujarnya.

Tutur Aris, kepantasan seseorang berjalan di atas kaca pula membantu mengelakkannya daripada mendapat luka yang parah.

Namun, beliau menghormati pandangan yang mengatakan manusia boleh menjadi kebal kerana katanya, setiap kejadian pasti ada rahsia di sebaliknya.

Kisah mayat berjalan di Sulawesi

Posted:

Kisah mayat berjalan di Sulawesi

Oleh SITI NOR AFZAN KASIMAN

SIAP dengan persalinan baharu, mayat akan menerima tunduk hormat daripada ahli keluarganya.


INDONESIA yang dihuni pelbagai etnik sememangnya terkenal dengan upacara berunsur mistik. Antara adat unik tersebut ialah ritual 'mayat berjalan' yang dipanggil ma'nene yang masih diamalkan oleh etnik Baruppu yang mendiami Tana Toraja di Sulawesi Selatan.

Etnik pribumi yang mendiami kawasan Pergunungan Sesean ini menganggap semangat ahli keluarga yang telah mati akan kekal bersama ahli keluarga yang masih hidup. Lantaran itu, mereka sangat menghormati mayat.

Menurut ketua masyarakat Baruppu, Pongtiku, ma'nene merupakan ritual khas untuk memuliakan mayat dan mengenang jasa si mati. Ia diadakan setiap tiga tahun sekali.

"Waris si mati akan menurunkan keranda ahli keluarga mereka dan menjalankan beberapa ritual khusus tanda memuliakan mayat.

"Mayat kemudiannya dibersihkan, dibawa berjalan pulang ke rumah dan dipakaikan pakaian baharu," katanya.

Upacara ma'nene dipercayai mula diamalkan ratusan tahun dahulu oleh seorang pemburu binatang bernama Pong Rumasek.

"Satu hari, ketika Pong berburu di hutan tebal, dia terjumpa dengan rangka mayat. Oleh kerana simpati dengan keadaan mayat yang tidak terurus, dia membungkus mayat tersebut dengan baju yang dipakainya.

"Selepas itu, mayat itu diletakkan di tempat yang lebih sesuai.

"Sejak itu, rezeki Pong melimpah-ruah. Setiap kali keluar berburu, dia tidak pernah pulang dengan tangan kosong, malah hasil tanamannya semakin menjadi.

"Pong juga dikatakan sering ditunjukkan di mana tempat persembunyian haiwan buruan oleh mayat yang pernah dibantunya itu.

"Sejak itu, Pong beranggapan, mayat yang sudah tinggal tulang-belulang juga perlu dimuliakan dan itu adalah amanatnya yang menjadi pegangan kaum Baruppu hingga ke hari ini," jelas Pongtiku.

Bagi waris yang mahu melakukan upacara ma'nene, persiapan dilakukan sejak awal pagi lagi.

Seperti Tumonglo, seluruh ahli keluarganya akan berkumpul di rumah sehari sebelum ma'nene untuk membuat persiapan.

"Sebelum mayat dibawa pulang ke rumah, kami perlu menyembelih kerbau dan babi terlebih dulu.

"Upacara ini diraikan bukan sahaja sesama keluarga tetapi dengan seluruh penduduk kampung," ujarnya.

Jelas Tumonglo lagi, walaupun ada dalam kalangan ahli keluarganya sudah memeluk agama Kristian, mereka masih kuat berpegang kepada adat Baruppu.

"Mereka tetap hadir untuk menghormati upacara ini. Walaupun tidak terlibat secara langsung, sekurang-kurangnya mereka masih datang untuk meraikan ahli keluarga yang telah meninggal dunia," katanya.

Selesai menyembelih kerbau dan babi pada awal pagi, sebahagian besar ahli keluarga akan pergi ke kawasan perkuburan di tebing gunung batu Tunuan bagi menunggu keranda milik datuk Tumonglo yang meninggal dunia tahun lalu dibawa turun.

"Kerja menurunkan keranda dilakukan secara berhati-hati bagi mengelakkannya daripada terjatuh. Sebarang kecuaian boleh merosakkan keadaan mayat di dalamnya, " ujar lelaki ini.

MAYAT yang telah diberi persalinan baharu akan disimpan semula di liang batu.


Sementara itu, di bawah tebing kubur, waris-waris lelaki akan berganding tangan membentuk bulatan sambil meratib ma'bong bagi mengiringi keranda yang diturunkan.

"Ma'bong adalah satu lagu yang melambangkan ratapan sedih ahli keluarga yang ditinggalkan si mati.

"Bait-bait liriknya juga memberi semangat kepada waris yang masih hidup untuk lebih bersemangat selepas ketiadaan si mati," katanya.

Sebaik sahaja keranda kusam berbungkus kain merah itu mencecah papan pelantar, jasad mayat datuk Tumonglo dikeluarkan.

"Sebaik sahaja dikeluarkan, mayat akan diletakkan dalam posisi berdiri sebelum dibawa berjalan pulang ke rumah.

"Sesampainya di rumah, rangka akan dibersihkan menggunakan berus halus.

"Dalam upacara ma'nene, waris mesti memastikan mayat tidak mencecah tanah dalam apa keadaan sekali pun. Itu pantang larangnya.

"Apabila mayat sudah bersih, pakaiannya digantikan dengan persalinan baharu. Tahun ini, saya memilih kemeja batik serta sepasang sut berwarna hitam untuk datuk.

"Selepas semuanya selesai, mayat akan terus dibiarkan berdiri. Jika si mati itu adalah orang tua, anak-anak akan pergi kepadanya dan memberi tunduk hormat.

"Jika si mati masih mempunyai ibu bapa, mayat akan dibawa berjalan untuk menghadap orang tuanya bagi mendapatkan sembah restu dan memohon doa," katanya lagi.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Horizon

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Horizon


Meneroka khazanah diiktiraf dunia

Posted:

Meneroka khazanah diiktiraf dunia

Oleh AMMAR JAZLAN MAD LELA
ammar.jazlan@kosmo.com.my

MALAYSIA sememangnya terkenal dengan pelbagai tarikan pelancongannya yang unik dan tersendiri. Daripada warisan sejarah silam, keindahan alam semula jadi, kejernihan pantai dan pulau-pulau serta kepelbagaian budaya masyarakatnya telah menarik jutaan pelancong dari seluruh dunia.

Kepelbagaian produk pelancongan yang ditawarkan di negara ini bukan sahaja mengundang kebanggaan rakyat, malah turut mendapat pengiktirafan dunia.

Sedar atau tidak, Malaysia kini mempunyai empat Tapak Warisan Dunia yang diiktiraf oleh Pertubuhan Pelajaran, Sains, dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Ia sekali gus menjadikan negara ini sebaris dengan negara-negara lain yang pernah menerima pengiktirafan sedemikian sebelum ini.

Horizon minggu ini cuba meneroka empat lokasi Tapak Warisan Dunia yang berupaya mengangkat nama Malaysia di persada antarabangsa.

Taman Negara Gunung Mulu

Terletak di sebelah utara negeri Sarawak, Taman Negara Gunung Mulu (TNGM) merupakan salah satu daripada destinasi pelancongan yang terkenal di Malaysia.

Mempunyai keluasan lebih 544 kilometer persegi, ia mula diwartakan sebagai taman negara pada 3 Oktober 1974.

Dengan dikelilingi tiga buah gunung iaitu Gunung Mulu (2,376 meter), Gunung Api (1,750 meter) dan Gunung Benarat (1,585 meter), Taman Negara Mulu mempunyai kepelbagaian bio yang menakjubkan.

Kawasan hutan yang terdiri daripada jenis paya gambut, rawa, dipterokap, lumut serta tumbuhan gunung menempatkan ribuan spesies flora dan fauna.

Puncak Pinnacles pula menjadi mercu tanda bagi Gunung Mulu. Bagi mereka yang sukakan cabaran, bolehlah cuba mendaki ke puncaknya yang dipenuhi bantuan dan ngarai dalam yang terhasil secara semula jadi.

Tatkala berada di TNGM jangan lupa mencuba aktiviti penerokaan gua yang menjadi identitinya selama ini. Di banjaran Mulu sahaja terdapat 76 buah gua secara keseluruhan di mana hanya 24 buah sahaja yang baru diteroka oleh pengembara.

Antara gua yang wajib dikunjungi pastinya Sarawak Chamber. Ia cukup besar dan luas serta dikatakan mampu memuatkan lapan jet jumbo 747.

Tidak cukup dengan itu, pengunjung juga boleh meneroka beberapa tarikan lain yang tidak kurang hebatnya seperti Gua Rusa atau Gua Air Jernih.

Bagi pencinta alam semula jadi, perasaan kagum pasti hadir melihat keunikan formasi stalagmit dan stalagtit serta pelbagai arca yang terhasil akibat proses geomorfologi yang berlaku. Ia diwartakan sebagai Tapak Warisan Dunia pada November 2000.

Taman Kinabalu

RUMAH Teh Bunga di Jalan Hutton ini menyimpan pelbagai kisah sejarah silam di George Town.


Kunjungan ke Sabah seakan tidak lengkap sekiranya berkunjung ke Taman Kinabalu. Memakan masa kira-kira dua jam perjalanan dari Kota Kinabalu, taman negara seluas 75,370 hektar itu menjanjikan pelbagai tarikan kepada pengunjung yang mahu lari jauh daripada riuh dan hingar kota.

Terdapat pelbagai aktiviti yang boleh dilakukan di situ antaranya, mendaki Gunung Kinabalu setinggi 4,095 meter dan diiktiraf sebagai gunung kelima tertinggi di Asia Tenggara.

Sejak Sir Hugh Low melakukan pendakian yang pertama menawan puncak gunung itu pada tahun 1851, saban tahun ia terus menggamit ribuan pendaki dari dalam dan luar negara.

Kepelbagaian bio yang amat tinggi di taman ini menyebabkan ia diwartakan sebagai taman negara pada tahun 1964.

Dianggarkan Taman Kinabalu mempunyai antara 5,000 hingga 6,000 spesies tumbuhan berbunga, 621 spesies paku-pakis dan lebih 1,000 spesies orkid sekali gus menjadikan ia terkenal dalam kalangan penyelidik dari seluruh dunia.

Keunikan dan kepelbagaian yang ditawarkan menyebabkan ia turut diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO pada Disember tahun 2000.

Bandaraya Melaka dan George Town

Terletak di perairan Selat Melaka, bandar raya Melaka dan George Town merupakan contoh bandar kolonial bersejarah yang cukup menarik untuk dilawati di negara ini.

Menjadi laluan perdagangan terpenting di rantau ini satu ketika dahulu, kedua-dua bandar raya itu memaparkan warisan kepelbagaian budaya serta tradisi Asia dan Barat yang masih terpelihara, tempat pertembungan pelbagai agama dan budaya.

Kehadiran pelbagai elemen melalui aktiviti perdagangan itu diterjemahkan melalui keunikan seni bina bangunan, masyarakat, bahasa, perayaan, tarian, busana, seni dan muzik, makanan serta cara hidup seharian

Di Melaka misalnya, pengunjung berpeluang meneroka keunikan dan tradisi masyarakat Baba Nyonya, Chetti, Portugis dan Chingay yang masih diamalkan sehingga kini.

Di samping itu, bandar raya itu juga terkenal dengan warisan peninggalan penjajah daripada era kolonial Portugis, Belanda dan Inggeris.

Antara bangunan yang terkenal di situ ialah A Famosa, kota yang dibina Portugis sebaik sahaja berjaya menawan Melaka pada tahun 1511.

Menjadi bandar raya kedua terbesar di Malaysia dengan bilangan penduduk melebihi 700,000 orang, George Town banyak dipengaruhi penjajahan Inggeris bermula pada tahun 1786.

Dianggarkan terdapat lebih 4,000 bangunan bersejarah di bandar raya itu yang berunsurkan era kolonial, Islam, Cina, Anglo India dan sebagainya.

Antara bangunan warisan yang menjadi tumpuan pelancong ialah Rumah Syed Al-Atas, Tokong Khoo Kongsi, Masjid Melayu Lebuh Acheh dan Tokong Yap.

Pada Julai 2008, Melaka dan George Town telah diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO bagi kategori tapak budaya.

Lembah Lenggong

LEMBAH Lenggong menyimpan sejarah tamadun manusia yang dipercayai wujud sekitar 1.83 juta tahun lalu.


Sejak penemuan rangka Perak Man pada 2001 dan Perak Woman pada 2004, nama Lembah Lenggong yang terletak di daerah Hulu Perak terus dikenali di peringkat antarabangsa.

Penemuan-penemuan saintifik yang dilakukan oleh penyelidik tempatan sebelum ini telah membuka pintu rahsia kehidupan masyarakat awal di rantau ini.

Ia terbukti menyimpan rahsia besar sejarah kehidupan manusia dan sejarah tamadun manusia yang pernah wujud dipercayai sekitar 1.83 juta tahun lalu.

Kawasan itu juga dipercayai menjadi laluan keluar terawal manusia dari Afrika menuju ke Australia selain dianggap 'ibu kota' Malaysia.

Bukit Bunuh misalnya, menjadi pilihan penempatan awal manusia kerana ia kaya dengan pelbagai sumber alam dan keperluan untuk menyediakan peralatan batu.

Penemuan kapak genggam pada tahun 2009 membuktikan kawasan itu merupakan satu-satunya tapak manusia Paleolitik yang berfungsi sebagai bengkel membuat alat batu.

Di samping itu, terdapat beberapa bukti lain yang turut dijumpai di sekitar Kota Tampan dan Gua Teluk Kelawar seperti tembikar, peralatan gangsa dan sebagainya.

Pada 1 Julai yang lalu, Lembah Lenggong telah diwartakan sebagai Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO menjadikan, ia tapak keempat seumpamanya di negara ini.

Bagi pengunjung yang mahu melihat kesemua artifak itu dengan lebih dekat bolehlah berkunjung ke Muzium Arkeologi Lenggong di Kota Tampan, Mukim Temelong, Lenggong.

Dibuka sepenuhnya pada tahun 2001, ia merupakan muzium prasejarah pertama di negara ini.

Hotel mewah di jantung Putrajaya

Posted:

Hotel mewah di jantung Putrajaya

Oleh AMMAR JAZLAN MAD LELA

JIKA mahu merasai keenakan aneka makanan Itali asli bolehlah berkunjung Tuscany Restaurant & Pizza Bar.


DIREKA khusus untuk mereka yang mementingkan cita rasa mewah dan penuh eksklusif, Hotel Marriot Putrajaya sememangnya mempunyai auranya yang tersendiri.

Berdiri megah di tengah-tengah pusat pentadbiran ulung negara Putrajaya, tidak hairanlah hotel yang beroperasi sejak 10 tahun lalu itu sentiasa menggamit pengunjung dan pengembara bisnes yang mahu merasai suasana percutian santai di pinggir kota.

Sebaik sahaja menjejakkan kaki ke situ, mata seakan terpukau melihat binaannya yang diinspirasikan daripada gabungan seni bina Mediterranean dan Moorish.

Bertaraf lima bintang, Hotel Marriot Putrajaya menawarkan 488 bilik dan suite secara keseluruhan.

Terdapat beberapa jenis bilik yang ditawarkan bergantung kepada bajet pengunjung bermula daripada Deluxe (380 unit), Executive Deluxe (70 unit) dan Exclusive Suites (30 unit).

Ruang bilik tampak kemas dan selesa dengan susun atur perabot yang moden dan kotemporari. Penggunaan warna bertema bumi pada sudut dinding menyerlahkan pesonanya.

TERAPI urutan ala Bali di Dewi Sri Spa mampu meredakan kelesuan selepas seharian beraktiviti.


Dari kamar masing-masing pengunjung disajikan panorama padang golf 27 lubang yang menghijau.

Sepanjang menginap di situ, pengunjung juga berpeluang menggunakan pelbagai kemudahan yang disediakan antaranya pendingin hawa, peti ais mini, televisyen satelit, telefon dan akses jalur lebar 24 jam sehari.

Jamu selera

Selain keselesaan di tempat tidur, hotel itu juga terkenal dengan pelbagai kulinari yang ditawarkan di beberapa kafe, restoran dan lounge.

Di Terrace Cafe, pengunjung bakal disajikan dengan hidangan tempatan dan antarabangsa untuk sarapan pagi, makan tengah hari atau makan malam.

Penggemar kuisin Cina dan Jepun tidak perlu mengeluh untuk mencari makanan kegemaran mereka kerana ia boleh diperoleh tatkala berkunjung ke Restoran Summer Palace atau Restoran Midori.

Pengunjung boleh menikmati hidangan secara bufet pada harga yang sangat berpatutan.

Apa yang lebih penting, pengunjung khususnya yang beragama Islam tidak perlu risau ketika menjamu selera kerana kedua-dua restoran itu menyediakan hidangan 100 peratus halal.

Bagi yang mahu bertukar selera, bolehlah ke Tuscany Restaurant & Pizza Bar. Ia menawarkan aneka makanan Itali asli yang dihidangan chef-chef berpengalaman seperti piza, pasta dan makaroni.


PERINCIAN setiap ruang hotel begitu dititikberatkan di Hotel Marriot Putrajaya.


Jika mahu sekadar bersantai bersama teman-teman sambil menikmati snek ringan, Lobby Lounge and Karaoke adalah jawapannya. Di samping mendengar alunan muzik, pengunjung juga boleh berkaraoke di bilik khas yang disediakan.

Tidak sekadar itu, pengunjung juga boleh mencuba pelbagai kemudahan dan aktiviti riadah yang disediakan di hotel ini. Pengunjung boleh bersenam di gimnasium atau sekadar mengasah bakat sukan di gelanggang tenis dan skuasy.

Kepada tetamu yang mahu merasai pengalaman dimanjakan sambil merehatkan badan, jiwa dan minda boleh berkunjung ke Dewi Sri Martha Tilaar yang menawarkan suasana rehat di dalam persekitaran yang tenang dan mendamaikan.

Serahkan badan anda kepada tangan-tangan yang pakar untuk rawatan seperti aroma terapi, urut, merias kuku, skrub badan, terapi hidro dan sebagainya.

Dengan haruman bunga segar dan persekitaran yang menenangkan, terapi urutan Bali yang disediakan meredakan kelesuan badan selepas seharian beraktiviti.

Hotel Marriot Putrajaya juga pilihan ideal untuk lokasi mesyuarat, seminar dan persidangan. Dewan utamanya, Marriot Grand Putrajaya Ballroom mampu memuatkan sehingga kira-kira 2,500 tetamu.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Dunia

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Dunia


Bendera Malaysia dinaikkan di selatan Thai

Posted:

Bendera Malaysia dinaikkan di selatan Thai

SEKUMPULAN anggota polis memeriksa kawasan sekeliling sebuah hentian bas yang dipasang dengan bendera Malaysia di wilayah Narathiwat, semalam. - AFP


PATTANI, Thailand - Kumpulan pemberontak disyaki membakar beberapa helai bendera Thailand dan menaikkan bendera Malaysia di sini dalam satu operasi pengeboman terancang yang amat jarang berlaku di kawasan selatan negara ini semalam.

Menurut polis, alat seperti bom ditemui di sekurang-kurangnya 60 lokasi di Narathiwat dan Pattani, wilayah yang majoritinya terdiri daripada penganut Islam. Kebanyakan alat itu adalah palsu, tetapi hampir 12 unit daripadanya meletup dan mencederakan enam orang tentera.

Pegawai Operasi Keselamatan Dalaman Selatan, Pramote Prom-in memberitahu tindakan memasang bendera Malaysia dengan bahan letupan itu bertujuan menunjukkan penentangan terhadap kerajaan Thailand dan mencipta ketegangan dengan Malaysia.

Beliau meminta supaya kerajaan bertindak tegas sambil menyatakan serangan tersebut tidak memberi kesan terhadap hubungan di antara Bangkok dan Kuala Lumpur.

Masih tidak jelas kenapa bendera Malaysia dinaikkan oleh kumpulan pemberontak itu. Bendera tersebut dipasang di sepanjang jalan, tiang elektrik, pokok dan laluan pejalan kaki di wilayah Yala, Pattani, Narathiwat dan Songkhla.

Para penganalisis menyatakan militan mahukan sebuah negara yang merdeka, tetapi tidak pernah menunjukkan minat mahu menjadi sebahagian daripada Malaysia.

Penyelidik kanan Pemantau Hak Asasi Manusia yang berpangkalan di New York, Sunai Phasuk mengakui bahawa motif pemberontak menaikkan bendera Malaysia masih misteri.

Kumpulan pemisah dikatakan mula muncul sejak Januari 2004. Sejak itu, seramai 5,206 terbunuh dan 9,137 lagi cedera dalam banyak siri serangan. - Agensi

Sage Stalllone mati akibat sakit jantung

Posted:

Sage Stalllone mati akibat sakit jantung

LOS ANGELES - Pegawai koroner mengesahkan bahawa anak Sylvester Stallone yang berusia 36 tahun meninggal dunia akibat masalah jantung.

Sage Stallone (gambar) dilaporkan meninggal dunia pada 13 Julai lalu disebabkan saluran arteri tersumbat dan bukannya atas faktor-faktor lain. Mayat Sage ditemui di rumahnya oleh seorang pekerja dan saudaranya.

Tiada perbuatan khianat dikesan, malah keputusan toksikologi menunjukkan jumlah hydrocodone yang minimum ada dalam sistem badannya.

Sage Moonblood Stallone merupakan anak sulung pelakon Sylvester Stallone dan pernah membintangi dua filem bersama bapanya.

Dia juga bergiat aktif sebagai pembikin filem dengan dengan menghasilkan sebuah filem pendek bertajuk Vic yang kemudiannya ditayangkan pada Festival Filem Palm Springs. - AP

Dua wanita dibunuh desak bebaskan Pussy Riot

Posted:

Dua wanita dibunuh desak bebaskan Pussy Riot

ATAS: Ahli kumpulan punk Pussy Riot, dari kiri: Yekaterina Samutsevich, Maria Alyokhina dan Nadezhda Tolokonnikova duduk di dalam kandang mahkamah yang dilindungi oleh kaca ketika dijatuhkan hukuman penjara selama dua tahun.
KIRI: Tulisan "Bebaskan Pussy Riot" yang dikatakan ditulis menggunakan darah dua orang wanita terpampang pada dinding sebuah pangsapuri di bandar Kazan, dekat Moscow, Rusia.


MOSCOW - Dua orang wanita ditemui mati akibat ditikam di dalam sebuah pangsapuri di sini pada Khamis, bersama tulisan "Bebaskan Pussy Riot" ditulis di dinding dipercayai menggunakan darah.

Kumpulan punk wanita, Pussy Riot mencetuskan ketegangan di Rusia apabila dikenakan hukuman penjara selama dua tahun kerana mengadakan satu protes terhadap presiden Rusia, Vladimir Putin di dalam sebuah gereja utama di sini.

Peguam anggota kumpulan Pussy Riot, Nikolai Polozov menegaskan bahawa anak guamnya dan penyokong mereka tidak terlibat dalam jenayah tersebut. Plozov juga menyatakan tulisan itu bertujuan menimbulkan provokasi dan memburukkan nama Pussy Riot.

Menurut Jawatankuasa Siasatan Persekutuan Rusia, pesara berusia 76 tahun dan anak perempuannya, 38, itu mati akibat luka ditikam dengan pisau.

Rakaman stesen televisyen Rossiya menunjukkan ayat itu ditulis dengan huruf besar pada dinding dapur. Setakat ini, tiada sebarang hubungan jelas di antara mangsa dan Pussy Riot.

Pada Jumaat, pasukan penyiasat telah menahan seorang lelaki yang mengaku membunuh dua orang wanita dan cuba mengelirukan siasatan dengan menulis mesej mendesak pembebasan ahli kumpulan Pussy Riot. - Reuters

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online


Lelaki maut, rakan cedera dirempuh seladang

Posted:

Lelaki maut, rakan cedera dirempuh seladang

01/09/2012 7:10pm

IPOH — Seorang lelaki maut manakala seorang lagi cedera akibat dirempuh seladang di Hulu Air Pasir, Banding dekat Gerik semalam.

Musa Ismail, 56, maut akibat cedera parah di perut manakala Isa Abdullah, 24, patah kaki dan tangan kiri dan dirawat sebagai pesakit luar.

Kedua-dua mereka bersama seorang lagi rakan mereka, Abdul Mohd. Sharifudin A. Manas, 35, diserang haiwan itu ketika dalam perjalanan untuk memasuki Hutan Simpan Royal Belum secara haram antara pukul 3 dan 6 petang.

Abdul Mohd. Sharifudin tidak cedera, kata Ketua Polis Daerah Gerik, Supt. Abdul Manab Baharum ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, kesemua mereka cuba memasuki hutan simpan itu melalui lorong tikus di Km 68.4 Jalan Raya Timur Barat (JRTB) untuk memancing dan memukat ikan.— BERNAMA

Pelajar ingin pulang ke asrama maut kemalangan

Posted:

Pelajar ingin pulang ke asrama maut kemalangan

01/09/2012 7:08pm

BESUT - Seorang pelajar Tingkatan 4 sebuah sekolah menengah Vokasional di Besut maut apabila motosikal yang diboncengnya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Km2, Jalan Jerteh-Kampung Raja dekat Kampung Jawek, malam semalam.

Muhammad Yusri Asraf Ali, 16, yang berasal dari Kampung Darau, Hulu Besut mati di tempat kejadian manakala rakannya Mohd. Ikhwan Kaswadi, 17, cedera parah dan kini dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, Kelantan.

Ketua Polis Daerah Besut, Supt. Kamaruddin Zakaria berkata, ketika kejadian kira-kira pukul 7 malam itu, kedua-dua pelajar dalam perjalanan pulang ke asrama sekolah.

"Ketika di tempat kejadian, sebuah kereta di hadapan mereka telah tiba-tiba membelok ke kanan menyebabkan motosikal yang ditunggangi Mohd. Ikhwan melanggar bahagian belakang sebelah kiri kereta berkenaan.

"Ini menyebabkan penunggang motosikal dan mangsa tercampak ke hadapan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.— BERNAMA

UMS tawar 5,068 tempat pelajar baharu

Posted:

UMS tawar 5,068 tempat pelajar baharu

01/09/2012 4:33pm

KOTA KINABALU — Sebanyak 5,068 tempat ditawarkan kepada pelajar baharu Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengikuti pengajian dalam pelbagai bidang bagi sesi akademik 2012/2013.

Naib Canselor UMS, Prof. Dr. Mohd. Harun Abdullah berkata, ini menunjukkan peningkatan sembilan peratus berbanding jumlah tempat yang ditawarkan tahun lepas iaitu seramai 4,606 orang.

"Setakat petang semalam, seramai 4,140 pelajar sudah mendaftar. Tahun ini kita mulakan sistem pendaftaran secara online dan ternyata ia satu peningkatan yang baik dalam pengurusan pendaftaran pelajar universiti ini.

"Kita memahami masalah pelajar terutama yang tinggal di kawasan luar bandar yang tidak dapat melayari internet, oleh itu kita beri tempoh satu atau dua minggu kepada mereka untuk mendaftar,"katanya kepada pemberita di Kolej Kediaman UMS di Likas, dekat sini hari ini.— BERNAMA

Kredit: www.kosmo.com.my
 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved