Khamis, 13 Disember 2012

Kosmo Online - Sukan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Rakyat Malaysia kecewa

Posted:

Rakyat Malaysia kecewa

Rakyat Malaysia kecewa

NORSHAHRUL (kanan) melepaskan tandukan ke gawang Thailand tetapi tandukannya itu berjaya diselamatkan penjaga gol lawan.


BANGKOK – Segala-galanya sudah berakhir buat Harimau Malaya apabila tumpas 0-2 kepada Thailand dalam aksi separuh akhir kedua kempen Piala Suzuki AFF 2012 di Stadium Supachalasai, malam tadi.

Kekalahan tersebut sekali gus mengecewakan harapan seluruh rakyat Malaysia yang mengharapkan Harimau Malaya berjaya melangkah ke final.

Impian Harimau Malaya untuk mengulangi 'magis' muncul juara dua tahun lalu hanya tinggal sejarah apabila Gajah Perang terlalu unggul di gelanggang sendiri, sekali gus menyaksikan Thailand mara ke final dengan kelebihan agregat 3-1.

Untuk rekod, kedua-dua pasukan sebelum ini terikat seri 1-1 dalam aksi separuh akhir pertama di Stadium Nasional, Bukit Jalil Ahad lalu.

Suka atau tidak, skuad negara yang tempang apabila terpaksa beraksi dengan 10 pemain gara-gara Mohamad Fadhli Shas diperintahkan keluar padang pada babak pertama juga seolah-olah satu petanda betapa aksi malam tadi bukan milik Malaysia.

Thailand yang sekadar memerlukan keputusan seri tanpa jaringan untuk layak ke final sebaliknya bermula garang apabila kesilapan Aidil Zafuan Abdul Radzak untuk mengawal kemas bola nyaris dihukum Jakkapan Pornsai seawal minit ketiga, mujur penjaga gol negara, Farizal Marlias bijak mengawal keadaan.

Kepantasan jentera serangan Thailand yang diterajui Teerasil Dangda dan Anucha Kitpongsri juga memaksa benteng pertahanan negara menampilkan aksi keras sehingga Mahalli Jasuli dan Mohamad Fadhli dilayangkan kad kuning oleh pengadil dari Korea Selatan, Lee Minhu pada awal babak pertama.

Peluang terbaik tuan rumah sekali lagi hadir pada minit ke-18 dan 21 namun percubaan Teerasil dan kapten, Panupong Wangsa gagal menemui sasaran.

Harimau Malaya yang sekali-sekala menyerang begitupun kecewa apabila Lee Minhu tidak menganugerahkan sepakan penalti pada minit ke-29 biarpun S. Kunanlan dikasari Panupong dalam kotak penalti.

Kesempatan itu pantas dimanfaatkan Thailand menerusi satu serangan kilat seminit kemudian namun rembatan deras Teerasil hasil umpanan Datsakorn Thonglao sedikit tersasar biarpun Farizal telah tertewas.

Di sinilah episod hitam skuad negara bermula. Entah apa puncanya, Mohamad Fadhli tiba-tiba dilayangkan kad kuning kedua oleh Lee Minhu gara-gara dikatakan bertelagah dengan Datsukorn.

Sejak itu, Thailand dilihat hanya menunggu masa merobek gawang gol negara apabila menguasai sebahagian besar perlawanan, namun dikecewakan dengan kecekapan Farizal yang beberapa kali menyelamatkan keadaan.

Biarpun tertekan, skuad kendalian Datuk K. Rajagobal tetap tidak berputus asa mengatur gerakan namun sepakan percuma kapten, Safiq Rahim pada penghujung babak pertama terus ke dakapan penjaga gol Thailand, Kawin Thamsatchanan.

Gol yang ditunggu-tunggu lebih 20,000 penyokong tuan rumah akhirnya menjelma lima minit kemudian apabila Teerasil bijak memanfaatkan kesilapan Amar Rohidan sebelum tenang menolak masuk melepasi jangkauan Farizal.

Jaringan itu jelas membunuh semangat juang pemain negara dan hasilnya, Theerathon Bunmathan berjaya menggandakan kelebihan tuan rumah pada minit ke-63 hasil kelam-kabut di depan pintu gol Harimau Malaya.

Skuad negara yang terus memberi tentangan untuk sekurang-kurangnya merapatkan kedudukan begitupun kecewa apabila tandukan Norshahrul Idlan Talaha dan Mohd. Safee Sali pada minit ke-80 dan 82 gagal menepati sasaran.

Thailand yang juga juara Kumpulan A bakal berdepan juara Kumpulan B, Singapura di final nanti. Final pertama bakal berlangsung di Stadium Jalan Besar, Singapura pada 19 Disember depan sebelum final kedua di Stadium Rajamangala tiga hari kemudian.

Sokongan untuk Harimau Malaya

Posted:

Sokongan untuk Harimau Malaya

Sokongan untuk Harimau Malaya


AHMAD SHABERY (tiga dari kanan) menyertai ribuan penyokong menyaksikan perlawanan antara Harimau Malaya dengan Thailand di Restoran Sekinchan Ikan Bakar di Setiawangsa.


MENTERI Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menyertai ribuan penyokong Harimau Malaya menyaksikan siaran langsung perlawanan separuh akhir kedua Piala Suzuki AFF 2012 antara Malaysia dengan Thailand malam tadi.

Ahmad Shabery bersama ribuan lagi penyokong menyaksikan perlawanan tersebut di Restoran Sekinchan Ikan Bakar di Setiawangsa, Kuala Lumpur menerusi skrin gergasi yang disediakan restoran berkenaan.

Ia adalah sebagai tanda sokongan terhadap perjuangan skuad bola sepak negara pada kejohanan dwi tahunan itu.

Turut menjadi tumpuan ialah Restoran Hakim di Seksyen 7 Shah Alam, Selangor semalam yang menyaksikan kehadiran lebih 2,000 penyokong setia Harimau Malaya.

Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Supachalasai, Bangkok itu bagaimanapun berkesudahan dengan Malaysia tewas 0-2 kepada Thailand.

Mun Yee sumbang emas pertama terjun

Posted:

Mun Yee sumbang emas pertama terjun

Mun Yee sumbang emas pertama terjun

VIENTIANE, Laos - Leong Mun Yee menjadi penyumbang pingat emas pertama skuad terjun negara pada hari pertama acara itu dipertandingkan pada Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2012 semalam.

Tampil dengan status selaku penerjun Sukan Olimpik, Mun Yee nyata tiada tandingan apabila mengungguli saingan dalam acara 1 meter (m) papan anjal individu wanita di Pusat Akuatik Kompleks Sukan Nasional Laos.

Mun Yee yang bergandingan dengan ratu terjun negara, Pandelela Rinong dalam acara 10m platform pada Sukan Olimpik 2012 di London, Ogos lalu mengumpul mata tertinggi dengan catatan 290.50 mata.

"Saya memang berpuas hati dengan keputusan hari ini (semalam) memandangkan saya sudah hampir dua tahun tidak menjalani latihan dalam acara ini.

"Saya tidak rancang apa-apa pun untuk acara ini termasuk memikirkan mengenai saingan yang bakal saya hadapi. Sebaliknya hanya fokus dengan terjunan saya.

"Apa yang pasti saya gembira kerana dapat menyumbangkan pingat emas buat kontinjen Malaysia pada penampilan pertama saya di AUG kali ini," kata Mun Yee ketika ditemui pemberita semalam.

Lebih membanggakan, kemenangan itu menyaksikan Mun Yee mengatasi rakan senegara, Cheong Jun Hoong yang sememangnya dianggap pilihan kerana acara 1m papan anjal merupakan acara kegemarannya.

Bagaimanapun, Jun Hoong terpaksa akur apabila sekadar berpuas hati dengan pingat perak selepas mengumpul 286.60 mata manakala atlet Indonesia, Sari Ambarwati Suprihatin gangsa (247.40 mata).

"Tidak kisah siapa yang menang, saya dan Jun Hoong tetap gembira kerana berjaya menyumbang pingat kepada kontinjen negara pada AUG kali ini," kata Mun Yee.

Skuad terjun negara dijangka menuai dua lagi pingat emas hari ini apabila beraksi dalam acara 10m platform individu wanita dan 1m papan anjal individu lelaki.

Sandaran pingat emas sudah pasti sekali lagi diletakkan di bahu Mun Yee untuk acara 10m platform dan Bryan Nickson Lomas (1m papan anjal lelaki).

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved