Sabtu, 22 Disember 2012

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Sate tulang lebih besar, lebih sedap

Posted:

Sate tulang lebih besar, lebih sedap

Sate tulang lebih besar, lebih sedap

SEKITAR jalan raya berdekatan Klinik 1Malaysia Jalan Pantai, Batu 3, Jalan Pantai, Seremban, Negeri Sembilan kabur dek asap dari dua buah alat pemanggang sate di sebuah gerai berbumbungkan khemah kanvas biru.

Setiap hari, suasana di situ meriah seawal pukul 6 petang hingga 12 tengah malam kecuali pada hari Selasa kerana gerai Sate Ayang Pantai itu ditutup pada hari tersebut.

Sebaik melalui Jalan Jelebu atau lebih popular sebagai Jalan Pantai oleh masyarakat tempatan, anak mata tidak akan terlepas meleret menyaksikan deretan kereta yang diletakkan di bahu jalan seolah-olah ada pesta sedang berlangsung. Sementelah aroma rempah satenya yang enak dapat dihidu ketika melepasi kawasan tersebut.

Bagi mereka yang pertama kali singgah di gerai sate yang terletak kira-kira 2 kilometer (km) dari plaza tol Ampangan, Lebuhraya Lekas arah Seremban itu pasti tertarik dengan hidangan yang disediakan.

"Kami bukan sahaja menyediakan hidangan sate ayam dan sate daging biasa, bahkan ada yang lebih istimewa iaitu sate tulang," ujar pengusaha gerai tersebut, Sharipah Sadiah Khalid, 30, yang menyambut kedatangan kru Jurnal baru-baru ini.

Sate tulang menjadi hidangan signatur di gerai yang diusahakan oleh Sharipah Sadiah yang mesra disapa Ayang bersama suaminya, Yusri Abed, 35, itu. Turut dijual ialah variasi sate lain yang dihidangkan bersama kuah kacang dan nasi himpit.

Jika pertama kali ke situ, ketepikan hajat untuk menempah sate ayam dan daging yang biasa kerana nikmat akan lebih terasa jika menjamah sate tulang ayam terutamanya kepada penggemar bahagian tersebut.


ARANG daripada kayu bakau digunakan bagi memastikan keenakan rasa sate terpelihara.


"Kesedapan sate tulang lebih terasa kerana isi ayam dan rempahnya lebih sebati yang melekat di celah-celah tulang. Apatah lagi apabila ia dimakan bersama dengan kuah kacang pekat dan rasanya manis.

"Jika mahu menikmatinya dengan lebih puas, pakailah tangan berbanding makan terus daripada lidinya," ujar seorang pelanggan, Zabidi Ahmad, 32.

Saiznya yang kelihatan berganda berbanding sate ayam biasa turut menarik perhatian penggemar sate apatah lagi apabila dimakan ketika masih panas berasap.

Mengekalkan rasa sate yang segar dan enak sudah tentu memerlukan proses penyediaan yang mencabar manakala penjagaannya perlu diberi perhatian kerana sate tulang ayam lebih sensitif dan dan mudah rosak apabila kerap terdedah.

Demi mengekalkan kesegaran sate tulang tersebut, pasangan suami isteri itu akan mengunjungi Pasar Besar Seremban yang terletak kira-kira 5km dari gerai itu untuk mendapat bekalan bahan mentah pada setiap hari.

"Tulang ayam yang sudah diperap selama sejam akan mula dicucuk pada pukul 11 pagi pada setiap hari. Ini bermakna kesemua sate tulang tersebut perlu dihabiskan setiap hari kerana kualitinya sangat sensitif.

"Oleh kerana daging dan tulang ayam yang masih melekat itu, ia boleh menjadi mudah rosak jika tidak dijaga dengan betul. Jadi kesemua tulang yang sudah diperap itu perlu dihabiskan pada hari itu juga," kata Yusri yang memperoleh idea itu sejak mula membuka gerai tersebut tiga tahun lalu.

Bagaimanapun jelas Yusri, dia tidak menggunakan resipi rahsia untuk penyediaan bahan perapannya yang terdiri daripada serai, jintan, gula, kunyit dan bawang. Tambahnya, resipi itu diperoleh secara turun-temurun daripada ibunya yang menjalankan perniagaan sate semasa zaman kanak-kanaknya.


VARIASI sate seperti (dari kiri) sate perut, sate telur puyuh, sate rusa, sate tulang dan sate ayam ditawarkan di gerai Sate Ayang Pantai.


Tidak keterlaluan untuk menyatakan bahawa gerai tersebut sebagai pusat sehenti buat penggemar sate kerana Yusri variasi sate.

Antara jenis sate lain yang dihidangkan termasuklah, sate perut iaitu daripada bahagian perut tembusu atau perut panjang daripada lembu dan kerbau, sate kambing, sate tongkeng, sate rusa, sate mempedal, sate telur puyuh dan sate arnab untuk waktu tertentu.

Menurut Ayang, menu paling popular dan cepat habis yang dihidangkan bersama nasi impit dan kuah kacang itu adalah sate tulang, sate perut dan sate tongkeng.

Seorang ahli perniagaan, Mohd. Zaidi Taib, 43, yang merupakan penggemar daging rusa tidak melepaskan peluang untuk mengunjungi gerai itu hampir setiap minggu bagi menikmati juadah tersebut.

"Daging rusa memang sukar didapati, tetapi gerai sate ini menyediakannya. Harganya juga berpatutan. Hanya RM1.50 secucuk sate rusa dan isinya besar. Itulah istimewanya gerai ini bermacam-macam jenis sate ada," ujar Mohd. Zaidi.

Hidangan tersebut pula dijual pada harga semurah RM0.60 untuk sate ayam, sate daging (RM0.70), sate tulang (RM1), sate perut (RM1), sate kambing (RM1), sate tongkeng (RM1), sate telur puyuh (RM1).

Antara cabaran bagi pasangan suami isteri dalam menyediakan variasi sate itu adalah cara penyediaan yang berbeza-beza bagi setiap jenis bahan.

"Dalam memerap kesemuanya hampir sama iaitu diperap dari awal pagi untuk dibakar pada waktu petang. Tetapi untuk menyediakan sate telur puyuh, telur yang sudah direbus dan dikupas kulit akan dimasak sekali lagi bersama rempah sate selama 15 ke 20 minit agar ia ia lebih terasa. Tetapi untuk membakarnya hanya memerlukan beberapa minit dan sekadar untuk dipanaskan.

"Berbeza pula dengan cara membakar sate tulang yang mengambil masa yang lebih lama iaitu antara 10 hingga 15 minit kerana strukturnya yang lebih besar dan bertulang. Menjaganya juga sedikit leceh kerana jika tidak dikendali dengan betul ia akan masak tidak sekata.

"Sate perut akan direbus terlebih dulu agar teksturnya menjadi lebih lembut untuk dimakan," kata Yusri yang turut berkhidmat sebagai operator pengeluaran di sebuah kilang koko berdekatan gerainya.


GERAI sate ini terletak berdekatan Klinik 1 Malaysia Jalan Pantai dan Restoran Nur Amira, Jalan Jelebu, Seremban, Negeri Sembilan.


Menurut Yusri, dia akan menyediakan kira-kira 300 cucuk sate tulang ayam setiap hari di samping 700 cucuk sate ayam dan daging serta sate lain.

Bagaimanapun jumlahnya akan menjadi berganda apabila tibanya hujung minggu yang kadangkala mencapai angka 800 cucuk sate tulang yang terjual.

Yusri bukan sahaja memiliki kepakaran menyediakan bahan untuk memerap sate, bahkan kuah kacang yang dihidangkannya mendapat sentuhan istimewa sehingga menerima tempahan yang luar biasa ketika hari raya.

"Kalau di gerai, saya menyediakan kuah kacang biasa. Tetapi apabila tiba hari raya tidak menang tangan menerima tempahan kuah kacang sahaja. Pada setiap tahun para pelanggan akan menempah kira-kira 200kg kuah kacang.

"Ia menjadi istimewa kerana salah satu bahan membuatnya adalah dengan daging lembu agar rasanya menjadi lebih sedap. Tetapi untuk merasa kena lah tunggu hari raya kerana menu itu disediakan khas untuk waktu tersebut sahaja," kata bapa kepada dua orang cahaya mata itu.

Masjid impian Sultan Selangor

Posted:

Masjid impian Sultan Selangor

Masjid impian Sultan Selangor


MASJID Istana Diraja kaya dengan nilai-nilai artistik seni bina Melayu dan Islam.


WALAUPUN baginda puas meredah lautan dan menjelajah banyak negara, kepuasan yang lebih bermakna hanya diperoleh Sultan Sharafuddin Idris Shah selepas baginda membina sebuah masjid di Klang, Selangor enam bulan lalu.

"Semasa menjelajah ke luar negara khususnya Mesir, beta lihat banyak masjid yang cantik di sana. Jadi beta terfikir untuk mendirikan sebuah masjid seperti itu dengan memilih Istana Alam Shah di Klang sebagai lokasinya. Beta berharap masjid itu akan menjadi tempat untuk menyatukan kira-kira 1,000 ahli kerabat diraja Selangor," titah Sultan Selangor itu.

Dalam buku A Fulfilment: The Royal Palace Mosque, Sultan Sharafuddin menambah, membina masjid itu merupakan impian baginda yang telah lama terpendam.

"Ia ibarat kemuncak pencarian bagi kepuasan dalaman. Pada masa yang sama beta dapat meninggalkan warisan, tidak semestinya projek-projek mega negeri, memadai benda yang bermakna walaupun kecil," ujar baginda.

Lakaran arkitektur

Buku setebal 108 muka surat itu menjadi lambang idea murni Sultan Sharafuddin. Ia dibahagikan kepada empat bab dengan 39 tajuk kecil. Tidak kurang 100 keping gambar ruang dalam dan luar masjid disajikan kepada pembaca termasuk lakaran seni bina masjid itu sebelum kerja-kerja pembinaan dimulakan.

Membaca buku itu seolah-olah membawa pembaca ke tempat-tempat yang pernah baginda lawati. Menurut baginda, masjid itu menggabungkan seni bina Melayu, Turki, Mesir dan negara-negara Asia Barat lain.

Dibina bersebelahan Istana Alam Shah, Masjid Istana Diraja yang diilhamkan serta dibiayai sepenuhnya oleh Sultan Sharafuddin itu sarat dengan nilai-nilai artistik seni bina Melayu dan Islam.

Masjid bernilai RM9 juta itu mempunyai sebuah menara setinggi 36 meter dan empat buah pintu gerbang dengan pintu gerbang utamanya menghadap Istana Alam Shah. Jubin-jubin seni tangan dari Turki pula bagaikan memberikan sentuhan sempurna pada binaan gerbang itu.

Bagi menampakkan kelainan, permukaan kubah masjid diukir dengan corak geometri ringkas yang disusun secara seragam manakala di bahagian atas menara dihias dengan elemen murqanas, iaitu seni reka yang menerapkan corak berunsurkan Islam.

Sebagai kesinambungan kepada seni bina luarannya, pelbagai jenis kaligrafi ayat-ayat suci al-Quran ditempatkan di setiap penjuru dinding masjid.

Terdapat juga ukiran kayu di beberapa tempat seperti bahagian pintu utama dan mimbar bagi menyuntik elemen estetik Melayu.

Masjid terbuka

Lengkap dengan ruang untuk majlis akad nikah dan perkahwinan, masjid ini mengambil reka bentuk masjid-masjid lama di Kaherah, Mesir khususnya pada bentuk menara, kubah dan pintu gerbang.

Ia direka berkonsepkan masjid terbuka dengan ruang dalam bangunan kebanyakannya tidak dipisahkan oleh dinding bagi menggalakkan pengaliran udara segar di samping menjimatkan penggunaan alat pendingin hawa.

Pembinaan masjid yang berkeluasan 2,160 meter persegi itu mengambil masa selama dua tahun untuk disiapkan iaitu bermula dari Januari 2009 sehingga Mei lalu.

Tujuan utama pembinaannya adalah bagi mengeratkan hubungan silaturahim serta mengukuhkan tali persaudaraan antara waris-waris kerabat diraja Selangor.

Masjid ini juga dijadikan sebagai pusat ilmu tahfiz al-Quran yang dikenali sebagai Maahad Tahfiz Istana Alam Shah.

Pusat ilmu ini ditubuhkan bagi melahirkan ahli hufaz yang seimbang kejayaan mereka di dunia dan akhirat di samping memberikan manfaat kepada umat Islam.

Selain itu, ia juga berfungsi sama seperti masjid lain dan boleh digunakan oleh orang awam yang menghadiri majlis atau istiadat di Istana Alam Shah untuk menunaikan solat.

Bagaimanapun, solat Jumaat tidak dilakukan di sini berikutan lokasinya yang terlalu hampir dengan Masjid Suleiman Jamiur Rahmah yang dibina lebih 100 tahun lalu.

Berkat sekilogram tepung

Posted:

Berkat sekilogram tepung

Berkat sekilogram tepung

Oleh KHAIRIYAH HANAFI


WANITA ini mulanya tidak mempunyai asas untuk membuat kerepek.


SIAPA sangka di sebalik kejayaan wajah tua ini tersimpan seribu satu kenangan pahit yang pernah di tempuhinya dahulu?

Segalanya bermula dengan pantas sekitar tahun 1997 semasa Malaysia mengalami masalah kegawatan ekonomi yang teruk.

Kesusahan hidup yang dialami Siti Amanah Sidek, 57, membuatkan dirinya nekad untuk berkecimpung dalam dunia perniagaan.

"Kehidupan di Tanah Rancangan Felda memang terlalu susah pada waktu itu. Memang tidak sama dengan apa yang kita lihat sekarang.

"Dahulu hendak mandi pun kena angkut air di perigi atau sungai berdekatan. Rumah pula hanya beratapkan zink dan berdindingkan kayu cukup sekadar untuk berlindung daripada hujan dan panas.

"Tetapi sekarang semua sudah berubah. Pendek kata, buka mata sahaja siaplah semua," katanya memulakan bicara.

Membuka cerita mengenai kisah kehidupan silamnya, wanita yang selesa dipanggil Ummi itu berkata, dia memulakan perniagaan kerepek dengan hanya bermodalkan sekilogram tepung dan minyak sahaja.

Perniagaan yang diceburinya itu bermula dengan niat untuk membantu menjana pendapatan keluarga memandangkan suaminya hanya mengusahakan kebun kecil di belakang rumah.

Legasi perniagaan

Anak-anaknya pula pada waktu itu masih dalam alam persekolahan yang memerlukan perbelanjaan besar untuk membeli kelengkapan sekolah.

"Secara jujurnya, saya tiada asas dalam pembuatan kerepek. Saya belajar melalui pemerhatian terhadap kawan-kawan yang menjalankan perniagaan kerepek.

"Kemudian bila balik sahaja rumah, saya praktikkan apa yang saya nampak dan olah sedikit demi sedikit sehingga rasa kerepek itu ada," katanya kepada Jurnal.

Melalui fasa naik dan turun sama seperti pengusaha-pengusaha yang lain, dia mengakui bukan mudah untuk bertahan sehingga ke hari ini. Lebih-lebih lagi bagi insan sepertinya yang bukan datang daripada keluarga senang.

Malahan, penglibatannya dalam perniagaan kerepek ibarat bidan terjun yang hanya bermodalkan sekilogram tepung dan minyak.

"Dahulu masa baru-baru mula berniaga susah untuk saya dapatkan pelanggan. Sehari pun belum tentu ada kerepek yang terjual.

Perusahaan makanan

"Mana tidaknya, saya hanya menjual kerepek tepung biasa yang disira sambal. Orang lain pula bermacam-macam jenis dan rasa kerepek yang dijualnya," katanya.

Ibu kepada lima orang cahaya mata itu bagaimanapun tidak pernah kenal erti putus asa. Menurutnya, dia pernah menjaja di sekeliling kampung semata-mata untuk menjual kerepek.

Lima tahun kemudian kerepeknya mula mendapat sambutan, tetapi dia pula berdepan dengan masalah pengeluaran produk.

Ini kerana kerepek-kerepek tersebut dihasilkan tanpa penggunaan mesin ataupun tenaga kerja yang lain.

Namun segalanya berubah tiga tahun kemudian apabila dia mula mendapat bantuan daripada Jabatan Pertanian.

Bantuan tersebut membolehkan Ummi untuk mendapatkan bantuan dari segi perkakas membuat kerepek.

Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia tak siapa tahu. Siapa sangka, kesabaran menggunung Ummi membolehkannya melebarkan legasi perniagaannya. Daripada kerepek yang dibungkus menggunakan plastik lutsinar tanpa nama tetapi kini namanya menjadi jenama produknya.

Perusahaan Makanan Ummi kini merupakan satu produk makanan berasaskan kerepek yang dikenali di seluruh negeri Johor dan Singapura.

"Dahulu saya hanya mampu untuk menghasilkan sejenis kerepek sahaja dengan menggunakan tepung dan kemudian disira dengan sos pedas.

"Tetapi kini saya mampu menghasilkan pelbagai jenis kerepek seperti kerepek tiram, pagoda, ubi pedas dan cakar ayam," ujarnya.

Tambahnya, perniagaan yang bermodalkan sekilogram tepung itu membuahkan hasil apabila dia mampu menghasilkan beberapa jenis kerepek yang lain seperti kerepek bawang, ubi pedas, jejari pedas, selayang manis serta selayang pedas.

Perniagaan yang dahulunya hanya dilakukan di rumah berdindingkan papan dan beratapkan zink telah berakhir. Kini, ummi mempunyai kilang memproses kerepeknya sendiri dengan perkakas-perkakas canggih untuk tujuan perniagaan.

Jika dahulu dia membanting tulang seorang diri dan kadangkala dibantu oleh anak-anaknya, kini setelah hampir 15 tahun Ummi meneruskan legasi perniagaannya dengan mengupah seramai tujuh orang pekerja.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved