Sabtu, 3 November 2012

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Memancing ikan di hotel

Posted:

Memancing ikan di hotel

KATAKAN sahaja, apa tarikan yang terdapat di pekan kecil Sekinchan, Selangor. Makanan eksotik, kawasan sawah padi yang terbentang luas, pembuatan bedak sejuk secara tradisional, hasil laut serta buah-buahan segar dan banyak lagi.

Semua ini pasti menggamit kehadiran pengunjung ke kawasan luar bandar yang terletak kira-kira dua jam perjalanan dari Kuala Lumpur itu.

Kini, Sekinchan mempunyai satu lagi jenama baharu yang mampu dibanggakan iaitu Sekin Hotel & Resort milik usahawan tempatan, Datuk Jamal Md. Yunos. Nama restoran itu diambil daripada nama Sekinchan.

Resort yang dibuka pada Ogos lalu itu memanipulasi sepenuhnya perkampungan nelayan di situ dengan menukarnya menjadi satu produk pelancongan yang berdaya saing.

Lebih menarik lagi, pengunjung boleh membeli udang bersaiz XL pada harga RM50 sekilogram sahaja berbanding harga pasaran sekitar RM80 hingga RM100 daripada nelayan yang baru mendaratkan hasil tangkapan di jeti ikan yang terletak bersebelahan hotel tersebut.

Menurut Jamal, di Sekin Hotel juga terdapat Restoran Sekinchan Ikan Bakar yang sememangnya sudah terkenal di Lembah Klang.

Sejak cawangan pertama restoran itu dibuka di Setiawangsa, Kuala Lumpur pada tahun 2010, ia telah memiliki 18 cawangan setakat ini.

"Restoran ini membolehkan pengunjung menikmati makanan laut seperti ikan, udang dan sotong segar pada harga yang berpatutan," kata Jamal yang juga pemilik rangkaian restoran berkenaan.

Ujar usahawan berusia 40 tahun ini lagi, hasil laut itu dibeli secara terus daripada nelayan di Pantai Remis, Kuala Selangor dan Sekinchan di Selangor serta Hutan Melintang di Perak.

JARANG hotel dan resort yang menawarkan perkhidmatan memancing ikan dan memasaknya terus.


Pancing

Tutur Jamal dengan nada teruja, pengunjung boleh cuba memancing ikan di kolam yang terdapat di kawasan hotel itu. Kolam itu menempatkan kira-kira 50,000 ekor ikan jenis jelawat, tilapia serta patin.

"Dengan bayaran sebanyak RM15 untuk seorang pelanggan, mereka dibenarkan memancing dua ekor ikan pelbagai saiz.

"Harga itu termasuk upah memasak di restoran tidak kira masak kukus, pedas atau masam manis," katanya.

Penulis bertanya adakah boleh memancing lebih daripada dua ekor ikan, Jamal hanya tersenyum sambil menggeleng-gelengkan kepalanya.

Bagaimanapun, usah khuatir jika anda berfikir sukar untuk menaikkan ikan.

Dengan bilangan ikan yang begitu banyak, sebenarnya sangat mudah melakukannya walaupun pengunjung bukan kaki pancing, kata Jamal.

"Tekstur ikan segar itu begitu lembut serta manis isinya," kata Jamal yang berasal dari Kampung Sungai Leman, Sekinchan.

Selain itu, di sini terdapat menara tinjau yang jarang ditemui di hotel serta resort lain.

Menurut Jamal, pengunjung dapat menyaksikan pemandangan jajaran sawah padi, jeti nelayan, lautan serta pekan Sekinchan.

Ternyata, pemandangan dari menara itu cukup indah terutamanya pada waktu senja dan malam.

LAUTAN kaya dengan sumber alam yang tidak ternilai.


Menara besi setinggi 24 meter itu menyajikan pemandangan laut Selat Melaka yang merupakan laluan kapal paling sibuk di dunia di samping kehijauan sawah padi dan kedamaian perkampungan tradisional Melayu di situ.

Di aras puncak menara itu, diletakkan tiga buah meja bulat dan beberapa buah kerusi untuk pengunjung melepaskan lelah setelah mendaki kira-kira 100 anak tangga.

Alunan serta tiupan angin dari Selat Melaka pasti membuai perasaan.

"Walaupun pada waktu tengah hari dengan simbahan cahaya panas matahari, suhu di menara ini tetap dingin," katanya.

Kejar ayam

Tutur Jamal, tarikan lain yang terdapat di situ ialah perkhidmatan bot yang disewa khas untuk pengunjung.

"Ini membolehkan mereka merasai kehidupan sebagai nelayan dengan melihat aktiviti menjala dan memancing ikan.

"Malah, mereka boleh menikmati persekitaran laut yang luas dan indah," katanya.

Menurut Pengurus Jualan dan Operasi Sekin Hotel, Harun Anwar Zaini, 45, resort itu turut menyediakan aktiviti berkumpulan seperti makan di dalam talam, mengejar ayam kampung serta melihat cara penanaman padi.

MENARA tinjau setinggi 24 meter membolehkan pengunjung menyaksikan panorama sawah padi dan pekan Sekinchan.


"Biasanya kita makan sahaja ayam kampung dan nasi tetapi tidak mengetahui betapa sukarnya untuk membela ayam atau menanam padi.

"Aktiviti menangkap ayam kampung biasanya dilakukan pada waktu senja kerana haiwan itu rabun pada masa itu.

"Ada juga aktiviti menangkap ikan di lumpur sawah. Jangan terkejut kerana ia ditangkap dengan tangan kosong tanpa bantuan peralatan seperti jala atau tangguk," ujarnya.

Kata Harun, jarang orang bandar dapat menikmati sambal belacan serta ulam-ulaman kampung tetapi ia pasti ada di resort berkenaan.

"Pelancong asing juga ramai yang menyukai sambal belacan," ujarnya sambil ketawa.

Beliau memberitahu, hotel itu sedang merancang untuk membina kolam renang dan taman tema air.

"Kami bukan sahaja ingin menjadikan tempat ini sebagai lokasi percutian bahkan hab kepada pelbagai aktiviti seperti perkhemahan, permainan paintball dan karaoke," katanya.

Bomoh Aji tiduri isteri orang

Posted:

Bomoh Aji tiduri isteri orang

Oleh WARTAWAN Kosmo! Ahad

PAKU yang dibalut kain kuning, air kolah masjid dan akar sintok merupakan bahan-bahan pengubatan yang digunakan Aji. - Gambar hiasan


DI SEBALIK raut wajahnya yang tenang bagaikan seorang lelaki yang tinggi ilmu agama, siapa sangka dia sebenarnya bijak memperdayakan wanita demi memenuhi kepuasan seksualnya sendiri.

Dengan bermodalkan nama pengamal perubatan Islam yang mampu mengubati pelbagai penyakit, Halim, 60, meniduri pesakit-pesakit wanitanya dengan menggunakan sihir pengasih.

Menurut salah seorang mangsa, Maria, 44, Halim yang lebih dikenali dengan panggilan Aji dalam kalangan pesakitnya itu dipercayai membacakan jampi sihir ke atas pesakit wanita ketika dia mengurut ataupun memandikan mereka.

"Kejadian ini bermula apabila saya pergi berubat dengan Aji kerana saya menghidap sakit dada setelah dicadangkan oleh suami yang sememangnya mengenali bomoh tersebut.

"Bagaimanapun, pada keesokan harinya, saya secara tiba-tiba sering teringatkan wajah dan terbayangkan diri Aji," katanya ketika ditemui Kosmo! Ahad di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Gila bayang

Menurutnya lagi, dia tidak ubah seperti orang yang gila bayang dan angau kerana sentiasa terfikirkan tentang bomoh yang telah tujuh tahun menduda itu.

"Hati saya berasa tidak tenteram dan secara tiba-tiba timbul satu perasaan cinta yang kuat serta berahi yang membuak-buak untuk bersama dengan Aji.

"Semenjak itu, kami sering berbalas khidmat pesanan ringkas dan Aji dilihat semakin berani mengajak saya melakukan hubungan seks dengannya," ujar Maria ketika mengimbau peristiwa itu.

Jelasnya, hari demi hari hubungan mereka semakin intim sehinggalah Maria dengan rela hati menyerahkan tubuhnya kepada Aji.

Bagaimanapun, rahsia Maria terbongkar apabila adik iparnya yang juga rakan kepada Aji memberitahu suaminya tentang perbuatan terkutuk yang dilakukan Maria.

"Aji sendiri menceritakan tentang perkara ini kepada adik ipar saya memandangkan hubungan mereka agak baik.

"Mujurlah, suami dan anak-anak mengesyaki bahawa ada sesuatu yang tidak kena dengan diri saya dan mereka bertindak pantas dengan membawa saya berubat dengan seorang pengamal perubatan Islam terkemuka," ujarnya.

Tambah Maria, dia bersyukur kerana keadaannya semakin pulih selepas mendapatkan rawatan di sebuah pusat rawatan Islam di Gombak, Selangor.

"Secara beransur-ansur, perasaan sayang saya kepada Aji mulai berkurangan hingga saya dapat melupakannya," katanya yang tinggal berhampiran dengan rumah Aji.

Menurut Maria lagi, ketika hubungan terlarang itu berlaku dia sebenarnya berada dalam keadaan tidak sedar dipercayai akibat disihir oleh bomoh tersebut yang semata-mata mahu memuaskan nafsunya.

"Sejujurnya, saya langsung tiada niat untuk bermain kayu tiga dengan suami kerana segala yang berlaku antara saya dan Aji bukan atas kerelaan saya.

"Saya takut untuk membuat laporan polis kerana kekurangan bukti selain tidak mahu maruah keluarga tercalar," ujarnya.

Sementara itu, adik ipar Maria, Rosli, 39, mendedahkan, bomoh tersebut pernah memberitahunya bahawa dia mampu membuatkan sesiapa sahaja jatuh cinta kepadanya sebelum meniduri wanita itu.

"Saya pernah bertanyakan rahsia yang digunakan olehnya untuk memikat wanita, namun dia tidak mahu berkongsi dengan saya," jelas Rosli yang juga merupakan rakan kepada bomoh tersebut.

Difahamkan, sebelum ini Aji berpisah dengan bekas isterinya setelah lelaki itu ditangkap berkelakuan tidak senonoh dengan seorang pesakit wanita di rumah mereka.

"Tidak kiralah sama ada yang datang berubat itu anak dara, sudah berumah tangga mahupun janda, mereka pasti akan menjadi mangsa Aji," dakwa Rosli.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad ketika dihubungi Kosmo! Ahad berkata, perbuatan bomoh yang memukau mangsa sehingga melakukan hubungan seks dengan mangsa boleh didakwa di bawah Seksyen 376, Kanun Keseksaan kerana merogol.

MARIA mendakwa dia seperti tidak sedarkan diri semasa menjalinkan hubungan terlarang dengan bomoh Aji.


Jika disabitkan kesalahan, mereka boleh dipenjara tidak kurang daripada lima tahun dan tidak melebihi 20 tahun serta boleh disebat.

"Dalam hal ini, mangsa dinasihatkan tampil membuat laporan polis dengan segera bagi memudahkan pihak polis mengambil tindakan lanjut," katanya.

Bagi mendapatkan gambaran tepat mengenai kaedah rawatan yang digunakan oleh Aji, wartawan Kosmo! Ahad bertindak melakukan penyamaran dan berjumpa dengan bomoh tersebut baru-baru ini.

Hanya dengan satu panggilan telefon, penulis menyatakan hasrat untuk berjumpa dengan Aji di rumahnya pada sebelah malam kononnya untuk mengadu tentang masalah rumah tangga penulis yang diganggu pihak ketiga.

"Boleh sahaja datang ke rumah saya pada malam ini," suara Aji bersahaja dan tenang di hujung talian telefon.

Berseri-seri

Benarlah kata Maria, wajah Aji kelihatan berseri-seri seperti tidak dimamah usia. Wajahnya berbeza sekali daripada wajahnya yang penulis lihat dalam sekeping gambar yang tunjukkan Maria kepada penulis.

Bau minyak gamat menusuk rongga hidung sebaik sahaja penulis melangkah masuk ke dalam rumah pangsapuri yang sederhana besar itu.

"Saya baru lepas mengurut seorang pesakit yang datang dari Pahang tadi," beritahu Aji yang bagaikan dapat membaca fikiran penulis.

Aji tinggal sendirian di rumah itu. Sekali pandang, tiada apa yang pelik di situ. Aji pula mengenakan baju Melayu berserta kain pelikat dan kopiah putih di atas kepala. Dia kelihatan seperti seorang pengamal perubatan Islam yang tulen.

Setelah memperkenalkan diri, penulis yang datang bersama seorang rakan mula berlakon dan memberitahu masalah yang dihadapi.

"Kamu perlu datang semula dengan membawa tiga biji buah limau, sebotol air kolah masjid dan akar sintok untuk upacara memandikan kamu bagi membuang sihir yang telah dikenakan ke atas kamu," ujar Aji pantas selepas mendengar penjelasan penulis.

Ketika ditanya mengenai bacaan yang boleh diamalkan bagi mengelakkan suami daripada mendampingi wanita lain, Aji membacakan sepotong ayat yang tidak terdapat dalam al-Quran serta diragui maksudnya.

Dia turut mengarahkan penulis supaya sentiasa membawa paku yang diletakkan di dalam lipatan kain kuning ke mana-mana sahaja bagi menggagalkan sihir yang dikenakan ke atas penulis.

"Amalkan segala petua yang saya beritahu. Jangan lupa datang semula seorang diri untuk upacara mandi supaya rawatannya berkesan," pesan Aji. Lelaki ini seperti sangat berharap penulis akan datang bertemunya lagi secara bersendirian.

Ketika disoal mengenai rawatan untuk penyakit lain, Aji memberitahu yang dia boleh mengubati apa sahaja penyakit sama ada secara zahir mahupun batin.

"Saya hanya mampu berusaha, namun dengan izin Allah sahaja semua penyakit tersebut akan sembuh," ujar Aji yang bibirnya tidak terlepas daripada menyebut kalimah suci Allah.

Setelah hampir sejam berbual, penulis meminta diri untuk pulang sambil dihantar oleh bomoh itu sehingga ke muka pintu.

Riak wajahnya seperti menaruh harapan agar satu lagi mangsa baharu bakal masuk perangkap.

Hasseenah pantang lihat jerawat

Posted:

Hasseenah pantang lihat jerawat

Oleh SITI NOR AFZAN KASIMAN

BERTUKAR fokus ke bidang rawatan jerawat dan jeragat menjadikan Hasseenah lebih puas dalam memberi khidmatnya kepada pelanggan.


BERDEPAN dengan masalah jerawat serius sehingga muka bengkak-bengkil dek nanah pastinya merisaukan apatah lagi jika keadaan itu mencuri tumpuan mata-mata liar tatkala berada di tempat awam.

"Kalau saya terserempak dengan golongan sebegini, saya jadi tidak sampai hati.

"Pasti saya akan menegurnya, hulurkan kad dan pelawa individu tersebut ke klinik untuk dirawat," ujar pakar jerawat dan jeragat, Dr. Hasseenah Hassan, 46.

Tabiatnya itu sering mendapat reaksi berbeza daripada anak-anaknya apatah lagi jika mereka keluar bersama.

"Anak-anak sudah masak dengan dengan perangai saya. Bila kami keluar pada hujung minggu, awal-awal lagi mereka ingatkan saya supaya jangan suka-suka menegur muka orang yang berjerawat, barangkali anak-anak segan," selorohnya.

Berbeza pula dengan suaminya, Mazuki Ibrahim, 46, yang sangat menyokong kerjayanya.

"Kalau saya diam, pasti suami bertanya, tidak kasihankah melihat muka orang yang penuh dengan jerawat itu? Mungkin juga mereka sudah buntu dan tidak tahu harus ke mana untuk dapatkan rawatan.

"Mulanya saya segan juga hendak menegur, takut disalah anggap.

"Lama-kelamaan, selepas melihat kesungguhan suami yang ingin saya membantu golongan berjerawat kronik, saya mula berani menegur dan menghulurkan kad.

"Alhamdulillah, selepas menerima respons positif, saya jadi lebih bersemangat untuk mendekati mereka walaupun ketika berada di tempat awam," ujar anak kelahiran Kelantan ini.

Berpengalaman lebih 20 tahun sebagai pengamal perubatan bertauliah, Hasseenah percaya, keputusannya untuk bertukar bidang dan membuka klinik sendiri pada tahun 1997 tidak pernah silap.

Malah, graduan Perubatan dari Universiti Sains Malaysia ini optimis bidang rawatan jerawat dan jeragat sebenarnya sangat luas untuk terokai.

"Walaupun kedua-duanya merupakan masalah biasa yang dihadapi oleh kebanyakan orang, namun cara menanganinya berbeza.

"Ramai yang tidak tahu bagaimana cara mengurus jerawat dan jeragat dengan betul sebaliknya menganggap sebotol pembersih muka boleh menyelesaikan semua masalah di muka. Ini persepsi yang perlu diperbetulkan," katanya yang tidak lagi menjadi pengamal klinik kesihatan awam tetapi lebih menumpukan kepada bidang jerawat dan jeragat.

Impiannya untuk fokus kepada rawatan jerawat direalisasikan dengan penubuhan Klinik Jerawat dan Jeragat pada tahun 2006 di Shah Alam, Selangor.

Pesakit

Sepanjang penubuhan klinik tersebut, beliau telah berjaya membantu seramai lebih 800 pesakit jerawat.

Untuk memantapkan lagi kepakaran beliau dalam kedua-dua bidang rawatan, Hasseenah turut mengikuti beberapa kursus seperti Sijil Dermatologi Kedoktoran Keluarga anjuran Akademi Kedoktoran Keluarga Malaysia dan diploma daripada Akademi Pemulihan dan Perubatan Estetik Amerika (AARAM).

"Selain itu, saya juga banyak mendapat tunjuk ajar daripada bekas pensyarah saya, Dr. Ranjit Singh yang juga seorang pakar kulit di Subang Jaya dan Dr. Ko Chung Beng, seorang pakar kulit dari Klang," katanya yang melakukan beberapa kajian sendiri mengenai masalah jerawat dan jeragat.

Atas usaha dan kesungguhannya itu, Hasseenah kini bukan sekadar memberi rundingan dan rawatan bahkan beliau sudah berjaya mengeluarkan produk penjagaan, pencegahan serta rawatan bagi masalah jerawat dan jeragat.

"Produk-produk ini dihasilkan menggunakan formula saya sendiri. Untuk memastikan ia benar-benar selamat, saya akan mencuba produk ini terlebih dulu sebelum mengesyorkan pengambilannya kepada pesakit," katanya.

Selain berkongsi pengalaman dan pengetahuan melalui sesi rundingan dan rawatan, Hasseenah turut menghasilkan buku elektronik berjudul Rahsia Jerawat Terbongkar yang menjelaskan tentang rawatan dan pencegahan jerawat.

"Sejujurnya, tugas saya tidak hanya membersihkan muka pelanggan tetapi meningkatkan keyakinan dalam diri mereka.

"Ada pelanggan yang datang dengan muka bengkak-bengkil kerana nanah jerawat.

"Mereka bukan sahaja malu untuk berdepan dengan orang ramai tetapi terpaksa menanggung kesakitan lebih-lebih lagi apabila nanah tersebut pecah ketika mencuci muka.

"Sesiapa sahaja yang berada dalam keadaan sebegitu pastinya merasa tertekan, enggan melihat cermin, tidak mahu keluar rumah malah ada yang enggan menghadiri temu duga kerja gara-gara tidak yakin dengan penampilan diri.

"Namun, selepas menjalani beberapa siri rawatan dan mereka fokus kepada rejim penjagaan wajah seperti yang disyorkan, keadaan mereka bertambah baik, malah ada yang sudah boleh tersenyum di hadapan kamera. Lapang hati saya," kata ibu kepada Muhammad 'Izzat Amir Mazuki dan Nurin Batrisyia Mazuki ini.

Biarpun rutinnya sebagai ibu bekerjaya menuntutnya untuk meluangkan lebih banyak masa di klinik berbanding di rumah, Hasseenah tidak berkompromi tentang waktu hujung minggunya.

"Kalau diikutkan, memang ramai pelanggan yang ingin datang ke klinik pada hujung minggu, tetapi saya juga perlu masa bersama keluarga sekurang-kurangnya sehari dalam seminggu.

"Tiba sahaja hari Ahad, saya akan jadi isteri, ibu dan suri rumah. Saya akan ke dapur dan mengemas rumah memandangkan kami tidak mempunyai orang gaji.

"Saya juga akan tunggu pembantu rumah datang untuk menggosok baju kami anak beranak. Kalau nak tahu, dalam banyak-banyak kerja rumah, menggosok pakaian adalah kerja yang paling saya tidak suka," selorohnya.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved