Ahad, 4 November 2012

Kosmo Online - Negara


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Negara


10 anggota bomba disambar api

Posted:

10 anggota bomba disambar api

Oleh KHAIRI MOHAMAD
khairi.mohamad@kosmo.com.my

AZMI (kanan) melawat anggotanya yang parah ketika dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu semalam.



SEORANG anggota bomba berada dalam keadaan cemas setelah api menyambar pakaiannya di Kawasan Perindustrian Pengkalan Chepa, Kota Bharu semalam.


KOTA BHARU - Operasi memadam kebakaran oleh sepasukan anggota bomba di sebuah kilang tayar yang tidak beroperasi di Kawasan Perindustrian Pengkalan Chepa dekat sini bertukar malang apabila 10 orang daripada mereka mengalami kecederaan.

Kejadian tersebut berlaku kira-kira pukul 8 pagi semalam apabila sebuah tangki minyak silinder yang terletak di bahagian belakang kilang tersebut tiba-tiba meletup sehingga menyebabkan api menyambar anggota terbabit.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan, Azmi Osman memberitahu, ada empat tangki minyak silinder di tempat tersebut dengan dua daripadanya mengalami kebocoran dan terbakar dengan salah satu daripadanya meletup.

"Minyak silinder yang berada di dalam dua buah tangki tersebut bocor dan tumpah sebelum mengenai api yang masih menyala menyebabkan kebakaran menjadi marak sehingga api tersebut menyambar 10 anggota kita yang sedang berusaha memadamkan kebakaran.

"Tujuh daripada anggota yang cedera dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian manakala, selebihnya dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II, dekat sini. Lima daripada mereka melecur dengan agak serius," katanya ketika ditemui semalam.

Katanya, kejadian itu berlaku ketika operasi memadam kebakaran tersebut hampir selesai.

Sebelum itu, pihaknya telah menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 8.11 pagi dan seramai 39 pegawai dan anggota bersama lima buah jentera dari Balai Bomba Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Darulnaim dan Tunjung telah dikejarkan ke tempat kejadian.

Menurut Azmi, antara kecederaan yang dialami anggotanya ialah melecur pada muka, tangan, leher dan badan.

Pegawai dan anggota bomba yang mengalami kecederaan serius ialah Pegawai Kanan Bomba I (PBK I), Abdullah Din Mohamed; PBK II, Nazah Nafi; Pegawai Bomba (PB), Wan Asri Wan Yaacob, PB Zulkifli Mahmad dan PB Abdul Razak Abdullah.

Sementara itu, lima lagi yang mengalami kecederaan ringan dan dirawat di Unit Pesakit Luar ialah Penguasa Bahagian Operasi Bomba dan Penyelamat Kelantan, Shahrin Yusmar Mat Yusoff, PB Mohd. Zakee Daud, PB Rohanizam Othman, PB Mohd. Fathir Mohd. Jusoh dan PB Mohd. Shaiful Fitri.

Sementara itu, pemilik kilang berkenaan, Ong Cheok Hong, 38, berkata, beliau dimaklumkan mengenai kejadian tersebut oleh pekerjanya kira-kira pukul 8.10 pagi dan terus menghubungi bomba untuk mendapatkan bantuan.

Jelasnya, gudang tersebut sebelum ini digunakan untuk aktiviti mencelup tayar terpakai sebelum operasi kilang tersebut dipindahkan ke Lembah Klang sejak beberapa bulan lalu dan gudang tersebut kini hanya dijadikan pusat servis tayar sahaja.

"Ketika ini saya hanya mempunyai lima orang pekerja dan kesemua mereka tidak mengalami kecederaan," ujarnya.

Produk ayam syarikat terkenal diuji di makmal

Posted:

Produk ayam syarikat terkenal diuji di makmal

Oleh NOOR HASLIZA NUSI
dan MULLER ASEN
berita@kosmo.com.my

GEORGE TOWN – Operasi sebuah syarikat pengeluaran produk makanan sejuk beku dan ayam segar terkenal di negara ini mungkin dihentikan jika ujian makmal oleh Kementerian Kesihatan terhadap produk daging ayam keluaran syarikat terbabit didapati mengandungi antibiotik yang diharamkan.

Menterinya, Datuk Seri Liow Tiong Lai (gambar) berkata, pihaknya sudah dimaklumkan mengenai dakwaan terdapat antibiotik yang dikenali sebagai Chloramphenicol pada produk ayam syarikat itu dan kini sedang menunggu keputusan ujian yang dilakukan oleh Bahagian Makanan kementerian tersebut.

Menurutnya, siasatan awal dibuat dan telah dihantar ke makmal apabila penemuan antibiotik itu dalam daging ayam dikesan oleh pihak veterinari di Sarawak baru-baru ini.

"Hanya stok yang dikenal pasti itu telah ditarik balik daripada pasaran sebagai langkah keselamatan. Saya tengah tunggu laporan makmal yang dijangka siap dalam tempoh terdekat untuk mendapatkan kepastian sebelum keputusan lanjut dibuat.

"Siasatan akan dijalankan secara menyeluruh termasuk mengesan bagaimana bakteria itu boleh terkandung di dalam produk daging ayam tersebut," katanya pada satu sidang akhbar ketika mengadakan lawatan rasmi ke Hospital Pulau Pinang (HPP) di sini semalam.

Chloramphenicol merupakan sejenis antibiotik yang berfungsi untuk menghalang pertumbuhan bakteria selain digunakan untuk merawat pelbagai jangkitan mata pada manusia.

Kewujudan antibiotik tersebut pada ayam bagaimanapun dikatakan boleh memberi kesan sampingan kepada orang ramai yang memakannya seperti muntah, cirit-birit dan sakit kepala.

Beliau mengulas langkah kerajaan negeri Sarawak pada Khamis lalu yang mengeluarkan larangan import produk berkenaan berkuat kuasa serta-merta selepas satu ujian menemui antibiotik Chloramphenicol.

Sementara itu, di Kuching, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Rohani Abdul Karim memberitahu, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk menarik balik produk makanan sejuk beku dan ayam segar keluaran sebuah syarikat terbabit di pasaran jika dakwaan penggunaan antibiotik berkenaan disahkan.

Menurutnya, ketika ini pihaknya belum lagi menerima sebarang kenyataan rasmi daripada Kementerian Kesihatan atau Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani berhubung dakwaan itu.

"Jika benar dakwaan itu, kita tidak akan teragak-agak mengambil tindakan ke atas pembekal ayam segar sejuk beku dan produk ayam tersebut," katanya di sini semalam.

Cucu saksi nenek dibunuh

Posted:

Cucu saksi nenek dibunuh

Oleh NORHAYATI YAHAYA
norhayati.yahaya@kosmo.com.my

ORANG ramai berkumpul di rumah tempat Sadariah ditemui mati akibat dibunuh dua penyamun yang memecah masuk rumahnya di Sabak Bernam semalam.


SABAK BERNAM – Seorang calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) melalui pengalaman paling sukar dalam hidupnya apabila menyaksikan bagaimana neneknya dibunuh oleh dua penyamun yang memecah masuk rumah kedai warga emas itu di Jalan Parit 6 Timur, Sungai Besar di sini semalam.

Mohd. Hafizul Azuan Mohd. Aznan, 17, masih tidak dapat melupakan tragedi yang meragut nyawa Sadariah Tohbasar@Ahmad, 65, walaupun perompak hanya memasuki rumah mereka selama 10 minit sebelum melarikan diri bersama bekas berisi barang kemas dan wang RM500.

Mohd. Hafizul tinggal bersama keluarganya di Sungai Besar, dekat sini dan hanya menemani Sadariah pada setiap hujung minggu.

Sadariah merupakan bekas guru Jabatan Kemajuan Masyarakat dan mengusahakan perniagaan menjahit pakaian sejak kematian suaminya tujuh tahun lalu dan tinggal sendirian.

Mengimbau semula kejadian pada pukul 4.45 pagi itu, Mohd. Hafizul memberitahu, dia yang sedang tidur di ruang tamu bersama neneknya terjaga selepas merasakan tubuhnya dihempap sesuatu dan mukanya ditumbuk.

Katanya, perompak bertopeng itu kemudian mengacukan parang di lehernya dan mengarahkannya supaya diam manakala seorang lagi menumbuk muka neneknya kerana menjerit sebelum ditekup dengan bantal.

"Penjenayah kemudian mengarahkan saya masuk ke dalam bilik untuk mencari barangan berharga sebelum saya yang ketakutan menyerahkan satu bekas berisi barang kemas termasuk cincin dan gelang emas serta wang RM500.

"Selepas itu, saya dibawa keluar dari bilik dan melihat muka nenek masih ditekup. Penjenayah kemudian mengikat tangan dan kaki kami dengan tali manakala mulut nenek diikat dengan tuala good morning selain mukanya ditutup dengan selimut," cerita pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Besar itu.

Tambahnya, selepas melepaskan ikatan sebaik penyamun itu melarikan diri, dia telah menghampiri Sadariah sebelum mendapati warga emas itu tidak lagi bernyawa.

Menurut Mohd. Hafizul, dia kemudian memaklumkan kejadian itu kepada seorang jiran yang baru pulang dari menonton perlawanan bola sepak Liga Sepanyol di sebuah restoran.

"Kedua-dua penjenayah itu bertubuh kurus dan tinggi serta bertopeng dan memakai sarung tangan. Perompak hanya mengeluarkan tiga patah perkataan iaitu diam, ambil barang dan bergerak," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Noor Mushar Mohamad berkata, berdasarkan kenyataan cucu mangsa, siasatan awal mendapati warga emas itu mati akibat lemas selepas mukanya ditekup dengan bantal.

"Ketika kejadian, mangsa dipercayai sedang memasak kuih dan mengukus roti untuk dijual di kedai berhampiran. Kita percaya Sadariah menjadi mangsa selepas dia menjerit manakala cucunya terselamat kerana dia diam dan tidak melawan," ujarnya yang masih belum membuat sebarang tangkapan.

Sehubungan itu, polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian tersebut supaya menghubungi Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Daerah Sabak Bernam, Asisten Superintendan Masri Md. Hassan di talian 03-322 42613 bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, polis menahan seorang lelaki berusia 24 tahun di Tanjung Malim, Perak pada pukul 4 petang semalam bagi membantu siasatan.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved