Selasa, 27 November 2012

Kosmo Online - Infiniti


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Infiniti


Pembinaan bersifat mesra alam

Posted:

Pembinaan bersifat mesra alam

Pembinaan bersifat mesra alam

Oleh KHADIJAH MOHAMAD NOR

PELUANG meneroka keseluruhan bangunan Wisma Shell yang terletak di Jalan Teknorat, Cyberjaya, Selangor memberi satu pengalaman mengujakan.

Menikmati keindahan reka bentuk dan teknologi yang diguna pakai dalam pembinaan bangunan hijau tersebut membuatkan hati berkata-kata, 'Alangkah seronoknya jika dapat bekerja dalam suasana sedemikian rupa.'

Suasana menghijau tanaman hasil tumbuhan hiasan di dalam laman bangunan itu membangkitkan rasa damai dan tenang di hati. Malah, deruan air dari kolam berhampiran laman tersebut yang dipenuhi air hujan kitar semula turut menarik perhatian mata yang memandang.

Di samping itu, pengudaraan dan pencahayaan semula jadi yang menjadi teras terhadap rekaan bangunan tersebut dilihat amat berkesan terutama mengurangkan penggunaan tenaga cahaya.

Justeru, tidak hairanlah jika ia berjaya meraih penarafan emas Kepimpinan dalam Rekaan Tenaga dan Alam Sekitar (LEED) mengikut piawaian hijau Amerika Syarikat (AS) pada Februari 2011. Penarafan itu diberikan oleh Majlis Bangunan Hijau AS yang merupakan pengiktirafan berprestij di peringkat antarabangsa.

Anugerah itu sekali gus menjadikan Wisma Shell sebagai bangunan hijau pertama di Malaysia yang berjaya memperoleh pengiktirafan sedemikian.

Analisis data

Pengarah Architects 61 Sdn. Bhd., Jeffrey Ling berkata daripada rekaan seni bina sehingga memasuki proses pembinaan, semua yang dilakukan bersifat mesra alam.

"Hakikatnya, pembinaan ini adalah satu pencapaian yang menggabungkan bukan sahaja tahap perancangan seni bina dan reka bentuk tetapi juga bantuan teknologi maklumat turut menjadi faktor kejayaan pelaksanaan bangunan hijau ini.

"Kami menggunakan penyelesaian Autodesk BIM, berdasarkan platform perisian Autodesk Revit. Melalui penggunaan set peralatan ini, pasukan kami mampu untuk mengumpul dan menganalisis data berkaitan konsep kemampanan.


BANGUNAN Wisma Shell yang mendapat penarafan emas LEED tersergam indah di Cyberjaya sekali gus menjadi contoh pembangunan hijau di Malaysia.


"Ia membolehkan kami mengekalkan wawasan dalam reka bentuk hijau dan proses visualisasi semasa perancangan yang kemudian diteruskan dengan aspek pembinaan," ujar Jeffrey ketika ditemui Kosmo! sewaktu lawatan media ke Wisma Shell baru-baru ini.

Tambah beliau, reka bentuk bangunan telah mencapai sasaran pengurangan lebih 50 peratus bagi penggunaan tenaga keseluruhan berbanding dengan penggunaan tenaga purata bangunan pejabat di Malaysia.

Kitar semula

"Sebanyak 34 peratus daripada bahan binaan yang digunakan oleh kos bagi pembangunan kandungan bangunan dikitar semula dan 47 peratus daripada bahan-bahan dengan kos adalah daripada sumber tempatan dan serantau.

"Ia bertujuan untuk mengurangkan kesan terhadap alam sekitar yang terhasil daripada faktor pengangkutan. Sebagai tambahan, sebanyak 75 peratus sisa binaan telah dialih daripada tapak pelupusan," jelas beliau.

Turut dikenali sebagai Bangunan Lestari Kumpulan Emkay (BLKE), pembinaan bangunan tersebut menelan belanja RM120 juta dan ia berjaya disiapkan dalam tempoh 12 bulan termasuk mendapat kelulusan Sijil Layak Menduduki (CF).


TEMPAT meletak kenderaan turut disediakan tong sampah kitar semula.


Merangkumi dua bangunan pejabat setinggi lima tingkat berkeluasan 31,038 meter persegi, ia dibina di atas tanah seluas hampir dua hektar yang terletak berhampiran dengan bangunan HSBC, IBM, Ericsson dan Emirio di Cyberjaya.

Antara kemudahan yang disediakan termasuklah tiga aras tempat letak kereta bawah tanah yang menggunakan pengudaraan semula jadi dan mempunyai tiga stesen pengecaj semula untuk kereta elektrik serta dan landskap taman di bahagian bumbung.

Kolam bawah tanah

Selain itu, terdapat juga gimnasium untuk pekerja beriadah, kafeteria, pusat jagaan kanak-kanak, pejabat pengurusan dan kedai jualan untuk kemudahan kakitangan.

Menurut Jeffrey, sistem penilaian LEED berasaskan enam kategori seperti tapak yang mampan, penggunaan air secara cekap, guna tenaga dan persekitaran, penggunaan bahan dan sumber, kualiti persekitaran dalaman dan reka bentuk inovatif.

"Wisma Shell mempunyai kolam bawah tanah dan tangki penakungan air hujan selain bumbungnya dicat dengan cat pemantul bagi mengurangkan haba. Malah, bangunan itu turut dilengkapi sensor cahaya dan pergerakan bagi mengurangkan cahaya tercemar.

"Kami juga mengaplikasi sistem pendingin hawa dari bawah lantai yang memberi kesan penyejukan lebih cekap dan berterusan. Bagi mengurangkan haba, kami menggunakan cermin dwi-lapis low E-glazing manakala penggunaan lampu T5 electronic ballast mampu menjimatkan tenaga," terang Jeffrey.

Apa yang pasti, bangunan ini juga mempunyai sensor untuk karbon dioksida dan sensor untuk pengudaraan luar. Melalui pemasangan lapik perangkap kotoran di setiap bilik pula, ia berupaya untuk mengawal pencemaran yang masuk ke dalam dewan.


JIKA penat dan letih-letih badan, kerusi urut elektrik boleh digunakan pada bila-bila masa.


Sementara itu, Pengurus Negara Autodesk Asia Pte. Ltd, C.S Tan berkata, penggunaan proses penyelesaian Building Information Modelling (BIM), berdasarkan pada model yang dicipta dengan Autodesk Revit Architecture dan Autodesk Revit Structure memudahkan proses rekaan dan pembinaan.

"BIM bukan hanya mengenai menggambarkan idea, tetapi membantu menukar konsep yang baik kepada yang lebih baik dan rekaan yang boleh dibina.

"Selain itu, setiap perubahan reka bentuk walaupun sedikit mempunyai implikasi yang pelbagai. Jadi, para arkitek perlu pantas memeriksa dan menilai senario reka bentuk berganda. Melalui penggunaan Autodesk Revit, ia membolehkan mereka membuat perubahan dengan lancar dan berkesan sekali gus menjimatkan lebih banyak masa dan kos," kata Tan.

Projek Syurga dalam struktur kubah

Posted:

Projek Syurga dalam struktur kubah

Projek Syurga dalam struktur kubah


PARA pelawat bersiar-siar dalam kubah gergasi yang menempatkan persekitaran tropika.


DARI jauh, struktur kompleks kubah yang terletak di St. Austell, Cornwall, England amat menarik perhatian sementara di dalamnya pula suasana kedamaian tropika dihidupkan di segenap ruang.

Dibiayai Kesatuan Eropah (EU), lokasi Eden Project atau Projek Syurga itu jauh terpisah dari kekacauan politik blok ekonomi di rantau tersebut.

Ia merupakan salah satu tarikan pelancong terkenal tetapi hanya segelintir yang mengetahui tentang binaan berbentuk buih tersebut yang menjadi 'rumah' untuk sebuah biom.

Biom atau lebih kerap disebut sebagai ekosistem merujuk kepada kelompok haiwan, tumbuhan dan organisma tanah yang hidup dalam iklim sama di kawasan geografi yang luas.

Dibina di atas bekas kawasan tanah liat di daerah barat daya England, tarikan tersebut telah membawa berjuta-juta pelawat setahun bagi menikmati suasana tropika dan flora beriklim sederhana dari seluruh dunia.

Herba dan sitrus

Di ruang Biom Mediterranean, suasananya dilatari bunyi kicauan burung dan aliran sungai. Bau pelbagai herba dan buah-buahan sitrus juga memenuhi udara musim panas di dalamnya, sedangkan di bahagian luar kompleks sangat sejuk dan berkabus pada bulan November ini.

Sementara itu di Biom Hutan Hjan, yang merupakan hutan terbesar di dunia dalam kurungan, sebuah platform kanopi untuk meninjau pemandangan dibina untuk laluan pengunjung. Di ruang itu, kandungan kelembapan mencapai 92 peratus manakala suhu boleh mencecah hingga 45 darjah Celsius.

Berdekatan air terjun, terdapat reban ayam tropika di bawah pokok palma daun kipas yang beropol-ropol. Sementara itu, hujan yang terhasil daripada pemeluwapan turun dari bumbung plastik lut cahaya.

Dibuka pada bulan Mac 2001, Eden Project menerima lebih kurang £30 juta (RM146.54 juta) daripada dana EU. Tanpa duit itu, projek tersebut tentu sukar untuk dijayakan.

"Ia mungkin menjadi projek yang lebih kecil. Sejujurnya, saya tidak menjangka dapat meneruskan projek sebegini besar," kata pengarah pembangunan projek itu, Dan James mengenai projek itu yang dianggarkan mampu merangsang ekonomi sehingga £1.2 bilion (RM5.86 bilion).

Eden Project telah mendapat manfaat daripada dana pembangunan EU. yang mengkategorikan Cornwall, sama seperti Bulgaria, Romania dan selatan Sepanyol sebagai tempat-tempat paling miskin dalam blok 27 negara itu.

Pelaburan itu menampakkan hasil memandangkan projek tersebut menggajikan 500 orang pekerja dan menjana kira-kira 2,000 jawatan kerja sampingan untuk penduduk tempatan.

Pihak Eden Project berharap agar ia terus mendapat biaya EU sepanjang tahun bajet 2014 hingga 2020 untuk pelaburan ruang pameran baharunya, HOW2, yang mempamerkan teknologi mapan.


PLATFORM kanopi peninjau yang melintasi bahagian dalam kubah.


Belanjawan itu masih belum dipersetujui, namun ia diramal akan menjadi subjek hangat antara para pemimpin EU ketika bersidang di Brussels.

Terletak jauh di pedalaman, Cornwall yang hanya berpopulasi seramai kira-kira 535,000 orang mempunyai pemandangan yang sangat cantik.

Pengangkutan kereta api ke London mengambil masa sehingga lima jam yang mempunyai jarak sejauh lebih kurang sama dengan Dublin atau Paris.

Industri perlombongan bijih timah yang suatu ketika dahulu sangat terkenal tiba-tiba terhenti menyebabkan penduduk Cornwall terdesak untuk meneruskan kehidupan.

Campur tangan

Kemudian, EU campur tangan dengan menyumbangkan dana berperingkat lebih £900 juta (RM4,397 juta) pada tahun 1994.

Faedah-faedah lain yang dinikmati penduduk di situ termasuklah pembinaan Lapangan Terbang Newquay yang merupakan laluan udara bagi menghubungkan London dan Manchester.

Begitu juga dengan restoran milik chef selebriti, Jamie Oliver, Fifteen, yang memberi latihan kulinari kepada remaja yang kurang bernasib baik.

Tidak ketinggalan, kampus pendidikan tinggi Tremough, di Penryn turut dibina.

Tremough menjadi kampus pusat bagi enam buah kolej dan universiti. Ia mempunyai 4,000 orang pelajar.

Sebahagian daripada sumbangan dana Cornwall turut digunakan untuk menyiapkan rangkaian jalur lebar terpantas di kawasan pedalaman terbesar di Eropah itu.

Komuniti pertama yang mendapat sambungan internet adalah pada Januari 2011 dan dijangka meningkat sehingga 80 peratus pada tahun 2014 dengan kelajuan sehingga 100 megabait per saat.

Pengurus program tersebut, Julian Cowans berkata, manfaat sudah boleh dilihat kini dengan banyak syarikat dan penduduk sudah boleh melakukan pelbagai perkara dalam talian berbanding sebelumnya.

"Kami telah keluar daripada masalah serba kekurangan di sini. Perniagaan sektor teknologi maklumat kini boleh bersaing di peringkat global," katanya. - AFP

Ketuhar pintar OmniPro

Posted:

Ketuhar pintar OmniPro

Ketuhar pintar OmniPro


PROSES membersih dibuat secara automatik dengan hanya menekan butang.


MEMASAK sememangnya amat melecehkan, memanggang dan mengukus merupakan dua kaedah yang berbeza serta memerlukan alatan yang berlainan.

Ketuhar gelombang mikro Samsung OmniPro baharu mungkin dapat menyelesaikan masalah mereka yang gemar mencuba pelbagai jenis makanan tetapi kurang arif mengenai cara memasak.

Mempunyai fungsi pelbagai gaya masakan, setiap makanan hanya perlu ditetapkan setting memasak sama ada panggang, bakar, salai ataupun kukus dengan mudah.

Paling inovatif mengenai OmniPro ialah teknologi OmniSense yang dapat mengira berat dan mengesan tahap kelembapan pada bahan makanan yang diletakkan dalam ketuhar itu.

Melalui berat, tahap kelembapan dan tetapan gaya masakan yang dikehendaki, OmniPro secara pintarnya dapat menentukan jumlah masa yang diperlukan supaya masakan tersebut sedia untuk dihidang.

Direka menggunakan reka bentuk anggun, OmniPro disertakan dengan paparan teks LCD yang memberikan panduan memasak langkah demi langkah dalam lapan bahasa.

Teknologi pembersihan

Pintu ketuhar pula dibuat dengan bukaan ke bawah supaya OmniPro lebih fleksibel untuk diletakkan di mana-mana di bahagian dapur tanpa mengira susun atur.

Membersihkan peralatan memasak turut menjadi masalah kepada ramai orang kerana umum mengetahui ia terlalu leceh. Perkara itu juga tidak menjadi halangan jika menggunakan OmniPro.

Ketuhar tersebut mempunyai teknologi pembersihan stim, bahagian dalam OmniPro boleh dibersihkan dengan mengelap sahaja selepas proses pembersihan sendiri selesai. Tidak terlalu rumit, proses membersih dibuat secara automatik dengan hanya menekan butang.

Bahagian dalamnya juga diperbuat daripada bahan seramik yang tahan calar sekali gus mengelakkan pembiakan bakteria atau kuman berbahaya.

Selain itu, OmniPro boleh nyahfros makanan beku dan turut dilengkapi dengan pelbagai aksesori masakan. Tidak perlu risau mengenai kesesuaian pemakaian barang kerana ketuhar itu boleh memberi arahan melalui tetapan yang diberikan.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved