Selasa, 13 November 2012

Kosmo Online - Infiniti


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Infiniti


Inovasi robot ciptaan pelajar

Posted:

Inovasi robot ciptaan pelajar

Inovasi robot ciptaan pelajar

Oleh KHADIJAH MOHAMAD NOR

COMEL. Itu perkataan pertama yang tergambar di fikiran apabila melihat sebuah robot kecil berwarna biru dengan mata besarnya yang bulat. Dihasilkan oleh pelajar dari Saint Petersbug, Rusia, ia diberi nama Eyesbot.

Menurut Arina Rossomakhina, 14, robot itu mesra dan pandai bergaul. Ia boleh berkomunikasi dengan manusia melalui gerakan yang dibuat terhadap matanya.

"Ini adalah robot kecil asing yang muncul di bumi secara kebetulan. Ia telah dilupakan oleh makhluk asing yang membawanya datang ke planet kita," tutur Rossomakhina dalam nada gurauan.

Eyesbot merupakan salah satu robot yang menyertai Kejohanan World Robot Olympiad (WRO 2012) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Sunway Pyramid bermula 9 hingga 11 November lalu.

Sebanyak 405 pasukan dari 30 buah negara menyertai kejohanan yang mencatat sejarah dari aspek penyertaan terbesar sejak ia pertama kali diadakan pada tahun 2004 di Singapura. Ini diikuti Thailand pada 2005, China (2006), Taiwan (2007), Jepun (2008), Korea (2009), Filipina (2010) dan Emiriyah Arab Bersatu (2011).

Penyertaan secara besar-besaran itu membuktikan bahawa WRO berjaya meningkatkan minat dalam kalangan pelajar terhadap bidang sains, teknologi, robotik serta teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).


PARA pengunjung WRO 2012 teruja melihat salah sebuah inovasi robot yang dihasilkan oleh peserta pertandingan.


Selain itu, kejohanan tersebut membolehkan peserta mendapatkan pelbagai dimensi pengetahuan melalui penggunaan teknologi inovatif dan penyelesaian masalah kreatif. Lebih daripada itu, ia juga platform terbaik untuk menyediakan pelajar yang mampu menghadapi cabaran global dalam abad ke-21.

Peningkatan minat

Perkara itu diakui oleh David Gilday, 48, pakar robotik Mindstorms yang ditemui Kosmo! pada kejohanan tersebut. Ujar Gilday, secara keseluruhan penganjuran WRO mampu menyuntik rasa teruja untuk kanak-kanak dan para pelajar untuk mendalami bidang berkenaan.

"Ini kali pertama saya datang ke Malaysia. Tetapi, respons yang diterima terutama pengunjung cilik yang datang ke booth kami sangat hebat. Mereka begitu seronok melihat robot kami yang dicipta untuk menyelesaikan masalah kiub rubik dengan pantas.

"Saya percaya, pertandingan sebegini berjaya melahirkan semangat kerjasama yang tinggi untuk menghasilkan ciptaan terbaik dan praktikal," kata Gilday merangkap Ketua Jurutera Bahagian Pemprosesan ARM Ltd., sebuah syarikat seni bina dunia digital yang berpangkalan di United Kingdom.

Sementara itu, Pengarah Urusan Sasbadi Sdn. Bhd., Law King Hui berkata, dalam persekitaran kini yang sentiasa berkembang pantas, dunia memerlukan seseorang yang mempunyai tahap kemahiran yang membolehkan mereka menyelesaikan masalah kompleks dan rumit.

"Inilah tanggungjawab pendidikan masa kini iaitu untuk menyediakan pelajar yang kreatif dan berinovasi dalam pelbagai aspek kehidupan," ungkap King Hui.


SALAH satu daripada kumpulan yang mewakili Malaysia iaitu SMK Seri Bintang, Kuala Lumpur berentap dalam kategori terbuka sekolah menengah rendah.


Setiap pasukan yang diwakili tiga peserta akan bersaing dalam tiga kategori berbeza iaitu Regular, Open dan GEN II Football.

Bagi kategori Regular, peserta perlu mencipta robot yang diprogram untuk melengkapkan beberapa siri ujian. Setiap pasukan dibahagi kepada tiga kumpulan umur dengan acara berbeza iaiatu Robot Organizer for Elementary School (sekolah rendah), Robot Columbus for Junior High School (menengah rendah) dan Robot Van Gogh for Senior High (menengah atas).

Untuk kategori Terbuka pula, peserta dikehendaki menyiapkan penyelesaian robotik tersendiri berdasarkan tema spesifik iaitu Robots Connecting People manakala kategori GEN II Football menyaksikan pertandingan robot yang diprogram seperti permainan bola sepak.

Pamer inovasi

Antara negara yang bertanding termasuklah Afrika Selatan, Australia, Bahrain, Brunei, China, Costa Rica, Denmark, Filipina, Jerman, Ghana, Greece, Hong Kong, India, Indonesia, Iran, Jepun termasuk negara tuan rumah.

Salah satu wakil Brunei adalah dari Sekolah Rendah Muhammad 'Alam Legion hadir dengan projek yang dinamakan The School District Package Organizer yang bertanding dalam kategori Regular, Robot Organizer.

Jurulatihnya, Boby Zakri Abdul Hamid, 34, memberitahu, projek yang dicipta seperti sistem sebuah kilang mini tersebut mengambil masa selama enam minggu untuk disiapkan.


SEBAHAGIAN peserta tidak melepaskan peluang menonjolkan kehebatan robot ciptaan masing-masing pada Kejohanan WRO 2012 baru-baru ini.


WRO merupakan kemuncak kepada Pertandingan Robotik Kebangsaan yang dianjurkan sejak 2005 oleh Kementerian Pelajaran dengan kerjasama Sasbadi Sdn. Bhd. dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi menerusi program perkongsian pintar antara kerajaan dan swasta.

Tahun ini Malaysia diwakili oleh 56 buah pasukan yang bertanding dalam pelbagai kategori.

Penaja global WRO 2012 adalah Lego Education, National Instruments dan HiTechnic manakala penaja lain termasuklah Sunway Group, Motorola Solutions Foundation, Permodalan Nasional Berhad, Maxis Berhad, The Instituition of Engineering & Technology Malaysia dan UMW Toyota Motor Sdn. Bhd.

Kejohanan ini telah dirasmikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Sabtu lalu.

Penganjuran WRO 2013 pula akan berlangsung di Jakarta, Indonesia. Untuk maklumat lanjut berkaitan kejohanan tersebut, layari laman web www.wroboto.org.

Tomato ceri tanah rata

Posted:

Tomato ceri tanah rata

Tomato ceri tanah rata

Oleh ADLAN JAAFAR


TOMATO ceri yang ditanam di tanah rata juga boleh bersaing dengan kualiti tomato ceri dari tanah tinggi.


AZMI MOHAMED, 32, akan bangun setiap hari seawal pukul 6.30 pagi untuk ke tapak Tanaman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) yang terletak di Serdang, Selangor.

Seperti biasa, setiap pagi dan petang, lelaki yang berasal dari Kelantan itu mengharapkan hasil terbaik dari tanamannya. Perkara yang membuatkannya gembira sewaktu hendak memetik hasil itu tentunya apabila melihat gugusan tomato ceri yang ranum berjurai di tangkai pokoknya.

Pokok-pokok yang subur dalam polibeg itu nyata terjaga dengan baik hinggakan hampir 95 peratus buahnya dikategori sebagai gred A.

Tomato yang telah dipetik itu dapat dijual pada harga antara RM2.50 hingga RM3 bagi setiap satu bungkusan yang mempunyai berat kira-kira 250 gram.

Bagi mereka yang biasa melihat kebun tomato ceri di tanah tinggi, tentu sukar untuk percaya tentang pencapaian Azmi dan tenaga kerjanya yang lain. Selalunya, tomato ceri yang ditanam di tanah rata hanya membuahkan hasil gred A lebih kurang 75 peratus.

Bebas racun

Azmi yang mengusahakan ladang secara berseorangan mengusahakan tanaman di situ dengan menggunakan teknik yang dipelajari ketika menyertai program inkubator anjuran Jabatan Pertanian Serdang (JPS).

Ditanam di dalam struktur khas untuk pertanian, kebun Azmi itu tidak menggunakan sebarang racun serangga mahupun baja kimia.

Bagi mengawal serangan makhluk perosak, dia menggunakan bahan seperti minyak neem (Azadirachta indica), serai wangi atau bawang putih.

Sebagai panduan, Azmi memastikan sesuatu bahan itu mempunyai bau yang kuat, bergetah dan bersifat memedihkan supaya boleh bertindak sebagai racun serangga yang berkesan.

Air berbaja

Tanpa perlu disiram, dia mengamalkan kaedah pertanian fertigasi, setiap pokok tomato ceri disalurkan terus dengan air yang dicampur baja.

Selain itu, apabila pokok mula berbuah, pucuk-pucuk pokok yang tunduk ke bawah kerana berat buah akan melilit batang pokok dan diikat kembali ke atas.


TEKNIK pembajaan organik dan bebas bahan kimia menjanjikan penghasilan tomato ceri gred terbaik.


Kebun yang telah diusahakan selama setahun lebih itu telah membuahkan hasil sebanyak lima kali. Selain tomato ceri, ladang TKPM juga menanam cili dan tembikai.

Baja yang digunakan merupakan baja organik yang dikenali sebagai plant booster. Ia merupakan hasil kajian JPS, menggunakan bahan organik yang diperam sehingga menjadi cecair.

"Plant booster menggunakan bahan yang murah antaranya ialah pisang, belacan, susu tepung dan banyak lagi bergantung pada kandungan nutrisi yang dikehendaki," terang Pegawai Pertanian JPS, Wan Mohamad Zulkarnain Baharudin, 31.

Penggunaannya adalah mengikut nisbah 10 mililiter (ml) plant booster yang dicampur dengan seliter air. Secara berkala, kandungan plant booster ditambah 10ml setiap dua minggu sehingga mencapai maksimum 50ml.

Menurut Azmi, jika banyak bersabar dan rajin dalam bidang pertanian, sudah pasti akan mendapat hasil yang lumayan. Selain itu, teknik yang betul dan tepat juga amat perlu bagi memastikan kualiti hasilnya.

Melihatkan peluang tersebut, Bahauddin Mohamad, 40, yang berasal dari Johor tidak kekok untuk belajar teknik pertanian melalui program inkubator yang memakan masa lapan bulan.

Dia yang sebelum ini bekerja sebagai eksekutif sekretariat di Malaysia Airport Holdings Berhad telah lima bulan mengikuti program tersebut.

Bahauddin dan tiga lagi rakan-rakannya telah berjaya menanam pokok tomato yang membuahkan hasil yang terbaik sebanyak tiga tan sekali gus mendapat hasil bersih lebih kurang RM21,000.

"Saya tidak menyesal kerana bermula dalam bidang pertanian pada usia begini. Malah, ia adalah waktu yang tepat," kata Bahauddin.

Mampu rakam log data penggunaan

Posted:

Mampu rakam log data penggunaan

Mampu rakam log data penggunaan


URUSAN pejabat menjadi lebih mudah dan pantas dengan model terbaharu ImageRunner Advance.


CANON Marketing baru-baru ini melancarkan siri imageRUNNER ADVANCE C5200 yang mempunyai keupayaan mengimbas dengan laju dan kecekapan operasi ditingkatkan.

Didatangkan dalam empat model iaitu C5255, C5250, C5240 dan C5235, mesin cetak itu menawarkan kelajuan mencetak sehingga 55 muka surat perminit (ppm) berwarna manakala kelajuan imbasan sehingga 120 ppm untuk berwarna serta hitam putih.

Rangkaian produk imageRUNNER direka bagi memenuhi keperluan syarikat daripada yang sederhana sehingga yang besar supaya lebih cekap dan produktif dalam mengeluarkan output yang dikehendaki.

Panel kawalan penuh TFT yang mudah dicapai bersaiz 8.4 inci. Fail-fail JPEG, TIFF dan PDF dengan mudah boleh dipratonton sebelum dicetak.

Port USB pula membenarkan dokumen yang disimpan dalam pemacu pena secara automatik dikesan dengan pantas dan mudah diakses.

Fungsi Audit Log membolehkan pengguna menganalisis pola penggunaan dengan mengenal pasti kecekapan peranti pelbagai fungsi. Ia dilakukan melalui penilaian koleksi log data yang disimpan dalam Antaramuka Remote User.

Fungsi ini mengumpul pelbagai jenis log yang membolehkan syarikat mengesan kesahihan dan informasi seperti status fotokopi, faks, imbas, cetak, operasi mesin dan banyak lagi.

Penjimatan tenaga siri imageRUNNER ADVANCE C5200 boleh diprogram dengan dua mod jimat tenaga bagi meminimumkan penggunaan terutamanya pada waktu mesin sedang dalam keadaan sedia.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved