Selasa, 30 Oktober 2012

Kosmo Online - Varia


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Varia


Mudahnya buku MPHOnline

Posted:

Mudahnya buku MPHOnline

Oleh ADLAN JAAFAR

APLIKASI MPHOnline memudahkan pelanggan memuat turun buku elektronik kegemaran masing-masing.


JOSEPTH NG baru berusia 21 tahun, tetapi dia telah mengarang beberapa cerpen yang dikumpulkan dalam sebuah buku berjudul Death and Other Thing.

Walaupun mempunyai minat yang berbeza dengan kawan-kawan sama generasi, penuntut di Kolej SEGi, Kota Damansara, Selangor itu mempunyai cara tersendiri dalam memasarkan hasil karyanya dengan kenalan lain.

Dia memasarkan bukunya secara dalam talian melalui aplikasi MPHOnline yang dirasmikan di Subang Parade, Subang Jaya, Selangor bulan lalu.

"Buku dalam talian bukan sahaja boleh didapati dengan mudah dan cepat, malah saya mendapat maklum balas seperti bilangan buku yang dibeli dengan cepat," kata Josepth.

Selain Josepth, buku hasil tulisan Tun Dr. Mahathir Mohamad, Doctor in the House turut dipasarkan dalam aplikasi tersebut selain karya selebriti Amber Chia dan Sarimah Ibrahim.

Aplikasi MPHOnline merupakan hasil kerjasama antara pengeluar telefon pintar, Samsung dengan kedai buku, MPH.

Aplikasi percuma itu boleh dimuat turun oleh semua pengguna telefon Samsung atau peranti yang menggunakan sistem operasi Android. Ia boleh didapati dalam Samsung Apps store.

Sebaik dimuat turun, pembaca boleh memuat turun buku elektronik (e-buku) kesukaan dan ia dipindahkan terus ke tempat simpanan peribadi pengguna.

Tajuk-tajuk baharu dikemas kini dalam senarai tajuk buku setiap hari. Genre buku pula meliputi pelbagai jenis seperti romantik, fiksyen, fantasi, perniagaan, kesihatan, pengurusan dan undang-undang.

Kepelbagaian format bahan bacaan itu kelak diharap dapat memberikan ruang yang lebih luas dalam pemilihan bahan bacaan selain membolehkan perkembangan ruang pasaran.

Kini, para pembaca dari Amerika Syarikat, United Kingdom dan Australia boleh membeli buku Doctor in the House pada harga yang lebih murah kerana tiada caj penghantaran dan dalam masa yang sama boleh didapati serta-merta. Semua harga buku dalam mata wang dolar Amerika Syarikat (AS$).

"E-buku merupakan langkah seterusnya dalam evolusi buku dan penerbitan. Kita semakin mendekati dunia tanpa sempadan kerana internet.

"Ia tidak bermakna MPH akan menjadi digital sepenuhnya, tetapi saling melengkapi kedai buku sedia ada seiring dengan perkembangannya," kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MPH, Ng Tieh Chuan.

Selain murah dan cepat, e-buku menjimatkan ruang pada rak buku, malah semua buku elektronik boleh dimuatkan dalam sebuah peranti yang kecil.

Bengkel memasak bersama Saji

Posted:

Bengkel memasak bersama Saji

Oleh ADLAN JAAFAR



PADA hujung minggu lalu, kira-kira 100 orang yang kebanyakannya berumur 30 hingga 50 tahun memenuhi ruang dewan Saloma Bistro, Kuala Lumpur bagi menghadiri Bengkel Memasak Saji bersama Chef Kamarul dan Rempah Mak Dara.

Kuala Lumpur merupakan destinasi terakhir bengkel yang memberi peluang kepada kaum wanita untuk belajar secara terus dengan chef profesional, Chef Kamarul Hasni Che Ros. Bengkel itu telah menjelajah ke tujuh destinasi bermula di Kelab Golf Cinta Sayang, Sungai Petani, Kedah pada 21 April lalu.

Acara bermula apabila pengasas Jamu Mak Dara, Halimah Shiub muncul untuk berkongsi tip bersama para hadirin untuk kekal langsing walaupun usianya sudahpun mencecah lebih 60 tahun.

Apabila peluang untuk bertanyakan soalan dibuka, orang ramai begitu ghairah mahu mengetahui rahsianya. Selain mengamalkan jamu sejak muda, Halimah berpesan kepada kaum wanita supaya sentiasa menjaga aspek pemakanan.

"Makanan yang berlemak, manis dan masin perlu dikurangkan, malah jangan minum air sejuk kerana tidak elok untuk wanita," nasihatnya pada petang itu.

Amalan senaman juga wajib dilakukan setiap hari. Jika terlalu sibuk, berlari setempat sebanyak gandaan 50 kali setiap pagi perlu dilakukan, saranannya.

Bengkel yang diacarakan oleh penyanyi lagu Matahari, Maya, itu bermula dengan Chef Kamarul menunjukkan cara memasak bruschetta makanan laut, beriani ketam dan diakhiri dengan ayam masak kelapa muda.

Sepanjang sesi demonstrasi memasak, Chef Kamarul sempat berkongsi beberapa tip yang boleh diamalkan oleh orang ramai di rumah.

Sambil dibantu oleh peserta yang terpilih, Chef Kamarul berkata, makanan laut seperti sotong dan udang adalah lebih baik tidak dipotong awal.

"Potong apabila sudah tiba masa untuk dimasak bagi mengekalkan kesegaran," katanya sambil menuang sotong ke dalam kuali ketika memasak bruschetta.

Petua menarik

Bagi masakan yang memerlukan penambahan krim, susu UHT boleh menjadi pengganti, cuma letakkan sedikit tepung untuk memekatkannya.

Nasihat Chef Kamarul, disebabkan bruschetta menggunakan pelbagai jenis keju seperti parmesan dan mozarela, penggunaan garam perlu dikurangkan.

Satu lagi petua menarik yang dikongsi Chef Kamarul adalah ketika dia melakukan demonstrasi memasak beriani ketam.

Dia menggantikan gula batu yang memberi rasa manis dalam masakan dengan buah kurma yang dikisar.

"Saya mendapat cara ini apabila melihat orang kampung memasak dalam kuantiti banyak untuk majlis perkahwinan," terangnya.

Selepas bengkel memasak, para peserta program disajikan dengan persembahan nyanyian oleh Maya selain demonstrasi memakai tudung oleh pengendali blog tudungpeople.com.

Pada bahagian akhir bengkel masakan Saji, acara memotong kek para peserta yang jatuh pada hari tersebut diadakan sebagai memeriahkan lagi suasana.

Walaupun kebanyakan peserta terdiri daripada suri rumah pertengahan usia, terdapat seorang wanita muda turut menyertai bengkel tersebut.

Jana Juliana Jamakuddin, 20, yang berasal dari Kuala Lumpur itu tidak pernah menyertai sebarang bengkel masakan. Dia berasa tertarik untuk mengetahui ilmu yang boleh didapati pada program sedemikian.

"Saya mahu melihat sendiri manfaat yang boleh didapati dengan menyertai bengkel seperti ini. Tambahan pula, saya memang suka memasak," katanya yang bekerja dalam bidang perakaunan.

Selepas tamat bengkel, para peserta yang hadir diberi peluang untuk merasa ketiga-tiga resipi yang diajar oleh Chef Kamarul sepanjang sesi demonstrasi berlangsung.

Bengkel turut dihadiri oleh Pengurus Besar Operasi Utusan Karya Sdn. Bhd., Zurzaliza Bajuri dan Pengarang majalah Saji, Noor Joha Ahmad.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved