Isnin, 22 Oktober 2012

Kosmo Online - Varia


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Varia


Cahaya tanglung serikan Wangsa Walk

Posted:

Cahaya tanglung serikan Wangsa Walk

PEMENANG pertandingan mencipta tanglung, dari kiri, Yang Wei dan Shu Hui bersama pemenang tempat ketiga, Nurul Eryahha (dua dari kanan) dan Nur Natasha (kanan sekali).


PENGANJURAN Festival Tanglung di Wangsa Walk, Wangsa Maju, Kuala Lumpur sepanjang bulan September lalu berlangsung dengan penuh meriah. Tanglung berwarna-warni yang dipasang menyerikan dekorasi dalaman pusat beli-belah itu.

Sempena pesta itu juga pelbagai acara menyeronokkan diadakan. Paling menjadi tumpuan sudah tentu aktiviti mencipta tanglung atau lentera kertas menggunakan bahan kitar semula.

Pertandingan itu menyaksikan sekumpulan pelajar daripada lapan buah sekolah berusia antara 9 hingga 18 tahun mempamerkan bakat masing-masing untuk menghasilkan tanglung yang cantik.

Sebanyak 40 tanglung yang telah siap digantung di sekitar ruang dalam Wangsa Walk bermula 15 September lalu. Sejak itu, kilauan tanglung tersebut berjaya menarik perhatian pengunjung.

Pada 30 September lalu, penantian kumpulan pelajar tersebut untuk mengetahui siapakah yang dinobatkan sebagai pemenang pertandingan itu sampai ke penghujungnya.

Tanglung lebah ciptaan Chan Shu Hui dari Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Chong Hwa berjaya menarik perhatian juri sekali gus meraih gelaran juara.

Tempat kedua dimenangi oleh rakan Shu Hui, Lim Yang Wei dari sekolah sama yang menghasilkan tanglung bertajuk Light of the Moon.

Sementara itu, kumpulan empat sahabat iaitu Nurul Eryahha Zamri, Nur Natasha Erna Hasnoddin, Nur Qistina Kahireen Nor Khairi dan Muhammad Razaleigh Saudi menduduki tempat ketiga dengan tanglung 1Malaysia. Semua pemenang menerima wang tunai dan hadiah iringan.

"Saya memang peminat setia Festival Tanglung. Melihat aneka tanglung unik yang dihasilkan para pelajar ini membuatkan saya teringat kenangan ketika zaman kanak-kanak.

"Saya juga teruja untuk membuat tanglung sendiri," kata Pengurus Besar Peruncitan Wangsa Walk, Foong Meng Khum.

Selain pertandingan tersebut, pengunjung turut dihiburkan dengan persembahan tarian Legenda Ular Putih dan Hijau serta instrumen Cina, er hu.

Wangsa Walk telah direka dengan tujuan mewujudkan sebuah kompleks yang bukan sahaja memenuhi keperluan beli-belah pengunjung, tetapi juga sebagai pusat aktiviti rekreasi yang menyeronokkan bagi masyarakat setempat.

Ia dilengkapi amfiteater untuk sebarang pertunjukan dan aktiviti, trek joging dan pejalan kaki sepanjang 400 meter di sekitar kompleks, taman permainan kanak-kanak dengan landskap menarik, panggung wayang, pusat boling dan pelbagai kemudahan lain.

Untuk maklumat lanjut, layari laman web www.wangsawalkmall.com.my atau hubungi talian 03-4142 8888. - KHADIJAH MOHAMAD NOR

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved