Selasa, 30 Oktober 2012

Kosmo Online - Sukan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Norshahrul terbaik

Posted:

Norshahrul terbaik

Oleh NOR AZIRAN YUNUS
aziran.yunus@kosmo.com.my

DARI kiri, Rozaimi, Khairul Fahmi, Aidil Zafuan, Norshahrul, Sathianathan dan Safiq memegang trofi masing-masing pada Majlis Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2012 di Shah Alam semalam.


JIKA Kelantan gah dengan gelaran trebel musim ini, skrip yang sama juga boleh digunakan untuk penyerang prolifik mereka dan pasukan negara, Norshahrul Idlan Talaha apabila mempertahankan kemenangan bagi kategori Penyerang Terbaik dan Pemain Paling Bernilai buat tahun ketiga berturut-turut pada Majlis Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2012 yang berlangsung di Shah Alam, Selangor semalam.

Norshahrul, 26, menewaskan empat pemain lain dalam dua kategori iaitu pemain Selangor, Mohd. Amri Yahyah dan Mohd. Norfarhan Mohamad (Kelantan) bagi kategori Penyerang Terbaik manakala bagi kategori Pemain Paling Bernilai, dia mengalahkan Mohd. Badri Radzi (Kelantan) dan Hairudin Omar daripada pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

"Saya bersyukur kepada Allah atas kejayaan buat kali ketiga berturut-turut ini dan jutaan terima kasih kepada juri yang memilih saya untuk memenangi anugerah ini.

"Kemenangan ini juga boleh dianggap hadiah peribadi saya kepada isteri dan keluarga serta untuk anak saya yang bakal lahir tidak lama lagi dan buat seluruh peminat yang menyokong kerjaya saya selama ini," kata Norshahrul.

Selain itu, Norshahrul turut memberitahu bahawa perkara terpenting yang perlu ada dalam diri seorang pemain bola sepak untuk berjaya adalah kemahuan serta disiplin yang tinggi.

"Bagi saya, apa yang penting adalah latihan yang berterusan serta sentiasa berusaha untuk menjadi pemain yang lebih baik pada setiap masa," katanya yang enggan mengulas mengenai spekulasi perpindahan ke pasukan Johor musim hadapan.

Katanya lagi, dia kini hanya menumpukan kepada kem latihan pasukan kebangsaan bagi menghadapi Piala AFF Suzuki 2012 dan jika ada sebarang keputusan rasmi, dia akan membuat pengumuman dalam masa terdekat.

Selain itu, bagi kategori Penjaga Gol Terbaik, pemain Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat turut mempertahankan gelaran tersebut yang dimenanginya tahun lalu apabila mengatasi dua rakan sepasukan dalam pasukan kebangsaan, Farizal Marlias (Negeri Sembilan) dan Norazlan Razali (Selangor).

Kategori Pertahanan Terbaik dimenangi Mohd. Aidil Zafuan Abdul Radzak (ATM), Pemain Tengah Terbaik pula dimenangi kapten Harimau Malaya, Safiq Rahim (Selangor) manakala bintang muda Sabah, Mohd. Rozaimi Abdul Rahman meraih anugerah Pemain Harapan Terbaik.

Dalam pada itu, bagi kategori Jurulatih Terbaik, ia dimenangi oleh B. Sathianathan serta kategori baharu diperkenalkan, Pemain Import Terbaik dimenangi Marlon Alex James yang kedua-duanya mewakili pasukan ATM.

Sementara itu, Persatuan Bola Sepak Kelantan berjaya memenangi anugerah Persatuan Bola Sepak Negeri Terbaik, Sime Darby FC pula meraih gelaran Kelab Bola Sepak Terbaik manakala Kelab Penyokong Bola Sepak Terbaik dimenangi oleh ATM.

Bagi Anugerah Khas Bola Sepak Kebangsaan 2012, ia diberikan kepada Allahyarham Tan Sri Abdul Ghani Minhat dan Anugerah Khas Program Pembangunan Bola Sepak Kebangsaan diberikan kepada Bahagian Pembangunan Sukan Kementerian Pelajaran manakala Pengadil Terbaik dimenangi Nafeez Abd. Wahab.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Subahan Kamal serta Pengurus Perhubungan Korporat F&N Beverages Marketing Sdn. Bhd., Cariessa Goh yang menyampaikan hadiah kepada para pemenang. Anugerah anjuran FAM yang mendapat kerjasama 100PLUS serta Astro Arena itu telah memasuki tahun keenam penganjurannya.

11 jenis sukan bawah 'RtR 2016'

Posted:

11 jenis sukan bawah 'RtR 2016'


AHMAD Shabery mengumumkan 11 jenis sukan yang dikenal pasti untuk program 'RtR 2016'.


KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) sudah mengenal pasti 11 jenis sukan untuk disenaraikan di bawah program pembangunan Olimpik 'Road to Rio (RtR) 2016', demikian menurut menterinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek semalam.

Beliau berkata, pada masa sama, pihaknya akan memberi pertimbangan serius terhadap cadangan supaya tiga lagi acara sukan dimasukkan dalam program pembangunan Olimpik itu.

"Secara umum, 11 jenis sukan dikenal pasti tetapi tidak khusus lagi," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat pertama Jawatankuasa Pemandu Persediaan Atlet ke Olimpik Rio 2016 di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil semalam.

Difahamkan, 11 jenis sukan itu ialah acara yang pernah menyaksikan penyertaan atlet negara pada temasya Olimpik lepas iaitu akuatik, angkat berat, berbasikal, badminton, gimnastik, hoki lelaki, lawan pedang, memanah, menembak, olahraga dan sukan layar.

Program 'RtR 2016' adalah kesinambungan daripada program 'Road to London 2012' yang bertujuan mencari pingat emas pertama Malaysia pada Sukan Olimpik.

Ahmad Shabery berkata, tiga jenis sukan yang dicadangkan untuk disenarai dalam program 'RTR 2016' ialah golf, ekuestrian dan tinju.

Beliau berkata, pelbagai aspek akan diambil kira sebelum menyenaraikan tiga jenis sukan berkenaan, antaranya dari segi kos membiayai sukan itu serta sama ada ia berpotensi untuk bersaing pada peringkat Olimpik.

Dalam pada itu, beliau berkata, sebuah jawatankuasa kecil akan dibentuk untuk mengenal pasti atlet yang layak disenarai dalam program itu yang bukan hanya bagi tempoh empat tahun, sebaliknya menjangkau sehingga lapan tahun.

"Sebab itu kita masukkan Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Pelajaran dalam jawatankuasa itu (Jawatankuasa Pemandu Persediaan Atlet ke Olimpik Rio 2016).

"Ertinya, kami perlu memikirkan untuk tempoh lapan tahun. Hubungan kami bukan sahaja dengan MSN tetapi dengan sekolah sukan di negeri-negeri untuk melahirkan bakal atlet bersaing pada Olimpik.

"Kita perlu pendekatan menyeluruh. Sekolah-sekolah sukan ini akan menjadi kilang awal dalam melahirkan bakal atlet Olimpik dan kita akan melihat keperluan dan kemudahan yang ada di sekolah- sekolah itu," katanya.

Ahmad Shabery berkata, setakat ini, pihaknya tidak menetapkan sasaran pingat pada Sukan Olimpik 2016, sebaliknya sedang meneliti pendekatan yang boleh menghasilkan pingat emas pertama negara, jumlah pingat boleh dimenangi serta bilangan atlet kebangsaan yang layak secara merit bersaing pada temasya berkenaan.

Beliau berkata, kementerian juga mengalu-alukan peruntukan khas sebanyak RM50 juta bagi tempoh empat tahun, bermula tahun ini untuk persiapan menghadapi Sukan Olimpik di Rio de Janeiro, Brazil pada 2016.

Peruntukan berkenaan diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semasa pembentangan Bajet 2013 pada 28 September lepas.

Di bawah program 'Road to London', sebanyak RM20 juta diperuntukkan dan Malaysia hanya memperoleh satu pingat perak menerusi Datuk Lee Chong Wei dalam acara badminton perseorangan lelaki dan satu pingat gangsa melalui Pandelela Rinong menerusi acara terjun 10 meter platform.

Empat pemain bakal digugur

Posted:

Empat pemain bakal digugur

Oleh NAN HIDAYAT NAN AZMIE
hidayat.azmie@kosmo.com.my

SEKURANG-KURANGNYA empat pemain dijangka digugurkan pengendali skuad kebangsaan, Datuk K. Rajagobal dalam masa terdekat sebelum sepak mula kejohanan Piala AFF Suzuki 2012 bulan depan.

Nama keempat-empat pemain tersebut dijangka diketahui hari ini ataupun selepas siri aksi persahabatan antarabangsa selepas ini.

Satu sumber memberitahu Kosmo!, 'pengecilan operasi' skuad kebangsaan itu begitupun bukan sesuatu yang asing sebenarnya.

"Ia sesuatu yang normal memandangkan hanya 22 pemain sahaja yang bakal didaftarkan pada kejohanan Piala AFF Suzuki nanti.

"Buat masa ini, sekurang-kurangnya empat pemain akan digugurkan dan ia dijangka diketahui esok (hari ini) ataupun selepas aksi persahabatan antarabangsa nanti, manakala senarai sebenar skuad juga akan diumumkan sebelum saingan bermula," kata sumber itu kepada Kosmo! semalam.

Untuk rekod, seramai 28 pelatih telah mula menjalani latihan pusat di Wisma FAM, Kelana Jaya bermula 22 Oktober lalu.

Selain 28 pelatih itu, tujuh lagi pemain pelatih 'KIV' juga bakal dipanggil bila-bila masa bagi menggantikan mana-mana 28 pemain yang tercedera menjelang kejohanan Piala AFF Suzuki nanti.

Apa pun, keempat-empat pemain tersebut pastinya 'kempunan' menimba pengalaman berguna sepanjang siri persahabatan antarabangsa selepas ini jika mereka benar-benar digugurkan hari ini.

Ia ekoran Harimau Malaya bakal berdepan Vietnam di Stadium MyDinh, Hanoi, Sabtu ini sebelum diuji Thailand di Chiang Mai (7 November) sebelum melayan kunjungan Hong Kong di Stadium Shah Alam, 14 November.

Pada edisi Piala AFF Suzuki kali ini, Harimau Malaya diundi bersama Indonesia, Singapura dan Laos dalam Kumpulan B.

Malaysia akan memulakan kempen menentang Singapura pada 25 November ini, diikuti berdepan Laos dua hari kemudian sebelum menamatkan aksi kumpulan bertemu Indonesia, 1 Disember depan.

Juara tiga kali, Thailand yang merupakan tuan rumah bersama kejohanan Piala AFF Suzuki 2012 dengan Malaysia pula diundi dalam Kumpulan A bersama juara edisi 2008 Vietnam, Filipina dan Myanmar.

Perlawanan Kumpulan A akan diadakan di Stadium Rajamangala, Bangkok, Thailand manakala aksi Kumpulan B di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Dua pasukan teratas daripada setiap kumpulan layak ke separuh akhir.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved