Isnin, 8 Oktober 2012

Kosmo Online - Stailo


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Stailo


Rawatan spa kulit wajah jejaka

Posted:

Rawatan spa kulit wajah jejaka

Oleh ALIF ABU BAKAR

SETIAP kali ada waktu senggang, Saiful Anuar Sabri, 25, tidak teragak-agak memperuntukkan sebahagian masanya bagi memanjakan diri di spa. Dalam setahun, Saiful berkunjung ke spa kira-kira empat hingga lima kali, itupun akibat jadual kerja yang tidak menentu.

Pelik, bukan lagi perspektif yang harus dilemparkan untuk lelaki pencinta spa. Keinginan kaum Adam tampil bersih dan bergaya dari segi penampilan luar serta dalam wajar disokong secara menyeluruh.

Saiful yang berkhidmat selaku jurutera di sebuah syarikat ternama tempatan juga tidak dapat mengelak daripada skeptikal normal masyarakat Malaysia yang agak negatif.

Kikis stigma

Namun, teguran atau usikan nakal tersebut bukanlah alasan untuknya berhenti melakukan apa yang dirasakan perlu bagi menjaga penampilannya.

"Persepsi negatif sekeliling membuatkan ramai lelaki di negara ini segan untuk mengunjungi spa. Bagi mereka, lelaki tidak seharusnya kelihatan cantik dan perkara tentang spa bukan terletak dalam konteks hidup lelaki maskulin.

"Secara jujur, rawatan di spa perlu dirasai semua lelaki. Manusia yang waras sudah tentu mahu menjaga penampilan dan kebersihan diri. Menerusi cara ini, matlamat itu mampu dicapai dengan mudah dan terurus.

"Jadi, berhentilah menjadi skeptikal. Spa bukan sahaja untuk wanita kerana di sana, teknik penjagaan diri atau tip-tip berguna dapat diperoleh. Cuba pergi sekali, pandangan anda tentang lelaki dan spa pasti berubah secara total," kongsi Saiful ketika kami masih dalam perjalanan menuju ke sebuah spa di Petaling Jaya, Selangor.

Mula berkunjung ke spa beberapa tahun yang lalu bagi menemani sahabatnya yang bakal berkahwin, Saiful terus tertarik dengan servis dan aura positif yang diterima daripada rawatan kecantikan tersebut. Dia berpendapat, sesiapa sahaja boleh ke spa dan tidak perlu menanti saat untuk mendirikan rumah tangga.

Ia juga menjadi sebahagian daripada ganjaran untuk diri sendiri terutamanya selepas seharian bekerja keras. Tambah Saiful, sebagai lelaki, pengetahuannya tentang pengurusan kecantikan tidaklah sehebat mana dan disebabkan itu, pembimbing amat diperlukan.

"Apabila berada di spa, mereka menjalankan rawatan yang bersesuaian dengan kehendak kita dan memberi nasihat berguna tentang penjagaan diri.

"Selepas sesi rawatan, saya berasa lebih segar. Sebagai manusia, kita bukan sahaja perlu berada dalam keadaan sihat secara fizikal dan mental, malah aspek rohani juga penting.

"Di spa, anda akan dapat mengecapi ketenangan ketiga-tiga peringkat tersebut," ujarnya yang kerap bertugas di luar negara berbulan-bulan lamanya atas tuntutan kerja.


PENGGUNAAN garam laut dan air suam untuk sesi mandian kaki mampu menenangkan pengunjung sebelum sesi rawatan wajah dijalankan.


Sesi rawatan

Perbualan kami terhenti seketika selepas destinasi yang dicari akhirnya ditemui.

Ketibaan kami di Spa HerbaLine, Taman Sea, Petaling Jaya, Selangor yang dibangunkan di sebuah unit banglo itu disambut mesra penyambut tetamu.

Penyelia spa berkenaan, Irene Wong kemudiannya menjalankan pemeriksaan ke atas kulit wajah Saiful. Dengan menggunakan peralatan khas yang berfungsi seperti kanta pembesar, struktur dan jenis kulit Saiful dapat dikenal pasti.

Berdasarkan pemeriksaan awal tersebut, Irene menjelaskan kepada Saiful masalah kulit yang dihadapinya dan rawatan yang bersesuaian.

Terdapat banyak pilihan rawatan disediakan seperti penyingkiran sel mati dan pembersihan dalaman, pelembapan wajah, kulit kering berjerawat, penegangan kulit wajah serta pengelupasan mikro.

Rawatan wajah

Selepas memilih pakej rawatan, Saiful dibawa ke bahagian mandian kaki. Sesi tersebut adalah pilihan tambahan yang disediakan pihak spa bagi keselesaan pengunjung. Saiful memperuntukkan lima minit memberus kakinya menggunakan air suam berserta satu sudu garam laut.

"Rawatan asas ini membantu pelanggan menenangkan diri sebelum rawatan sebenar dijalankan. Selain mandian kaki, pelanggan kami juga boleh melakukan rawatan spa ikan (fish spa). Ia juga tidak termasuk dalam caj pakej rawatan dan lebih kepada servis tambahan," ujar Irene.

Sebelum masuk ke bilik rawatan, Saiful diminta menekup mukanya di hadapan sebuah bekas yang berisi cecair ekstrak biji lavender. Ibarat efek aroma terapi, wap yang terbentuk di mukanya juga membantu Saiful untuk berasa lebih rileks.

Keselesaan dan kebersihan amat diutamakan di kebanyakan spa. Tuala, penutup kepala dan selipar khas dibekalkan kepada setiap pelanggan dan ia perlu dipakai sebelum rawatan dimulakan.

Lengkap dengan persalinan spa yang ditetapkan, Saiful sudah bersiap-sedia menjalani rawatan wajah. Peringkat pertama, wajahnya diurut perlahan diikuti dengan pembersihan ringkas menggunakan kapas. Wajahnya kemudian dioles dengan krim campuran susu dan avokado. Proses pembersihan berganda itu perlu dijalankan untuk tempoh 15 minit.

Peringkat seterusnya adalah pengewapan wajah kira-kira 5 hingga 10 minit. Ketika itu, kulit wajah dapat dilembutkan sekali gus memudahkan pembukaan pori-pori. Teknik ultrasonik kemudiannya dijalankan untuk membuang sel-sel kulit mati.

"Liang pori yang telah terbuka luas mempercepatkan proses penghapusan bintik-bintik hitam. Jangka masanya pula bergantung kepada kulit individu tersebut.

"Urutan menggunakan hujung jari (point massage) kemudiannya dilakukan di sekitar wajah pelanggan sebelum topeng (masker) berherba disapukan dan dibiarkan selama 20 hingga 25 minit.

SPA ikan antara servis tambahan yang ditawarkan di HerbaLine.


"Rawatan diakhiri dengan urutan ringan di bahu dan selepas itu pelanggan boleh memilih untuk berehat di ruangan bawah spa sambil minum teh panas atau pulang ke rumah," jelas Irene yang bertanggungjawab menjalankan kesemua rawatan ke atas Saiful pada hari tersebut.

Perbezaan wajah Saiful dilihat ketara selepas menjalani rawatan di spa tersebut. Dia juga gembira dengan perkhidmatan yang ditawarkan HerbaLine.

"Rawatannya menyeluruh dan terdapat servis tambahan yang amat menarik. Harga pula sangat berpatutan dan pada awalnya saya terkejut dengan pakej harga yang ditawarkan.

"Untuk spa yang dibangunkan di sebuah banglo dan diubah suai secara total bagi menghidupkan suasana menenangkan, harga yang ditetapkan jauh lebih baik berbanding spa-spa yang diletakkan di dalam pusat beli-belah," kata Saiful yang bercadang untuk terus menjadi pengunjung tetap Spa HerbaLine.

Batik gaya kasual

Posted:

Batik gaya kasual

Oleh MOHAMMAD HAFIZ AHMAD

KARYANEKA menggalas tanggungjawab untuk terus memartabatkan batik di persada fesyen negara dan dunia.


BATIK merupakan salah satu fabrik yang menjadi kebanggaan negara kita. Ia banyak dihasilkan di negeri-negeri Pantai Timur seperti Kelantan, Terengganu dan Pahang. Setiap lukisan yang dicanting mempunyai keistimewaan tersendiri kerana motif dan coraknya berbeza mengikut negeri-negeri.

Sebelum ini, pemakaian baju itu terhad pada majlis-majlis tertentu atau acara-acara formal sahaja dan sering dipakai oleh golongan berusia. Persepsi tersebut bagaikan membunuh warisan nenek moyang kita itu.

Mujur atas inisiatif syarikat pemasaran Karyaneka (Karyaneka), busana batik tempatan yang dicetuskan bukan sahaja lebih santai, malah sesuai untuk setiap golongan dan pelbagai acara.

Batik keluaran Karyaneka cuba lari daripada skeptikal dengan memilih warna-warna segar dan corak abstrak dengan motif bunga-bungaan yang tidak berlebihan.

Karyaneka memberi kesegaran kepada khazanah negara itu melalui koleksi terbaharu seperti blaus kain kapas, blaus sifon, kemeja lelaki, kebaya nyonya, seluar Bermuda, pareo dan kaftan dengan corak motif yang moden.

Koleksi terbaharu itu digayakan sewaktu acara Malaysia SME Pillars Lifestyle Event 2012 di Hotel Novotel, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Sebanyak 32 koleksi ditampilkan kepada khalayak dengan mengambil tema kasual dengan suntikan glamor, tetapi ringkas. Bagi melengkapkan gaya, pelbagai pilihan aksesori wanita yang diperbuat daripada logam dan mutiara serta tas tangan batik eksklusif turut disertakan.

Padanan sempurna

Buat si gadis yang ingin tampil menonjol, rekaan dengan nuansa rona merah dan kuning terang memberi impak ceria kepada pemakai. Ia tambah menyerlah apabila dipadankan dengan sepatu warna senada.

Busana itu sesuai digayakan ketika untuk bersiar-siar pada hujung minggu bersama teman istimewa.

Usah terperangkap dengan gaya yang mendatar setiap kali ingin bergaya, tukar pilihan baju yang klise dengan memakai blaus batik warna biru disuai dengan padanan seluar panjang biru terang.

Khas kepada jejaka yang ingin keselesaan, namun masih mahu tampil menarik, sarungkan baju batik kasual bersama seluar paras lutut. Lengkapkan penampilan dengan memakai kasut kanvas kegemaran.

Luaskan tatacara pemakaian batik dengan memadankan ia bersama seluar jean untuk tampak lebih muda dan berani.

Apa yang penting adalah keyakinan ketika memperagakannya ke masjlis-majlis keraian.

Tas tangan corak batik yang dijinjing ketika menghadiri acara santai bersama rakan-rakan memberi sisi istimewa dan unik kepada anda. Pasti lirikan mata teman-teman tertumpu kepada beg itu kerana keunikan motif batik yang melingkari setiap sudut rekaannya.

Selain daripada butik utama Karyaneka di Kompleks Kraf Jalan Conlay, produk-produk mereka juga terdapat di 11 cawangan seluruh Malaysia.

Antaranya BB Plaza, kios MidValley, KL CityWalk, Bangunan Kraftangan Jalan Tun Perak dan Kompleks Kraftangan Langkawi.

Dilema rambut jejaka

Posted:

Dilema rambut jejaka

Oleh ALIF ABU BAKAR

PEMERIKSAAN awal dilakukan terlebih dulu bagi mengenal pasti masalah yang dihadapi pelanggan.


SEPERTI lelaki lain, Jimmy Tai Wai Hong, 24, antara yang individu yang gemar menggunakan wax setiap hari dalam menggayakan rambutnya. Penggunaan wax membuatkan rambutnya lebih menarik dan kemas sepanjang masa.

Pada pandangan mata kasar, tekstur rambut Jimmy tampak normal. Rejim syampu dua kali sehari yang diamalkan, dirasakan cukup bagi menghalang kehadiran masalah rambut. Apatah lagi, lelaki yang bekerja sebagai pegawai pemasaran itu, mengakui mengenali tahap kesihatan rambutnya.

"Saya tahu rambut saya jenis kasar dan mengalami keguguran. Tetapi ia tidak kronik dan tidak membimbangkan.

"Namun, selepas menjalani pemeriksaan rambut, keputusannya amat mengejutkan. Siapa sangka, rambut saya kian menipis dan rupanya kulit kepala saya dipenuhi minyak yang menyekat pertumbuhan rambut baharu," ujarnya ketika ditemui di pusat rawatan rambut 101 Hair Care, MidValley Boulevard, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Berdasarkan imbasan terperinci yang dijalankan, masalah rambut Jimmy masih berada pada fasa permulaan. Namun, sekiranya ia tidak dibendung, Jimmy bakal kehilangan rambut dengan banyak sebelum mencecah usia 40 tahun.

Apabila diselidiki punca yang mendorong kepada permasalahan itu, secara amnya, wax yang digunakan Jimmy.

Selain itu, kecenderungannya terhadap makanan bergoreng dan tabiat merokok turut menjadi penyumbang.

Konsultan kanan di 101 Hair Care, Aries Lim memberitahu, keadaan kulit kepala Jimmy sangat berminyak dan ia adalah penemuan biasa memandangkan lelaki mudah berpeluh.

Berpandukan pemeriksaan ke atas liang pori pula, Aries dapat mengagak bahawa pertumbuhan rambut Jimmy bakal mengalami kemerosotan.

Kes lelaki

Menurut Aries, kebanyakan lelaki yang datang menjalani rawatan rambut adalah berumur dalam lingkungan 20 sehingga 40 tahun. Kelumumur dan kulit kepala berminyak mendominasi senarai masalah kaum Adam.

"Bagi rambut gugur, ia boleh dikesan menerusi rambut yang kian menipis. Jika anda ke salun, penggunting rambut pasti akan menyatakan hal tersebut sekiranya ia kian menyerlah.

"Rambut akan mengalami keguguran dan tidak melalui pertumbuhan baharu, mengakibatkan bahagian M (atas dahi) dan bahagian O (tengah kepala) botak secara berperingkat.

"Ia akan bermula pada bahagian pusar kepala dan merebak ke bahagian lain. Kebiasaannya, lelaki berusia 35 tahun ke atas mudah diserang masalah ini dan menjelang umur 40 tahun kepala mereka telah pun botak sepenuhnya," demikian penjelasan Aries yang menggalakkan penggunaan syampu berasaskan herba bagi mengekang masalah tersebut.

Penyebab popular kepada permasalahan tersebut pula, majoritinya diakibatkan oleh gaya hidup. Kekurangan tidur, pengambilan minuman beralkohol, merokok, tekanan dan pemakanan menjadi antara faktor masalah.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved