Jumaat, 5 Oktober 2012

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Budaya diterjemah pengkarya seni

Posted:

Budaya diterjemah pengkarya seni

RUANG utama Wisma Kebudayaan, Soka Gakkai Malaysia (SGM), Kuala Lumpur pada Ogos lalu dihiasi pelbagai karya seni yang berwarna-warni. Karya-karya seni itu terdiri daripada seni lukisan, arca dan fotografi yang ternyata menarik perhatian pengunjung.

Di tengah-tengah ruang itu, kelihatan arca ukiran kayu patung manusia berdiri megah sambil memegang penyodok tanah. Menerusi ukiran itu, ia seolah-olah menggambarkan kemegahan seorang petani yang berbangga dengan usahanya.

Jika diamati, karya-karya tersebut berbeza dengan karya seni yang lazim menghiasi segenap dinding dan ruang legar Wisma Kebudayaan SGM.

"Bagi saya, imaginasi pelukis, jurugambar dan pengukir arca dari Taiwan ini jelas menggambarkan suasana kebudayaan masyarakat di negara tersebut. Saya berasa seperti berada di Taiwan," ujar salah seorang pengunjung, Ngu May May, 23.

Ini merupakan kunjungan yang pertama pelajar kolej swasta itu ke Wisma Kebudayaan SGM. Kunjungan itu telah memberi peluang kepadanya untuk mengetahui kebudayaan Taiwan hanya menerusi penghayatan terhadap karya-karya seni berkenaan.

Pameran seni halus daripada Persatuan Seni Halus Nan-Mei, Taiwan itu telah dilangsungkan di Wisma Kebudayaan SGM pada 11 hingga 26 Ogos lalu sempena ulang tahun ke-60 persatuan aktivis seni yang terbesar di negara itu.

Malaysia menjadi destinasi kedua delegasi dari Taiwan itu selepas kejayaan mereka mengadakan pameran di Beijing, China tiga bulan sebelum itu.

Dakwat China

Seorang pensyarah Gabungan Sekolah Tinggi, Universiti Kebangsaan Tainan, Prof. Dr. Liu Jung Ying, 50, gembira apabila hasil lukisannya itu dapat ditatap para peminat seni di negara ini.

Beliau menghasilkan lukisan tradisional dakwat China dengan menggunakan kertas nipis yang diperbuat daripada beras dan warna yang dicampurkan dengan air.

Lukisannya itu terhasil daripada titisan warna yang meresap dan merebak di atas ruang karya medium tersebut.

Jung Ying yang telah lebih 30 tahun berkecimpung dalam bidang seni lukis memberitahu, minatnya mengenai sejarah lukisan berasaskan dakwat China banya memberi inspirasi kepadanya.

KEHALUSAN ukiran arca yang dibawa dari Taiwan ini menjadi tumpuan para pengunjung.


"Saya menggunakan burung dan bunga sebagai subjek utama dalam setiap lukisan saya.

"Burung dan bunga mempunyai kaitan sejarah yang utuh dengan masyarakat di Taiwan dan saya cuba menzahirkan imaginasi saya dengan keadaan realiti," ujar Jung Ying yang mahu karyanya dinilai dari perspektif yang berbeza dan mengajak pengunjung mengenal keaslian buah tangan pelukis Taiwan

Beliau juga berpendapat bahawa kehadirannya di negara ini membuka peluang buatnya meninjau budaya Malaysia. Hasil pemerhatian itu dapat digabung dengan realiti kehidupan masyarakat Taiwan seterusnya diterjemahkan dalam lukisannya nanti.

Tambah Jung Ying, bagi menghasilkan sesuatu karya yang berasaskan dakwat China, cabaran utama adalah untuk menggabungkan stail tradisional dan moden namun pada masa yang sama membentuk identiti tersendiri.

Ketengahkan karya

Menyingkap serba sedikit mengenai latar belakang Persatuan Seni Halus Nan-Mei, Taiwan, persatuan tersebut mula diperkenal pada bulan Jun, 1952.

Pada tahun 1954, persatuan tersebut membahagikan empat cabang karya seni iaitu lukisan tradisional yang berasaskan dakwat China, lukisan moden, arca dan seni fotografi.

Dengan tema Berkawan Melalui Seni, persatuan itu juga menjadi landasan kepada ahlinya untuk bertukar pandangan dan memberi ruang pendedahan kepada penggiat seni baharu.

Pameran yang julung-julung kali diadakan di ibu negara itu menghimpunkan 87 hasil karya pelukis Taiwan yang bernaung di bawah persatuan tersebut.

Bagi pengukir arca patung, Chi Tsun Chen, 50, dia tidak mempunyai masalah mengenai selok belok kemahiran mengukir kerana telah mula belajar mengukir arca sejak berumur 14 tahun.

Setiap arca yang dihasilkan diperbuat daripada sejenis kayu tebal yang terdapat di Taiwan iaitu kayu chang mu.

"Saya mempunyai guru sejak kecil yang sentiasa mengajar saya teknik mengukir arca dengan betul. Bagi saya, soal kemahiran bukan suatu masalah. Apa yang penting ialah cara saya menonjolkan nilai-nilai spiritual dalam karya ukiran saya.

"Saya juga menyelitkan elemen-elemen moden dalam ukiran saya dan apa yang saya dapat lihat, pengunjung yang hadir begitu teruja melihatnya," kata Tsun Chen merujuk kepada arca lelaki yang berdiri sambil memegang penyodok tanah.

Kehalusan ukiran


DELEGASI pengkarya seni yang hadir mewakili Persatuan Seni Halus Nan-Mei, Taiwan ke Malaysia. (Dari kiri) Jung Ying, Lin Te, Tsun Chen dan Ming Yuan.


Tsun Chen memilih teknik Fu Chou dalam penghasilan ukiran arcanya. Menurutnya, teknik Fu Chou merupakan teknik yang ukiran yang berasal dari China dan teknik tersebut mementingkan perincian dan kehalusan.

Katanya, tidak mustahil sebuah arca itu mengambil masa sehingga dua bulan untuk disiapkan.

Seorang lagi pelukis Taiwan yang terlibat dengan pameran tersebut ialah Huang Ming Yuan, 34, yang juga menggunakan medium dakwat China dalam berkarya.

Hal yang membezakan Ming Yuan dengan Jung Ying ialah tema yang ditonjolkan dalam lukisan mereka.

Menurut pemegang ijazah doktor falsafah (PhD) di Jabatan Seni Halus, Universiti Normal Kebangsaan Taiwan itu, dia menggunakan realiti suasana malam di Taipei sebagai subjek utama dalam karyanya.

"Saya menggunakan warna hitam sebagai warna utama untuk memberi gambaran jelas mengenai suasana malam manakala warna-warna lain digunakan sebagai warna tambahan bagi menceriakan lukisan.

"Kebiasaannya, lukisan yang berasaskan dakwat China menonjolkan tona warna dakwat yang nipis. Ia terhasil melalui campuran kuantiti air mengikut sukatan tertentu," jelasnya.

Dia juga teruja untuk merasai suasana malam di Kuala Lumpur, kerana ini merupakan kali pertama beliau berkunjung ke Malaysia.

Berpisah sementara demi ibadah haji

Posted:

Berpisah sementara demi ibadah haji

JEMAAH haji dari Selatan Thailand membawa bagasi masing-masing ketika beratur di Lapangan Terbang Antarabangsa Hatyai. - AFP


TARIKH 9 Zulhijjah semakin hampir. Kemuncak musim mengerjakan ibadah haji bagi tahun 1433 Hijrah sudah amat dirasakan oleh para jemaah haji kali ini. Segala gambaran tentang suasana di Mekah dan Madinah sudah bermain dalam fikiran dan dihayati dengan penuh rasa insaf serta tawakal.

Bagi jemaah yang terpilih dari seluruh dunia, sebahagiannya sudah meninggalkan benua masing-masing ke destinasi istimewa tersebut. Ada yang lainnya sedang sibuk membuat persiapan terakhir sementara menunggu giliran berangkat untuk menjadi tetamu Allah.

Haji merupakan perlakuan ibadah bagi umat Islam yang melibatkan beberapa pengisytiharan dalam hati, ditunjukkan melalui perbuatan dan pengucapan. Dilaksanakan mengikut tertib, semua itu merupakan perlambangan pengabdian manusia yang bertaqwa terhadap tuntutan ibadah kepada Allah.

Bagi kumpulan yang terpilih tahun ini, niat ihram haji mereka bakal diteruskan dengan rukun-rukun yang lain iaitu wuquf di Arafah, tawaf, saie, bercukur atau bergunting serta dilakukan semuanya dengan tertib.

Setiap satunya dilakukan dengan rasa tauhid dan penyerahan sepenuhnya semata-mata kerana Allah, termasuklah mempersembahkan diri, pemikiran, fizikal, harta benda dan nawaitunya hanya untuk Yang Maha Esa.

ORANG ramai berhimpit-himpit di pagar lapangan terbang di Narathiwat dengan harapan dapat melihat ahli keluarga mereka yang menaiki pesawat. - AFP


Sama ada di Thailand, India, Pakistan mahupun China serta Eropah, pemergian kumpulan jemaah haji ini pasti dirasai oleh ahli keluarga, saudara-mara dan teman taulan. Pelbagai mod pengangkutan digunakan untuk tiba di pusat perkumpulan jemaah sebelum menaiki penerbangan ke Tanah Suci.

Ahli keluarga dan teman-teman yang ditinggalkan di tempat asal masing-masing tentunya merindui ketiadaan mereka selama tempoh mengerjakan ibadah tersebut.

Begitupun, doa tulus, harapan baik dan jalinan kasih sayang tidak putus dihulur buat mereka. Semoga para jemaah haji keseluruhannya dikurniakan kesihatan, kesabaran dan ketaqwaan agar ibadah tersebut dapat dijalani seterusnya mencapai tingkatan yang mabrur.

Ragam Global kali ini memaparkan kompilasi gambar perjalanan para jemaah haji sedunia yang penuh emosi dan cerita.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved