Sabtu, 27 Oktober 2012

Kosmo Online - Negara


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Negara


Kontraktor palsu tipu RM2 juta

Posted:

Kontraktor palsu tipu RM2 juta

Oleh ZULKIFLI MANZOR
zulkifli.manzor@kosmo.com.my

KERJA pengubahsuaian ruang tamu rumah Chiew Ming di Sri Petaling, Kuala Lumpur yang terbengkalai pada Mei lalu selepas suspek menghilangkan diri.


KUALA LUMPUR - Seorang lelaki berusia lingkungan 30-an yang mendakwa dirinya sebagai kontraktor kini menjadi buruan polis serta lebih 10 pemilik rumah di sekitar ibu negara selepas disyaki menipu dalam projek pengubahsuaian bangunan membabitkan kerugian lebih RM2 juta sejak awal tahun lalu.

Suspek mudah memperdayakan mangsa kerana menjalankan urusan seperti kontraktor tulen dengan mengemukakan sebut harga serta resit bayaran menggunakan alamat sebuah syarikat pereka dalaman di Selayang dekat sini.

Bagaimanapun, apa yang menyebabkan para pelanggannya sesal tidak sudah ialah suspek menghilangkan diri sebaik sahaja mendapat bayaran dan dalam kes tertentu, hanya menyiapkan sebahagian projek sebelum lesap.

Dia dipercayai bergiat aktif di sekitar Sentul, Sri Petaling, Kepong, Segambut dan Balakong.

Seorang mangsa, Chai Chiew Ming, 43, mendakwa kerugian lebih RM260,000 apabila lelaki itu menghilangkan diri selepas menyiapkan separuh sahaja daripada kerja pengubahsuaian rumah dua tingkat miliknya di Sri Petaling, di sini pada Mei lalu.

Perunding perniagaan itu pada sidang akhbar di sini semalam memberitahu, selepas gagal mengesan suspek dan mendapati pejabat lelaki itu di Selayang sebenarnya disewa syarikat lain, Chiew Ming membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields di sini.

Seperti mangsa yang lain, Chiew Ming mendapatkan khidmat suspek menerusi orang tengah yang dikenali sebagai Khor.

Peniaga barang lusuh, Wan Kok Heng, 31, pula mendakwa kerugian lebih RM100,000 apabila mengupah suspek untuk mengubahsuai rumah teres milik isterinya di Sentul Jaya 3 di sini pada April lalu.

Kok Heng hanya menyedari ditipu selepas suspek lesap dan projek pengubahsuaian rumah itu terbengkalai.

Akibatnya, dia terpaksa membelanjakan puluhan ribu ringgit lagi untuk mengupah kontraktor lain menyiapkan projek tersebut.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Bayi didera dikata digigit hantu

Posted:

Bayi didera dikata digigit hantu

Oleh NOOR HASLIZA NUSI
hasliza.nusi@kosmo.com.my


KESAN kecederaan di belakang kepala seorang bayi yang disyaki didera pengasuhnya di Sungai Nibong, George Town.


GEORGE TOWN - Seorang ibu tidak dapat menahan kesedihan apabila anak sulungnya berusia lima bulan terpaksa menjalani pembedahan di kepala Khamis lalu selepas disyaki didera pengasuh di sebuah rumah di Sungai Nibong di sini.

Kejadian itu disedari oleh wanita berkenaan pada 22 Oktober lalu ketika membawa anak perempuannya menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP) akibat mengalami demam panas.

Sebaik sahaja diperiksa, doktor memaklumkan paru-paru anaknya telah dijangkiti kuman manakala pemeriksaan menerusi mesin pengimbas mendapati ada darah beku di ubun-ubunnya.

Ibu bayi tersebut yang mahu dikenali sebagai Lin mendakwa, anaknya diasuh oleh seorang wanita berusia 20-an sejak berusia dua bulan. Pengasuh itu merupakan jiran lama mereka.

Menurutnya, dia mula curiga dengan cara penjagaan pengasuh berkenaan sebaik sahaja menyedari terdapat kesan lebam dan luka kecil di belakang kepala anaknya pada 27 Ogos lalu.

"Pada masa itu, saya cuba bertanya kepada dia (pengasuh) tetapi dia mendakwa kemungkinan digigit hantu ataupun terkena gelang yang dipakainya.

"Saya dan suami tidak mengesyaki apa-apa yang buruk sehinggalah baru-baru ini (22 Oktober) anak saya mengalami demam panas dan doktor memberitahu terdapat kesan pendarahan lama di kepalanya," katanya ketika ditemui Kosmo! Ahad di sini semalam.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Misteri penemuan mayat wanita bertatu

Posted:

Misteri penemuan mayat wanita bertatu

ANGGOTA polis memeriksa mayat seorang wanita yang ditemui di dalam but kereta Perodua Kancil di Taman Johor Jaya, Johor Bahru malam kelmarin.


JOHOR BAHRU - Mayat seorang wanita dengan kesan tikaman di perut ditemui di dalam but sebuah kereta Perodua Kancil berwarna hijau di Jalan Teratai, Taman Johor Jaya di sini kelmarin.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Roslan Zainuddin berkata, mayat berusia lingkungan 30-an itu ditemui orang ramai yang lalu di kawasan tersebut pada kira-kira pukul 7 malam.

Katanya, ketika ditemui, mayat wanita yang dipercayai berketurunan Melayu itu lengkap berpakaian tetapi tidak mempunyai sebarang pengenalan diri.

"Mayat tersebut ditemui di dalam but kereta dan siasatan awal kami menemui satu kesan tikaman di perut. Wanita berkenaan tidak mempunyai pengenalan diri tetapi mempunyai tatu berbentuk sayap di bahagian pinggul," katanya di sini semalam.

Jelas Roslan, hasil siasatan awal mendapati, kereta Perodua Kancil terbabit yang didaftarkan atas nama seorang wanita Melayu telah berada di lokasi kejadian sejak Rabu lalu.

Katanya, mayat telah dihantar ke Hospital Sultan Ibrahim di sini untuk bedah siasat dan keputusan hanya akan diketahui esok.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved