Selasa, 9 Oktober 2012

Kosmo Online - Infiniti


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Infiniti


Penyelesaian jimat ruang dan kos

Posted:

Penyelesaian jimat ruang dan kos

Oleh ADLAN JAAFAR
adlan.jaafar@kosmo.com.my

BERTUGAS sebagai jururawat di sebuah klinik swasta di Ipoh, Perak memerlukan Nurul Hanis Sasakina Mastor menjadi serba boleh. Bukan sahaja wajib mengenali setiap jenis ubat-ubatan tetapi perlu menguruskan akaun klinik.

Wanita berusia 23 tahun itu harus menjadi versatil dan sentiasa terbuka dengan perkembangan teknologi. Begitulah juga resam yang perlu ditempuh oleh semua graduan baharu di Malaysia dalam dunia kerjaya.

Selain kerap menggunakan komputer untuk urusan kerja, dia juga memiliki akaun laman sosial Facebook sejak ia mula diperkenalkan di Malaysia kira-kira tujuh tahun lalu.

Segala data mengenai dirinya yang diisi dalam rangkaian sosial itu seperti nama, umur, alamat e-mel dan kronologi hidup adalah benar belaka manakala foto-foto yang dimuat naik diberi tetapan tahap privasi.

Selain itu, segala dokumen berkaitan dengan dirinya seperti resume pula disimpan dalam akaun mel Google kerana dakwanya, Gmail merupakan e-mel yang lebih selamat dan berkapasiti besar.

Memandangkan kini internet boleh dicapai setiap masa melalui telefon pintar, maka langkah menyimpan dalam mel elektronik dilihat sebagai cara terbaik. Begitupun, kegusaran tetap dirasai terutamanya apabila menerima e-mel yang mengandungi pautan laman web dihantar kepadanya.

Baginya, semuanya adalah pautan virus yang boleh menyebabkan aktiviti phishing walaupun ia barangkali ialah pautan untuk pengiriman fail menggunakan teknologi perkomputeran awan.

Tambah Nurul, bagi mereka yang mempunyai pengetahuan mengenai alamat itu mungkin memahami maksudnya, tetapi baginya, adalah lebih baik untuk tidak menekan klik pada sebarang pautan yang dihantar.

"Saya pernah dengar mengenai perkomputeran awan tetapi tidak pernah menggunakannya," ujar Nurul ringkas apabila persoalan berkaitan teknologi itu dilontarkan kepadanya.

Muat naik

Sebenarnya, apabila Nurul dan pengguna-pengguna lain Facebook, kecuali 83 juta akaun yang disahkan palsu, memuat naik segala data persendirian ke dalam akaun Facebook atau e-mel, mereka sedang menggunakan teknologi perkomputeran awan.

PERKOMPUTERAN awan masih lagi mempunyai mesin dalam bentuk fizikal. - Gambar hiasan


Teknologi perkomputeran awan sudah lama wujud. Secara falsafah, ia berfungsi sama seperti perkhidmatan bekalan air dan elektrik yang disalurkan ke setiap rumah.

Perkomputeran awan juga membolehkan seorang pemilik syarikat memiliki laman web, sistem operasi pejabat tanpa perlu membeli dan membina perkakasan komputer yang mahal di lokasi masing-masing. Sebaliknya, data-data disimpan di tempat lain.

Keperluan teknologi itu ialah mesin yang bertindak sebagai pusat data dan perisian maya. Perisian tersebut yang membolehkan keperluan penyimpanan data pada perkakas diubah berdasarkan kepada keperluan pelanggan.

Terdapat banyak jenis perkhidmatan perkomputeran awam yang ada seperti infrastruktur, perisian, platform, penyimpanan dan banyak lagi.

Laman sosial seperti Facebook, iCloud, Google Apps merupakan perkomputeran awan perisian manakala perkhidmatan pengehosan web seperti MediaFire, Dropbox dan RapidShare termasuk dalam jenis penyimpanan.

Bagi perkomputeran awan infrastruktur pula, ia boleh bertindak sebagai pelayan, penyimpanan berkapasiti, rangkaian dan lain-lain.

Dilema syarikat

Dahulu, kaedah konvensional yang sering dilakukan oleh syarikat-syarikat perusahaan awam (enterprise) ialah membeli perkakasan unit pemprosesan pusat (CPU) yang mempunyai kapasiti tetap dan diletakkan di pejabat.

"Mesin yang dibeli tidak semestinya digunakan pada tahap yang optimum, lebihan kapasiti merupakan suatu pembaziran.

"Dalam tempoh lebih kurang dua tahun, perkakasan tersebut sudah mencapai tahap antara 80 hingga 90 peratus penggunaan menyebabkan sistem menjadi perlahan. Ini membuatkan pemilik syarikat perlu membeli tambahan unit," kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Skali Group, Tengku Farith Rithauddeen, 41, ketika ditemui di pejabatnya di Kuala Lumpur.

Tambah beliau, pengulangan pembelian perkakasan unit memori menjadikan pembaziran kapasiti berulang.

Skali Group melalui anak syarikatnya, Skalicloud, merupakan perintis perkhidmatan perkomputeran awan di Malaysia pada awal tahun 2011 dan bidang itu telah berkembang dengan pertumbuhan sebanyak 70 peratus.

Kejayaan itu dilakar walaupun syarikat penasihat dan penyelidikan teknologi maklumat dunia, Gartner Inc., meramalkan industri itu akan berkembang sebanyak 30 peratus sahaja.

RUANG pejabat kini boleh digunakan secara optimum melalui penggunaan teknologi perkomputeran awan. - Gambar hiasan


Seiring perkembangan tersebut, Skalicloud akan menerobos pasaran teknologi maklumat Asia Tenggara dengan membuka pusat data di Indonesia pada bulan Oktober 2012 dan Thailand yang dijangka dibuka pada akhir tahun ini.

Elak kesesakan

Dengan perkomputeran awan, pengguna hanya perlu membayar bilangan dan jumlah masa mengikut kapasiti yang diperlukan.

Tengku Farith memberi contoh, laman web dan sistem Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) paling sibuk dikunjungi dan digunakan oleh orang ramai antara bulan Mac atau April setiap tahun.

Bagi mengelakkan kesesakan pengguna dalam laman web, pemilik boleh menambah jumlah kapasiti pada sistem mereka dan kembali ke kapasiti asal selepas tempoh pengisytiharan cukai berakhir.

"Pengguna hanya perlu membayar jumlah yang digunakan sama seperti perkhidmatan bekalan air dan elektrik," ulas Tengku Farith ringkas.

Skalicloud menawarkan perkhidmatan awan awam pada peringkat permulaan dan kini ia memperkenalkan perkhidmatan perkomputeran awan persendirian dan hibrid (gabungan awam dan persendirian) secara beransur-ansur.

Selari dengan perkembangan dan permintaan semasa, Skalicloud juga memiliki kepakaran dalam membentuk infrastruktur perkomputeran awan.

Antara ciri-ciri perkomputeran awan ialah ia dapat menjimatkan kos operasi dan memastikan perkakasan tidak menjadi lapuk.

Biasanya, peralatan akan digunakan sepenuhnya dalam tempoh dua tahun. Berbanding perkhidmatan lain yang banyak menggunakan kaedah pakej yang sudah menetapkan kapasiti, Skalicloud merupakan perkomputeran awan yang paling elastik mengikut kapasiti penggunaan para pelanggannya.

Dari segi tenaga kerja, ia menjimatkan masa dan ruang kerana perkomputeran awan tidak memerlukan pekerja untuk menjaga perkakasan komputer setiap masa dan tidak perlu pemasangan bilik komputer pelayan di pejabat.

Tetapan keperluan perkomputeran awan boleh diatur mengikut kehendak pelanggan. Di Skalicloud, rekod paling pantas pernah dicatatkan untuk perkhidmatan itu adalah dalam beberapa saat.

Sama seperti fleksibiliti pada penggunaan kapasiti, caj yang dikenakan Skalicloud juga mengikut kuantiti yang digunakan iaitu serendah RM0.27 sejam.

Infrastruktur

Pusat Data terbaharu Skalicloud yang berkeluasan 69,000 kilometer persegi dan mempunyai 24,000 rak terletak di Cyberjaya. Beroperasi 24 jam, suhu di pusat itu dikawal supaya kekal pada bacaan 20 darjah Celsius.

"Infrastruktur di Cyberjaya turut dilengkapi janakuasa dan internet jalur lebar berkelajuan tinggi.

Sebagai keselamatan, sistem akan terhenti sendiri apabila suhu mencapai 60 darjah Celsius," kata Ketua Pegawai Eksekutif, Mohd. Fazly Mohd. Yin, 39, kepada Kosmo!.

Data-data yang disimpan di Skalicloud berada pada tahap keselamatan dan privasi terbaik. Sebagai langkah keselamatan, setiap data dilindungi oleh firewall pada perkakasan dan pengaturcaraan dalaman yang bertindak sebagai sistem penghindar pencerobohan.

Sebagai tambahan, data dan alamat Internet Protokol (IP) dilindungi lapisan keselamatan seterusnya iaitu firewall maya.

"Sistem keselamatan yang ada ini memastikan data berada dalam keselamatan pada tahap maksimum," kata Mohd. Fazly yang telah 15 tahun berada dalam bidang teknologi maklumat.

Idea remaja perbaiki persekitaran

Posted:

Idea remaja perbaiki persekitaran

Oleh KHADIJAH MOHAMAD NOR
khadijah.mohamadnor@kosmo.com.my

PARA pelajar dan guru SMK Wangsa Melawati gembira kerana usaha yang dilakukan sejak beberapa bulan lalu menerima pengiktirafan dalam program TrEES.


IDEA melaksanakan projek penanaman pokok buluh di sepanjang pagar sekolah yang menghadap Jalan Lingkaran Tengah Dua (MRR2) membawa tuah kepada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Wangsa Melawati, Kuala Lumpur apabila dinobatkan sebagai juara program Young Voices for Conservation (YV4C).

Kejayaan itu memberi makna besar kepada pasukan sekolah tersebut yang berjaya membawa pulang hadiah utama bernilai RM9,000.

Menurut wakil pelajar SMK Wangsa Melawati, Jie Xie, 16, mereka amat berbangga dengan kemenangan yang diperoleh dan ia menjadi bukti usaha gigih yang dijalankan sejak beberapa bulan lalu mendapat pengiktirafan.

"Usaha menanam pokok buluh di sepanjang pagar sekolah merupakan idea pasukan yang terlibat dalam program pemuliharaan ini. Kami berharap dalam dua tahun akan datang, ia akan hidup subur sekali gus menjadi penghadang antara sekolah dan MRR2 yang sentiasa sibuk dengan kenderaan," kata pelajar tingkatan empat itu sambil tersenyum.

Masalah alam sekitar

Program anjuran pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Treat Every Environment Special (TrEES) itu merupakan inisiatif mereka untuk meningkatkan kesedaran kepada generasi muda dalam usaha mengurangkan masalah berkaitan alam sekitar yang semakin serius.

Dilaksanakan dengan kerjasama AffinBank, YV4C berjaya mengumpul lebih 500 orang pelajar dari 42 buah sekolah di sekitar Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang bertekad untuk mengatasi masalah alam sekitar di sekolah masing-masing.

Daripada 42 buah sekolah yang menyertai program tersebut, 12 pasukan dipilih untuk menerima bantuan kewangan pemula sebanyak RM300 bagi melaksanakan idea mereka. Bagaimanapun, hanya lapan sekolah berpeluang ke pusingan akhir yang diadakan di Dewan Komuniti DBKL, Bangsar pada Khamis lalu.

Ia terdiri daripada SMK Wangsa Melawati, SMK USJ 8, SMK Batu Lapan Puchong, SMK Seksyen 3 Bandar Kinrara, SMK Seri Serdang, SMK Agama Maahad Hamidiah, SMK Cheras Jaya dan SMK La Salle, Klang.

"YV4C boleh diumpama sebagai satu saluran yang membolehkan golongan belia mengungkap tenaga dan kreativiti muda mereka sambil mencuba idea dalam persekitaran yang tertumpu dan selamat. Melalui peluang ini, mereka mendapat hak bersuara dan semangat mengusahakan pemuliharaan.

"Mereka telah menempuh perjalanan yang jauh apabila mengubah idea menjadi realiti. Projek yang dilakukan amat berkesan kerana ia diusahakan oleh pelajar untuk pelajar," kata Pengarah TrEES, Leela Panikkar ketika berucap semasa upacara penyampaian hadiah.


MEMANFAATKAN sumber air hujan menjadi teras projek warga SMK La Salle.


Melalui program tersebut, sekolah-sekolah yang terlibat berjaya mengumpulkan lebih daripada 80 tan bahan yang boleh dikitar semula seperti kertas, plastik, tin, kotak minuman dan minyak masak yang sudah digunakan. Untuk itu, lebih RM20,000 dapat dikutip untuk sekolah mereka.

Tempat kedua dimenangi SMK Cheras Jaya yang tampil dengan projek Membaik Pulih Taman Sumber Sains. Pasukan itu telah bekerja keras mengubah taman usang yang menjadi lokasi pembiakan nyamuk kepada sebuah taman yang subur dan menghijau.

Ia berjaya menyatukan komuniti sekolah dengan semangat untuk memulihara alam sekitar. Kemenangan itu membolehkan mereka menerima wang tunai bernilai RM6,000.

Tempat ketiga pula menjadi milik SMK La Salle melalui projek Kuasa Tukang Paip iaitu memasang sistem rintis tadahan air hujan di sekolah bagi mengurangkan penggunaan air dan meningkatkan kesedaran terhadap sumber air. Mereka memperoleh wang tunai bernilai RM3,500.

Merit khas

Selain itu, tiga buah sekolah turut dipilih menerima anugerah merit khas yang membawa hadiah wang tunai RM500. Sekolah-sekolah itu ialah SMK USJ 8 bagi aspek Laporan Kewangan Terbaik, SMK Batu Lapan Puchong (Penglibatan Komuniti) dan SMK Seksyen 3 Bandar Kinrara ( Informasi dan Teknologi Maklumat).

WARGA SMK Seksyen 3 Bandar Kinrara memilih daun pisang sebagai ganti pinggan plastik.


Program ini mengajar para pelajar menjadi matang melalui proses transformasi diri. Pembinaan sahsiah, kerja berpasukan, perancangan teliti dan pengurusan kewangan terbaik merupakan antara pengajaran yang telah diperoleh.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Operasi AffinBank, Sharifuddin Mohamad berkata, kebolehan menguruskan kewangan dengan baik merupakan kemahiran yang mengambil masa sepanjang hayat untuk dipelajari oleh sesetengah orang.

"Kami percaya bahawa cara terbaik untuk mengajar anak-anak adalah dengan menunjuk dan bukan sekadar memberitahu. Justeru, program TrEES mampu membuka mata pelajar sekolah ini agar menyedari nilai seringgit secara amali, jauh sebelum mereka bekerja dan memperoleh pendapatan sendiri," ujar beliau.

YV4C dijalankan dengan kelulusan Kementerian Pelajaran dan Jabatan Pendidikan yang berkaitan. Selain itu, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), yang menguruskan sumber air Selangor, turut bekerjasama dengan TrEES dalam program tersebut.

Untuk maklumat lanjut, layari laman facebook.com/YV4C.TrEES atau www.trees.org.my.

Usaha Nokia kembalikan kegemilangan

Posted:

Usaha Nokia kembalikan kegemilangan

Oleh KHAIRUL ANUAR RAHMAN
khadijah.mohamadnor@kosmo.com.my

LUMIA 920 diperkenalkan Nokia untuk menyaingi fungsi telefon pintar lain yang terdapat di pasaran.


NOKIA merupakan sebuah nama yang begitu sinonim dalam industri telekomunikasi bergerak. Mula menempa nama sekitar tahun 90-an, ia merupakan antara jenama telefon bimbit terawal yang dipasarkan di Malaysia selain Motorola dan Ericsson.

Nokia sebenarnya telah bertapak di Malaysia seawal tahun 80-an menerusi jenama Nokia-Mobira, hasil gabungan syarikat Nokia dan Salora OY, tetapi kemudiannya menukar nama kepada Nokia.

Penghujung tahun 90-an memperlihatkan Nokia memenangi hati pengguna telefon bimbit bukan sahaja di negara ini malah di segenap pelosok dunia.

Pelbagai model diperkenalkan dan antara yang berjaya meraih populariti ialah Nokia 3310, antara model pertama bersaiz kecil dan boleh dimuatkan dengan selesa di dalam poket seluar.

Inovasi yang berterusan menjadi teras kejayaan syarikat yang berpengkalan di Finland ini untuk terus kekal sebagai pengeluar telefon bimbit nombor satu di dunia.

Begitupun, menjelang tahun 2005, penggunaan telefon bimbit telah memperlihatkan perubahan ketara. Daripada sekadar sebuah peranti untuk membuat panggilan telefon dan menghantar teks khidmat pesanan ringkas (SMS), pengguna mula diperkenalkan dengan istilah smartphone atau telefon pintar yang menggabungkan fungsi organizer elektronik dan telefon.

Evolusi internet juga menjadi pemangkin kepada perkembangan telefon bimbit yang dapat dilihat pada hari ini. Pelbagai jenama baharu juga muncul secara tiba-tiba seperti O2, HTC, Samsung dan iPhone yang merupakan antara 'muka baharu' di dalam industri. Ia secara tidak langsung merampas kejayaan Nokia yang selama ini mendominasi pasaran telefon bimbit.

Jalur lebar

Pengenalan kepada capaian internet jalur lebar tanpa wayar seperti HSDPA (High-Speed Downlink Packet Access) dan yang terkini LTE (Long Term Evolution) membolehkan pengguna telefon mengakses aplikasi web yang dahulunya mustahil untuk dilakukan dengan pantas.

Keupayaan sistem operasi seperti Android, Windows Mobile dan iOS untuk mengadaptasi teknologi ini membolehkan pengguna mengakses pelbagai aplikasi rangkaian media sosial seperti Facebook dan Twitter hampir di mana-mana sahaja.


NOKIA masih belum mengaku kalah dalam persaingan pasaran konsumer.


Urusan perbankan elektronik juga menjadi lebih mudah kerana pelanggan tidak perlu ke bank atau ke mesin ATM untuk melakukan pelbagai jenis transaksi.

Nokia yang selama ini bertahan dengan sistem operasi milik mereka, Symbian, akhirnya terpaksa akur dengan kenyataan bahawa teknologi bukanlah sesuatu yang kekal, sebaliknya ia bersifat dinamik. Sebaik mana sekalipun sesuatu teknologi itu, ia perlu sentiasa diperbaiki atau diubah selari dengan permintaan pasaran.

Kini, Nokia kembali dengan Lumia 920 yang diharapkan dapat mengembalikan kegemilangan mereka. Menggunakan platform Windows 8 sebagai sistem operasi, telefon ini digerakkan oleh unit pemproses Snapdragon S4 dwiteras dengan kelajuan 1.5GHz bagi melancarkan lagi ciri pelbagai tugasan (multi-tasking).

Ciri-ciri standard yang terdapat pada kebanyakan telefon pintar hari ini juga terdapat pada Lumia 920. Nokia juga mengambil langkah bijak dengan memperkenalkan ciri NFC atau Near Field Communication yang boleh diaplikasikan untuk membuat pembayaran tanpa wang tunai.

Ia turut mengadaptasi teknologi jalur lebar LTE yang membolehkan ia mencapai rangkaian tanpa wayar yang saban hari memperlihatkan peningkatan kelajuannya.

Ciri kamera

Satu lagi ciri signifikan Lumia 920 ialah kameranya yang mempunyai 8.7 megapiksel dengan teknologi PureView. Teknologi ini menggandingkan Penstabil Imej Optikal dengan lensa Carl Zeiss yang mampu menghasilkan gambar dan video yang lebih terperinci, tidak kabur dan lebih terang walaupun di dalam persekitaran malap.

Kamera yang canggih tidak akan bermakna tanpa paparan yang menarik. Lantaran itu, telefon ini turut dilengkapkan dengan skrin PureMotion HD+ berukuran 4.5-inci yang bukan sahaja lebih terang berbanding model-model terdahulu, tetapi juga dinobatkan sebagai skrin yang mempunyai kadar responsif yang paling tinggi dan skrin sesentuh yang paling sensitif.

Dengan masa bercakap sehingga 10 jam dan 400 jam siap sedia, Lumia 920 tentunya dapat memberikan persaingan kepada iPhone 5 yang menawarkan waktu bercakap sekitar 8 jam sahaja.

Begitupun, ia perlu meningkatkan prestasi baterinya sekiranya ingin bersaing dengan Samsung Galaxy S3 yang menawarkan masa bercakap yang lebih lama.

Walau apapun, hanya pengguna yang dapat menilai kesemua ciri-ciri yang terdapat pada Lumia.

Persoalan sama ada Nokia dapat merampas kembali kedudukan teratas di dalam segmen telefon bimbit hanya dapat dijawab oleh pengguna.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved