Selasa, 30 Oktober 2012

Kosmo Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Enggan jaja kisah peribadi

Posted:

Enggan jaja kisah peribadi

Oleh RONI HIDAYAT RIDWAN

HAZAMA menunjukkan bakat lakonannya menerusi filem sulungnya, Apa Celop Toqq yang kini sedang ditayangkan di pawagam.


KALAU melihat kepada perkembangan kerjaya Hazama Ahmad Azmi, ternyata bukan mudah buatnya untuk menempatkan diri sebagai salah seorang penyanyi popular seperti yang dikecapinya sekarang.

Misalnya, kegagalan sewaktu menyertai rancangan realiti Akademi Fantasia 4 (AF4) dahulu, langsung tidak pernah melunturkan semangat Hazama. Sebagai bukti dia telah diangkat sebagai juara AF9 pada tahun lalu.

Ketika hadir menjalani sesi fotografi bersama Kosmo! baru-baru ini, penyanyi itu meluahkan rasa puas hatinya dengan pencapaian yang diperoleh, meskipun cerita mengenai dirinya kurang didedahkan.

"Semenjak kebelakangan ini ada yang berkata, saya seolah-olah seperti menyepi dalam industri kerana jarang keluar di media. Namun, itu bukan bermakna saya mendiamkan diri sahaja kerana sibuk dengan kerja belakang tabir serta mengumpul bahan untuk album baharu.

"Lagipun saya kurang gemar jika kisah peribadi terlalu digembar-gemburkan semata-mata mahu popular. Saya lebih suka sekiranya orang memperkatakan tentang produk yang saya hasilkan," ujar penyanyi berusia 28 tahun itu.

Tidak menafikan populariti juga sangat penting kepada seseorang artis, Hazama menyatakan, dengan kerjayanya sekarang sebagai seorang penyanyi sudah banyak membantu dirinya dikenali ramai.

Tambah Hazama, dia seboleh-bolehnya mahu menjadi artis yang dikenali ramai kerana bakat dan kebolehan, bukannya dengan menjaja kisah peribadi kerana ia boleh memberikan impak yang buruk kepada kerjayanya.

"Contohnya semasa cerita mengenai saya yang dikatakan berlagak sombong semasa makan di sebuah hotel beberapa bulan lalu.

"Apabila cerita tersebut tersebar ia membuatkan diri saya berasa sedikit tertekan dan kecewa sehingga takut untuk berhadapan dengan peminat," jelasnya.

Ketika diminta menceritakan perkara sebenar tentang peristiwa yang berlaku, Hazama menegaskan, dia langsung tidak berniat mahu bersikap sombong terhadap para pekerja di hotel berkenaan.

Jelas penyanyi itu, perbuatannya yang tidak menghabiskan makanan yang telah dihidangkan bukanlah disebabkan mahu berlagak. Sebaliknya, secara kebetulan makanan berkenaan tidak menepati seleranya.

"Saya pernah bekerja di hotel tersebut dan mempunyai ramai rakan di sana. Namun, secara kebetulan saya dilayan oleh pekerja baharu dan rakan-rakan saya pula tidak bekerja pada masa itu," ujarnya.

Tidak mahu dilabel sebagai penyanyi sombong dalam kalangan peminatnya memandangkan kariernya kini yang semakin berkembang, Hazama menyatakan dia mahu memberi sepenuh tumpuan kepada kerjaya dan akan melayan para peminatnya dengan sebaik mungkin.

Ada kekasih

Mengenai status dirinya sekarang, penyanyi yang popular menerusi lagu Cinta Teragung itu mendedahkan bahawa dia memang mempunyai kekasih yang sudah dikenalinya sejak sebelum menyertai AF lagi.

"Kami sudah bercinta selama enam tahun dan memang ada perancangan untuk berkahwin. Ia bagaimanapun bukan dalam masa terdekat ini kerana banyak perkara lagi yang perlu saya lakukan sebelum bergelar suami.

"Kekasih begitu memahami keadaan saya sekarang yang sedang berusaha keras dalam kerjaya. Jadi, dia tidak pernah memaksa saya dan kami tetap selesa dengan keadaan sekarang," jelasnya.

Bagaimanapun, dia tidak mahu ramai pihak salah sangka apabila mengaku sudah mempunyai kekasih, sedangkan dia bertekad untuk tidak mahu mendedahkan kisah peribadinya kepada umum.

"Rasanya tidak salah kalau beritahu yang saya sudah lama ada kekasih sebagai seorang artis yang menjadi public figure, sudah tentu pergerakan saya akan selalu diperhatikan.

"Jadi, kalau ada orang lihat saya keluar bersama kekasih sudah tentu mereka tidak akan bercerita yang bukan-bukan.

"Lagipun saya tidak mahu dedahkan identiti kekasih saya kepada umum semata-mata mahu menarik perhatian," tegasnya.

Pengalaman berlakon

Selain sibuk dengan kerjayanya sebagai penyanyi, kini Hazama melangkah setapak lagi dalam karier seninya apabila muncul sebagai seorang pelakon yang akan tampil menerusi filem sulungnya berjudul Apa Celop Toqq.

Ujarnya, ketika ditawarkan berlakon oleh Ahmad Idham dia sendiri mengaku agak terkejut, apatah lagi membawakan watak yang besar serta menjadi pelakon utama dalam filem tersebut.

"Saya akui pada mulanya seperti tidak percaya kerana langsung tiada pengalaman dalam dunia lakonan. Apabila difikirkan sudah tentu saya yang akan rugi kalau menolaknya kerana peluang sebegini tidak datang selalu.

"Apa pun saya puji dengan tindakannya yang berani mengambil risiko dengan menawarkan saya berlakon. Maka, saya perlu membalas segala kepercayaan yang telah diberikan dengan menampilkan lakonan yang terbaik," jelasnya berasa gugup ketika hari pertama berlakon.

Menurut Hazama, sepanjang menjalani penggambaran filem berkenaan selama sebulan, beberapa tawaran nyanyian yang diterima terpaksa ditolak semata-mata mahu memberi sepenuh komitmen.

Ujarnya, dia tidak mahu bersikap tamak dengan melakukan terlalu banyak kerja dalam satu masa kerana ia boleh mengganggu tumpuan sehingga menjejaskan kerja-kerja yang dilakukannya.

"Memandangkan kali pertama saya berlakon filem sudah tentu saya perlu memberikan komitmen seratus peratus kerana inilah masanya untuk membuktikan apa yang saya lakukan tidak sia-sia.

"Kalau saya tidak mendatangkan sebarang masalah sepanjang penggambaran, tidak mustahil akan ada lagi tawaran yang datang. Buktinya, saya sekarang diberi peluang berlakon filem kedua saya berjudul Lari," ujarnya.

Bukan galakkan bersekedudukan

Posted:

Bukan galakkan bersekedudukan

Oleh RONI HIDAYAT RIDWAN


FILEM Istanbul Aku Datang menggandingkan Lisa Surihani dan Berto Kusyairy buat pertama kali di layar perak.


KETIKA menonton filem Istanbul Aku Datang bersempena majlis malam gala yang diadakan di Golden Screen Cinema (GSC) Pavilion, Kuala Lumpur baru-baru ini, boleh dikatakan ia merupakan sebuah filem romantik komedi yang cukup menarik.

Filem terbitan kerjasama Grand Brilliance Sdn. Bhd. dan Red Films itu mengisahkan tentang seorang gadis bernama Dian (lakonan Lisa Surihani) yang berkunjung ke Istanbul, Turki terpaksa tinggal serumah dengan Haris (Beto Kusyairy) setelah ditipu oleh seorang lelaki tempatan.

Di sebalik lakonan mantap yang ditampilkan oleh dua orang pelakon utamanya itu, filem tersebut menimbulkan persoalan.

Ini kerana ia memaparkan kisah lelaki dan wanita bukan muhrim tinggal serumah dan dilihat sebagai sesuatu yang agak kurang sesuai dengan agama dan budaya masyarakat Malaysia.

Pengarahnya, Bernard Chauly berkata, pihaknya tidak bermaksud mahu menggalakkan perbuatan bersekedudukan kerana apa yang dipaparkan dalam filem itu adalah situasi seorang gadis yang tidak mempunyai pilihan lain apabila ditipu ketika hendak menyewa rumah.

"Bagi saya, terpulang kepada persepsi penonton terhadap jalan cerita filem ini, namun sebagai pengarah, saya ingin menegaskan penceritaan yang ingin disampaikan ialah mengenai insiden lucu yang terjadi membabitkan watak Haris dan Dian.

"Lagipun mereka cuma tinggal di dalam satu pangsapuri yang sama, tetapi berlainan bilik dan apa yang berlaku adalah disebabkan keadaan terpaksa yang dialami oleh Dian apabila ditipu dan semua wangnya habis," jelasnya.

Sementara itu, ketika ditanya tentang idea untuk menghasilkan filem berkenaan, pengarah yang sebelum ini popular menerusi filem Gol & Gincu dan Pisau Cukur menyatakan, semuanya bermula ketika kali pertama berkunjung ke Istanbul.

Menurut Bernard lagi, pada Januari tahun lepas, dia bersama penulis skrip Istanbul Aku Datang, Rafidah Abdullah dan penerbit Red Films, Lina Tan melancong ke Istanbul.

"Melihatkan pelbagai keunikan sepanjang berada di sana, akhirnya telah timbul idea dan kami mencapai kata sepakat untuk menghasilkan sebuah filem yang bercorak romantik komedi.

"Kemudian apabila pulang ke Malaysia, Rafidah terus menghasilkan skrip dan selepas itu kami telah berbincang dengan pihak Grand Brilliance untuk menjalinkan kerjasama sehinggalah penggambaran bermula pada September 2011," jelasnya.

Mengenai pemilihan para pelakon pula, pengarah berkenaan memberitahu, dia memilih Lisa, Beto dan Tomok sebagai teraju utama kerana mereka mempunyai kekuatan tersendiri untuk memainkan watak yang diberikan.

Ujarnya, dia sendiri mengakui sangat berdebar semasa kali pertama menonton filem arahannya itu, namun sangat berpuas hati dan memuji para pelakon yang telah menampilkan lakonan yang menarik dan memuaskan.

"Tidak dinafikan terdapat pelbagai cabaran yang terpaksa dilalui memandangkan ia 100 peratus dilakukan di Istanbul, namun saya tetap menyahut cabaran yang dilalui semata-mata mahu menghasilkan sebuah filem yang mampu menghiburkan penonton," jelasnya.

Kelas lakonan

Bagi memastikan para pelakon dapat menjiwai watak yang dibawa dengan berkesan, para pelakon telah menghadiri kelas lakonan selama dua minggu yang dikendalikan oleh Bernard dan penolongnya iaitu Umi Salwana Omar sebelum bertolak ke Istanbul menjalani penggambaran.

Bagi Beto, kelas lakonan yang dianjurkan itu sememangnya banyak membantu dirinya untuk memperkukuhkan lagi asas dan mutu lakonan agar watak yang dibawakan itu dapat menarik perhatian penonton.

"Walaupun saya sudah mempunyai banyak pengalaman berlakon, tetapi menerusi kelas lakonan tersebut banyak perkara yang saya belajar terutama menghayati watak sebagai Haris dalam filem ini.

"Berkenaan dengan watak saya pula, sudah tentu ia menampilkan banyak kelainan berbanding watak romantik yang pernah saya lakonkan sebelum ini," ujarnya.

Sementara itu, Lisa yang membawakan watak Dian pula mengakui berlakon dalam filem tersebut memberikan pengalaman yang berbeza dan gembira kerana dapat bekerjasama dengan satu pasukan produksi yang mantap.

"Mengenai gandingan dengan Beto dan Tomok langsung tidak mendatangkan masalah besar. Misalnya, Beto memang sudah berpengalaman luas dalam lakonan, manakala Tomok pula telah menampilkan lakonan yang baik dan berkesan," ujarnya.

Istanbul Aku Datang bakal ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia menjelang 8 November ini.

Que akui selektif

Posted:

Que akui selektif

Oleh MUHAMMAD IZWAN MOHD. ISA

KELUARGA bahagia. Que dan Linda bersama tiga permata hati mereka, (dari kiri) Ratu, Qalif dan Cleopatra.


BAKAT Tengku Iskhan Shah Tengku Haidar, atau lebih mesra disapa Que Haidar dalam bidang lakonan tidak perlu disangkal lagi.

Kehebatannya beraksi dalam filem-filem pecah panggung seringkali meninggalkan kesan yang mendalam di hati para peminat. Antara filem-filem popular lakonannya termasuklah KL Menjerit 1, Zombie Kampung Pisang, Castello dan Cinta.

Walau bagaimanapun, selepas mengakhiri zaman bujangnya dengan pereka tari terkemuka, Linda Jasmine kira-kira dua tahun yang lalu, pelakon yang pernah menerima anugerah Aktor Harapan Festival Filem Malaysia ke-19 ini mengambil keputusan untuk memperlahankan langkahnya dalam bidang lakonan.

Keputusan yang diambil olehnya ketika itu nyata mengejutkan banyak pihak termasuklah penggiat industri filem tanah air dan juga para peminatnya. Ada yang mengatakan Que 'memilih bulu' dan hanya akan bekerja dengan orang-orang tertentu sahaja.

Ada juga cakap-cakap nakal yang menuduh Que agak cerewet dalam pemilihan skrip yang ditawarkan kepadanya.

Ikuti penjelasan Que mengenai isu berkenaan ketika ditemui di majlis cukur jambul anak keduanya yang kini berusia kira-kira tujuh bulan, Tengku Cleopatra Haidar.

Majlis yang berlangsung di Restoran Songket, Jalan Yap Kwan Seng, Kuala Lumpur kelmarin itu turut dihadiri dua lagi anak mereka iaitu Tengku Ratu Haidar, 2 tahun, dan anak Linda daripada perkahwinan terdahulu, Qalif Khan, 12 tahun.

Kosmo!: Benarkah Que cerewet dalam memilih skrip filem?

QUE: Memang tidak dinafikan, saya agak selektif dalam pemilihan skrip. Saya kini telah bergelar bapa kepada tiga orang cahaya mata, jadi saya harus peka dengan beberapa perkara sebelum saya menerima tawaran berlakon sesebuah filem. Antara perkara yang harus diambil kira termasuklah waktu penggambaran, lokasi serta jalan cerita itu sendiri.

Jadi, adakah itu sebab utama Que menghilangkan diri selama ini?

Tidak juga. Walaupun saya jarang muncul di kaca TV dan layar perak, saya sebenarnya masih aktif di belakang tabir. Saya agak sibuk mengajar di bengkel serta kelas lakonan. Saya juga sedang berjinak-jinak dalam bidang perniagaan.

Adakah Que akan terus berhenti berlakon selepas bergelar usahawan?

Saya tidak pernah terfikir untuk berhenti berlakon. Seperti yang saya katakan tadi, saya harus meneliti sesebuah skrip itu terlebih dulu sebelum saya menerima tawaran untuk berlakon. Terbaharu, saya akan muncul dengan filem Rock 2, arahan Mamat Khalid yang bakal ditayangkan awal tahun hadapan.

Boleh ceritakan sedikit mengenai filem tersebut?

Dalam filem itu, saya memegang watak sebagai Amy Mat Piah yang tidak mempunyai bakat tetapi menyimpan impian dan bercita-cita tinggi untuk bergelar seorang penyanyi.

Setelah lama menghilang, mengapa Que memilih untuk berlakon filem di bawah arahan Mamat Khalid?

Setelah membaca skrip filem Rock 2, secara peribadi, saya rasakan filem ini adalah antara filem terbaik garapan Mamat Khalid. Dari situ, saya berasa teruja dan timbul minat untuk berkerjasama dengannya buat kali kedua.

Bagaimana kehidupan setelah bergelar seorang bapa?

Alhamdulillah, saya seronok menjadi seorang bapa. Kehidupan saya sekarang tidak hanya tertumpu kepada kerjaya semata-mata. Kini, keluarga menjadi fokus utama bagi saya.

Boleh ceritakan hubungan Que dengan Qalif?

Saya menganggap Qalif seperti anak saya sendiri. Dia rapat dengan saya dan kami sering menghabiskan masa bersama-sama. Qalif sangat sukakan cabaran. Jadi, saya selalu membawanya keluar melakukan aktiviti-aktiviti riadah termasuklah berkhemah di dalam hutan.

Bagaimana pula hubungan Ratu dan Cleo?

Ratu sangat 'gilakan' adiknya Cleo. Di rumah, dia seolah-olah badut dan sering membuat Cleo ketawa.

Sebagai seorang ketua keluarga, bagaimana Que menghabiskan masa bersama-sama isteri dan anak-anak?

Sudah menjadi tradisi, pada setiap malam Jumaat, kami akan berkumpul di ruang tamu dan menonton televisyen bersama-sama. Bagi saya, itu adalah masa yang sesuai untuk bertukar-tukar cerita dan bermesra dengan anak-anak.

Apakah pandangan Que jika anak-anak mahu mengikut jejak langkah Que dan Linda?

Saya rasa setiap kanak-kanak haruslah diberi peluang dan kepercayaan untuk melakukan perkara yang mereka suka. Jika anak-anak saya cenderung ke arah bidang hiburan, saya pasti akan menyokong seratus peratus. Anak kedua saya, Ratu yang kini berusia tiga tahun sangat suka menari. Jadi, saya dan Linda bercadang untuk mendaftarnya masuk ke kelas tarian ballet tahun hadapan.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved