Selasa, 16 Oktober 2012

Kosmo Online - Dunia


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Dunia


Penduduk Moro gembira

Posted:

Penduduk Moro gembira

LEONEN (kanan) dan Mohagher (kiri) menandatangani perjanjian rangka kerja untuk keamanan manakala perantara Malaysia, Tengku Abdul Ghafar Tengku Mohamed duduk di bahagian tengah di Istana Malacanang, Manila semalam.


MANILA - Ratusan penduduk bersorak gembira apabila pemerintah Filipina dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) menandatangani perjanjian rangka kerja untuk keamanan yang berharap akan menamatkan konflik selama 40 tahun di wilayah selatan negara itu.

Penduduk itu bersorak di luar Istana Malacanang semasa perjanjian tersebut ditandatangani.

Ribuan anggota MILF mengangkat senjata api di sebuah kem di wilayah Maguindanao 960 kilometer dari sini sebagai tanda menghormati majlis menandatangani perjanjian tersebut.

Beberapa wanita yang memakai tudung berwarna-warni menangis apabila Pengerusi MILF, Murad Ibrahim menggambarkan perjuangan selama 40 tahun itu sebagai penghargaan terhadap para pejuang yang terbunuh.

"Kami mengabdikan rangka perjanjian ini sebagai penghargaan kepada para pemimpin kami yang terbunuh. Mereka mengorbankan nyawa untuk Allah dan Bangsamoro," kata Murad.

Perjanjian itu ditandatangani antara perunding damai pemerintah, Marvic Leonen dan Ketua Perunding MILF, Mohagher Iqbal.

Sementara itu, seorang pensyarah kajian Islam, Profesor Julkipli Wadi dari Universiti Filipina berkata, penduduk Moro gembira dengan perjanjian itu.

"Namun, kami perlu peka dengan cabaran pada masa depan," tambahnya.

Upacara menandatangani perjanjian itu turut disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden, Benigno Aquino III.

Perang di selatan Filipina meragut lebih 150,000 nyawa sejak awal 1970-an dan pelbagai perjanjian damai yang dicapai sebelum ini, sama ada tidak membuahkan hasil atau tidak dapat dilaksanakan.

Perjanjian berkenaan dianggap sebagai 'perjanjian induk' yang menggariskan rangka tindakan ke arah pembentukan entiti baharu bagi Bangsamoro untuk menggantikan Wilayah Autonomi yang sedia ada di wilayah Islam Mindanao.

Perjanjian itu juga akan membuka jalan kepada usaha membangunkan semula Mindanao, yang sejak empat dekad lepas, mengalami pelbagai kerugian termasuk daripada segi prasarana, pelaburan dan masa depan.

Menurut laporan Bernama, perjanjian itu dilihat mampu mengurangkan dengan ketara kegiatan keganasan yang mencemari selatan Filipina sejak beberapa dekad lepas sekali gus mewujudkan suasana lebih kondusif bagi pelaburan dan pembangunan, di samping menyumbang kepada keselamatan menyeluruh di Filipina, termasuk di wilayah berkenaan.

Perjanjian itu antara lain, menyebut bahawa Bangsamoro akan diwujudkan untuk menggantikan Wilayah Autonomi Islam Mindanao.

Ia menyatakan bahawa Bangsamoro akan mendapat bahagian yang adil dan saksama daripada hasil yang dijana melalui kerja cari gali, pembangunan atau penggunaan sumber asli yang diperoleh dari semua kawasan/wilayah, tanah atau air yang diliputi dan terletak di bawah bidang kuasa Bangsamoro, sejajar dengan formula yang dipersetujui kedua-dua pihak. - Agensi

Sihanouk meninggal dunia di Beijing

Posted:

Sihanouk meninggal dunia di Beijing

GAMBAR fail menunjukkan Raja Sihanouk di Oudong, Kemboja pada 9 Disember 2002.


PHNOM PENH - Bekas pemerintah Kemboja, Raja Norodom Sihanouk, 89, meninggal dunia di Beijing, China semalam.

Penduduk Kemboja berkabung bagi menghormati jenazahnya yang akan dihantar pulang ke Kemboja untuk diberi penghormatan terakhir.

Menurut pembantu peribadinya, Putera Sisowath Thomico, Raja Sihanouk kerap berkunjung ke Beijing sejak Januari 2005 bagi menjalani rawatan perubatan.

Baginda meninggal dunia akibat serangan sakit jantung.

"Raja Sihanouk bukan milik keluarganya. Baginda milik negara Kemboja dan sejarah negara.

"Ia sesuatu yang menyedihkan. Saya berasa sangat sedih," kata Thomico.

Raja Sihanouk yang menyerahkan takhta kepada anaknya, Raja Norodom Sihamoni pada Oktober 2004 turut mengalami beberapa masalah kesihatan seperti kanser usus, kencing manis, darah tinggi dan pernah dua kali diserang strok.

Jenazah Raja Sihanouk akan dibawa pulang ke tanah airnya esok.

Raja Sihamoni dan Perdana Menteri Hun Sen mengalirkan air mata selepas berita kematian tersebut diumumkan akan berangkat ke Beijing untuk mengiringi jenazah baginda.

Jurucakap pemerintah Kemboja, Khieu Kanharith berkata, jenazah baginda akan diletakkan di istana Diraja di sini bagi memberi peluang kepada rakyat Kemboja untuk memberi penghormatan terakhir.

Baginda menjadi raja pada September 1941 selepas ditabalkan penjajah Perancis.

Baginda digulingkan menerusi rampasan kuasa yang dilakukan Jeneral Lon Nol yang disokong Amerika Syarikat pada 1970.

Raja Sihanouk kemudian ditahan di istana oleh rejim Khemer Rouge selama beberapa bulan.

Baginda menjalin hubungan yang rapat dengan para pemimpin revolusi China seperti Mao Zedong dan Zhou Elai.

Raja Sihanouk melarikan diri ke China sebelum Vietnam menceroboh dan menggulingkan pemerintahan Khemer Rouge.

Baginda menganggap China sebagai rumahnya yang kedua dan menghabiskan banyak masa di negara itu bersama isterinya, Monique. - Agensi

Basikal kadbod dicipta

Posted:

Basikal kadbod dicipta

BASIKAL kadbod Gafni lebih ringan.


MOSHAV AHITUV, Israel - Seorang pencipta Israel, Izhar Gafni mencipta sebuah basikal yang hampir keseluruhan badannya diperbuat daripada kadbod.

Menurut Gafni, basikal itu dihasilkan selepas menjalani banyak ujian.

Beliau yang berusia 50 tahun berkata, pengeluaran basikal itu akan bermula dalam tempoh beberapa bulan lagi dan akan dijual pada harga tidak lebih AS$20 (RM61.17).

"Semasa kami bermula (mencipta basikal tersebut) setahun setengah lalu, orang ramai ketawakan kami. Namun, kini kami menerima sebanyak 12 e-mel pada setiap hari untuk bertanyakan di mana mereka boleh membeli basikal itu," katanya.

Dia mencipta basikal itu di sebuah bengkel di sini.

Gafni meramalkan bahawa pada masa depan, kadbod mungkin digunakan dalam pembuatan kereta dan pesawat.

Kadbod dihasilkan daripada pulpa kayu yang dicipta pada abad ke-19. - Reuters

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved