Selasa, 4 September 2012

Kosmo Online


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online


UiTM perkenal program pengurusan dan sains halal

Posted:

UiTM perkenal program pengurusan dan sains halal

04/09/2012 4:33pm

KUALA LUMPUR — Universiti Teknologi Mara (UiTM) akan menjadi universiti pertama memperkenalkan kursus Diploma dan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan dan Sains Halal di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata pengenalan kursus itu akan membantu meningkatkan pertumbuhan industri halal negara menerusi penghasilan modal insan yang lebih arif tentang sektor tersebut.

"Graduan yang lahir dari kursus ini nanti akan menjadi penghubung utama antara Halal Development Centre (HDC), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dengan industri yang memerlukan keperluan halal," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Halal Antarabangsa 2012, di sini hari ini.

Sementara itu, Naib Canselor UiTM Datuk Prof Dr Sahol Hamid Abu Bakar yang turut hadir, berkata kursus akan ditawarkan di kampus induk di Shah Alam dan dalam proses mendapat kelulusan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

Pengambilan pertama dijangka September depan, membabitkan 30 lulusan Sijil Pelajaran Malaysia yang akan mengikuti pengajian asasi selama setahun sebelum meneruskan ke peringkat ijazah selama tiga tahun, katanya. — BERNAMA

Smart hanya selesai 45 peratus banjir KL

Posted:

Smart hanya selesai 45 peratus banjir KL

04/09/2012 4:09pm

KUALA LUMPUR — Sistem reka bentuk Lebuhraya Smart yang dibina sejak lima tahun lepas hanya dapat menyelesaikan 45 peratus masalah banjir besar di sekitar Kuala Lumpur.

Ketua Pegawai Operasi Syarikat Mengurus Air Banjir dan Terowong Sdn Bhd (Smart) Mohd Fuad Kamal Ariffin berkata Smart hanya berfungsi mengalih lebihan air di sekitar kawasan liputan Sungai Klang dan Sungai Ampang daripada memasuki pusat bandar.

Laluan diliputinya termasuk Masjid Jamek, Leboh Ampang, Jalan Tun Perak, Dataran Merdeka, Dang Wangi, Leboh Pasar, Pasar Seni, Dayabumi, Jalan Petaling serta kawasan segi tiga emas, Sungai Wang, Bukit Bintang, KLCC dan Pavilion.

Ketika ditemui pada Rumah Terbuka Smart di sini hari ini, beliau berkata bagi kawasan luar dari liputan Smart, banjir diselesaikan oleh beberapa projek lain antaranya Kolam Takungan Batu Jinjang.

Sepanjang tahun ini, katanya, Smart ditutup sebanyak dua kali iaitu pada Mac dan Mei bagi mengelak banjir.

"Walaupun Kuala Lumpur menghadapi kadar hujan yang tinggi, Smart masih boleh menampung dan membuat pengalihan air ke Sungai Kerayong," katanya.

Mengulas dakwaan terowong Smart tidak dapat berfungsi dengan baik dalam beberapa kejadian banjir besar di Kuala Lumpur pada Mac dan Mei lepas, beliau berkata kejadian banjir besar yang melanda Ampang, Bukit Belacan dan Hulu Langat serta Bandar Tun Razak pada Mac dan Mei lepas adalah disebabkan kadar taburan hujan terlalu tinggi. — BERNAMA

Mainan bernilai RM13,840 dirampas

Posted:

Mainan bernilai RM13,840 dirampas

04/09/2012 3:44pm

PUTRAJAYA - Barangan mainan kanak-kanak bernilai RM13,840 dirampas di seluruh negara bagi tempoh lima bulan pertama tahun ini kerana tidak mempamerkan tanda "Malaysian Conformity (MC)", yang diwajibkan mengikut Peraturan Standard Keselamatan Bagi Mainan Kanak-Kanak berkuatkuasa 1 Ogos 2010.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pada masa yang sama, 26 kes sedang disiasat berhubung ketidakpatuhan tersebut, dan jika sabit kesalahan boleh dikompaun tidak lebih 50 peratus daripada nilai denda atau dihadapkan ke mahkamah.

"Kita akan terus melaksanakan penguatkuasaan termasuk di pasar-pasar malam.

Kita juga harap pihak pengguna akan memaklumkan kepada kementerian kalau ada mengesyaki permainan yang tidak mengikut (mematuhi) standard ini," katanya kepada pemberita pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri kementerian di sini hari ini.

Kesalahan tersebut boleh didakwa mengikut Seksyen 25 (1), Akta Perlindungan Pengguna 1999, yang memperuntukkan denda maksimum RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya terhadap individu bagi kesalahan pertama manakala untuk kesalahan kali kedua atau berikutnya boleh didenda tidak melebihi RM250,000 atau dipenjara tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya.

Bagi pertubuhan pula boleh dikenakan denda tidak melebihi RM250,000 bagi kesalahan pertama manakala bagi kesalahan kedua atau yang berikutnya boleh didenda tidak melebihi RM500,000.

Kira-kira 5,000 jemputan menghadiri rumah terbuka tersebut termasuk 75 anak yatim dari Rumah Anak Yatim Nurhikmah, Kajang. — BERNAMA

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved