Isnin, 24 September 2012

Kosmo Online - Urban


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Urban


Pasar Buku Boco pupuk remaja membaca

Posted:

Pasar Buku Boco pupuk remaja membaca

Oleh MUHAMMAD AYMAN GHAFFA

SUASANA di Restoran Gravy Baby, Laman Seri Business Park, Seksyen 13, Shah Alam, Selangor pada 8 September lalu agak berbeza dengan suasana harian perniagaan di restoran itu.

Tidak seperti waktu operasi pada hari biasa, restoran yang kebiasaannya menghidangkan pelbagai juadah makanan kepada pelanggan, menyajikan pelbagai jenis buku di atas mejanya.

Tambah menarik, kebanyakan pelanggan pada hari itu terdiri daripada golongan remaja yang seolah-olah telah berjanji untuk memakai pakaian bertema iaitu berjalur.

"Saya terpanggil untuk ke Pasar Buku Boco ini atas undangan sahabat saya iaitu Adi Wafi dan Mosyuki Borhan yang melancarkan sebuah buku cerpen dan puisi yang bertajuk Rahsia 2 Pria," ujar Ranie Saidi, 25.

Ranie yang bekerja sebagai seorang peguam di sebuah firma guaman di ibu negara ternyata tidak kekok dengan suasana di pasar buku itu.

Pilihan buku alternatif

Kunjungannya itu juga membuka ruang kepadanya untuk melihat pelbagai genre buku daripada syarikat penerbitan alternatif yang jarang ditemui di kedai-kedai buku utama.

PASAR Buku Boco merupakan medan bagi syarikat penerbitan buku alternatif tanah air mempromosikan karya-karya mereka kepada remaja.


Bagi Ranie, beliau meminati buku-buku alternatif kerana setiap cerpen, novel mahupun puisi yang telah dihasilkan oleh penulis yang terlibat dengan genre buku tersebut lebih dekat dengan kehidupan realiti manusia biasa.

"Sebelum ini, saya hanya berpeluang membaca hasil karya penulis-penulis aliran alternatif ini dalam laman blog mereka. Apabila mengetahui pasar buku ini disertai oleh penerbit-penerbit buku aliran alternatif, ini merupakan peluang saya untuk bertemu muka dengan mereka di samping melihat buku-buku lain.

"Saya merupakan seorang pencinta bahan penulisan dan saya membaca pelbagai pelbagai jenis genre buku seperti buku sejarah sehingga novel cinta. Namun, buku-buku alternatif ini mempunyai gaya bahasa dan kandungan yang berbeza walaupun mempunyai genre yang sama dengan kebanyakan buku lain di pasaran," ujar Ranie yang meminati buku Bogel Menuju Tuhan karya pelakon terkenal, Zahiril Adzim.

Isi kandungan buku alternatif tanah air bersifat semula jadi, telus dan jujur selain gaya bahasa bersahaja, slanga serta lebih bermadah.

Menurut pelajar tahun akhir Matematik Pengkomputeran, Fakulti Sains Komputer dan Matematik, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Hanis Azam, 24, Pasar Buku Boco memberi peluang kepadanya untuk turut sama mempromosikan label perniagaannya kepada pasaran yang lebih luas.

"Ini merupakan kali pertama saya membuka gerai di Pasar Buku Boco. Walaupun saya menjual buku-buku terpakai dan aksesori wanita, barangan di gerai saya tetap mendapat sambutan daripada pengunjung.

"Sebelum ini saya hanya menjual aksesori dan buku-buku menerusi laman Facebook dan pembabitan saya melalui Pasar Buku Boco ini secara tidak langsung memberi peluang kepada saya untuk bertemu dengan peminat dan penerbit buku alternatif tanah air," ujarnya yang menggunakan nama Merah Pujangga sebagai label perniagaannya.

Cungkil idea baharu

Hanis merupakan salah seorang daripada 16 peserta yang terlibat dengan Pasar Buku Boco edisi keenam dan apa yang menarik setiap buku terpakai dijual pada harga RM10. Malah, hasil jualan tersebut akan didermakan kepada rumah anak-anak yatim.

Anak sulung daripada lima orang adik-beradik itu juga merupakan salah seorang pembaca setia buku-buku alternatif dan menamakan judul buku Langit Vanilla karya Wani Ardy sebagai salah satu karya terbaik yang dihasilkan oleh penulis tempatan.

KARYA seni fotografi daripada jurugambar tanah air menghiasi segenap Pasar Buku Boco.


Sementara itu seorang wartawan muda, Siti Juliana Mohd. Johar, 25, yang merupakan peminat fanatik buku-buku keluaran syarikat penerbitan Buku Fixi berpendapat bahawa fenomena pembacaan buku-buku alternatif masa kini semakin menular dalam kalangan remaja.

"Ini merupakan satu fenomena yang baik. Saya dapat lihat remaja-remaja berjaya memupuk kembali minat membaca dan bahan bacaan yang menjadi tumpuan mereka tentu sekali buku-buku alternatif.

"Kewujudan Pasar Buku Boco ini turut mengembangkan idea-idea segar daripada penulis buku tempatan selain dapat memberi pengetahuan kepada masyarakat mengenai industri buku alternatif tanah air yang kian mendapat sambutan saban hari," ujarnya yang turut berpeluang membeli karya terbaharu Buku Fixi iaitu Suami dan Isteri ketika berkunjung ke pasar buku itu.

Patung Monster High berjiwa baik

Posted:

Patung Monster High berjiwa baik

Oleh NIZHA PERIASWAMY


WATAK patung Monster High semakin mendapat tempat dalam kalangan kanak-kanak.


JIKA dahulu kebiasaannya patung mainan kanak-kanak lebih berbentuk comel, cantik dan montel, tetapi peredaran waktu tidak lagi mengekalkan unsur demikian.

Biarpun alat permainan kanak-kanak, khususnya si cilik perempuan obses dengan patung cantik dan lembut, namun imej dan persembahan patung sudah melalui revolusi.

Terkenal sebagai antara pilihan patung permainan utama di banyak negara, figura patung Monster High oleh Mattel Asia Tenggara Sdn. Bhd. kini menemui kanak-kanak di Malaysia dengan membawa perwatakan serba baharu dan misteri.

Pengenalan itu seiring dengan trend pemilihan patung mainan di beberapa negara Barat yang pesat menghadapi perubahan. Jika patung Barbie misalnya pernah mendominasi minat kanak-kanak dengan gaya persembahan, fesyen pemakaian, ukiran wajah ayu, namun cita rasa tersebut sama sekali berubah.

Baru-baru ini, satu laporan Walmart di Amerika Syarikat menamakan patung Monster High, sebagai antara pilihan alat permainan kanak-kanak tertinggi apabila berada dalam senarai 20. Alat permainan popular itu di rangkaian stor tersebut mengatasi koleksi Barbie Sisters Cruise Ship dan Holiday Barbie 2012 Doll.

"Figura patung berimej raksasa, hantu atau serigala yang dipersembah oleh Monster High tidak sama sekali membawa konsep jahat. Cuma, niat Mattel adalah untuk membimbing kanak-kanak perempuan iaitu pasaran sasaran kami untuk tampil berkeyakinan dengan siapa sahaja diri mereka," demikian kata Pengurus Jenama Monster High, Kelly Yip.

Mengimbas jalan cerita watak baharu itu, Monster High sebenarnya berpusat kepada kisah tentang sekumpulan remaja yang menyertai sekolah tinggi tetapi mereka tentu sekali bukan pelajar biasa.

"Kami membawa watak-watak ini secara lebih dramatis dalam jalan cerita yang menarik. Setiap patung ini mempunyai kelebihan dan kekurangan sendiri yang menjadikan mereka unik. Bukan itu sahaja, mereka turut ditemani haiwan peliharaan yang menambah nilai kepada watak makhluk tersebut," kongsi Kelly.

Fesyen dan trendy

Sungguhpun begitu, patung itu dipersembah dengan penuh nilai fesyen dan trendy di samping sifat-sifat tersendiri yang khusus memperlihatkan kelainan masing-masing secara jelas.

Ia sama seperti kehidupan seorang kanak-kanak pra remaja atau remaja yang mempunyai kelainan, tetapi dahagakan nilai fesyen yang tinggi di samping rakan-rakan yang lain. Mengambil kira sasaran remaja itu, Monster High percaya patung-patung yang diperkenal itu boleh melekat lebih dekat di hati kanak-kanak di sebalik perwatakan makhluk pelik dan hantu.

Sejak mula dilancarkan pada tahun 2010, jenama Monster High menjadi antara jenama terkenal dalam kalangan patung 12 inci di Amerika Syarikat, United Kingdom, Australia dan beberapa negara Eropah.

Berikutan kejayaan tersebut di lebih 30 negara, Mattel percaya pengenalan jenama itu di Malaysia akan memberikan trend penerimaan yang serupa atau lebih baik.

MONSTER High turut dipaparkan dalam bentuk kartun dalam laman webnya.


"Kami sedang mempromosi Monster High menerusi laman web www.monsterhigh.com, dengan memaparkan pelbagai siri kartun episod mini, pengenalan kepada watak dan bimbingan kepada setiap gaya serta fesyen patung-patung itu," kata Kelly lagi.

Mesej yang hendak disampaikan oleh Monster High melalui figura patung itu adalah bukan semua imej yang buruk sebenarnya jahat.

Malah, figura-figura pantulan drakula, frankenstein, warewolf dan mummy itu dizahirkan semula dengan watak positif sebagai karakter anak-anak iaitu Frankie Stein, Draculaura, Clawdeen Wolf, Ghoulia Yelps, Laguna Blue dan sebagainya.

"Kami mahu membuktikan, tidak kira siapa kita, bagaimana perwatakan atau persembahan diri, yang penting adalah keyakinan dan bangga dengan diri sendiri," ujar Kelly lagi.

Pelancaran koleksi patung itu diadakan di sebuah bilik gelap di Pusat Persembahan Seni Kuala Lumpur (KLPac).

Malah, lebih menggerunkan apabila model-model lengkap dengan solekan makhluk dan raksasa turut tampil di dalam bilik mengikut karakter Monster High.

Pakej sihat Jatomi Fitness

Posted:

Pakej sihat Jatomi Fitness

Oleh MUHAMMAD AYMAN GHAFFA

PINTU utama Jatomi Fitness di Tropicana City Mall.


KEWUJUDAN kelab kesihatan dan gimnasium di kebanyakan kompleks beli-belah sekitar Lembah Klang dilihat sebagai satu langkah untuk memudahkan warga kota menjalani gaya hidup sihat.

Lantaran itu, hampir kebanyakan kompleks beli-belah utama tanah air mempunyai sekurang-kurangnya sebuah pusat kecergasan.

Seiring dengan itu, pendatang baharu di pasaran kelab kesihatan dan gimnasium Malaysia, Jatomi Fitness turut menawarkan perkhidmatan tersebut di Tropicana City Mall, Petaling Jaya, Selangor.

Tampil dengan tema Love The Feeling, kelab Jatomi Fitness pertama di Malaysia itu dibina dengan keluasan 17,000 kaki persegi (1,579 meter persegi).

Kelab itu memuatkan pelbagai kelengkapan senaman dan kemudahan terkini untuk kegunaan ahli-ahli yang berdaftar.

Setiap ahli diberi peluang untuk menjalani senaman melalui tiga modul utama iaitu MINDfit, EATfit dan MOVEfit. Modul itu menggabungkan tiga kaedah asas dalam kitaran senaman setiap manusia iaitu latihan minda, program pemakanan dan penjadualan latihan senaman yang betul.

Ketua Pegawai Eksekutif Jatomi Fitness, Elaine Jobson memberitahu, Jatomi Fitness turut menyediakan latihan permulaan dan kelengkapan senaman kepada individu yang pertama kali mencuba untuk bersenam di gimnasium.

"Jatomi Fitness memberi galakan kepada rakyat Malaysia untuk tampil sihat mengikut kaedah yang telah diterapkan dalam setiap modul," ujarnya pada majlis perasmian pembukaan Jatomi Fitness baru-baru ini.

Mesin Curve

SETIAP ruang Jatomi Fitness dipenuhi dengan kelengkapan senaman yang terkini.


Pembukaan kelab kesihatan dan gimnasium itu merupakan destinasi pertama Jatomi Fitness di rantau Asia selepas negara-negara Eropah seperti Poland, Bulgaria dan Turki.

Setiap ahli kelab itu harus mencuba mesin larian Curve kerana ia merupakan sebuah mesin larian berteknologi tinggi yang digunakan oleh Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) bagi melatih angkasawan.

Mesin larian Curve turut membakar lebih 30 peratus kalori berbanding mesin larian yang kebiasaannya terdapat di gimnasium.

Yuran pendaftaran permulaan ahli dicaj sebanyak RM100 dan yuran bulanan pula bermula daripada RM150 sehingga RM195 mengikut tiga pakej yang ditawarkan.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved