Sabtu, 29 September 2012

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Tanduk rusa Sungai Lembing

Posted:

Tanduk rusa Sungai Lembing

APABILA ditanya pendapat orang ramai tentang fungsi tanduk rusa, kebanyakan mereka beranggapan ia hanya sesuai dijadikan perhiasan dinding.

Dengan cabang lancip yang asalnya tumbuh meninggi, gantungan tanduk rusa apatah lagi di rumah desa, mudah memberi tafsiran bahawa ia adalah ornamen yang kaya dengan nilai eksotik.

Namun, di sebalik pandangan tipikal itu, tanduk rusa sebenarnya mempunyai 1001 manfaat perubatan yang diketahui sejak 2,000 tahun lalu.

Di Rusia misalnya, pakar-pakar kesihatan dan kecergasan negara itu mendedahkan bahawa atlet mereka mengalami peningkatan prestasi yang besar selepas mengambil bahan bukan toksik yang dihasilkan daripada tanduk muda rusa yang lebih dikenali sebagai tanduk baldu atau velvet antler.

Malah, menurut satu penyelidikan perubatan alternatif yang diketuai Pengerusi Persatuan Akupuntur Amerika dan Perubatan Biotenaga, Prof. Dr. Alex Duarte, di New Zealand, tanduk baldu digunakan sejak berabad lalu untuk mengawal tekanan darah, meningkatkan tahap hemoglobin serta menambah kecekapan fungsi paru-paru.

Menurut sejarah perubatan, tanduk baldu boleh mengubati 52 penyakit berbeza.

Antaranya, membantu pembinaan otot, meningkatkan fungsi kelenjar, menambahkan stamina, menajamkan kecerdasan mental, melegakan keradangan artritis, dan menyembuhkan ulser perut.

LELAKI ini optimis ternakan rusa dan tuaian tanduk baldu boleh dikomersialkan dan menjadi cabang baharu kepada industri perubatan alternatif tempatan.


Sementara itu, pakar herba China menggunakan tanduk baldu bagi menyeimbangkan sistem endokrin dan rawatan mati pucuk kaum lelaki.

"Tanduk baldu sangat bagus untuk merawat bengkak pada kelenjar prostat, malah boleh memekatkan air mani.

Mati pucuk

"Ia juga banyak digunakan untuk merawat gangguan haid kerana ia mengandungi kedua-dua hormon lelaki dan wanita.

"Selain itu, tanduk baldu kaya dengan komponen tulang rawan, enzim, mineral, vitamin, prostaglandin antiradang dan sejenis insulin pertumbuhan iaitu IGF-1," jelas Duarte.

Lantaran manfaatnya yang pelbagai dan potensi kebolehpasaran tanduk baldu sebagai cabang perubatan alternatif, seorang usahawan ternakan, Muhammad Akhbar Chiraghdin, 52, yang sejak muda menternak lembu dan kambing, mula mengalihkan tumpuan kepada ternakan rusa.

Mempunyai pengalaman selama 19 tahun menternak rusa, beliau kini merupakan penternak terbesar rusa di negara ini.

Bermula dengan 22 ekor rusa di ladang yang dibuka di Bukit Sentosa, Rawang, Selangor, rusa yang dibiak dan diternaknya kini mencecah 2,000 ekor.


PANGKAL tanduk diikat sebelum tanduk dipotong dengan wayar kabel.


Penternakan skala besar itu juga mendorong Muhammad Akhbar untuk berpindah ke ladang baharu di Sungai Jin yang terletak di Sungai Lembing, Pahang, dua tahun lalu.

Berdiri atas nama De Paradise Sdn. Bhd., anak kelahiran Chenor, Maran ini berpendapat, menternak rusa jauh lebih mudah daripada lembu atau kambing kerana ia memiliki daya tahan penyakit yang tinggi.

"Kita tidak perlu risaukan penyakit berjangkit seperti penyakit kaki, mulut, tangan dan kuku, malah kadar penyembelihan haiwan kerana sakit juga jauh lebih rendah berbanding dahulu," ujarnya.

Buktinya, di ladang seluas 102 hektar yang diusahakannya itu, Muhammad Akhbar memerlukan empat atau lima pekerja sahaja bagi memastikan ribuan rusa pelbagai spesies yang mempunyai kadar kesuburan 125 peratus itu diberi makan pada masa tertentu.

Gigit tanduk

Menariknya, tujuan lelaki ini menternak bukanlah untuk menjual daging rusa, sebaliknya mahu mendapatkan tanduk baldu yang kaya dengan khasiat perubatan.

"Selepas membaca banyak jurnal perubatan dari Amerika Syarikat, Kanada, New Zealand, China dan Korea, kemudian bertukar-tukar pendapat dengan rakan-rakan penternak dari Australia serta merasai sendiri manfaat daripada tanduk baldu rusa, saya pasti penternakan rusa berpotensi untuk dikomersialkan.

"Saya ternak rusa untuk dituai tanduk baldunya memandangkan belum ada pengusaha tempatan yang menceburi bidang ini, apatah lagi dalam skala besar.

"Rusa hanya akan disembelih dan dijual dagingnya apabila ia tercedera atau tidak mampu menghasilkan tanduk yang berkualiti," katanya.

Menurut beliau lagi, hanya rusa jantan yang ditumbuhi tanduk dan ia boleh dituai seawal usia tiga tahun.

"Selepas dua bulan tanduk baldu tumbuh, ia boleh dituai. Dalam tempoh itu, tanduk memiliki kepanjangan antara 40 sentimeter (sm) hingga 60sm.

"Tanduk yang berumur tiga bulan boleh mencecah ukuran sehingga 80sm, tetapi pada masa itu tanduk mula mengeras.

"Rusa yang bakal dituai tanduknya diasingkan sebelum dimasukkan ke dalam sebuah bilik gelap.

"Di situ nanti, proses menuai dilakukan. Ramai beranggapan, memotong tanduk rusa hidup-hidup kelihatan zalim, namun fitrah rusa itu sendiri mahukan tanduk itu ditanggalkan.


UNTUK mematikan saraf tanduk dan menghentikan pendarahan, bahan kimia khas digunakan.


"Kalau tanduk dibiarkan panjang dan mengeras, rusa lain akan menggigit tanduk rusa tersebut sehingga ia tertanggal. Fitrah ini berlaku dalam keadaan tenang, bukan dalam situasi pergaduhan," ujar Muhammad Akhbar.

Jelasnya juga, tanduk rusa akan dituai sehingga ke pangkalnya.

"Selepas dua minggu tanduk dipotong, pangkalnya yang mengeras akan tertanggal.

"Beberapa bulan selepas itu, tanduk baldu akan tumbuh semula. Begitupun, tanduk tidak akan terus tumbuh.

"Jika tanduknya dituai pada bulan September tahun ini, tanduk rusa yang sama hanya boleh dituai pada bulan Oktober tahun hadapan.

"Dalam setahun, hanya sekali tanduk rusa boleh dituai," jelas Muhammad Akhbar yang menjalankan rutin menuai tanduk baldu seminggu sekali di ladangnya.

Katanya, dalam setahun, ladangnya mampu mengeluarkan sehingga 600 kilogram (kg) tanduk baldu.

Topeng bomoh bergelar ustaz

Posted:

Topeng bomoh bergelar ustaz

Oleh SITI NOR AFZAN KASIMAM

PESAKIT wanita perlu ditemani mahram ataupun rakan semasa menjalani rawatan. Jika pengamal perubatan itu lelaki, batasan aurat juga perlu dijaga. - Gambar hiasan


MINGGU lalu, seorang bomoh palsu, Muhammad Sombhah Abdullah, 48, diberkas Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) ketika merawat seorang wanita berusia 23 tahun.

Dia yang tinggal di Kuala Lumpur datang ke rumah wanita berkenaan sebelum dipercayai mengamalkan nikah batin bagi menghalalkan zina dengan si pesakit.

Dia berbuat begitu kononnya itulah cara untuk mengubati masalah mendapatkan anak yang dihadapi wanita itu. Ketika ditahan, lelaki itu hanya memakai seluar dalam manakala mangsa berpakaian lengkap.

Bertopengkan ayat-ayat suci al-Quran untuk memperdaya mangsa, lelaki itu dikatakan memulakan muslihat upacara nikah batin dengan bayaran mas kahwin sebanyak RM200.

Di Johor Bahru pula, seorang bomoh yang mendakwa dirinya mampu menggandakan wang, mengelak wang daripada disedut makhluk halus dan boleh membersihkan barang kemas daripada saka, dijatuhi hukuman penjara 45 tahun dan 15 sebatan Jumaat lalu selepas didapati bersalah menipu tiga individu di negeri itu yang melibatkan kerugian RM173,478.

Berteman

Pada tahun 2008, taktik kotor pengamal perubatan tradisional tempatan untuk mengaut keuntungan itu pernah dipaparkan di stesen televisyen Korea.

Bomoh yang menggunakan status ustaz dalam rancangan itu mendakwa boleh menyerap racun dalam badan pesakit menggunakan telur, sedangkan telur yang digunakannya sudah menjalani beberapa kaedah saintifik yang dapat mengubah isi kandungannya.

Tindakan bomoh-bomoh palsu tersebut ternyata jauh menyimpang daripada kaedah perubatan saintifik yang diamalkan secara meluas di negara ini.

Namun begitu, rakyat Malaysia masih ramai yang suka menyelesaikan masalah dengan mencari bomoh. Bermula daripada mencari barang hilang, membuka pintu rezeki, menaikkan seri wajah, pendinding dan pelaris hinggalah terkena penyakit misteri, semuanya mahu dibawa berjumpa bomoh.

Menurut pengamal perubatan Islam daripada Persatuan Pengubatan Islam Darul Ansar, Saiful Nizam Hasim, individu yang ingin mendapatkan khidmat pengubatan tradisional perlu peka dengan kaedah rawatan yang diamalkan bagi mengelak daripada terpedaya.

"Seorang pengamal perubatan Islam sepatutnya merawat pesakit berlandaskan syariat Islam. Mereka harus menjaga batas aurat dan tidak sekali-kali merawat wanita secara bersendirian.

"Malah, pengamal mesti meminta izin terlebih dahulu daripada mahramnya.

"Selain itu, anda juga boleh melihat barang-barang yang digunakan untuk mengubat. Jika ada kemenyan ataupun keris, berwaspadalah. Barang-barang itu tidak salah, tetapi kaedah pemujaan yang dilakukan bertentangan dengan syariat Islam.

"Sekiranya anda bertemu dengan dukun yang mengamalkan jampi atau mantera, walaupun ada diselitkan dengan ayat-ayat al-Quran, pastikan anda mendengar dengan jelas, ditakuti ada tersembunyi sesuatu di sebalik mantera yang dibacakan," jelasnya.

Dalam kalangan pengamal perubatan, ada juga yang percaya bahawa mereka boleh merawat dengan bantuan daripada roh tokoh terbilang Islam seperti Sunan Kalijogo atau Sheikh Abdul Kadir Jailani.

Akta

"Itu hanya tipu daya jin kerana mengikut konsep tauhid Ahli Sunah Waljamaah, roh tidak boleh bertemu dengan manusia," katanya.

Sementara itu, menurut Yang Dipertua Gabungan Pertubuhan Pengamal Perubatan Tradisional Melayu Malaysia (Gapera), Mohd. Adzhar Abd. Latif, sesiapa yang ingin mendapatkan khidmat bomoh dinasihatkan supaya melihat keperibadian pengamal perubatan itu terlebih dahulu.

"Tidak salah jika kita meletak rasa curiga terhadap perlakuan dan permintaan aneh daripada bomoh berkenaan.

"Pesakit berhak memilih kaedah rawatan yang dirasakan sesuai. Apa yang penting, pastikan pengamal yang anda jumpa benar-benar layak untuk merawat apatah lagi sekarang semua pengamal perubatan tradisional sudah diwajibkan mendaftar," katanya.

Khamis lalu, Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang Perubatan Tradisional dan Komplementari 2012 yang bertujuan memastikan kualiti dan keselamatan pesakit yang menggunakan rawatan alternatif terjamin.

Pewartaan rang undang-undang itu mewajibkan semua pengamal perubatan tradisional dan komplementari berdaftar dengan Majlis Perubatan Tradisional dan Komplementari yang dipengerusikan Ketua Pengarah Kesihatan jika ingin memberikan perkhidmatan kepada masyarakat.

"Melalui rang undang-undang ini, pengamal berdaftar akan melaksanakan perkhidmatan mengikut garis panduan yang telah ditetapkan.

"Jika wujud salah laku, pesakit boleh mengadu kepada Kementerian Kesihatan ataupun pihak penguasa tempatan untuk diambil tindakan," kata Mohd. Adzhar.

Gurah mencuci suara

Posted:

Gurah mencuci suara

Oleh SITI NOR AFZAN KASIMAN

LEBIHAN lendir menyempitkan rongga hidung seterusnya mengganggu kelancaran pernafasan dan penghasilan suara dengan sempurna.


DALAM perubatan tradisional, ada beberapa kaedah pengubatan yang berupaya mengeluarkan toksin secara langsung daripada tubuh sekali gus membuatkan pesakit berasa lega. Antaranya rawatan bekam, resdung dan gurah.

Mungkin ramai yang sudah biasa mendapatkan rawatan resdung dan pernah mendengar ataupun melihat sendiri cara berbekam, namun, rawatan gurah memang jarang-jarang diperkatakan.

Menurut seorang pengamal perubatan gurah, Muhammad Razali Ahmad, 37, kaedah rawatan ini dapat mengeluarkan semua lendir yang ada di hidung dan kerongkong supaya nafas menjadi lebih panjang dan lunak.

"Rawatan ini turut dikenali sebagai rawatan cuci suara. Selain membersihkan hidung dan kerongkong, ia juga dapat menyelesaikan masalah resdung dan simptom kerap bersin terutamanya pada waktu pagi.

"Bagi yang kerap berdengkur, rawatan ini turut membantu pelanggan mengurangkan dengkuran bagi mendapatkan tidur yang lebih berkualiti.

"Begitupun, buat pelanggan yang mahu mengurangkan dengkuran, mereka perlu menjalani rawatan lebih kerap berbanding pesakit biasa, lama-kelamaan, insya-Allah, masalah dengkur mereka akan beransur hilang," kata Muhammad Razali.

Menurutnya, kaedah rawatan yang menggunakan titisan air rebusan akar kayu terpilih itu biasanya mengambil masa selama 45 minit untuk selesai.

"Pelanggan akan diminta berbaring sebelum air rebusan akar kayu dititiskan ke dalam hidung.

"Dalam masa seminit, tekak pesakit akan berasa sedikit pedih sebelum dia diminta duduk dengan memegang sebuah baldi kecil.

"Beberapa saat kemudian, pesakit secara automatik memuntahkan lendir berwarna putih jernih daripada hidung dan mulut.

"Bagi yang tidak pernah membuat rawatan gurah, ibu kerak yang berwarna kekuningan seperti nanah dan sedikit berbau juga akan keluar bersama," ujar Muhammad Razali lagi.

Dengan bayaran RM50 bagi sekali rawatan, lendir yang dikeluarkan pesakit akan dipastikan benar-benar bersih sebelum sesi tersebut dianggap selesai.

Antara pelanggan yang sering mendapatkan khidmat gurah terdiri daripada kalangan artis, qari, qariah dan bilal.

Lancar

"Selepas rongga dibersihkan, lontaran suara anda akan berasa ringan serta mantap. Kaedah ini juga mampu merawat penyakit suka berkahak dan resdung yang kerap bersin pagi," ujar Muhammad Razali.

Katanya lagi, apabila terlalu banyak lendir di dalam kerongkong dan rongga hidung, saluran pernafasan menjadi sempit. Bayangkan jika lendir itu sudah berkumpul di situ bertahun-tahun lamanya, pasti sedikit sebanyak ia menjejaskan fungsi rongga yang dahulunya lapang.

Walaupun tidak memberi kesan sakit secara langsung, kehadiran lambakan lendir di kawasan tersebut mengganggu kelancaran pernafasan dan suara.

"Kebanyakan pelanggan yang datang mendapatkan rawatan di sini sering mengadu sukar untuk menarik suara dalam nada tinggi ataupun panjang.

"Biasanya apabila sudah terlalu banyak lendir, tidak banyak angin yang boleh memasuki rongga hidung dan kerongkong. Keadaan ini menyebabkan dada cepat mengah dan suara mudah 'tersepit'.

"Seperti meniup belon, bila kita tiup, ia mampu menyimpan banyak angin, jika kita lepaskan, pengaliran udara yang keluar juga lancar, tetapi jika kita kepitkan jari di mulut belon, pastinya angin susah nak keluar dan bunyinya juga membingitkan telinga, begitu juga kaitan antara rongga yang luas, udara dan suara," jelas Muhammad Razali panjang lebar.

Walaupun banyak manfaat rawatan pembersihan kerongkong dan rongga hidung ini, pelanggan tidak digalakkan melakukannya secara kerap.

"Paling ideal, ia dilakukan tiga bulan sekali. Jika terlalu kerap, lendir belum banyak terkumpul. Dikhuatiri proses pembersihan tersebut akan memedihkan rongga hidung pula," ujarnya yang belajar mengendalikan rawatan gurah daripada seorang pakar gurah di Pahang.

Biarpun kaedah rawatan ini nampak mudah, Muhammad Razali tidak menggalakkan pelangannya melakukan proses pembersihan lendir ini sendirian di rumah.

"Jika tidak kena teknik memasukkan air rebusan kayu itu tadi, mungkin rawatan ini tidak menjadi," katanya yang menyediakan rawatan untuk pesakit lelaki sahaja.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved