Sabtu, 15 September 2012

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Fariza ingin 20 anak

Posted:

Fariza ingin 20 anak

KATA sesetengah orang, sakit bersalin itu ibarat beberapa tulang rusuk dipatahkan serentak atau kuku dicabut daripada isinya. Sebahagian wanita pula mengalami loya dan muntah-muntah sepanjang sembilan bulan tempoh kehamilan.

Namun, bagi seorang ibu, Fariza Ibrahim, dia bagaikan sudah lali dengan kepayahan dan kesakitan itu. Fariza, 47, yang berkahwin pada usia 19 tahun sudah dikurniakan 14 orang anak – fenomena yang jarang ditemui di Malaysia memandangkan purata sebuah keluarga moden sekarang memiliki antara tiga hingga lima orang anak sahaja. Secara purata, dia hamil selama 126 bulan atau lebih 10 tahun.

"Semua anak saya dilahirkan secara normal," ujar pemegang ijazah dalam bidang kimia daripada Universiti Queensland, Australia ini.

Fariza yang berasal dari Kepala Batas, Pulau Pinang, bertemu jejaka Negeri Sembilan, Abdul Halim Abdullah, di universiti yang sama pada tahun 1984. Pasangan berkenaan berkahwin di Australia.

ABDUL HALIM ingin kesemua anaknya melanjutkan pelajaran di Universiti Al-Azhar, Mesir.


Kemudian, Fariza dan Abdul Halim sama-sama mengambil ijazah kedua dalam bidang pengajian Islam di Universiti Al-Azhar, Mesir.

"Saya sempat melahirkan tiga orang anak semasa menuntut di Mesir. Selama tujuh tahun di sana, ramai rakan universiti yang tolong menjaga anak-anak semasa saya pergi ke kuliah," cerita Fariza.

Mengunjungi kediaman pasangan ini di Seremban, Negeri Sembilan, suasananya terasa meriah sekali.

"Seperti sekolah bukan? Di sinilah kami membesarkan 14 orang anak, lapan perempuan dan enam lelaki. Sepuluh daripadanya tinggal dengan kami kerana masih bersekolah," cetus Abdul Halim, pemilik sebuah agensi pelancongan Muslim ini.

Abdul Halim menggabungkan tiga buah rumah teres dua tingkat untuk dijadikan tempat tinggal yang selesa bagi keluarga besarnya. Setelah diubah suai, rumah ini mempunyai sembilan buah bilik termasuk sebuah bilik khusus untuk tetamu.

Tutur Abdul Halim, dia dan isteri tiada sebarang petua untuk memiliki anak yang ramai. "Ia satu anugerah dan amanah daripada Allah," beritahu Abdul yang meyakini setiap anak yang dilahirkan ada rezeki masing-masing.

ABDUL HALIM menggabungkan tiga buah rumah teres dua tingkat untuk keselesaan keluarganya.


Anugerah

"Jika diikutkan saya ingin ada 20 orang anak. Memang bukan senang untuk membesarkan seorang anak lebih-lebih lagi terpaksa merasai sakit bersalin, tetapi saya seronok melihat pelbagai telatah dan ragam mereka," celah si isteri, Fariza Ibrahim, 47.

Sebelum ini, seorang wanita Amerika Syarikat, Michelle Duggar, menjadi terkenal kerana melahirkan anak yang ke-19 pada tahun 2009 pada usia 42 tahun. Angka 19 memeranjatkan Michelle sendiri sebelum dia hamil lagi pada hujung tahun lalu. Bagaimanapun, anak ke-20 pasangan Michelle dan Jim Bon itu mengalami keguguran.

Menurut Fariza, dia menyangka kelahiran anak yang ketujuh, Ahmad Muktaz pada tahun 1997 merupakan zuriat yang terakhir.

"Rupa-rupanya saya dikurniakan tujuh orang anak lagi selepas itu. Buat masa ini 14 orang anak sudah memadai bagi saya tetapi tidak menolak jika saya bakal mengandung lagi pada masa hadapan," katanya yang berhenti kerja sebagai guru sekolah agama swasta selepas mendapat anak yang ke-12.

Jika keluarga besar, perbelanjaan mingguan juga bertambah. Itu satu perkiraan matematik yang mudah.

"Saya mengamalkan perbelanjaan secara mingguan untuk keperluan dapur. Biasanya saya akan beli tiga ekor ayam, tiga hingga lima kilogram daging (kg), 5kg ikan dan 30 biji telur selain makanan kering dan susu bayi.

"Bila masak terasa seperti sedang menyediakan hidangan untuk majlis kenduri pula," katanya ketawa.

Dari segi pengangkutan, keluarga ini menggunakan dua buah kereta iaitu Perodua Kelisa dan Toyota Avanza untuk pergi ke destinasi pilihan.

"Suami berasal dari Seremban manakala saya dari Kepala Batas, Pulau Pinang. Jika balik kampung, kedua-dua kenderaan digunakan," ujar Fariza yang memanggil anaknya dengan nama gelaran mengikut kedudukan anak dalam keluarga seperti along, angah, ateh dan alang.

Walaupun mempunyai anak yang ramai, soal didikan agama menjadi keutamaan pasangan ini.

"Tiga orang anak saya sedang melanjutkan pelajaran di Universiti Al-Azhar, Mesir. Jika tiada aral, kesemua mereka akan dihantar belajar di sana.

"Persekitaran beragama masih kuat di Mesir. Di sebalik kisah kezaliman Firaun, ia juga sebenarnya bumi anbiya. Kisah Nabi Musa dan Nabi Yusuf, misalnya, berlaku di Mesir. Negara itu juga melahirkan banyak ulama terkenal sejak lebih 1,400 tahun lalu. Jadi mungkin disebabkan itu suasana Islam agak kuat di sana.

KATA Abdul Halim, setiap anak yang dilahirkan ada rezeki masing-masing.



Masjid-masjid di sana selalunya dipenuhi jemaah setiap kali solat fardu, selain kurangnya masalah sosial," kata Abdul Halim.

Menurutnya lagi, dia ingin setiap anaknya berjaya dalam kehidupan dunia dan akhirat.

"Setiap ibu bapa inginkan yang terbaik untuk anaknya. Doa anak yang soleh tidak akan terputus walaupun tulang-belulang kita sudah lama hancur di dalam kubur," beritahu Abdul Halim.

Mengharap kasih orang muda

Posted:

Mengharap kasih orang muda

Oleh MEGAT LUTFI MEGAT RAHIM

SEBANYAK 15 peratus rakyat negara ini ialah orang tua menjelang tahun 2030.


ZAMIR, 60, sudah lima tahun tinggal di sebuah rumah jagaan orang tua di Puchong, Selangor. Walaupun dia mempunyai tiga orang anak yang sudah berkeluarga dan menjawat jawatan eksekutif di syarikat terkenal di ibu negara, Zamir menjangkakan dia akan menghabiskan sisa kehidupannya di rumah tersebut.

"Saya terima sahaja ketentuan ini. Saya tidak pernah menyalahkan anak-anak. Mereka sudah besar dan inginkan kehidupan sendiri," kata Zamir kepada Jurnal.

Dia tinggal di situ selepas kematian isterinya pada tahun 2007.

"Ibu bapa dahulu boleh menjaga anak dengan baik sehingga mereka berjaya tetapi anak-anak hendak menjaga ibu atau bapa sekarang seorang pun susah," ujarnya dalam nada sedih.

Begitupun, dia bersyukur kerana kehidupan dan kesihatannya lebih terurus sepanjang tinggal di rumah jagaan tersebut.

"Makanan disediakan secara teratur. Surau juga terletak berdekatan, jadi senang untuk solat berjemaah," katanya.

Tutur Zamir, pernah ketiga-tiga anaknya berjanji untuk mengambilnya pulang setiap minggu tetapi malangnya tidak dilaksanakan.

"Hanya rakan-rakan seusia di rumah ini yang menjadi peneman," katanya.

Kisah Zamir wajar menjadi iktibar. Ini kerana Malaysia bakal mencapai status negara tua menjelang tahun 2030 ekoran peratusan warga emas yang berumur 60 tahun mencapai kadar 15 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk.

Kelahiran

Faktor ini turut didorong oleh penurunan kadar kelahiran yang menyebabkan bilangan generasi muda semakin berkurangan.

"Berdasarkan perangkaan terkini, kadar kelahiran bagi setiap 1,000 penduduk yang dicatatkan sejak tahun 1980 hingga 2010 jelas menunjukkan penurunan.

"Kadar kematian juga mengalami penurunan iaitu daripada 5.3 orang bagi setiap 1,000 penduduk kepada 4.8 orang bagi setiap 1,000 penduduk.

"Secara tidak langsung, jumlah warga tua akan terus meningkat di negara ini," jelas Pengarah Institut Gerontologi, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Tengku Haizan Hamid.

Tengku Haizan memberitahu, perkara lain yang perlu diambil kira ialah jumlah rumah jagaan warga tua bakal meningkat.

"Dalam tempoh 18 tahun akan datang kita khuatir ramai anak muda yang enggan menjaga ibu bapa mereka yang uzur khususnya mereka yang menetap di bandar-bandar besar," ujarnya.

Tambah beliau, tidak mustahil kawasan perumahan juga akan dipenuhi oleh warga tua.

"Kemudahan taman awam untuk golongan muda selain penjagaan kesihatan bagi warga tua perlu ditambah," ujarnya.

Hokkien

Beliau turut bimbang fenomena kekurangan orang muda akan memaksa negara mengimport tenaga kerja asing.

"Faktor ini mungkin mendorong peningkatan kadar jenayah sekiranya tiada perancangan dibuat," tutur Tengku Haizan.

Beliau juga menasihatkan golongan berumur 40-an kini supaya tidak hanya bergantung kepada simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tetapi mencari sumber simpanan lain.

"Simpanan KWSP tidak mencukupi. Duit itu akan habis dalam tempoh yang singkat bagi membayar penuh pinjaman perumahan serta perbelanjaan semasa.

"Saya sendiri mempunyai simpanan khusus kerana tidak ingin mengharapkan belas ihsan orang lain apabila tua kelak," tegasnya.

Bekas Presiden Persatuan Kebajikan Usiamas Malaysia (Usiamas), Syed Barkat Syed Ali memberitahu, Malaysia boleh mencontohi negara Barat dalam isu penjagaan warga emas.

Katanya, di sana masyarakat bekerjasama dengan pihak kerajaan dan swasta untuk menjaga warga emas yang hidup sebatang kara atau dipinggirkan oleh anak-anak.

Merujuk negara ini, Syed Barkat mencadangkan kita mencontohi sikap masyarakat Hokkien.

"Mereka bukan sahaja menyediakan rumah perlindungan dan kemudahan untuk warga emasnya, bahkan menyalurkan bantuan kepada kaumnya yang kesempitan hidup.

"Tetapi tugas ini sebenarnya perlu digalas oleh kerajaan," ujarnya.

Mengulas bagaimana masyarakat boleh memainkan peranan, katanya, rumah ibadat seperti masjid boleh menganjurkan program bagi menjana wang.

"Duit itu boleh digunakan untuk membina sebuah rumah kebajikan warga tua di dalam kawasan kampung atau kariah masjid itu.

"Saiz rumah kebajikan itu mestilah cukup untuk menampung jumlah warga tua di kawasan masing-masing," tutur Syed Barkat.

Misteri kota dalam gua

Posted:

Misteri kota dalam gua

Oleh NOOR SYAHIDATOOL AQMA MOHD. NOOR

PINTU masuk ke Gua Kota Gelanggi, gua yang menyimpan pelbagai kisah misteri.


GUA Kota Gelanggi yang terletak di daerah Jerantut, Pahang menyimpan pelbagai cerita ganjil dan misteri.

Di dalam gua ini, terdapat tujuh buah gua yang dipanggil kota iaitu Kota Tongkat, Kota Gelap, Kota Angin, Kota Balai, Kota Rehut, Kota Jin dan Kota Kepayang. Gua-gua ini dipanggil kota yang membawa maksud negeri-negeri yang berada di bawah Kota Gelanggi pada zaman dahulu.

Ada yang mengatakan gua itu wujud berikutan pergaduhan antara Raja Muda Mambang dan putera Raja Rembau bernama Rusul kerana berebutkan puteri Datuk Indera Raja Laut.

Raja Muda Mambang mencabar Rusul untuk bertarung dengannya. Rusul menyahut cabaran itu lalu menyuruh Raja Muda Mambang menikamnya, tetapi tidak berjaya.

Apabila tiba giliran Rusul, dia melepaskan keris terbangnya, lalu keris berkenaan menikam dada Raja Muda Mambang yang serta-merta membunuhnya.

Darahnya dikatakan sentiasa mengalir sehingga ke hari ini melalui aliran cecair yang kelihatan di dinding Gua Kota Gelanggi berhampiran struktur batu yang menyerupai manusia terbaring.

Kebetulan pula pada masa itu, Sang Kelembai sampai di Kota Gelanggi lalu menegur pergaduhan itu. Teguran itu menyebabkan semua benda dan makhluk di situ menjadi batu. Maka terjadinya gua-gua batu dengan pelbagai bentuk struktur yang menyerupai kota, bilik, manusia, binatang, peralatan perang, peralatan kenduri serta peralatan dan perhiasan perkahwinan.

Terdapat pula versi yang menyatakan pada masa dahulu, mukim Pulau Tawar di daerah Jerantut adalah sebuah pulau yang besar. Rajanya, Raja Gelanggi mempunyai seorang puteri yang cantik dan ditunangkan dengan seorang anak raja di Rembau bernama Raja Usul.

Puteri

Kecantikan dan kebaikan puteri itu turut diketahui oleh Raja Mambang di kayangan. Raja Mambang ingin memperisterikan puteri Raja Gelanggi, lalu meminangnya. Oleh kerana takut, Raja Gelanggi terpaksa menerima pinangan itu.

Apabila tiba hari perkahwinan, Raja Usul sampai di Kota Gelanggi dengan tujuan untuk menghantar hadiah kepada tunangnya.

Kapalnya ditinggalkan di suatu tempat yang sekarang ini digelar Lanchang, dekat Kampung Masjid, Pulau Tawar. Dia naik ke darat dengan perahu lalu ke kota.

Alangkah terkejutnya bila majlis pernikahan sedang dijalankan lantas berlaku peperangan antara angkatan Raja Usul dan Raja Mambang.

Ketika inilah, Sang Kelembai muncul dan menegur tentang perangai mereka yang sanggup berperang kerana seorang perempuan. Akhirnya semua yang ada di situ menjadi batu, kapal menjadi tanah, laut menjadi padang dan sungai menjadi lembah.

Mengikut versi seorang penyelidik bernama Cameron pula, seorang raja bernama Raja Gelanggi mempunyai seorang anak perempuan cantik dan menjadi idaman putera Raja Mambang di Lipis.

Putera itu meminta ayahandanya menyunting puteri itu tetapi puteri berkenaan menolaknya.

Pada ketika yang lain, seorang putera raja kepada Raja Usul dari Bera telah keluar berburu bersama orang-orangnya berdekatan dengan Gelanggi. Putera itu telah terpandang kepada puteri Raja Gelanggi lalu menculiknya dan membawa puteri itu pulang ke Bera.

Puteri Gelanggi tidak membantah kerana bencikan tunangnya, lalu bersetuju mengahwini putera Raja Usul.

Culik

Hal penculikan itu diketahui oleh Raja Mambang. Walaupun pada mulanya Raja Gelanggi terlibat dalam peperangan dengan Raja Usul bagi mendapatkan kembali puterinya, baginda kemudian menyerahkan hal itu kepada Raja Mambang kerana puterinya hidup bahagia.

Raja Mambang turun ke Bera dan berperang dengan Raja Usul tetapi malangnya baginda sendiri yang terbunuh.

Menurut Perunding Penyelidikan dan Pembangunan Budaya Melayu Antarabangsa, Datuk Aripin Said, berdasarkan kajian yang dilakukan, berlaku pergaduhan antara Raja Kota Gelanggi iaitu Raja Mambang dan Raja Tasik Bera yang mahu menakluk antara satu sama lain tetapi keadaan menjadi reda apabila Raja Mambang berkahwin dengan Puteri Tasik Bera.

"Semasa persandingan, Sang Kelembai telah datang dan menegur menyebabkan kesemuanya bertukar menjadi batu.

"Oleh sebab itu, ada batu yang seakan-akan menyerupai orang sedang bersanding, gajah dan singa terdapat dalam gua misteri ini.

"Dikhabarkan juga terdapat sebuah kota yang tidak ditemui tetapi hanya mereka yang bernasib baik akan terjumpa kota yang dipercayai tempat raja bersemayam.

"Keadaan di dalam tujuh kota ini juga gelap dan tidak semua pelancong yang datang akan menjelajah kesemua kota disebabkan faktor keselamatan," jelasnya.

Tambahnya, kisah misteri gua tersebut juga ada diceritakan di dalam buku Cerita-Cerita Rakyat Pahang. Seorang profesor dari Jerman juga pernah merakamkan cerita di sebalik gua ini kira-kira dua tahun lalu.

"Mengikut kajian arkeologi juga mendapati sebuah negeri pernah wujud di gua ini berdasarkan kepada beberapa penemuan.

"Namun, mitos kononnya gua ini boleh dihubungkan terus ke negeri Kelantan juga tidak dapat dibuktikan lagi buat masa ini," ujarnya.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved