Khamis, 27 September 2012

Kosmo Online - Negara


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Negara


Mayat pelombong gagal dikeluarkan

Posted:

Mayat pelombong gagal dikeluarkan

Oleh MULLER ASEN
berita@kosmo.com.my

BEBERAPA ahli keluarga Sze Chun tidak dapat menahan kesedihan selepas mayatnya gagal dibawa keluar di Gunung Tabai, Bau semalam.


KUCHING – Misi mengeluarkan mayat pelombong emas haram yang mati dihempap dua bongkah batu sebesar kereta Perodua Kancil di kaki Gunung Tabai dekat sini awal pagi kelmarin, dihentikan terus petang semalam atas faktor keselamatan.

Ia ekoran operasi semakin rumit selepas berlakunya runtuhan baharu bongkah batu dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Bau, Deputi Superintendan Mohd. Sabri Zainol berkata, operasi selama dua hari tersebut dihentikan kira-kira pukul 4 petang kerana masih banyak lagi bongkah batu yang tidak dapat dialihkan.

Menurutnya, disebabkan struktur terowong tersebut tidak stabil dan diburukkan lagi dengan runtuhan terbaharu, misi mengeluarkan mayat mangsa, Lee Sze Chun, 37, di kaki gunung tersebut terpaksa ditamatkan serta-merta.

"Pasukan menyelamat terpaksa dikeluarkan dari terowong terbabit selepas berlaku runtuhan kerana kita tidak mahu berlakunya kehilangan nyawa membabitkan anggota penyelamat.

"Pada masa yang sama, saya mewakili pasukan mencari dan menyelamat memohon maaf kepada ahli keluarga mangsa kerana gagal membawa keluar mayat Sze Chun.

"Bukan kita tidak mampu menggalas tugas itu tetapi kita juga perlu memikirkan keselamatan anggota penyelamat," katanya kepada pemberita di tempat kejadian dekat sini semalam.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Rakyat tunggu ‘hadiah’ Bajet 2013

Posted:

Rakyat tunggu 'hadiah' Bajet 2013

NAJIB menunjukkan cadangan Bajet 2013 selepas melakukan tinjauan persiapan terakhir di Kementerian Kewangan di Putrajaya malam tadi. Turut hadir ialah, Menteri Kewangan Dua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah (kiri), Timbalan-timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussein (dua dari kanan) dan Datuk Donald Lim Siang Chai (kanan).


KUALA LUMPUR – Jika bajet yang dibentangkan pada tahun lalu sarat dengan berita gembira dan durian runtuh untuk rakyat, kini sentimen itu pastinya berulang lagi pada pembentangan Bajet 2013 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Bangunan Parlimen hari ini.

Sudah tentu semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung tertunggu-tunggu satu lagi pembentangan bajet yang prihatin kepada rakyat.

Antara perkara yang diharapkan ialah hadiah untuk rakyat daripada pelbagai latar belakang pendapatan ketika menghadapi kenaikan kos sara hidup termasuk keperluan harian yang semakin melambung.

Turut mendapat perhatian ialah bagaimana bajet kali ini mahu menangani kenaikan harga tanah dan rumah secara mendadak khususnya di bandar-bandar utama.

Menurut pemerhati pasaran, Bajet 2013 mungkin membantu golongan pertengahan yang memperoleh pendapatan antara RM3,000 hingga RM7,000 untuk memiliki rumah kediaman melalui Skim Rumah Pertamaku.

Skim Rumah Pertamaku telah dilancarkan tahun lalu dan ia disasarkan untuk membantu golongan berpendapatan kurang daripada RM3,000 sebulan.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Harapan rakyat Kelantan

Posted:

Harapan rakyat Kelantan

KAMARUDDIN menunjukkan kad yang akan diedarkan kepada rakyat Kelantan di Kota Bharu semalam.


KOTA BHARU – Anak kelahiran Kelantan termasuk yang tinggal di luar negeri ini berpeluang menyatakan harapan mereka kepada kerajaan negeri akan datang menerusi 200,000 kad yang diedar gabungan badan bukan kerajaan yang menggelarkan diri mereka sebagai Gerakan Tukar Kerajaan Pas Kelantan Demi Rakyat (Tukar).

Kumpulan itu melancarkan kempen 'Harapanku' pada 22 September lalu dan akan berlangsung hingga 22 November ini.

"Kami telah menerima kembali lebih 5,000 kad Harapanku dan yakin mampu mengutip sekurang-kurangnya 180,000 keping kad apabila kempen tersebut berakhir," kata Pengerusi Tukar, Kamaruddin Kassim di sini semalam.

Beliau sebelum itu mengedarkan lebih 1,000 kad kepada orang ramai di Pasar Besar Siti Khadijah di sini.

Harapanku bertujuan mengumpulkan hasrat anak Kelantan untuk disampaikan kepada kerajaan negeri yang akan dibentuk selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Kamaruddin berkata, bagi perantau, mereka boleh melayari laman Facebook di www.facebook.com/groupe/22harapanku/ atau laman sesawang, 22harapanku.webs.com.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved