Selasa, 11 September 2012

Kosmo Online - Infiniti


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Infiniti


Gajet pantau penyakit jantung

Posted:

Gajet pantau penyakit jantung

Oleh KHADIJAH MOHAMAD NOR

CETUSAN idea pakar kardiologi antarabangsa, Prof. Michael C.L. Lim dalam menghasilkan alat pemantau Elektrokardiogram (ECG) yang diintegrasi ke dalam telefon bimbit secara tidak langsung membuka lembaran baharu dalam sejarah perubatan penyakit jantung.

Ini kerana gajet yang dikenali sebagai EPI Life itu membolehkan sesiapa sahaja memeriksa dan merekod tahap ECG masing-masing ketika merasai simptom berkaitan masalah kardiologi.

Telefon mudah alih pertama di dunia yang memiliki sistem tersebut telah diperkenalkan oleh Heartronics Sdn. Bhd. iaitu sebuah syarikat teknologi e-kesihatan yang memberi tumpuan kepada mempromosi dan memperkenalkan ciptaan teknologi terkini dalam bidang kepakaran tele-perubatan, pemantauan kesihatan jarak jauh dan peralatan diagnostik mudah alih.

Kesan lebih awal

Ia direka dan dibangunkan oleh EPI Mobile Health Solutions (S) Pte Ltd (EPI) untuk memberi perhubungan antara pesakit dan pakar perubatan serta membolehkan pengesanan awal penyakit jantung.

Pengarah Urusan Heartronics Sdn. Bhd., Jean-Michel Mougin berkata, alat yang boleh dimuatkan ke dalam poket itu dapat membantu menyelamatkan nyawa mereka yag mempunyai sejarah penyakit jantung atau berisiko mengalaminya.


SEBARANG perubahan denyutan jantung anda kini boleh direkodkan dalam telefon bimbit.


"Melalui pengesanan awal, rakyat Malaysia boleh mendapatkan nasihat perubatan serta-merta sebelum keadaan menjadi bertambah serius atau berlaku kes kematian mengejut akibat serangan jantung.

"Orang ramai perlu berwaspada kerana penyebab utama kematian jantung secara mengejut adalah disebabkan ia tidak dikesan. Akibatnya pesakit tidak berusaha mendapatkan rawatan. Justeru, pengambilan ECG merupakan cara terbaik untuk mengesan arrhythmia (denyutan jantung abnormal) kerana ia mengukur aktiviti elektrikal jantung dengan tepat," jelas beliau sewaktu pelancaran EPI Life di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Setelah mendaftar untuk perkhidmatan ECG EPI Life, pengguna akan dihubungkan secara automatik ke Pusat Concierge Kesihatan yang beroperasi 24 jam sehari. Apabila mengalami simptom seperti loya, sesak nafas, rasa pening, mengalami debaran jantung atau sakit dada, pengguna boleh mengambil ECG melalui EPI Life.

Ia boleh dilakukan dengan cara memegang telefon tersebut menggunakan tiga jari yang disentuh pada bahagian sensor. Tahap ECG kemudian akan dihantar ke pusat melalui GPRS.

Pusat tersebut yang diselenggara oleh doktor pakar dan juruteknologi kardiologi akan menganalisis bacaan sebelum menghantar keputusan penilaian dalam bentuk khidmat pesanan ringkas (SMS) dalam tempoh beberapa minit.

Sementara itu, Michael menyatakan, EPI Life direka dan dibangunkan bukan sahaja untuk kemudahan dan keselamatan pesakit jantung, tetapi juga bagi mereka yang tergolong dalam kumpulan berisiko tinggi serta mereka yang ingin mengurus kesihatan dengan lebih baik.

PENGARAH Urusan Heartronics, Jean Michel Mougin (dua dari kiri) bersama David (dua dari kanan) dan Micheal (kanan) menunjukkan telefon bimbit ECG pada pelancaran telefon bimbit ECG untuk mengesan penyakit jantung.


"Alat ini amat praktikal untuk merekod denyutan jantung pada bila-bila masa dan di mana jua. Lebih-lebih lagi sekiranya mereka berasa tidak selesa atau mengalami simptom yang mungkin menandakan masalah jantung," kata beliau sambil memberitahu konsep produk itu sudah dibangunkan sejak tahun 1990.

Tambahnya, data ECG yang dirakam dengan EPI Life menunjukkan 98 peratus hubung kait dengan 12 Lead-ECG standard. Ia berdasarkan kajian klinikal yang dijalan dan disiarkan dalam jurnal Jantung Eropah.

Untuk setiap bacaan ECG, ia akan direkodkan secara dalam talian menerusi Fail Kesihatan Peribadi Maya khusus untuk setiap pengguna sebagai rujukan perubatan pada masa akan datang.

Dalam pada itu, Pakar Kardiologi Hospital Pantai Kuala Lumpur (HPKL), Dr. David Quek melahirkan rasa gembira apabila HPKL dipilih EPI Life untuk hospital rujukan.

"Dengan adanya Pusat Jantung Pantai sebagai salah sebuah daripada Pusat Kecemerlangan Bersepadu yang menawarkan perkhidmatan rawatan jantung komprehensif, saya percaya hospital ini mampu membekalkan perkhidmatan yang diperlukan oleh pesakit yang dirujuk," tuturnya.

Mengulas lebih lanjut, beliau berkata simptom tidak selesa kadangkala berlaku sekejap sahaja dan tidak tetap. Justeru, kebanyakan orang tidak perasan pun apa yang dialami mungkin masalah jantung.

"Dalam kebanyakan kes, pesakit biasanya hanya merujuk kepada doktor atau pergi ke hospital setelah simptom reda.

"Pada ketika itu, doktor akan menghadapi masalah mengenal pasti keadaan yang tidak teratur ini atau memberikan diagnosis tepat kerana bacaan denyutan pesakit mungkin sudah kembali normal. Maka, di sinilah fungsi EPI Life boleh digunakan untuk merekod tahap kesihatan jantung anda," ungkapnya.

Pelancaran EPI Life telah dirasmikan oleh Pengarah Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Dr. Balachandran Setiamurthi yang mewakili Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.

Dalam ucapannya, beliau memaklumkan bahawa penyakit jantung masih menjadi penyebab utama kematian di Malaysia.

"Faktor lain seperti diabetes, tekanan darah tinggi dan obesiti yang dikaitkan dengan penyakit jantung juga sedang meningkat. Oleh itu masyarakat perlu lebih proaktif dalam menjaga kesihatan jantung walaupun merasakan diri sudah sihat dan cergas.

"Dengan cara itu, rakyat dan kerajaan akan dapat mengurus kos rawatan kesihatan yang semakin meningkat dengan lebih baik terutamanya apabila keadaan tidak teratur itu dapat dikesan serta dirawat dari peringkat awal," kata Balachandran.

Ais Artik semakin 'menghilang'

Posted:

Ais Artik semakin 'menghilang'

Pemanasan global telah menyebabkan semakin banyak ais di Artik mencair dan kehilangannya menyebabkan suhu bumi semakin tinggi saban tahun.


AIS Artik yang semakin lenyap juga memberi ancaman kepada habitat kutub yang tinggal di situ.


KEHILANGAN ais di Artik menyebabkan kesan pemanasan global meningkat dua kali lebih pantas.

Ais putih sepatutnya bertindak seperti payung yang memantulkan semula cahaya dan haba matahari berbanding permukaan air yang menyerap dan seterusnya memanaskan bumi. Malangnya, kini peratusan ais yang tinggal telah menurun kepada angka paling rendah dalam sejarah.

Saintis ais, Profesor Peter Wadhams dalam temu bual dengan program Newsnight terbitan Perbadanan Penyiaran British (BBC) berkata, pengiraan yang dibuat menunjukkan permukaan air terbuka di laut lepas menyerap cahaya matahari dalam kadar yang 'bersamaan dengan kira-kira 20 tahun pertambahan karbon dioksida oleh manusia'.

Pakar dari Universiti Cambridge itu berkata, ais Artik kini semakin lenyap, seumpama spesies yang pupus.

Pada sekitar tahun 1980, jumlah ais Artik pada musim panas merangkumi dua peratus daripada permukaan bumi, namun sekarang ia tinggal separuh dan isipadu ais telah menjunam kepada satu per empat daripada asal.

"Isipadu ais pada musim panas kini tinggal suku daripada keadaan 30 tahun dahulu dan ia merupakan permulaan kepada kemusnahan terakhir," kata Wadhams.

Menurutnya, peranan sebagai 'payung besar' yang dimainkan kawasan kutub utara itu dipanggil kesan albedo. Ia memantulkan cahaya matahari ke atmosfera dalam.

Oleh kerana kekurangan permukaan salji dan ais putih yang sepatutnya bertindak demikian, bumi kini menerima kesan buruknya kerana sinaran yang patut dipantul keluar kini diserap permukaan air sekali gus menyumbang kepada kenaikan suhu bumi.


SELAMA ini, ais di kutub membantu kestabilan suhu dunia tanpa kita sedari.


Suhu panas

Sebahagian Lautan Artik kini mempunyai kepanasan seperti musim panas di Laut Utara walhal ia berada dalam zon sejuk.

Apa yang berlaku kemungkinan besar menimbulkan kesan 'menyakitkan' kepada United Kingdom, kata Adam Scaife dari Pejabat Meteorologi Hadley Centre kepada Newsnight dengan menyifatkan ia turut berkait dengan musim panas yang sentiasa hujan.

"Beberapa kajian menunjukkan terdapat peningkatan risiko musim panas lembap dan bertekanan rendah di United Kingdom dengan keadaan ais yang semakin cair.

"Malah, musim sejuk juga semakin kurang sejuk dan kurang salji," katanya lagi.

Pelbagai pendapat dikeluarkan mengenai nasib kawasan ais di Artik, namun Pejabat Meteorologi beranggapan ia tidak akan cair sepenuhnya pada musim panas sehinggalah tahun 2030.

Sementara itu, Polis Rusia menahan seramai 10 aktivis Greenpeace yang mengadakan tunjuk perasaan di hadapan ibu pejabat syarikat gergasi minyak Rusia, Gazprom baru-baru ini.

Tindakan itu dilakukan selepas pihak berkuasa mendapat laporan mengenai kejadian tunjuk perasaan bagi membantah kerja-kerja penggerudian minyak di kawasan Artik yang dikaitkan dengan syarikat berkenaan.


AIS yang mencair tidak lagi boleh bertindak sebagai pemantul cahaya dan haba matahari.


Bantahan

Kordinator Greenpeace Rusia bagi kempen Artik, Roman Dolgov berkata, bantahan itu berakhir tidak lama kemudian selepas kehadiran pihak berkuasa.

"Seramai 10 aktivis telah ditahan berhubung insiden berkenaan," katanya.

Dalam kejadian itu, para aktivis yang berpakaian kostum beruang kutub itu mengecam Ketua Pegawai Eksekutif Gazprom, Alexei Miller dengan membawa sepanduk, 'Miller, syarikat kamu telah membunuh Artik'.

Ada di antara aktivis tersebut yang lebih berani merantai diri sambil membuat tembok manusia bagi menghalang laluan masuk ke ibu pejabat sambil membawa sepanduk berbunyi: 'Gazprom telah memusnahkan Artik'.

Sementara itu, jurucakap Greenpeace, Vera Bakasheva berkata, enam aktivis dari Rusia yang ditahan telah dibawa ke mahkamah dan didakwa kerana kesalahan melanggar peraturan kerana menganjurkan tunjuk perasaan.

Terdahulu, seorang aktivis dari Poland, Piotr Dankowski memberitahu bahawa dia sanggup datang dari Warsaw kerana tidak mahu ketinggalan menyertai tunjuk perasaan itu.

Katanya, dia tidak terkejut sekiranya ditahan pihak berkuasa disebabkan tindakannya merantai diri bagi membentuk tembok manusia.

"Ia merupakan tunjuk perasaan secara aman. Namun di Rusia kamu tidak boleh membuat tunjuk perasaan seperti ini dan tidak ditahan," katanya.

Greenpeace merupakan pertubuhan alam sekitar antarabangsa sebelum ini aktif mengadakan kempen menentang rancangan aktiviti cari gali minyak di kawasan Artik yang dikaitkan dengan Gazprom.

Dolgov memberitahu, dalam tunjuk perasaan itu aktivis-aktivis dari Austria, Jerman, Hungary, Poland dan Rusia berkumpul dan mengadakan sekatan di luar ibu pejabat Gazprom selama sejam sambil melaungkan bantahan 'Selamatkan Artik'.

iGo primo navigasi tiga dimensi

Posted:

iGo primo navigasi tiga dimensi

Oleh ADLAN JAAFAR

DARI kiri: Imre, Lester dan Roger melancarkan aplikasi navigasi iGo primo di Kuala Lumpur baru-baru ini.


HARI ini terdapat pelbagai jenis alatan Sistem Penentu Kedudukan Global (GPS) di pasaran. Pengguna seringkali menyifatkan ia mudah dan selamat digunakan. Namun, tidak dapat kita nafikan terdapat beberapa masalah kecil yang sering dihadapi pengguna seperti keadaan jalan raya yang tidak sama seperti dalam peta GPS.

Malah, terdapat beberapa GPS yang tidak dapat memberi gambaran sebenar suasana tempat yang dituju atau dilalui sama ada bentuk bangunan mahupun keadaan trafik.

Menyedari masalah remeh tersebut boleh menjadi begitu menjengkelkan, syarikat berpusat di Hungary, NNG LLC yang pakar dalam pembangunan perisian permainan video membangunkan industri tiga dimensi (3D).

"Sepanjang membangunkan perisian permainan video, kami menyedari bahawa kami mampu membangunkan grafik 3D yang dapat dimainkan pada plaform berkualiti paling rendah seperti untuk pemetaan," kata Naib Presiden Pemasaran Unit Asia NNG LLC, Roger Huang di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Kini, pihaknya telah memenuhi kehendak pasaran navigasi untuk telefon pintar, navigasi persendirian dan automotif yang berbeza kehendak pasaran.

Setakat ini, mereka telah memiliki lebih 115 buah peta di seluruh dunia seperti di Amerika Syarikat, China dan Afrika Selatan. Melalui M3 Technologies (Asia) Berhad, baru-baru ini NNG LLC telah melancarkan aplikasi navigasi iGo primo di Kuala Lumpur untuk kawasan serantau.

Pada harga yang sangat berpatutan iaitu AS$17.99 (RM56) untuk sekali pembelian, pengguna iPhone dan iPad boleh menggunakan peta komuniti rantau Asia Tenggara merangkumi Malaysia, Singapura, Indonesia dan Brunei.

Peta-peta di Malaysia, Singapura dan Brunei disediakan secara percuma kepada pengguna serta dikemas kini oleh MalFreeMaps.com (MFM).

Sementara itu, Navigasi.net (NavNet) pula menyediakan peta untuk Indonesia. Peta-peta keempat-empat negara itu boleh dimuat turun secara percuma.

Rupa bentuk asal bangunan

"Peta untuk navigasi ini dikemas kini sekali sebulan. Antara yang diambil perhatian ialah perubahan jalan raya, keadaan trafik dan laluan jalan serta bangunan-bangunan yang menjadi mercu tanda," terang Pengarah Eksekutif M3 Technologies (Asia) Berhad, Lester Neil Francis ketika majlis pelancaran.

Dalam majlis yang sama, Ketua Komunikasi dan Pemasaran NNG LLC, Imre Dozsa berkata, ciri utama yang menjadi tarikan aplikasi iGo primo adalah mudah digunakan.

"Biarpun pengguna baharu, ia mudah digunakan dan direka untuk spesifikasi produk paling rendah milik pengguna serta boleh digunakan serta-merta apabila tiba di sesebuah negara," terang Imre lagi.

Bukan sahaja dapat menunjukkan laluan jalan raya utama, iGo primo turut mampu memberi pilihan kepada pengguna untuk melalui jalan-jalan alternatif.

Keistimewaan yang tidak ada pada navigasi lain selain iGo primo ialah visualisasi tiga dimensi.

Ia memaparkan gambaran contoh sebenar kepada pemandu keadaan tempat yang ditujui atau dilalui seperti keadaan simpang lebuh raya.

Model mengikut rupa asal seperti mercu tanda dan model-model bandar dapat ditunjukkan bagi membolehkan pengguna lebih memahami rupa bentuk sebenar sesebuah bandar.

Bagi pengguna yang melancong secara mengembara, IGo Primo turut mempunyai fungsi yang boleh ditukar mengikut pilihan sama ada mahu menggunakan kereta atau berjalan kaki.

Selain itu, iGo primo dapat mengesan tempat-tempat menarik seperti restoran yang menjadi tumpuan penduduk tempatan.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved