Sabtu, 1 September 2012

Kosmo Online - Dunia


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Dunia


Bendera Malaysia dinaikkan di selatan Thai

Posted:

Bendera Malaysia dinaikkan di selatan Thai

SEKUMPULAN anggota polis memeriksa kawasan sekeliling sebuah hentian bas yang dipasang dengan bendera Malaysia di wilayah Narathiwat, semalam. - AFP


PATTANI, Thailand - Kumpulan pemberontak disyaki membakar beberapa helai bendera Thailand dan menaikkan bendera Malaysia di sini dalam satu operasi pengeboman terancang yang amat jarang berlaku di kawasan selatan negara ini semalam.

Menurut polis, alat seperti bom ditemui di sekurang-kurangnya 60 lokasi di Narathiwat dan Pattani, wilayah yang majoritinya terdiri daripada penganut Islam. Kebanyakan alat itu adalah palsu, tetapi hampir 12 unit daripadanya meletup dan mencederakan enam orang tentera.

Pegawai Operasi Keselamatan Dalaman Selatan, Pramote Prom-in memberitahu tindakan memasang bendera Malaysia dengan bahan letupan itu bertujuan menunjukkan penentangan terhadap kerajaan Thailand dan mencipta ketegangan dengan Malaysia.

Beliau meminta supaya kerajaan bertindak tegas sambil menyatakan serangan tersebut tidak memberi kesan terhadap hubungan di antara Bangkok dan Kuala Lumpur.

Masih tidak jelas kenapa bendera Malaysia dinaikkan oleh kumpulan pemberontak itu. Bendera tersebut dipasang di sepanjang jalan, tiang elektrik, pokok dan laluan pejalan kaki di wilayah Yala, Pattani, Narathiwat dan Songkhla.

Para penganalisis menyatakan militan mahukan sebuah negara yang merdeka, tetapi tidak pernah menunjukkan minat mahu menjadi sebahagian daripada Malaysia.

Penyelidik kanan Pemantau Hak Asasi Manusia yang berpangkalan di New York, Sunai Phasuk mengakui bahawa motif pemberontak menaikkan bendera Malaysia masih misteri.

Kumpulan pemisah dikatakan mula muncul sejak Januari 2004. Sejak itu, seramai 5,206 terbunuh dan 9,137 lagi cedera dalam banyak siri serangan. - Agensi

Sage Stalllone mati akibat sakit jantung

Posted:

Sage Stalllone mati akibat sakit jantung

LOS ANGELES - Pegawai koroner mengesahkan bahawa anak Sylvester Stallone yang berusia 36 tahun meninggal dunia akibat masalah jantung.

Sage Stallone (gambar) dilaporkan meninggal dunia pada 13 Julai lalu disebabkan saluran arteri tersumbat dan bukannya atas faktor-faktor lain. Mayat Sage ditemui di rumahnya oleh seorang pekerja dan saudaranya.

Tiada perbuatan khianat dikesan, malah keputusan toksikologi menunjukkan jumlah hydrocodone yang minimum ada dalam sistem badannya.

Sage Moonblood Stallone merupakan anak sulung pelakon Sylvester Stallone dan pernah membintangi dua filem bersama bapanya.

Dia juga bergiat aktif sebagai pembikin filem dengan dengan menghasilkan sebuah filem pendek bertajuk Vic yang kemudiannya ditayangkan pada Festival Filem Palm Springs. - AP

Dua wanita dibunuh desak bebaskan Pussy Riot

Posted:

Dua wanita dibunuh desak bebaskan Pussy Riot

ATAS: Ahli kumpulan punk Pussy Riot, dari kiri: Yekaterina Samutsevich, Maria Alyokhina dan Nadezhda Tolokonnikova duduk di dalam kandang mahkamah yang dilindungi oleh kaca ketika dijatuhkan hukuman penjara selama dua tahun.
KIRI: Tulisan "Bebaskan Pussy Riot" yang dikatakan ditulis menggunakan darah dua orang wanita terpampang pada dinding sebuah pangsapuri di bandar Kazan, dekat Moscow, Rusia.


MOSCOW - Dua orang wanita ditemui mati akibat ditikam di dalam sebuah pangsapuri di sini pada Khamis, bersama tulisan "Bebaskan Pussy Riot" ditulis di dinding dipercayai menggunakan darah.

Kumpulan punk wanita, Pussy Riot mencetuskan ketegangan di Rusia apabila dikenakan hukuman penjara selama dua tahun kerana mengadakan satu protes terhadap presiden Rusia, Vladimir Putin di dalam sebuah gereja utama di sini.

Peguam anggota kumpulan Pussy Riot, Nikolai Polozov menegaskan bahawa anak guamnya dan penyokong mereka tidak terlibat dalam jenayah tersebut. Plozov juga menyatakan tulisan itu bertujuan menimbulkan provokasi dan memburukkan nama Pussy Riot.

Menurut Jawatankuasa Siasatan Persekutuan Rusia, pesara berusia 76 tahun dan anak perempuannya, 38, itu mati akibat luka ditikam dengan pisau.

Rakaman stesen televisyen Rossiya menunjukkan ayat itu ditulis dengan huruf besar pada dinding dapur. Setakat ini, tiada sebarang hubungan jelas di antara mangsa dan Pussy Riot.

Pada Jumaat, pasukan penyiasat telah menahan seorang lelaki yang mengaku membunuh dua orang wanita dan cuba mengelirukan siasatan dengan menulis mesej mendesak pembebasan ahli kumpulan Pussy Riot. - Reuters

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved