Rabu, 29 Ogos 2012

Kosmo Online


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online


Ditipu RM100,000 oleh pegawai ‘Bank Negara’

Posted:

Ditipu RM100,000 oleh pegawai 'Bank Negara'

29/08/2012 5:45pm

LIMBANG (Sarawak) - Seorang peniaga berusia 33 tahun kerugian RM116,769 dalam tempoh dua hari angkara tindakan seorang wanita yang menyamar sebagai pegawai dari Bank Negara.

Pegawai Penyiasat Polis Limbang, Inspektor Kantharuban Rajoo berkata, mangsa seorang lelaki rakyat tempatan itu telah menerima panggilan dari wanita tersebut yang memperkenalkan diri sebagai Miss Tan pada petang Isnin lepas.

Wanita itu menyatakan bahawa mangsa mempunyai hutang kad kredit UOB tertunggak sebanyak RM5,796 dan pembayaran perlu dibuat dengan segera bagi mengelakkan akaun-akaun lain mangsa dibekukan oleh Bank Negara.

"Walaupun mangsa tidak pernah memiliki kad kredit tersebut namun mungkin atas sebab panik, pembayaran dilakukan pada hari yang sama.

"Keesokannya (28 Ogos) orang yang sama membuat panggilan untuk meminta mangsa memindahkan wang dari akaun Maybank milik mangsa ke akaun lain bagi mengelakkan akaunnya dibeku," kata Kantharuban di sini hari ini.

Kantharuban berkata, mangsa segera memindahkan wang berjumlah RM111,000 setelah menerima panggilan tersebut ke akaun milik seorang yang bernama Azimah Abdullah.

Tetapi apabila mangsa membuat panggilan ke Bank Negara hari ini untuk tindakan susulan, beliau dapati tiada pegawai yang mempunyai nama berkenaan. - BERNAMA

3 beradik didakwa sebabkan kematian

Posted:

3 beradik didakwa sebabkan kematian

29/08/2012 5:40pm

KLANG - Tiga beradik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap pertuduhan menyebabkan kematian seorang pengawal keselamatan sekolah, dua minggu lepas.

Fadli Mohd. Razali, 35, Fadziran, 32, dan Suhardi, 18, dari Kampung Perepat, Kapar, di sini membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nor Sharidah Awang.

Mereka didakwa bersama-sama menyebabkan kematian Onn Ismail, 30, di hadapan rumah No: 43, Jalan 5, Taman Permai, Simpang Tiga, Jeram, Kuala Selangor, antara pukul 11.40 malam 14 Ogos hingga 12.20 pagi.

Tiga beradik itu didakwa mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nor Azilah Mat mencadangkan agar ketiga-tiga tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM20,000 setiap seorang atas alasan pertuduhan yang mereka hadapi serius.

Peguam Ahmad Jufliz Faiza yang mewakili tiga beradik terbabit bagaimanapun memohon mahkamah mengurangkan jumlah jaminan atas alasan Fadziran dan Fadli mempunyai anak-anak yang masih kecil sementara Suhardi merupakan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Beliau juga berkata, tiga beradik berkenaan berasal dari keluarga yang susah dan keluarga mereka hanya membawa RM10,000 ke mahkamah.

Hakim Nor Sharidah kemudian menetapkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh dan menetapkan 4 Oktober ini untuk sebutan semula kes. - BERNAMA

Wanita serang JPM diarah dapatkan peguam

Posted:

Wanita serang JPM diarah dapatkan peguam

29/08/2012 5:31pm

PUTRAJAYA - Seorang wanita berusia 28 tahun yang didakwa melakukan ugutan jenayah dan memiliki sebilah pedang diarah oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini mendapatkan khidmat peguam bagi membolehkan pihak pendakwa memulakan segera kesnya.

Ketika mengarahkan demikian Hakim Mohd. Kafli Che Ali berkata, di bawah Kanun Acara Jenayah yang dipinda, tarikh perbicaraan mesti ditetapkan dalam tempoh 90 hari dari tarikh tertuduh didakwa di mahkamah.

Mohd. Kafli kemudian menetapkan 12 September bagi urusan kes.

Terdahulu, timbalan pendakwa raya, Siti Noor Mazrah Ahmad Din memberitahu mahkamah bahawa pihak pendakwa sedia menyerahkan dokumen berhubung kes itu kepada Muhdalena dan menggesa tertuduh mendapatkan seorang peguam.

Muhdalena memberitahu mahkamah bahawa beliau akan berbuat demikian.

Muhdalena dari Kota Damansara, didakwa pada 16 Julai di katil rawatannya di Hospital Putrajaya selepas beliau terkena tembakan di paha kanannya.

Beliau didakwa melakukan ugutan jenayah dengan mengancam untuk mencederakan anggota polis bantuan, Ridzuan Megat Ahmad di perkarangan Kompleks B, Jabatan Perdana Menteri di sini pada kira-kira pukul 2.30 petang, 9 Julai lalu.

Dakwaan itu di bawah Seksyen 506 Kanun Kesiksaan membawa hukuman penjara hingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Muhdalena, siswazah Universiti Islam Antarabangsa (UIA) juga didakwa memiliki sebilah pedang di tempat dan masa yang sama.

Tuduhan itu di bawah seksyen 7 (1) Akta Senjata Korosif, Eksplosif dan Berbahaya 1958 boleh mengakibatkan beliau dipenjara hingga dua tahun atau denda hingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Beliau kini dibebaskan dengan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu perbicaraan. - BERNAMA

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved