Isnin, 2 Januari 2012

Kosmo Online - Stailo


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Stailo


Imej berontak gadis pelik

Posted:

Imej berontak gadis pelik

Imej berontak gadis pelik

Susunan ALIF ABU BAKAR

BERMODALKAN skirt kembang ala bakul dengan lapisan renda beropol, rekaan pelik itu diserlahkan lagi dengan solekan luar biasa yang terpalit pada wajah gadis berimejkan stail Lolita.

Dua dekad lalu, Lolita hanya dikategorikan sebagai fesyen jalanan. Hari ini, ia berevolusi dengan kewujudan beberapa jenis stail Lolita.

Sweet Lolita, Classic Lolita, Punk Lolita, Wa Qi Lolita, Dandy Lolita dan Gothic Lolita merupakan antara kategori yang terkandung dalam cabang fesyen Jepun itu.

Seorang gadis yang hanya mahu dikenali sebagai Mina mendedahkan bahawa dirinya sebagai pengikut imej Black Lolita, yang sedikit berbeza dengan penampilan pengikut Lolita ortodoks.

Gadis dari Tokyo itu memberitahu, Black Lolita membawa imej suram serta mengetengahkan gabungan stail Sweet Lolita dan Gothic Lolita.

"Sweet Lolita banyak menggunakan fabrik berbulu termasuk haiwan yang diawet dan telinga arnab palsu. Gothic Lolita pula lebih menegaskan kepada penggunaan reben hitam, renda, mutiara dan satin.


KARAKTER Lili dalam permainan video Tekken 6, direka dengan penampilan Lolita.


"Walaupun inspirasi kedua-dua stail itu dicampurkan bagi membentuk ideologi Black Lolita, kami masih mengekalkan penampilan asas Lolita iaitu skirt kembang besar," jelas Mina yang mengatakan terdapat juga Classic Lolita yang berimej lebih matang.

Meski berbeza daripada segi penampilan, persamaan kesemua stail Lolita bagaimanapun, masih ketara pada ciri keasliannya yang membawa mesej seksual dan burlesque.

"Gadis Jepun sukakan benda comel, tetapi pada masa yang sama, mereka turut tertarik kepada elemen-elemen yang sedikit mengganggu," jelas seorang pereka kostum Lolita, Maiko Fujii.

Menerusi ilham terbaharu beliau, Fujii mengupas karakter fantasi Snow White, sebagai medium utama rekaan pakaian dalam wanita versi Black Lolita.

Mengimbau sejenak sejarah kewujudan stail tersebut, nama Lolita itu sebenarnya dipinjam daripada novel Vladimir Nabokov. Ia berkisar tentang obsesi seorang lelaki usia pertengahan terhadap seorang budak perempuan berusia 12 tahun bernama Lolita.

Interpretasi fesyen

Karakter Lolita itu kemudiannya diterjemahkan ke dalam dunia realiti dan diangkat sebagai interpretasi fesyen dengan penekanan kepada imej keanak-anakan dan cerita dongeng.

Berdasarkan adaptasi itu, Fujii mendapati Snow White sebagai subjek sempurna bagi menggambarkan imej Black Lolita yang agak bercelaru.

Bagi menyampaikan takrifan Snow White, iaitu fantasi kanak-kanak yang mengimpikan perkahwinan dengan seorang putera, Fujii menciptakan kamisol sifon merah gelap dan stoking hitam panjang paras lutut buat Snow White versi Black Lolita.

"Persepsi orang ramai sudah tentu tertumpu pada kesan negatif terhadap remaja perempuan Jepun. Namun, disebabkan mereka mudah terpesona dengan sesuatu yang dilarang dan dahsyat, ia tidak pernah berhenti berkembang," jelas Fujii yang menuntut di Sekolah Rekaan Vantan, Tokyo.

Profesor madya sosiologi fesyen di Universiti Bunka Gakuen, Norinao Tanaka melihat stail Lolita sebagai manifestasi unik tentang tahap psikologi remaja Jepun.

"Stail Lolita secara amnya mewakili dunia kanak-kanak, saat seorang perempuan belum mengecapi alam baligh," kata Tanaka.


SELEPAS dua dekad diperkenalkan, Lolita kini tampil dengan pelbagai jenis stail.


Menurutnya, mereka hidup dalam dunia ciptaan mereka sendiri yang dipenuhi dengan unsur comel, manja dan tidak matang. Ia seperti mesej yang memberitahu bahawa mereka enggan memasuki alam dewasa.

Fesyen yang dibawa pengikut Lolita juga ibarat pembebasan diri terhadap personaliti yang dibawa mereka. Selain itu, ia juga satu ekspresi pemberontakan dalam menentang sesetengah stail yang dihadkan kepada umur-umur tertentu.

Keterbatasan usia

Fujii yang kini selesa memakai skirt pendek ringkas dan baju T menyatakan, pada umur 25 tahun, beliau telah berasa agak tua untuk memakai kostum Lolita yang direkanya.

Sementara itu, Kanami Naoi, pelajar fesyen di sebuah sekolah seni reka pula memberitahu, stail Lolita amat mirip dengan boneka dan disebabkan itu, ia agak sukar buat wanita berusia mengenakannya.

"Ia bergantung kepada siapa yang memakainya, mungkin 30 tahun terlalu tua. Saya rasa mereka yang berumur 25 tahun masih boleh tampil dengan imej Lolita," jelas Naoi.

Berbeza pula dengan Imari Sato, 18, yang bersifat lebih terbuka: "Saya rasa umur bukan masalah asalkan ia membuatkan si pemakai selesa dan gembira."

Mula dipentaskan pada Minggu Fesyen Jepun dua tahun lalu, gaya Lolita kian mendapat tempat di hati pencinta fesyen Negara Matahari Terbit itu.

"Lolita merupakan trend terkini dalam dunia fesyen Jepun. Ia kini menjadi pendahulu kepada semua jenis fesyen yang wujud di negara ini.

"Saya rasa ia mampu bertahan sampai bila-bila dalam kelompok fesyen tersendiri di Jepun," luah Pengarah Pertubuhan Minggu Fesyen Jepun, Akiko Shinoda.

Kartun Lolita


GADIS Lolita sinonim dengan skirt kembang beropol, gaya rambut pelik, solekan tebal dan berpayung.


Pengaruh fesyen Lolita dapat dilihat menerusi penciptaan beberapa karakter dalam siri animasi kartun Jepun. Watak dalam sebilangan komik dan permainan video juga negara itu juga ditonjolkan dengan imej Lolita.

Kartun popular, Pokemon mewujudkan tiga jenis haiwan pokemon yang disuntik elemen Lolita. Gothita, Gothorita dan Gothitelle diciptakan berdasarkan pengaruh Gothic Lolita dalam industri fesyen Jepun.

Selain itu, siri animasi Death Note, Paradise Kiss dan Gosick turut mempamerkan beberapa karakter yang menggayakan fesyen Lolita. Permainan video seperti Tekken 6 juga mempunyai watak gadis Lolita.

Full content generated by Get Full RSS.

Epilog jejaka ringkas

Posted:

Epilog jejaka ringkas

Epilog jejaka ringkas


JAKET kulit yang dipadankan dengan seluar rona kelabu tampak unik.


KONSEP ringkas, ringan dan lembut menjadi kayu ukur dominan dalam persalinan terbaharu Emporio Armani. Rekaan ringkas diangkat sebagai gaya moden terkini dalam konteks fesyen lelaki.

Garisan pada pakaian -pakaian tersebut kemas serta dibentuk dengan rapi. Jaket menjadi bintang untuk koleksi kali ini.

Sempit pada bahagian bahu ataupun betul-betul mengikut lenturan tubuh badan tersendiri, jaket jenama Itali itu didatangkan dengan satu butang melebihi paras dada.

Celana jenama di bawah rangkaian Giorgio Armani itu juga dihasilkan mengikut potongan kaki dengan kemasan jahitan berganda yang berakhir pada buku lali.

Konsistensi ciri ringan pada fabrik yang digunakan ditekankan dengan aplikasi teknik lapisan sekali gus memberi kombinasi luar dugaan.

Jaket dan kot trenc umpamanya, merupakan material serupa diperbuat daripada krep atau sutera yang tipikal dengan Emporio Armani. Penggunaan warna neutral pada kedua-dua pakaian itu berjaya mewujudkan efek pudar.

Kesemua pakaian kali ini mendapat kemasan yang sama walaupun material berbeza termasuklah baju kait, kulit dan aksesori.

Signatur konsep ringkas itu juga dapat dilihat pada baju-baju berlapis. Ia dipotong dalam bentuk baju T dan digabungkan dengan ciri baju blouson pendek mengikut fabrik bersesuaian.

Dipersembahkan dalam palet warna neutral seperti biru, perak dan perang, pilihan rona-rona tersebut menguatkan lagi sentimen ringkas yang dibawa kali ini.

Penggemar warna hitam jua tidak perlu gusar kerana ia turut disediakan dalam rekaan terbaharu itu cuma terhad kepada celana dan jaket sahaja.

Full content generated by Get Full RSS.

Peranan pereka fesyen

Posted:

Peranan pereka fesyen

Peranan pereka fesyen


NASIB seseorang pereka fesyen terletak di tangan industri dan pencinta fesyen.


SEJAK beberapa tahun kebelakangan ini sebahagian besar remaja tempatan teruja menonton program realiti fesyen, Project Runway yang telah masuk musim kesembilan di Amerika Syarikat (AS).

Kecenderungan menonton siri televisyen yang memaparkan rencah kehidupan dan di sebalik tabir kesibukan kelompok pereka fesyen telah mendorong remaja kita memasang impian dan bercita-cita untuk bergelar pereka fesyen yang tersohor.

Namun begitu, tidak dinafikan segelintir daripada mereka masih samar -samar tentang fungsi pereka fesyen secara menyeluruh. Kadangkala mereka tertanya-tanya sendiri, mengapakah mereka teruja dan obses pada dunia fesyen ini?

Kita tertarik pada dunia fesyen, bukan hanya sebagai satu ekspresi individualiti diri dengan cara berpakaian, tetapi juga sebagai satu kaedah ekspresi kreatif melalui rekaan.

Fashion is a constant search for the new. It's hungry and ruthless. Tetapi sememangnya kebolehan dan peluang untuk mereka cipta pakaian amat menyeronokkan dan memberikan kepuasan.

Konstruksi pakaian

Pereka fesyen bukan hanya duduk di meja dan melakar rekaan gaun yang cantik. Sebaliknya mereka perlu membuat penyelidikan, mendapatkan inspirasi dalam membina tema sealiran trend terkini.

Seterusnya mencari dan memilih fabrik yang sesuai serta menghasilkan koleksi rekaan hebat berdasarkan fabrik tersebut. Pereka yang baik faham akan ciri-ciri dan sifat sesuatu fabrik dan mengetahui pakaian yang sesuai dengan kain itu.

Kefahaman tentang teknik konstruksi pakaian juga penting dalam rekaan fesyen. Apabila mereka mencipta sesuatu himpunan, pereka harus fikirkan mereka menciptanya untuk siapa, jenis kain dan pakaian mengikut musim dan pada masa yang sama perlu bijak dalam aspek rangka promosi dan pemasaran koleksi fesyen masing-masing.

Pereka fesyen hanya salah satu daripada pelbagai pekerjaan yang wujud dalam industri fesyen. Perlu diingat, bukan semua individu yang mencintai fesyen mempunyai kebolehan untuk menjadi pereka fesyen berbakat.

Fokus

Ramai antara individu kreatif yang meminati dunia fesyen menjadi pembeli fesyen tegar, ejen menjual pakaian, penulis fesyen, jurugambar, penata gaya ataupun pelukis ilustrasi. Kesemua profesion memainkan peranan yang penting di atas kejayaan seseorang pereka fesyen.

The Oxford English Dictionary mendefinisikan fesyen sebagai budaya atau gaya popular masa kini, terutamanya dalam rekaan pakaian. Pada dasarnya, fesyen bermakna sesuatu gaya yang terkini ataupun up to date dan diakui subjektif serta bergantung pada banyak faktor.

Pameran, filem dan muzik boleh mempengaruhi cita rasa sesuatu yang dianggap fashionable pada satu-satu masa.

Bagi pereka fesyen, adalah penting untuk memperkembangkan kesedaran tentang cita rasa dan gaya anda tersendiri. Bukan semua individu mempunyai kebolehan dan kecenderungan atau kemahuan untuk mereka pakaian yang tidak konvensional.

Sebilangan pereka lebih fokus menghasilkan rekaan yang punyai konsep understatement atau fokus pada perincian pada sesuatu pakaian. Sebilangan lain pula lebih selesa mereka rekaan konvensional.

Sememangnya, amat penting untuk seseorang pereka mengetahui kepakaran dan kemampuan yang dimilikinya dalam bidang fesyen, namun begitu ia tidak bermaksud yang anda perlu takut untuk bereksperimentasi dalam menghasilkan rekaan.

Kadangkala proses mengenali diri sendiri mengambil sedikit waktu dan tempoh ini selalunya diharungi semasa belajar di universiti, kolej, institusi ataupun sekolah fesyen.

Apapun, nasib anda sebagai pereka fesyen terletak di tangan industri dan juga pembeli fesyen untuk membuat pilihan. Perlu diingatkan, tidak semua pembeli menyukai rekaan anda, sememangnya akan ada mereka yang tidak menyukainya langsung.

Sama ada mereka suka atau mereka benci. Ini perkara lumrah dalam industri yang begitu subjektif dan kadangkala agak mengelirukan, tetapi lambat-laun anda akan belajar untuk mengharungi segala kritikan.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved