Rabu, 31 Ogos 2011

Kosmo Online - Dunia

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Dunia


Copperfield bida patung tukang tilik bercakap

Posted:

Copperfield bida patung tukang tilik bercakap

Copperfield bida patung tukang tilik bercakap

Mesin patung tukang tilik gipsi yang terdapat di dalam sebuah restoran di Bandar Virginia, Amerika Syarikat.


BANDAR VIRGINIA, Amerika Syarikat – Ahli silap mata terkenal, David Copperfield membina sebanyak AS$2 juta (RM5.96 juta) untuk membeli mesin patung tukang tilik gispsi yang boleh bercakap dan berusia 200 tahun.

Copperfield percaya ia merupakan satu-satunya mesin patung tukang tilik gipsi di dunia yang boleh bercakap.

Mesin itu kini dipamerkan di sebuah restoran di bandar ini.

Patung itu sebenarnya bercakap selepas seseorang memasukkan duit siling lima sen untuk mengetahui ramalan masa depannya.

Mata patung itu akan bercahaya dan giginya bergerak semasa ia mengeluarkan suara selepas duit tersebut dimasukkan.

Bagaimanapun, ia mengeluarkan suara menerusi alat rakaman yang telah dirakamkan terlebih dahulu.

– Agensi

Suami terbuang barang kemas milik isteri

Posted:

Suami terbuang barang kemas milik isteri

Suami terbuang barang kemas milik isteri


GEOFF kini menjadi pemburu barang kemas di sebalik timbunan sampah di Brisbane, Australia.


BRISBANE – Seorang suami di Australia yang hanya dikenali dengan nama Geoff semalam merayu kepada pekerja-pekerja majlis perbandaran supaya mencari beberapa barang kemas isterinya yang silap dibuang ke dalam tong sampah.

Barang kemas itu terdiri daripada dua gelang rantai dan beberapa kepingan emas yang semuanya bernilai AS$53,000 (RM158,231).

Menurut Geoff yang merupakan seorang pemandu trak, barang kemas itu disimpan di dalam beberapa beg plastik bagi mengelak dilarikan sekumpulan perompak jika mereka memecah masuk ke rumah.

Barang kemas dalam beg plastik itu tersilap dibuang pada minggu lalu ke dalam tong sampah di luar rumah mereka semasa dia membuat kerja-kerja pembersihan.

Jurucakap Majlis Wilayah Pantai Sunshine, Gary Reeve memberitahu pemberita bahawa harapan untuk menemui barang kemas itu amat tipis kerana terdapat ribuan tan sampah pada setiap minggu. – Agensi

Kereta berusia 107 tahun masih berfungsi

Posted:

Kereta berusia 107 tahun masih berfungsi

Kereta berusia 107 tahun masih berfungsi


BRIAN CASELEY (kanan) memandu kereta berusia 107 tahun di Sherborne, Britain baru-baru ini.


SHERBORNE, Britain – Sebuah kereta dua tempat duduk yang dibina pada 1904 masih boleh bergerak dan didakwa tidak pernah mengalami kerosakan, lapor sebuah akhbar kelmarin.

Kereta model Wolseley 6 itu dibeli oleh Brian Caseley, 65, pada 2004 daripada seorang rakannya yang merupakan pengumpul kereta vintaj.

Namun, harga kereta itu tidak didedahkan kepada media.

Kereta tersebut mempunyai kelajuan maksimum 46.67 kilometer sejam.

Namun, jumlah jarak pergerakan kereta itu tidak diketahui kerana ia tidak dilengkapi dengan meter perbatuan.

Isteri Brian, Pat, 63, berkata, kereta itu tidak pernah mengalami kerosakan dan masih berada dalam keadaan elok seperti ia baharu dikeluarkan.

"Kereta itu menggunakan 3.78 liter petrol untuk perjalanan di antara 48.28 kilometer hingga 64.37 kilometer dan ia lebih efisen daripada kebanyakan kereta pada hari ini," katannya.

Pemilik pertama kereta itu ialah E. H. Greenly dari Titley Court, Herefordshire yang memilikinya pada 1905. – Agensi

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online


Gempar: Ular sawa ditemui dalam kolam

Posted:

Gempar: Ular sawa ditemui dalam kolam

Gempar: Ular sawa ditemui dalam kolam

31/08/2011 5:51pm

SEREMBAN – Pengunjung sebuah kolam renang yang sedang seronok bermandi manda tergempar apabila mendapati seekor ular sawa batik sepanjang empat meter turut berendam bersama mereka dalam satu kejadian di Kelab Rekreasi Sungai Ujong di sini, semalam.

Menurut seorang ahli kelab, Chong Kok Kiong, 50-an, dalam kejadian pukul 2.30 petang itu, terdapat lapan orang termasuk kanak-kanak sedang bermandi manda dalam kolam sedalam antara 1.2 hingga 3.04 meter.

"Seorang perenang wanita kemudian melihat ada satu benda hitam di bawah tangga besi di dalam kolam. Dia kemudian menyelam untuk melihat lebih dekat.

"Selepas melihat ular, perempuan itu kemudian naik ke permukaan dan menjerit memberi amaran kepada pengunjung lain," katanya.

Ketika kejadian itu, Kok Kiong sedang duduk bersantai di tepi kolam itu.

Pihak pengurusan kelab kemudian menghubungi Balai Bomba dan Penyelamat Seremban dan sebuah van berserta empat anggota dihantar untuk menangkap ular itu.

Jurucakap Bomba ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan memberitahu, kemungkinan ular sawa terbabit datang dari kawasan belukar berhampiran dengan kelab itu. – Bernama

15 rumah terbakar, tiada kecederaan

Posted:

15 rumah terbakar, tiada kecederaan

15 rumah terbakar, tiada kecederaan

31/08/2011 5:00pm

SANDAKAN – Kegembiraan menyambut Aidilfitri bagi 45 keluarga bertukar sedih apabila rumah mereka di Kampung Muhibah Batu 2 dekat sini musnah terbakar hari ini.

Kebakaran pada kira-kira pukul 12 tengah hari itu memusnahkan 15 buah rumah. Tiada kecederaan dilaporkan.

Timbalan Penguasa Zon Bomba dan Penyelamat Sandakan, Ordine Gilu berkata, bomba menerima panggilan kecemasan pada pukul 12.05 tengah hari dan tiba di tempat kejadian tiga minit kemudian.

Katanya, api dapat dikawal 50 minit kemudian dan padam sepenuhnya pada pukul 1.30 petang.

Menurutnya, tiga jentera bersama 15 anggota bomba terlibat dalam operasi memadamkan api.

Ordine berkata, punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan. – Bernama

6 rumah era lombong bijih timah musnah

Posted:

6 rumah era lombong bijih timah musnah

6 rumah era lombong bijih timah musnah

31/08/2011 3:39pm

KUANTAN – Enam buah rumah era kegemilangan lombong bijih timah di Kampung Baru Seberang, Sungai Lembing dekat sini musnah dalam satu kebakaran, petang semalam.

Kebakaran yang berlaku pada pukul 5.45 petang itu menyebabkan enam keluarga tinggal sehelai sepinggang.

Seorang mangsa, Loke Ah Lian, 71, berkata, ketika kejadian, dia sedang menonton pelbagai program menarik sempena Aidilfitri bersama suaminya sebelum terdengar bunyi letupan pada bahagian atap rumahnya.

Katanya, dia tidak mengendahkan bunyi itu kerana menyangka ada kanak-kanak nakal yang bermain mercun pada hari raya dan membalingnya di atas rumahnya.

"Tetapi, selepas itu, televisyen di rumah saya terpadam... asap dan api mula keluar dari atas siling menyebabkan saya bersama suami segera berlari keluar dari rumah sambil menjerit memberitahu jiran yang lain," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Katanya, mereka tidak sempat menyelamatkan harta benda kerana api terlalu marak membakar bahagian siling. – Bernama

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Hiburan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Meraikan hari kemenangan

Posted:

Meraikan hari kemenangan

Meraikan hari kemenangan

MENGIKUT sejarah, negara Malaysia yang dahulunya lebih dikenali sebagai Tanah Melayu pernah dikuasai oleh beberapa kuasa asing sejak tahun 1511. Bermula dengan Portugis kemudian diikuti dengan Belanda dan British serta tidak ketinggalan Jepun yang pernah memerintah selama lebih tiga tahun.

Tanggal 31 Ogos 1957 merupakan tarikh yang begitu keramat kepada masyarakat di negara ini apabila ia bebas sepenuhnya daripada dijajah oleh Inggeris yang sudah menduduki Tanah Melayu sejak ratusan tahun yang lalu.

Sejak 31 Ogos 1957, setiap tahun negara meraikan hari kemerdekaan dengan menganjurkan aktiviti menarik iaitu acara perbarisan yang turut dihadiri oleh rakyat daripada segenap lapisan masyarakat.

Bagaimanapun, setelah 54 tahun rakyat Malaysia menyambut kemerdekaan negara, ternyata tahun ini sangat berbeza berbanding tahun-tahun sebelumnya apabila sambutan dirayakan secara serentak dengan Hari Raya Aidilfitri.

Dalam keghairahan umat Islam di Malaysia sedang membuat persiapan untuk menyambut hari lebaran, agak sedikit mendukacitakan apabila dilihat seolah-olah tidak ramai yang menyedari tentang Hari Kemerdekaan negara.

Berbanding pada tahun-tahun sebelum ini, apa yang paling ketara ialah masih ramai yang tidak memasang Jalur Gemilang di kenderaan masing-masing meskipun tanggal 31 Ogos tinggal beberapa hari sahaja lagi.

Salah seorang pelakon popular, Remy Ishak yang ditemui sewaktu menjalani penggambaran filem Azazil menyifatkan tahun ini sangat istimewa dan pastinya sukar untuk dilupakan.

Menurut Remy, berbanding dengan negara-negara lain, sudah tentu Malaysia sahaja satu-satunya negara yang pada tahun ini meraikan serentak sambutan dua perayaan yang cukup besar dan bermakna.

"Mungkin ini adalah kali pertama tarikh sambutan Aidilfitri jatuh serentak dengan hari merdeka. Namun, saya merasakan kedua-duanya adalah hari yang sangat bermakna dan membawa pengertian yang sama.

"Kalau Hari Kemerdekaan negara disambut untuk kita meraikan kemenangan setelah bebas daripada tangan penjajah Inggeris, Aidilfitri pula disambut untuk meraikan kemenangan setelah sebulan menjalani ibadah puasa," jelasnya.

Ditanya mengenai segelintir masyarakat yang dilihat seperti melupakan Hari Kemerdekaan negara, pelakon berkenaan berpandangan bahawa dia yakin rakyat Malaysia pastinya tidak akan melupakan hari bersejarah tersebut.


DARI kiri: Remy Ishak, Diana Danialle dan Sharnaaz pertama kali berganding sama dalam filem berjudul Azazil.


"Rasanya biarlah umat Islam di Malaysia sambut hari lebaran terlebih dahulu. Lagipun apa yang saya tahu, sambutan Hari Kemerdekaan akan tetap diadakan pada 16 September ini serentak dengan sambutan Hari Malaysia," ujarnya.

Sementara itu, aktres Diana Danielle menyatakan erti kemerdekaan akan lebih dirasai apabila mengenang kembali jasa tokoh-tokoh terbilang negara yang telah berjuang untuk membebaskan tanah air daripada tangan penjajah.

Menurut pelakon yang turut membintangi filem yang diarahkan oleh Khabir Bhatia itu lagi, semasa zaman persekolahan dahulu dia memang jarang ketinggalan untuk meraikan sambutan Hari Kemerdekaan.

"Ketika bersekolah dahulu saya memang kerap menyertai pelbagai aktiviti sempena sambutan kemerdekaan di sekolah. Saya juga pernah menyertai acara perbarisan yang diadakan di Dataran Merdeka dan ia adalah satu pengalaman yang cukup menarik.

"Malah, setiap kali menjelang Hari Kemerdekaan saya turut tidak ketinggalan untuk memasang bendera di kereta. Kalau ada masa terluang, saya dan rakan-rakan akan menunggu detik 12 tengah malam bersama-sama ribuan rakyat Malaysia yang lain," ujarnya.

Seorang lagi pelakon yang sedang meningkat naik, Sharnaaz Ahmad pula meluahkan rasa syukurnya kerana dapat menikmati kehidupan yang selesa dalam sebuah negara yang aman dan damai.

Menurutnya, sebagai sebuah masyarakat majmuk, penduduk di negara ini sepatutnya rasa beruntung kerana dapat hidup harmoni bersama-sama dengan pelbagai kaum yang lain tanpa ada sebarang persengketaan.

"Kalau lihat di beberapa buah negara yang lain, meskipun sudah mencapai kemerdekaan tetapi ada antara negara berkenaan masih lagi melalui kancah peperangan serta dalam keadaan huru hara.

"Jadi, kita seharusnya terus mengekalkan keamanan yang dinikmati ini memandangkan negara kita juga sekarang sudah 54 tahun merdeka dan bebas daripada penjajah," ujarnya yang memegang watak Atan dalam filem Azazil.

Terpaksa bekerja

Menyentuh tentang sambutan Aidilfitri yang baru diraikan semalam, sudah tentu kurang lengkap rasanya kalau tidak ditanya tentang persiapan tiga pelakon muda ini dalam menyambut Aidilfitri kali ini.

Menurut Remy, dia hanya sempat membuat persiapan dua hari sebelum Aidilfitri memandangkan jadualnya yang cukup padat sepanjang bulan puasa ini terutamanya sibuk menjalani penggambaran filem Azazil.

"Boleh dikatakan sepanjang bulan puasa ini saya terpaksa bekerja dari pagi sehingga tengah malam. Namun, saya berasa lega kerana penggambaran filem ini hampir selesai dan rasanya sempat juga untuk saya membuat persiapan raya.

"Insya-Allah, selepas segala-galanya telah selesai saya akan pulang ke kampung di Masjid Tanah, Melaka untuk menyambut hari lebaran bersama-sama keluarga dan bercuti selama seminggu," jelasnya.

Menurutnya lagi, untuk raya pada tahun ini dia tidak dapat bercuti lama kerana dalam masa terdekat dia akan turut terbabit dengan beberapa penggambaran.

"Selepas ini saya akan menjalani penggambaran filem berjudul 29 Februari yang diarahkan oleh Edry KRU. Memang jadual saya sangat padat sehingga hujung tahun ini dan saya akan berehat seketika pada awal tahun hadapan," ujarnya.

Rumah Farid Kamil

Memandangkan sekarang ini masanya lebih banyak dihabiskan di lokasi penggambaran, Diana memberitahu segala persiapan raya telah diserahkan kepada ibunya.


REMY ISHAK bercuti selama seminggu sementara Diana Danielle berhari raya di Kuala Lumpur.


Menurutnya, setakat ini ibunya sudah banyak membeli pelbagai jenis kuih raya memandangkan mereka sekeluarga tidak pulang ke kampung dan akan menyambut Aidilfitri di Kuala Lumpur sahaja.

"Kami sekeluarga memang tidak pernah berbelanja besar dan sekadar sambut raya secara ala kadar sahaja. Lagipun yang paling penting buat saya adalah dapat berkumpul beramai-ramai bersama ahli keluarga.

"Malah, saya sendiri sekadar menyediakan sepasang baru kurung untuk dipakai pada pagi raya. Namun, saya juga memiliki dua pasang baju jenis kaftan yang dihadiahkan oleh seorang rakan yang baru pulang daripada mengerjakan umrah baru-baru ini," ujarnya.

Tambah Diana, jika mempunyai masa terluang, dia tidak akan melepaskan peluang untuk pergi beraya ke rumah Farid Kamil memandangkan kekasih hatinya itu akan mengadakan rumah terbuka pada hari raya nanti.

Serentak

Boleh dikatakan tahun ini sememangnya cukup bertuah buat Sharnaaz Ahmad lantaran tawaran berlakon yang diterima semakin mencurah-curah dan lakonannya yang semakin diterima ramai.

Sama seperti Remy yang mempunyai jadual yang padat, pelakon yang mula dikenali menerusi telefilem Ungunya Cinta itu tidak dapat bercuti panjang untuk meraikan Aidilfitri bersama-sama keluarga.

"Selepas selesai menjalani penggambaran filem Azazil ini, saya akan terus pulang ke kampung di Georgetown, Pulau Pinang. Saya cuma akan berada di kampung selama empat hari dan kembali ke Kuala Lumpur.

"Lagipun selepas cuti berhari raya nanti saya perlu buat persediaan untuk menjadi pelakon dalam video klip lagu Patah Seribu nyanyian Shila Amzah. Kemudian saya akan terbabit pula dalam sebuah drama arahan Osman Ali sebanyak 26 episod," jelasnya.

Menariknya lagi, pelakon berkenaan tetap meluahkan rasa terujanya untuk menyambut Aidilfitri pada tahun ini memandangkan tarikh 1 Syawal adalah serentak dengan tarikh ulang tahun kelahirannya yang ke-26.

Redup lebaran Siti

Posted:

Redup lebaran Siti

Redup lebaran Siti


DATUK SITI NURHALIZA menganggap musibah yang melanda dirinya pada Ramadan lalu mempunyai hikmah yang besar pada Syawal ini.


SEPARUH fasa Ramadan yang dilalui Datuk Siti Nurhaliza tahun ini telah diselaputi mendung yang tidak diduga hadir. Dalam kelam gemawan tersebut, Siti bagaimanapun dapat keluar bernafas menjelang dua minggu Ramadan terakhir. Semuanya berkat doa orang yang teraniaya sepertinya.

Seperti bagai ada batu besar yang menghempas kepala, terkejut bukan kepalang penyanyi kesayangan ramai ini apabila produk sulung miliknya yang begitu laris di pasaran, SimplySiti didakwa mengandungi unsur tidak halal iaitu berus yang digunakan didakwa diperbuat daripada bulu babi selain ia dikatakan tidak mendapat pengesahan daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Segera dia bertindak. Selain memikirkan soal bisnes yang terjejas dengan hebahan palsu tersebut, dia amat mementingkan isu haram yang memang menjadi perhatian utama buatnya sebelum produk tersebut dilahirkan. Kata Siti juga, dia tidak membuat bisnes untuk menipu, apatah lagi menganiaya pembeli terutama umat Islam hanya untuk mengaut keuntungan.

Mujur tindak balas segera yang dilakukan membuahkan hasil apabila produk tersebut segera disahkan halal. Lega dengan keputusan yang memihak kepadanya, Siti mengaku, ia adalah dugaan dan kemenangan terbesar buatnya sepanjang Ramadan lalu.

"Saya mengaku, sebaik berita tersebut disebarkan, ia memberi impak terhadap penjualan SimpySiti. Ia jatuh mendadak. Namun Alhamdulillah, berkat Ramadan, isu tersebut segera dimatikan. Pihak kami dan pihak Jakim kesal dengan apa yang berlaku namun ini adalah dugaan dan cabaran yang harus saya tempuhi sebagai orang berniaga.

"Alhamdulillah, ia juga memberi hikmah kepada kami kerana selepas kejadian tersebut, kami dan pihak yang terbabit menjadi lebih akrab dan lebih berhati-hati dalam banyak hal agar perkara yang sama tidak berulang lagi," katanya yang turut memberitahu sedih saat mendengar ada pengguna yang membuang produk miliknya sedangkan realitinya SimplySiti adalah halal.

Meninggalkan dugaan tersebut, Siti seperti meraikan kemenangannya dengan menunaikan umrah pada 19 Ogos lalu dan pulang pada 28 Ogos untuk meraikan Syawal di tanah air.

Walau begitu sibuk sepanjang Ramadan yang lalu, namun, kata Siti, dia tidak dapat menahan perasaan untuk kembali ke tanah suci Mekah seperti tahun sebelumnya.

Bagi Siti, kekerapannya kembali menjadi tetamu Allah setiap kali Ramadan adalah bukti kerinduannya terhadap tanah suci itu. Katanya, Ramadan dirasa kurang lengkap jika dia terlepas peluang berpuasa dan beribadat di Mekah.

Memberitahu pertama kali menunaikan umrah pada tahun 1997 dia melalui dugaan yang agak mencabar, namun kini kembali ke Mekah umpama satu rutin wajib.

"Setiap kali Ramadan, saya memang akan pergi menunaikan umrah dan berpuasa di sana. Selain rindu akan suasanannya, saya juga mengejar pahala yang berlipat kali ganda dengan mengerjakan umrah pada bulan Ramadan," katanya yang pergi menunaikan umrah bersama suaminya.


SELAIN meraikan 'kemenangan' terlepas fitnah mengenai produk kosmetiknya, Siti baru menyambut ulang tahun perkahwinannya yang kelima pada 21 Ogos lalu.


Bercakap mengenai sambutan lebaran, bukan sesuatu yang asing bagi Siti pulang ke kampung suaminya, Datuk Seri Khalid Mohamed Jiwa di Kedah. Sejak berkahwin lebih lima tahun lalu, pulang ke Kedah adalah rutin wajib buatnya. Sebaik menikahi ahli perniagaan tersebut, Siti sedar bahawa dia telah memiliki dua keluarga besar yang harus diberi perhatian sama rata.

Jika sebelum berkahwin setiap tahun dia akan pulang ke kampungnya di Kuala Lipis, Pahang, selepas berkahwin, rutin itu bertukar. Bagaimanapun, itu tidak bermakna dia melupai ibu dan keluarga serta sanak saudara yang berada di Kuala Lipis. Paling penting, sejak pemergian bapanya, Allahyarham Taruddin Ismail dua tahun lalu, dia tidak pernah terlepas menziarah kubur lelaki kesayangannya itu.

Ujarnya: "Walaupun saya pulang ke Kedah tahun ini, saya masih menjalankan tanggungjawab buat ibu dan keluarga dengan membuat persediaan dan kelengkapan raya buat mereka. Adat orang yang sudah berumah tangga, saya juga kini mempunyai sebuah keluarga besar selepas berkahwin dan mempunyai dua keluarga untuk diraikan.

"Saya akan pulang ke Lipis mungkin pada hari raya ketiga selepas meraikan Aidilfitri di Kedah," katanya.

Justeru, pada Aidilfitri pertama dan kedua ini, Siti menyambut lebaran di kampung suaminya dan paling penting, dia dan suami dapat meraikan tetamu dengan mengadakan kenduri di masjib milik mereka, Masjid Al-Khalidiah di Kampung Permatang Pasir, Sungai Petani, Kedah.

Kenduri tersebut diadakan bermula pukul 3 hingga 6 petang semalam kerana menurut Siti: "Saya mahu orang ramai dapat hadir ke kenduri ini, sebab itu saya buat ia pada sebelah petang kerana jika saya lakukan pada sebelah pagi sejurus solat, mungkin ramai yang mahu pulang ke rumah untuk beraya dengan keluarga terlebih dahulu."

Sebaik meraikan lebaran, penyanyi yang baru sahaja menyambut ulang tahun kelima perkahwinan pada 21 Ogos lalu itu akan kembali sibuk. Dia berasa seperti baru bernikah semalam dengan belahan jiwanya itu walhal sudah lima tahun melayari pahit manis bersama sambil berdoa agar mampu hidup rukun dan kekal bersama suaminya.

"Segala cabaran yang bakal mendatang kelak harus kami lalui dengan sabar dan penuh keimanan. Saya berdoa agar rumah tangga saya aman," katanya.

Ramai taja perkahwinanFaezah Elai

Posted:

Ramai taja perkahwinanFaezah Elai

Ramai taja perkahwinanFaezah Elai

Oleh FATEN SAPHILLA MOHAMED ISA
saphilla.isa@kosmo.com.my


FAEZAH merancang untuk beraya ke rumah bakal suaminya pada hari raya kedua di Kulim, Kedah.


LEBARAN pelakon Faezah Elai, 29, tahun ini tidak begitu terasa memandangkan dia bakal melangsungkan akad nikah pada 9 September ini di kediaman keluarganya di Pulau Pinang.

Bukan raya lagi menjadi keutamaan pemilik nama sebenar Noor Faezah Md. Elai itu sebaliknya persiapan perkahwinannya harus dititikberatkan menjelang tarikh resepsi pada 3 Disember ini.

"Sekarang ini memang sudah sibuk sangat sampai tak sempat rasa raya. Nasib baik saya sudah mula bercuti pada 25 Ogos sampai 14 September ini untuk bantu menyiapkan persiapan perkahwinan," katanya ketika ditemui selepas menjayakan pertunjukan fesyen raya di Pusat Beli-Belah Great Eastern, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menjelang 9 September ini, pada sebelah pagi heroin drama popular Asmara itu akan melakukan majlis khatam Quran manakala selepas solat Jumaat dia akan diakad nikah bersama pengarah drama, Heykal Hanafiah.

Selepas sahaja majlis pernikahan, anak sulung daripada tiga beradik itu akan terbang ke London untuk menjalani penggambaran filem Tanda Putra Negara arahan Datuk Paduka Suhaimi Baba.

"Memang saya sibuk sangat sebelum mahupun selepas akad nikah nanti. Sebelum akad nikah saya sibuk dengan pengambaran slot Samarinda, Jiwa dan Lara, dan selepas akad nikah pula saya akan menjalani pengambaran filem Tanda Putra Negara di London. Dalam filem itu saya memegang peranan sebagai Allahyarham isteri Allahyarham Tun Abdul Razak," katanya mengenai rezekinya yang hadir mencurah-curah ketika ini.

Kahwin di pantai

Tuah badan Faezah apabila majlis perkahwinannya pada 3 Disember itu turut ditaja beberapa pihak. Untuk pelamin dan dekorasi resepsi di sebelah keluarga Faezah di dewan Sungai Ara nanti ia akan ditaja oleh Butik Puteri di Pulau Pinang manakala baju Faezah untuk kedua-dua resepsi pula akan ditaja oleh pereka terkenal, Hatta Dolmat dan Rizman Ruzaini.

"Nasib baik segala persiapan perkahwinan dibantu keluarga. Saya juga bersyukur kerana ramai yang mahu taja perkahwinan saya termasuk Butik Puteri, Hatta Dolmat dan juga Rizman Ruzaini. Sehingga kini persiapan perkahwinan saya sudah hampir selesai," katanya yang berharap segala spekulasi buruk mengenai dirinya dan bakal suami akan berhenti selepas mereka berkahwin.

Sebelum ini, Faezah pernah dikaitkan menjadi punca kepada keretakan rumah tangga Heykal, namun pelakon berasal dari Gelugor, Pulau Pinang itu menafikannya.

Faezah turut mengaku mengenali Heykal semasa sama-sama terlibat dalam drama Asmara. Malah, mereka mula serius selepas lelaki itu bercerai.

Dijolok soalan kenapa dia membuat pilihan duda sebagai suaminya, kata Faezah, semuanya disebabkan jodoh yang sudah tertulis.

"Sudah tertulis bahawa jodoh saya dengan dia. Walaupun baru kenal tetapi saya rasa begitu serasi bersamanya. Saya tidak menunggu lama untuk terima lamaran daripadanya," ujarnya yang menerima kunjungan merisik daripada keluarga Heykal pada bulan April lalu.

Menyentuh mengenai resepsinya yang bakal berlangsung pada 3 dan 4 Disember ini, impiannya untuk mengadakan majlis resepsi ala pantai terlaksana apabila keluarga di sebelah Heykal sanggup melakukannya.

"Memang pada awalnya saya mahu buat 'beach wedding' di pihak saya tetapi kalau buat resepsi dekat pantai cuma 200 lebih sahaja jemputan yang boleh hadir. Sedangkan saya mahu jemput bukan sahaja keluarga tetapi juga rakan media dan peminat untuk hadir di majlis itu nanti.

"Disebabkan itu, resepsi pantai akan diadakan di sebelah pihak Heykal manakala saya pula akan mengadakan majlis resepsi di dewan," katanya yang akan menjemput lebih 2,000 orang tetamu.

Bunga api

Tidak lengkap ceritera Faezah jika tidak ditanya mengenai sambutan rayanya pada tahun ini. Mengakui cukup gemarkan hidangan nasi tomato dan lauk ayam masak merah daripada maknya, lebaran juga tidak lengkap kalau dia tidak menjamah lemang dan ketupat yang berintikan kacang.

Faezah juga beraya ke rumah bakal suaminya pada hari raya kedua di Kulim, Kedah.

Berkongsi mengenai memori rayanya, kata Faezah, setiap kali raya dia akan bermain bunga api. Faezah turut mengaku masih suka bermain bunga api sehingga kini.

"Memang seronok sangat kalau masa raya dapat main bunga api. Sehingga berlaku satu insiden bunga api pada saya. Masa sekolah rendah dulu, seronok sangat main bunga api sampai tak sedar baju raya berlubang kena bunga api. Sampai sudah saya tak beritahu mak takut kena marah," ceritanya.

Faezah turut memberitahu, dia tidak dapat mengadakan rumah terbuka pada tahun ini kerana begitu sibuk menguruskan persiapan kahwinnya.

Kredit: www.kosmo.com.my
 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved