Isnin, 12 Disember 2011

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Berhutang untuk belajar agama

Posted:

Berhutang untuk belajar agama

Berhutang untuk belajar agama

Oleh MELATI MOHD. ARIFF

KETIKA anak-anak lain ke sekolah agama, Udin leka bermain. Sesekali matanya merenung ke arah sekolah. Ada perasaan sayu dan pilu di dalam hatinya.

Dia sememangnya teringin untuk belajar di sekolah agama itu tetapi apakan daya ibunya tidak mampu untuk membayar yuran sekolah, meskipun jumlahnya hanyalah RM20 sebulan.

Makan mereka pun atas belas ehsan jiran. RM20 nilai wang yang bagi sesetengah orang boleh dihabiskan untuk sekali makan. Adakalanya Udin berjalan mengelilingi pagar sekolah yang sebahagiannya sudah tumbang akibat perbuatan mereka yang tidak bertanggungjawab menceroboh ke kawasan sekolah.

Udin seronok mendengar suara kanak-kanak mengulangi ungkapan kata ustazah dan ustaz. Ingatannya singgah kepada ibu. Ibunya sedang bertarung nyawa dengan penyakit kanser rahim. Ayahnya sudah lama meninggal dunia.

Seperti Udin, kakak dan abangnya juga tidak bersekolah kerana kesempitan hidup.

Lain pula kisahnya dengan Mail. Dia dan abangnya pernah ditangkap kerana mencuri meja sekolah. Bahagian besi meja itu dijual kepada pembeli barang lusuh.

Hasil jualan RM3 itu digunakan untuk membeli makanan. Mereka mencuri kerana lapar. Ibu Mail masih hidup tetapi sudah lama keluar rumah, meninggalkan dia dan adik- beradiknya yang lain.

Sara kehidupan

Tinggallah ayah Mail sebagai bapa tunggal yang menyara kehidupan anaknya yang lima orang itu dengan menjaja secara kecil-kecilan.

Mail hanya ke sekolah agama kerana tiada surat beranak untuk ke sekolah kebangsaan. Abangnya juga tidak mempunyai surat beranak. Kakaknya tidak bersekolah kerana perlu menjaga adik-adiknya apabila bapa keluar mencari rezeki.


SEBAHAGIAN daripada kemudahan yang terdapat di Kafa Al-Insaniah Taman Putra Damai, Lembah Subang, Petaling Jaya.


Anak yang penulis namakan sebagai Man ini pula terpaksa berhenti sekolah. Ibunya tidak mampu untuk membayar yuran sekolah sebanyak RM20. Ayah sudah berkahwin lagi. Walaupun ayah ada memberi wang kepada ibunya tetapi jumlah yang diberi tidak cukup untuk menampung keperluan kehidupan mereka.

Ibu Man pula hanya mampu menjaga anak orang untuk menambah pendapatan bagi kelangsungan hidup dan enam orang anaknya.

Atas keprihatinan pihak sekolah, Man dibenarkan meneruskan persekolahan walaupun tidak dapat membayar yuran.

Kesusahan hidup yang dilalui Udin, Mail dan Man ini hanyalah secebis daripada kehidupan berliku anak yang belajar di Kelas al-Quran dan Fardhu Ain (Kafa) Integrasi Al-Insaniah, Jalan PJU 1A/42, Taman Putra Damai, Lembah Subang, Petaling Jaya.

Keprihatinan pihak sekolah membolehkan Udin, Mail dan Man menjadi murid di Kafa itu.

Cuma Udin sempat belajar hanya beberapa bulan sahaja. Dia dan adik-beradiknya diberitakan sudah pulang ke kampung halaman di Kelantan setelah ibu mereka meninggal dunia.

Mungkin ada ramai lagi anak yang menyimpan kisah pahit dan duka kehidupan mereka di sebalik wajah-wajah yang redup dan tubuh yang lesu.

Perut kosong

Kebanyakan anak-anak ini datang dari keluarga yang berpendapatan rendah dan mempunyai adik-beradik yang ramai.

Lantas, ada antara anak-anak ini datang ke sekolah dengan perut kosong seperti yang diberitahu oleh pengasas Kafa Integrasi Al-Insaniah, Norazainah Adnan dan Siti Hawa Sharif.

Pihak sekolah sememangnya membantu mereka yang benar-benar memerlukan dengan mengecualikan mereka daripada bayaran yuran di samping makanan tambahan.

Bagaimanapun, kewangan yang terhad membolehkan hanya 70 orang sahaja setakat ini menerima makanan tengah hari yang membabitkan perbelanjaan kira-kira RM2,100 sebulan.

Norazainah mempunyai pengalaman sekitar 14 tahun sebagai guru tadika sementara Siti Hawa pula telah menjadi guru agama selama kira-kira 15 tahun.

Sebelum penubuhan Kafa ini, mereka berdua mengambil inisiatif mengadakan kelas agama di surau Insaniah Blok D Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) Taman Putra Damai.


MESKIPUN saiz sekolah ini kecil, sesi persekolahan pertama menerima 500 murid.


Norazainah ketika itu menyandang jawatan Ketua Muslimah Surau Insaniah.

Kelas agama yang menampung kira-kira 90 pelajar itu diadakan di surau berkenaan selama dua tahun mulai tahun 2001. Pada 15 Januari 2003, Kafa Integrasi Al-Insaniah dibuka di lokasi yang ada sekarang.

Meskipun saiz sekolah itu kecil, sesi persekolahan pertama menerima 500 murid. Sekolah ketika itu mempunyai hanya lima buah kelas, pejabat dan kantin. Pelajar diajar mata pelajaran Al-Quran, Feqah, Tauhid, Bahasa Arab, Akhlak dan tulisan Jawi.

Norazainah bukan setakat menjadi pengasas, bahkan beliau turut menjadi tenaga pengajar di Kafa Al-Insaniah.

Naluri seorang ibu menjadikan beliau begitu mengambil berat agar anak di PPRT Taman Putra Damai tidak tercicir daripada mendapatkan pendidikan agama.

Setiap kali melihat ada anak yang bermain di luar kawasan sekolah pasti dia akan bertanya mengapa mereka tidak datang ke sekolah agama itu.

Tidak cukup dengan alasan yang diberikan, dia akan menyusul pula ke rumah untuk menggalakkan ibu bapa berkenaan menghantar anak ke sekolah.

Alasan yang sering singgah di cuping telingnya ialah tidak ada wang untuk membayar yuran sekolah.

"Saya akan memberitahu mereka hantar dulu anak ke sekolah dan soal kewangan boleh dibincang kemudian.

"Saya susah hati, saya bimbang sekiranya anak ini tidak dibekalkan dengan pendidikan agama, ini akan merosakkan diri mereka kelak," kata Naib Pengerusi Jawatankuasa Pentadbiran Kafa Al-Insaniah itu kepada Bernama.

Kafa Integrasi Al-Insaniah kini mempunyai 450 murid. Seramai 25 orang belajar pada sesi pagi sementara bakinya belajar pada sesi petang.

Anak-anak ini kebanyakannya berasal dari kawasan setinggan Taman Medan, Kampung Cempaka, Kampung Kayu Ara dan Kampung Sentosa yang terletak di sekitar Petaling Jaya.

"Ada yang mempunyai ibu atau ayah sahaja. Ada yang emak bekerja di kilang, ayah berniaga sendiri atau bekerja sebagai buruh. Ada juga emak yang hanya suri rumah.

"Ada juga antara mereka emak sahaja yang bekerja. Rata-rata mereka berpendapatan rendah. Ada yang mempunyai anak seramai lapan hingga 12 orang," kata Norazainah.


NORAZAINAH (tengah) mengambil berat kebajikan anak-anak muridnya agar mereka tidak tercicir daripada mendapat pelajaran.


Menurut beliau, 30 daripada 40 murid dalam salah sebuah kelas adalah murid yang ibu bapa mereka sudah bercerai atau bapa mereka meninggal dunia.

Hampir 50 peratus murid di Kafa Integrasi Al-Insaniah tidak mampu membayar yuran sekolah. "Ada yang berhutang dari darjah satu sehingga darjah enam," kata Siti Hawa.

Menurut beliau, pihak sekolah lazimnya akan mengeluarkan surat jika ada tunggakan yuran namun hasilnya agak mengecewakan.

Hanya segelintir mampu membayar penuh manakala sebahagian besar lagi ibu bapa bertindak memberhentikan sahaja persekolahan anak masing-masing.

Siti Hawa mengambil contoh kes tahun 2005 apabila pihak sekolah mengeluarkan surat peringatan berhubung tunggakan yuran, hampir 100 murid tidak datang ke sekolah.

Teruskan persekolahan

Apabila ditanya mengapa berhenti sekolah, alasan yang diberi ialah tidak mampu membayar yuran.

"Ini membuatkan kami pula yang merasa bersalah. Keadaan yang sama berlaku pada tahun 2006 bila masuk murid baharu.

"Kali ini pihak kami lebih berhati-hati dan menyelidik dahulu latar belakang ibu bapa murid sebelum mengeluarkan surat peringatan.

Atas rasa keprihatinan, pengurusan sekolah membenarkan anak yang tidak mampu membayar yuran untuk meneruskan persekolahan mereka.

Seperti kata Siti Hawa: "Kita usahakan supaya anak-anak ini masih boleh belajar meskipun tak bayar yuran. Bagi kita, mereka hendak belajar pun sudah Alhamdulillah." Untuk menampung perbelanjaan pengurusan sekolah, berikhtiar melakukan aktiviti mengumpul dana di samping menerima sumbangan para dermawan, Kementerian Pelajaran serta bantuan zakat.

Kutipan yuran yang dapat dikutip digunakan untuk membayar gaji guru, kerani, pencuci, bil elektrik dan untuk menampung keperluan lain.

Mengenai gaji guru, Siti Hawa menjelaskan, pihak sekolah mempunyai 12 guru tetapi hanya 10 guru sahaja yang layak menerima gaji daripada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

"Bagi sesi pagi, kita ada tiga guru dan masing-masing dibayar RM400 sebulan oleh pihak sekolah.

"Untuk sesi petang, ada 12 orang guru. Gaji bulanan untuk 10 orang dibayar RM1,300 seorang sementara dua lagi masing-masing menerima gaji sebanyak RM600," jelasnya.

Full content generated by Get Full RSS.

Uganda semakin melarat

Posted:

Uganda semakin melarat

Uganda semakin melarat


RAMAI penjaja jalanan berasa perit untuk meneruskan operasi dengan sumber yang terhad dan kos yang semakin melonjak.


SEPERTI kebanyakan ibu-ibu lain yang tinggal di sebuah kejiranan daif, terdapat satu hari yang membuatkan Rose Awino, 23, berasa takut berbanding hari-hari lain dalam bulan itu.

Ia adalah pada hari apabila dia perlu membayar AS$20 (RM62.90) untuk sewa rumah satu bilik yang diduduki bersama keluarganya.

Seiring kenaikan kos sara hidup di Uganda, daripada makanan hingga harga minyak, Awino bukan sahaja resah dengan kunjungan tuan rumah, malah terhadap rutin membeli barangan keperluan dua kali seminggu di pasar.

Protes telah tercetus di Kampala sejak April lalu apabila ketua pembangkang, Kizza Besigye melancarkan demonstrasi terhadap kenaikan kos sara hidup. Ia mencetuskan tindakan ganas polis yang membunuh sekurang-kurangnya 10 orang. Besigye kini ditahan di rumahnya.

"Semuanya di sini menjadi semakin mahal, tetapi kehidupan menjadi semakin susah sepanjang masa," kata Awino yang tinggal di daerah Konge di pinggir ibu negara Uganda.

Inflasi keseluruhan di Uganda bulan lalu meningkat kepada 30 peratus, kadar tertinggi dalam masa dua dekad. Dalam bulan yang sama, inflasi tahun ke tahun ke atas makanan meningkat sebanyak 45 peratus.

"Ini menyebabkan kenaikan mendadak ke atas kos barangan asas. Standard gaya hidup penduduk Uganda telah menurun, terutama bagi penduduk lebih miskin di dalam masyarakat," kata felo sains politik dari Universiti Makerere, Frederick Golooba-Mutebi.

Kurang pelanggan

Masyarakat biasa Uganda sedang berusaha mengatasi situasi itu. Awino memberitahu, dia pernah menjual tomato dan bawang kepada suri rumah tempatan melalui sebuah gerai kecil tetapi sejak harga barangan meningkat, pelanggannya semakin berkurang.

Kini keluarganya bekerja keras meneruskan kehidupan dengan pendapatan kira-kira AS$40 (RM125.60) sebulan yang diperoleh dengan bekerja sebagai pencuci separuh masa. Dengan pendapatan itu, sebahagian besarnya sebenarnya digunakan untuk membayar sewa rumah.

Protes jalanan antara lain tercetus akibat persepsi bahawa pemerintah elit tidak melakukan apa-apa untuk menangani inflasi. Mereka sebaliknya dikatakan mensia-siakan sumber berharga bagi memenangi semula pilihan raya yang akan diadakan pada bulan Februari tahun depan.

"Kerajaan gagal bertindak. Mereka menolak untuk mengurangkan tarif petrol, diesel dan beberapa komoditi asas dan ini menyebabkan kebencian awam," kata Golooba-Mutebi.


KEHIDUPAN rakyat miskin yang kekurangan bekalan makanan dibebankan lagi dengan masalah inflasi.


Begitupun, protes awam semakin berkurangan apabila kumpulan pejuang hak memberitahu bahawa kerajaan telah mengambil langkah-langkah represif atau bersifat menindas termasuk mengenakan perintah tahanan rumah bagi ketua pembangkang.

Faktor luaran

Kerajaan memberitahu sedikit sahaja yang dapat dilakukan bagi mengatasi inflasi dengan menyalahkan faktor luaran seperti harga petrol yang tinggi dan peningkatan permintaan makanan dari negara-negara jiran Uganda yang sedang dilanda kemarau.

"Jelas, kerajaan berkata benar. Sejak beberapa tahun lalu, ekonomi global berada dalam keadaan tidak stabil sekali gus turut menjejaskan Uganda," kata pengerusi parti pemerintah Jawatankuasa Ekonomi Kebangsaan di Parlimen.

"Tetapi, kita masih perlu membuat banyak perkara termasuk polisi bagi menangani isu kepenggunaan dan cuba untuk meningkatkan pengeluaran," tambahnya.

Bank pusat negara berkenaan baru-baru ini meningkatkan kadar faedah untuk menyokong mata wang tempatan iaitu shiling Uganda yang semakin lemah. Shiling mencecah nilai terendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) September lalu.

Tetapi ketika pakar ekonomi mengalu-alukan tindakan itu, mereka berkata bahawa ia tidak memberi kesan ke atas harga pengguna dalam masa terdekat.

"Terdapat kesan sampingan dalam mana-mana polisi kewangan, jadi ia mengambil masa tiga bulan, enam bulan, atau mungkin setahun," kata ketua pasaran kewangan di Bank Standard Chartered di Uganda, Grace Makako yang memberi amaran mengenai waktu sukar pada tahun 2012.

Bagi Awino, dia tidak tahu bagaimana dia harus terus menanggung ahli keluarganya sekiranya tiada perubahan dalam masa terdekat.

"Saya tidak tahu apa yang perlu dilakukan. Tidak lama lagi saya perlu membayar yuran persekolahan. Saya tidak tahu sama ada saya mampu atau tidak. Mungkin kami perlu mengikat perut lagi," keluhnya.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved