Isnin, 28 November 2011

Kosmo Online - Urban


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Urban


Artisan memateri seni budaya

Posted:

Artisan memateri seni budaya

Artisan memateri seni budaya

Oleh MAZLINA ABDUL MAJID

APRESIASI seni dan warisan negara Uzbekistan sememangnya tiada tandingan. Semakin kerap melihat artifak dan seni halus yang dibawa untuk tontonan khalayak Malaysia, semakin penulis tertawan dengannya.

Ya, seantero dunia sudah sedia maklum bahawa negara ini melahirkan ramai tokoh yang menyumbang kepada tamadun Islam. Imam Bukhari, Amir Temur dan Al-Mathurudi adalah sebahagian nama-nama besar yang masih meniti di bibir masyarakat sehingga kini.

Seperti kata Pegawai Akademi Seni Uzbekistan, Yuldoshev Kahramon Abdurahmanovich: "Benar, semua negara ghairah dan berlumba-lumba untuk mengejar kemodenan.

"Namun bagi kami di Uzbekistan, di samping mengejar hal itu semua, kami sangat serius mengekalkan tinggalan istimewa nenek moyang untuk dipersembahkan kepada generasi alaf baharu."

Ketika pertemuan kami di Pameran Seni Budaya dan Kraftangan Uzbekistan di pekarangan Auditorium DBKL, Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur baru-baru ini, Yuldoshev Kahramon atau lebih senang disapa Ramon memberitahu, pada pameran kali ini, Kedutaan Uzbekistan di Malaysia membawa beberapa seni ukiran, seramik selain beberapa naskhah lukisan sentuhan pelukis legenda mereka untuk diperkenalkan kepada umum.

"Saya percaya, ia sedikit sebanyak dapat memberitahu masyarakat betapa seriusnya kami mempertahankan tinggalan warisan zaman berzaman. Pada masa sama, ia juga diharap dapat membantu negara kami mengetengahkan seni Islam yang terunggul kepada dunia," katanya dengan nada penuh harapan.

Aura Islam

Jujurnya, lukisan sentuhan Rizamuhamedov Rahimjan Zakirjanovich, 60, yang merupakan artis residen Akademi Seni Uzbekistan, berupaya membolehkan sesiapa pun merasai keindahan dan kesucian Islam.


LUKISAN sentuhan pelukis terkemuka Uzbekistan, Rizamuhamedov Rahimjan Zakirjanovich membolehkan anda merasai dan mengamati keindahan dan kesucian Islam.


Pancaran dan sinar dalam karya yang memaparkan tokoh-tokoh Islam sedang berfikir dan berdiskusi sesama mereka dalam meneroka ilmu baharu pasti membuatkan anda terpesona.

Percayalah, sekiranya dihayati dengan penuh tawaduk satu persatu lukisan yang disusun kemas di pekarangan auditorium itu, anda akan belajar menghargai usaha keras legenda seni seperti Rizamuhamedov.

Lelaki yang sangat dihormati di republik itu dikatakan mengorbankan seluruh kudratnya membuat penyelidikan dan mengembara ke seluruh dunia semata-mata untuk membantu negaranya untuk mendapatkan bayangan panorama Uzbekistan pada masa lampau.

Dalam pada itu, Rizamuhamedov yang juga pensyarah di Institut Seni dan Reka Bentuk Kamaliddin Bekhzod, Tashkent turut mengajak pengunjung untuk jatuh cinta dengan Uzbekistan.

Dia tidak menyogok orang awam dengan paparan kemodenan negaranya. Sebaliknya setiap kanvasnya, diwarnai dengan panaroma empat musim yang cukup indah di beberapa wilayah seperti di Tashkent, Samarkand dan Bukhara.

Sayangnya, pada kali ini penulis tidak berkesempatan dengan Rizamuhamedov untuk berbicara lanjut mengenai karya unggulnya.

Buatan tangan

Uzbekistan ini unik. Kata Ramon, setiap isi rumah di negaranya mempunyai peralatan menenun permaidani.

"Sama ada percaya atau tidak, anak perempuan akan dilatih untuk menguasai kemahiran itu (menenun). Ini dilakukan bagi memastikan seni itu tidak ditelan zaman kerana kita tak mahu modenisasi menenggelamkan warisan yang sudah berabad lamanya itu," katanya bersungguh.

Justeru, tidak menghairankan apabila republik itu di katakan antara pengeluar permaidani yang paling bermutu tinggi di dunia dan sememangnya menjadi buruan ramai.


KUMPULAN muzik Sato yang dipimpin oleh Tahir Kuziev mendendangkan lagu-lagu tradisional negara mereka.


Kata Ramon, untuk mendapatkan sekeping permaidani, ramai yang tidak kisah dengan harganya meskipun adakalanya harga yang ditawarkan sangat tinggi.

Di satu sudut lain, terdapat deretan piring ukiran yang diperbuat daripada seramik. Ramon memberitahu, bukan mudah untuk menghasilkan kraf tangan itu.

"Ia mengambil masa berhari-hari, pengukir sangat berhati-hati terutama ketika mengukir tulisan jawi atau ayat-ayat al-Quran," jelasnya kepada Kosmo!.

Ramon dilihat lebih berhati-hati menerangkan tentang set minuman teh buatan tangan yang diperbuat daripada tembaga. Ujar lelaki itu, material itu adalah simbol hormat tuan rumah kepada tetamunya. Lazimnya, mereka akan menghidangkan teh hijau yang merupakan minuman rasmi negara berkenaan.

Rehal yang juga menjadi barangan dagangan dan tarikan pelancong turut dipamerkan kepada para pengunjung.

Tambah memukau pandangan ialah arca tanah liat Uzbekistan. Arca itu dikatakan dihasilkan oleh warga emas di sana yang lazimnya mempunyai masa yang terluang.

Pada sebelah malamnya, penulis dijemput untuk menghadiri Sambutan Ulang Tahun Kemerdekaan Uzbekistan ke-20 tahun yang diadakan di sebuah hotel di ibu kota.

Kira-kira 1,000 penduduk Uzbekistan yang bekerja dan belajar di sekitar Malaysia hadir memeriahkan majlis yang diadakan dengan penuh semangat patriotik itu.

Kali ini, kami diperkenalkan dengan kuisin yang dipanggil chakka. Chakka merupakan kek yang biasa dibuat menjelang Aidilfitri.

Pada malam itu, hadirin turut dihiburkan dengan kumpulan muzik Sato yang dipimpin oleh rakyat Uzbekistan, Tahir Kuziev.

Muzik klasikal yang dikenali sebagai Shashmaqam yang berasal dari Bukhara lewat abad ke-16 Masihi yang dimainkan oleh Tahir turut diiringi dengan tarian tradisional Uzbekistan. Lemah-gelamai tarian yang ditarikan wanita itu tidak ubah seperti tarian Parsi.

Pesona Uzbekistan


HASIL promosi yang dilaksanakan oleh pihak kedutaan Uzbekistan ke Malaysia, statistik pelancong Malaysia ke negara itu semakin meningkat dari tahun ke tahun.


Uzbekistan yang dihuni seramai hampir 30 juta penduduk mengalami empat musim dan semestinya menjadi destinasi yang menarik untuk dilawati.

Duta Uzbekistan ke Malaysia, Dr. Shukur Sabitov berkata, kepada mereka yang meminati sejarah dan peradaban, republik itu menjanjikan bukti-bukti sahih pembangunan tamadun dunia dan zaman kejatuhannya.

"Kota-kota zaman pertengahan seperti di Tashkent, Samarkand, Bukhara, Khiva, Termez, Rishtan dan Ferghana yang mahsyur terletak di laluan sutera. Anda seolah-olah berada di dalam caravan saray (tempat persinggahan pedagang untuk berehat)," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Tambahnya, kunjungan ke Uzbekistan juga akan menemukan pengunjung dengan bangunan bersejarah seperti Madrasah Kukeldash, Makam Sheikhantar, Kompleks Khazrat Imam, Masjid Khast dan Dataran Ragistan.

"Untuk membeli-belah, di sana kami menawarkan pilihan tekstil yang pelbagai juga perusahaan kristal dan hasil tangan yang cukup tinggi mutunya.

"Dengan penduduk yang ramah tamah, anda pasti tak merasa asing ke sini, malah mungkin mengungkapkan 'saya tidak berkunjung ke Uzbekistan tetapi saya pulang ke Uzbekistan," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.

Terhimpit dalam arus metropolitan

Posted:

Terhimpit dalam arus metropolitan

Terhimpit dalam arus metropolitan

Oleh BAZUKI MUHAMMAD


MESKIPUN sekolah yang didirikan di flat itu kekurangan dari segi prasarana, kesungguhan dan ketekunan yang ditunjukkan oleh anak-anak pelarian sungguh menyentuh hati.


BAWI Hum Mualhlun seolah-olah sudah bersedia untuk ditemu bual dengan penulis. Lelaki yang juga pelarian dari Myanmar itu menunjukkan sisi seorang yang peramah dan mudah didekati.

Bagaimanapun daripada raut wajahnya, penulis dapat merasakan Bawi bersama isteri dan anak perempuannya yang berusia empat bulan, Mary Hnam Mualhlun sedang bergelut dengan himpunan masalah.

Namun, adakalanya mereka masih berupaya tertawa kecil dan mengukir senyuman tatkala perbualan kami terselit unsur jenaka yang spontan.

Keluarga Bawi barangkali antara pelarian yang bernasib baik. Tidak seperti sesetengah pelarian yang terpaksa menumpang teduh di jalanan, mereka bertiga berlindung di sebuah rumah flat di tengah-tengah jantung ibu kota iaitu di Imbi.

Sebenarnya selain keluarganya, Bawi turut tinggal sebumbung dengan sepupunya. Namun, ketika wawancara diadakan, sepupunya lebih senang mengambil posisi di ruang dapur sahaja.

Penulis difahamkan, di flat yang kelihatan agak usang itu didiami oleh kira-kira 1,000 pelarian Myanmar. Di sana, terdapat juga kemudahan seperti sekolah dan sebuah bilik Pusat Pelarian Myanmar yang dianggotai oleh pelarian-pelarian yang tidak terbela di negara sendiri.

Ya, sememangnya hidup menumpang menjadikan ruang di kediaman Bawi serba ringkas. Namun, persekitarannya dijaga bersih. Penerokaan penulis di rumahnya hanya menemukan sebuah TV bersaiz kecil, kerusi plastik, kipas, almari dan beberapa kelengkapan dapur yang minimum.


BAWI (kiri) berharap kerajaan Malaysia dapat memberi ruang dan peluang kepada rakyat Myanmar untuk mencari rezeki di negara bertuah ini.


Kala sibuk meninjau, penulis dapat merasakan, terdapat secebis gelora rindu yang mekar di hati antara keluarga Bawi dengan sanak-saudara di Myanmar apabila beberapa keping gambar dilekatkan di almari mekap di sebuah bilik.

Namun, apakan daya, keadaan huru-hara yang seolah-olah tidak bertemu titik noktah di tanah air sendiri menyebabkan mereka terpalit dengan nasib sedemikian rupa.

"Ingin saya katakan, Malaysia adalah lebih baik dari negara kami di Myanmar," katanya sambil memangku Mary dan ditemani oleh isteri yang kadangkala meluahkan kata-kata dalam bahasa ibunda mereka dan kemudiannya diterjemahkan oleh si suami yang setia di sisi.

Bawi yang berasal dari etnik Chin dan mampu berbahasa Melayu dengan baik telah merancakkan perbualan kami pada petang itu.

Pendidikan

Penceritaan Bawi penuh melankolik. Katanya, selain risau akan nasib diri dan isterinya, dia sedang mencongak bagaimana kehidupan bukan sahaja anaknya tetapi, anak-anak pelarian yang lain.

"Anak-anak perlu belajar cakap bahasa Inggeris, bahasa Inggeris itu penting," katanya yang tampak cekal itu.

Mengapa ia dianggap penting bagi ibu bapa pelarian ini? Setahu penulis, pelarian-pelarian ini mempunyai iktikad untuk berhijrah ke negara-negara lain seperti Amerika Syarikat dan Australia. Justeru, kemahiran berbahasa Inggeris akan memberi kelebihan kepada mereka sekiranya mereka memohon sebarang pekerjaan di sana.


PELARIAN remaja ini ingin mendalami pelbagai cabang ilmu dari segi bahasa hinggalah muzik.


Seperti kunjungan penulis pada tahun lalu, 'sekolah mini' yang menjadi tumpuan kanak-kanak pelarian Myanmar masih teguh di bangunan flat empat tingkat itu.

Mereka tidak beruniform seperti murid-murid di sekolah kita. Anak-anak pelarian ini bebas berpakaian. Guru yang rata-ratanya merupakan sukarelawan tidak akan menghalang mereka yang memakai pakaian yang compang-camping daripada memasuki kelas.

Bagi guru-guru ini, yang paling signifikan adalah semangat si cilik ini.

Kelas di sebuah bilik yang diubahsuai juga terlalu sederhana. Tiada kerusi untuk diduduki juga tiada meja untuk menulis. Kesemuanya bersandarkan lantai. Sesungguhnya, keterujaan mereka menelaah pelajaran, sangat meruntun perasaan penulis.

Simpati

Saat disogok adakah Bawi dan keluarganya menyesal bertandang ke Malaysia? Bawi segera menjawab: "Oh tidak, kami tidak menyesal, jika kami pulang ke negara asal, kami akan dipenjarakan."

Bawi sempat menceritakan tentang kepayahan untuk melepasi sempadan Malaysia kepada penulis.

"Biasanya mereka datang berkumpulan iaitu antara tiga hingga 30 orang dan mengikut perjanjian, siapa yang tak boleh meneruskan perjalanan akan ditinggalkan dalam hutan, itu perjanjian yang dibuat.


MESKIPUN hidup dalam kesederhanaan, rata-rata pelarian Myanmar mengakui Malaysia adalah negara yang paling berperikemanusiaan.


"Namun, itu semua harus diharungi demi kelangsungan hidup dan masa depan keluarga," katanya yang seperti ingin melupakan kepayahan ketika bertandang ke negara ini.

Justeru apa harapan Bawi dan pelarian-pelarian di sini?

Sambil merenung tajam, lelaki ini merayu dan berkata: "Kami dengan rasa rendah diri memohon agar kerajaan Malaysia memberi peluang pekerjaan kepada kami di sini."

Apakah nasib Bawi dan rakan-rakan pelarian yang lain? Itu semua di tangan Tuhan.

Full content generated by Get Full RSS.

Kreativiti botol terbuang

Posted:

Kreativiti botol terbuang

Kreativiti botol terbuang

Oleh MAZLINA ABDUL MAJID


PASARAN untuk inovasi botol itu banyak memikat hati pelajar institusi pengajian tinggi.


JIKA anda mencari kelainan untuk menghiasi rak di kediaman anda, apa kata kali ini anda memilih botol kaca yang dijual di Inani Craft & Design yang terletak di SACC Mall, Shah Alam.

Botol kaca keluaran syarikat tersebut bukan sekadar botol biasa sebaliknya dicantikkan dengan pelbagai motif yang menjadikannya tampak elegan dan memukau apabila disusun di meja atau para-para.

Sebenarnya, lukisan pada botol merupakan sejenis kraf tangan tradisi dari negara China. Seni itu sangat dominan dan popular di wilayah Beijing, Shandong, Guandong dan Hebei.

Lazimnya, para penukang dari republik itu menggunakan berus yang sangat halus untuk melukiskan sebarang gambar yang diperbuat daripada botol kaca atau kristal.

Untuk produk keluaran Inani Craft & Design, pemiliknya, Muhammad Zaini Hassan memberitahu, dia menggunakan botol terpakai yang diperolehnya dari merata tempat.

"Saya manfaatkan bekas botol terpakai dan menukarkannya menjadi barangan berharga," katanya yang mengusahakan cenderamata itu sejak tahun 1996.

Variasi motif

Menurut Muhammad Zaini, permintaan ke atas kraf tangan tersebut sangat memberangsangkan.

Ujarnya, setakat ini pasaran untuk inovasi botol itu banyak memikat hati pelajar institusi pengajian tinggi (IPT).

"Kami menerima banyak pesanan daripada pelajar universiti, mereka menjadikan botol-botol itu sebagai cenderamata untuk majlis-majlis tertentu.

"Yang menariknya juga, ada di antara mereka yang kreatif menggulung sijil yang diperoleh kemudian diletakkan di dalam botol," katanya yang ditemui baru-baru ini.

Kraf tangan unik yang dijual di Inani Craft & Design dijual pada harga antara RM20 hingga RM80.

Bukan itu sahaja, syarikat itu turut mengambil beberapa gelas yang kosong untuk diubah penampilannya dengan corak dan warna sekali gus menaikkan seri material tersebut.

Jika anda seorang yang menggemari flora, anda boleh memilih beberapa jenis barangan dengan corak bunga seperti matahari dan ros untuk dibawa pulang.

Paling menarik perhatian ialah bekas telur kaca yang pada asalnya polos sahaja. Setelah diberi sentuhan, item itu nampak seperti hasil karya artis seni halus.

Usah gusar sekiranya corak yang terdapat di Inani Craft & Design tidak menepati kehendak dan pilihan anda. Kata Muhammad Zaini, pelanggan boleh mengusulkan motif yang digemari untuk dilukis oleh pihaknya. Begitu juga dengan material botol pilihan peribadi.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved