Khamis, 24 November 2011

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Anjakan alih bahasa produk TV

Posted:

Anjakan alih bahasa produk TV

Anjakan alih bahasa produk TV

BAYANGKAN Rosyam Noor, Aaron Aziz, Vanidah Imran, Sharifah Amani dan Zahiril Adzim menjadi pelakon di belakang tabir untuk sebuah produksi Hollywood.

Jika ada yang menganggap ia sesuatu yang tidak boleh dibanggakan, ternyata anggapan itu salah kerana produksi yang dimaksudkan bukan calang-calang tetapi karya termahal pernah dihasilkan dalam sejarah penyiaran TV dunia.

Daripada sentuhan penerbit eksekutif filem hebat Steven Spielberg, sebuah drama sains fiksyen 13 episod dengan kos pembikinannya mencecah RM219 juta, Terra Nova telah dihasilkan menggabungkan beberapa elemen yang pernah muncul dalam beberapa karya TV dan filem seperti Lost, Jurassic Park dan Avatar.

Terra Nova mengisahkan tentang keluarga Shannon yang hidup dalam tahun 2149. Keluarga Jim Shannon (lakonan Jason O'Mara) hidup dalam suasana porak-poranda akibat kepesatan pembangunan yang menyebabkan alam sekitar dunia pada masa itu tidak lagi sihat dan sesuai untuk dihuni manusia.

Sementelah, undang-undang telah menetapkan bahawa setiap pasangan berkahwin hanya boleh mempunyai dua orang anak. Namun, Jim dan isteri, Dr. Elisabeth Shannon (Shelley Conn) yang sudah mempunyai dua anak remaja Josh (Landon Liboiron) dan Maddy (Naomi Scott) telah melanggar undang-undang tersebut dengan kelahiran anak ketiga mereka, Zoe (Alana Mansour) mengakibatkan Jim dipenjarakan.

Namun, apabila Elisabeth dan anak-anaknya dihantar menerusi suatu terowong masa untuk menjalani kehidupan baharu di dunia silam bertarikh 65 juta tahun lepas dikenali sebagai Terra Nova, Jim turut melarikan diri bersama mereka ke situ dan tiba di penempatan yang diketuai oleh Komander Nathaniel Taylor (Stephen Lang).

Selepas dua minggu ditayangkan di Amerika Syarikat, drama terbitan 20th Century Fox Television, Chernin Entertainment, Dreamworks Television dan Kapital Entertainment itu mula ditayangkan di Malaysia pada 29 Oktober lalu sehingga 21 Januari 2012 di saluran Astro Fox (710) pada setiap Sabtu, pukul 8.55 malam.

Menariknya ia boleh diikuti dalam dwibahasa iaitu bahasa Melayu dan Inggeris. Malah, Malaysia merupakan negara pertama di Asia yang menayangkan drama tersebut.

Atas inisiatif pihak saluran Fox yang kini menggunakan alih bahasa untuk setiap produksi yang ditayangkan di saluran itu berbanding sari kata, mereka sanggup melaburkan wang sejumlah RM100,000 untuk menggunakan suara-suara artis terkenal Malaysia bagi menjayakan setiap karakter yang muncul dalam Terra Nova.

Malah, ia juga merupakan strategi pihak Fox untuk menggunakan drama popular itu bagi menarik jumlah penonton saluran Fox.

Untuk itu, Fox telah memilih beberapa nama artis terkenal untuk menggunakan suara mereka dalam watak-watak utama Terra Nova.

Mereka ialah Rosyam Nor untuk karakter Komander Nathaniel Taylor, Vanidah Imran (Dr. Elisabeth Shannon), Aaron Aziz (Jim Shannon), Sharifah Amani (Maddy Shannon) dan Zahiril Adzim (Josh Shannon).


DRAMA bersiri sains fiksyen Terra Nova dihasilkan dengan kos mencecah RM219 juta.


Menurut penyelia bahagian alih suara saluran Fox, Jasmine Ashraff, sebelum ini pihak Fox hanya menggunakan suara-suara orang biasa untuk alih bahasa setiap filem yang terdapat di saluran itu.

"Untuk Terra Nova kami bercadang menggunakan suara-suara artis popular tempatan bagi menjayakan watak Komander Nathaniel Taylor, Elisabeth Shannon, Jim Shannon, Maddy Shannon dan Josh Shannon.

"Sebabnya, kami mahu mengangkat drama popular ini seterusnya menarik penonton menonton saluran Fox," katanya ketika ditemui pada sesi fotografi khas bersama bintang-bintang alih suara Terra Nova iaitu Rosyam Nor, Aaron Aziz, Sharifah Amani dan Zahiril Adzim di The Garden Hotel & Residences, Kuala Lumpur.

Ujar Jasmine, pemilihan suara untuk setiap watak Terra Nova dibuat berdasarkan karakter dan suara yang hampir menyamai dengan pelakon-pelakon tersebut.

Malah, Jasmine terpaksa melihat episod pertama siri itu dan menilai secara terperinci karakter dan suara setiap pelakon utamanya.

"Apabila saya nilai dan tengok maka saya dapat memilih pelakon tempatan mana yang sesuai. Watak Jim Shannon memang sangat sesuai untuk pelakon Aaron Aziz. Karakter mereka hampir menyamai.

Begitu juga, watak Komander Nathaniel Taylor yang tegas sangat sesuai untuk Rosyam Nor. Bagi watak Elisabeth pada mulanya memang sukar untuk saya pilih siapa artis wanita paling sesuai menjayakannya. Saya merujuk melalui semua filem-filem lakonan pelakon-pelakon wanita tanah air dan akhirnya Vanida Imran menjadi pilihan," jelasnya.

Jasmine hanya mengambil masa dua hari sahaja untuk menilai pelakon-pelakon tempatan yang sesuai menjayakan watak-watak dalam Terra Nova. Namun, dia berdepan pula dengan masalah sama ada artis tersebut setuju dan mempunyai kelapangan menjayakan proses alih suara tersebut.

"Aaron memang sangat sibuk. Lebih-lebih lagi ketika itu dia perlu menjayakan pementasan teater Badai Semalam. Selepas memujuk dan Aaron juga berminat akhirnya kami berjaya mendapatkan Aaron untuk watak Jim. Sharifah Amani juga tidak begitu lapang namun dia sangat teruja untuk menjayakan alih suara Maddy Shannon," katanya lagi.

Tambah Jasmine, dia bersyukur kerana setiap pelakon melakonkan suara mereka dengan baik dan pihak Fox berbesar hati untuk mengekalkan Rosyam Nor, Vanida Imran, Aaron Aziz, Sharifah Amani dan Zahiril Adzim untuk Terra Nova musim kedua.

Strategi


PEMILIHAN pelakon alih suara tempatan untuk mewakili barisan pelakon Terra Nova dilakukan dengan teliti.


Mengulas mengenai strategi saluran Fox untuk menggunakan alih bahasa berbanding sari kata, kata Jasmine, penonton Malaysia sudah terlalu selesa mengguna sari kata apabila menonton drama atau filem luar negara. Saluran Fox cuba tampil dengan kelainan iaitu menggunakan alih bahasa Melayu.

"Banyak negara yang sudah melakukan anjakan alih bahasa berbanding menggunakan sari kata. Misalnya, di Dubai mereka mempunyai sembilan saluran yang menggunakan produk yang dialih suara kepada bahasa pertuturan tempatan.

"Kalau ikutkan memang penggunaan sari kata lebih murah dan ia juga turut menjimatkan masa berbanding alih bahasa yang perlu menggunakan beberapa khidmat suara manusia dan proses mengambil alih bahasa juga memerlukan masa yang panjang. Untuk drama Terra Nova ini kami mula melakukan proses alih bahasa bermula pada 28 oktober lalu hingga awal Januari depan," katanya.

Sementara itu, Aaron Aziz, 35, ketika ditemui pada sesi fotografi terbabit memberitahu, pada mulanya agak sukar untuk dia melakukan proses alih bahasa kerana dia tiada pengalaman melakukannya.

"Ini pertama kali saya buat alih bahasa. Memang susah pada mulanya tetapi bila dah masuk episod ketiga saya sudah dapat rentak dan proses alih suara yang berlangsung selama tiga jam pada mulanya sudah jadi sejam sahaja.

"Proses alih suara ini bukan sahaja melibatkan suara tetapi juga ekspresi lakonan. Kita kena anggap seolah-oleh kita sedang melakonkan watak Jim tersebut," ujarnya.

Bercerita tentang watak Jim, kata Aaron, Jim merupakan suami kepada Elisabeth. Dia juga merupakan bekas pegawai polis yang diburu pihak berkuasa kerana menyalahi undang-undang.

Pada tahun 2149, memang undang-undang mengehadkan tidak boleh mempunyai anak lebih daripada dua tetapi Jim memiliki tiga orang anak.

"Dia yang menyayangi keluarganya mengambil keputusan menyusup masuk ke Terra Nova," katanya mengenai watak Jim.

Bagi Rosyam Nor, 44, pula, dia tiada masalah untuk menjayakan watak Komander Nathaniel Taylor kerana ia merupakan kali ketiga pelakon TV Lelaki Popular Anugerah Bintang Popular lima kali berturut-turut itu terlibat untuk proses alih suara.

"Sebelum ini saya pernah buat alih suara untuk filem High School Musical dan juga Ice Age 3. Memang saya rasa bertuah dan berbangga terlibat untuk projek alih suara ini. Walaupun tak dapat berlakon dalam filem Steven Spielberg, tetapi dapat alih bahasa untuk drama diapun sudah memadai," katanya jujur.

Biarpun hebat dalam bidang lakonan, Rosyam tetap meneliti watak Komander Nathaniel dengan mendalam. Malah, Rosyam juga cuba menyerapkan diri sendiri sebagai watak tersebut.

Bercerita tentang wataknya itu, kata Rosyam, komander Nathaniel merupakan seorang yang tegas dan dalam penempatan Terra Nova dia yang berkuasa.

"Undang-undang juga di dalam tangannya dan dia tahu segala maklumat dan misteri tentang Terra Nova," ujarnya.



Teruja

Selain Aaron, Sharifah Amani, 25, yang menjayakan watak Maddy Shannon juga pertama kali terlibat dalam proses alih suara. Bagi Amani, dia cukup teruja dan gembira apabila dipilih pihak Fox untuk terlibat dalam proses alih suara Terra Nova.

"Saya teruja terlibat dengan projek ini sebab ia merupakan siri TV paling mahal dan terbesar dalam sejarah. Malah, saya memang suka dengan hasil kerja Steven Spielberg," katanya.

Amani menganggap proses melakukan alih suara Maddy tidak terlalu sukar. Dia juga mengaku lebih suka berlakon secara langsung daripada melakukan proses alih suara.

"Bagi saya tidak sukar untuk buat proses alih suara ini. Cuma saya kena ikut dan samakan intonasi suara Maddy.

"Memang seronok menjayakan watak Maddy yang merupakan seorang anak yang bijak tapi saya lebih suka berlakon secara 'real'. Namun, saya tidak akan menolak jika diberi peluang melakukan proses alih bahasa lagi bergantung pada skrip dan jalan cerita tersebut," katanya lagi.

Dalam pada itu, bagi Zahiril Adzim, 27, yang menjayakan proses alih suara bagi watak Josh Shannon, abang kepada Maddy mengakui, pada mulanya dia menghadapi masalah menjayakan proses alih suara Josh.

Suara Zahiril yang agak maskulin dan macho menyebabkan pihak Fox memintanya mengecilkan sedikit suaranya agar ia bersesuaian dengan watak Josh yang masih remaja.

"Ini pertama kali juga saya menjayakan proses alih suara. Memang ia berlainan dengan proses alih suara untuk filem lakonan sendiri sebabnya kita perlu menjiwai watak pelakon Inggeris tersebut.

"Memang proses alih suara untuk episod pertama saya buat suara Josh jadi macho tetapi pihak Fox minta saya kecilkan sedikit suara," ujarnya.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved