Ahad, 9 Oktober 2011

Kosmo Online - Varia


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Varia


Lelaki penjual bunga

Posted:

Lelaki penjual bunga

Lelaki penjual bunga

Oleh KHADIJAH MOHAMAD NOR

PULUHAN jenis bunga berwarna-warni pasti menyebabkan pelanggan rambang mata dalam membuat pilihan.


DARI jauh, kelihatan orang ramai terutama wanita sudah memenuhi ruang kecil di sebuah kedai yang menawarkan pelbagai jenis bunga berwarna-warni.

Sebaik sampai di hadapan kedai tersebut, bau semerbak daripada bunga-bungaan segar itu pantas menusuk hidung seolah-olah menyambut kedatangan pelanggan ke sana.

"Jemputlah masuk dan lihat sendiri bunga yang mungkin anda minati. Jangan risau, jangan bimbang, semua bunga ini segar-segar belaka," demikian tutur seorang pemuda Cina sambil melemparkan senyuman manis kepada pengunjung yang datang.

Segak dengan penampilan kemeja-T hitam dan jean biru, pemuda berusia 31 tahun itu ramah melayan pelanggan yang berkunjung ke kedai miliknya, Ken Highlands Flower Shop yang terletak di pasar Brinchang, Cameron Highlands.

Menurut Ken Foo, kedainya menjual pelbagai jenis bunga segar yang diperoleh daripada lebih 10 pembekal di sekitar kawasan tanah tinggi tersebut.

Mula berniaga secara kecil-kecilan pada tahun 2003, kini perniagaan jualan bunga yang dilakukan bersama seorang rakan semakin berkembang dan mendapat tempat di hati pelanggan.

"Terdapat puluhan bunga segar ada dijual di sini termasuk bunga ros, matahari, kekwa, pom pom, lili, daisy, teluki dan banyak lagi. Setiap bunga pula mempunyai beberapa perbezaan contohnya warna yang mampu membuatkan pelanggan rambang mata untuk memilih bunga yang disukai.

"Setakat ini sambutan yang diterima sangat menggalakkan terutama ketika musim cuti persekolahan, cuti umum dan hujung minggu. Setiap hari kami juga mampu menjual lebih 100 batang bunga. Ini tidak termasuk penghantaran yang dilakukan di sekitar Kuala Lumpur dan Perak," jelas Ken lebih lanjut.

Antara bunga lain yang ada seperti bunga yang diberi nama Everlasting Love yang amat diminati pelanggan kerana bau yang kuat dan tahan lama. Malah, jika dijaga dengan teliti bunga itu boleh bertahan dan hidup sehingga beberapa tahun.

Selain itu, tambah Ken kedainya turut menjual bunga lalang yang semakin popular di Cameron Highlands. Bunga tersebut dibekalkan oleh Orang Asli di sekitar kawasan itu.


KEN (kanan) dan Leong gembira menceburi bisnes menjual bunga yang biasa dimonopoli kaum wanita.


"Terdapat tiga jenis bunga lalang yang dijual iaitu lalang rumput, lalang lidi dan lalang emas. Apa yang pasti, bunga ini mempunyai keistimewaan dan keunikan tersendiri.

"Apabila saya mengambil bekalan bunga lalang daripada Orang Asli, secara tidak langsung saya dapat membantu mereka menambah sumber pendapatan yang biasanya menjual petai dan ulam-ulaman," ungkap Ken lagi.

Faktor cuaca

Di samping bunga-bunga segar, kedai Ken turut menjual pelbagai variasi bunga kering, daun teh, daun paku, daun asparagus dan daun ekor musang yang boleh dijadikan potpouri atau hiasan di dalam rumah.

Bagi rakan kongsi Ken, Leong Chang, 35, kebiasaannya pada bulan Oktober hingga Disember, bekalan bunga agak berkurangan kerana faktor cuaca yang sering hujan. Ini menyebabkan harga menjadi lebih tinggi berbanding biasa.

Sementara pada bulan April hingga Ogos, cuaca baik sekali gus bekalan bunga tidak putus dan sentiasa ada. Justeru, harganya tidak terlalu tinggi.

"Begitu juga pada hari-hari keraian istimewa seperti Hari Kekasih, Hari Ibu dan sebagainya, harga bunga akan melonjak daripada biasa.

"Tidak ketinggalan, apabila tibanya musim perkahwinan terutama dalam kalangan masyarakat Melayu, kami akan banyak melakukan penghantaran bunga di sekitar Terengganu, Kelantan, Perak dan Kedah," katanya sambil memberitahu kunjungan seseorang ke Cameron Highlands tidak akan lengkap tanpa membawa pulang bunga segar sebagai kenangan.

Untuk maklumat lanjut mengenai kedai bunga Ken, layari laman sosial Facebook/kenflowershop.

Genting dipenuhi ahli magis dunia

Posted:

Genting dipenuhi ahli magis dunia

Genting dipenuhi ahli magis dunia

TIDAK perlu bersusah payah mengembara ke seluruh dunia hanya untuk menyaksikan persembahan magis oleh ahli silap mata kegemaran anda kerana sehingga 16 Oktober depan, kesemua mereka yang pernah mencipta rekod antarabangsa bergabung dalam satu persembahan di Resort World Genting.

Hadir dari beberapa buah negara yang berbeza latar belakang dan gaya hidup, para ahli silap mata iaitu Danny Cole, Kevin James, Michael Finney dan Juliana Chen dari Amerika Syarikat (AS) serta Victor Voitko (Ukraine), Andrian Soler (Sepanyol) dan Timo Marc (Jerman) hadir dengan idea baharu untuk menghiburkan para tetamu.

Menurut Pengarah Persembahan Superstars of Magic, David Lai, Danny Cole pernah memenangi anugerah ahli silap mata tahunan selama dua tahun berturut-turut iaitu pada tahun 2007 dan 2008 dengan idea-idea magik terbaharunya.

"Magis yang dipenuhi lawak dan komedi pula bakal dibawakan oleh Michael Finney yang juga merupakan ahli silap mata komedi dunia di World Magic Award (WMA) tahun 2009 serta bertindak sebagai pengacara pada majlis ini," katanya.

Ahli silap mata Kevin James pula merupakan wajah yang biasa dilihat dalam rancangan America's Got Talent. Persembahan magis dan komedinya yang unik membuahkan reputasi yang baik serta sebagai artis visual bertaraf antarabangsa kepadanya.

"Kevin merupakan ahli silap mata yang berbakat dan menyentuh perasaan melalui pengalaman-pengalaman yang diselitkan dalam persembahannya.

"Selain itu, ahli silap mata Adrian Soler pula mempesonakan penonton dengan magis fesyen di mana pasangannya akan menukar pakaiannya dengan pantas tanpa disedari penonton," kata David.

Terbaik di China

Tambah David yang juga ahli silap mata Malaysia, peserta dari Ukraine pula akan mengejutkan penonton dengan kebolehannya mengangkat pasangannya ke udara tanpa menyentuh, manakala ahli silap mata Juliana Chen pula dikenali dengan kebolehannya memanipulasi kad sehingga kad yang dibaling akhirnya akan kembali ke tangannya.

"Juliana diiktiraf sebagai ahli silap mata terbaik di China ketika dia memenangi pertandingan All-China Best Magician.

"Selain itu, ahli silap mata Timo Marc pula merupakan individu terkenal di Jerman melalui teknik magis yang menggunakan ilusi, efek visual dan komedi magis yang dipersembahkannya," katanya.

Dalam pada itu, ahli silap mata Michael Finney memberitahu, keistimewaan ahli silap mata ialah kebolehan mereka menggunakan muslihat untuk menipu mata penonton sehingga mereka tidak sedar bagaimana mereka mampu melakukan magis yang mengejutkan.

"Kami menipu penonton dengan cara yang baik bertujuan menghiburkan mereka dan memastikan mereka tidak dapat menangkap helah kami," katanya.

Kevin James pula memberitahu, dia membawakan magis menghasilkan salji di Malaysia di samping mahu menyentuh emosi rakyat Malaysia terutama kanak-kanak yang ingin melihat salji tanpa perlu terbang jauh.

"Magis adalah kehidupan saya sejak kecil lagi. Saya memasukkan kisah-kisah peribadi di dalam persembahan saya di samping memastikan idea-idea baru dipersembahkan untuk penonton di Malaysia," katanya yang pernah membuat persembahan di White House.

Tiket persembahan Superstars of Magic yang berlangsung sehingga 16 Oktober ini boleh dibeli pada harga RM200, RM130, RM90 dan RM60 untuk dewasa, manakala harga tiket untuk kanak-kanak berumur tiga tahun ke atas ialah RM100, RM65, RM45 dan RM30.

Ahli WorldCard Genting akan mendapat diskaun tiket sebanyak 30 peratus, manakala untuk tempahan tiket hubungi talian 03-2718 1118.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved