Rabu, 14 September 2011

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


RIM mahu kembalikan 'taring' AIM

Posted:

RIM mahu kembalikan 'taring' AIM

RIM mahu kembalikan 'taring' AIM

Oleh FATEN SAPHILLA MOHAMED ISA

SEJAK diperkenalkan pada tahun 1993 sehingga kini, Anugerah Industri Muzik (AIM) dilihat sebagai platform untuk penyanyi dan pengkarya diiktiraf.

Namun begitu, sejak ia mula diperkenalkan sehingga tahun ini memasuki tahun ke-18 ia dianjurkan, AIM sering berdepan dengan isu kontroversi yang tidak pernah berkesudahan.

Bermula daripada senarai pencalonan sehinggalah kepada senarai pemenang, pasti ada ketidakpuasan timbul di kalangan karyawan mahupun peminat setia program hiburan tersebut.

Malah, anugerah yang dianggap berprestij satu ketika dahulu dilihat tidak lagi dianggap relevan untuk diteruskan. Saban tahun ia diadakan, AIM dilihat semakin hilang kegemilangan dan 'taring' nya.

Sememangnya amat sukar untuk memuaskan semua pihak lebih-lebih lagi jika melibatkan pertandingan berprestij seperti AIM.

Jika selama ini AIM dianjurkan oleh Persatuan Akademi Industri Muzik Malaysia (PAIMM), namun AIM 18 yang bakal berlangsung pada 12 November ini akan diambil alih sepenuhnya oleh pihak pengurusan AIM yang baharu iaitu Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) dilihat cuba mencipta kelainan supaya anugerah itu dilihat lebih bermutu.

Namun begitu, ia sudah berdepan dengan beberapa kontroversi. Antara kontroversi yang tercetus ialah pengurangan jumlah kategori yang dipertandingkan.

Tahun ini hanya 19 anugerah yang akan dipertandingkan berbanding AIM sebelum ini yang mempertandingkan sebanyak 29 anugerah.

Perkara itu berlaku kerana pada tahun ini tiada lagi kategori Album Terbaik untuk setiap genre muzik, sebaliknya kesemua album yang layak bertanding akan dihakimi untuk kategori Album Terbaik Tahunan.

Mengulas kepada perubahan kategori ini, Pengerusi Jawatankuasa Pengelola AIM 18 yang juga merupakan Naib Pengerusi RIM, Adrian Lim memberitahu, pengurangan kategori dalam AIM itu perlu dilakukan kerana tidak ramai penyanyi yang menghasilkan album sekarang.

"Perubahan ini mencerminkan situasi industri muzik tempatan sekarang ini. Hakikatnya, memang tidak ramai artis yang muncul dengan album baharu pada setiap tahun.

Ramai penyanyi yang menghasilkan single sahaja. Jadi, tidak relevan untuk kita kekalkan kategori Album Terbaik untuk setiap genre muzik.

"Lebih baik, semua album yang layak bertanding dihimpunkan untuk satu kategori sahaja, iaitu Album Terbaik Tahunan," katanya ketika dihubungi Kosmo!.

Ulas Adrian lagi, walaupun kategori album digugurkan namun lagu terbaik kategori pop, balada dan etnik masih dikekalkan.

"Sebarang perubahan atau rombakan dalam AIM tahun ini dibuat menerusi jawatankuasa yang dianggotai enam ahli daripada syarikat rakaman tempatan dan antarabangsa," katanya lagi.

Adrian turut mengakui sukar untuk membuat semua pihak suka dengan perubahan yang cuba dilakukan terhadap AIM.


AIM merupakan majlis anugerah yang mengiktiraf bakat seni penggiat seni atas dasar mutu dan kredibiliti produk muzik yang dihasilkan mereka.



"Memang kita tidak boleh buat semua orang suka dengan keputusan AIM. Pasti akan ada yang suka dan akan ada yang tidak suka lebih-lebih lagi apabila orang baharu mengambil alih.

"Saya akui AIM berdepan dengan isu apabila kami mengumumkan senarai kategori yang akan bertanding tahun ini. Untuk itu, kami akan mengadakan beberapa kali sidang akhbar sebelum AIM berlangsung.

"Malah, bagi mengelakkan isu pemilihan pemenang berulang lagi, kami akan mengadakan sidang akhbar selepas AIM 18 berlangsung bagi menjawab segala pertanyaan mengenai pemenang," ujarnya.

Selain perubahan dari segi kategori, Adrian memberitahu, terdapat dua lagi rombakan yang dibuat iaitu tarikh dan lokasi.

Biasanya AIM dibuat pada bulan April atau Mei tetapi selepas RIM ambil alih AIM, acara tersebut bakal berlangsung pada bulan November.

Dalam pada itu jika sebelum ini AIM berlangsung di PWTC, kali ini lokasinya dipindahkan ke Stadium Bukit Jalil.

Menurut Adrian, ia bermatlamat supaya semua peminat dapat hadir dan meraikan artis-artis idola mereka.

"Perubahan lain yang akan dibuat ialah para artis yang melakukan persembahan tidak begitu ramai dan tempoh acara tidak panjang. Malah, artis antarabangsa turut terlibat pada malam anugerah tersebut," katanya.


YUNA dan Faizal Tahir antara pemenang pada AIM 17 yang berlangsung pada tahun lalu.


Tambahnya, antara pelan tindakan lain yang diperkenalkan RIM ialah penganjuran AIM dalam pelbagai bahasa iaitu Melayu, Inggeris, Cina dan India yang akan dilakukan secara berasingan.

"Ia juga tidak lagi dirangkumkan pada satu malam. Objektif penganjuran secara berasingan adalah untuk memberi peluang kepada artis tempatan yang popular di luar negara tetapi kurang mendapat pengiktirafan di negara sendiri dapat diketengahkan kepada peminat tempatan," ujarnya.

Format penjurian

Menjawab tentang format perjurian pula, Andrian menjelaskan PAIMM masih bertanggungjawab untuk menilai setiap pencalonan yang dihantar. Bagaimanapun, berlaku sedikit pindaan untuk kriteria kelayakan.

"Untuk AIM 18 ini, hanya lagu-lagu yang 100 peratus digubah dan ditulis oleh warganegara sahaja yang layak bertanding.

"Selain daripada itu, memang tidak boleh dan tidak ada pengecualian," katanya yang berbuat demikian kerana ingin memberi pengiktirafan yang sepatutnya kepada komposer dan komposisi tempatan selain menggalakkan mereka untuk menghasilkan lebih banyak karya yang bagus pada masa hadapan.

Lokasi penganjuran AIM 18 pula akan beralih ke Stadium Putra, Bukit Jalil dan akan bersiaran secara langsung di saluran Astro Ria.

Antara kategori-kategori yang masih dipertandingkan ialah Artis Baru Terbaik, Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Lelaki), Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Wanita), Persembahan Vokal Berkumpulan Terbaik Di Dalam Lagu, Kulit Album Terbaik, Rakaman Album Terbaik, dan Video Muzik Terbaik.

Dipercayai beberapa rombakan dan proses kemas kini akan dilakukan kepada AIM supaya anugerah itu menjadi lebih telus dari segi kriteria penghakiman, pemilihan penyampai anugerah, pengacara dan penyanyi yang akan membuat persembahan pada malam anugerah itu.

Mengulas mengenai RIM yang kini mengambil alih sepenuhnya pengelolaan AIM daripada PAIMM, kata Adrian, ia disebabkan kontrak AIM dengan PAIMM sudah tamat.

"Memang hakcipta AIM adalah milik RIM. Biasanya kontrak diperbaharui tiga tahun sekali. RIM ambil alih AIM tahun ini kerana mahu melakukan penjenamaan semula AIM supaya ia jadi lebih menarik dan hebat," ujarnya.

Sementara menurut Pengerusi RIM, Norman Abdul Halim, sudah tiba masanya RIM mengambil alih pengurusan AIM sepenuhnya selepas AIM dilihat semakin hilang serinya. Malah AIM juga berdepan dengan masalah untuk mendapat penajaan.

"Sejak diperkenalkan, AIM masih belum memenuhi secukupnya keperluan perubahan semasa. Pihak RIM juga terpaksa ambil alih AIM sebab ia berdepan dengan masalah. Bila sudah ambil alih kita mula dengan masalah sebab tidak ada syarikat penaja.

"Oleh yang demikian, RIM harus mengambil langkah berani untuk malam anugerah AIM 2011 agar ia boleh dikemaskini dan jenamanya boleh diperbaharui supaya masih rasional kepada penonton tempatan," katanya ketika ditemui pada majlis rumah terbukanya di Cyberjaya, Selangor baru-baru ini.

Norman juga menolak AIM 18 turut berdepan dengan kontroversi apabila senarai kategori dan juga tarikh tayangannya ditunda.

"Senario semasa memang sudah banyak berubah kerana artis mendapat kelonggaran untuk membuat single.

"Disebabkan itu, pencalonan album terbaik bagi setiap genre tidak lagi diadakan kerana tidak ramai artis yang mempunyai album baharu dan yang ada pula tidak menepati kriteria.

Kata Norman lagi, penundaan itu juga tiada kena mengena dengan pengeluaran bahan muzik yang dikatakan semakin merosot. Sebaliknya, penghasilan bahan muzik secara digital berkembang dengan amat pesat.

"Cuma masalah yang kita hadapi untuk mendapatkan penyiar baharu selepas kontrak bersama ntv7 tamat tahun lalu.

"Namun begitu, kami baru saja mendapat persetujuan daripada Astro yang sudi bekerjasama untuk menyiarkan acara kemuncak AIM untuk tempoh tiga tahun," ujarnya.

Legasi AIM


PENYANYI tersohor Indonesia, Melly Goeslaw antara karyawan muzik yang pernah diberikan pengiktirafan pada tahun 2001 menerusi AIM 8 untuk kategori Album Indonesia Terbaik.


Dalam pada itu, menyingkap sejarah AIM yang dianjurkan setiap tahun sejak 1993, ia merupakan pentas utama untuk pengiktirafan dan penghargaan buat bakat-bakat seni muzik yang paling bermutu di tanah air.

Acara itu boleh dikatakan menyerupai Grammy Awards di Amerika Syarikat (AS) dan Brit Awards di United Kingdom (UK).

AIM yang selama ini dianjurkan PAIMM sebenarnya disokong RIM serta pihak media penyiaran dan syarikat komunikasi sebagai penaja utamanya.

Keputusan yang diumumkan pada acara tersebut setiap tahun, iaitu nama penerima anugerah ditentukan dan dimuktamadkan oleh ahli-ahli PAIMM, sehinggalah AIM 18 apabila RIM membuat keputusan mengambil alih AIM sepenuhnya.

Bercerita mengenai sejarah AIM lebih lanjut, Pengarah Urusan PAIMM, Jennifer Thompson memberitahu, pertama kali AIM berlangsung pada tahun 1993 adalah secara langsung di Hotel Hilton Kuala Lumpur. Ketika itu hanya 11 kategori dipertandingkan.

"Tahun 1994 pula, AIM berehat dan disambung semula pada tahun 1995. AIM 2 kemudiannya berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dan disiarkan di Radio Televisyen Malaysia (RTM).

"Pada tahun 1996 hingga 2000 pula, stesen penyiaran Astro mengambil alih dalam menyiarkan AIM dan pada tahun 2001 hingga 2010 AIM kemudiannya beralih ke ntv7," katanya.

Jennifer yang sudah 15 tahun mengelolakan AIM memberitahu, untuk mengekalkan AIM sebagai sebuah anugerah yang berprestij dan glamor saban tahun bukanlah sesuatu yang mudah.

Cabarannya apabila pihak PAIMM perlu lakukan lebih bagus daripada dari tahun ke tahun agar ia tidak menjadi kritikan ramai pihak.

Namun, dia sedar dalam pertandingan tidak semua yang menyokong pemilihan pemenang.

"Semua orang ada hak untuk pilih artis kegemaran mereka tetapi pemenang dipilih berdasarkan pemilihan juri. Segala keputusan harus diterima.

"Senarai pemilihan pencalonan dibuat berdasarkan syarikat rakaman. Dari segi pemilihan pemenang baharulah PAIMM yang bertanggungjawab," katanya yang berharap AIM tahun ini dapat menyambung legasi kecemerlangan AIM sebelum ini.

1001 nostalgia AIM

Posted:

1001 nostalgia AIM

1001 nostalgia AIM

Oleh FATEN SAPHILLA MOHAMED ISA


DATUK Siti Nurhaliza menguasai AIM menerusi kategori Anugerah Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Album (Wanita) dari tahun 1999 hingga 2006 dan dari 2008 hingga 2010.


MAJLIS Anugerah Industri Muzik (AIM) pertama kali berlangsung pada 15 Disember 1993 dan ketika itu cuma 10 kategori sahaja dipertandingkan di samping anugerah khas (Anugerah Sri Wirama) khusus untuk seniman atau seniwati yang mengukir pencapaian cemerlang dalam industri muzik.

Penyanyi bersuara soprano, Ning Baizura memahat namanya dalam sejarah AIM 1993 apabila dia memenangi dua anugerah iaitu Artis Baru Terbaik (Solo) dan Album Terbaik Dekat Padamu.

AIM 1995

AIM tidak berlangsung pada tahun 1994 dan diteruskan pada 1995. Kali ini, AIM memperlihatkan industri seni semakin meriah apabila anugerah baharu untuk album mengikut kategori genre diperkenalkan.

Sebanyak 14 kategori dipertandingkan di samping dua anugerah khas iaitu Anugerah Sri Wirama dan Anugerah Antarabangsa.

AIM 1996

AIM 3 diteruskan pada tahun 1996. Kali ini ia memperkenalkan anugerah Album Inggeris Tempatan Terbaik untuk memberi pengiktirafan kepada para pemuzik Malaysia yang berkarya dalam bahasa Inggeris. Turut diperkenalkan ialah Anugerah Kembara yang dikurniakan kepada tokoh yang melariskan karya-karya muzik ciptaan Malaysia ke peringkat antarabangsa.

Album Inggeris Tempatan Terbaik dimenangi oleh Amir Yussof untuk album Some of This is Real, manakala Anugerah Kembara (Tempatan) diraih Datuk Sheila Majid dan Anugerah Kembara (Luar Negara) pula dimenangi oleh Sandii Suzuki.

AIM 1997

AIM 1997 seterusnya memperkenalkan pula anugerah Album Indonesia Terbaik dan Susunan Muzik Terbaik Dalam Lagu. Album Indonesia Terbaik ketika itu dimenangi oleh Broery Marantika untuk album Surat Untuk Kekasih manakala Susunan Muzik Terbaik Dalam Lagu menyaksikan lagu Sheila Majid, Bersatu Hati menang.

AIM 1998

Majlis penyampaian AIM 5 ini pula menyaksikan tiga anugerah baharu diperkenalkan iaitu Album Nasyid Terbaik, Album Dangdut Terbaik dan Artis Inggeris Baru Tempatan Terbaik. AIM 5 juga buat julung kalinya disiarkan secara langsung di ntv7.

AIM 1999

Walaupun AIM kali ini tidak memperkenalkan sebarang anugerah baharu tetapi kategori yang dipertandingkan ketika itu sudah melalui fasa yang lebih besar berbanding 1993 apabila sebanyak 20 kategori dipertandingkan. Buat pertama kali Siti Nurhaliza memenangi Anugerah Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Album (Wanita) untuk album Adiwarna selepas berjaya memenangi Artis Baru Terbaik (Wanita) pada tahun 1997.

AIM 2000

Pada tahun 2000, majlis penganugerahan AIM 7 diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur, dan disiarkan secara langsung di saluran TV3 dan Astro Ria. Kali ini, ketiga-tiga anugerah Artis Baru Terbaik digabungkan menjadi satu untuk pemuzik solo dan berkumpulan dari kedua-dua jantina.

AIM 2001

AIM 8 ini diadakan pada 28 April 2001, di Pusat Dagangan Dunia Putra dan disiarkan secara langsung hanya menerusi saluran ntv7.

AIM 2002

AIM 9 masih mengekalkan Pusat Dagangan Dunia Putra sebagai platform anugerah tersebut berlangsung pada 20 April 2002. Sebanyak 18 anugerah dipertandingkan termasuk anugerah baharu untuk Artis Harapan yang serupa fungsinya dengan Artis Baharu. Anugerah itu ditujukan kepada muka baru yang berjaya mencapai populariti sehingga didapati berpotensi membawa impak kepada industri muzik tempatan. Artis Harapan ketika itu dimenangi oleh Nitrus.

AIM 2003

AIM 10 yang berlangsung pada 26 April 2003 ini menyaksikan antara perubahan termasuklah pemecahan anugerah Album Rock Terbaik kepada dua, iaitu Album Hard Rock Terbaik dan Album Pop Rock Terbaik. Album Pop Rock Terbaik ketika itu dimenangi oleh Spider untuk album Aladin manakala Album Hard Rock Terbaik dimenangi oleh Silantra... Bermulanya Sebuah Epik - Metalasia (King Shah).

AIM 2004

AIM 11 diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra pada 24 April 2004 dan masih disiarkan secara langsung menerusi saluran ntv7, dengan Bob Lokman dan Afdlin Shauki sebagai pengacaranya.

AIM 2005

Menyaksikan senarai pencalonan semakin bertambah iaitu sebanyak 19 kategori.

AIM 2006

AIM 13 berdepan dengan kontroversi apabila ia menerima kritikan media terhadap cara pemilihan calon-calonnya. Khususnya melibatkan album Mawi bertajuk Yang Tercinta yang dikatakan tidak layak bertanding oleh pihak AIM untuk menyertai pencalonan antaranya kerana album tersebut cuma memuatkan lapan buah lagu.

Pencalonan Ahli Fiqir dalam AIM 13 juga menimbulkan keresahan beberapa pihak yang menganggap bahawa pengiktirafan kepada kumpulan hip-hop yang terdiri daripada warga Singapura dan Indonesia itu tidak seiring dengan tujuan acara ini iaitu untuk mengiktiraf hanya bakat-bakat dari Malaysia.

AIM 2008

AIM telah mengalami perubahan ketara dari segi susunan kategori dan kaedah pencalonan. Kategori Album Indonesia Terbaik digugurkan. Sebaliknya, kategori Lagu Bahasa Melayu Terbaik yang dipersembahkan Artis Luar Negara menjadi ganti. Walau bagaimanapun, kategori berkenaan menyaksikan semua calonnya adalah dari Indonesia.

AIM 2009

AIM 16 pula menampilkan perubahan yang ketara dari pelbagai aspek. Ia menerima pencalonan album yang terendah dalam sejarah penganugerahan iaitu sebanyak 55 penyertaan. Kemerosotan jumlah pencalonan album dipertandingkan dikatakan berpunca dengan keadaan pasaran yang semakin mengecil yang lebih menjurus kepada penghasilan dan penjualan single menerusi muat turun di telefon bimbit. Selain itu, ia juga dipercayai disebabkan stesen radio swasta mengamalkan sistem format.

AIM 2010

Sejajar dengan perkembangan terkini dalam industri muzik tanah air, pihak penganjur AIM membuka pintu kepada EP untuk bertanding dalam beberapa kategori termasuk Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Lelaki, Wanita dan Berkumpulan), Artis Baru Terbaik, Susunan Muzik Terbaik Di Dalam Lagu dan Lagu Terbaik. Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) juga telah menetapkan bahawa album yang memiliki minimum lima buah lagu layak dipertandingkan dan dianggap sebagai sebuah album penuh.

Arca Buddha dari Pakistan

Posted:

Arca Buddha dari Pakistan

Arca Buddha dari Pakistan


PATUNG lama yang menunjukkan seorang wanita menjaga tiga anak kecil turut dipamerkan.


HARTA karun berharga dari kawasan terpencil penganut Buddha di Pakistan kini boleh disaksikan di kota New York menerusi satu pameran seni.

Penganjuran pameran itu sebelum ini terpaksa mengharungi pelbagai cabaran seperti banjir, rusuhan dan letupan yang dikaitkan dengan keganasan. Semua itu mewarnai hubungan diplomatik antara Amerika Syarikat (AS) dengan Pakistan.

Pameran bertemakan Warisan Penganut Buddha di Pakistan: Kesenian Gandhara itu menampilkan beberapa arca yang sebelum ini tidak pernah dilihat di AS.

Menerusi pendedahan Asia Society, tugasan itu membongkar satu kesenian yang sukar dan unik untuk dikaji berkaitan sejarah awal Islam di kawasan Gandhara yang terletak di barat laut Pakistan.

Asia Society adalah organisasi bukan berasaskan keuntungan yang menghubungkan dunia Asia dan Barat melalui seni, pendidikan, bisnes dan polisi.

Gandhara terletak di Lembah Swat yang sinonim dengan pemberontakan gerila dan puak pelampau yang mempunyai rangkaian dengan puak Taliban terhadap kerajaan.

Namun, pameran tersebut jelas menunjukkan Gandhara dahulunya pernah dipenuhi dengan seni dan kebudayaan dalam tempoh masa yang berkembang sejak kurun pertama ke kurun kelima.

"Meskipun imej Pakistan yang telah dicop sebagai kawasan pelampau untuk berbuat keganasan, kawasan ini juga sebenarnya dikenali sebagai tempat yang mengekalkan warisan nenek moyang," kata Pengarah Muzium Asia Society, Melissa Chiu.

Pengaruh Greek


SEORANG sami sedang membelek sebuah buku
di pameran yang kini berlangsung di New York.


Ukiran batu dan kerja-kerja seni melibatkan ukiran emas dan tembaga mencerminkan pengaruh purba Greek, Rom, India, Parsi dan Buddha.

Figura Buddha, termasuk satu daripada tiga yang digelar 'Buddha Kurus' dan lainnya yang masih utuh walaupun telah berusia lebih dari ribuan tahun itu mempunyai gaya campuran yang menarik sekali gus memberi gambaran kepada kajian dan lakaran budaya.

Bagaimanapun, cerita mengenai karya-karya seni itu dibawa dari muzium di Lahore dan Karachi ke Manhattan kurang menyerlah berbanding peristiwa yang telah dilalui sejak berkurun lamanya.

Chui memberitahu, Asia Society telah bekerja keras selama hampir dua tahun untuk membawa sekurang-kurangnya 70 jenis barang berharga itu ke New York.

Berhadapan dengan kerenah hampir 10 lapisan birokrasi menjadikan tugas itu lebih sukar. Hal-hal logistiknya berdepan pula dengan situasi darurat yang disebabkan oleh malapetaka banjir tahun lalu.

Kemudian, selepas kertas kerja yang bertimbun telah disusun, kerajaan telah membubarkan kementerian kebudayaan sebagai langkah penyusunan semula.

"Apa yang menyedihkan, kami telahpun memeterai perjanjian dengan kementerian kebudayaan tetapi ia tidak lagi berguna setelah dibubarkan," keluh Chiu.

Pembukaan yang sepatutnya dijadualkan pada bulan Mac lalu akhirnya tertangguh.

Transaksi antara dua negara itu dikeruhkan lagi dengan operasi menembak mati oleh Agensi Perisikan Pusat AS (CIA) ke atas dua warga Pakistan.

Kemuncak persetujuan


UKIRAN batu yang menunjukkan jalan hidup Buddha.


Pembunuhan Osama bin Laden di Pakistan dalam serbuan pada bulan Mei lalu oleh pasukan operasi khas AS telah memuncakkan desakan agar persetujuan yang lebih teliti antara kedua-dua negara dilaksanakan.

Akhirnya, selepas melalui pelbagai cabaran, barulah persetujuan itu dicapai. Namun, walaupun kerja-kerja telah dimulakan untuk membungkus dan membawa artifak berharga itu dengan kapal, nasib pameran tersebut masih tergantung.

"Di Karachi, mereka terpaksa berhadapan dengan rusuhan yang berlaku pada minggu artifak itu dibungkus. Mereka yang takut enggan meninggalkan rumah mereka dan akhirnya, petugas muzium terpaksa mencari dan mengambilnya di rumah-rumah," jelas Chiu.

Chiu yang menggelarkan pameran tersebut 'peluang seumur hidup' memberitahu, kesukaran untuk menggagalkan penganjuran pameran itu seharusnya memberi inspirasi.

"Lebih menarik, terlalu ramai orang di Pakistan yang membantu dan sanggup mempertaruhkan nyawa mereka untuk memastikan pameran itu berjaya. Ia secara tidak langsung menunjukkan kepada AS sisi lain Pakistan, iaitu warisan seni budaya yang agung," kata wanita itu.

Duta Pakistan ke AS di New York bercakap dengan Chiu setiap hari selama berbulan-bulan. Kemudian, dia menghubungi Presiden dan menteri lain untuk membantu sehinggalah pameran tersebut menjadi kenyataan.

Antara karya utama pameran yang akan berlangsung sehingga 30 Oktober depan adalah ukiran luar biasa bertajuk Vision of Buddha Paradise.

Walaupun kini majoriti rakyat Pakistan beragama Islam, semua kerja seni sentiasa dijaga dengan berhati-hati dan dihormati di muzium tempatan. Kata Chiu, ia adalah satu irama yang masih hidup. - AFP

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved