Selasa, 6 September 2011

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Mesin cepatkan proses pengeluaran

Posted:

Mesin cepatkan proses pengeluaran

Mesin cepatkan proses pengeluaran

Oleh BASIR ABU BAKAR
basir.abubakar@kosmo.com.my

MENGIMBAU kembali kenangan ketika mula-mula mengusahakan perusahaan kuih tradisional yang dilakukan secara kecil-kecilan di dapur rumah sejak 10 tahun lalu membuatkan Siti Hawa Md. Zin termenung seketika.

Dia terbayang kepayahan yang ditempuhi olehnya ketika itu sehingga terpaksa membanting tulang empat kerat seorang diri demi mencari pendapatan tambahan dan membantu suami.

Sudahlah terpaksa menahan panas berdiri seharian di tepi kuali dan api panas demi menghabiskan adunan 10 kilogram tepung, malah tuntutan tugas itu menyebabkan dia tidak boleh membuat kerja lain seperti mengemas, menjaga anak mahupun menguruskan tempahan kuihnya.

Menurut Siti Hawa, kaedah tradisional dalam menghasilkan rempeyek sebenarnya rumit dan memenatkan selain mengambil masa yang lama untuk memprosesnya.

"Kita yang memasaknya terpaksa 'berdiang' (berada dekat api) di tepi dapur untuk menggoreng snek yang sedap dan popular ini.

"Selain memenatkan, kaedah tradisional ini juga menyukarkan kita untuk mengambil tempahan dalam kuantiti banyak kerana guna tenaga yang tidak mencukupi dan terbatas oleh faktor masa," kata ibu berusia 53 tahun itu.


TEKNOLOGI mesin yang diketengahkan MARDI dan ZullDesign banyak membantu pengusaha industri kecil dan sederhana.


Menurutnya, setiap kali menjelang musim perayaan kuih-muih tradisional memang menjadi pilihan walaupun pembuatannya agak sukar. Permintaan terhadap kuih-muih tradisional seperti rempeyek, baulu, kuih ros, karas dan lemang juga semakin meningkat.

Lebih mencabar, pembuatan secara manual biasanya tidak dapat menampung permintaan tersebut.

"Disebabkan tidak mampu menampung permintaan kuih yang semakin meningkat saya terfikir seketika mengenai kaedah terbaik untuk mengatasinya.

"Bagai pucuk dicita ulam mendatang, pada tahun 2003, hasil permohonan saya kepada Jabatan Pertanian dan inisiatif mereka saya berpeluang menjadi pengusaha yang juga perintis menggunakan mesin prototaip snek rempeyek di negeri Melaka ciptaan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI)," kata ibu beranak empat itu.

Mampu penuhi permintaan

Pengenalan mesin ciptaan Pegawai Penyelidik di MARDI, Samsudin Ahmad, telah merubah dimensi perniagaan industri kecil dan sederhana serta proses membuat kuih tradisional dengan lebih baik dan efisien bagi Siti Hawa.

Sejak diperkenalkan dengan mesin memproses rempeyek, pengeluaran dan pemprosesan rempeyek pemilik syarikat SHMZ Enterprise itu berjaya meningkat sekali gus ia mampu memenuhi permintaan pasaran yang berkehendakkan kuih tradisional buatannya itu.

"Jika dulu, saya mengambil masa satu hari untuk pemprosesan 10 kilogram tepung bagi membuat rempeyek secara tradisional.

"Tapi sebaliknya dengan menggunakan mesin, saya hanya mengambil masa setengah hari untuk menyiapkannya," katanya yang kini telah memasarkan produk rempeyeknya ke pasar raya Jusco di seluruh negara dengan jenama Sahajat.

Katanya, mesin kuih itu mampu menjimatkan masa memproses kuih, mengurangkan guna tenaga kerja, meningkatkan kuantiti penghasilan kuih dan meningkatkan penjualan produk.


ZULKIFLI (kiri) berbincang dengan pereka muda ZullDesign bagi merealisasikan reka bentuk mesin.


"Dengan ada mesin ini dianggarkan sebanyak 80 hingga 100 keping rempeyek dapat dihasilkan oleh seorang pekerja dalam tempok satu jam berbanding cara manual.

"Kita hanya perlu bancuh tepung dan sediakan kacang mengikut kesesuaian di dalam bekas mesin yang disediakan untuk dicelup oleh acuan rempeyek ikut kesesuaian sebelum digoreng," katanya yang menyifatkan penggunaan mesin tersebut sangat berbaloi dan menguntungkan.

Menurutnya, mesin separa automatik lebih ringkas dan mudah digunakan tetapi ia memerlukan dua orang pekerja untuk mengendalikannya manakala mesin automatik hanya perlukan seorang pekerja dan beroperasi secara berterusan bagi kerja mengisi bahan mentah dan menggoreng.

"Mesin ini berupaya menghasilkan 3 hingga 4 kali lebih banyak. Maka, harga jualan dapat dikurangkan.

"Dari segi kualiti, ia kurang berminyak dan mempunyai warna yang lebih seragam. Dari segi rasa, tiada perbezaan yang ketara malah hasil yang dibuat menggunakan mesin lebih sedap," jelas Siti Hawa lagi.

Pelbagai mesin

Pegawai Penyelidik Prinsipal, Pusat Mekanisasi dan Automasi MARDI, Samsudin Ahmad berkata, pihaknya telah menghasilkan pelbagai jenis mesin dan peralatan bagi menghasilkan makanan tradisional.

"Antaranya adalah mesin menghasilkan lemang, emping, kuih karas, rempeyek, kuih ros, tabaloi, baulu cermai, cakar ayam, keropok lekor, sate, batang buruk, biji rotan, karipap, mesin mengekstrak isi durian dan jus buah-buahan.

"Kebanyakan mesin yang dihasilkan oleh MARDI telah dikomersialkan dan mendapat sambutan menggalakkan dalam kalangan usahawan industri kecil dan sederhana ( IKS)," katanya semasa ditemui di pejabatnya di Serdang, Selangor baru-baru ini.

Misalnya mesin menghasilkan lemang, kuih karas, rempeyek, ros, keropok lekor dan sate telah digunakan oleh usahawan IKS seluruh negara.

Terkini pihak MARDI telah menghasilkan tiga lagi produk untuk membangunkan IKS tempatan iaitu mesin memproses kuih tradisional empat dalam satu, mesin menggoreng keropok mudah susun dan mesin serba guna bagi mengekstrak sitrus dan mengasing biji benih cili.

Mesin memproses kuih tradisional empat dalam satu hasil rekaan pegawai penyelidik Pusat Mekanisasi dan Automasi MARDI, Hasmin Hakim Hasbullah berupaya menghasilkan empat jenis kuih tradisional dengan hanya menggantikan acuan.

Nekad berhenti kerja

Sementara itu seorang pengusaha lain, Zaharani Abu Bakar, 49, yang menetap di Batang Kali, Hulu Selangor mula berkecimpung dalam perusahaan membuat sejak tiga tahun lalu dan mula menggunakan mesin moden pembuat kuih pada tahun 2010.

"Saya bertindak nekad berhenti kerja di Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) pada tahun 2009 dan terus memulakan perniagaan membekalkan bahan mentah untuk sebuah institut pendidikan di Kuala Kubu Bahru.

"Selain itu, saya cuba mencari peluang mengusahakan perniagaan kuih tradisional bagi meningkatkan pendapat seisi rumah secara kecil-kecilan," katanya.

Lama-kelamaan, perusahaan kuih tradisional yang dijalankan Zaharani secara kecil-kecilan berkembang pesat ekoran khabar dari mulut ke mulut oleh para pelanggan yang berpuas hati.

Oleh itu, pembuatan kuih yang diusahakan Zaharani bertambah setiap tahun. Daripada modal permulaan sebanyak RM200, keuntungan sebulan perniagaannya kini mampu mencecah RM30,000 sebulan.

Justeru atas inisiatif sendiri, Zaharani cuba mencari penyelesaian terbaik untuk mengatasi jumlah permintaan kuih yang semakin bertambah dan tidak mampu dipenuhinya.

Kata Zaharani yang mula fokus dan serius mengusahakan kuih sejak 2010 itu, dia mula memikirkan untuk mendapatkan bantuan mesin membuat kuih bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat setiap hari terutama bulan puasa.

Ketika itu ramai yang mengesyorkan pelbagai idea termasuk menyarankan agar dia menemui pereka ternama tanah air, Zulkifli Haron, 52, dari syarikat Zull Design Autotronic.

"Sebelum ini memang saya ada terbaca di akhbar, Internet dan rancangan televisyen mengenai Zulkifli Haron tetapi, saya tidak tahu sama ada beliau juga mereka bentuk mesin dan peralatan untuk membuat kuih-muih tradisional dan moden," cerita ibu kepada empat orang anak remaja itu.

Memudahkan perniagaan

Setelah mendapatkan maklumat, Zaharani terus bergegas ke Rawang untuk bertemu dengan Zulkifli dan hasil perbincangan mereka terhasillah Mesin Memproses Pelbagai Kuih (Mepek).

"Saya hanya perlu gambarkan idea seperti yang dikehendaki manakala Zul akan berusaha untuk merealisasikannya. Dalam tempoh masa yang singkat, mesin yang saya gambarkan telah siap dibina. Ia sangat berguna dan telah banyak membantu memudahkan perniagaan saya," katanya lagi.

Mepek yang dihasilkan Zull Design itu dijana kuasa angin (pneumatik) yang dihasilkan daripada pemampat elektrik yang dibekalkan bersama mesin tersebut.

Bergerak secara mekanikal, pengendali Mepek harus meletakkan adunan kuih secara manual dan mengawal mesin tersebut sehingga mendapat bentuk kuih yang dikehendaki.

Kata Zaharani yang kini menyewa sebuah kedai, dia membeli mesin Mepek ciptaan ZullDesign pada harga RM6,800 untuk memproses kuih seperti semperit, tart nanas dan muruku.

"Dengan mesin yang saya beli pada bulan empat 2011 ini, saya mampu menghasilkan kira-kira 30,000 biji kuih sebulan.

"Berbanding ketika tidak menggunakan mesin kuantiti kuih yang mampu dihasilkan jauh lebih rendah," katanya yang kini menjalankan perniagaan di bawah syarikat Nifa Jaya Enterprise.

Tambahnya lagi, selain membuat muruku, tart nanas dan samprit, dia turut membuat kira-kira lapan kuih moden lain dan beberapa jenis makan sejuk beku seperti karipap dan daging kambing perap yang mendapat permintaan ramai.

Dilema tanah perkuburan Mumbai

Posted:

Dilema tanah perkuburan Mumbai

Dilema tanah perkuburan Mumbai


KOS tanah yang tinggi dan kepadatan populasi menjadi punca masalah kekurangan kawasan perkuburan.


BATU nisan marmar berwarna putih terbaring kaku di atas tanah di Gereja St. Andrew di Bandra, salah satu rumah ibadat Katolik Roman tertua di Mumbai, ibu negara India.

Nama yang terukir di batu nisan tersebut menjadi saksi kepada warisan Portugis di bandar tersebut, dengan si penjaga kubur yang setia menyapu daun-daun basah dari nisan yang tertera nama-nama Da Silvas, D'Souzas, Pintos, Pereiras, Furtados dan Fonsecas.

Di belakang gereja putih itu, terdapat tempat persemadian yang lebih kecil, disusun secara berlapis-lapis seperti laci di dinding perimeter tinggi bersempadan dengan laut.

Di dalam susunan khusus itu, ditempatkan mayat baharu bagi menggantikan ruang yang sebelumnya terdapat tulang-belulang mereka yang telah mati sejak beberapa tahun lalu.

Kenaikan harga tanah dan ketirisan penyediaan merupakan isu besar terhadap kira-kira 18 juta rakyat yang memenuhi modal kewangan dan hiburan India.

Namun, kenaikan tersebut meninggalkan kesan di bandar itu termasuk perubahan mendadak berkaitan adat resam ritual kematian, sekali gus memaksa kenaikan harga untuk pengebumian atau mengamalkan penyelesaian lain bagi masalah kekangan ruang.

"Ia merupakan satu isu utama di semua gereja. Tiada ruang untuk kita mengebumikan mayat dengan sempurna.

"Kami tidak lagi dibenarkan untuk membuat kubur kekal. Sesiapa yang masih mempunyai ruang kubur warisan keluarga boleh menggunakannya. Namun bagi yang tiada, kami memberi mereka ruang khusus," kata Michael Goveas, paderi di St. Andrew yang lot kuburnya boleh ditemui hingga ke koridor menuju ke ruang gereja utama.

Kawasan sesak

Kekurangan tanah perkuburan merupakan masalah yang menghantui kebanyakan penganut Kristian dan Islam di negara yang pesat membangun. Di India, masalah tersebut paling kritikal dihadapi di Mumbai.

Pihak berkuasa tempatan menganggarkan hanya 1.3 kaki persegi (0.12 meter persegi) tanah hijau dapat disediakan untuk setiap orang. Keadaan itu jelas menunjukkan kepadatan populasinya.

Satu langkah penyelesaian yang dihantar ke pihak Majlis Bangunan Tinggi dan Habitat Urban yang berpangkalan di Amerika Syarikat, adalah untuk membina menara, dengan ruang untuk tanah perkuburan penganut Kristian dan Islam serta tempat pembakaran mayat penganut Hindu.

Idea tersebut cuba menjelaskan bahawa kaedah tradisional sudah tidak boleh digunakan. Kebanyakan gereja lama dan juga yang baharu tidak lagi mempunyai atau menyediakan kawasan untuk pengebumian.

"Kawasan perkuburan mempunyai sistem iaitu mereka tidak perlu mengebumi jasad melebihi dua tahun. Tulang-belulang itu kemudian akan dipindahkan ke rumah kubur," kata jurucakap Ketua Bishop Bombay, paderi Anthony Charanghat.

Satu kesan yang besar melibatkan isu ketiadaan tanah perkuburan ialah peningkatan jumlah penganut Katolik yang memilih agar mayat mereka dibakar yang sering menjadi kebiasaan penganut Hindu.

"Anda mesti mendapatkan kebenaran untuk dibakar. Ia sudah menjadi trend sekarang. Tetapi masalahnya jika dibakar, tiada lagi kebangkitan. Jika anda terbakar, ia satu perkara lain," tegas paderi Micheal.

Permintaan terhadap ruang untuk dikebumikan telah menyebabkan sesetengah gereja memberi nasihat untuk menggunakan kain linen atau keranda yang dibuat daripada papan lapis untuk mempercepatkan proses penguraian, kata Dolphy D'Souza dari Sabha Katolik Bombay.

"Dengan peningkatan populasi dan kekurangan tanah, ia (pengebumian) menjadi terlalu sukar dan kitaran semula berlaku selama hampir 18 bulan selepas mayat dikebumi," ujarnya lagi.

Para pengendali mayat dan kubur memberitahu, belanja untuk mengurangkan tapak perkuburan persendirian untuk pajakan selama 30 tahun telah meningkat sama seperti perbelanjaan melancarkan roket.

Pengarah Pengebumian, Dion Pinto berkata, bagi tapak asas sebesar 6.5 kaki x 3 kaki (1.99 x 0.9 meter) telah meningkat mendadak sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

"Harganya cuma 5,000 rupee (RM323) pada enam atau tujuh tahun lalu. Sekarang ia meningkat seperti harga rumah," katanya.

Situasi itu menyebabkan ramai penganut Islam telah membatalkan hasrat itu terutamanya yang mempunyai masalah untuk mendapatkan ruang tanah untuk dikebumikan.

Di Bada Qabrastan, iaitu bandar yang mempunyai kawasan pengkebumian terbesar penganut Islam, kira-kira 5,000 jenazah yang telah disemadikan di bawah pokok kelapa, ros dan pokok yang menjalar. Perkara itu ternyata dipandang serius oleh pihak berkuasa.

"Mana-mana Muslim boleh dikebumikan di sini, dengan syarat mereka mendapatkan pengesahan dari pihak perbandaran," kata Shakil Ahmed Shabazker yang menguruskan tapak perkuburan seluas lapan ekar (3.2 hektar) di tanah besar selatan Mumbai.

"Kubur yang tidak bertanda untuk mayat yang tidak dituntut akan digali semula selepas setahun. Kami mengalihkan tulang-belulang ke tempat lain dengan cara terhormat dan menggalinya semula di tempat yang sama," tambahnya. – AFP

Lapan jenis biskut raya Ana

Posted:

Lapan jenis biskut raya Ana

Lapan jenis biskut raya Ana

Oleh RADIAH SAORI
radiah.saori@kosmo.com.my


ROHANA menunjukkan sebahagian kuih yang dikeluarkan di kilangnya di Simpang Renggam, Johor baru-baru ini.


ADAT berniaga kadang-kala untung, kadangkala rugi. Bagi yang tidak cekal atau tidak memiliki keazaman yang tinggi, situasi tersebut mungkin dijadikan alasan untuk terus menyerah kalah. Namun, tidak bagi usahawan biskut industri kecil dan sederhana (IKS), Rohana Ghazali.

Wanita berusia 54 tahun itu pernah mengalami detik paling mencabar dalam hidupnya apabila mengalami kerugian yang bukan sedikit nilainya.

Namun, ia tidak pernah dijadikan sebagai penghalang untuk terus mencuba bagi mengecap kejayaan.

Hasilnya, Rohana yang lebih senang dipanggil Ana kini boleh berbangga apabila dilabel sebagai salah seorang usahawan biskut raya yang berjaya. Saban tahun, Ana yang mengusahakan biskut raya di Kampung Pinggir, Simpang Renggam, Johor tidak menang tangan menerima tempahan sehingga terpaksa menambah kakitangan untuk membantu.

Menurut Ana dia bersyukur kerana masih mampu untuk meneruskan perniagaan yang amat digemarinya itu meskipun suatu ketika pernah terlintas di fikirannya untuk berhenti gara-gara menanggung kerugian.

"Kerugian paling besar yang pernah saya alami ketika musim perayaan Aidilfitri tahun 2009. Semuanya gara-gara karenah pelanggan yang tidak jujur. Ketika itu, saya menerima tempahan biskut raya hampir 10,000 balang tetapi selepas tempahan tersebut siap, pelanggan pula memberi banyak alasan untuk tidak mengambil tempahan biskut.

"Ada pula yang ambil tetapi tidak bayar dan ada juga yang sudah ambil tetapi dipulangkan semula apabila tidak habis dijual. Ketika itu, saya mengalami kerugian yang bukan sedikit. Sampaikan banyak biskut-biskut saya akhirnya terpaksa dibuang begitu sahaja," ceritanya yang mengimbau kenangan ditipu pembeli.

Ibu kepada tiga orang cahaya mata itu juga mengakui, selepas insiden tersebut, dia berbelah-bahagi untuk meneruskan perniagaan membuat biskut pada musim perayaan seterusnya. Namun, demi minat, dia berazam untuk meneruskan juga meskipun sedar dia mungkin mengalami kerugian sekali lagi.

Belajar daripada pengalaman, Ana lebih berhati-hati dalam menguruskan perniagaan dan menerima tempahan. Menurut Ana, dia kini fokus terhadap biskut yang benar-benar mendapat sambutan setiap kali tiba musim perayaan.

"Untuk tahun ini, saya hanya membuat lapan jenis biskut raya yang mendapat sambutan paling tinggi selain lebih bertegas terhadap pelanggan yang ingin membuat tempahan dalam kuantiti yang banyak.

"Saya juga lebih selesa membuat jualan sendiri terus kepada pengguna. Dengan cara ini, pengguna dapat membeli biskut dengan harga yang lebih rendah dan saya sendiri tidak perlu risau mengenai kerugian.

"Tahun ini saya telah membina sebuah kedai di hadapan rumah untuk membolehkan pelanggan membeli terus daripada kami pada harga borong," katanya.

Menurut Ana, antara biskut yang menerima sambutan tertinggi antaranya makmur, tat, dahlia, gajus cornflakes, suji Brunei, almond London dan juga semperit.

Ana yang turut menjalankan perniagaan menjual murtabak segera menjelaskan, pada hari biasa dia hanya memerlukan dua orang pembantu tetapi dua bulan sebelum Ramadan, dia terpaksa menambah bilangan pembantu bagi memastikan semua tempahan siap dibuat dalam masa ditetapkan.

"Jika hari biasa, saya hanya dibantu oleh dua pekerja tetap tetapi, menjelang musim perayaan, saya terpaksa mendapatkan pekerja tambahan bagi membantu menyiapkan tempahan.

"Pekerja saya pula terdiri daripada penduduk kampung sendiri kerana niat saya ingin membantu mereka mendapatkan pendapatan tambahan menjelang Hari Raya Aidilfitri," jelas Ana yang agak bertuah kerana turut disokong suaminya, Ab. Rahim Nordin dan seorang daripada tiga anaknya.

Bagi yang berminat untuk membeli dan membuat tempahan biskut perusahaan ini terutamanya untuk dihidangkan sempena rumah terbuka tahun ini boleh datang sendiri ke kedainya di Batu 42, Kampung Pinggir, Simpang Renggam atau hubungi Rohana di talian 019-737 7912.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved