Jumaat, 9 September 2011

Kosmo Online - Pesona


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Pesona


Bersihkah Zon V anda?

Posted:

Bersihkah Zon V anda?

Bersihkah Zon V anda?

Oleh NURUL IZZA ROSLY

TANYALAH apa sahaja mengenai kecantikan, fesyen, kosmetik kepada anak gadis zaman sekarang ini, pasti lancar sahaja mulut mungil mereka menjawab mengenai trend, fesyen dan jenama terkini yang sesuai dengan jiwa remaja mereka.

Jangan terperanjat jika mendapati mereka mempunyai pengetahuan lebih luas daripada anda selaku ibu.

Namun, di sebalik keghairahan mereka terhadap penjagaan dan penampilan diri, masih ramai di antara mereka masih kurang menitikberatkan mengenai penjagaan dan kebersihan zon wanita atau Zon V.

Penjagaan Zon V adalah amat penting dalam kesihatan keseluruhan dan kesejahteraan seseorang wanita.

"Jika aspek kesihatan wanita ini diabaikan, jangkitan dan penyakit mungkin terjadi. Ini boleh menjejaskan kesihatan dan juga keyakinan diri. Anda harus kerap memeriksa Zon V anda untuk memastikan ia sihat. Kita selaku wanita perlu selalu mengawasi tubuh masing-masing," kata Pakar Sakit Puan, Dr. Premitha Damodaran.

Tambahnya, simptom seperti bau atau bendalir yang kurang menyenangkan, haid tidak teratur atau pendarahan antara kitaran haid adalah tanda amaran.


PENGGUNAAN liner setiap hari adalah untuk mengekalkan kekeringan dan kesegaran Zon V sepanjang masa.


"Jika ia berlaku, anda sepatutnya segera berjumpa dengan doktor untuk menentukan sama ada rawatan diperlukan. Jangan ambil mudah atau terlalu membersihkan Zon V anda. Sentiasa peka dan jangan gunakan produk cucian atau wangian yang boleh merosakkan keseimbangan semula jadi Zon V anda," ujarnya.

Jelas Premitha, minyak dan bendalir yang berada secara semula jadi dalam Zon V membantu melindungi dan memelihara kesihatan.

Oleh yang demikian, pembersihan yang melampau akan menghapuskan perlindungan tersebut dan menjadikan Zon V mudah mendapat jangkitan.

"Apa yang diperlukan untuk mengekalkan kebersihan Zon V? Anda hanya perlu membersihkannya menggunakan air suam (bukan air panas) dan sabun lembut di sekeliling Zon V jika perlu.

"Lindungi Zon V anda dengan membenarkan ia bernafas dengan memakai seluar dalam kain kapas dan tukar tuala wanita atau tampon secara kerap ketika haid," jelasnya.

Selain itu, gunakan liner setiap hari untuk mengekalkan kekeringan dan kesegaran Zon V sepanjang masa tetapi pastikan anda menukarnya sekurang-kurangnya setiap empat jam!

Premitha memberitahu, terdapat beberapa faktor yang menyebabkan berlakunya perubahan pada persekitaran Zon V iaitu pengambilan antibiotik, kehamilan, pil hormon, perubahan hormon, diabetes, stres, hubungan seks, bertukar-tukar pasangan, cuaca panas dan lembap serta penggunaan pencuci vagina.


PENGGUNAAN seluar dalam dengan fabrik kapas memberi keselesaan pada Zon V.


Katanya, pengeluaran cecair vagina yang normal biasanya berwarna putih, tiada bau, tidak gatal, basah, cair dan banyak ketika ovulasi atau pekat pada waktu lain.

"Pengeluaran cecair yang tidak normal tidak semestinya kerana jangkitan tetapi, mungkin disebabkan kerengsaan daripada penggunaan cecair pencuci vagina, garam mandian, air laut, peluh dan kelembapan, alergi kepada kondom lateks, terlupa mengeluarkan tampon dan kekeringan vagina.

"Setiap wanita pasti ada satu episod jangkitan kulat sepanjang kehidupan mereka. Ia bukan penyakit yang berjangkit melalui hubungan seks tetapi, 12 hingga 15 peratus pasangan mungkin mengalami kegatalan," ujarnya.

Menurutnya, jangkitan kulat pada vagina berlaku kerana beberapa perkara seperti pengambilan antibiotik, diabetes, kehamilan, pengambilan alkohol berlebihan, pil perancang kehamilan, perubahan hormon, penggunaan steroid, kemerosotan sistem imunisasi, cecair pembersih vagina, berpakaian ketat, perubahan jenama pad atau tampon, cuaca yang lembap dan stres.

"Sebanyak 50 peratus daripada jangkitan vagina disebabkan oleh bakteria vaginosis (BV). BV berlaku kerana pertumbuhan lampau bakteria tertentu seperti gardnerella vaginalis pada vagina.


DARI KIRI: Nabila Yasmin Mohd. Razib, Yen Sher Leen dan Winnie Nelson merupakan pemenang peraduan Kotex Fresh Face Girl.


"BV akan menjangkiti mereka yang mengadakan hubungan seks secara kerap dan bertukar-tukar pasangan seks," jelasnya sambil memberitahu BV tidak boleh berjangkit melalui tandas duduk, tempat tidur atau kolam renang.

Buat masa ini BV tidak menunjukkan simptom cuma seseorang itu mengeluarkan cecair kelabu keputihan dengan berbau hanyir terutamanya selepas hubungan seks, sakit ketika membuang air kecil dan kegatalan pada kawasan keliling vagina.

Bagi mengelakkan jangkitan, Premitha menyarankan wanita memastikan kawasan alat kelamin bersih dan kering, elakkan penggunaan sabun yang menyebabkan iritasi, penyembur vagina, pencuci vagina, syampu rambut, menukar tampon dan pad dengan kerap serta memakai pakaian dalam yang tidak memerangkap kelembapan.

Selain itu, seseorang perlu menukar pakaian yang kering segera selepas berenang, mengambil antibiotik apabila disarankan doktor sahaja dan jika menghidap diabetes, seseorang itu perlu mengawal paras gula dalam darah.

Premitha menasihatkan kepada mereka yang dijangkiti supaya mengelakkan aktiviti seks sehingga sembuh sepenuhnya, merawat jangkitan, menggunakan kondom, mengelap alat kelamin dari bahagian depan hingga ke belakang dan mengurangkan pengambilan roti, gula dan alkohol.

"Sesiapa sahaja boleh mengalaminya. Tidak semestinya seseorang yang aktif seks akan mendapat jangkitan pada vagina.

"Anda tidak perlu membasuh secara berlebih-lebihan kawasan vagina anda kerana ia mempunyai sistem pembersihannya sendiri," pesannya.

Psoriasis kulit kepala datangkan aib

Posted:

Psoriasis kulit kepala datangkan aib

Psoriasis kulit kepala datangkan aib

Oleh NURUL IZZA ROSLY


PENYAKIT psoriasis boleh dirawat dengan kemajuan dunia perubatan masa kini.


PSORIASIS merupakan salah satu penyakit kulit yang menjejaskan dua hingga tiga peratus populasi manusia di seluruh dunia.

Separuh daripada dua pertiga daripada pesakit menghidap psoriasis mengalami penyakit psoriasis kulit kepala. Psoriasis kulit kepala ini mungkin menyerang keseluruhan kulit kepala atau menjejaskan bahagian tertentu di kepala.

Seseorang yang menghidap psoriasis menunjukkan tanda-tanda seperti beberapa tompok kemerah-merahan serta bersisik putih berwarna perak selain mempunyai kulit kepala yang mengelupas persis kelemumur.

Jika keadaan ini dibiarkan lama tanpa rawatan, kemungkinan ia merebak ke bahagian dahi, leher atau di belakang telinga adalah tinggi.

Di Malaysia sahaja, ia menyerang satu hingga dua peratus daripada jumlah populasi rakyat negara ini.

Begitupun, pengamal perubatan masih belum dapat mengenal pasti punca sebenar psoriasis kulit kepala, tetapi ia dikaitkan dengan genetik. Ia juga boleh berlaku kerana perubahan musim, kecederaan pada kulit, stres, alahan pada sesetengah ubat, alkohol dan tabiat merokok.

Walaupun ia tidak berjangkit, ia cukup membuatkan seseorang itu terganggu dengan simptom-simptom seperti pengelupasan berlebihan yang sering disalah anggap sebagai kelemumur teruk oleh sesetengah pesakit.

Pada masa yang sama, ia menyebabkan kegatalan kulit kepala hingga menyebabkan seseorang itu berasa malu seterusnya mengasingkan diri daripada bergaul dengan masyarakat.

Beberapa kajian menunjukkan bahawa individu yang mengalami psoriasis kulit kepala lebih gemar bersendirian yang akhirnya menyebabkan kemurungan. Lebih teruk, sesetengah pesakit psoriasis mempunyai kecenderungan untuk membunuh diri.

"Psoriasis kulit kepala merupakan penyakit kronik tetapi ia boleh dirawat dengan rawatan perubatan efektif.

"Namun begitu, banyak salah tanggapan tentang penyakit ini hinggakan ramai pesakit lambat mendapatkan rawatan kerana menganggap ia kelemumur biasa.


PERUBAHAN tekstur dan warna pada permukaan kulit seperti ini perlu dipandang serius. - Gambar hiasan


"Ada di antara mereka mendapati rawatan sedia ada tidak berkesan sementara ada yang lain menyifatkan ia sebagai beban," kata Perunding Dermatologi dari Hospital Pantai dan Pusat Perubatan Gleneagles, Dr. Steven Chow.

Hidup terbatas

Tambah Steven, gaya hidup pesakit psoriasis terbatas kerana beberapa aspek.

"Pesakit perlu memakai topi, menjauhi penggunaan produk rawatan rambut atau pewarna rambut, menahan diri melakukan aktiviti fizikal seperti berenang, mengelakkan diri memakai baju berwarna gelap supaya keruping kulit yang jatuh di baju tidak ketara kelihatan.

"Penghidap penyakit ini menderita dalam diam. Ada pula yang menganggap mereka akan hidup selama-lamanya dengan penyakit itu. Tanggapan itu ternyata tidak benar kerana ia boleh dirawat," ujarnya sambil memberitahu psoriasis dialami oleh golongan lelaki dan wanita.

Sementara itu, penghidap psoriasis, Patricia Tang, 30 memberitahu, dirinya mula menghidap psoriasis sejak berumur 18 tahun ketika menuntut di kolej.

Bermula di bahagian paha, Patricia mendapati keadaannya seperti luka dan bersisik. Dia kemudian menyedari keadaan yang sama juga berlaku di belakang telinga.

"Sejak lima tahun lalu, ia merebak ke bahagian kaki, tangan dan kulit kepala.

"Ia sedikit sebanyak membataskan aktiviti sosial saya. Hendak keluar perlu pakai baju lengan panjang, seluar atau skirt panjang. Tipulah jika saya tidak malu," luahnya.

Tambah Patricia, psoriasis juga turut mengganggunya dari aspek emosi iaitu sering berasa rendah diri.

"Aktiviti saya terbatas. Tidak dapat berenang, tidak boleh pakai baju berwarna hitam selain perlu memakai seluar panjang selalu.


PENERANGAN tentang psoriasis dan perubatan terkini disampaikan oleh (dari kiri) Steven, John Koo, dan Pengurus Negara LEO Pharma, Tan Keng Aun.


"Bagi meneruskan kehidupan seperti biasa, saya perlu berfikiran positif dan dalam masa yang sama berkongsi maklumat mengenai penyakit ini kerana ramai orang tidak tahu mengenai psoriasis," katanya sambil memberitahu kulitnya akan berasa gatal-gatal apabila stres walaupun baru sahaja membasuh rambut.

Penyelesaian terbaharu

Dalam pada itu, bagi menyelesaikan masalah psoriasis kulit kepala, satu ubat alternatif rumusan calcipotriol/betamethasone dipropionate yang mula diperkenalkan baru-baru ini di Malaysia.

Menurut Naib Pengerusi Jabatan Dermatologi, Universiti California, Pusat Perubatan San Francisco, Profesor John. Y. M. Koo, ubat tersebut sangat efektif, cepat bertindak, tidak comot, tidak melekit, senang dibasuh serta tidak mengambil masa yang lama untuk digunakan.

"Ia merupakan gel jenih tanpa bau dan terbukti secara klinikal bagi mengurangkan kemerahan, pengelupasan kegatalan selepas seminggu digunakan.

"Bagi kesan yang optimum, seseorang pesakit itu perlu menggunakannya setiap hari selama empat minggu," ujarnya.

Ubat gel khas untuk psoriasis kulit kepala ini dibangunkan oleh syarikat penghasilan ubatan dermatologi, LEO Pharma boleh didapati di negara ini dengan saranan daripada doktor berharga RM90 bagi 15 gram.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved