Ahad, 28 Ogos 2011

Kosmo Online - Varia


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Varia


Nikmat merdeka seorang pejuang

Posted:

Nikmat merdeka seorang pejuang

Nikmat merdeka seorang pejuang

Oleh WAN SHAHARA
AHMAD GHAZALI

Ismail menunjukkan gambar kenangan beliau menjadi satu-satunya wakil dari Malaya ketika itu yang mewakili pasukan England dalam sukan hoki semasa beliau menjalani kursus senjata di Hampshire.


KEMERDEKAAN bukan sahaja bermakna negara bebas daripada penjajahan tetapi juga mencetuskan transformasi mengagumkan bagi negara.

Bagi Ismail Chemenggun, 72, beliau berasa bangga untuk menjelaskan pengertian nikmat Merdeka dari kaca mata seorang bekas askar.

Ismail menjemput penulis ke rumah yang didiami beliau sekeluarga sejak berpindah ke Batu Arang, Selangor pada tahun 1970.

Pekan Batu Arang itu sendiri, jelas Ismail, melalui transformasi daripada sebuah penempatan luar bandar kepada penempatan pinggir bandar. Beliau sempat menunjukkan gambar lama setiap kali menyiapkan ubahsuai rumah yang dilakukan sendiri dengan tulang empat kederatnya dan tetap mengekalkan gabungan warna biru, kuning dan merah iaitu warna kor Kejuruteraan Elektrikal dan Mekanikal Diraja (REME).

Warna itu mempunyai makna mendalam kerana beliau mahu sentiasa ingat betapa tingginya semangat muda beliau seawal usia 16 tahun sebagai askar British Malaya bersama REME.

Empat rakannya yang pernah sama-sama berkhidmat semasa di sekolah tentera Army Boys Trade dan REME di Singapura turut datang memberi sokongan moral pada sesi temu bual itu.

Berdasarkan pengalaman sendiri, Ismail membuka bicara dengan menceritakan pelbagai cabaran yang dihadapi sebelum merdeka, khususnya pada zaman Perang Dunia Kedua (1941-45) dan darurat ekoran ancaman Komunis (1948-60).

"Rakyat terpaksa hidup dalam keadaan huru-hara dengan keadaan ekonomi yang teruk, tiada kemudahan sekolah dan klinik, jika adapun terlalu jauh dan tidak ramai yang mampu," luah beliau.

Sistem jalan raya, komunikasi dan pengangkutan pun sangat teruk, contohnya jika perlu ke Singapura dari Kuala Lumpur, rakyat terpaksa bergantung kepada perkhidmatan kereta api yang mengambil masa sekurang-kurangnya 16 jam.

"Itupun kalau tak rosak tengah jalan," sahut rakan-rakannya.

Ismail menggambarkan bahawa keperluan asas untuk rakyat biasa, seperti elektrik, bekalan gas dan air masih belum wujud, sebaliknya perlu bergantung kepada perigi yang digali sendiri, kayu yang ditebang sendiri dari hutan untuk memasak dan pelita minyak tanah bagi menerangi kegelapan.

Lebih menakutkan, rakyat bukan setakat miskin dengan makanan yang terhad, malah hidup dalam ketakutan bimbang disergah penjahat atau diserang musuh.


Gambar Ismail yang segak berpakaian seragam askar British Malaya.


Azam pemimpin

Tetapi berkat usaha para pemimpin kemerdekaan bermula dengan perjuangan Datuk Onn Jaafar pada tahun 1946 menerusi UMNO, dan diikuti oleh usaha Tunku Abdul Rahman Putra serta yang lain, Tanah Melayu berjaya mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 secara aman, diikuti dengan gabungan Sabah, Sarawak dan Singapura ke dalam gagasan Malaysia pada 16 September 1963.

"Tetapi, negara ditimpa malang lagi apabila diganggu-gugat oleh dua peristiwa utama iaitu konfrontasi Indonesia pada 1962-66 dan rusuhan kaum 13 Mei 1969. Namun, dengan kebijaksanaan para pemimpin negara kita yang terdiri daripada pelbagai kaum, pelbagai usaha dilakukan supaya rakyat kembali hidup dalam keadaan harmoni dan muhibah," ulas beliau dengan panjang lebar.

Apapun, Ismail meletakkan harapan besar kepada generasi muda dan akan datang supaya peristiwa hitam seperti konfrontasi dan rusuhan berkenaan tidak lagi berulang di Malaysia, sebaliknya perasaan muhibah dan sepakat perlu sentiasa disemarakkan.

Usaha yang dilakukan, terang Ismail, termasuk rangkaian ceramah untuk menyampaikan maklumat dan penjelasan kerajaan terhadap situasi terkini, memperbanyakkan kawalan keselamatan, penempatan rakyat disusun semula, mewujudkan banyak kampung baru untuk keselamatan masyarakat dan melemahkan pengaruh Komunis.

Di samping itu, banyak nama khas yang berunsurkan penjajah telah digantikan dengan nama yang berjiwa kebangsaan seperti nama tokoh negara atau perkataan yang lebih patriotik termasuk nama bandar, sekolah, hospital, pelabuhan, bangunan, jalan raya dan destinasi bersejarah.

Kerajaan juga, katanya, mewujudkan pelbagai dasar dan kuota yang lebih adil dan saksama untuk menjaga masa depan keharmonian pelbagai kaum.

Akhirnya, kemajuan dapat dinikmati bersama apabila negara cukup aman dan kukuh sehingga mampu menarik pelabur dan pelancong luar negara, jelas Ismail yang turut gembira apabila kekuatan ekonomi membolehkan lebih banyak kemudahan asas, sekolah, hospital, jalan raya dan sebagainya dibina untuk rakyat.

"Rakyat lebih gembira, sihat, mampu mendapatkan peluang pekerjaan dan pendidikan yang lebih sempurna, selain dapat melakukan aktiviti sosial seperti bersukan dan berhibur. Inilah bukti nikmat kemajuan," jelas Ismail dengan penuh syukur.

Tetapi, beliau kecewa kerana generasi yang lahir selepas merdeka mudah pula terjerumus dengan pelbagai masalah sosial dan akhlak menyebabkan beliau berasa bimbang.

Berkorban demi anak

"Orang lain mungkin merasakan saya terlepas peluang kerana tidak mengambil tawaran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) selepas tamat perkhidmatan dengan pasukan tentera Komanwel British, tetapi masa itu saya baru berkeluarga dan tidak pasti keadaan masa depan keluarga jika bersama ATM yang biasanya perlu berpindah mengikut kenaikan pangkat.

"Masa itu, saya telah berkhidmat untuk negara selama 15 tahun, jika perlu tambah lagi 12 tahun berpindah-randah sebagai askar, bagaimana pula nasib dan pendidikan anak-anak yang masih kecil," katanya.

Keputusan beliau untuk menetap di Batu Arang yang merupakan lokasi kilang peluru Syarikat Malaysia Explosives (MALEX) yang baru ditubuhkan sebelum pasukan British Malaya dibubarkan banyak membantu beliau menstabilkan keluarga dan membolehkan enam anak dan 22 cucunya berjaya dalam pelajaran dan melahirkan profesional dalam pelbagai bidang. – Bernama

Menghargai sumbangan askar veteran

Posted:

Menghargai sumbangan askar veteran

Menghargai sumbangan askar veteran


ISMAIL (tengah) menunjukkan sijil tamat perkhidmatan tentera dan sijil pengiktirafan kepakaran senjata sambil diapit oleh rakan-rakan seperjuangan (dari kiri) Tayeb, Abd. Rahman, Osman dan Amirdat Khan.


ISMAIL CHEMENGGUN tidak menafikan semasa mula beliau tinggal di Batu Arang sekitar tahun 1969 banyak cabaran yang perlu ditangani.

Ketika itu, sistem penempatan Batu Arang belum tersusun seperti sekarang dan ramai daripada komuniti asal yang kebanyakannya bukan Bumiputera kurang senang dengan kedatangan bekas askar seperti beliau.

Tetapi berkat usaha yang dilaksanakan oleh kerajaan ketika itu, Batu Arang menjadi sangat makmur sebagai sebuah masyarakat majmuk yang hidup dalam harmoni hingga kini meskipun tidaklah semewah kehidupan moden di bandar.

"Istimewanya di Batu Arang, terutama semasa zaman generasi saya masih muda ialah muafakat antara kaum amat ketara. Semua orang saling memahami, amat mesra dan membantu antara satu sama lain," imbau Ismail sambil berseloroh generasi muda kini tidak boleh menandingi generasinya meskipun dengan pelbagai kempen 1Malaysia kini.

Tapi sayangnya, beliau menyedari kemuafakatan itu telah mula pudar dan lebih mengecewakan lagi apabila generasi tua sepertinya dapat melihat keretakan dalaman yang makin jelas dalam kelompok satu-satu kaum.

Kini, Ismail hanya mampu mengimbau kenangan suka duka sejarah hidupnya, menabur jasa dan bakti demi masa depan agama, negara dan anak bangsa.

Daripada lebih 20 orang rakan-rakan seperjuangan ketika zaman British Malaya yang menetap di Batu Arang, hanya tinggal lima orang yang terus meniti usia senja termasuk Ismail.

Rakan yang lain seperti Osman Ngah Mamat, 75, Tayeb Abdul Malek, 72, Amirdat Khan Zardat Khan, 69, dan Abdul Rahman Atan, 67, turut berasal daripada pasukan REME dan mula menetap di Batu Arang selepas tahun 1972.

Sebenarnya, mereka amat menghargai pengiktirafan Veteran Malaysia yang diberi kerajaan baru-baru ini yang membolehkan mereka mendapat kemudahan kesihatan yang sama dengan pesara ATM.

Tetapi mereka juga sedar baki hayat umur mereka tidaklah begitu lama lagi, dan mereka masih menanti bilakah kerajaan dapat memutuskan memberi sumbangan berbentuk pencen yang sesuai dengan kos hidup masa kini bagi membantu mereka menjalani saki-baki hidup dengan baik. – Bernama

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved