Rabu, 17 Ogos 2011

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Dokumentasi kisah Anbiya

Posted:

Dokumentasi kisah Anbiya

Dokumentasi kisah Anbiya

Oleh NOOR ASHREEN ISMAIL

BUMI Palestin sudah lama diancam dan diceroboh dengan hebatnya oleh kaum Kuffar dan Yahudi. Kekejaman mereka itu sudah berlarutan sejak tahun 1948 lagi.

Malahan, perebutan bumi Palestin telah lama berlaku sejak zaman Saidina Umar al-Khattab iaitu Khalifah Kedua antara tiga penganut agama samawi iaitu Islam, Kristian dan Yahudi apabila Kota Jerusalem ditakluk oleh Nabi Daud AS bermula pada tahun 636 Masehi.

Menyaksikan peperangan yang telah berlaku hampir beratus-ratus tahun itu, SNR Multitech Production bersama CIMB Islamic Bank Berhad telah mengambil inisiatif bagi menyingkap fakta atau penceritaan di sebalik negara yang telah dijajah Zionis sejak sekian lama itu untuk diungkap menerusi dokumentari 30 episod yang diberi judul, Palestin-Bumi Para Anbiya.

Ini kerana di sebalik kekejaman tersebut, wujud kisah-kisah para anbiya yang mungkin tidak diketahui masyarakat. Penerokaan bumi Palestin yang mengambil masa selama tiga tahun ini telah dimanfaatkan dengan mengambil al-Quran menjadi sumber utama.

Mungkin pengalaman tiga tahun tidak cukup untuk didokumentasikan untuk 30 episod namun, kru produksi telah mengerah keringat masing-masing selama dua bulan menjalani penggambaran bagi memberikan yang terbaik kepada masyarakat di luar sana.


SUASANA di Sanli Urfa, Turki, lokasi Nabi Ibrahim AS dizalimi Raja Namrud iaitu pemerintah Mesopotamia purba yang kini dikenali sebagai negara Iraq.


Menceritakan pengalaman berada di bumi Palestin itu, pengarah bersama program itu, Abdul Razak Kassim atau lebih mesra disapa sebagai Pak Yeop mengakui banyak masalah yang timbul di negara yang sememangnya sedang bergolak itu.

"Sebaik menjejakkan kaki ke sana, pasti ada pihak berkuasa akan mengikuti kami. Dua buah kamera kami ditahan, termasuk beberapa peralatan lain yang tidak lepas semasa membuat pemeriksaan kastam di sana.

"Walau bagaimanapun, terdapat kamera video yang saiznya sedikit kecil yang dapat dibawa masuk. Jadi, sepanjang penggambaran, kami hanya gunakan kamera tersebut," cerita Pak Yeop yang bersyukur kerana akhirnya penggambaran siap dan semuanya berjalan dengan lancar.

Ujar Pak Yeop lagi, situasi tersebut berlaku kerana mereka beranggapan kru produksi yang hadir adalah untuk membuat publisiti keadaan rusuhan yang berlaku di sana namun pada hakikatnya bukan seperti yang difikirkan mereka.

Berbicara melalui pengalaman yang ditempuh sepanjang berada di negara timur tengah itu, akuinya, masalah akan menjadi peneman setia walau ke mana jua pelosok bumi Palestin diterokai.

Diambil sebagai contoh, ke mana sahaja mereka pergi, pasti ada pihak berkuasa yang menemani kerana katanya, mereka risau akan kehadiran warga luar yang hadir kerana khuatir akan membawa provokasi.

Selain itu, mereka juga turut ditahan di beberapa balai polis sepanjang melakukan penggambaran di sana. Sewaktu kehadiran mereka di sana, pihak berkuasa turut menghantar unit gerakan khas polis untuk memantau gerak geri mereka seharian.

"Bukan hanya pada siang hari, malah kami diiringi sehingga ke larut malam selain krew produksi sering disoal sepanjang penggambaran kerana ingin ketahui apa yang kami lakukan," kata Pak Yeop yang bersyukur dengan izin Tuhan mereka berjaya mengharungi rintangan tersebut.


PAK YEOP (kiri) dan Shahool di hadapan Masjid Khalid Al-Walid di Syria.


Namun, demi ingin merakamkan aset berharga di bumi Palestin itu, semua kru program ini sanggup menempuh rintangan sepanjang penggambaran berlangsung.

"Mengapa kami mahu menerbitkan cerita ini dalam bentuk dokumentari adalah kerana saya sendiri pernah berada di Gaza, saya lihat betapa daifnya mereka dan apabila mereka ketahui kami dari Malaysia, mereka terus memeluk kami kerana menghargai kita yang ingin membantu," jelas Pak Yeop lagi.

Namun, masalah peperangan Palestin bukanlah maklumat baru yang diketahui umum. Ia telah terjadi di bumi itu sejak beratus tahun yang lalu seperti tanpa ada jalan penyelesaian.

Bagaimanapun, siri dokumentari ini bukan semata-mata menceritakan tentang kezaliman zionis ke atas bumi Palestin ini, ia juga menceritakan mengenai kedudukannya yang sangat istimewa di sisi agama Islam yang jelas dinyatakan di dalam al-Quran.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif SNR Multitech, Shahool Hameed Mohd Meerah, sebelum dokumentari itu berjaya direalisasikan, penyelidikan telah dilakukan bagi mengkaji semua aspek yang berkaitan dengan misi program ini untuk membuat dokumentasi kisah anbiya di bumi Palestin itu.

Ini kerana pengisian program itu bukan sahaja dari sudut agama Islam, tetapi juga meliputi dari sudut Kristian dan Yahudi juga turut mengatakan fakta yang diberi mereka benar.

Al-Quran sumber utama


MAKAM Khalifah Umar Abdul Aziz di Syria.


Istimewanya, penceritaan serta maklumat dalam dokumentari ini merupakan kajian yang telah dibuat selama tiga tahun yang mana kajian mendalam tersebut telah dijalankan dengan menjadikan al-Quran sebagai sumber yang utama dan sebagai penyokong fakta, kitab Injil dan kajian pakar-pakar sejarah juga turut diambil.

"Walau bagaimanapun, jika sesuatu fakta itu bertentangan dengan al-Quran, maka kami akan tolak kerana kami yakin bahawa al-Quran adalah sumber paling benar dan tepat.

"Namun, jika dilihat, kebanyakan fakta daripada pakar sejarah menyatakan sememangnya mereka menyokong apa yang telah tertulis di dalam kitab suci, al-Quran," ujar Shahool.

Tambahnya, seringkali kaum Yahudi mengakui bahawa kaum mereka merupakan pewaris kepada kaum Bani Israel yang mana dahulunya pernah mengasas sebuah kerajaan di sana pada 3,000 tahun yang lalu.

Namun, setelah kajian menyeluruh dibuat sehingga ke zaman Nabi Adam AS yang mana kru program ini juga telah menuju ke perkampungan pertama Nabi Adam AS serta melawat kesan-kesan sejarah di situ termasuk makam dan sebagainya, akhirnya telah menemukan mereka satu jawapan yang pasti iaitu kaum Bani Israel sebenarnya diasaskan oleh kerajaan Islam ketika itu.


PERKAMPUNGAN Nabi Isa AS di Mau'lala di Jordan.


Di penghuung dokumentari ini, mungkin akan menimbulkan persoalan kelak kepada umat manusia yang mana ia akan menjurus kepada apakah tindakan seterusnya sebagai umat Islam dan manusia yang cintakan keamanan dalam menegakkan hak asasi manusia di atas muka bumi ini.

Ini kerana apa yang pasti, kesengsaraan yang berlaku di bumi Palestin itu bukanlah hanya berlaku terhadap umat Islam, namun ada juga umat bukan Islam yang turut merasai kepedihan yang tidak pernah selesai itu.

Memang tidak dinafikan apabila kru produksi berhijrah ke Gaza, jelas kelihatan masyarakat di sana yang sentiasa berada dalam keadaan susah termasuk tiada pekerjaan dan keperluan harian juga terganggu.

"Namun, apa yang membuat kami insaf iaitu apabila melihat kanak-kanak yang baru ingin mengenal dunia kerana menyaksikan trauma mereka terhadap peperangan. Akibat daripada peperangan tersebut, ada yang mengalami kecacatan tidak kiralah dari segi mental mahupun fizikal.

"Mereka juga masih mengharapkan bantuan untuk belajar dan sebagainya. Namun, ada insiden yang membuatkan kami terdetik rasa hormat kepada anak muda di sana. Mereka menyatakan tidak akan meninggalkan negara kelahiran mereka walau apa pun yang terjadi," bicara Pak Yeop yang kelihatan cukup terharu sepanjang bercerita tentang pengalamannya itu.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.

Dokumentari di bumi Palestin

Posted:

Dokumentari di bumi Palestin

Dokumentari di bumi Palestin


MASHITAH bersama (dari kiri), Izelan, Shahool dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Berhad, Mohamad Sarfi Shahul Hamid pada pelancaran program Palestin-Bumi Para Anbiya di Kuala Lumpur baru-baru ini.


SEBAGAI sebuah saluran gaya hidup Muslim, Astro Oasis menerusi saluran 106 sentiasa berusaha untuk meneruskan tradisinya bagi memberikan program islamik terbaik kepada para pelanggan dengan membariskan program-program bermutu tinggi.

Sempena bulan Ramadan al-Mubarak, Astro Oasis dengan kerjasama SNR Multitech Productions menyajikan dokumentari bersiri khas 30 episod berjudul Palestin-Bumi Para Anbiya yang ditaja oleh CIMB Islamic Berhad.

Dokumentari khas yang ditayangkan setiap hari sepanjang bulan Ramadan ini menyorot kembali sejarah bumi Palestin dari zaman Nabi Ibrahim AS sehingga hari ini dengan berpandukan penyelidikan terperinci selama tiga tahun melalui sumber seperti al-Quran, kitab Injil dan kajian daripada beberapa pakar sejarah.

Semasa melancarkan program tersebut, Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Dr. Mashitah Ibrahim menyatakan sokongannya terhadap peranan proaktif yang dimainkan pihak Astro, SNR Multitech Productions dan CIMB Islamic Bank Berhad mengadakan program tersebut.

"Pada kesempatan ini, suka saya mengucapkan tahniah kepada pihak Astro Oasis sekali lagi yang berjaya menghasilkan satu penerbitan yang bermutu, ilmiah dan menarik.

"Saya kira tidak mudah untuk menghasilkan satu bentuk dokumentari yang baik tanpa penyelidikan yang mendalam dan teliti," ucap Mashitah selepas pelancaran program Palestin-Bumi Para Anbiya yang bertempat di Restoran Al-Rawsha, Kampung Pandan, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Sementara itu, Pengurus Saluran Astro Oasis, Izelan Basar berkata, penerbitan dokumentari ini dilihat amat bersesuaian bagi mencapai objektif Astro Oasis sendiri kerana pengisiannya yang bercirikan pendidikan, pengajaran dan hiburan.

Mungkin jika menceritakan mengenai Palestin, pasti penonton sedia maklum masalah peperangan yang tidak selesai terhadap bumi tersebut.

Namun begitu, jelas Ketua Pegawai Eksekutif SNR Multitech Sdn. Bhd., Shahool Hameed Mohd. Meerah, lima elemen yang diserapkan di dalam dokumentari ini kerana ingin menampilkan perbezaan.

"Kami cuba untuk lari daripada program lain kerana saya difahamkan program-program yang ada banyak menjurus kepada travel log.

"Jadi kami buat sesuatu yang berbeza dengan menggabungkan elemen yang tidak akan membuatkan penonton tidak beralih saluran kerana ingin ketahui apa yang diceritakan," jelas Shahool turut berterima kasih dengan tujuh orang kru produksinya yang telah membantu menyempurnakan dokumentari ini termasuk tenaga di Palestin sendiri.

Memaparkan elemen realiti yang tidak terancang iaitu apa yang benar-benar berlaku di Palestin, elemen tersebut disokong oleh empat elemen lain iaitu visual, ilustrasi, grafik dan temu bual.

Antara elemen yang diselitkan ialah visual yang merakam kejadian-kejadian serta tempat sejarah sepanjang berada di Palestin.

Selain visual, mereka juga turut menggunakan khidmat pelukis tempatan iaitu Timbalan Pengerusi Persatuan Seni Lukis Kelantan, Ismail Kadir bagi melukis lakaran untuk diselitkan dalam dokumentari tersebut.

"Untuk kisah-kisah Rasul, kami menggunakan illustrasi dan ia perlu dilukis dengan sebaik mungkin. Walaupun kami pergi ke tempat-tempat tersebut namun ia telah pun kosong dan jika kami terlalu fokuskan tempat tersebut, syot akan menjadi terlalu bosan.


SESI temubual kru Palestin-Bumi Para Anbiya bersama Dr. Mohsen Saleh, pengurus Pusat Pengajian Az-Zaytona di Lebanon.


"Pengambilan kisah daripada al-Quran telah dihasilkan melalui lukisan. Ini kerana, jika mahu dilakonkan semula ia perkara yang sukar kerana kita tidak mahu lakonkan watak rasul. Untuk berikan pandangan yang baik dan pada masa yang sama mendorong masyarakat memahami illustrasi kami ini, kami gunakan khidmat pelukis," jelas Shahool.

Grafik juga dimasukkan ke dalam dokumentari ini yang mana penghasilan peta dan maklumat-maklumat kawasan yang dilalui diolah menjadi grafik berwarna agar penonton kelak tahu destinasi serta kawasan yang dilawati.

Menurutnya lagi, elemen dokumentari itu ditambah dengan temuramah bersama pakar rujuk dari pelbagai negara termasuk dari Indonesia, mufti, paderi dan juga termasuk pakar-pakar dari negara Timur Tengah sendiri iaitu dari Jordan, Syria, Palestin dan Lebanon untuk menyokong dan member pendapat tentang fakta yang dikemukakan.

"Kami bersyukur kerana mendapat sokongan dan bantuan daripada ramai pihak untuk menghasilkan dokumentari ini. Kami rasa dokumentari ini akan membuatkan masyarakat mula berfikir dan mungkin ia akan mencabar minda mereka.

"Kami juga inginkan dan berharap penonton teruja untuk melihat apa yang akan dipaparkan pada episod seterusnya," ujarnya.

Tambahnya: "Setelah berbincang dan mengkaji sedalam-dalamnya, inilah yang mampu kami saji dan laksanakan setakat ini dan mungkin apabila berjaya kelak, dokumentari atau program yang menarik bakal menyusul untuk berikan yang terbaik kepada masyarakat di luar sana."

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.
Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved