Khamis, 18 Ogos 2011

Kosmo Online - Horizon


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Horizon


Aktiviti sebelum, selepas iftar

Posted:

Aktiviti sebelum, selepas iftar

Aktiviti sebelum, selepas iftar

Oleh AMMAR JAZLAN MAD LELA

RAMADAN merupakan bulan penuh keberkatan dan kemuliaan. Tidak hairanlah ia begitu dinanti-nantikan oleh umat Islam di seluruh dunia. Sepanjang bulan ini juga, amal ibadah akan mendapat ganjaran berlipat kali ganda daripada Yang Maha Esa.

Bagi golongan yang berpuasa, terdapat dua kegembiraan yang bakal diperoleh. Pertama, kegembiraan melakukan amal ibadah dan yang kedua ialah kegembiraan ketika berbuka puasa.

Berbicara mengenai berbuka puasa, topik yang lazim diperkatakan adalah mengenai destinasi menarik yang perlu dikunjungi untuk menikmati juadah iftar yang lazat.

Hal itu dibuktikan melalui trend berbuka puasa di luar yang menjadi lumrah kebanyakan masyarakat Islam di Malaysia, khususnya warga kota.

Justeru, tidak hairanlah setiap kali ketibaan Ramadan, sebahagian besar pengusaha kafe, restoran dan hotel di negara ini berlumba-lumba mengadakan promosi atau bufet berbuka puasa yang memberi kebebasan kepada pelanggan untuk makan apa sahaja yang dihidangkan.

Bagaimanapun, kebanyakan destinasi yang sedia ada lebih tertumpu di kawasan bandar dan terhad kepada 'acara' makan semata-mata. Tidak banyak aktiviti lain yang ditawarkan sama ada sebelum atau selepas berbuka.

Cruise Tasik Putrajaya


RUANG kabin yang luas dan berhawa dingin memberi keselesaan kepada penumpang ketika menikmati iftar.


Jika Venice terkenal dengan pelayaran romantis melalui gondolanya, Putrajaya juga mempunyai tarikan yang sama dan tidak kurang hebatnya.

Cruise Tasik Putrajaya (CTP) yang dilancarkan pada 30 Ogos 2003 oleh mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berjaya melonjakkan nama Putrajaya daripada sekadar menjadi pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan kepada destinasi pelancongan utama di negara ini.

Berlatarbelakangkan panorama alam yang mendamaikan, CTP menyediakan perkhidmatan meneroka landskap bandar raya abad ke-21 itu merentasi tasik buatan manusia seluas 650 hektar.

Seperti juga tahun-tahun sebelumnya, CTP turut menawarkan pengalaman berbuka puasa di atas bot persiaran mewah dikenali sebagai Ramadan Cruise setiap kali tibanya bulan umat Islam berpuasa.

Sebaik sahaja laungan azan kedengaran dari pekarangan Masjid Putra, pengunjung akan diberi kurma dan air mineral untuk berbuka puasa di kawasan jeti terlebih dahulu. Tempoh 20 minit diberikan untuk pengunjung menunaikan solat di surau sebelum bot bertolak tepat jam 7.45 malam.


HIDANGAN tradisional Melayu dan Moghul menjadi signatur sajian Ramadan Cruise.


Dengan kelajuan dua hingga lapan knot, setiap pelawat berpeluang menikmati pemandangan indah sekitar tasik ambil merakamkan foto kenangan.

Antara pemandangan menarik yang disajikan sewaktu tetamu bot siar berbuka puasa adalah Masjid Putra, Istana Darul Ehsan, Kementerian Kewangan, Jambatan Wawasan, Monumen Millennium, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Istana Kehakiman, Jambatan Saujana, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, Jambatan Seri Gemilang, Perdana Putra (Pejabat Perdana Menteri) dan Jambatan Putra.

Pengurus Pemasaran Cruise Tasik Putrajaya, Mohd. Shukri Hassan berkata, bot persiaran yang digunakan iaitu Kelah dan Sebarau yang mampu memuatkan 50 penumpang pada satu-satu masa.

Menurutnya, kedua-dua bot pesiaran mewah berhawa dingin itu menawarkan pemandangan melepasi jendela kaca ketika ia belayar menyusuri sekitar Tasik Putrajaya.

"Pengunjung tidak perlu bimbang, bot persiaran ini direka untuk memberikan keselesaan yang maksimum kepada pengunjung. Selain itu, mereka juga boleh melihat panorama yang sama di depan dek terbuka di bahagian atas bot.


PELANGGAN perlu menempah awal dan tiba awal sebelum waktu iftar agar makanan dapat dihidangkan tepat pada waktunya.


"Perjalanan selama satu setengah jam tidak terasa berlalu. Kawasan sekitarnya yang tenang serta cahaya yang bergemerlapan daripada beberapa monumen di selilingnya memberikan suasana romantis yang sukar dilupakan," katanya yang memberitahu aktiviti pelayaran menggunakan bot dan perahu masih diteruskan seperti biasa.

Tambah Mohd. Shukri, promosi itu hanya berlangsung pada hari Jumaat dan Sabtu sepanjang bulan Ramadan. Bagi hari-hari lain katanya, ia hanya bergantung kepada tempahan.

Moghul dan Melayu

Tambah Mohd. Shukri, pada tahun ini pihaknya mengetengahkan tema masakan Moghul dan tradisional Melayu yang lazat dan menyelerakan. Antara yang menjadi pilihan ialah nasi goreng kerabu, ayam masak percik, udang masak petai, bakso dan ikan nyok-nyok asam pedas, roti naan, nasi beriani dan ikan masala.

"Walaupun hidangannya tampak ringkas dan tidak banyak di hotel atau restoran di luar sana, namun sambutan yang diterima amat menggalakkan sejak hari pertama.

"Salah satu faktornya ialah harga yang murah iaitu hanya RM70 bagi dewasa dan kanak-kanak RM50," jelasnya.

Seorang pengunjung, Nor Hammiyah Ramli, 30, gembira kerana hajatnya berbuka puasa bersama keluarga di atas bot persiaran itu terlaksana selepas lebih sebulan membuat tempahan.

Kata pensyarah di Pusat Teknologi Pengurusan Lanjutan itu, pengalaman belayar mengelilingi Putrajaya di atas bot ternyata berbeza berbanding melihatnya di atas daratan.

"Pelayaran ini umpama satu pakej lengkap, selain dapat berbuka puasa, saya juga dapat menghayati keindahan pelbagai bangunan dan monumen di sekitar Putrajaya ini.

"Pelayaran seumpama ini mampu menarik kehadiran pelancong-pelancong ke Putrajaya," katanya.

Restoran Tasik Idaman


MENIKMATI hidangan lazat sambil bersantai di tepi tasik menambah pengalaman manis para pengunjung.


Sementara itu, kira-kira 45 minit dari Kuala Lumpur, Restoran Tasik Idaman yang terletak sempadan Bangi dan Dengkil, Selangor sesuai bagi pengunjung yang mahu melarikan diri daripada hiruk-pikuk kesibukan kota.

Berlatarbelakangkan panorama tasik seluas lebih dua hektar, restoran yang dibuka pada tahun 2004 itu menawarkan pelbagai hidangan makanan laut dan Barat yang disediakan secara ala carte.

Antara menu yang menjadi signatur utama restoran itu ialah talapia bakar ala Idaman, siakap stim Idamanku, tomyam Tasik Idaman serta nasi goreng Tasik Idaman dan air limau Idaman.

Di samping menjamu selera pengunjung akan dihiburkan dengan celoteh deejay dan alunan muzik yang pasti membangkitkan selera dan keceriaan.

Sempena bulan Ramadan tahun ini, Restoran Tasik Idaman turut menawarkan promosi bagi mereka yang mahu merasai suasana berbuka puasa di tepi tasik yang santai dan menenangkan.

Pengurusnya, Nur Fateha Osman berkata, restoran itu mampu memuatkan kira-kira 500 orang pengunjung pada satu-satu masa di beberapa ruang yang disediakan iaitu Teratak Terapung, Teratak Idaman, Teratak Cahaya Idaman dan Dataran Idaman.

"Setiap ruang ini mempunyai keistimewaannya yang tersendiri dan dihias indah dengan pelbagai dekorasi menarik untuk memberi keselesaan kepada pelanggan," ujarnya.

Berbeza daripada hotel, kafe atau restoran lain yang adakalanya menawarkan bufet, Nur Fateha berkata, pihaknya lebih selesa meneruskan hidangan ala carte seperti sebelum ini bagi memudahkan pelanggan membuat pilihan berdasarkan selera masing-masing.

Rekreasi awam


LAPANG sasar untuk peminat golf boleh digunakan sebelum dan selepas waktu berbuka.


Katanya, di samping menjamu selera, pelanggan juga boleh melakukan beberapa aktiviti tambahan yang disediakan di restoran itu seperti bermain paintball, berkayak, memancing dan bermain golf di lapang sasar pukulan.

"Kolam pancing yang terletak bersebelahan dibuka 24 jam bagi membolehkan para peminat aktiviti memancing menghabiskan waktu sepuas-puasnya di situ.

"Pelbagai spesies ikan seperti keli, patin, toman dan talapia boleh dipancing dengan hanya membayar kos masuk serendah RM5 sejam.

"Lebih menyeronokkan hasil pancingan itu boleh terus dibakar atau dijadikan hidangan ketika berbuka puasa mengikut selera pelanggan," katanya.

Sementara itu, katanya, bagi kaki golf pula, terdapat beberapa lapang sasar tersedia yang dibuka bermula dari pukul 9 pagi hingga 2 pagi.

"Dengan menggunakan sejenis bola khas, mereka boleh bermain golf sambil mengasah skil pukulan masing-masing dengan kadar bayaran RM5 hingga RM7 bagi setiap 100 biji bola," jelasnya.

Seorang pelanggan, Shahid Abu Bakar berkata, kewujudan lapang sasar memberikan kemudahan kepada peminat-peminat golf sepertinya untuk melepaskan 'gian'.

Pelajar kejuruteraan dari Kolej Universiti Infrastruktur Kuala Lumpur (KLIUC) itu berkata, walaupun lokasi terletak agak jauh dan terpencil, namun pelanggan yang berkunjung ke situ pasti berpuas hati dengan perkhidmatan yang ditawarkan.

"Selain terbuai dengan panorama indah, saya juga dapat beraktiviti di samping menikmati pelbagai hidangan enak yang disediakan," ujarnya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.

Pertama kali makan ambuyat

Posted:

Pertama kali makan ambuyat

Pertama kali makan ambuyat

Oleh ADZRIEFAIZ ADZLAN


IKAN jeruk dan ambuyat adalah dua hidangan tradisi Sabah yang memang kelihatan agak pelik tetapi mempunyai rasa yang sedap.


PENERBANGAN Firefly kami minggu ini diteruskan ke Negeri Di Bawah Bayu. Kali ini misi semakin sukar kerana perlu mencuba makanan yang tidak pernah dimakan atau dilihat sebelum ini iaitu ambuyat dan ikan jeruk.

Setiba di Kota Kinabalu, Sabah yang mengambil masa dua jam setengah itu, kami perlu menaiki kenderaan darat untuk tiba ke lokasi misi seterusnya iaitu Beaufort yang membawa maksud kota yang indah dalam bahasa Perancis.

Untuk membuat ambuyat, saya perlu meredah hutan mencari pokok sagu. Agak senang juga mencari pokok sagu tetapi, bahagian yang paling memenatkan adalah menarik batang pokok sagu tersebut dari dalam hutan ke pondok pembikinan sagu.

Proses seterusnya mengopek kulit pokok tersebut dan membelah isinya menjadi bahagian kecil seterusnya membuatkan isi sagu menjadi halus yang kemudian ditapis dan direndam.

Isi sagu yang menjadi sebatian akhirnya dimasukkan ke dalam karung dan sedia untuk dijual. Kepenatan belum hilang, perjalanan diteruskan menuju ke Kampung Weston, Beaufort iaitu tempat misi ambuyat akan dibuat disini.


FAIZ bersungguh-sungguh memerah sagu.


Sepanjang perjalanan itu, kami sempat melihat secara dekat spesies monyet Proboscis yang hanya terdapat di Borneo sahaja.

Waktu malam diisi dengan cara pembikinan ambuyat iaitu bahan utamanya adalah sagu. Walaupun hasil air tangan saya tidak menjadi tapi rasanya ermmm...sedap.

Ikan diperap dalam tanah

Lokasi seterusnya adalah Daerah Tenom untuk mencari ikan jeruk. Sebelum itu saya sempat singgah di Kampung Budaya Kaum Murut untuk melihat reka bentuk seni bina dan peninggalan sejarah kaum Murut.

Yang seronoknya, saya juga sempat mencuba tarian kaum Murut yang biasanya ditarikan pada Pesta Kalimaran yang berlaku setiap kali tiba bulan April.

Perjalanan kami diteruskan ke Kampung Ulu Keritan yang terletak di sempadan daerah Tenom dan Keningau. Terletak jauh di kawasan pedalaman dan sangat tenang, jauh dari hiruk pikuk bandar.

Di sini, saya berjumpa dengan seorang lelaki dipanggil Manchiang. Manchiang itu bermaksud ketua kampung di dalam bahasa Murut.

Seperti biasa, kali ini saya perlu meredah sungai untuk menjala ikan. Dari pangkal ke hujung sungai diredah untuk mendapatkan ikan.

Selesai di sungai, naik ke darat pula untuk mencari buluh. Selesai di darat, turun ke sungai pula untuk proses membersihkan buluh. Selesai di sungai naik pula ke bukit di sebabkan rumah untuk memasak menu ikan jeruk berada di atas bukit.


INILAH Ah Kong buaya yang berusia 51 tahun.


Memang memenatkan. Terasa longgar juga tulang belulang saya dibuatnya.

Ikan yang ditangkap dibersihkan bersama nasi yang telah dimasak dan digaul dengan garam. Kesemua bahan dimasukkan ke dalam buluh dan ditanam di dalam tanah selama dua minggu dan paling lama selama dua bulan.

Jika anda hendak tahu, ini pertama kali saya lihat ikan yang digaul dan rupa ikan yang telah dijeruk, memang fikir beberapa kali hendak makan.

Tetapi apabila masuk ke dalam mulut, rasanya memang sedap! Ikan jeruk ini merupakan makanan tradisi bagi kaum Murut dan menjadi menu kemestian pada hari perayaan mereka.

Selesai misi di Kampung Ulu Keritan, saya sempat pula singgah di Taman Buaya Sabah dan menyaksikan buaya yang berusia 51 tahun bernama Ah Kong. Buaya itu telah pun dijinakkan.

Pengunjung yang datang boleh berada dekat dengan buaya untuk mengambil gambar kenangan. Memandangkan Tenom sangat terkenal dengan kopi, saya pun singgahlah di salah satu kilang pengeluar kopi yang terkenal iaitu Yit Foh Coffee. Memang kaww rasa kopinya apatah lagi bau aromanya yang sangat wangi.

Itulah antara pengalaman saya ketika berada di Sabah, negeri yang penuh dengan keunikan makanan lazat dan mesti dicuba. Nantikan siarannya dalam Makan Angin 2, malam esok di TV9.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.
Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved