Jumaat, 8 Julai 2011

Kosmo Online - Pesona


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Pesona


Komunikasi seks ibu bapa dan anak

Posted:

Komunikasi seks ibu bapa dan anak

Komunikasi seks ibu bapa dan anak

Oleh NURUL IZZA ROSLY
izza.rosly@kosmo.com.my



MUNGKIN sudah menjadi satu budaya dalam kalangan masyarakat kita, perbincangan mengenai seks dan perhubungan intim merupakan satu topik yang cuba dielakkan daripada menjadi perbualan dalam sebuah keluarga.

Kebanyakan ibu bapa mempunyai alasan tersendiri dan antara yang popular adalah anak-anak terlalu mentah untuk mengetahui mengenai seks walaupun hakikat sebenarnya mereka (ibu bapa) tidak tahu apa harus diperkatakan.

Apa yang pasti ibu bapa menjadikan alasan ia bertentangan dengan adat dan budaya serta kurang manis untuk dibincangkan secara terbuka.

Mereka lebih suka berdiam diri dan menyerahkan kepada anak-anak mempelajarinya sendiri.

Akhirnya anak-anak akan menjadikan cerita-cerita yang dijaja oleh rakan sebagai rujukan sedangkan informasi yang diperoleh itu mungkin tidak betul.

Tahukah anda bahawa alam remaja merupakan fasa kritikal dalam hidup setiap orang yang memerlukan ibu bapa sentiasa bersama anak-anak. Ini termasuk dalam berbicara mengenai pelbagai perubahan diri yang dihadapi baik dari segi perubahan fizikal tubuh badan dan emosi?

Pada saat inilah anda selaku ibu, seseorang wanita bertanggungjawab memainkan peranan memberikan panduan yang sepatutnya.

Ya. Ia bukan sesuatu yang mudah untuk dilakukan tetapi, tidak salah dan ruginya untuk anda mencuba.

Malah, ada ibu bapa yang berfikiran terbuka kini pun masih ragu-ragu dan teragak-agak apabila diminta berbicara mengenai seks di hadapan anak remaja mereka.

Hilangkan kekok ibu dan anak

Bagi merungkai permasalahan komunikasi terlarang itu, syarikat farmaseutikal, Bayer Healthcare telah mengadakan bengkel khas khusus untuk wanita sahaja bagi membantu para ibu dan anak perempuan mereka mengatasi rasa kekok berbicara mengenai seks.

Jangan salah sangka, bengkel itu bukan mengajar mengenai seks tetapi, ia membekalkan informasi dan tip mengenai bagaimana untuk memulakan dan mengawal perbincangan tentang seks serta perhubungan.


PERUBAHAN emosi dan fizikal akan dilalui oleh gadis yang menempuh alam dewasa.


Malah, ia turut menyentuh mengenai isu kesihatan wanita, kepentingan menjaga alat sulit dan kesihatan reproduktif selain pada masa yang sama menjelaskan peranan merancang kehamilan apabila menyentuh mengenai isu kehamilan tidak dirancang.

"Transformasi daripada seorang gadis remaja menjadi wanita dewasa merupakan sesuatu yang amat mengagumkan. Namun, jika anak gadis anda tidak tahu apa yang bakal ditempuhinya, tidak bersedia untuk melalui perubahan fizikal dan hormon yang berlaku, ia akan menimbulkan kekeliruan selain dianggap sebagai sesuatu yang menakutkan.

"Sebagai seorang gadis yang mahu melangkah ke alam dewasa, dia perlu memahami perubahan fizikal dan hormon yang bakal ditempuhinya," kata Perunding Obstetrik dan Ginekologi, Dr. Premitha Damodaran yang mengupas topik mengenai Fahami Tubuh Anda pada bengkel tersebut.

Premitha juga menegaskan bahawa pendidikan tidak terhenti dengan mengetahui mengenai kitaran haid dan reproduktif sahaja.

"Ibu perlu memainkan peranan utama sebagai rakan dan tempat mengadu yang boleh membimbing anak perempuan mereka mengharungi langkah pertama menjadi seorang wanita.

"Anak-anak perempuan anda bakal menjadi seorang gadis remaja yang secara biologinya mampu untuk melahirkan anak. Ia adalah saat yang genting untuk mereka dibekalkan dengan pengetahuan tentang kesihatan reproduktif, seks selamat dan kontrasepsi," ujarnya.

Jangan biar anak seorang diri

Tambah wanita itu lagi, apabila dibekalkan dengan informasi yang sepatutnya, anak-anak gadis sedikit sebanyak sudah bersedia dengan implikasi yang bakal dilalui di samping melindungi diri mereka daripada insiden yang tidak dijangka.

"Jangan sesekali malu bertanya mengenai alam dewasa kepada ibu dan bagi ibu pula, jangan mengelak daripada berbicara mengenai topik ini kerana andalah orang yang paling berhak untuk memberikan pemahaman yang jelas kepada anak gadis anda.

"Ia melibatkan perubahan fizikal tubuh badan dan emosi serta keadaannya berbeza di antara individu dengan individu yang lain. Jadi, ibu perlu berada di sisi anak masing-masing dan jangan membiarkan mereka menghadapinya seorang diri," jelasnya.

Selain itu, perubahan emosi juga berlaku dan ia disebabkan perubahan hormon. Ketika ini anak gadis anda merasai stres, cepat marah, terlalu sensitif dan semua ini bermula pada usia 11 tahun sehingga haid mereka datang menjengah.

"Jangan sesekali menjadikan budaya sebagai alasan untuk tidak berkomunikasi dengan anak-anak remaja anda mengenai topik-topik tabu yang kononnya menjadi pantang larang masyarakat Timur.


ANAK-ANAK cenderung mendapatkan maklumat mengenai seks melalui rakan sebaya.


"Peranan ibu terhadap anak perempuan sangat diperlukan untuk berkomunikasi mengenai topik-topik intim seperti seks, perhubungan dan kontrasepsi," kata Perunding Psikologi Klinikal, Sunway Medical Centre, Paul Jambunathan.

Tambahnya, komunikasi terbuka terbuka adalah penting dan ibu perlu menjadi sumber utama untuk mendapatkan maklumat mengenai kesihatan seksual, kehamilan dan perancangan keluarga.

Anak-anak perempuan perlu tahu bahawa mereka boleh bergantung kepada sokongan ibu mereka dalam setiap keadaan.

"Memberikan ruang kepada anak-anak muda kita berbicara dengan ibu mereka tentang seks dan perhubungan tidak bermakna kita menggalakkan mereka untuk mula melakukan hubungan seks," ujarnya.

Sebaliknya, ia adalah cara terbaik untuk melindungi mereka daripada kejadian yang tidak diingini dan memberi kuasa kepada mereka untuk membuat pilihan bijak serta bertanggungjawab dalam kehidupan mereka.

"Dalam masyarakat India, apabila anak gadis mereka datang haid pertama, mereka akan meraikannya dengan meriah untuk menguar-uarkan bahawa anak mereka subur dan mampu melahirkan zuriat," kata Paul.

Komunikasi mengenai topik-topik tabu boleh melibatkan anak lelaki kerana akan datang mereka akan menjadi suami kepada seorang wanita dan bakal ayah kepada anak-anak.

"Mulai hari ini, tanyalah apa sahaja kepada ibu anda. Sumber yang paling selamat adalah daripada ibu dan bukannya rakan kerana dikhuatiri mereka memberikan informasi yang salah.

"Tiada apa yang perlu dimalukan. Kedua-duanya perempuan jadi ia seharusnya lebih mudah," tegasnya.

Kisah haid pertama

Berkongsi pengalamannya bersama peserta bengkel, pelakon, model dan pengacara berbakat, Julie Woon juga menghadapi masalah komunikasi yang sama.

"Saya amat rapat dengan ibu kerana dialah penyokong dan teman baik saya. Kami seringkali berborak tentang apa sahaja.

"Walaupun mengamalkan komunikasi terbuka, kami sebenarnya tidak pernah berbincang mengenai topik-topik yang dianggap tabu ketika saya menjangkau fasa awal remaja dan awal dewasa walaupun ketika itu sudah ada perasaan terhadap lelaki," katanya yang menyifatkan ibunya sebagai konservatif dalam hal tersebut.

Menceritakan detik haid pertamanya, Julia memberitahu dia mengetahui mengenai haid melalui cerita daripada rakan-rakannya.

"Ketika itu usia saya 15 tahun dan ibu tiada di rumah. Seharian saya sakit perut dan terperuk di dalam bilik kerana kedatangan haid kali pertama.

"Apabila meminta ayah membelikan pil merah jambu yang boleh melegakan senggugut di farmasi, dia membawa pulang pil demam untuk kanak-kanak yang mempunyai warna yang sama," ujarnya sambil ketawa.

Katanya, walaupun tidak berbicara mengenai topik larangan itu, ibunya punya cara tersendiri dengan menggunting artikel-artikel kesihatan yang berkaitan supaya dia membacanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Kebolehan peserta Daisy Zon Utara

Posted:

Kebolehan peserta Daisy Zon Utara

Kebolehan peserta Daisy Zon Utara

Oleh NORLIDA AKMAR IDROS
norlida.idros@kosmo.com.my


NATRAH (dua dari kini) menerima hadiah kejuaraan kategori biskut Zon Utara oleh Chef Liza (dari kiri), Stella dan Zamri pada Cabaran Daisy Sehebat Chef 2011 Sabtu lalu.


SEPERTI tidak sabar untuk menunjukkan kebolehan masing-masing dalam membuat kek dan biskut, seramai 30 peserta Cabaran Daisy Sehebat Chef 2011 Zon Utara tiba empat jam lebih awal sedangkan pertandingan hanya bermula pada pukul 3 petang Sabtu lalu.

Malah, ada peserta sudah bersedia dengan kelengkapan masing-masing sambil menunggu di pekarangan tingkat satu pusat beli-belah Star Parade, Alor Setar, Kedah seawal pukul 9 pagi.

Rata-rata peserta yang berentap pada pertandingan bagi Zon Utara itu datang dari sekitar Kedah, Perlis, Pulau Pinang dan Perak.

Sebaik sahaja jam menunjukkan pukul 3 petang, setiap peserta bagi kategori kek dan biskut mengambil tempat masing-masing dan mula menunjukkan kebolehan masing-masing.

Untuk pertandingan peringkat zon itu, semua peserta dibenarkan menyediakan kek dan biskut lebih awal di rumah tetapi perlu membuat dekorasi sajian di lokasi pertandingan.

Untuk Zon Utara peserta menghias hidangan mereka selama 45 minit mengikut tema Flora.

Peserta ibu dan anak

Setiap peserta juga perlu menggunakan minyak jagung Daisy sebagai salah satu bahan wajib dalam resipi kek dan biskut mereka.

Produk yang menggunakan 100 peratus minyak jagung asli dan bebas kolesterol itu diperkaya dengan vitamin E, omega 6 dan poli lembut.

Selain gubahan biskut alam flora Daisy dan biskut brokoli Daisy, antara yang menarik perhatian ialah kek Jagung Daisy resipi dan dekorasi milik seorang suri rumah, Maizum Ibrahim, 63. Peserta dari Balik Pulau, Pulau Pinang itu mempertaruhkan kek gulung yang dihias seakan-akan jagung.

Menurut Maizum, kek Jagung Daisy ciptaannya adalah kek bahulu gulung perisa jagung yang menggunakan minyak jagung Daisy.

"Kek ini dihias seperti jagung menggunakan krim jagung berwarna kuning," katanya yang mencuba sebanyak lima kali untuk pertandingan itu.

Menariknya dalam pertandingan itu, Maizum turut ditemani anak perempuannya, Sophia Ismail, 45, yang menyertai kategori biskut.

Sophia mempertaruhkan biskut Seri Pala Daisy pada cabaran berkenaan memandangkan buah pala terkenal di Pulau Pinang.

Katanya, serbuk pala dengan campuran gula dan ditambah dengan minyak jagung Daisy akan menjadikan biskut lebih rangup bila dimakan.

"Rasanya memang unik kerana menggunakan serbuk buah pala dan itu adalah keistimewaan biskut ini," jelasnya.

Pesaing muda

Bagi peserta lelaki termuda, Abdul Wafriy Abdul Wahab, 23, dari Permatang Pauh, Pulau Pinang berkata, cabaran kali ini adalah sangat sengit kerana rata-rata peserta mempunyai pengalaman menyertai pertandingan lain sebelum ini.


FEEDA yang lebih dikenali sebagai Gadis Pantene kini turut bergelar penyanyi mendendangkan lagu Ku Mohon Padamu.


"Ini kali pertama saya masuk pertandingan biskut dan saya rasa amat kerdil jika dibandingkan dengan kebolehan peserta lain yang mempunyai kemahiran tersendiri.

"Tengok sahaja mereka buat dekorasi dan cara menghias biskut dan kek, saya sudah rasa gugup kerana saya masih dalam proses belajar," katanya yang bekerja di bahagian makanan Barat di sebuah hotel di Pulau Pinang.

Abdul Wafrij mempertaruhkan biskut Bakul Seri Daisy yang menggunakan kelapa parut kering, buah-buahan campuran dan badam.

Mentor yang banyak memberi tunjuk ajar dalam penghasilan biskut tersebut adalah ibunya, Rosna Ismail, 48, yang turut hadir pada pertandingan tersebut.

Seorang lagi peserta muda bagi kategori kek, Hasniza Haris, 25, memberitahu, dia menyertai Cabaran Daisy Sehebat Chef 2011 Zon Utara kerana mahu menimba pengalaman daripada peserta-peserta lain.

"Saya memang minat buat kek dan hari ini saya mahu belajar daripada peserta-peserta lain mengenai resipi-resipi kek terkini.

"Nampak semua hebat-hebat belaka, hiasan mereka memang kreatif dan unik," katanya dari Arau, Perlis.

Menurut Hasniza, dia mempertaruhkan kek Coklat Kukus yang lembab dengan menggunakan minyak jagung Daisy.

"Walaupun tidak menang, saya tetap puas hati kerana dapat bertanding bersama peserta-peserta lain yang hebat-hebat belaka," katanya sambil memberitahu telah mencuba sebanyak enam kali untuk membuat kek itu dengan kos lebih RM300.

Sementara itu, seorang pengusaha biskut dan kek, Izawaty Kamarudin, 38, pula mencuba nasibnya pada pertandingan tersebut dengan biksut tat nanas yang dibentuk seperti bunga daisy sebelum digubah menjadi sejambak bunga di dalam pasu.

"Rasanya memang lazat kerana saya gunakan minyak jagung Daisy dan untuk dekorasinya saya hanya guna pasu bunga dan kertas berwarna yang mana bunga itu adalah biskutnya sendiri," jelasnya yang datang dari Kuala Nerang, Kedah.

Pada Cabaran Daisy Sehebat Chef 2011 Zon Utara, seorang jururawat, Natrah Ismail, 59, dan pembantu doktor, Faisal Baharom, 36, dinobatkan sebagai juara pertandingan selepas biskut dan kek yang dipertaruhkan memikat hati para juri yang diketuai duta minyak jagung Daisy, Chef Liza Zainol.

Kejayaan Natrah diraih menerusi biskut Kana Daisy yang berjaya mendapat 308 markah, sementara Faisal pula mengungguli kategori kek dengan mempertaruhkan kek Flora Daisy Cassava dengan markah 314.


NATRAH (duduk dua dari kiri) dan Faisal (duduk tengah) diraikan sebagai pemenang Zon Utara bagi kategori kek dan biskut.


Kedua-dua peserta dilihat mengalirkan air mata sebaik nama mereka diumumkan sebagai pemenang oleh pengacara cabaran yang juga hos Selamat Pagi Malaysia RTM, Tazneem Faisal Meerangkutty.

Hadiah berupa wang tunai RM300 dan hamper disampaikan oleh Pengurus Iklan Kosmo!, Stella Abdullah, Chef Liza Zainol dan turut hadir Penolong Pengarang Rencana Kosmo!, Zamri Rambli.

Peserta yang tidak bernasih baik tidak pulang dengan tangan kosong apabila masing-masing turut mendapat sagu hati wang tunai RM100 serta hadiah daripada Daisy dan Tupperware.

Natrah dan Faisal terpilih untuk melangkah ke peringkat akhir Cabaran Daisy Sehebat Chef yang akan diadakan pada 17 Julai ini di Plaza Shah Alam, Selangor. Untuk peringkat akhir pemenang akan pulang dengan wang tunai RM5,000 dan barangan Tupperware bernilai RM5,000 bagi juara.

Pada cabaran Zon Utara tersebut juga, peserta dan pengunjung turut dihiburkan dengan persembahan daripada artis Rafidah Ibrahim atau Feeda dan Nubhan selain persembahan kebudayaan daripada Starmoon Dance Group.

Selain itu seramai 42 pengunjung turut berpeluang menyertai pertandingan menghias kek cawan dan mereka mendapat cenderamata berupa buku resipi dan botol comel minyak jagung Daisy daripada penganjur.

Cabaran Daisy Sehebat Chef itu diadakan Kosmo! dengan kerjasama minyak jagung Daisy dan Tupperware.

Cabaran selepas ini akan berlangsung di Giant, Tampoi, Johor pada 10 Julai.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Atasi panas baran

Posted:

Atasi panas baran

Atasi panas baran

DALAM satu kes konsultasi dua minggu yang lalu, saya bersemuka dengan sepasang suami isteri yang sudah setahun berkahwin tetapi, baru enam bulan tinggal sebumbung. Sebelum itu mereka merupakan pengantin jarak jauh. Sadisnya, sepanjang tempoh enam bulan tinggal bersama, si isteri telah memecahkan tiga buah peti televisyen lantaran, marah dan mengamuk kepada suami.

Apabila ditanya, si isteri mengakui dia mempunyai sikap panas baran dan sikap tersebut diwarisi daripada ayahnya. Malah tiga saudaranya yang lain juga bersikap panas baran dan dia tidak boleh membuang sikap tersebut.

Perlu difahami, panas baran bukan sifat semula jadi malah, bukan juga penyakit keturunan, sebaliknya ia adalah sifat yang dibenarkan wujud dalam diri seseorang. Ini bererti sifat panas baran boleh diatasi dan dibuang terus daripada diri seseorang bergantung kepada kehendak dirinya sendiri.

Rasulullah mencadangkan dua tindakan bagi mengatasi panas baran iaitu dengan cara mengubah posisi atau cara duduk dan berwuduk. Kedua-dua saranan itu terdapat dalam sabda baginda yang bermaksud: "Apabila salah seorang di antara kamu marah, dan ketika itu ia dalam kedudukan berdiri, maka hendaklah ia duduk. Kerana hal itu akan menghilangkan marahnya. Dan kalau tidak, maka hendaklah ia berbaring."(hadis riwayat Muslim).

Dalam hadis yang lain, Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Marah itu datangnya daripada syaitan dan syaitan itu diciptakan daripada api, sedangkan api itu hanya dipadamkan dengan air. Oleh itu apabila salah seorang di antara kamu marah, maka hendaklah ia berwuduk."(hadis Riwayat Abi Daud).

Mengikut kaedah psikologi, panas baran berpunca daripada kegagalan seseorang individu mengawal emosinya sendiri.

Individu panas baran itu terlalu mudah mengikut emosi marah hingga menjadikan dirinya seorang yang pemarah dan panas baran walau hanya dengan sebab yang remeh.

Lantas, pakar psikologi mencadangkan beberapa kaedah bagi mengatasi sikap panas baran yang ternyata memberikan kesan buruk kepada perhubungan.

1. Jauhkan diri daripada situasi menimbulkan kemarahan

Jika anda tahu pasangan anda mempunyai sikap panas baran, elakkan daripada melakukan perkara yang boleh menimbulkan kemarahannya. Cepat memohon maaf jika tersalah dan akui kesilapan.

Bagi anda yang panas baran, jika bertembung dengan situasi yang boleh menimbulkan baran anda, segera jauhkan diri anda daripada keadaan tersebut dan carilah masa yang sesuai untuk bertenang.

2. Mendiamkan diri ketika marah

Panas baran bermula dengan tindakan demi tindakan. Cara terbaik untuk mengurangkan sikap panas baran anda adalah dengan mendiamkan diri tanpa mengambil apa-apa tindakan. Apabila anda berjaya menghayati sikap berdiam diri ketika marah, secara tidak langsung anda berusaha menghilangkan sikap panas baran anda sedikit demi sedikit.

3. Belajar menyampaikan kemarahan secara positif dan terhormat.

Jika sebelum ini anda terbiasa memekik atau bertindak garang ketika marah, usahakan untuk meluahkan rasa marah anda secara positif dan terhormat agar anda lebih dihormati.

Perlahankan suara, bercakap menggunakan perkataan yang tidak menyakitkan orang lain dan elakkan daripada bertindak secara fizikal.

4. Luah pada masa dan tempat sesuai

Emosi marah yang tidak terkawal juga berpunca daripada perasaan yang dipendam. Ledakannya ibarat gunung berapi pendam yang mungkin meletus bila-bila masa tanpa amaran.

Lantas, sentiasa luahkan emosi malah apa jua masalah yang anda alami bertepatan pada masa dan tempatnya. Tindakan ini akan dapat mengurangkan tekanan anda seterusnya mengurangkan sikap panas baran anda.

5. Bawa bertenang

Anda perlu sentiasa belajar mengawal diri dengan bertenang dalam menghadapi apa juga keadaan dan situasi yang menggugat kesabaran anda. Praktikkan untuk menarik nafas dalam-dalam dan lepaskan.

Jika anda Muslim, beristighfarlah kerana dengan beristighfar anda akan tahu anda adalah hamba-Nya dan jika Allah mampu mengampunkan hamba-Nya, kenapa tidak anda? Memaafkan orang lain dapat mengelakkan panas baran.

6. Senyum

Nampak macam satu perkara mudah tetapi percayalah, senyuman mampu meredakan tekanan. Praktikkan untuk sentiasa melakarkan senyuman tanpa mengira masa dan keadaan.

Senyuman yang sentiasa terukir di bibir menjadi satu penawar kepada kemarahan dan sikap panas baran anda.

Untuk Muslim, saya menyarankan anda untuk sentiasa mengamalkan zikir-zikir bagi mengingati Allah. Ucapkanlah zikir Sayidatina Fatimah iaitu "Subhanallah walhamdulillah walailahaillallah wallahu akbar." Sentiasa lafazkan zikir ini, insya-Allah akan dapat membantu meringankan tekanan hidup anda sekali gus mengelakkan sikap panas baran anda berleluasa.

Ingatlah! Tiada satu faedah pun daripada sikap panas baran. Yang ada hanyalah keburukan yang memusnahkan perkahwinan, persahabatan, kerjaya dan kesihatan anda.

Ingatlah! Segala cadangan disebutkan tadi tidak akan berhasil jika anda tidak melakukan satu perkara paling penting iaitu berubah!

Hanya jika anda mahukan perubahan, barulah perubahan tersebut akan berlaku.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.
Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved