Sabtu, 18 Jun 2011

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Makanan untuk orang sakit

Posted:

Makanan untuk orang sakit

Makanan untuk orang sakit



MENYEDIAKAN sebanyak 10,400 hidangan kepada ribuan pesakit yang berbeza latar belakang kesihatan pada setiap waktu makan bukan cabaran yang kecil.

Apatah lagi jika penyediaan tersebut perlu mematuhi kualiti yang ditetapkan dan pada masa yang sama ia enak dan sihat untuk dinikmati oleh pesakit.

Jurnal baru-baru ini berpeluang memasuki dapur Hospital Kuala Lumpur (HKL), iaitu hospital yang mempunyai jumlah pesakit paling ramai di Asia Tenggara, untuk melihat lebih dekat bagaimana penyediaan makanan dilakukan di hospital yang berusia 149 tahun itu.

Bermula seawal pukul 6 pagi, 40 kakitangan Jabatan Dietetik dan Sajian (JDS) sudah turun ke dapur untuk menyediakan sarapan pagi. Sebelum itu, data pesakit dikemas kini untuk memastikan hidangan yang bakal diagihkan nanti mencukupi.

"Terdapat dua jenis kelompok diet yang perlu disediakan setiap kali waktu makan bermula dengan sarapan sehingga makan malam.

"Kami menyediakan hidangan diet normal untuk semua pesakit yang tidak mempunyai masalah berkaitan pemakanan dengan tiada modifikasi dilakukan tetapi penyediaannya lebih mengutamakan cara yang lebih sihat.

"Tidak hairanlah jika pesakit mendapati rasa makanan tersebut sama dengan makanan di luar hospital," ujar Ketua jabatan berkenaan, Ridzoni Sulaiman.

Jelasnya lagi, pesakit yang mempunyai penyakit berkaitan makanan seperti diabetes, darah tinggi, pesakit renal atau buah pinggang, tinggi kolesterol, mereka akan dihidangkan dengan makanan yang disediakan mengikut diet terapeutik.

"Beberapa modifikasi perlu dilakukan dalam penyediaan makanan bagi diet terapeutik untuk disesuaikan dengan keadaan penyakit pesakit seperti kandungan garam dikurangkan, tiada penggunaan bahan perasa dan santan digantikan dengan susu rendah lemak.

"Selain itu, JDS juga menyediakan diet vegetarian untuk pengamal sayur-sayuran dan diet kanak-kanak untuk pesakit cilik di sini," katanya yang turut menyediakan pilihan makanan pedas atau biasa kepada semua pesakit kecuali kepada mereka yang menjalani diet terapeutik.

Dengan adanya seleksi pilihan makanan terdiri daripada lapan menu berbeza untuk kitaran lapan hari, JDS turut menawarkan pilihan menu kepada pesakit yang menghuni kelas satu di mana mereka boleh memilih untuk menikmati hidangan biasa atau hidangan ala Barat.

"Bukan itu sahaja, mereka turut diberi keistimewaan untuk memilih menu alakad seperti tomyam, sup ayam dan mi goreng mamak.

Cincang makanan

"Bagaimanapun, prosedur penyediaan makanan sihat masih dikekalkan untuk memastikan ia tidak mendatangkan kesan kepada perawatan pesakit," jelas Ridzoni.

Bagi sebilangan kecil pesakit yang tidak boleh makan makanan biasa seperti pesakit di Unit Rawatan Rapi (ICU), bekalan makanan buat mereka turut disediakan.

"Kami menyediakan produk susu khas yang lengkap dengan semua zat dan nutrien yang diperlukan pesakit.

"Untuk pesakit kanser usus pula, JDS akan menyediakan diet lembut yang telah diubahsuai daripada diet normal mereka.

"Biasanya, mereka akan mengambil makanan yang dicincang atau dikisar sebelum boleh mengambil makanan pejal," katanya.


AMALAN kawalan penyediaan makanan penting untuk memastikan makanan bersih dan selamat dimakan.


Bermula daripada bekalan makanan basah dan kering yang diterima pada pukul 9.30 pagi, kakitangan JDS sudah mula sibuk.

Ada yang menimbang barang, ada yang mencuci sayur dan ada yang memotong buah. Setiap orang mempunyai tugas masing-masing.

Menurut Penolong Pegawai Penyediaan Makanan, Hamizal Amir Nordin, boleh dikatakan hampir semua kakitangan di dapur HKL sudah arif dengan jumlah garam atau gula yang perlu dimasukkan ke dalam masakan.

Bagaimanapun, setiap makanan akan diuji rasa terlebih dahulu sebelum dihidangkan kepada pesakit.

Hamizal ialah antara orang yang bertanggungjawab menentukan sama ada makanan tersebut mencapai kualiti yang ditetapkan atau tidak.

"Kualiti makanan ditetapkan berdasarkan Petunjuk Prestasi Utama ( KPI ) di mana makanan yang dihidangkan kepada pesakit perlu bebas daripada pencemaran bahan asing.

Ayam tanpa kulit

"Selain itu, kajian kepuasan pelanggan terhadap penerimaan makanan di hospital perlu melebihi 80 peratus.

"Di HKL, kami mengamalkan tiga jenis kawalan iaitu kawalan amalan anggota pengendali makanan, kawalan operasi dan kawalan rasa.

"Uji rasa untuk hidangan diet normal dan terapeutik wajib dijalankan setiap kali waktu makan oleh pegawai bertugas.

"Ini penting untuk memastikan makanan dimasak mengikut rasa yang sepatutnya dan memberi peluang kepada kita untuk melakukan pembetulan segera sebelum makanan dihidang kepada pesakit," jelas Hamizal yang memberitahu tahap kepuasan pelanggan terhadap makanan yang disediakan oleh hospital itu pada tahun lalu secara keseluruhannya ialah 84.7 peratus.

Tidak hanya meletakkan rasa sebagai penanda aras, kebersihan dan keselamatan makanan adalah perkara yang tidak boleh dipandang mudah.

Kata Hamizal, bermula daripada penerimaan bahan mentah, prapenyediaan, memasak sehinggalah menghidang ke katil pesakit, setiap langkah yang diambil perlu dilakukan dengan cermat dan teliti.


AYAM tanpa kulit dipilih untuk memastikan pesakit mendapat makanan yang sihat.


"Setiap bahan mentah, sama ada sayur, ikan atau ayam, akan dibasuh dengan garam, tepung atau asam jawa sebelum dibilas sebanyak tiga kali.

"Selepas itu, barulah ia dipotong," katanya yang hanya menerima ayam tanpa kulit daripada pembekal.

Ramadan

Berkongsi pengalaman dengan seorang kakitangan JDS, Hishamuddin Shamsudin, 32, banyak maklumat yang dipelajarinya sepanjang lima tahun berkhidmat di dapur HKL.

"Sebelum ini saya adalah chef di atas kapal milik Syarikat Perkapalan Antarabangsa Malaysia (MISC) yang setiap hari belayar mengelilingi dunia.

"Namun, kesibukan di atas kapal serta sering berjauhan daripada keluarga menyebabkan saya ingin pulang di tanah air.

"Sebelum ini saya pernah bekerja sehari di HKL tetapi saya berhenti kerana beranggapan ia kurang menarik. Namun, kini ia adalah kerjaya yang sangat menyeronokkan.

"Di sini, saya belajar untuk memasak dengan cara yang lebih sihat walaupun menggunakan bahan alternatif. Rasanya masih juga enak," katanya.

Antara cabaran yang dihadapi oleh Hishamuddin semasa tahun pertama kerjayanya di HKL ialah memasak pada bulan Ramadan.

"Memasak untuk ribuan pesakit ketika berpuasa memang mencabar, risau juga tentang kualiti rasanya tetapi dengan bantuan rakan-rakan yang bukan beragama Islam, kerja memasak lebih mudah.

"Secara peribadinya, kecur air liur juga bila aroma rempah kari ayam mamak yang sedang ditumis memenuhi ruang dapur," katanya yang berasal dari Utara.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Kuda belang lelaki bujang

Posted:

Kuda belang lelaki bujang

Kuda belang lelaki bujang

Oleh SYALMIZI HAMID
syalmizi.hamid@kosmo.com.my


SET sofa berwarna coklat terang dan krim mengalu-alukan kedatangan tetamu.


MERAH hati dan coklat dipilih sebagai warna utama untuk sebahagian besar barang perhiasan di kediaman berkembar ini.

Rumah dua tingkat bercat hitam dan ungu pada bahagian luarnya ini terletak di Taman Putra Perdana, Puchong, Selangor.

Saat pintu utama yang diperbuat daripada kayu nyatuh dibuka, tetamu disambut oleh hiasan ringkas tetapi mewah yang berkonsepkan Victoria moden.

Kelihatan juga sebuah set sofa dengan kemasan fabrik berwarna coklat terang dan krim. Ia menjadi perabot kegemaran pemiliknya khususnya pada hujung minggu kerana masa lebih banyak dihabiskan dengan menonton televisyen.

Warna bumi

Menurut si pemilik yang hanya ingin dikenali sebagai Feroz, 30, warna bumi itu mampu membangkitkan suasana alam semula jadi yang menyegarkan.

Antara barangan yang menonjolkan warna tersebut ialah sofa, karpet, set meja makan serta hiasan kabinet, dapur dan kemasan di ketiga-tiga bilik tidur.

"Kebanyakan fabrik perabot, kertas dinding dan aksesori di sini berwarna merah hati, coklat dan ungu gelap.

"Warna ini mudah disuaipadankan dengan perabot dan hiasan lain," kata Feroz.

Jejaka bujang yang tinggal bersama rakan-rakannya ini mengubahsuai rumah tersebut dengan bajet RM40,000 empat tahun lalu demi memenuhi cita rasa jiwa mudanya. Rumah itu dihadiahkan oleh ibu pemilik pada tahun 2007.

Tingkat bawah kediaman ini menempatkan ruang tamu, ruang makan, dapur dan sebuah bilik air dengan tab mandi.

Biarpun tidak sarat perabot, ia tetap nampak mewah dan eksklusif.

Pemilik ternyata bijak memilih kombinasi set perabot dan fabriknya, karpet serta lampu gantung.

"Saya tidak menyukai suasana yang berserabut. Jadi, meminimumkan penggunaan aksesori di ruang bawah ini adalah penyelesaiannya," kata Feroz.

Ruang makan menempatkan set meja makan lapan kerusi. Di situ juga diletakkan sebuah kabinet dengan cermin besar sekali gus memberi bayangan ruang yang lebih luas selain menyerlahkan barang perhiasan yang tersusun di atasnya.

Feroz yang berkhidmat sebagai kakitangan kerajaan juga bijak berbelanja. Dia membeli hampir kesemua perabot serta perhiasan lain semasa potongan jualan murah diadakan.

Kuda belang


RUANG dapur kekal bersih dan tersusun kerana jarang digunakan.


"Ada perabot saya yang dibeli dengan harga diskaun sehingga 80 peratus.

"Selain itu, terdapat juga perabot terpakai yang saya beli seperti meja sisi dan beberapa buah lampu meja yang diperoleh secara percuma," jelasnya kepada Jurnal.

Barangan di bahagian dapur nampak tersusun, sesuai dengan gaya hidup bujang pemiliknya. Alasan jarang ke dapur membuatkan ruang tersebut lebih kemas dan bersih.

Menurut Feroz, meja ala bistro yang ada di bahagian itu membantu menjimatkan penggunaan ruang.

Sementara itu, saat mendaki tangga untuk menjengah ke tingkat atas, pandangan mata disambut oleh lukisan cat minyak seekor kuda belang.

Kata Feroz, lukisan tersebut menggambarkan kekuatan dan ketenangan serta memberikan inspirasi kepadanya.

"Saya sibuk bekerja, jadi gambar yang dibeli ketika bercuti di Bali, Indonesia ini kadang-kadang membantu menimbulkan mood yang bagus," katanya.

Bilik tidur utama yang luas menjadi tempat Feroz merehatkan tubuh setelah penat bekerja.

Tidak sekadar bilik tidur semata-mata, ia turut dilengkapi peralatan gimnasium seperti treadmill dan kerusi urut.

"Saya jarang beriadah, jadi kemudahan gimnasium di dalam bilik tidur memudahkan saya untuk bersenam," katanya yang sempat memberi perhatian pada landskap di luar kediaman.

Biarpun sibuk bekerja, Feroz masih mempunyai waktu untuk bersantai di laman rumah yang memiliki unsur air dan lantai kayu.

Beliau mengabadikan konsep Bali yang ringkas namun idea kreatif dalam menyusun atur elemen landskap tersebut menjadi pelengkap kepada gaya keseluruhan kediaman itu.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

‘Dia’ berkenan rumah Mok Nab saja

Posted:

'Dia' berkenan rumah Mok Nab saja

'Dia' berkenan rumah Mok Nab saja


PAKAR paranormal Ong Q-Leng dari Pulau Pinang ini dikatakan insan yang berjaya menghalau makhluk halus daripada terus menghantui hidup Mok Nab.


BERKALI-KALI mulut wanita tua itu melafaz kalimah syukur. Sungguhpun tidurnya tidak lagi lena di atas tilam kerana habis punah dibakar api misteri, namun dia berasa sedikit lega kerana sudah tidak dihantui gangguan api itu lagi.

Disember tahun lalu, rumah Mok Nab atau Zainab Sulaiman, 73, di Kampung Penambang Bunga Emas, Kota Bharu, Kelantan tiba-tiba menjadi perhatian berikutan kewujudan api misteri yang membakar lebih seratus helai pakaian milik Zainab serta menantu dan dua cucunya, selain tilam dan langsir.

Serentak dengan itu, rumahnya ibarat pesta apabila dikunjungi orang sama ada untuk menyaksikan atau membantu Zainab memadam api yang tidak henti-henti mengganggu dari pukul 7 pagi hingga 11 malam setiap hari.

Ini bukan cerita rekaan. Wartawan yang sedang membuat liputan pernah menyaksikan sendiri api itu muncul secara tiba-tiba dan menyambar sehelai kain batik yang diletakkan di atas katil di dalam bilik di belakang rumah.

Macam-macam bomoh datang membantu termasuk bomoh Melayu, pengamal perubatan Islam Darul Syifa', bomoh Siam dan penangkap hantu dari Pulau Pinang.

Kisahnya yang tersebar menerusi Internet turut menarik perhatian sepasang suami isteri dari Amerika Syarikat dan pengkaji paranormal dari Australia, Paul Cropper.

Setelah kira-kira sebulan diganggu api misteri itu, ia berakhir dengan satu timbunan pakaian setinggi paras pinggang terpaksa dibaiki atau dibuang kerana musnah.

Kerugiannya kata Zainab, tidak terhitung kerana dia sendiri tidak terkira berapa banyak kain dan pakaian yang terbakar.

"Untuk empat tilam yang terbakar, saya masih simpan kekabunya di dalam bilik walaupun ada antaranya yang ada kesan terbakar.

"Kekabu itu tidak dibuang sebaliknya dimuatkan penuh ke dalam lima beg plastik hitam besar. Saya sayang kekabu itu. Kekabu mahal sekarang. Saya harap ia boleh dibuat tilam baru nanti," katanya ketika ditemui Jurnal baru-baru ini.

Zainab berkata semasa gangguan api itu berlaku, dia bersama menantu, Rafeah Zakaria, 38, serta dua cucunya, Wan Nurfatihah, 13 dan Wan Nurfatini, 11 tidak boleh melakukan kerja lain.

Rezeki 'benda'

"Kadang-kadang api menyala di ruang tamu. Apabila kami berkejar memadamkan kebakaran itu, kelihatan pula api menyala di dapur dan bilik.

"Mujurlah ada jiran datang membantu. Kadang-kadang sampai 10 jiran datang tolong padamkan kebakaran," katanya.

Sangkaannya, selepas selesai menunaikan solat hajat Januari lalu dan menjumpai sekeping wang kertas RM10 yang tertulis 'Selamat Tinggal Semua' menandakan gangguan berakhir, tetapi serangan api masih berterusan selepas itu sehinggalah menjelang Februari.

Zainab menganggap segala barangannya yang musnah sebagai sudah menjadi rezeki 'benda' itu.

"Dah benda itu hendak, rezeki dialah. Kita tak boleh buat apa pun sebab kita tak nampak dia. Saya rasa dia nak bakar kain saja, tak sampai nak bakar rumah.

"Mungkin 'benda' itu pun kesian, kalau bakar rumah mana pula saya nak duduk," katanya yang tenang namun masih gemar berjenaka.

Zainab yang tinggal di rumah tersebut sejak 32 tahun lalu berkata, kemunculan api seperti itu tidak pernah berlaku di rumahnya malah dikatakan pertama kali terjadi di kampung berkenaan.

"Jiran-jiran pun tidak pernah mendapat gangguan macam itu. Mungkin 'benda' itu berkenan dengan rumah saya saja," katanya.

Ditanya apakah kemungkinan puncanya, Zainab berkata dia sendiri tidak tahu.


NOT RM10 yang bertulis 'Selamat tinggal semua' ini didakwa ditinggalkan oleh entiti yang mengganggu Mok Nab Januari lalu. Beranggapan masalahnya akan berakhir, duit kertas ini rupa-rupanya bukanlah penamat kemunculan api misteri itu.


"Nak kata ada orang dengki atau bencikan saya, dah tua-tua macam ini ada orang dengkikah?

"Kenapa sekarang? Kalau tengah umur 20-an dulu, mungkinlah agaknya," katanya yang sempat menunjukkan gambar mudanya.

Didatangi oleh pelbagai pengamal perubatan mistik, Zainab berkata kebanyakan mereka membantunya secara sukarela. Namun, Zainab pernah mengeluarkan sebanyak RM2,500 untuk seorang bomoh sahaja.

"Ramai yang membantu secara sukarela termasuk pakar paranormal dari Pulau Pinang, Ong Q-Leng, 36, yang sehingga sekarang mempunyai hubungan yang baik dengan saya. Dia bagus, mesra dan sangat memahami kita sebagai orang Islam.

"Sehingga ke hari ini, boleh dikatakan seminggu dua kali dia bertanya khabar saya. Baru-baru ini saya dan keluarga menemuinya di Pulau Pinang.

"Dia jamu saya dan keluarga makanan laut. Dia panggil saya kakak. Rasa muda pula," ujar Zainab tertawa.

Zainab sedar, ada orang yang mungkin menganggap dia cuba meraih publisiti atau mereka-reka cerita, tetapi Zainab tahu ramai yang menjadi mata saksinya.

Bahkan ada jiran yang mempertahankannya jika ada orang lain yang mempertikaikan kesahihan gangguan itu di kedai kopi.

"Saya sebenarnya tidak mahu bercakap tentang hal ini lagi. Tidak mahu bising-bising. Takut orang salah anggap.

"Awak sendiri tengok, masih banyak kain atau pakaian yang terbakar yang disimpan. Mana yang masih boleh dipakai, tidak dibuang. Mana yang boleh dibaiki saya jahit atau tampal.

"Takkanlah saya bakar lepas itu saya nak menyusahkan diri macam ini," katanya sambil menunjukkan beberapa selimut dan kain yang bertampal dan berjahit.

Enggan pindah


BIARPUN diganggu, Mok Nab memberitahu penulis, dia dan keluarganya tidak akan meninggalkan rumah tersebut.


"Sepuluh bulan sebelum gangguan api lagi, keluarga kami setiap hari hilang duit, sampai saya terpaksa catat. Duit syiling pun diambilnya. Ada yang 'benda' itu pulangkan dan ada yang tidak.

"Lepas itu, kain baju pula digunting dan dikoyak, tapi saya masih sabar. Bila sampai api muncul, saya rasa ia semakin melampau.

"Sebenarnya, selepas gangguan api berakhir pada Februari lalu, masih ada gangguan lain berlaku pada bulan April iaitu buku cucu saya kena koyak sampai separuh buku sehingga saya kena beli buku baru untuknya.

"Saya rasa hendak menangis, apatah lagi cucu saya dimarahi gurunya tidak pandai jaga buku. Saya terpaksa pergi jumpa gurunya, mujurlah guru memahami.

"Tapi saya tak pernah beritahu wartawan bila wartawan tanya kalau ada gangguan lagi," dedahnya sambil memberitahu sudah tidak menerima apa-apa gangguan sejak April lalu.

Zainab memberitahu, walaupun dia diganggu dengan gangguan seperti itu, dia dan keluarganya tidak pernah terlintas untuk meninggalkan rumah itu.

"Ramai yang datang berasa hairan kenapa saya tak tinggalkan rumah itu. Ada yang menangis-nangis pujuk saya.

"Ada anak yang ajak tinggal bersama mereka. Tetapi saya hanya bersabar mendepani gangguan ini. Lagipun, saya risau ayam, itik tak berjaga nanti," katanya.

Ditanya adakah gangguan yang terjadi di rumahnya membuatkan ada orang yang menyifatkan rumahnya menyeramkan, Zainab berkata:

"Ya. Ada saudara yang takut hendak datang ke rumah saya. Daripada apa yang saya tengok, jiran-jiran tidak pula nampak takut, tetapi tidak tahulah kalau di luar pengetahuan saya," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.
Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved