Selasa, 11 Jun 2013

Kosmo Online

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online


T. Kumar cabar Kok Chi bagi jawatan Setiausaha Kehormat MOM

Posted:

T. Kumar cabar Kok Chi bagi jawatan Setiausaha Kehormat MOM

T. Kumar cabar Kok Chi bagi jawatan Setiausaha Kehormat MOM

11/06/2013 10:11pm

KUALA LUMPUR - Seperti dijangka jawatan Setiausaha Kehormat Majlis Olimpik Malaysia (MOM) yang disandang oleh Datuk Sieh Kok Chi akan dicabar buat pertama kali pada AGM MOM 22 Jun ini.

Sebelum ini, spekulasi tersebar luas bahawa jawatan yang disandang Kok Chi sejak 1992 itu akan dicabar pada pemilihan kali ini oleh sekumpulan individu dalaman yang berkomplot untuk menjatuhkannya.

Spekulasi itu ternyata benar apabila T. Kumar yang memegang jawatan Penolong Setiausaha Kehormat MOM dinamakan sebagai calon untuk merebut kerusi panas tersebut selepas tarikh penamaan ditutup semalam.

Ketika ditanya tentang alasannya untuk bertanding jawatan itu, T. Kumar yang juga bekas atlet taekwondo negara dan bekas Setiausaha Agung Persatuan Taekwondo Malaysia menjelaskan, beliau mahu membawa satu perubahan dalam konteks pentadbiran dan pengurusan sukan dalam MOM. - KOSMO!

Lakar kemenangan 4-0 ke atas Sydney Olympic FC, Harimau Malaya pamer belang

Posted:

Lakar kemenangan 4-0 ke atas Sydney Olympic FC, Harimau Malaya pamer belang

Lakar kemenangan 4-0 ke atas Sydney Olympic FC, Harimau Malaya pamer belang

11/06/2013 9:40pm

KUALA LUMPUR - "Satu peningkatan yang bagus tetapi kita masih perlu mencari skuad yang kuat, itu yang mustahak."

Itu reaksi bekas pemain bola sepak kebangsaan, Datuk Syukor Salleh ketika diminta mengulas kemenangan skuad Harimau Malaya ketika membenam Sydney Olympic FC 4-0 pada aksi persahabatan di Padang Sukan Belmore, Australia petang tadi.

"Perlawanan persahabatan adalah untuk menguji pemain dan mendapatkan kombinasi pemain-pemain dalam setiap posisi.

"Jurulatih ada hak untuk menerapkan taktikal yang sesuai dan kunci kejayaan sesebuah pasukan adalah dapat mengawal bola dengan baik," jelas Shukor kepada Kosmo! hari ini.

Pada aksi semalam, Harimau Malaya yang tewas 2-3 kepada Canberra FC dalam aksi sulung persahabatan Kha mis lalu, membuka tirai jaringan menerusi perancang Johor Darul Takzim (Johor DT), Safiq Rahim seawal minit kesembilan.

Penyerang gantian, Mohd. Amri Yahyah melengkapkan kemenangan bergaya Harimau Malaya dengan meledak hatrik pada minit ke-50, 73 dan 89. - KOSMO!

Malaysia perlu contohi China, Korea untuk kembali jadi kuasa besar badminton dunia

Posted:

Malaysia perlu contohi China, Korea untuk kembali jadi kuasa besar badminton dunia

Malaysia perlu contohi China, Korea untuk kembali jadi kuasa besar badminton dunia

11/06/2013 9:37pm

KUALA LUMPUR - Malaysia harus mencontohi China dan Korea Selatan dalam kaedah mereka menguruskan pasukan masing-masing sehingga muncul sebagai kuasa besar sukan badminton dunia ketika ini.

Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohd. Nadzmi Mohd. Salleh berkata, aspek psikologi harus diberi penekanan lebih utama bagi melahirkan pemain berkaliber di pentas antarabangsa.

"Negara-negara seperti China dan Korea Selatan sangat serius melaksanakan perkara ini (pembangunan psikologi). Kita seharusnya belajar daripada mereka.

"Apa yang saya lihat, masalah utama yang membelenggu para pemain kita adalah aspek psikologi.

"Walaupun kita ada bekerjasama dengan pihak ISN (Institut Sukan Negara) tetapi kita masih kekurangan tenaga pakar yang menjurus kepada aspek psikologi," kata Nadzmi dalam sidang akhbar selepas mesyuarat Exco BAM di Stadium Juara, Bukit Kiara, Kuala Lumpur hari ini. - KOSMO!

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Hiburan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Rahsiakan kehamilan kerana bimbang

Posted:

Rahsiakan kehamilan kerana bimbang

Rahsiakan kehamilan kerana bimbang

PELAKON dan pengacara jelita, Yasmin Hani muncul dengan wajah berseri-seri dalam majlis sambutan hari alam sekitar sedunia bersama selebriti di Damansara Perdana, Selangor baru-baru ini.

Kemunculan ceria Yasmin Hani itu diiringi pula suami tercinta, Shahrin atau nama sebenarnya, Sha'arin Mohammed Razali Wong.

Rupa-rupanya ada berita gembira. Yasmin Hani dan suaminya itu telah membuat satu pengumuman khas menerusi laman sosial Instagram.

Ia adalah mengenai kehamilan Yasmin Hani yang sudah mencecah empat bulan.

"Saya sangat teruja dan gembira, tidak sabar untuk melahirkan anak kami ini. Perasaan apabila bakal bergelar ibu ini sangat berbeza. Tidak dapat digambarkan bagaimana perasaan tersebut. Syukur, dengan rezeki yang Allah kurniakan kepada saya dan suami.

"Oleh kerana sibuk dengan pelbagai aktiviti seni, sebelum ini kami telah bersetuju menyekat hasrat untuk memiliki anak.

"Namun, akhirnya apabila masing-masing sudah bersedia, barulah kami fikirkan tentang anak," ujar Yasmin Hani.

Sebelum ini, dia pernah ditemu bual oleh media mengenai isu dirinya hamil. Namun ketika itu, dia merahsiakan tentang kehamilannya itu.

"Ada sebab kenapa sebelum ini saya merahsiakan tentang kehamilan diri ini. Sebelum kandungan saya ini mencecah usia empat bulan, saya bimbang ia tidak kuat dan berlaku sesuatu di luar jangkaan.

"Namun setelah usia kandungan mencecah empat bulan, baru saya berasa yakin untuk mengumumkannya ke pada pihak luar tentang kehamilan saya ini.

"Semua itu bukan semata-mata atas kehendak saya, malah ekoran nasihat daripada suami dan ibu saya sendiri. Saya berharap mereka di luar sana faham kenapa saya merahsiakan berita gembira ini," katanya lagi.

Jantina bayi

Setiap wanita yang hamil, pasti tidak dapat lari daripada bercakap tentang isu alahan. Namun, Yasmin Hani cukup bertuah kerana belum mengalami alahan impak kehamilan.

"Mengandung bukan menjadi penghalang untuk saya bergiat aktif bersama rakan-rakan. Malah, semasa sepanjang empat bulan hamil ini, saya tidak mengalami sebarang alahan seperti wanita mengandung yang lain. Cuma sekarang, posisi tidur saya berbeza berbanding dahulu.

"Bagi saya, setiap wanita mempunyai pengalaman yang berbeza dan saya ingin melalui pengalaman saya dengan sendiri.

"Saya banyak berkongsi pengalaman dengan rakan-rakan baik yang pernah hamil seperti Dynas Mokhtar, Aishah Sinclair dan Daphne Iking," ujarnya.

YASMIN HANI dan Shahrin menerima dengan terbuka, jantina anak yang bakal dikurniakan kepada mereka kelak.


Dijadualkan melahirkan anak sulungnya di Hospital Prince Court, Kuala Lumpur pada 12 November ini, Yasmin Hani bagaimanapun kini aktif dengan projek seni terbaharunya, Celebrity Reel!.

Ia membabitkan kolaborasi Yasmin Hani bersama Dynas, Aishah, Daphne serta rakan-rakan baiknya yang lain iaitu Sazzy Falak, Serena C dan Atilia Haron.

Celebrity Reel! menampilkan video-video terbaharu tentang Yasmin Hani dan kesemua rakan baiknya itu.

Menyentuh tentang jantina bakal bayi sulungnya, ujar Yasmin Hani: "Saya tidak kisah bayi saya nanti lelaki atau perempuan. Saya tetap sayang, janji bayi saya itu sihat.

"Namun, saya mahu tahu sama ada, dia bayi lelaki atau perempuan supaya senang untuk saya buat persiapan dan memilih nama yang sesuai."

Dalam pada itu, dia turut berkongsi pengalamannya apabila mengetahui dirinya sudah sah mengandung.

"Saya pelik pada bulan pertama, saya lambat datang bulan. Saya beli ujian kehamilan sendiri, saya tengok macam samar-samar. Saya beli sekali lagi, nampak positif.

"Untuk kepastian, saya cuba sekali lagi sebab saya tidak percaya dan yakin. Pada kali ketiga itulah baru saya yakin bahawa saya sudah mengandung dan terus berjumpa doktor."

Selain sibuk dengan aktiviti bersama rakan-rakan baiknya, demi menjaga kesihatan kandungannya Hani turut menyertai yoga pranatal di Bangsar Village, Kuala Lumpur.

"Saya terpaksa membatalkan banyak program sepanjang tahun ini kerana ada antara program tersebut lasak, jadi saya tidak mahu ambil risiko untuk kandungan sulung saya ini," katanya.

"Mengenai pantang, saya akan berpantang di rumah sendiri mengikut tradiis Melayu. Saya senang untuk berpantang di rumah sendiri. Simpati dengan Shahrin kerana dia pasti rindu anaknya nanti dan agak sukar buat saya ulang alik dari rumah mak saya."

Bade kalahkan isteri

Posted:

Bade kalahkan isteri

Bade kalahkan isteri

Oleh IZRINDA BADROLHISHAM


GELAGAT lucu Erma Fatimah sebagai reaksi terhadap kemenangan yang diraih suaminya, Bade.


NAMA seniman agung Tan Sri P. Ramlee cukup sinonim dalam kalangan rakyat Malaysia. Ia jelas impak filem-filem hasil kreativiti beliau yang sehingga kini masih menjadi bahan tontonan ramai.

Pemergian permata seni negara itu terus dikenang sampai ke hari ini. Namanya kekal dijulang ekoran karyanya yang menjadi inspirasi buat para penggiat seni tanah air yang lain.

Terbaharu, P. Ramlee terus diiktiraf dan dihargai melalui sebuah lagi majlis anugerah yang dikenali sebagai Anugerah Tribute P. Ramlee.

Sebanyak sembilan anugerah yang disenaraikan berdasarkan sepuluh telefilem yang ditayangkan melalui slot Tribute P. Ramlee - Pengarah Terbaik, Skrip Terbaik, Telefilem Terbaik, Videografi Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik, Pelakon Wanita Terbaik, Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik, Pelakon Pembantu Wanita Terbaik.

Anugerah Tribute P. Ramlee menyaksikan kerjasama Radio Televisyen Malaysia (RTM) bersama Kumpulan Utusan dan Suhan Movies & Trading Sdn. Bhd.

Ia dianjurkan bagi memperingati perjuangan P. Ramlee bertujuan mengekalkan nama beliau sebagai seorang penghibur terbaik sepanjang zaman.

Telefilem arahan Badarudin Azmi berjudul Miang Buluh Keladi Birah dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Telefilem Terbaik dan Pengarah Terbaik.

Naskhah yang diilhamkan daripada lagu Tanya Sama Hati ciptaan P. Ramlee itu yang mengisahkan tentang percintaan golongan muda pada zaman moden yang penuh mencabar.

Menerusi setiap kategori yang dimenanginya itu, Bade berjaya membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM20,000 berserta trofi.

"Saya berasa sangat bangga kerana menjadi pemenang pertama Anugerah P. Ramlee ini. Bukan senang untuk membawa nama P. Ramlee bagi menghasilkan filem yang terbaik seperti diri beliau. Nama P. Ramlee sudah cukup besar buat saya.

"Kita perlu kekalkan tradisi ini. Bangkitkan semangat untuk menghasilkan karya terbaik untuk generasi akan datang," ujar Bade yang turut bersaing bersama isterinya, Erma Fatimah dalam kategori Pengarah Terbaik itu yang bersaing menerusi telefilem arahannya, Selagi Cinta Berzikir.

Miang Buluh Keladi Birah turut menang Anugerah Skrip Terbaik menerusi skrip hasil nukilan Marjan Hanani yang membawa pulang hadiah RM5,000 berserta trofi.

Acara pada malam itu turut menghargai dua seniman legenda iaitu Datuk Aziz Satar dan Allahyarham S. Shamsuddin menerusi anugerah khas iaitu Anugerah Tokoh Lakon Melayu.

"Saya bersyukur dan berbangga setelah penglibatan saya selama ini dalam dunia perfileman diiktiraf.

"Perasaan bercampur baur kerana hanya tinggal saya seorang dalam trio filem Bujang Lapok (yang masih hidup).

BETO menang Anugerah Pelakon Lelaki Terbaik.


"Saya akan meneruskan langkah untuk berkarya dan bercadang untuk menghasilkan sebuah buku serta ingin menubuhkan satu legasi anak Bujang Lapok untuk generasi akan datang," ujar Aziz dalam nada suara yang sebak.

Penghargaan itu diberikan bagi mengenang jasa karyawan seni yang turut sama merancakkan industri seni tanah air bersama P. Ramlee satu masa dulu.

Sementara itu, bagi kategori Pelakon Wanita dan Lelaki Terbaik masing-masing dimenangi oleh Sharifah Amani dan Beto hasil lakonan mantap mereka menerusi Selagi Cinta Berzikir.

Kedua-dua mereka masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM10,000 berserta trofi.

"Alhamdulillah, saya bersyukur dan tidak sangka akan meraih anugerah yang penuh bermakna ini. Bagi saya, ini adalah tanggujawab yang besar.

"Erma Fatimah dan Allahyarham Yasmin Ahmad selalu mengingatkan saya bahawa populariti itu tidak penting.

"Apa yang paling penting, kita ikhlas untuk berkarya dan berkerja," ulas Sharifah Amani yang kini sedang sibuk dengan pengambaran drama bersiri terbaharu arahan Bade, Sindiket.

Sementara, Mislina Mustafa menerusi lakonannya dalam telefilem Di Manakan Ku Cari Ganti dan Hanis Kamal Bakar (Miang Buluh Keladi Birah) masing-masing diumumkan sebagai pemenang bagi kategori Pelakon Pembantu Wanita dan Lelaki Terbaik.

Selain itu, pelakon veteran Datuk Ahmad Tarmimi Seregar dipilih sebagai pemenang menerusi kategori Penampilan Istimewa Dalam Drama (Selagi Cinta Berzikir).

Sementara itu, Pengarah Urusan Suhan Movies & Trading Sdn. Bhd., aktor Rosyam Nor melahirkan rasa syukur kerana majlis Anugerah Tribute P. Ramlee berjalan lancar.

"Saya amat berterima kasih kepada pihak RTM, Kumpulan Utusan dan Istana budaya kerana menerima idea saya (untuk menganjurkan majlis Anugerah Tribute P. Ramlee).

"Saya amat menghargai seniman dan seniwati yang sudah lama bertungkus lumus selama ini untuk menaikkan nama industri filem Malaysia sejak dahulu lagi.

"Telemovie Miang Buluh Keladi Birah dipilih oleh juri profesional dan mereka berpendapat bahawa telefilem ini sangat simple dan natural. Sebenarnya ia berlaku dalam kehidupan seharian kita.

"Saya bukanlah salah seorang daripada juri majlis anugerah ini. Tiada sikap pilih kasih walaupun Bade merupakan rakan saya," jelas Rosyam.

Majlis anugerah turut diserikan dengan persembahan daripada cucu P. Ramlee iaitu Najua P. Ramlee menerusi lagu Darah Muda.

Penyanyi Misha Omar pula menyampaikan lagu Dimanakan Ku Cari Ganti, manakala Musli Ramlee menghiburkan para tetamu dengan lagu Getaran Jiwa diiringi petikan piano oleh penyanyi Syafinaz Selamat.

Antara artis lain yang turut meraikan membuat persembahan pada acara itu ialah Shuib Sepahtu, Shiro, One Nation Emcee, Dayang Nurfaizah dan Azlan & The Typewriter.

Perginya Primadona filem Melayu

Posted:

Perginya Primadona filem Melayu

Perginya Primadona filem Melayu

Oleh HARYATI KARIM

ALLAHYARHAM bersara dari dunia lakonan untuk memberikan tumpuan kepada keluarga.


ENAM hari lalu, peminat filem Melayu kehilangan pelakon komedi legenda S. Shamsudin yang meninggal dunia di Hospital Universiti Nasional, Singapura akibat sakit tua dan paru-paru berair.

Petang semalam, seniwati legenda Latifah Omar yang popular pada era 50-an dan 60-an turut mengikut jejak langkah Allahyarham S. Shamsudin.

Aktres yang terkenal dengan kejelitaannya dan tahi lalat di bawah bibir kirinya itu menghembuskan nafas terakhir pada pukul 6.19 petang di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM).

Ia adalah sejurus selepas beliau menjalani pembedahan ulser usus akibat ususnya membengkak dan tersumbat.

Mengimbas kembali perjalanan kerjaya seniwati Latifah Omar sebagai aktres, ia bermula pada usia yang terlalu muda iaitu 16 tahun.

Pada ketika itu, Allahyarham memenangi gelaran ratu cantik Singapura pada tahun 1953.

Tidak mengambil masa yang lama untuk menempah tiket bergelar seorang aktres, Allahyarham telah dilamar oleh pengarah S. Ramanatahan bagi membintangi filem Panggilan Pulau yang ditayangkan pada tahun 1954.

Pada tahun yang sama juga, Allahyarham diberi peluang untuk bergandingan dengan bintang legenda - tidak lain dan tidak bukan, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee menerusi filem terbitan Malay Film Production, Merana.

Itu merupakan kali pertama dan terakhir mereka bergandingan di layar perak, sebelum Latifah kemudian berhijrah dari Malay Film Production ke syarikat perfileman Cathay Keris.

Populariti Allahyarham meningkat naik sejak bersama Cathay Keris apabila beliau berlakon dalam banyak filem genre bangsawan bersama Allahyarham Nordin Ahmad.

Beliau sempat membintangi 26 buah filem dengan Cathay Keris, yang mana 12 daripadanya merupakan gandingan bersama Nordin Ahmad.

LATIFAH OMAR, P. Ramlee dan Saloma akan berterusan dikenang sebagai figura legenda dunia perfileman Melayu.


Pasti ramai yang masih mengingati bait-bait lagu dalam filem Gurindam Jiwa yang berbunyi: "Tuai padi antara masak, esok jangan layu layuan, intai kami antara nampak, esok jangan rindu-rinduan."

Itu merupakan filem terakhir yang menggandingkan Latifah dan Nordin selepas mereka bergandingan menerusi beberapa buah filem seperti Laila Majnun, Cucu Datuk Merah dan Hang Jebat.

Selain Nordin Ahmad, Latifah juga pernah digandingkan dengan ramai pelakon lelaki ternama seperti Allahyarham Roomai Noor (Sumpitan Racun), Yusof Latiff (Jalak Lenteng) dan Tony Kassim (Rumah Itu Duniaku).

Dalam filem Bawang Putih Bawang Merah lakonannya bersama Datuk Mustapha Maarof, Allahyarham tampil cemerlang sebagai Merah, anak tiri yang teraniaya.

Menurut Mustapa yang turut digandingankan bersama Latifah dalam filem Kasih Ibu, Raden Mas dan Naga Tasik Chini, Allahyarham merupakan seorang rakan artis yang berbakat besar.

"Saya mengenali Allahyarham sejak tahun 1953. Melihat kesungguhannya pada waktu itu, saya tahu dia (Allahyarham) mempunyai potensi yang besar.

"Ternyata sangkaan saya benar apabila dia menjadi salah seorang primadona filem Melayu waktu itu bersaing dengan beberapa primadona lain seperti Sarimah, Saadiah, Normadiah, Zaiton, Maria Menado, Rosnani dan Roseyatimah.

"Kami pernah beberapa kali bergandingan, jadi memang kami menjadi rakan yang baik. Apabila mendapat berita tentang pemergiannya, saya sedih kerana ramai rakan-rakan seangkatan dengan saya pada waktu zaman filem hitam putih dahulu sudah tiada," tuturnya sedih.

Selepas meraih label ratu perfileman Melayu selama 20 tahun, pada tahun 1973, Allahyarham tekad meninggalkan dunia penuh glamor kerana studio di Jalan Ampas, Singapura ditutup dan kebetulan ketika itu dia melahirkan anak ketiganya.

Masih terkenang kata-kata Allahyarham dalam satu temu bual bersama Kosmo! semasa beliau dianugerahkan Bintang Legenda Perempuan pada Festival Filem Malaysia ke-22 pada tahun 2009.

Beliau menafikan berhenti berlakon kerana ditegah suaminya yang merupakan seorang usahawan.

"Saya berhenti berlakon kerana ingin memberi tumpuan kepada keluarga," tutur beliau.

Allahyarham meninggal dunia pada usia 74 tahun, meninggalkan empat orang anak dan sembilan orang cucu. Jenazah Allahyarham telah selamat dikebumikan pada pukul 11.25 pagi semalam di Tanah Perkuburan Islam AU4, Keramat, Kuala Lumpur.

Kredit: www.kosmo.com.my

Isnin, 10 Jun 2013

Kosmo Online - Rencana Utama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Awake craniotomy elak risiko lumpuh

Posted:

Awake craniotomy elak risiko lumpuh

Awake craniotomy elak risiko lumpuh

KETIKA memandu kereta sekitar pertengahan bulan Januari lalu, seluruh tubuhnya tiba-tiba terasa kebas. Selang dua hari kemudian, rasa kebas itu berulang dan membuatkan pesakit yang hanya mahu dikenali sebagai Is, 31, merasa seolah-olah ada sesuatu yang tidak kena pada tubuhnya.

Enggan terus tertanya-tanya dengan keadaan diri, Is lantas mendapatkan pemeriksaan doktor. Is diminta merujuk ke hospital dalam kadar segera selepas melakukan pemeriksaan kesihatan di sebuah klinik swasta.

Doktor pakar yang bertugas di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) mengesahkan dia menghidap tumor otak peringkat kedua.

Berita yang diterima cukup mengejutkan. Beliau terasa dunianya kelam. Pelbagai lintasan bermain-main ke dalam fikirannya kerana pembedahan perlu dilakukan sesegera mungkin bagi mengelakkan perkara lebih buruk berlaku.

Lebih membimbangkan, kakitangan sebuah syarikat swasta itu, dinasihatkan agar menjalani pembedahan tersebut dalam keadaan sedar bagi mengurangkan risiko lumpuh sebelah badan.

"Saya terkejut ketika disahkan doktor menghidap tumor otak kerana saya tidak mempunyai masalah kesihatan sebelum ini.

"Jika diberi pilihan, saya mahu ia dilakukan tanpa sedar kerana takut dengan apa yang akan terjadi sepanjang pembedahan berlangsung," jelasnya yang menjalani pembedahan pada 8 Februari lalu.

Bagaimanapun, setelah berbincang dengan isteri, Nawal Rashid, 30, dan ahli keluarga lain, Is akhirnya bersetuju dengan cadangan doktor untuk menjalani pembedahan secara sedar atau awake craniotomy.

Nawal ketika diberitahu tentang keadaan suaminya cuba mendapatkan pandangan jiran dan keluarga yang pernah mengalami simptom sama. Nawal akhirnya akur dengan cadangan doktor untuk pembedahan tersebut.

"Kami menurut nasihat pakar kerana peluang untuk sembuh lebih besar sekiranya pembedahan dibuat ketika dia sedar.

"Syukur segalanya berjalan lancar walaupun tangan kiri suami saya sukar diangkat selepas menjalani pembedahan," katanya lega.


KETUMBUHAN otak sebesar duit syiling 20 sen yang berjaya dikeluarkan dari kepala Is.


Berbual ketika dibedah

Sebelum pembedahan membuang tumor diteruskan, Is dibius dengan ubat pelali kira-kira setengah jam lebih awal bagi membolehkan tempurung kepalanya dibedah tanpa rasa sakit. Kesan awal membuatkan dirinya mula berasa kebas di bahagian muka hingga ke pinggang.

Bagaimanapun, ketika pembedahan awake craniotomy dijalankan, Is dalam keadaan sedar selepas tempurung kepalanya dibuka. Is perlu memberi tindak balas sepanjang pembedahan dijalankan. Seorang pakar bius, Dr. Esa Kamaruzaman, bertugas memastikan Is sentiasa berinteraksi dengan pasukan doktor pakar di dewan bedah tersebut.

Melalui rakaman video yang ditayangkan kepada pengamal media, Is jelas dilihat boleh berbual seperti biasa dengan Dr. Esa dan kadangkala dilihat tersenyum semasa dibedah.

Doktor pakar yang mengetuai pembedahan tersebut iaitu Prof. Madya Dr. Ramesh Kumar menjelaskan, pesakit perlu menjalani pembedahan dalam keadaan sedar bagi membolehkan pembuangan tumor secara maksimum.

Teknik pemetaan

"Ia bagi mengelakkan pesakit mengalami kehilangan fungsi penting seperti komunikasi, persepsi dan pergerakan semasa pembedahan dilakukan.

"Ketumbuhan tersebut terletak di bahagian yang mengurus deria, pergerakan dan pertuturan pesakit," katanya.

Tambahnya, awake craniotomy merupakan kaedah terbaik untuk memastikan pesakit tidak terjejas dengan kemungkinan kerosakan fungsi tubuh badan akibat pembedahan.

Sepanjang tempoh pembedahan pembuangan tumor, pasukan pakar bedah menggunakan teknik pemetaan otak bagi mengenal pasti bahagian yang boleh terdedah kepada kecederaan fungsi deria, pertuturan dan motor korteks pada otak.


KAWASAN yang dikenali sebagai eloguent cortex ditandakan sebagai kawasan larangan pembedahan.


Contohnya, apabila tumor tumbuh di bahagian kritikal otak, penentuan lokasi saraf yang mengawal pertuturan adalah amat penting. Teknik pemetaan tersebut melibatkan penggunaan arus elektrik ringan terhadap permukaan otak yang terdedah sementara pesakit dikehendaki berinteraksi seperti bercakap atau membaca.

Sekiranya rangsangan yang diberikan menghalang interaksi (bercakap atau membaca), bahagian otak tersebut akan ditanda dan dipelihara.

Teknik yang biasa digunakan ketika pembedahan awake craniotomy ialah dengan menidurkan pesakit untuk keselesaan dan keselamatannya. Bius akan disuntik secara berhati-hati bagi membolehkan pesakit bercakap, bergerak dan berinteraksi dengan pakar saraf. Kebiasaannya, pesakit hanya mengalami ketidakselesaan yang minimum walaupun dibedah dalam keadaan sedar.

Selepas prosedur pemetaan otak selesai, tumor dibuang sepenuhnya walaupun pada ketika itu pesakit dan pakar bius masih berinteraksi. Kemudian, pesakit akan dibius sekali lagi untuk ditidurkan bagi membolehkan pakar saraf menamatkan pembedahan secara selamat.

Ancaman pengubahan wang haram

Posted:

Ancaman pengubahan wang haram

Ancaman pengubahan wang haram


CLAUDIA (tengah) memeriksa kotak-kotak yang sampai di Pelabuhan Puerto Nuevo supaya sama dengan bilangan yang tertera pada dokumen import.


KEPINGAN papan reput diangkat manakala berdozen-dozen orang keturunan Wayuu Indian membawa mesin basuh, kipas dan stereo dari bahagian belakang perut kapal kargo yang berlabuh di Pelabuhan Puerto Nuevo di utara Columbia.

Sepanjang malam, mereka memunggah beribu-ribu timbunan kotak berukuran 10 meter tinggi ke tanjakan yang sudah pecah-pecah sementara menunggu trak pengangkut.

Dengan menggunakan lampu suluh, pengarah kastam, Claudia Gaviria membuka sebuah kotak pada di dermaga Puerto Nuevo, Semenanjung La Guajira. Wanita itu mengira bilangan kipas berdasarkan dokumen yang disediakan kapal.

"Jika terdapat lebih daripada nilai yang dinyatakan dalam kertas kerja, kami akan rampas barang-barang dan siasat kerana ia boleh jadi barang gelap ataupun pengubahan wang haram.

"Kami menemui beberapa kertas kerja pada kapal ini yang disuai pinda," kata Claudia sambil meletakkan kotak ke tempat lain dan mencapai yang lain.

Penyeludupan kontraban (barang gelap) ke Colombia merupakan sebahagian daripada aktiviti pengubahan wang haram bernilai berpuluh-puluh bilion dolar.

Ia merosakkan banyak perniagaan yang sah, mengganggu-gugat kemajuan ekonomi Colombia yang dalam proses pemulihan selepas berdekad-dekad berdepan masalah politik dan keganasan sindiket dadah.

Rancangannya sangat rumit, penyeludup Colombia menerima duit dadah daripada peraih-peraih seberang laut dalam bentuk barang-barang yang selalunya dibawa bersama barang sah.

Sebaik sahaja barang dijual dan resit jualan diberi, duit dadah tersebut bersih.

Jumlah pengubahan wang haram daripada penyeludupan dadah di Colombia dianggarkan sebanyak AS$17 bilion (RM52.58 bilion) setahun, lebih lima peratus daripada jumlah ekonomi dan lebih banyak berbanding pelaburan luar negara secara langsung pada tahun lalu.

Harga rendah

Hampir kesemua barang dimuat turun oleh Wayuu Indian. Bungkusan yang sah akan ke bandar padang pasir, Maicao, tempat menjual minyak wangi jenama murah dan wiski pada harga kurang separuh harga runcit.

Antara label yang ada ialah Prada dan Giorgio Armani.

"Barang-barang itu dijual pada harga yang rendah berbanding kos penghasilannya di kilang dan ini menyatakan segala- galanya," kata ketua agensi cukai kebangsaan, Juan Ricardo Ortega.

Pihak berkuasa membuat rampasan kontraban sebanyak RM395.96 juta, kurang 10 peratus daripada jumlah yang dianggarkan masuk ke Colombia, menurut data kerajaan.


RUMAH-RUMAH penduduk Wayuu Indian diperbuat daripada papan reput.


"Ia tugas yang mustahil. Kami kekurangan sumber manusia untuk memeriksa semuanya," kata ketua pejabat cukai, utara Maicao, Luis Carlos Canas. Dia sedang memeriksa jongkong-jongkong aluminium dalam kenderaan beroda 18 yang melintas sempadan dari Venezuela.

Aktiviti eksport juga sebahagian daripada perniagaan pengubahan wang. Kertas kerja palsu dibuat untuk jualan seberang laut yang tidak pernah wujud.

Sebaik kertas kerja difailkan di pejabat kastam, wang tunai daripada pengedar dadah antarabangsa boleh masuk tanpa memberikan sebarang keraguan.

Jumlah eksport rasmi emas Colombia dilaporkan sebanyak 70 tan, kata Juan, bagaimanapun industri hanya mengeluarkan sebanyak 15 tan. Memang ada jumlah boleh diterima oleh pengusaha emas kecil-kecilan dengan bilangan lebihan yang boleh diterima.

Juan mengesyaki timbunan yang banyak itu merupakan jualan rekaan.

Magnet pelaburan

Sementara Colombia sedang mengubah imej negara daripada kesan keganasan kepada magnet pelaburan melalui industri minyak dan perlombongan, namun ekonominya telah terpencong dengan aktiviti pengubahan wang haram oleh pengedar kokain luar.

Selama berdekad- dekad, Colombia berhempas pulas mengurangkan jenayah berkaitan dengan pemerdagangan dadah, memerangi peperangan menentang pemberontak Marxis, kumpulan separa tentera bersayap kanan dan kartel-kartel dadah.

Namun, kumpulan penjenayah semakin licik dalam membodohkan pihak berkuasa.

Terdapat tiga cara utama kumpulan membersihkan wang mereka, menyeludup wang tunai fizikal tanpa diisytihar melintasi sempadan, melalui sistem kewangan dan kontraban.

Ia bukan sekadar terus daripada penyeludupan dadah, lebih kurang RM27.22 bilion setahun berjaya diubah.

Duit yang dihasilkan daripada korupsi, penjualan senjata, pelacuran dan perlombongan emas haram juga perlu dibersihkan.

Apabila ia memasuki ekonomi Colombia yang bernilai RM1 bilion, ia akan meningkatkan pengembangan ekonomi pada beberapa poin asas, kata ketua UIAF, Luis Edmundo Suarez.

UIAF merupakan sebuah badan kerajaan yang melihat sebarang pergerakan wang yang sangsi dan melakukan penyiasatan.

"Pengubah wang hanya berminat dalam memasukkan duit dalam sistem. Ia menyebabkan kesengsaraan, kepencongan ekonomi dan pengubahan harga tanpa kisah akan kehilangan wang, hanya mahu wang dibersihkan," kata Luis di pejabatnya di Bogota. - Reuters

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Komuniti Kita

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Komuniti Kita


Perasmian Klinik Kesihatan Teluk Intan

Posted:

Perasmian Klinik Kesihatan Teluk Intan

Perasmian Klinik Kesihatan Teluk Intan

RAJA NAZRIN (duduk tujuh dari kiri), Subramaniam (duduk lima dari kiri) dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir (duduk enam dari kiri) bersama sebahagian kakitangan Klinik Kesihatan Teluk Intan, Perak baru-baru ini.


KEMUDAHAN. Klinik Kesihatan Teluk Intan yang dibina melibatkan kos RM23.46 juta dirasmikan oleh Pemangku Raja Perak, Raja Dr. Nazrin Shah di Teluk Intan, Perak baru-baru ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri S. Subramaniam berkata, klinik kesihatan seluas 3.04 hektar itu menyediakan perkhidmatan untuk pesakit luar, kesihatan ibu dan anak, pergigian serta kesihatan sekolah.

Beliau berkata, Klinik Kesihatan Teluk Intan yang beroperasi dari pukul 8 pagi hingga 10 malam setiap hari kecuali Ahad berkenaan turut dilengkapi kemudahan makmal, farmasi dan radiologi.

"Sejak dibuka sejak hampir dua tahun lalu, kira-kira 300 hingga 350 pesakit menerima perkhidmatan di klinik kesihatan ini pada setiap hari," katanya.

Pelajar IMU anjur program jambori kesihatan

Posted:

Pelajar IMU anjur program jambori kesihatan

Pelajar IMU anjur program jambori kesihatan


SEORANG tenaga pengajar IMU memberikan penerangan kepada pelajar IMU mengenai paru-paru sempena Hari Tanpa Tembakau dan Hari Derma Darah Sedunia di Kuala Lumpur baru-baru ini.


SIHAT. Kira-kira 200 pelajar dan tenaga pengajar Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU) menganjurkan program jambori kesihatan sempena Hari Tanpa Tembakau dan Hari Derma Darah Sedunia di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Eksekutif Komunikasi dan Pemasaran IMU, Yau Yuin Qin berkata, program itu bertujuan menggalakkan masyarakat mengamalkan gaya hidup sihat.

Menurutnya, para pengunjung diberi taklimat khas daripada empat pakar dalam bidang perubatan mengenai bahaya rokok dan diabetes kepada kesihatan.

"Program kali ini turut menyaksikan penglibatan aktif para pelajar IMU yang mana hampir 50 pelajar jurusan pergigian serta kiropraktik turun padang serta memberi rawatan secara percuma kepada pengunjung," katanya

62 pelatih PLKN sertai program Mengenal Alam

Posted:

62 pelatih PLKN sertai program Mengenal Alam

62 pelatih PLKN sertai program Mengenal Alam


SEKUMPULAN pelatih PLKN Saujana Impian Jabi meneliti sejenis tumbuhan herba sempena Program Mengenal Alam di Besut, Terengganu baru-baru ini.


PUPUK KESEDARAN. Sebanyak 62 pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Saujana Impian Jabi menyertai Program Mengenal Alam di Kampung Gong Guchil, Besut, Terengganu baru-baru ini.

Program dengan kerjasama Komuniti 1Malaysia Mukim Bukit Kenak itu memberi pengalaman baharu kepada pelatih yang merasai suasana kehidupan desa dan keindahan alam sekitar.

Pelbagai acara menarik turut dirangka Jawatankuasa Komuniti 1M di situ termasuk deklamasi sajak, pertandingan mendirikan khemah, meneka jenis flora dan kegunaannya serta mengenali jenis flora yang terdapat kawasan itu.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Negara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Negara


Penulis hina Nabi perlu dikenakan tindakan berat

Posted:

Penulis hina Nabi perlu dikenakan tindakan berat

Penulis hina Nabi perlu dikenakan tindakan berat

Oleh SITI KAMILAH MUSTAPHA
kamilah.mustapha@kosmo.com.my

SEBAHAGIAN daripada gabungan 15 NGO Melayu Islam menunjukkan salinan laporan polis terhadap pemilik akaun Facebook yang menghina Nabi Muhammad SAW di Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR - Perbuatan menghina Nabi Muhammad SAW terutamanya melalui media sosial adalah perbuatan biadap dan individu terbabit perlu dikenakan tindakan sewajarnya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, perbuatan itu perlu segera dibendung kerana ia boleh mencetuskan kemarahan umat Islam selain boleh menggugat keharmonian antara agama.

Menurut beliau, para penulis media sosial baharu perlu bertanggungjawab atas setiap apa yang ditulis apabila ia menimbulkan ketegangan serta menyinggung agama yang dianuti masyarakat dalam negara.

"Penulis media sosial yang sewenang-wenangnya menggunakan medium itu untuk tidak menghormati agama lain perlu menerima risiko tindakan undang-undang yang bakal dikenakan," katanya selepas merasmikan Karnival Sukan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) 2013 di Wangsa Walk di sini semalam.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Zainal Abidin Jaffar.

Jamil Khir berkata demikian sebagai mengulas isu dua akaun laman sosial Facebook yang menggunakan nama Calvin Gani dan Rakyat Anarki mencetuskan kemarahan umat Islam di negara ini apabila memaparkan kenyataan menghina Nabi Muhammad SAW.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Raqib AF9 sertai tilawah al-Quran

Posted:

Raqib AF9 sertai tilawah al-Quran

Raqib AF9 sertai tilawah al-Quran

Oleh KHAIRI MOHAMAD
khairi.mohamad@kosmo.com.my

RAQIB ketika menyertai konsert AF9 dua tahun lalu.


KOTA BHARU - Bakat bekas peserta rancangan realiti hiburan Akademi Fantasia ke-9 (AF9), Fahrur Raqib Abdul Majid atau lebih popular dengan panggilan Raqib rupa-rupanya bukan sekadar dalam bidang nyanyian tetapi juga dalam bidang tilawah al-Quran.

Raqib, 22, memecah tradisi apabila menjadi pelajar pertama daripada rancangan realiti AF menyertai Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan ke-56 yang berlangsung di Balai Islam Lundang di sini malam kelmarin.

Beliau yang mewakili Melaka berkata, minatnya yang mendalam terhadap dunia seni tidak menghalang sama sekali untuk mendalami ilmu al-Quran.

"Sejak daripada sekolah rendah bermula dari tahun dua lagi, saya telah menyertai tilawah al-Quran dan menjadi johan peringkat negeri dan kebangsaan ketika di alam persekolahan.

"Pada masa yang sama, saya amat meminati muzik, disebabkan itu saya menyertai kumpulan nasyid dan sebaik sahaja tamat persekolahan saya menyertai AF9 dua tahun lepas untuk mengembangkan minat saya dalam muzik.

"Apabila terkeluar daripada AF, saya meneruskan kembali mendalami ilmu al-Quran dan bagi saya tidak salah untuk menyertai tilawah serta bergiat dalam bidang seni," katanya.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Bangunkan bakat tempatan

Posted:

Bangunkan bakat tempatan

Bangunkan bakat tempatan

Oleh JUNHAIRI ALYASA
junhairi.alyasa@kosmo.com.my

KUALA LUMPUR - Datuk Seri Najib Tun Razak meminta industri minyak dan gas memainkan peranan lebih besar dalam usaha membangunkan modal insan menerusi kerjasama dan perkongsian dengan kerajaan.

Perdana Menteri berkata, peranan yang boleh dilakukan ialah dengan mewujudkan institusi teknologi khusus seperti penghasilan bahan kimia istimewa dan kerjasama dengan institusi pendidikan untuk membangunkan bakat tempatan.

"Pelaburan ini bukan sahaja memberi manfaat kepada satu sektor tetapi akan memberi kesan kepada ekonomi yang lebih luas. Pelaburan dalam inovasi dan kajian sering menghasilkan kesan berganda yang positif," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam acara tahunan Persidangan Minyak dan Gas Asia (AOGC) 2013 kali ke-17 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini semalam.

AOGC 2013 yang berlangsung selama tiga hari bermula kelmarin bertemakan 'Dunia Kita, Tenaga Kita, Masa Depan Kita' bertujuan mengiktiraf secara positif bagaimana keseimbangan dapat diwujudkan antara ekonomi, alam sekitar dan sosial ketika melakukan sebarang keputusan membabitkan perniagaan.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Varia

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Varia


Perginya tokoh perkamusan

Posted:

Perginya tokoh perkamusan

Perginya tokoh perkamusan

Oleh NIZHA PERIASWAMY

TUGAS Zainal Abidin menyusun kamus bukanlah mudah kerana ia menuntut ketelitian dan kesabaran dalam mengumpulkan ratusan ribu perkataan.


MUNGKIN nama penulis Zainal Abidin Safarwan kurang dikenali kecuali dalam kalangan mereka yang aktif bersastera serta ahli akademik. Namun, tanpa disedari kebanyakan kita pernah menggunakan Kamus Besar Bahasa Melayu Utusan baik semasa di sekolah, universiti atau ketika sudah bekerja.

Ia merupakan kamus hasil susunan Zainal Abidin.

Ternyata kamus tersebut banyak menyumbang kepada anjakan paradigma khususnya dalam mengangkat martabat bahasa Melayu.

Namun, pada 3 Jun lalu sekitar pukul 8.20 malam, Zainal Abidin menghembuskan nafasnya yang terakhir akibat sakit tua pada usia 81 tahun.

Zainal Abidin yang lahir pada 27 Jun 1932 di Singapura memulakan pendidikan awal di sekolah Melayu dan memasuki Special Malay Class di Victoria School Singapura hingga tamat Sijil Persekolahan pada tahun 1952.

Menyusun kamus

Selepas itu beliau bekerja dengan majalah Bulanan Malaya di Singapura. Namun, apabila majalah itu ditutup pada tahun 1965, Zainal Abidin dikatakan mengambil keputusan untuk berpindah ke majalah Radio Weekly.

Selepas itu, pada tahun 1968, Zainal Abidin berpindah lagi ke Berita Harian di Kuala Lumpur sehinggalah beliau bersara pada tahun 1987.

Menurut anak kedua Allahyarham, Rauziah Zainal Abidin, 55, bapa beliau seorang yang bercita-cita tinggi dan sifat itu terserlah sewaktu mengusahakan Kamus Besar Bahasa Melayu Utusan.

Kata Rauziah, bapa beliau mengumpulkan pelbagai maklumat untuk kamus tersebut selepas pulang dari kerja.

"Beliau secara konsisten membahagikan masa dan tenaga untuk menyusun kamus tersebut. Pelbagai rujukan digunakan supaya ia memuatkan semua perkataan daripada ilmiah, klasik hingga penggunaan perkataan yang biasa. Demi tugas itu, beliau banyak merujuk kamus, buku Arab, Indonesia dan sebagainya," ujar Rauziah.


KAMUS Besar Bahasa Melayu Utusan susunan Zainal Abidin menjadi rujukan sehingga hari ini.


Merupakan kamus yang terbesar dengan longgokan perkataan terbanyak, Zainal Abidin sebelum ini pernah tampil dengan dua buah kamus sewaktu beliau di Singapura. Kamus Besar Bahasa Melayu Utusan adalah yang paling besar sehingga kini pernah diterbitkan dalam bahasa Melayu.

Menurut satu laporan, kamus tersebut merupakan kamus bahasa Melayu yang paling banyak menyenarai ungkapan. Kamus Besar Bahasa Melayu Utusan pada hakikatnya adalah edisi baharu Kamus Sinonim yang disusun oleh Zainal Abidin pada 1984.

Judul baharu

Oleh sebab tambahan pada senarai kata masukan dan maknanya ialah sekali ganda, maka penerbit Utusan Publications & Distributors menyifatkan kamus itu sebagai sebuah kamus baharu lalu memberikannya judul yang baharu.

Semua perkataan dan ungkapan yang dijadikan kata masukan dan maknanya diambil daripada bahan bahasa Melayu yang digunakan dalam tulisan dan lisan.

Ia terdiri daripada bahasa Melayu klasik dan semasa, mencakupi bahasa Melayu yang digunakan di Brunei, Indonesia, Malaysia dan Singapura.

Kamus Besar Bahasa Melayu Utusan mengandungi lebih 100,000 kata serta homonim, hampir 500,000 sinonim dan antonim, lebih 20,000 ungkapan lama dan baharu serta ungkapan seerti dan himpunan peribahasa dari seluruh nusantara.

"Ayah juga ada memasang niat untuk tampil dengan sebuah lagi kamus selepas kamus ketiga yang dihasilkan dalam jangka masa selama 10 tahun itu. Bagaimanapun, masalah kesihatan telah membantutkan usaha beliau," ujar Rauziah.

Rauziah yang berbangga dengan sumbangan bapanya pernah bertanya tujuan Zainal Abidin tampil dengan idea membuat kamus.

"Apabila seseorang itu mati, mereka tidak membawa apa-apa kecuali apa yang ditinggalkan untuk kegunaan orang, ia merupakan satu amal jariah," demikian kata Rauziah mengenang kata-kata bapanya.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Dunia

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Dunia


Penduduk Jerman hadapi banjir terburuk

Posted:

Penduduk Jerman hadapi banjir terburuk

Penduduk Jerman hadapi banjir terburuk

PEMANDANGAN dari udara menunjukkan penempatan penduduk yang ditenggelami air dari Sungai Danube di Budapest semalam.- REUTERS


MAGDEBURG - Beribu-ribu petugas kecemasan, anggota tentera dan sukarelawan di Jerman semalam bertungkus lumus menghadapi banjir yang dianggap terburuk pernah melanda tengah Eropah sejak sedekad lalu.

Bencana alam itu memaksa perpindahan besar-besaran dilakukan dengan seorang ahli politik menyifatkannya sebagai malapetaka nasional.

Tumpuan kini diberikan pada bandar ini di timur Jerman yang ditenggelami air sungai Elbe.

Paras air sungai yang mengalir dari Republik Czech itu meningkat dengan mendadak susulan hujan lebat sejak beberapa hari lalu.

Setakat pagi semalam, paras air sungai Magdeburg mencecah 7.45 meter sekali gus melepasi paras biasa dua meter.

Pihak berkuasa tempatan memberitahu, keadaan tersebut jauh lebih teruk berbanding banjir besar yang pernah melanda rantau berkenaan pada 2002.

Hampir 3,000 penduduk daerah Rothensee di sini telah dipindahkan ekoran kediaman mereka ditenggelami air bah.

Beratus-ratus anggota tentera pula bertungkus lumus mengukuhkan benteng sebuah terusan di sini bagi menghalang air sungai daripada membanjiri janakuasa elektrik sekali gus menyebabkan bekalan elektrik terputus.

Sekitar 8,000 penduduk bandar Aken dekat sini dipindahkan ke lokasi selamat menggunakan sejumlah kereta perisai dan ambulans.

Dalam perkembangan berkaitan, Presiden Jerman, Joachim Gauck dijadualkan melawat dua negeri yang dilanda banjir iaitu Saxony dan Saxony-Anhalt lewat semalam.

Sementara itu di Hungary, pekerja-pekerja bertungkus lumus mengukuhkan tebing beberapa terusan di ibu kota negara berkenaan, Budapest, dalam persediaan menghadapi banjir.

Pihak berkuasa meramalkan Sungai Danube yang mengalir merentasi Budapest akan mencatat paras tertingginya semalam.

Setakat ini, berpuluh-puluh ribu orang terpaksa meninggalkan kediaman mereka dengan sekurang-kurangnya 18 orang terkorban akibat banjir yang melanda Jerman, Austria, Slovakia, Poland dan Republik Czech sejak seminggu lalu. - Agensi

Bekas pelajar mengamuk di kolej sendiri

Posted:

Bekas pelajar mengamuk di kolej sendiri

Bekas pelajar mengamuk di kolej sendiri


GAMBAR yang disiarkan Jabatan Polis Santa Monica menunjukkan seorang lelaki bersenjata memasuki perpustakaan kolej pada Jumaat lalu.- AP


SANTA MONICA - Seorang lelaki bersenjata yang membunuh empat orang dalam satu kejadian tembakan dan rampasan kereta merupakan bekas pelajar sebuah kolej tempat dia ditembak mati oleh polis di sini, kata beberapa pegawai kelmarin.

Ketua Polis Santa Monica, Jacqueline Seabrooks berkata, penyerang yang tidak didedahkan identitinya itu memiliki sekitar 1,300 butir peluru dan dua jenis senjata api dalam insiden berdarah pada Jumaat lalu.

Menurut Seabrooks, suspek membawa sepucuk pistol dan raifal separa automatik ketika mengamuk di beberapa lokasi bandar tersebut.

Selain mangsa yang mati, beberapa orang turut cedera apabila penyerang bertindak melepaskan tembakan secara semberono.

Lelaki itu kemudian memasuki kampus Kolej Santa Monica.

"Dia berjalan sambil melepaskan tembakan rambang," kata Seabrooks.

"Penyerang kemudian masuk ke dalam perpustakaan dan cuba membunuh beberapa orang yang bersembunyi di dalam sebuah bilik selamat. Mereka bernasib baik kerana tidak cedera," tambahnya.

Keganasan itu bermula di sebuah rumah berdekatan yang turut dibakar.

Pihak berkuasa berkata, dua mayat yang ditemui di dalam kediaman rentung itu dikenal pasti bapa dan saudara lelaki kepada penyerang.

Beberapa pegawai memberitahu, pemuda itu melancarkan serangan tersebut sehari sebelum hari jadinya yang ke-24.

Kejadian berlaku hanya beberapa kilometer dari lokasi majlis yang dihadiri Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama pada Jumaat lalu.

Kejadian tersebut merupakan keganasan terbaharu yang menggemparkan AS sekali gus menimbulkan perdebatan hangat tentang peraturan kawalan senjata di negara itu.

Pada tahun lalu, seorang pemuda bersenjata membunuh 20 murid sekolah di Connecticut manakala seorang lagi penyerang menembak mati 12 orang di sebuah panggung wayang di Colorado. - AFP

Ribuan biri-biri diarak di tengah bandar

Posted:

Ribuan biri-biri diarak di tengah bandar

Ribuan biri-biri diarak di tengah bandar


SEORANG wanita berdiri di atas seekor kuda semasa mengetuai perarakan tersebut.- AFP


MARSEILLE - Orang ramai membanjiri bandar ini, selatan Perancis untuk menyaksikan acara memindahkan haiwan ternakan melibatkan beribu-ribu ekor biri-biri.

Dinamakan TransHumance, acara tersebut dikendalikan oleh pasukan berkuda tempatan, Teater Centaur.

Pasukan berkuda itu diketuai oleh seorang wanita yang dikenali sebagai Camille.

Lebih 4,000 ekor haiwan ternakan termasuk kuda, lembu dan 3,000 ekor biri-biri dari sebuah ladang dipindahkan oleh 200 penunggang kuda tersebut ke kawasan pelabuhan lama di sini.

Acara tersebut diadakan bagi menarik kehadiran pelancong di bandar ini.

Pada zaman dahulu, penternak-penternak di Perancis membawa ternakan mereka di laluan sejauh 600 kilometer bagi mencari padang ragut menurut perubahan musim di negara itu. - Agensi

Kredit: www.kosmo.com.my
 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved