Jumaat, 31 Januari 2014

Kosmo Online - Negara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Negara


Empat beradik pulang ke Malaysia

Posted:

Empat beradik pulang ke Malaysia

Empat beradik pulang ke Malaysia

KUALA LUMPUR - Empat beradik yang merupakan anak kepada pasangan Azizul Raheem Awalludin dan Shalwati Norshal yang ditahan di Sweden kerana merotan salah seorang mereka yang tidak mengerjakan solat telah dibenarkan pulang ke Malaysia untuk dijaga oleh saudara mereka negara ini.

Pengerusi Sukarelawan Peguam (SukaGuam), Datuk Khairul Anwar Rahmat berkata, pihaknya mendapat kebenaran khas untuk membawa pulang anak pasangan tersebut untuk dijaga oleh keluarga di Malaysia berdasarkan prinsip kepentingan terbaik untuk kanak-kanak.

Beliau berkata, berdasarkan prinsip tersebut, kanak-kanak tersebut memang sepatutnya dijaga oleh saudara-mara mereka di Malaysia dan bukannya di bawah jagaan keluarga angkat di Sweden.

Empat anak pasangan itu ialah Aisyah, Ammar, Adam dan Arif. Kesemua mereka berusia antara tujuh hingga 14 tahun.

"Keempat-empat beradik tersebut dijangka tiba di Malaysia pagi esok (hari ini) bersama Timbalan Menteri Luar, Datuk Hamzah Zainuddin, seorang pegawai khas beliau serta seorang saudara keluarga itu," katanya ketika dihubungi semalam.

Bagaimanapun beliau berkata, tahanan reman terhadap pasangan Azizul dan Shalwaty, kedua-duanya berusia 40-an akan disambung selama dua minggu lagi.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Penagih ikat isteri macam beruk

Posted:

Penagih ikat isteri macam beruk

Penagih ikat isteri macam beruk

Oleh JULIA ISMAIL
julia.ismail@kosmo.com.my


DI rumah inlah Nor Anis diikat dengan rantai besi mengikat beruk oleh suaminya di Kampung Temusu, Limbat, Kota Bharu, Kelantan kelmarin.


KOTA BHARU – Hanya kerana tidak dapat wang yang diminta sebanyak RM100 dipercayai untuk membeli dadah, seorang suami bukan sahaja tergamak memukul isterinya menggunakan belakang kapak malah menjerutnya menggunakan rantai besi yang digunakan mengikat beruk.

Dalam kejadian yang berlaku pada petang kelmarin, kira-kira pukul 7 malam, suami wanita tersebut yang berusia 26 tahun pulang ke rumah ibunya di Kampung Temusu, Limbat di sini dan meminta wang daripada isterinya.

Menurut wanita terbabit, Nor Anis Mohamad Nor, 21, oleh kerana tidak mempunyai wang sebanyak itu, suaminya telah mengarahnya untuk keluar mencari wang itu dan dia telah pergi ke rumah rakannya yang terletak berhampiran untuk meminjam wang.

"Kawan saya tak ada wang dan ketika itu saya sangat takut lalu menghubungi bapa untuk meminta bantuan dan kemudian saya pergi ke rumah ibu saudara yang terletak berhampiran.

"Ketika berada di rumah ibu saudara, dia memukul kepala saya dengan belakang kapak dan menendang saya hingga terjatuh. Saya berjaya melarikan diri dengan nekad terjun daripada tingkap," katanya ketika ditemui di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian di sini semalam.


RANTAI mengikat beruk jenis seumpama ini yang digunakan untuk mengikat Nor Anis.


Nor Anis berkata, dia sempat melarikan diri namun suaminya berjaya menangkapnya di rumah mereka yang selang beberapa rumah dan menjerut lehernya dengan rantai besi yang digunakan untuk mengikat beruk yang pernah dibela sebelum dimangga.

"Tidak lama selepas itu polis pun sampai dan dia sempat melarikan diri," katanya.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

PM minta rakyat kekalkan keamanan

Posted:

PM minta rakyat kekalkan keamanan

PM minta rakyat kekalkan keamanan

Oleh ZULKIFLI MANZOR
zulkifli.manzor@kosmo.com.my


NAJIB (empat dari kiri) dan Rosmah (dua dari kanan) bersama Muhyiddin (kiri) dan isteri, Noorainee (kanan), Tiong Lai (tiga dari kiri) menggaul yee sang pada majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina anjuran MCA di Wisma MCA, Jalan Ampang, Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak meminta rakyat Malaysia pelbagai kaum terus berusaha mengekalkan keharmonian bagi memastikan keamanan negara ini sentiasa terjamin.

Beliau berkata, rakyat Malaysia perlu menjadikan perayaan seperti Tahun Baru Cina sebagai peringatan betapa mereka beruntung dapat hidup dalam sebuah negara yang aman dan damai.

"Saya harap perayaan ini mengingatkan pada diri kita betapa beruntungnya Malaysia berada dalam keadaan aman dan damai. Saya berharap kita semua akan terus berusaha mengekalkan keadaan ini sampai bila-bila," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina anjuran MCA di Wisma MCA di Jalan Ampang di sini semalam.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Sukan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Enggan campur tangan isu Troussier

Posted:

Enggan campur tangan isu Troussier

Enggan campur tangan isu Troussier

Oleh NADZARUL AMIR ZAINAL AZAM
amir.azam@kosmo.com.my

KHAIRY (berdiri tengah) bersama para peserta Karnival Sukan dan Kebudayaan 1Malaysia MAYC Kebangsaan di Stadium Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di Gong Badak, Kuala Terengganu semalam.


MENTERI Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin enggan campur tangan berhubung isu Phillipe Troussier yang dikaitkan dengan jawatan jurulatih baharu skuad Harimau Malaya.

Beliau menyerahkan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi memutuskan sama ada ingin mendapatkan khidmat jurulatih Perancis itu sebagai pengendali Harimau Malaya atau sebaliknya.

Bagaimanapun, Khairy berharap mana-mana jurulatih yang dilantik perlu dibuat berdasarkan Indeks Prestasi utama (KPI) sebagai penanda aras bagi memastikan skuad negara mencapai tahap yang diinginkan.

"Saya serah kepada FAM sahaja (buat keputusan), tetapi kalau nak lantik jurulatih mestilah ada KPI tertentu, lebih-lebih lagi kalau melantik jurulatih ini (Troussier) yang saya difahamkan gajinya berjuta-juta (ringgit).

"Kalau terlalu banyak syarat susahlah kita, kita mesti ada penanda aras untuk menilai prestasi, tetapi bagi saya, pelantikan ini saya tak campur tangan, FAM yang buat keputusan.

"Malah saya dah beritahu sebelum ini, tak perlu kita ambil jurulatih world class (kelas dunia) sebab kita pun belum sampai tahap itu, tapi terpulanglah," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Karnival Sukan dan Kebudayaan 1Malaysia MAYC Kebangsaan di Stadium Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di Gong Badak, Kuala Terengganu semalam.

Khairy diminta mengulas perkembangan terbaharu apabila FAM tidak lagi berminat mendapatkan khidmat jurulatih kelahiran Perancis, Troussier bagi mengendalikan skuad Harimau Malaya.

Badan induk bola sepak negara itu juga enggan meneruskan perbincangan dengan Troussier apabila bekas jurulatih Jepun itu dikatakan membuat permintaan yang agak melampau.

Malaysia kehilangan seorang legenda berpengaruh

Posted:

Malaysia kehilangan seorang legenda berpengaruh

Malaysia kehilangan seorang legenda berpengaruh


MENDIANG Choon Wah (tiga dari kiri barisan tengah) ketika bersama skuad bola sepak negara pada era 70an MALAYSIA kehilangan seorang lagi legenda berpengaruh dalam arena bola sepak


Suasana pilu menyelubungi sambutan Tahun Baru Cina buat keluarga mendiang semalam, rakan-rakan dan para peminat bola sepak tanah air dengan pemergian bekas pemain tengah tersohor negara itu pada usia 67 tahun.

Rakan sepasukannya, Datuk Soh Chin Aun berkata, mendiang mengalami serangan jantung di kediamannya di Sri Petaling dan dihantar ke Hospital Kuala Lumpur.

"Saya mendapat tahu Wong Choon Wah meninggal dunia daripada isteri mendiang. Beliau memberitahu, Choon Wah diserang sakit jantung dan terus dihantar ke Hospital Kuala Lumpur pada pukul 3 pagi tadi (pagi semalam).

"Saya memang terkejut, sebab Wong (Choon Wah) sempat menghantar SMS kepada saya dan rakan-rakan lain iaitu mesej Selamat Menyambut Tahun Baru Cina, tetapi saya hairan juga sebab SMS yang dihantar terlalu awal semalam," katanya ketika dihubungi semalam.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

FAM tetap tenang

Posted:

FAM tetap tenang

FAM tetap tenang

Oleh NAN HIDAYAT NAN AZMIE
hidayat.azmie@kosmo.com.my

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) dikatakan tidak tergesa-gesa memburu mana-mana jurulatih asing bagi mengendalikan Harimau Malaya jika gagal mendapatkan tandatangan jurulatih kelahiran Perancis, Phillipe Troussier.

Sebaliknya, badan induk bola sepak negara itu kekal mempercayai kredibiliti pengendali sementara Harimau Malaya, Datuk Ong Kim Swee menjelang aksi terakhir Kumpulan D kempen kelayakan Piala Asia 2015 berdepan Yemen bulan depan.

Sumber memberitahu Kosmo!, FAM tidak berhasrat membuat 'pembelian panik' dalam masa terdekat sekiranya hasrat mendapatkan khidmat Troussier menemui jalan buntu.

"Tiada sebarang tarikh akhir buat mana-mana pasukan kebangsaan mendapatkan jurulatih baharu.

"Jadi, FAM tidak akan tergesa-gesa mendapatkan jurulatih asing lain hanya semata-mata jika gagal mendapatkan khidmat Troussier sebelum berdepan Yemen Mac nanti.

"Jika gagal mendapatkan khidmat Troussier, tugas mengendalikan Harimau Malaya kekal digalas pengendali sementara iaitu Kim Swee sehingga calon sebenar jurulatih dikenal pasti oleh FAM kelak," kata sumber itu yang enggan namanya didedahkan kepada Kosmo! semalam.

Terdahulu, FAM dikatakan tidak lagi berminat meneruskan perbincangan dengan Troussier bagi menyandang 'kerusi panas' itu.

Ia ekoran jurulatih berusia 58 tahun itu yang ditawarkan kontrak selama tiga tahun dikatakan banyak 'songeh' ketika mengadakan rundingan bersama FAM baru-baru ini.

Selain tidak mahu FAM meletakkan sebarang KPI (Indeks Petunjuk Prestasi) terhadap beliau, Troussier juga dikatakan mahu kontrak tersebut ditamatkan dengan segera jika beliau tidak berpuas hati dengan permukaan padang, prestasi pemain mahupun pasukan atau mana-mana perkara berbangkit.

Lebih memeranjatkan, Troussier juga menuntut FAM supaya tetap membayar gaji untuk baki kontrak biarpun beliau sendiri yang menamatkan kontrak tersebut lebih awal.

Mengulas lanjut, sumber itu bagaimanapun mengakui FAM tidak memiliki sebarang pelan kedua sekiranya gagal mendapatkan khidmat Troussier bagi menggantikan Datuk K. Rajagobal yang tidak lagi disambung kontrak pada 31 Disember tahun lalu.

"Buat masa ini, FAM hanya mengadakan rundingan rasmi bersama Troussier biarpun ada nama-nama jurulatih asing yang turut disebut-sebut sebelum ini.

"Namun, FAM tidak perlu tergesa-gesa kerana masa untuk mendapatkan jurulatih berkualiti masih panjang," jelas sumber itu.

Sebelum ini, Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin mengesahkan nama jurulatih baharu Harimau Malaya dijangka diumumkan pada pertengahan bulan ini.

Namun, Hamidin tetap bersikap 'mengunci mulut' apabila enggan mendedahkan identiti sebenar jurulatih berkenaan.

Selain Troussier, jurulatih AS Roma, Zdenek Zeman; bekas jurulatih Liverpool, Alex Miller; bekas pemain Perancis, Marcel Desailly dan bekas jurulatih China dan Uzbekistan, Bob Houghton juga dikatakan berada dalam radar FAM.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Varia

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Varia


Sambutan Tahun Baru Cina di The Curve

Posted:

Sambutan Tahun Baru Cina di The Curve

Sambutan Tahun Baru Cina di The Curve


SEBAHAGIAN daripada aktiviti menarik yang dianjurkan oleh The Curve sempena menyambut kedatangan Tahun Kuda.


PELBAGAI aktiviti menarik telah direncanakan oleh The Curve, Muatiara Damansara, Selangor bagi meraikan Tahun Baru Cina yang disambut semalam.

Pusat beli-belah terkemuka itu, bukan sahaja mengadakan promosi jualan dan tawaran istimewa malah mengaturkan pelbagai persembahan hiburan dan aktiviti yang menyeronokkan bermula 10 Januari lalu hingga 4 Februari 2014.

Antara persembahan utama yang diadakan di The Curve tahun ini ialah pementasan teater muzikal bertajuk A New Beginning bagi menggambarkan keceriaan suasana pada musim bunga dan keseronokan menyambut permulaan Tahun Baru.

Persembahan muzikal ini menceritakan mengenai harapan dan tekad untuk memperbaharui keazaman.

Pengurus The Curve, Jazmi Kamarudin berkata, Tahun Baru Cina merupakan salah satu perayaan penting di negara ini. Justeru, sudah tiba masanya untuk mereka sama-sama mengukuhkan ikatan kekeluargaan dan mengeratkan hubungan sesama sanak saudara.

"Kami di The Curve berusaha untuk memberikan pengalaman manis kepada pelanggan dengan penganjuran pelbagai aktiviti di sini sempena menyambut kedatangan Tahun Kuda yang bertuah ini," katanya.

Selain persembahan teater muzikal, The Curve juga merancang beberapa aktiviti lain termasuk tarian singa akrobatik dan tarian naga yang menjadi simbol kebesaran masyarakat Cina.

Di samping itu, turut diadakan persembahan muzik klasik oleh Eastern Harmony Trio dan Rhythm of the Orient Trio pada setiap malam sepanjang perayaan Tahun Baru Cina itu.

Antara aktiviti lain yang bakal mencuit hati para pengunjung adalah persembahan tarian kanak-kanak yang berjudul Colours of Joy Dance.

Sebagai hadiah istimewa Tahun Baru Cina, sepanjang tempoh promosi perayaan ini, pelanggan yang membelanjakan RM138 ke atas dalam maksimum dua resit (ahli kad kredit OCBC hanya perlu membelanjakan RM88) bakal menerima angpau eksklusif daripada The Curve.

Dalam pada itu, The Curve turut memberi tawaran Oriental Mug bercorak seni ketimuran yang unik kepada pelanggan yang membelanjakan sekurang-kurangnya RM388 dalam maksimum dua resit (ahli kad Kredit OCBC hanya perlu membelanjakan RM338).

Para pengunjung juga akan dapat menyaksikan sendiri bagaimana ruang legar utama Centre Court bertukar wajah menjadi sebuah taman indah yang dipenuhi bunga-bunga sakura berkembang mekar.

Bagi yang berminat untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai kempen Tahun Baru Cina di The Curve, anda boleh menghubungi pegawai hubungan pelanggan The Curve di talian 03-7710 6868 atau kunjungi laman web www.thecurve.com.my atau laman Facebook the Curve di www.facebook.com/theCurveShoppingMall.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online


Pergerakan trafik kembali lancar di sebelah malam

Posted:

Pergerakan trafik kembali lancar di sebelah malam

Pergerakan trafik kembali lancar di sebelah malam

31/01/2014 11:09pm

KUALA LUMPUR - Aliran trafik dari utara dan selatan di Projek Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) sempena cuti Tahun Baru Cina telah kembali lancar seperti biasa pada malam ini.

Jurucakap Plusline yang dihubungi Bernama berkata, aliran trafik dilaporkan lancar dari Ipoh Utara menuju ke Terowong Menora dan juga di kedua-dua arah laluan Jambatan Pulau Pinang ke Seberang Perai.

Bagaimanapun, keadaan trafik bergerak perlahan dan sibuk dari Slim River ke Bidor dan dari Tapah menuju ke Gopeng kerana kesesakan kenderaan masih berlaku di kawasan itu.

Sementara itu, aliran trafik dari Nilai ke Seremban dan dari Bangunan Sultan Iskandar ke Woodland, Singapura dilaporkan lancar.

Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) pula berkata, pergerakan trafik lancar di Plaza Tol Gombak menghala ke Genting Sempah namun trafik dilaporkan sibuk di Kuala Lumpur ke Lebuhraya Karak dan sekitar Plaza Tol Bentong.

Pengguna boleh mendapatkan maklumat lanjut dan terkini dengan menghubungi talian bebas tol Plusline di 1800-88-0000 atau talian LLM 1800-88-7752 atau layari www.twitter.com/plustrafik dan www.twitter.com/llminfotrafik. - Bernama

20 unit kedai papan sederet di Pekan Air Mawang musnah terbakar

Posted:

20 unit kedai papan sederet di Pekan Air Mawang musnah terbakar

20 unit kedai papan sederet di Pekan Air Mawang musnah terbakar

31/01/2014 10:57pm



ANGGOTA Bomba cuba memadamkan api yang memusnahkan sebahagian daripada deretan kedai papan dekat sini hari ini. - KOSMO!


KUALA PILAH - Dua puluh unit kedai papan sederet musnah dalam kebakaran di Pekan Air Mawang, Johol dekat sini hari ini.

Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian yang bermula pukul 5.43 petang itu.

Sebanyak lima jentera dengan kekuatan 35 anggota, masing-masing dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Pilah, Tampin, Bahau, Telok Kemang serta Alor Gajah, Melaka dikejarkan ke tempat kejadian sebaik menerima laporan.

Pasukan Bomba Sukarela Dangi dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia turut membantu memadam kebakaran itu.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan, Shazlen Mohd. Hanafiah berkata, pasukan bomba tiba di lokasi pada pukul 5.58 petang.

"Kita berjaya mengawal api daripada merebak pada pukul 6.19 petang.

Pemeriksaan mendapati tiada kecederaan atau kematian dalam kejadian itu kerana semua pemilik sempat menyelamatkan diri.

"Pasukan bomba masih lagi menjalankan kerja-kerja memadam api sehingga pukul 9 malam untuk memastikan api dapat dipadamkan sepenuhnya," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

Beliau difahamkan, api yang berpunca daripada sebuah kedai di premis itu merebak dengan pantas berikutan cuaca kering dan berangin.

"Kita masih menyiasat punca kejadian dan anggaran kerugian yang dialami pemilik kedai terbabit," katanya. - Bernama

Gangguan bekalan air di beberapa kawasan di Selangor mulai 9 malam ini

Posted:

Gangguan bekalan air di beberapa kawasan di Selangor mulai 9 malam ini

Gangguan bekalan air di beberapa kawasan di Selangor mulai 9 malam ini

31/01/2014 8:43pm

KUALA LUMPUR - Beberapa kawasan di Selangor akan mengalami gangguan bekalan air dan tekanan rendah berikutan penyaluran air ke kolam simpanan Hicom Shah Alam terpaksa dihentikan sementara mulai pukul 9 malam ini.

Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) dalam satu kenyataan di sini hari ini berkata, gangguan itu disebabkan kerja-kerja baikpulih kebocoran paip jenis 'Mild Steel' bersaiz 1,500 mili meter yang membekalkan air ke kolam tersebut.

Kebocoran yang dikesan hari ini pada sambungan injap paip berkenaan dijangka mengambil masa sehingga pukul 5 pagi esok untuk siap dibaikpulih sepenuhnya.

"Berikutan penutupan sementara kemasukan air ke kolam Hicom ini, paras kolam simpanan air sedia ada mampu bertahan selama lapan jam untuk terus membekalkan air ke kawasan yang terjejas," menurut kenyataan itu.

Kawasan yang akan mengalami gangguan bekalan air ialah keseluruhan Seksyen 22, Seksyen 25 hingga 28 dan Seksyen 32 hingga 33, Shah Alam; keseluruhan UEP Subang Jaya; keseluruhan Bukit Naga, Shah Alam; keseluruhan Batu 8, Bukit Kemuning, keseluruhan Subang Mas, Batu 3 dan Kampung Baru Hicom, Shah Alam; keseluruhan Kampung Kebun Bunga, Bandar Putera, Putra Heights dan Kampung Bukit Lanchong.

Syabas memohon kerjasama dari para pengguna di kawasan terbabit agar mengurangkan penggunaan dan mengelakkan pembaziran sepanjang tempoh kerja-kerja pembaikan dilaksanakan. - Bernama

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Dunia

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Dunia


Tentera Syria roboh kediaman penduduk

Posted:

Tentera Syria roboh kediaman penduduk

Tentera Syria roboh kediaman penduduk

REUTERS
BEBERAPA orang meninjau sebuah bangunan kediaman yang musnah akibat
serangan udara tentera Bashar di Aleppo, Syria semalam.


BEIRUT - Kerajaan Syria pimpinan Presiden Bashar Al-Assad didakwa menggunakan bahan letupan dan jentolak untuk merobohkan beribu-ribu kediaman.

Kumpulan Human Right Watch (HRW) semalam memberitahu, kempen itu dilakukan bagi menghukum orang awam yang simpati terhadap para penentang Bashar dan mencetuskan perasaan tidak selesa dalam kalangan penduduk tersebut.

Menurut laporan setebal 38 muka surat HRW, operasi tersebut berlaku di antara Julai 2012 dan Julai 2013 di tujuh wilayah propembangkang di sekitar Damsyik dan tengah bandar Hama, Syria.

Menurut HRW, operasi perobohan itu menyalahi undang-undang antarabangsa dan meminta dunia segera menghentikan perkara tersebut.

"Menghapuskan keseluruhan kawasan kediaman bukanlah satu taktik peperangan yang dibenarkan.

"Operasi yang tidak mengikut undang-undang itu merupakan tambahan kepada senarai panjang jenayah yang dilakukan oleh kerajaan Syria, kata seorang penyelidik bantuan HRW, Ole Solvang.

Kebanyakan bangunan yang dirobohkan itu merupakan blok apartmen dan beribu-ribu keluarga kehilangan tempat tinggal akibat tindakan tersebut.

Tambahnya, kerajaan dan media negara tersebut memberitahu, operasi itu merupakan sebahagian daripada projek perancang bandar dan sebagai usaha untuk menghapuskan bangunan yang dibina tanpa kebenaran.

Peperangan saudara yang melibatkan tentera Bashar dengan kumpulan penentang di Syria bermula sejak Mac 2011 dan telah menyebbakan lebih 100,000 orang terkorban.

Para penentang Bashar itu mahu beliau digulingkan selepas gagal untuk membawa pembaharuan demokrasi di negara tersebut. - Agensi

Isteri hartawan mahu kes dibicara di Malaysia

Posted:

Isteri hartawan mahu kes dibicara di Malaysia

Isteri hartawan mahu kes dibicara di Malaysia


LENA TAN (kiri) dan WENG CHOY (kanan)


LONDON - Seorang pengurus pelaburan terkenal, Lena Tan dan suaminya yang tidak bekerja, Weng Choy kini terjerumus dalam pertikaian di mahkamah berhubung tuntutan harta perceraian berjumlah £11 juta (RM60.67 juta), lapor akhbar MailOnline semalam.

Choy, 56, menfailkan penceraian terhadap isteri- nya, Tan, 54, selepas pasangan berkenaan berteng- kar pada malam tahun baru 2011 di Singapura.

Pasangan berkenaan yang hidup mewah sepanjang 15 tahun perkahwinan mereka, mempunyai beberapa buah rumah di Hong Kong dan Malaysia serta koleksi arak bernilai £1 juta (RM5.51 juta) dan sebuah apartmen £4.5 juta (RM24.82 juta) di Kensington.

Choy kini menuntut sebahagian harta berkenaan yang berjumlah £11 juta daripada isterinya.

Tan pula mendakwa, lelaki itu tiada hak untuk menceraikannya.

Mahkamah Rayuan ini di sini semalam diberitahu bahawa pasangan itu yang mempunyai anak yang belajar di sebuah sekolah swasta berpisah pada Januari 2012.

Para peguam Choy berkata, lelaki itu berhenti kerja sebagai pegawai bank bagi menjaga kedua-dua anaknya itu.

Mahkamah Tinggi di sini sebelum ini mengesah- kan penceraian pasangan itu selepas memutuskan bahawa Choy menetap di London lebih setahun se- belum memfailkan penceraian.

Bagaimanapun, peguam Tan, James Turner dalam hujahnya di Mahkamah Rayuan menegaskan bahawa kediaman lelaki itu terdapat di Hong Kong.

"Saya juga merayu supaya menimbangkan kemu- dahan peribadi isteri yang bekerja manakala suami- nya pula tidak bekerja," katanya.

Selepas mendengar hujah kedua-dua belah pihak, panel tiga hakim yang mendengar rayuan itu kemudiannya menangguhkan kes itu pada satu tarikh lain.

Tan, 54, pula telah memulakan prosiding perce- raian di Malaysia.

Akhbar International Business Times melaporkan, Tan mendakwa, Choy tidak mempunyai hak untuk memulakan kes perceraian di Britain. - Agensi

Bekas wanita pertama Perancis terkejut skandal Hollande

Posted:

Bekas wanita pertama Perancis terkejut skandal Hollande

Bekas wanita pertama Perancis terkejut skandal Hollande


AP
GAMBAR fail menunjukkan Hollande dan Trierweiler di Istana Elysee, Paris.


PARIS - Bekas wanita pertama Perancis, Valerie Trierweiler menyatakan, dia sangat terkejut selepas mengetahui teman hidupnya, Presiden Francois Hollande mempunyai hubungan dengan seorang aktres di negara ini.

Katanya, beliau sudah berpisah dengan Hollande baru-baru ini ekoran hubungan sulit itu.

Trierweiler yang diwawancara oleh dua buah penerbitan negara itu yang dijangka disiarkan pada minggu ini, buat kali pertama menjelaskan punca yang menyebabkan mereka tidak lagi hidup bersama.

GAYET


Ketika memberitahu majalah Paris-Match, dia tidak mempercayai gosip mengenai hubungan itu sehingga ia didedahkan oleh sebuah majalah gosip lain pada awal bulan ini.

"Saya rasa seperti jatuh dari sebuah bangunan yang tinggi apabila mengetahui perkara itu," katanya.

Trierweiler memberitahu majalah Le Parisien yang dia dan Hollande berbalas mesej ketika berada di India pada minggu ini kerana bimbang dengan kesihatannya. - AP

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Pesona

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Pesona


Bifa's Collezion buka jalan vendor

Posted:

Bifa's Collezion buka jalan vendor

Bifa's Collezion buka jalan vendor

Oleh DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA


RINA memastikan setiap vendor membawa rekaan produk yang berlainan untuk mewujudkan kepelbagaian di butiknya.


PEMANDANGAN dari luar kaca lutsinar sebuah butik di The Trillium Lakefields, Sungai Besi, Kuala Lumpur sudah menampakkan keunikan pelbagai rekaan baju dan seluar berwarna-warni di patung peragaannya.

Malah, bukan sekadar menjual pakaian, seluar dan tudung, tetapi butik Bifa's Collezion ini juga menawarkan aksesori pelengkap gaya seperti kasut, cermin mata hitam, gelang, beg tangan serta pelbagai hiasan diri yang mempesonakan.

Sebelum ini, Bifa's Collezion memulakan perniagaan pakaian menerusi laman sosial Facebook, Instagram dan blog pada tahun 2010 dengan menyediakan lebih 200 rekaan pakaian muslimah, santai serta kasual.

Bagaimanapun, dengan sokongan suami tercinta, pemiliknya, Rinawati Rezmi, 26, bertekad melebarkan sayap perniagaannya dengan membuka sebuah butik pada Februari tahun lalu.

Cuma, apa yang membezakan butik ini berbanding kedai pakaian tempatan lain adalah ia menyajikan puluhan seleksi produk menarik daripada 20 vendor jenama tempatan di bawah satu bumbung sama.

Pengusaha muda yang lebih mesra dengan panggilan Rina ini berkata, selain mewujudkan kepelbagaian rekaan, dia ingin membantu pengusaha-pengusaha baharu memperkenalkan jenama masing-masing.

RINA menggayakan persalinan jenama Rinazara yang dikhususkan untuk ibu hamil.


Variasi rekaan

"Saya mempunyai lima koleksi baju rekaan sendiri di bawah jenama Rinazara, namun pilihan ini terlalu terhad. Jadi saya berpendapat berkongsi ruang niaga dengan pereka-pereka baharu adalah sesuatu yang sangat wajar dalam menyediakan variasi rekaan di butik ini.

"Selain itu, ia juga bagi memberi ruang kepada pereka-pereka muda memperkenalkan jenama mereka dan dapat menyalurkan produk kepada pelanggan dengan lebih dekat," jelasnya yang baru melahirkan anak sulungnya pada 15 Januari lalu.

Antara jenama-jenama yang terlibat di butik Bifa's Collezion ialah Phewwsion, Milyy, The Yellows, Inner Shoppe, Dress2Empress, House Of Rin, Sweety Beauty Shoppe, Pretzel Pn Is, The Pappers, Shinings Shop, AynaKL, Mini Stylista dan Zeline Shop.

Tambahnya, dia sebelum ini turut berhadapan dengan beberapa masalah berkaitan dengan saiz, warna dan kualiti yang tidak memenuhi cita rasa pelanggan menerusi jualan dalam talian.

Justeru, anak jati Kuala Lumpur ini berharap pembukaan butik tersebut dapat memberikan kepuasan dan membina keyakinan pelanggan terhadap jenama Bifa's Collezion.

Bagi pengasas jenama Mini Stylista, Nor Diyana Abd. Aziz, 28, dia memilih butik Bifa's Collezion sebagai tapak permulaan perniagaannya kerana percaya dengan kredibiliti syarikat enterprise berkenaan.

"Saya sebenarnya salah seorang daripada peminat koleksi Bifa's Collezion dan menjadikan laman Facebook menjual pakaian itu sebagai panduan dalam memilih rekaan baju terkini daripada pembekal Mini Stylista.


BARANGAN aksesori seperti kaca mata ini dijual pada harga serendah RM15.


"Namun, saya serta rakan kongsi, Nurul Hamizah Ahmad Tarmizi, 28, hanya menjual pakaian di Instagram dan apabila mengetahui butik berkenaan menawarkan ruang menjual produk, tanpa teragak-agak kami memohon untuk berkongsi kawasan," katanya yang telah meletakkan enam jenis koleksi dress dan baju di butik tersebut bermula Sabtu lalu.

Ikat kontrak

Mengulas lanjut tentang bayaran dikenakan, Rina memberitahu, dia mengenakan caj mengikut ruang yang diminta oleh vendor.

"Mereka akan mengikat kontrak permulaan selama tiga bulan dan bayaran bermula RM150 sehingga RM300 dicaj mengikut kepada keluasan ruang yang diambil untuk pameran produk mereka.

"Selain berkongsi ruang di butik ini, produk-produk mereka juga akan turut dikemas kini di laman dalam talian Bifa's Collezion," jelasnya.

Pemilik jenama Shinings Shop yang menyediakan koleksi kasut, Salina Norlan, 25, pula mengakui, perniagaan dalam taliannya menjadi semakin baik selepas meletakkan produk di Bifa's Collezion.

"Memandangkan produk saya adalah kasut, jadi pelanggan selalu berasa bimbang sama ada saiz kasut tidak muat atau terlalu besar untuk kaki mereka.

"Tetapi, selepas meletakkan 10 jenis rekaan kasut di butik berkenaan, pelanggan saya lebih berpuas hati kerana selain puas membelek gambar di Instagram, mereka boleh mencuba kasut terlebih dahulu di kedai sebelum membeli," jelasnya yang sudah menapak di dalam dunia perniagaan dalam talian sejak tiga tahun lalu.

Padanan aksesori

Meminta pendapat daripada kaca mata seorang pengunjung, Mimi Syarene Ismail, 26, memberitahu kepelbagaian di butik tersebut memberikan idea kepada dirinya dalam memadankan pakaian dengan aksesori ditawarkan.

"Sebelum ini saya pernah membeli baju dan beg tangan daripada Bifa's Collezion. Pembukaan butik ini yang menawarkan pelbagai pilihan membantu memberikan saya idea untuk menggandingkan terus rekaan terbaharu baju, tudung dengan aksesori bersesuaian.

"Harga barang-barang di butik ini juga berpatutan dan tidak lari daripada anggaran bermula RM30 sehingga RM200," katanya.

Mengulas lanjut tentang jenama itu, Rina memberitahu nama Bifa diambil sempena meneruskan legasi keluarga sebelah suaminya, Faizal Bifa Fadzillah sementara collezion bermaksud koleksi dalam bahasa Itali.

Sehingga kini, laman Facebook Bifa's Collezion menerima Like sebanyak 17,783 daripada pengunjung dengan tempahan diterima melebihi 100 pesanan setiap bulan.

Warna-warni Tahun Kuda 2014

Posted:

Warna-warni Tahun Kuda 2014

Warna-warni Tahun Kuda 2014

Oleh KHADIJAH MOHAMAD NOR


DEKORASI arca kuda yang diperbuat daripada buluh di Publika, Solaris Dutamas menyerlahkan kreativiti pengarcanya.




ACARA makan malam besar-besaran dianjurkan oleh komuniti keluarga di Wuhan yang terletak di wilayah Hubei, China.




DIANGGARKAN 3.6 bilion penduduk dunia akan mengunjungi China sempena musim perayaan tahun ini.


KEMERIAHAN sambutan Tahun Baru Cina di seluruh dunia dapat dirasai dengan paparan kepelbagaian gambar yang dirakam agensi berita antarabangsa AP, AFP dan Reuters.

KEMERIAHAN sambutan Tahun Baru Cina di seluruh dunia dapat dirasai dengan paparan kepelbagaian gambar yang dirakam agensi berita antarabangsa AP, AFP dan Reuters.

Daripada kostum naga di puncak jambatan Harbour Sydney yang berlatarbelakangkan bangunan ikonik Australia, Sydney Opera House; arca kuda gergasi yang tersergam di Taman Ditan, Beijing, China hinggalah kecomelan gelagat dua ekor penguin yang dipakaikan cheongsam di taman tema Hakkeijima Sea Paradise, Tokyo, Jepun.

Selain itu, bertempat di Akuarium Beijing, para pengunjung turut dihiburkan dengan aksi para penyelam profesional mempamerkan tarian naga di dalam air.

Di Solo, Jawa Tengah, Indonesia, kelihatan beberapa peserta berhias memakai kostum dewa Cina ketika menyertai perarakan tradisi yang dikenali sebagai Grebeg Sudiro untuk menghangatkan sambutan.

Pertandingan

Begitu juga di Yangon, Myanmar, satu pertandingan tarian naga turut sebagai signifikan meraikan kemeriahan Tahun Baru Cina.

Tidak ketinggalan, ribuan tanglung yang dihias di sekitar kawasan hub komersial dan kewangan utama China, Pudong turut menarik perhatian lensa kamera jurugambar yang bertugas.

Semuanya itu ternyata membawa keceriaan buat masyarakat Tionghua yang meraikan perayaan terbesar mereka bersama kaum keluarga masing-masing.

Mengikut kalendar lama kaum Cina, Tahun Baru Cina kali ini memberi laluan pada kedatangan Tahun Kuda yang dipercayai membawa kejayaan, pencapaian dan kekayaan buat penganutnya.

Tahun Kuda merupakan pusingan kelapan dalam kalendar zodiak Cina yang melengkapi 12 pusingan tahun mengikut kepercayaan mereka.

Sempena perayaan ini juga, dianggarkan 3.62 bilion orang akan berkunjung ke China. Migrasi besar-besaran ini secara tidak langsung akan menyebabkan berlakunya kesesakan luar biasa di republik yang mempunyai populasi penduduk seramai hampir 1.4 bilion.

Malah, situasi ini menyebabkan para penumpang tanpa rasa bersalah meninggalkan sampah di dalam kereta api yang membuat perjalanan dari Shenzhen ke Zhengzhou beberapa hari sebelum Tahun Baru Cina.

Menurut Tech in Asia, syarikat media teknologi dalam talian yang berpangkalan di seluruh Asia dan Amerika Syarikat pula, destinasi paling popular bagi perayaan Tahun Baru Cina ini ialah Beijing dan Chongqing manakala bandar-bandar hub, Guangxi dan Hunan terikat di tempat ketiga.

Makan malam

Sementara itu, di Wuhan yang terletak di wilayah Hubei, penduduk tempatan telah menganjurkan acara yang dipanggil 'Ten Thousand Families Dinner' pada 24 Januari lalu, iaitu seminggu sebelum perayaan Tahun Baru Cina disambut.

Ia merupakan satu program makan malam besar-besaran yang disajikan kepada lebih 30,000 individu dengan lebih 11,000 menu yang dimasak secara bergotong-royong oleh keluarga komuniti di kawasan tersebut.

Di samping itu, pada perayaan ini juga, makanan tradisi, yee sang merupakan hidangan utama sewaktu makan besar menjelang malam Tahun Baru Cina. Ia diikuti sajian seperti kuih bakul dan limau Mandarin sebagai pencuci mulut.

Turut dikenali sebagai Festival Musim Bunga, perayaan ini turut disambut meriah oleh masyarakat Cina di Malaysia. Malah, kebanyakan pusat beli-belah berlumba-lumba menghasilkan dekorasi paling unik untuk menarik kehadiran pengunjung.

Di Pavilion Kuala Lumpur misalnya, sebanyak 688 patung kuda hiasan memenuhi ruang legar utama pusat beli-belah berprestij tersebut sebagai simbolik meraikan kedatangan Tahun Kuda.

Di Publika, Solaris Dutamas pula, foto yang dirakam jurugambar Kosmo!, Amir Hafiz Abdul Rahman memperlihatkan arca kuda yang diperbuat daripada buluh dan diikat menggunakan tali merah sekali gus menyerlahkan daya kreativiti penghias dekorasi berkenaan.

Tahun Baru Cina akan yang diraikan selama 15 hari dan kemudian diakhiri dengan sambutan Chap Goh Mei. Selamat Tahun Baru Cina buat seluruh masyarakat Cina yang menyambut perayaan ini.

Bangun malam amalan berbaloi

Posted:

Bangun malam amalan berbaloi

Bangun malam amalan berbaloi

Ketika ujian dunia semakin sukar dan mencabar, maka amalan bangun di sepertiga malam untuk bermunajat kepada-Nya mampu memberi rasa damai kepada anak-anak dan kedua-dua ibu bapa.


ANAK-ANAK perlu dididik sejak kecil mengenai kepentingan bangun mengerjakan solat malam untuk melahirkan generasi yang bertakwa.


KEMATIAN tidak terlambat atau cepat walaupun sesaat. Maksudnya, secara mutlak kematian bukanlah disebabkan faktor umur walaupun ia sepatutnya menjadi isyarat jelas betapa setiap perubahan umur mendekatkan manusia dengan kematian.

Mengikut aturannya, mereka yang tua sepatutnya meninggal terlebih dahulu. Begitulah yang diceritakan oleh Allah SWT melalui ayat 67, surah al-Ghafir yang bermaksud:

"Dialah yang menciptakan kamu dari tanah, kemudian dari (setitis) air benih, kemudian dari sebuku darah beku, kemudian dari seketul daging; kemudian Dia mengeluarkan kamu berupa kanak-kanak; kemudian kamu (dipelihara) hingga sampai ke peringkat umur dewasa; kemudian kamu (dipanjangkan umur) hingga sampai menjadi tua dan (dalam pada itu) ada di antara kamu yang dimatikan sebelum itu."

Kita melihat realiti dunia dan kehidupan penghuninya. Contoh ketara, masa singkat kehidupan telah dilalaikan dengan keadaan dunia yang menawarkan harta, pangkat, pengaruh, kuasa dan kaum keluarga.

Lalu manusia terlupa betapa mereka pasti berhadapan dengan kematian, alam kubur dan proses kebangkitan semula untuk dihisab sebelum terjawab sama ada ditempatkan di syurga atau neraka.

Manusia dikatakan mempunyai sifat tamak dan gila kepada dunia sehinggakan mereka hilang pedoman kepada fokus sebenar kenapa mereka dijadikan. Allah SWT menyatakan isu ini melalui ayat 9, surah Yaasin yang bermaksud:

"Dan Kami jadikan (sifat tamak dan gila mereka kepada harta benda dan pangkat itu sebagai) sekatan (yang menghalang mereka daripada memandang kepada keburukan dan kesingkatan masa dunia yang ada) di hadapan mereka dan sekatan (yang menghalang mereka daripada memikirkan azab yang ada) di belakang mereka (pada hari kiamat). Lalu Kami tutup pandangan mereka; maka dengan itu, mereka tidak dapat melihat (jalan yang benar)."

Kehidupan dunia

MasyaAllah.. Subhanallah.. Allahu akbar.. Saya sendiri pernah termasuk dalam kelompok manusia terlalai yang hanya mengejar kehidupan dunia semata-mata. Contoh mudah, saya sering bangun malam secara konsisten untuk menelaah pelajaran semasa menuntut di peringkat universiti kerana mahukan kejayaan.

Saya mahu cemerlang dalam kalangan rakan sekelas dan berhasrat mendapat purata nilai gred kumulatif (CGPA) tertinggi. Bayangan untuk berjaya sebagai graduan terbaik, memperoleh pekerjaan paling mulia dan tidak akan bermasalah dengan kehidupan di dunia nyata memberi rangsangan dalaman. Saya tidak perlu dimotivasikan oleh sesiapa.

Allah ya Allah.. tidak sedikit pun ia memikirkan persoalan kehidupan selepas kematian. Buktinya nyata. Saya tidak pernah mahu memulakan kehidupan malam ketika itu dengan sujud dan bermunajat seketika kepada-Nya walaupun ia waktu yang begitu signifikan di dalam pembentukan jiwa manusia melalui hubungannya dengan Pencipta.

Baginda SAW menyatakan dengan jelas melalui satu hadis yang direkod oleh Imam Bukhari dan Muslim yang bermaksud:

"Allah SWT turun ke langit dunia ketika satu pertiga malam masih tersisa dan Allah menyeru, adakah antara hamba-Ku yang berdoa kepada-Ku, supaya Aku mengabulkan permintaannya? Adakah antara hamba-Ku yang meminta ampun kepada-Ku, supaya Aku mengampuninya? Adakah antara hamba-Ku yang meminta kepada-Ku, supaya Aku memenuhinya?"

Begitulah. Ia terus berlanjutan sehingga kaki melangkah ke alam pekerjaan dan kehidupan yang lebih mencabar. Pangkat dan jawatan dikejar kelihatan tidak pernah berkesudahan bermula dengan pensyarah, pensyarah kanan, Profesor Madya dan akhirnya Profesor.

Setiap malam saya menghabiskan masa untuk melakukan kerja-kerja ini seumpama waktu remaja yang tidak pernah memikirkan betapa masa bergerak pantas meninggalkan kehidupan dunia.

Nikmat beribadat

Masa tersebut telah berlalu. Sesekali terfikir betapa ruginya bangun malam semata-mata mengejar dunia tetapi tidak pula mengaitkannya dengan rasa nikmat beribadat sejenak secara khusus kepada-Nya.

Kini saya menyampaikan kepada anak-anak tentang kepentingan bangun pada sepertiga malam yang tersisa. Nasihat saya kepada mereka, memadailah dengan melakukan solat sunat dua rakaat (tahajjud) dan satu rakaat witir.

Kemudian berdoa dan bermunajatlah kepada-Nya. Seluruh kehidupan Insya- Allah, mempunyai pengertian berbeza. Ia tidak sesukar mana. Ketika ujian dunia semakin sukar dan mencabar maka amalan ini mampu memberi rasa damai kepada anak-anak dan kedua ibu bapa.

Kehidupan ini sungguh luar biasa. Ia waktu singkat tetapi ujiannya pelbagai. Malah keindahan dunia yang tidak seberapa ini benar-benar mempesonakan manusia.

Mereka sering terlupa yang terdapat kehidupan selepas kematian dan pengakhiran memasuki syurga Firdaus bakal memberi keindahan abadi yang tidak dapat digambarkan oleh akal manusia.

Banyak aturannya yang perlu dipatuhi. Lalu bangun pada sepertiga malam merupakan satu amalan berbaloi sebagaimana yang dianjurkan oleh Allah SWT dan Baginda SAW.

Kami mohon keampunan-Mu ya Allah. Jumpa lagi minggu hadapan. Moga damai di hati.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Hiburan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Kegembiraan dan keterujaan Megan, Jun Yong, Baki

Posted:

Kegembiraan dan keterujaan Megan, Jun Yong, Baki

Kegembiraan dan keterujaan Megan, Jun Yong, Baki

TIGA personaliti program 8TV Quickie ini mempunyai cara tersendiri dalam meraikan sambutan Tahun Baru Cina.


SEMPENA perayaan Tahun Baru Cina ini, Kosmo! menggandingkan tiga orang personaliti televisyen daripada program hiburan 8TV Quickie, Megan Tan, Baki Zainal dan Jun Yong bagi menceritakan kisah menarik mereka.

Bersua dengan tiga pengacara ini merupakan suatu pengalaman yang menarik.

Ini kerana bukan sahaja dapat mengetahui tentang cerita Tahun Baru Cina daripada kaca mata mereka, malah tentang ritual lama yang masih diamalkan kaum Cina.

Ketika menjelang Tahun Baru Cina khususnya, banyak pantang larang yang harus diikuti.

Bagaimanapun, ketiga-tiga personaliti TV ini mempunyai pandangan yang sama bahawa peredaran zaman membuatkan kesemua ritual sempena Tahun Baru Cina pupus dan kurang diamalkan oleh masyarakat moden kini.

Walaupun begitu, ada beberapa ritual atau pantang larang yang masih diteruskan oleh Megan, Jun Yong dan Baki.

Megan tak suka beraya di KL

Bicara gadis manis kecil molek ini, perancangan Tahun Baru Cina bersama keluarga tidak pernah berubah sejak kecil lagi.

Ceritanya, pulang ke kampung halaman di Pulau Pinang merupakan tradisi dan mereka sekeluarga hanya menaiki sebuah kereta walaupun kesemua adik-beradik sudah meningkat dewasa.

"Kebiasaannya, kami akan tinggal di sana sekurang-kurang- nya seminggu. Saya gembira kerana tahun ini saya akan berada di Pulau Pinang selama sembilan hari.

"Apa yang menariknya, makan besar memang satu kemestian buat kesemua ahli keluarga kami. Kami akan masak beramai-ramai.

"Namun, itu adalah ketika mendiang datuk masih ada, kini kami hanya akan pergi ke restoran untuk makan bersama," imbaunya yang mengatakan stimbot merupakan hidangan kegemaran seluruh keluarga.

Menambah cerita mengenai beraya di bandar raya Kuala Lumpur, dia pernah sekali ingin merasa sambutan di ibu negeri Malaysia itu, namun ternyata keadaan di bandar tidak meriah sebagaimana di kampung.

"Sejujurnya, ia agak membosankan kerana tidak meriah seperti di kampung. Mungkin juga kerana semua orang telah pulang ke kampung halaman.

"Kemeriahan sambutan itu tidak langsung dirasai di Kuala Lumpur dan setelah itu kami buat keputusan untuk pulang ke Pulau Pinang setiap tahun," pemilik nama sebenar Megan Tan Yue Mei berusia 25 tahun ini.

Mengenai ritual kaum Cina pula, antara yang masih diikuti oleh Megan sekeluarga ialah tidak menyapu lantai rumah sepanjang Tahun Baru Cina.

Memandangkan dia seorang penganut Buddha, maka kesemua ahli keluarganya akan melakukan upacara sembahyang di tokong bagi kebaikan di hari mendatang.

Baki cuti 15 hari

Walaupun beragama Islam, namun Baki Zainal tetap menjadikan Tahun Baru Cina sebagai perayaan yang mesti dirayakan bersama keluarga.

Ini kerana ibu Baki berdarah Cina, maka setiap tahun pasti ada peran- cangan bagi merayakan tahun baru itu bersama ahli keluarga yang lain.

"Apa yang kami gemari ketika sambutan Tahun Baru Cina ialah hari perjumpaan itu sendiri. Ini kerana ia merupakan hari yang mana semua ahli keluarga berkumpul dalam satu rumah untuk jamuan makan besar menjelang Tahun Baru Cina.

"Antara perkara menarik dalam keluarga saya ialah kepelbagaian makanan yang dihidangkan. Ia termasuk kari, abalon, sup dan kadangkala kami adakan barbeku.

"Kemeriahan setiap kali menjelang perayaan ini adalah perkara yang sangat saya suka," tuturnya yang menyambut perayaan ini di rumah bot milik keluarganya di Sementa, Kelang, Selangor.

Tuturnya teruja, oleh itu dia telah diberikan cuti selama 15 hari dan akan meluangkan masa tersebut bersama keluarga dan rakan-rakan yang lain.

Menariknya tentang Baki, walaupun dia bukan berbangsa Cina, namun pengetahuan dirinya tentang pantang larang dan masyakarat Cina dalam menyambut Tahun Baru Cina sangat luas.

"Salah satu sebab antara Tahun Baru Cina merupakan hari yang paling meriah adalah kerana menurut legenda, ia berkenaan cerita tentang menghalau lebah.

"Maka, dengan itu mereka terpaksa memasang mercun untuk menghalau lebah yang datang. Cerita yang lain pula, lagi kuat bunyi mercun itu, lagi besar kejayaan yang bakal diperoleh," cerita jejaka berusia 33 tahun ini.

Ungkapnya lagi, sebagaimana perasaan gembira ketika menyambut Hari Raya Aidilfitri, maka begitu juga perasaan yang dirasai ketika menjelang Tahun Baru Cina.

Jun Yong tak potong kuku

Walaupun masih muda, gadis cantik yang selesa disapa sebagai Jun Yong ini masih mengamalkan beberapa ritual tradisional yang sering dilakukan menjelang Tahun Baru Cina pada setiap tahun.

"Kebiasaannya, beberapa hari sebelum sambutan tahun baru, kami akan membersihkan keseluruhan rumah.

"Saya akui itu merupakan perkara yang kurang saya gemari.

"Selain itu, setiap tahun juga saya dan ibu akan pergi ke salun untuk menata rias kuku.

"Ini kerana kami tidak akan memotong kuku sepanjang 15 hari Tahun Baru Cina.

"Begitu juga dengan rambut, jadi apa yang kami buat ialah melakukannya sebelum Tahun Baru Cina," tutur gadis berusia 22 tahun ini yang juga berasal dari Pulau Pinang.

Bercerita lanjut mengenai perancangan untuk Tahun Baru Cina kali ini, ujar Jun Yong, setelah neneknya tinggal di Subang, maka kesemua ahli keluarganya akan berkumpul di sana.

Justeru, cuti selama seminggu yang diberi majikannya akan dihabiskan bersama keluarga serta melawat saudara-mara dan rakan-rakan di sekitar kawasan Lembah Klang.

Bagaimanapun katanya, walaupun kini menyambut Tahun Baru Cina di Kuala Lumpur, perbezaan ketara beraya di kampung tetap dirasai.

"Ketika masih kecil, saya akan pulang ke Johor iaitu kampung bapa saya ketika datuk dan nenek saya masih ada.

"Ini kerana bapa saya punya 10 orang adik-beradik. Memandangkan mereka ramai, jadi setiap kali berkumpul, pastinya sangat meriah.

"Antara kenangan yang menarik buat saya adalah kebanyakan sepupu saya lelaki dan saya hanya ada seorang sepupu perempuan.

"Justeru, kami yang perempuan ini juga ikut aktiviti mereka seperti memanjat pokok, memberi haiwan ternakan makan dan seumpamanya," kata- nya.

Jun Yong percaya, peredaran zaman yang kini sudah moden membuatkan perkara sedemikian tidak diamalkan lagi.

Linda yakin masih popular

Posted:

Linda yakin masih popular

Linda yakin masih popular

Oleh HARYATI KARIM

LINDA diapit oleh Zulhuzaimi (kiri) dan Zul Suphiaan yang bergandingan dengannya dalam telemovie Mengapa Ku Diseksa.


SELEPAS meraih populariti bersama kumpulan Elite pada zaman remajanya, Linda Rafar yang kini berusia 34 tahun, aktif sebagai pelakon.

Bagaimanapun, minatnya dalam bidang nyanyian tidak pernah ditinggalkan. Buktinya pada tahun 2005, ibu kepada empat orang anak ini pernah menghasilkan album duet berjudul S.I.S pada tahun 2005 bersama adiknya, Diana Rafar.

Terbaharu, Linda yang ditemui di lokasi penggambaran telefilem untuk Tribute P. Ramlee yang berjudul Mengapa Ku Diseksa di Rawang, Selangor, baru-baru ini memberitahu, dia bakal kembali memeriahkan industri seni suara.

Ikuti temu bual Kosmo! bersama isteri kepada pelakon Syed Aiman Syed Mahmud ini.

Kosmo!: Apakah yang membuatkan Linda ingin merakamkan album selepas sekian lama?

LINDA: Selepas kumpulan Elite berpecah, saya sebenarnya masih aktif menyanyi setiap minggu, cuma orang tidak tahu sebab saya jarang muncul di media. Jemputan yang tidak putus-putus itu membuktikan saya masih lagi laris sebagai penyanyi. Jadi, saya fikir lebih baik keluarkan album.

Adakah Linda yakin album itu akan mendapat sambutan kerana semua kos album ditanggung anda sendiri?

Saya menghasilkan mini album iaitu enam buah lagu sahaja. Setakat ini sudah ada dua buah lagu, iaitu Cun Melecun dan Dia. Penerimaan peminat saya tidak tahu tetapi saya berusaha mencari lagu yang terbaik.

Zaman Elite sudah berlalu, adakah Linda yakin anda masih popular?

Susah saya nak cakap. Apa yang saya lihat, rezeki anggota Elite sampai hari ini masih ada. Cuba lihat anggota Elite yang lain, walaupun sudah tidak menyanyi, ada yang berlakon, berniaga dan ada yang sudah tidak aktif tetapi mereka masih lagi meraih perhatian khalayak. Maknanya kami semua masih panas dalam pasaran.

Apakah yang Linda harapkan apabila kembali menyanyi?

Sasaran saya bukan lagi untuk meraih populariti kerana semua itu saya sudah peroleh ketika bersama Elite. Apa yang saya harapkan, hanya untuk memeriahkan industri dan bidang seni sebenarnya terapi untuk diri saya sendiri.

Khabarnya Linda sudah memperlahankan kerjaya sebagai pelakon. Apakah sebabnya?

Sekarang saya sudah memiliki keluarga dan juga perniagaan produk kecantikan yang dikongsi bersama rakan iaitu LR Flawless Skincare. Waktu saya terbatas, jadi saya amat memilih tawaran lakonan. Jika penggambaran mengambil tempoh yang panjang dan di luar Kuala Lumpur, saya tidak akan terima.

Adakah Linda menggunakan populariti diri untuk melariskan produk?

Ya, saya akui perkara itu. Sebagai artis, saya mempunyai pengikut yang ramai di Facebook, Twitter dan Instagram. Jadi, saya menggunakan

platform yang ada untuk mempromosikan produk secara percuma. Lebih mudah orang mengenali produk saya kerana saya artis dan saya sendiri menjadi duta kepada produk keluaran sendiri.

Setakat ini bagaimanakah progres perkembangan perniagaan anda?

Alhamdulillah, sejak produk dipasarkan lima bulan lepas saya sudah ada 50 orang stokis dan 100 ejen di seluruh negara. Selalunya peminat tanya apa rahsia kecantikan saya, jadi produk inilah yang saya kongsi bersama mereka.

SYJ tidak akan berpecah

Posted:

SYJ tidak akan berpecah

SYJ tidak akan berpecah


KUMPULAN SYJ mengakui markah rendah yang mereka perolehi rendah antaranya disebabkan mereka mengutarakan persembahan bertemakan silent comedy yang kurang meraih perhatian peminat program Maharaja Lawak Mega 2013.


SAINGAN suku akhir Maharaja Lawak Mega 2013 (MLM 2013) yang berlangsung pada minggu lalu di Dewan Wawasan, Jitra, Kedah menyaksikan kumpulan SYJ tersingkir setelah mendapat markah terendah.

Kumpulan yang dianggotai oleh Jihan, Yassin dan Syuk sekadar memperoleh markah sebanyak 53 peratus, berbanding Shiro yang berada di tangga teratas dengan 68 peratus, diikuti Jambu (66 peratus), Nabil (65 peratus), Sepahtu (65 peratus) dan Bocey (63 peratus).

Salah seorang anggota SYJ, Jihan berkata, mereka berasa agak kecewa apabila tersingkir tetapi berasa bangga kerana berjaya mara sehingga ke peringkat suku akhir dan bersaing dengan peserta yang hebat.

"Ini merupakan suatu kebanggaan buat kami kerana SYJ baru sahaja ditubuhkan untuk menyertai MLM 2013. Kami akui SYJ bukanlah peserta yang popular dan itu yang menyebabkan kami gembira dengan pencapaian yang diraih ini.

"Kalau diikutkan, kami agak kurang mendapat undian daripada penonton. Jadi, kami terpaksa berusaha lebih keras supaya mendapat markah yang lebih tinggi daripada barisan juri tetap," jelasnya.

Mengulas lebih lanjut mengenai penyingkiran mereka itu, Jihan menyatakan bahawa antara faktor utama ialah persembahan pertama mereka yang bertemakan silent comedy yang kurang mendapat perhatian.

Menurutnya, tema yang ditetapkan itu agak menyukarkan buat mereka yang baru kali pertama bergandingan sehingga persembahan yang ditampilkan itu kurang menyengat dan sekadar mendapat dua bintang sahaja daripada salah seorang juri iaitu Nora Danish.

"Kami akui mengalami kesukaran untuk mendapatkan idea bagi tema silent comedy berbanding Karoot Komedia untuk persembahan kedua. Malah, idea yang diperoleh juga adalah pada saat-saat akhir.

"Bagaimanapun, kami tetap berusaha untuk tampil dengan persembahan terbaik pada malam ini. Cuma, kami beranggapan apa yang kami tampilkan dalam persembahan itu kurang difahami juri dan penonton," luahnya.

Seorang lagi anggota SYJ iaitu Syuk berkata, meskipun gagal untuk meneruskan saingan dalam MLM 2013, ia bukanlah penamat kepada kumpulan tersebut kerana mereka akan terus bersama pada masa akan datang.

Ujarnya, jika pertandingan tersebut diadakan pada masa akan datang, SYJ akan cuba memberikan saingan sekali lagi dan mereka sesekali tidak akan berpecah setelah gagal buat kali pertama.

"Pada mulanya agak sukar buat kami bertiga mendapatkan keserasian memandangkan tidak pernah bekerjasama sebelum ini. Namun begitu, semakin lama, kami bertambah selesa sehingga mampu layak ke saingan suku akhir.

"Tidak dinafikan peserta lain yang berjaya ke saingan seterusnya memang cukup popular dan mempunyai kekuatan masing-masing. Jadi, kami akur dengan penyingkiran yang telah dibuat ini," ujarnya.

Bersikap terbuka

Mengulas lanjut mengenai persembahan para peserta yang bertanding, Datuk Yusof Haslam selaku salah seorang juri tetap berkata, semuanya telah tampil dengan persembahan yang baik kecuali SYJ yang dilihat cukup lemah dalam persembahan silent comedy.

Ujarnya, dengan tinggal lima peserta yang bersaing ke separuh akhir, pihak juri yakin saingan akan menjadi lebih sengit dan masing-masing pastinya mempunyai strategi untuk merebut gelaran juara yang menawarkan hadiah wang tunai RM500,000.

"Kalau melihat kepada persembahan para peserta, ada yang cuba mengenakan barisan juri. Misalnya, seperti kumpulan Jambu yang melabel saya sebagai seorang pemandu sehingga mendapat sorakan penonton.

"Saya anggap perkara tersebut bukanlah menjadi satu masalah yang besar dan sebagai juri saya perlu bersikap terbuka dan tidak ambil hati.

"Lagipun apa yang dilakukan itu merupakan kreativiti tersendiri mereka sehingga menghidupkan lagi suasana menjadi lebih meriah," ujarnya.

Dengan penyingkiran SYJ, saingan MLM 2013 kini tinggal lima peserta iaitu Shiro, Sepahtu, Jambu, Nabil dan Bocey yang akan merebut tempat untuk bersaing pada peringkat akhir.

Kredit: www.kosmo.com.my
 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved