Kosmo Online - Rencana Utama |
- Kongsi kesengsaraan penduduk setempat
- Cacat dianggap sumpahan tuhan
- Menjernihkan silaturahim Malaysia-Indonesia
Kongsi kesengsaraan penduduk setempat Posted: Kongsi kesengsaraan penduduk setempatSEJAK kematian jurukamera BernamaTV Noramfaizul Mohd. Nor akibat ditembak ketika bertugas membuat liputan misi kemanusiaan di Somalia pada 2 September lalu, penulis banyak diajukan soalan. "Adakah berbaloi wartawan menggadai nyawa di kawasan bencana dan bergolak?" Ramai yang tidak percaya pengamal media seperti kami membuat liputan ke tempat-tempat sebegini dengan rela hati dan bukan semata-mata kerana ditugaskan. "Ya", kami ditugaskan ke sana dan "Ya" juga kepada soalan bahawa kami pergi dengan rela hati kerana naluri kemanusiaan kami kuat untuk melihat dan membantu memaparkan penderitaan rakyat akibat pelbagai pergolakan di dunia. Misi bantuan kemanusiaan ke Somalia bermula dari 28 Ogos 2011 anjuran Kelab Putera 1Malaysia yang diketuai oleh Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim. Kami pergi dua hari sebelum umat Islam di Malaysia menyambut Aidilfitri. Namun tekad untuk berkongsi kesengsaraan yang dirasai oleh penduduk Somalia mengatasi segala-galanya. Kami berdepan dengan situasi yang hampir sama pada tahun lalu. Ketika itu umat Islam sedang bersiap menyambut Ramadan manakala penulis dan Allahyarham Noramfaizul, yang lebih mesra dipanggil Faizul, sibuk berkemas membuat persediaan untuk menyertai misi kemanusiaan ke Semenanjung Gaza, Palestin. Beberapa hari selepas pulang dari Gaza pada 3 September 2010 menjelang Aidilfitri, kami bergegas pula ke Pakistan bagi membantu mangsa banjir paling buruk di negara itu. Ada apa di Gaza, Pakistan dan Somalia? Semenanjung Gaza kami sifatkan sebagai penjara besar bagi rakyat Palestin. Melihat kehidupan penduduk di situ, penulis dapat merasakan seksa penindasan yang dilakukan rejim Israel terhadap rakyat Palestin. Pendorong semangat Faizul dan penulis untuk menyertai misi ke Gaza tercetus daripada peristiwa serangan tentera regim Israel ke atas kapal bantuan Mavi Marmara yang turut membawa sukarelawan Malaysia dan mengorbankan berbelas sukarelawan dari Turki. Walaupun untuk memasuki Gaza cukup sukar kerana kami terpaksa menunggu selama tiga jam untuk melepasi imigresen di Mesir dari sempadan Rafah, namun masih terkeluar kata-kata; "Dik, kita beruntung dapat mengikuti misi ini," ungkap Allahyarham Faizul. Benar, apa yang beliau luahkan kerana pengalaman melihat sendiri penderitaan rakyat Palestin sememangnya tidak cukup untuk digambarkan dengan kata-kata atau tulisan. Namun melalui rakaman lensa kamera video Faizul, setidak-tidaknya penonton BernamaTV dapat melihat sendiri keadaan di sana dan kesengsaraan penduduk Palestin. Keadaan dii Gaza Secara fizikalnya, kesan serangan tentera Israel pada penghujung tahun 2008 dan awal 2009 masih dapat dilihat melalui rumah dan bangunan yang berlubang-lubang. Bahkan ada yang runtuh menyembah bumi akibat ditembak dan dibom. KEMARAU yang teruk dan pergolakan menyebabkan rakyat Somalia menderita kebuluran. Serangan kejam itu menyebabkan lebih 2,000 rakyat Palestin terkorban, berbelas ribu lagi cacat dan lebih 80,000 penduduk kehilangan tempat tinggal. Tekanan ekonomi turut menghimpit sejumlah 1.5 juta penduduk Gaza dan pengangguran mencecah 70 peratus. Seorang sukarelawan dari Australia, Dr. Jean E. Calder yang berkhidmat di Kolej Pembangunan dan Keupayaan Khan Younes dan menetap di Gaza selama lebih 15 tahun berkata, parut serangan Israel memberi kesan psikologi yang mendalam kepada kanak-kanak Palestin. "Perasaan trauma dan takut kepada bunyi letupan terbawa-bawa sehingga ke dalam mimpi. Ia sukar untuk dihilangkan. Jika trauma generasi muda ini gagal disembuhkan, ia akan memberi impak negatif terhadap masa depan Palestin," kata Dr. Jean. Faizul yang ketika itu tidak puas merakamkan visual sekitar tempat kami dibawa. Beliau mahu ke terowong penyeludupan Gaza yang dianggap penyambung nyawa rakyat Palestin. Terowong bawah tanah itu dijadikan laluan penyeludupan bahan mentah dikatakan dari Mesir selepas wilayah itu dikenakan sekatan rejim Zionis sejak tahun 2007. Tel Aviv kerap menuduh laluan rahsia itu digunakan untuk penyeludupan senjata api sehinggakan kerajaan Mesir suatu ketika bertindak menutupnya. Beratus-ratus rakyat Palestin mati semasa menggunakan terowong itu semata-mata untuk mendapatkan bekalan makanan dan keperluan asas untuk hidup. Keperitan penduduk Palestin menggunakan terowong itulah yang membuatkan Faizul meminta kebenaran ketua media yang mengikuti misi di Gaza, Azman Md. Noor untuk pergi ke terowong berkenaan. "Misi kita tak lengkap kalau visual terowong tu kita tak rakam. Ia sebahagian tanda perjuangan rakyat Palestin untuk meneruskan kehidupan," katanya. Atas desakan Faizul rombongan itu sampai ke kawasan yang mempunyai beratus-ratus terowong penyeludupan yang panjangnya berpuluh-puluh kilometer menghubungkan Gaza dan sempadan Mesir. Terowong-terowong berkenaan ada yang hanya boleh dilalui seorang individu dan ada juga yang boleh dilalui lori pengangkut barang. Sepanjang berada di tempat-tempat ini Faizul sering mengingatkan penulis supaya tidak berpisah jauh daripadanya. "Dik, kau jangan pergi jauh dari abang, kawasan ni berbahaya. Abang tak nak sesuatu berlaku pada kau." Begitulah tahap kewaspadaan kami ketika berada di kawasan tidak selamat yang pada bila-bila masa sahaja boleh diserang atau terperangkap dalam serangan puak-puak yang terlibat dalam sesuatu konflik. Bencana terburuk Kami juga bergerak dari satu lokasi ke satu lokasi menggunakan kenderaan yang dilindungi umpamanya di Gaza, kami menaiki kenderaan Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin. Semasa di Gaza, misi Kelab Putera 1Malaysia yang dinaungi Perdana, Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berjaya menghulurkan bantuan kepada 5,000 rakyat Palestin di Gaza City, Jabalyah, Der Al Balah, Khan Younis, Rafah dan Saifa. Lain pula keadaannya di Pakistan yang kami jejaki dari 3 hingga 11 September 2010. BANJIR yang melanda Pakistan pada bulan Julai 2010 adalah bencana terburuk di negara tersebut dalam tempoh lapan dekad. Banjir yang melanda negara berkenaan pada bulan Julai 2010 adalah bencana alam terburuk di Pakistan dalam tempoh lapan dekad. Bencana itu menyebabkan lebih 2,000 nyawa terkorban, tanaman musnah, binatang ternakan mati, satu juta penduduk kehilangan rumah dan 20 juta lagi terjejas kehidupan mereka. Kira-kira 3.5 juta kanak-kanak terdedah kepada pelbagai jenis penyakit akibat bencana alam itu. Pakistan juga diancam dengan wilayah bergolak. Dalam keadaan cuaca panas mencecah sehingga 40 darjah Celsius dan perjalanan jauh dari satu tempat ke satu tempat yang adakalanya memakan masa hingga lapan jam, sememangnya suatu pengalaman yang tidak boleh dilupakan terutama anggota misi beragama Islam yang sedang berpuasa. Jalan tidak berturap ke kawasan berkenaan amat mencabar mental dan fizikal, sehingga ada ketikanya kami terpaksa keluar dari kenderaan bagi membolehkan kenderaan yang membawa kami melepasi halangan aliran air. Malah kami juga sentiasa berwaspada terhadap sebarang serangan daripada pihak yang berniat untuk merampas barang bantuan. Sepanjang sembilan hari di Pakistan, penulis melihat kelemahan operasi penyaluran bantuan sehinggakan kesengsaraan mangsa banjir diburukkan lagi dengan konflik bersenjata kumpulan pemberontak. Visual kanak-kanak yang kotor dan berpenyakit, penempatan sementara yang mempunyai beribu-ribu khemah yang daif dam mangsa bencana yang berebut-rebut mengambil barang bantuan dan makanan, dirakamkan sepenuhnya oleh Faizul. Selepas misi ke Gaza dan Pakistan, pada bulan Februari 2011, Faizul mengikuti misi bantuan kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia ke New Zealand bagi membantu mangsa bencana gempa bumi sementara penulis pula membuat liputan Misi Kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia membantu mangsa gempa bumi, tsunami dan bencana loji nuklear di Jepun pada Mac 2011. |
Posted: Cacat dianggap sumpahan tuhanSEORANG peserta perlumbaan basikal roda tiga untuk golongan OKU sedang mengayuh di sebatang jalan di Ahmedabad, India. SEORANG pakar psikiatri, Fabian Almeida terkejut apabila sebuah pertubuhan koperasi di sebelah kliniknya yang terletak di luar Mumbai menulis kepadanya mengenai pesakitnya yang menderita akibat isu kesihatan mental. Dia diberitahu bahawa mereka yang menerima rawatan akibat masalah kesihatan mental seperti kemurungan dan gangguan obsesif kompulsif, hiperaktif dan disleksia menjadi gangguan kepada penduduk setempat dan harus dikurung di rumah. "Mereka menuduh golongan berkenaan menyebarkan kuman," katanya melalui telefon dari sebuah pekan di Kalyan, negeri Maharashtra di India. Pengalaman yang dialami Almeida bukanlah sebuah kes terpencil di India. Kebimbangan terhadap hal itu sudah lama bertapak di negara tersebut yang sebenarnya mempunyai 40 hingga 90 juta orang bermasalah mental dan kekurangan upaya fizikal. "Negara berkenaan masih belum bersedia membantu penduduknya," kata Aqeel Qureshi, seorang aktivis hak orang kelainan upaya (OKU) yang menguruskan laman web Disability News India dan kempen untuk memupuk hubungan lebih baik dengan OKU. Qureshi yang menggunakan kerusi roda memberitahu, dia pernah tersadai di terminal lapangan terbang antarabangsa New Delhi yang bernilai AS$2.7 bilion (RM8.6 bilion) selama dua jam awal tahun ini kerana masalah kerosakan lif. Dia juga pernah terlepas penerbangan kerana pesawat tidak mempunyai lif. OKU juga tidak dibenarkan menaiki pesawat di beberapa lapangan terbang. Di pekan-pekan dan bandar di India, lorong pejalan kaki yang tinggi, jalan yang tidak berturap dan tidak diselenggara, tangga serta laluan yang tidak mesra OKU merupakan perkara biasa. Semua itu menjadikan kehidupan seharian begitu susah dan mustahil untuk golongan berkenaan. Bas yang padat dan anak tangga yang tinggi untuk dilangkah, kesesakan penumpang dalam kereta api yang hanya berhenti selama 30 saat di stesen atau kekurangan tandas untuk golongan kurang upaya menambahkan lagi masalah itu. Di Mumbai, laluan pejalan kaki baharu dipasang di simpang-simpang yang sibuk tetapi isyarat bersuara yang dipasang untuk memberitahu mereka yang cacat penglihatan untuk melintas telah ditutup. Penduduk membuat aduan bahawa isyarat berkenaan terlalu bising, berdasarkan laporan akhbar Hindustan Times minggu lalu. Kurangnya kesedaran dan tiada berkomunikasi dengan golongan kurang upaya atau kumpulan yang mewakili mereka dikatakan menjadi punca utama, kata Qureshi. SEORANG peminta sedekah OKU sedang meraih simpati di hadapan sebuah masjiddi New Delhi. "Masalah dengan pihak berkuasa di sini adalah mereka fikir mereka terlalu bijak dan mereka tahu apa yang rakyat mereka perlukan. Ia adalah masalah sikap," keluhnya. Keperluan asas Masyarakat dilihat tidak membantu golongan yang amat memerlukan. Sebab itulah kebanyakan OKU tidak mempunyai bimbingan dan kuasa. "Keperluan asas untuk mereka adalah infrastruktur yang lebih baik supaya mereka dapat keluar dari rumah dan hidup seperti orang normal yang lain," kata Qureshi. Bank Dunia melaporkan bahawa OKU ialah antara golongan terpinggir dalam masyarakat India dan 50 peratus daripada hasil tinjauan mendapat respons bahawa golongan OKU adalah sumpahan daripada tuhan. "Banyak lagi keperluan harus dilakukan demi pelaksanaan dan mendapatkan hak keperluan asas," jelas organisasi berkenaan yang mahu mewujudkan integrasi lebih besar terhadap OKU dalam masyarakat India. Para pengkaji mendapati bahawa OKU di India sering dilihat sebagai menerima balasan akibat kesilapan yang mereka lakukan dalam kehidupan terdahulu, terutamanya di kawasan pedalaman. Ia juga dilihat sebagai menjatuhkan status keluarga berkenaan di India, khususnya apabila status sosial melalui perkahwinan masih kuat dipegang. Sesetengah masyarakatnya berpendapat, perkembangan ekonomi pantas di India yang didorong sektor pembinaan di bandar-bandar besar merupakan peluang emas untuk membina bangunan baharu yang dilengkapi kemudahan untuk golongan OKU. Akta Kurang Upaya yang diwujudkan pada tahun 1995 dianggap sebagai paling progresif berbanding negara-negara membangun lain, walaupun pelaksanaannya tidak berjalan sepenuhnya. Mesej filem Industri filem Hindi di Bollywood juga turut membantu meningkatkan kesedaran mengenai penyakit-penyakit seperti disleksia dan Sindrom Asperger sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Almeida memberitahu kemajuan telah dapat dilihat, terutamanya mesej-mesej sokongan yang diterima dikliniknya selepas mendedahkan isi surat tidak puas hati dari premis bersebelahan klinik tersebut. "Insiden seperti ini menjadi penghalang kepada kemajuan negara. Sesetengah orang memilih untuk tidak ambil peduli," katanya yang menggunakan teknik yoga, terapi seni dan sukan untuk membantu pesakit di kliniknya. Namun, India perlu melakukan lebih banyak usaha untuk menangani masalah seperti kemurungan dan kelemahan fizikal yang meningkat seiring penuaan populasi, tambahnya. "Saya fikir kita perlu diberikan lebih perkhidmatan kesihatan mental dan menangkis pandangan dan tabu mengenainya. Masih banyak yang perlu dilakukan," ujarnya. |
Menjernihkan silaturahim Malaysia-Indonesia Posted: Menjernihkan silaturahim Malaysia-IndonesiaOleh ZAMRI RAMBLI SEMOGA dengan inisiatif dan komitmen positif ini, tiada lagi perbalahan dan persengketaan membuta tuli yang mengancam keharmonian hubungan kedua-dua negara. PASANG surut hubungan Malaysia-Indonesia bukan berlangsung dalam tempoh sehari atau setahun dua. Mengambil titik mula sejak zaman konfrantasi pada tahun 1963, lewat kebelakangan ini perbalahan hubungan yang dikatakan serumpun itu dilihat begitu acap tercetus. Mengambil contoh tahun 2002 mengenai perebutan Pulau Sipadan dan Ligitan dan tahun 2005 pemilikan Ambalat, kemudian isu-isu seperti penderaan tenaga kerja atau pencerobohan nelayan di perairan juga sudah selalu menjadi percakaran yang diperbesarkan sehingga menaikkan kemarahan rakyat. Malah peliknya, perkara yang menjadi kebersamaan turut dijadikan 'konflik' sehingga slogan yang pernah disebut oleh Presiden Soekarno, Ganyang Malaysia pada tahun 1960-an kembali bermain di bibir warga Indonesia. Perkara kebersamaan itu termasuklah lagu Rasa Sayang, batik dan sajian lemang. Lebih malang, apabila percakaran tersebut berlanjutan dengan kejadian mencabar maruah seperti ugutan penggunaan buluh runcing, melempar najis di Kedutaan Malaysia di Indonesia serta membakar bendera negara. Menyedari betapa, hakikatnya seteru Malaysia-Indonesia banyak terbawa-bawa daripada isu yang remeh bahkan, termasuk hal-hal kebersamaan yang sebenarnya tiada berpenghujung, maka banyak pihak yang mencari jalan untuk mengakrabkan hubungan dua negara. Bak kata Gabenor Sumatera Barat, Profesor Irwan Prayitno: "Media berhentilah mengejar rating," membuktikan beliau menyedari ada sesetengah media terutamanya di Indonesia gemar menaikkan api kemarahan rakyat dengan isu sentimen untuk melariskan saluran TV, akhbar atau online masing-masing. Inisiatif Iswami Sekumpulan wartawan kedua-dua buah negara turut menyedari betapa, media sebenarnya boleh menjadi pencetus peperangan atau juga menjadi pendamainya. Memilih untuk menjadi pendamai, maka terwujudlah apa yang dinamakan Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia-Indonesia atau singkatannya Iswami sejak dua tahun lalu. Merintis pelbagai program melibatkan politik, ekonomi, pendidikan dan sosial sejak tahun 2009, minggu lalu Iswami mengumpulkan lebih 300 wartawan dan budayawan kedua-dua buah negara di Bukit Tinggi, Sumatera Barat, Indonesia untuk satu pertemuan julung-julung kali yang bertemakan: Kita Jalinkan Hubungan Malaysia-Indonesia Yang Harmonis dan Bermartabat. TANDA hubungan setia kawan yang lebih akrab Rais (tengah) bersama (dari kiri) Irwan Prayitno dan Menteri Komunikasi dan Informatika Indonesia, Tifatul Sembiring. Walaupun pertemuan yang mengumpulkan tokoh wartawan dan budaya dari kedua-dua negara seperti pelakon Datuk Tamimi Siregar, bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin, budayawan Indonesia, Taufik Ahmad dan tokoh wartawan Indonesia, H. Basril Djabar disulami dengan banyak isu-isu panas, namun pada akhirnya semua bersetuju untuk menyahut seruan sebuah bangsa serumpun yang jauh daripada perbalahan isu-isu remeh. Bahkan, dalam pertemuan tersebut juga wartawan dan budayawan diterajui oleh Ketua Iswami Indonesia, Saiful Hadi dan Timbalan Pengerusi Iswami Malaysia, Datuk Chamil Wariya, melafazkan ikrar yang dinamakan Ikrar Bukit Tinggi. Ia ikrar sebulat hati yang bukan sahaja janji untuk membantu secara proaktif mengukuhkan hubungan kedua-dua negara, memupuk persamaan dan persefahaman bahkan, membentuk perilaku wartawan dan kewartawanan yang lebih bertanggungjawab. Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim, melihat wartawan, budayawan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga mempunyai peranan yang sangat besar kerana lebih dekat atau lebih mudah menyentuh hati masyarakat. "Media tidak seharusnya saling mencabar atau mengapi-api sesama kita, sedangkan asal usul kita sebenarnya daripada susur galur yang sama iaitu Melayu. Seharusnya kebersamaan itulah yang perlu kita gali untuk mengeratkan hubungan. "Malah, kalau dulu kita ada P. Ramlee, S. Effendi, D'Lloyd kemudian kini kita ada Siti Nurhaliza dan Upin Ipin, kita wajar menambahkan lagi jumlah budayawan serantau. "Bahkan, dengan bahasa Indonesia dan bahasa Malaysia yang serumpun kita boleh menyarankan ia menjadi bahasa rasmi Asia Tenggara kerana kita mempunyai lebih 300 juta penutur termasuk di Singapura, selatan Thailand dan Brunei," katanya. Susur galur serumpun Tokoh wartawan dan Pemimpin Redaksi ahkbar Harian Haluan, Hasril Chaniago, menarik para peserta dengan hakikat bahawa tiga suku kaum Indonesia yang banyak terdapat di Malaysia iaitu Minangkabau, Bugis dan Jawa menyebabkan kita berkongsi banyak kebersamaan. Beliau juga mendalami mengenai susur galur suku Minangkabau termasuk melalui gambar tiga orang berketurunan Minang di mata wang Ringgit Malaysia, Rupiah dan Dolar Singapura untuk melihat betapa serumpunnya bangsa di nusantara ini. Tiga individu tersebut ialah Yang di-Pertuan Agong pertama Malaysia, Tuanku Abdul Rahman, Presiden Pertama Indonesia, Soekarno serta Timbalan Presiden Pertama Indonesia, Mohammad Hatta dan Presiden Pertama Singapura, Yusof Ishak. Justeru akuinya, peranan wartawan sesama wartawan seperti yang sedang dilakukan pada hari ini adalah sangat penting dan strategis. "Kita sebagai wartawan dunia Melayu patutlah berperanan sebagai penjaga atau jurukunci pendapat umum. Kita patutlah mengutamakan pegangan dengan akal yang sihat," katanya. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Rencana Utama To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan