Kosmo Online - Rencana Utama |
Empangan punca Thailand ditenggelami air Posted: Empangan punca Thailand ditenggelami airSusunan AMMAR JAZLAN MAD LELA AYUTTHAYA merupakan bekas ibu negara Thailand, pernah ditawan askar Burma dalam peperangan yang berlaku pada tahun 1767. Kali ini bandar raya yang terletak kira-kira 67 kilometer dari Bangkok itu sekali lagi ditawan, namun bukan disebabkan peperangan tetapi air. Sejak seminggu lalu, keseluruhan bandar di wilayah itu kini ditenggelami air berikutan Sungai Chao Phraya yang mengelilinginya melimpah, melepasi benteng penghadang banjir yang dibina. Situasi itu menyebabkan pelbagai khazanah berharga di Tapak Warisan Dunia yang diiktiraf oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) itu kini dalam bahaya. Seorang penduduk tempatan, Somchit Nawangmuang memberitahu, dia telah kehilangan segala-galanya dalam kejadian itu. "Banjir telah merampas segala-gala yang saya ada," kata bapa kepada enam orang anak itu yang rumahnya terletak di tebing Sungai Chao Phraya. Dia dan keluarganya terpaksa meninggalkan kediaman mereka pagi Ahad lalu selepas paras air sungai melimpah, menenggelamkan rumah dan memaksa mereka tinggal dalam keadaan sehelai sepinggang. "Paras air meningkat sehingga lima meter mencecah siling rumah kami," katanya. Dia bersama ratusan pelarian kini ditempatkan di pusat-pusat pemindahan mangsa banjir di bandar itu yang menyediakan kemudahan penginapan sementara dan makanan. Kilang ditutup TENGGELAM. Banjir menyebabkan tapak warisan dunia, Kuil Chaiwatthanaram di Ayutthaya ini hampir hilang dari pandangan. Timbalan Gabenor Ayutthaya, Thawi Naritsirikun berkata, sebanyak 1,200 hektar kawasan perindustrian di wilayah itu termasuk 200 kilang terpaksa ditutup akibat banjir. Antaranya beberapa syarikat gergasi, Honda Motor Co, Toyota Motor, Canon Inc. dan Nikon Corp. Musim monsun pada tahun ini yang lazimnya bermula antara bulan Ogos hingga Oktober berlaku agak panjang dan menghasilkan hujan lebat yang luar biasa di sekitar Asia Tenggara. Situasi yang sama turut dirasai oleh beberapa negara jirannya seperti Vietnam, Kemboja dan Laos. Lebih menyedihkan, banjir tersebut telah menelan ratusan korban dan menyebabkan kerugian berbilion-bilon dolar. Jabatan Pencegahan Bencana dan Mitigasi Thailand melaporkan seramai 270 penduduk telah disahkan terbunuh manakala lebih 2.4 juta penduduk turut terjejas ekoran banjir yang disifatkan terburuk dalam tempoh 50 tahun. MASYARAKAT Islam Kemboja yang menunaikan solat di masjid Kampung Doung terpaksa menaiki sampan apabila negara mereka terkena tempias banjir yang melanda Thailand. Dianggarkan sebanyak 58 daripada 77 wilayah dilaporkan terjejas, manakala 27 daripadanya telah ditenggelami air. Sementara itu, jurucakap Jabatan Pertanian menganggarkan kira-kira 1.4 juta hektar kawasan pertanian di negara itu kini ditenggelami air iaitu menyamai 13 kali ganda keluasan negara Hong Kong. Secara keseluruhan, kerajaan mengganggarkan banjir yang bermula sejak bulan Julai lalu telah mengakibatkan kerugian antara AS$1.91 bilion hingga AS$2.61 bilion (RM5.9 bilion hingga RM8 bilion). Selain Ayutthaya, beberapa wilayah lain yang terjejas ialah Nakhon Sawan, Uthai Thani, Chai Nat, Sing Buri, Angthong, Lop Buri, Pathum Thani, Nonthaburi dan Chacheongsao. Seorang penduduk di Pathum Thani, Wanpen Suanmakam memberitahu, hujan lebat yang berterusan selama beberapa hari menyebabkan paras air sungai berhampiran rumahnya meningkat sehingga dua meter. Fenomena luar biasa
"Saya tidak pernah menjangkakan banjir pada tahun ini begitu buruk. Air naik dengan begitu pantas, kami tidak sempat berbuat apa-apa. "Rumah saya kini ditenggelami air, begitu juga sawah padi yang diusahakan. Saya kini tidak mempunyai apa-apa lagi, semuanya telah musnah akibat banjir," kata lelaki berusia 62 tahun itu ketika ditemui di sebuah pusat pemindahan banjir di wilayah itu. Fenomena luar biasa kali ini turut dikaitkan dengan faktor manusia. Ramai yang menyalahkan kelemahan pengurusan air di negara itu terutama di beberapa empangan besar seperti Bhumibol dan Sirikit di utara yang mengairi Chao Phraya. "Mereka menyimpan terlalu banyak air di empangan pada awal musim monsun, oleh itu ia tidak dapat menampung jumlah hujan yang berterusan ketika ini," kata Ketua Yayasan Amaran Bencana Alam, Smith Dharmasaroja.
"Saya rasa lebih 80 peratus punca banjir ini disebabkan oleh kelemahan sistem yang digunakan," katanya yang juga merupakan seorang ahli kaji cuaca. Sejak beberapa minggu kebelakangan ini, pihak berkuasa telah dipaksa untuk melepaskan air dari takungan empangan Bhumibol dan Sirikit, yang berada dalam kapasiti penuh. Situasi itu sekali gus menyebabkan aliran Chao Phraya meningkat dan seterusnya mengalir ke ibu negara itu, Bangkok. Penganalisis sebelum ini berpendapat, Bangkok yang kini beransur-ansur tenggelam berikutan peningkatan paras air di delta Chao Phraya dan terletak hanya dua meter di atas paras laut akan lumpuh sekiranya berlaku banjir. Amaran banjir turut menimbulkan suasana panik bagi lebih 12 juta penduduk di bandar raya itu yang berebut-rebut menyimpan bekalan makanan dan air bersih. Kebanyakan pasar raya sesak sejak Sabtu lalu, apabila orang ramai menyerbu dan membeli bekalan masing-masing untuk keperluan dan untuk didermakan kepada mangsa-mangsa banjir. Perdana Menteri Thailand, Yingluck Shinawatra kini dilihat berdepan tugas getir dalam menyelesaikan krisis pertamanya selepas dilantik menjawat jawatan itu kira-kira dua bulan lalu. Tangani krisis PEMANDANGAN dari atas yang menunjukkan air Sungai Chao Phraya dipenuhi air dan melimpah keluar ke darat. "Kami mengaku banjir yang berlaku kali ini lebih buruk berbanding sebelumnya," kata Yingluck dalam ucapan yang disiarkan dalam siaran televisyen di negara itu pada 7 Oktober lalu. "Kerajaan hari ini baru berusia beberapa bulan dan adalah sukar untuk berhadapan dengan situasi ini memandangkan hujan lebat kali ini agak luar biasa." Kesungguhan Yingluck dalam menangani krisis yang berlaku menyebabkan beliau membatalkan lawatan rasmi ke Singapura dan Malaysia yang dijadualkan pada minggu ini. Dalam satu telepersidangan dengan gabenor wilayah-wilayah yang terlibat sebelum ini, beliau menganggarkan sebanyak AS$1.2 bilion (RM3.75 bilion) akan digunakan untuk membina sistem penghalang banjir di seluruh negara itu pada masa hadapan. Pada masa yang sama semasa pertemuan di Pusat Operasi Bantuan Banjir baru-baru ini, Yingluck turut mengarahkan agensi-agensi kerajaan bersedia untuk memindahkan mangsa-mangsa banjir. Mengikut perjanjian itu, tentera akan mengambil alih melindungi penduduk dan beberapa wilayah yang terjejas teruk seperti Ayutthaya, Lop Buri dan Nakhon Sawan. Sementara itu, pada Isnin lalu, Yingluck telah mengarahkan melaksanakan kerja-kerja mengorek terusan dan pengukuhan benteng pencegahan banjir di utara dan barat Bangkok bertujuan mengurangkan impak banjir yang melanda. Setakat ini, tiga benteng penahan banjir baharu telah dibina di dua lokasi iaitu di Rangsit Khlong 5 dan Taling Chan. Sementara itu, jurucakap agensi kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Kirten Mildren berkata, kerajaan kini giat melakukan pelbagai usaha bagi menghalang banjir daripada menenggelamkan bandar raya itu. "Kami tahu banyak aliran air dari utara yang turun ke selatan," katanya. "Kerajaaan kini sedang membina terusan di sekeliling bandar raya. Terdapat timbunan beg-beg pasir di merata-rata tempat. Mereka sedang melakukan apa saja untuk menghalang banjir, biarpun ia semakin hampir setiap hari." Full content generated by Get Full RSS. | ||||||
Posted: Memulih rumah terbengkalai
BAGI Yee Poo Yoon, 40, 26 September 2011 adalah tarikh yang sukar dilupakan dalam hidupnya. Selepas penat lelah selama dua tahun berusaha menghidupkan kembali projek Taman Prima Hijau yang terbengkalai akhirnya projek itu dapat dipulihkan dan menerima Sijil Layak Menduduki (CFO). "Saya mula bertindak sebagai wakil penduduk taman itu pada bulan Mei 2009 dan tidak dinafikan pada mulanya saya menghadapi banyak masalah untuk mendapatkan bantuan. "Ada juga pembeli yang tidak percaya dengan kemampuan saya untuk membantu agar projek ini diteruskan," katanya pada Majlis Penyerahan Kunci Taman Prima Hijau, Rawang, Selangor baru-baru ini. PARA pembeli rumah terpaksa berjuang untuk mendapatkan hak mereka. Kisah Poo Yoon adalah antara kejayaan Bahagian Pemulihan Projek Terbengkalai Jabatan Perumahan Negara menyelesaikan projek perumahan swasta terbengkalai di negara ini. Poo Yoon merupakan antara 33,000 pembeli rumah yang kecewa apabila projek perumahan yang terlibat menghadapi masalah dan terbengkalai. Pengarah Bahagian Pemulihan jabatan itu, M.Jana Santhiran berkata, pihaknya komited untuk menyelesaikan masalah projek perumahan terbengkalai di negara ini. Namun proses pemulihan projek perumahan swasta yang terbengkalai biasanya memakan masa yang agak lama disebabkan oleh kekangan yang dihadapi oleh jabatan itu. "Antara kesukaran yang dihadapi ialah mendapatkan butiran projek seperti Kelulusan Projek dan Pelan Bangunan serta lukisan teknikal yang berkaitan," katanya. Rekod pembeli
Jana Santhiran berkata, ketiadaan rekod pembeli turut menyukarkan pihak jabatan mempercepatkan proses pemulihan rumah terbengkalai. "Jika ada pun rekod pembeli, ia tidak lengkap dan masih sukar untuk jabatan menghubungi pembeli sesuatu projek terbabit," katanya. Jana Santhiran menambah, kadangkala jabatan turut menghadapi masalah dengan tuan tanah yang enggan ataupun gagal memberikan kerjasama. "Kesannya, pembeli ataupun pemiutang terpaksa membawa kes berkaitan ke mahkamah untuk menyelesaikan pertikaian yang berkaitan dengan tuan tanah," katanya. Jana Santhiran berkata, ketika ini pihaknya sedang memantau secara talian kira-kira 3,000 projek perumahan di seluruh negara. "Pihak pemaju diwajib menghantar laporan kemajuan projek masing-masing setiap tiga bulan," katanya. Dengan kesedaran yang amat tinggi dalam kalangan pembeli akan hak mereka, pembeli sedia bekerjasama dengan jabatan itu dalam menghidupkan semula projek selain pihak bank memantau perjalanan projek perumahan yang mereka beli.
Sehingga ini, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan telah mengenal pasti 167 projek rumah terbengkalai di seluruh negara, membabitkan 50,605 buah rumah dan 32,848 pembeli. Sehingga 31 Ogos 2011, kementerian dengan kerjasama semua pihak dapat memulihkan 82 projek perumahan terbengkalai. Ini melibatkan 9,231 pembeli yang mendapat manfaat daripada usaha pemulihan ini, manakala sebanyak 54 projek lagi sedang dipulihkan dan berada di pelbagai peringkat kemajuan. Deposit lesen Beliau berkata, baki 31 projek lagi dalam perancangan untuk dipulihkan. Pelbagai usaha sedang diambil oleh pihak kerajaan untuk menangani gejala projek perumahan terbengkalai. Antaranya, Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (Pemudah) mengesyorkan supaya deposit lesen pemaju perumahan dinaikkan selain pemaju menerima pakai konsep bina dan jual. Pemudah juga mahu Tribunal Pembeli Rumah diberi lebih banyak kuasa untuk menangani masalah yang berkaitan antara pembeli dan pemaju. Sementara pada pihak pemaju pula, Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (Rehda) telah meminta pindaan kepada Akta Pembangunan Perumahan untuk membantu pemaju memastikan projek perumahan tidak terbengkalai. Antara pindaan yang disyorkan adalah deposit yang lebih tinggi dikenakan mengikut kemampuan pemaju untuk mendapatkan lesen pemaju berbanding RM200,000 pada masa kini. - Bernama Full content generated by Get Full RSS. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Rencana Utama To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |