Isnin, 15 Oktober 2012

Kosmo Online - Rencana Utama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Ambil risiko seludup barang

Posted:

Ambil risiko seludup barang

BOT-BOT gentian kaca berkelajuan tinggi meninggalkan perairan Iran sebelum berhenti ketika menghampiri kawasan tebing berbatu yang terletak di Semenanjung Musandam, Oman itu. Di atas dek, kelihatan sekumpulan penyeludup warga Iran, sebahagian besarnya merupakan golongan remaja yang sering berulang-alik melalui laluan sempit di Selat Hormuz.

Mereka menyeludup apa sahaja yang bernilai melalui pelabuhan di selatan negara itu bagi mengelak proses duti import. Situasi itu terus berlarutan sehingga ke hari ini, kelibat bot-bot penyeludup boleh dilihat hampir setiap hari di perairan negara berkenaan.

Ia membawa pelbagai barangan daripada minuman ringan sehingga ke telefon bimbit dan kosmetik yang dibeli dari Emiriyah Arab Bersatu (UAE) sebelum dijual kepada pedagang di Iran.

Kedudukan Iran yang terletak berdekatan Oman dan UAE, sejarah hubungan perdagangan serta kewangan sedikit sebanyak merancakkan aktiviti penyeludupan. Ia juga merupakan salah satu ikhtiar hidup dalam kalangan warganya bagi meneruskan kehidupan selepas sekatan ekonomi yang dikenakan oleh Amerika Syarikat (AS) dan sekutunya ke atas Tehran.

Ekonomi Iran rancak seketika selepas sekian lama tunduk kepada tekanan masyarakat antarabangsa ekoran program-program nuklear yang menyaksikan pertumbuhannya berada pada paras sifar. Impak sekatan itu turut menjejaskan mata wang Iran, rial yang susut dua per tiga daripada nilai asalnya sejak tahun lalu berbanding dolar AS, sekali gus melumpuhkan kuasa membeli sebahagian besar rakyatnya.

PARA penyeludup dari Iran menggunakan negara-negara jiran seperti Oman untuk memasarkan barangan mereka.


"Kami tidak membawa banyak barang hari ini," jerit Ismael, remaja berusia 17 tahun dari atas sebuah bot enjin sangkut berkeupayaan 200 kuasa kuda itu.

Peralatan yang digunakan sahaja sudah mencecah ribuan dolar AS sekali gus membuktikan aktiviti penyeludupan lebih bernilai berbanding risiko cuaca buruk, kapal tangki minyak yang bertali-arus dan ketegasan polis peronda Iran yang melakukan rondaan.

"Sebelum ini kami mampu menyeberang perairan tiga kali sehari. Sekarang, hanya sekali sehari," katanya ketika memusing stereng bot sambil mencari lokasi sesuai untuk berlabuh di kawasan pelabuhan Khasab yang terletak di semenanjung Musandam, utara Oman itu.

Saluran kastam

Beberapa kotak produk pencuci, fabrik dan pakaian diletakkan di atas dok sementara menunggu kenderaan untuk mengangkutnya ke pulau milik Iran, Qeshm, kira-kira 48 kilometer merentasi Selat Hormuz. Selat itu menjadi jalur minyak terpenting dan paling sibuk di dunia yang membekalkan satu pertiga keperluan minyak dunia.

Bagaimanapun para pedagang pula berkata, jumlah kotak yang dihantar berkurangan mendadak berbanding tahun lalu.

Menurut seorang ahli perniagaan tempatan, sebahagian barangan yang hendak dieksport perlu didaftarkan mengikut saluran pihak kastam di Oman, namun tidak semuanya.

"Sebentar tadi berlaku ribut," kata Hossein, pemuda Iran berusia 21 tahun, sejurus tiba selepas dua jam menyeberangi lautan dari sebuah pelabuhan di Bandar Abbas, Iran.

"Pihak polis juga turut kelihatan. Mereka sangat tegas dan mengamalkan rasuah," ujarnya ketika duduk di atas bot sambil melihat laut yang luas di hadapannya.

Selain isu rasuah, para penyeludup turut diancam peluru pasukan keselamatan dan adakalanya terpaksa membuang barangan yang dibawa ke dalam laut, tetapi pertumbuhan ekonomi yang semakin meningkat menyebabkan tugas yang dilakukan lebih berisiko biarpun ia untuk kebaikan.

Pertelingkahan antara Iran dan Barat berpusat di tengah-tengah Selat Hormuz. Ketika ketegangan meningkat tahun ini, terdapat peningkatan kehadiran kapal-kapal perang tentera AS di selat itu di samping kapal-kapal tentera Iran yang memantau pergerakannya.

Sehingga kini, Washington belum mengarahkan tindakan ketenteraan berikutan program nuklear Iran yang dipercayai digunakan untuk penghasilan senjata nuklear. Iran bagaimanapun, berulang kali menafikannya.

Para diplomat Barat berkata, mereka tidak mahu menarik balik sekatan yang dilakukan terhadap perdagangan bagi keperluan barangan asas dan minyak kerana ia merupakan senjata paling berkesan memaksa Iran ke meja rundingan.

Biarpun begitu, rakyat Iran terus bertahan. Para analisis berkata, ekonomi Iran akan terus meningkat pada tahun ini selepas meningkat dua peratus tahun lalu, inflasi kekal sebanyak 25 peratus dan pengangguran pula sehingga 20 peratus.

SEKATAN ekonomi yang dikenakan AS dan sekutunya hampir melumpuhkan ekonomi Iran.


Walau bagaimanapun, ahli-ahli ekonomi berpendapat setakat ini mereka tidak melihat berlakunya kekurangan bahan keperluan asas di negara itu.

Di Oman, sebuah pasar lama di Khasab juga dikenali sebagai pasar Iran, aktiviti perdagangan yang bergantung kepada pengeksportan semula terhadap Iran kini terjejas teruk.

"Kami kehilangan lebih 90 peratus daripada perniagaan," kata seorang ahli perniagaan veteran berbangsa India yang enggan dikenali. Dia telah berniaga di Khasab sejak dua dekad lalu.

"Ia menjejaskan kami. Nilai rial semakin menurun setiap hari dan kami hampir menutup perniagaan," katanya.

Penyusutan riyal

Perniagaannya beroperasi secara sah di Oman. Pengangkutan perniagaan mereka dikendalikan oleh para pedagang yang berpangkalan di Iran dan mempunyai bot-bot laju serta pekerja khusus bagi tujuan itu.

Katanya, mereka membuat tempahan menerusi telefon dan membuat pembayaran di Dubai.

Sebelum kelembapan ekonomi bermula kira-kira enam bulan lalu, secara purata syarikatnya mampu memperoleh keuntungan AS$130,000 (RM399,000) seminggu melalui penjualan barangan makanan dan peralatan elektronik.

Situasi pada hari ini menyebabkan syarikatnya terpaksa bergantung jualan kepada beberapa pejabat kerajaan Oman di wilayah Musandam.

Riyal mengalami penyusutan berterusan sejak beberapa minggu lalu walaupun kerajaan berusaha mengekangnya melalui penubuhan pusat pertukaran yang direka untuk menyalurkan dolar AS kepada pengimport beberapa barangan asas kepada kadar yang lebih murah daripada pasaran.

Biarpun kebimbangan mengenai kemampuan dolar AS semakin berkurangan, kehadiran pusat itu telah menggalakkan perlumbaan mata wang utama yang menyebabkan nilai rial susut sebanyak 30 peratus sejak seminggu lalu.

"Majikan kami tidak boleh menjual barang-barang di Iran mengikut harga sekarang," kata Nader, 32, ketika berdiri di hadapan syarikat ahli perniagaan itu di Khasab.

"Saya tidak boleh mengambil apa-apa ketika ini," katanya.

Pengeksport utama di Iran yang menghantar bot-bot ke Dubai dengan bertan-tan barangan ke Qeshm atau Bandar Abbas juga berhadapan masalah yang sama. Seorang kru warga Iran berkata, mereka terpaksa menunggu sehingga 10 hari sebelum bot mereka penuh berbanding sebelum ini.


LEBIH 35 peratus perdagangan minyak dunia menggunakan laluan di Selat Hormuz.


Di Khasab, warga Iran mengendalikan dok dari dalam pelabuhan utama yang ditutup dengan pagar keselamatan sejak setahun yang lalu, kata seorang penduduk tempatan. Tidak seperti Khasab, ia tidak boleh diakses tanpa kebenaran daripada pihak berkuasa Oman.

Bagaimanapun, ia tidak menghalang bot-bot dari Iran yang memasuki bandar itu pada waktu siang, tetapi bukan untuk berlabuh tanpa tujuan. Walaupun aktiviti penyeludupan semakin berkurangan, terdapat perniagaan lain yang berkembang, yang turut menjanjikan pendapatan lumayan.

"Mari lihat kambing-kambing saya," jerit Ismail, sambil menunjukkan lebih 30 ekor kambing biri-biri yang berhimpit-himpit di dalam botnya. Dia dijangka memperoleh kira-kira 2 juta rial (RM500) daripadanya.

Rumah Ibu bantu penagih dadah

Posted:

Rumah Ibu bantu penagih dadah

Kelemahan penyediaan perubatan awam menyebabkan masalah ketagihan dadah di Afghanistan berada pada tahap kritikal.


PERGOLAKAN akibat perang dan krisis politik yang berlaku di Afghanistan menyebabkan ibu bapa Laila Haidari, 35, menjadi pelarian. Dia dilahirkan dan dibesarkan di Iran dan hanya menjejakkan kaki di negara asalnya itu setahun yang lalu.

Nasibnya juga malang. Laila dibesarkan oleh ibu yang tidak berhati perut dan terpaksa menderita selama 13 tahun akibat didera suaminya. Keputusannya untuk bercerai membuatkan Laila dibuang keluarga. Hari ini, dia jarang diberi peluang melawat tiga cahaya matanya.

Laila yang banyak berjuang demi kebebasan hidupnya kini mengerah tulang empat keratnya dalam membela nasib penagih-penagih dadah yang menjadi gelandangan di ibu kota Afghanistan itu.

Sebagai negara yang mencatatkan 90 peratus pengeluaran candu di dunia, Afghanistan masih lemah dari segi infrastruktur perubatan awam. Ketagihan menjadi masalah yang membimbangkan.

Berdasarkan rekod Kementerian bagi Menangani Narkotik negara itu, seramai 1.5 juta penagih dadah dikesan pada tahun 2010 termasuk 1 juta pengguna dadah paling berbahaya seperti heroin dan candu.

Bantu penagih

Dengan kefahaman yang sedikit berkenaan rawatan pemulihan, masa depan penagih dadah di Afghanistan dilihat kelam dan sukar diselamatkan.

Kelompok yang tidak mendapat pemakanan seimbang, sering dipukul dan kerap sakit itu tinggal di bawah jambatan Pul-i-Sokhta yang terletak di Sungai Kabul. Ia juga menjadi destinasi terakhir buat segelintir penagih yang mati kesejukan akibat salji tebal.

Setiap kali Laila melintasi jambatan tersebut, dia mula berfikir jika bekas suaminya membenarkannya menerima pendidikan, pasti dia mampu melakukan sesuatu bagi membantu penagih-penagih malang itu.

"Mother Teresa sentiasa membantu orang ramai, saya selalu mahu menjadi seperti dia. Kemudian saya baca mengenai Gandhi dan Che Guevara yang sering melakukan kebaikan kepada manusia. Kemudian saya bertanya kepada diri, apa yang saya boleh sumbangkan kepada masyarakat?

"Pada hari pertama saya pergi ke bawah jambatan itu, seorang lelaki yang lebih tua daripada saya memanggil saya ibu. Gelaran itu kekal sehingga kini dan diikuti penagih-penagih yang lain," ujar Laila.

Selepas bercerai, Laila datang ke Kabul bagi menghadiri festival filem dan berhasrat untuk memulakan karier sebagai pembikin dokumentari. Bagaimanapun, takdir kehidupannya beralih ke arah yang tidak pernah terlintas di fikirannya.

Mendapat bantuan daripada seseorang yang kemudiannya menarik diri, Laila membina sebuah rumah perlindungan di barat Kabul, yang dikenali sebagai Rumah Ibu. Ia boleh menampung sehingga 20 penagih dadah pada satu-satu masa.

Rumah perlindungan itu diinspirasikan oleh Narcotics Anonymous (NA) yang hanya menggunakan terapi kumpulan tanpa rawatan perubatan.

Jurucakap bagi persatuan yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) itu, Jane Nickels berkata, terdapat 60,000 perjumpaan terapi dalam seminggu dijalankan di seluruh dunia.

Namun, daripada 50 pekerja di California, aktiviti-aktiviti NA semuanya dilakukan secara sukarela. Sukarelawan membantu sukarelawan lain, menyebabkan Nickels sukar menyalurkan bantuan secara rasmi kepada Laila atau badan sukarelawan lain di Afghanistan.

Rawatan cara itu bagaimanapun tetap dikritik. Seorang pakar dari Barat di Kabul mengatakan: "Ia tidak bermanfaat, ketagihan adalah penyakit mental yang memerlukan ubat untuk sembuh."

Proses penyembuhan

Namun, kenyataan itu tidak menghalang Laila untuk membantu golongan tersebut. Buktinya, dia telah membantu kira-kira 300 penagih dalam masa kurang daripada setahun.

Kenyataan yang dilontarkan itu tidak boleh diterima memandangkan pihak berkuasa Afghanistan sendiri tidak mempunyai apa-apa maklumat berkenaan rumah perlindungan Laila.

Wakil AFP bertemu 12 penagih dadah yang menjalani terapi bersama Laila dan kesemua mereka dalam proses penyembuhan.

"Ibu kandung saya cuba membawa saya ke beberapa tempat tetapi gagal. Kemudian, saya ditinggalkan," kata Ali, 34, seorang bekas tentera yang menjadi penagih ketika berada di Iran dan memberitahu dia telah bebas daripada dadah untuk tempoh empat hingga lima bulan.

Fatima, seorang anggota polis dalam lingkungan umur 40-an telah meletakkan anak lelakinya di bawah jagaan Laila untuk lebih dua minggu, katanya: "Saya gembira dia mendapat seorang lagi ibu. Dia kelihatan lebih baik sekarang."

Namun, di sebalik semua itu masih tercetus beberapa masalah. Jiran-jiran mengadu tentang bunyi bising pada waktu malam dan tidak menyenangi kehadiran penagih di kawasan kejiranan itu. Mereka menyalahkan Laila yang menetap di rumah perlindungan itu dan menuduhnya sebagai pelacur.

Beberapa bulan lepas, Laila terselamat daripada cubaan membunuhnya tetapi, dalang di sebalik kejadian itu masih tidak diketahui. Dia juga sering kekurangan wang namun itu bukan penghalang.

"Apabila memikirkan kehidupan lalu, saya tahu saya tidak menjalani hidup yang baik. Namun, apa yang telah saya lakukan untuk sembilan bulan bersama penagih-penagih ini amat indah," ungkap Laila. - AFP

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Komuniti Kita

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Komuniti Kita


Hari konvokesyen KDU Pulau Pinang meriah

Posted:

Hari konvokesyen KDU Pulau Pinang meriah

SEBAHAGIAN daripada graduan bersama sijil masing masing sempena Majlis Konvokesyen Ke-19 KDU Pulau Pinang di George Town baru-baru ini.


KONVOKESYEN. Seramai 790 graduan Kolej Damansara Utama (KDU) kampus Pulau Pinang (KDU Pulau Pinang) menerima diploma dan ijazah masing-masing pada Majlis Konvokesyen KDU Pulau Pinang ke-19 di George Town baru-baru ini.

Kesemua graduan dari empat pusat pengajian iaitu Sekolah Seni dan Sains Sosial; Sekolah Kejururawatan dan Kesihatan Umum, Sekolah Hospitaliti, Pelancongan dan Kulinari dan Sekolah Kejuruteraan, Sains dan Teknologi.

Majlis yang berlangsung di sebuah hotel itu disempurnakan oleh Pengarah Urusan Kumpulan KDU, Chan Say Yeong can Timbalan Canselor Kolej Universiti KDU di kampus utamanya di Petaling Jaya, Selangor Dr. Khong Yoon Loong.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif KDU Pulau Pinang, Dr. Chong Beng Keok dalam ucapannya berharap para siswazah yang bakal melangkah ke alam pekerjaan supaya terus mencapai kecemerlangan di samping berbakti kepada masyarakat.

90 penduduk keturunan Siam terima sumbangan

Posted:

90 penduduk keturunan Siam terima sumbangan

TENGKU ZAINOL (kanan) menyampaikan sumbangan kepada Lee Cheng sempena program Menjunjung Kasih di Sik, Kedah baru-baru ini.


PRIHATIN. Seramai 90 penduduk keturunan Siam terdiri warga emas, ibu tunggal dan Orang Kelainan Upaya (OKU) menerima sumbangan masing-masing sempena program Menjunjung Kasih di Dewan Wat Siam Charuk Padang, Sik, Kedah baru-baru ini.

Yang Dipertua Persatuan Kerabat Diraja Kedah (Kerabat), Datuk Tengku Zainol Rashid Tengku Yahya menyampaikan sumbangan itu.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Charuk Padang, I Tiang a/l I Sing berkata, langkah Kerabat itu amat dihargai dan berpendapat aktiviti sedemikian perlu diteruskan.

Seorang penerima bantuan itu, Ooi Lee Cheng, 36, berkata, dia gembira kerana ahli Kerabat sanggup berkunjung ke Charuk Padang dan menghulurkan sumbangan.

1,000 peserta memeriahkan kayuhan Sihat 1Malaysia

Posted:

1,000 peserta memeriahkan kayuhan Sihat 1Malaysia

SEBAHAGIAN peserta Pakej Berbasikal Cuti-Cuti 1Malaysia di Kompleks Makanan Laut di Kuala Perlis, Perlis baru-baru ini.


EKSPLORASI. Lebih 1,000 orang menyertai kayuhan Sihat 1Malaysia bagi menggalakkan aktiviti sukan tersebut sambil memperkenalkan Pakej Berbasikal Cuti-Cuti 1Malaysia di Kuala Perlis dan Kangar, Perlis baru-baru ini.

Program tersebut bermula dari Kompleks Makanan Laut, Kuala Perlis apabila para peserta dibawa secara kayuhan santai sejauh 15 kilometer di pesisir pantai Kuala Perlis dan kemudian melihat lokasi pelancongan sekitar di negeri ini.

Antara lokasi tersebut iaitu dari Kuala Perlis, trek di kaki bukit Sungai Batu Pahat, Ladang Tebu, Chuping, Kawasan Pertanian Sungai Batu Pahat dan Jalan Sungai Batu Pahat.

Majlis tersebut dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesihatan dan Pembangunan Luar Bandar Perlis, Ahmad Bakri Datuk Ali dan turut dihadiri oleh Pengarah Tourism Malaysia Kedah-Perlis, Roslan Othman.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Negara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Negara


Elaun naik 88 peratus

Posted:

Elaun naik 88 peratus

ELAUN baharu yang bakal dinikmati jururawat tahun hadapan bakal meningkatkan semangat mereka untuk bekerja. - Gambar hiasan


IPOH - Kira-kira 20,000 pelatih peringkat sijil dan diploma di semua institusi latihan Kementerian Kesihatan akan menikmati kenaikan elaun antara 60 dan 88 peratus mulai tahun depan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, pelatih peringkat sijil akan menerima RM835 sebulan berbanding RM517 sekarang, manakala pelatih peringkat diploma pula menerima RM1,166.58 berbanding RM621.21.

"Kenaikan kadar elaun itu yang diumum Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Belanjawan 2013 membuktikan kerajaan sangat prihatin dengan beban kos sara hidup yang ditanggung pelatih," katanya kepada pemberita selepas merasmikan konvokesyen Institut Latihan Kementerian Kesihatan di sini semalam.

Selain itu, kata Tiong Lai, kementerian juga akan mewujudkan 12,000 jawatan baharu jururawat bagi tempoh 2012 hingga 2015 untuk meningkatkan perkhidmatan kejururawatan selain menampung keperluan klinik dan hospital baharu.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Aidiladha disambut pada 26 Oktober

Posted:

Aidiladha disambut pada 26 Oktober

KUALA LUMPUR - Umat Islam di Malaysia akan menyambut Aidiladha pada 26 Oktober, demikian diumumkan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Datuk Syed Danial Syed Ahmad.

"Bagi menyempurnakan titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, setelah diperkenankan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja mengisytiharkan bahawa 1 Zulhijah, 1433 Hijrah ialah pada 17 Oktober, 2012.

"Oleh yang demikian, Hari Raya Korban (10 Zulhijah) bagi negeri-negeri seluruh Malaysia ditetapkan pada hari Jumaat, 26 Oktober 2012," katanya dalam kenyataan di sini.

Farid Kamil, Diana kahwin 3 November ini

Posted:

Farid Kamil, Diana kahwin 3 November ini

KUALA LUMPUR - Pelakon dan pengarah terkenal, Farid Kamil mengakhiri teka-teki tarikh perkahwinan dengan tunangnya, Diana Danielle apabila mengumumkan majlis itu akan dilangsungkan pada 3 November ini.

Farid membuat pengumuman tersebut ketika majlis pelancaran filem terbaharu arahannya iaitu Pe3 di Sunway Pyramid, Petaling Jaya dekat sini malam tadi.

Farid, 30, berkata, dia dan Diana, 21, mengambil keputusan itu atas persetujuan kedua-dua pihak.

"Dengan keizinan kedua-dua ibu bapa, saya dengan ini umumkan akan berkahwin dengan Diana pada 3 November ini," ujarnya.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Varia

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Varia


'Anyaman gila' yang hampir pupus

Posted:

'Anyaman gila' yang hampir pupus

TIDAK ramai wanita yang dapat mempelajari teknik menganyam rombong dengan lengkap.


ANYAMAN rombong merupakan seni kraf tangan terkenal di Melaka yang merujuk kepada penghasilan pelbagai jenis bakul yang diperbuat daripada mengkuang.

Dahulunya rombong digunakan untuk menyimpan pakaian dan barang kemas, namun pada hari ini ia masih digemari ramai yang menjadikannya sebagai hiasan hantaran perkahwinan dan bakul hamper.

Bakul rombong boleh didapati dalam pelbagai saiz dan bentuk seperti bujur telur, potong wajik, tiga segi, empat segi dan bulat. Selain itu, ia juga didatangkan dalam set susunan tiga atau lima pada bentuk yang sama, tetapi berlainan saiz dengan motif-motif berteraskan alam semula jadi.

Seni itu sangat terkenal pada suatu ketika dahulu dalam kalangan kaum wanita di Melaka. Namun difahamkan, pada masa ini tinggal beberapa orang wanita sahaja yang memiliki skil anyaman rombong.

Teknik menganyam yang sukar hinggakan seni kraf itu dikenali sebagai 'anyaman gila' adalah antara punca ia tidak digemari untuk dipelajari. Anyaman rombong memerlukan kemahiran tangan, kesabaran dan ilham yang tinggi.

Proses pembuatan bakul rombong tidak jauh berbeza daripada membuat tikar mengkuang. Bezanya terletak pada teknik anyaman tiga lapis berbanding anyaman rata pada tikar mengkuang.

Penyambung warisan

Amnah Abdulla, 53, mungkin ialah satu-satunya wanita paling mahir dalam anyaman rombong yang diketahui masih ada pada masa ini.

Perkara itu diakui sendiri Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan) cawangan Melaka yang telah menjalankan usaha mengesan penganyam rombong di seluruh negeri bersejarah itu.

Amnah, anak ketujuh daripada sembilan adik-beradik, mula mempelajari seni anyaman rombong ketika berusia 12 tahun bagi membantu ibunya mencari rezeki selepas bapa beliau meninggal dunia

Hanya beliau dan seorang kakaknya yang mahir menghasilkan rombong di dalam keluarganya.

AMNAH bersama sebahagian daripada anyaman rombong yang dihasilkannya.


Bagaimanapun, seni anyaman itu berkubur hampir 35 tahun selepas Amnah mendirikan rumah tangga dengan seorang nelayan, Md. Jali Berahim kerana sibuk menguruskan keluarga dan kedai makan miliknya.

Namun kejadian pada kira-kira tiga tahun lepas membawa sinar harapan kepada seni kraf tangan yang semakin dilupakan itu.

Amnah yang lebih mesra dengan panggilan Mak Nah ketika itu sedang menggoreng ikan sebagai juadah bagi keluarga sebelum dipanggil suaminya untuk menonton sebuah dokumentari mengenai rombong di televisyen.

"Suami saya yang mengetahui saya pandai menganyam rombong kemudiannya begitu bersungguh-sungguh mencari daun mengkuang bagi dijadikan bakul rombong," kata Amnah ketika ditemui di rumahnya di Batu 7 1/4 Balik Bukit, Tanjung Kling.

Teringat semula

Ketika memegang daun mengkuang berkenaan, teknik menganyam rombong seolah-olah terbentang kembali di kepala Amnah.

Amnah berkata, ketika asyik menghasilkan rombong keduanya selepas begitu lama meninggalkan seni itu, beliau didatangi Ahli Dewan Undangan Negeri Pantai Kundor, Datuk Ab. Rahaman Ab. Karim yang kebetulan berada di kampung berkenaan dan bertanyakan mengenai hasil kerja tangannya itu.

Beliau berkata, Ab. Rahaman yang tertarik dengan rombong itu memaklumkan akan membawa seni anyaman tersebut kepada pengetahuan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Melaka untuk dipelihara dan dikembangkan.

ANYAMAN rombong begitu unik kerana seseorang perlu menghasilkan tiga lapis anyaman pada satu permukaan.


"Tidak lama kemudian, Kraftangan Melaka menghubungi saya dan selepas itu, rombong mula diperkenalkan kembali kepada rakyat Melaka dan Malaysia," kata ibu kepada empat orang anak itu.

Amnah kini mampu menarik nafas lega selepas berjaya meraih pendapatan antara RM1,000 hingga RM1,500 sebulan hasil jualan rombong yang kebanyakannya untuk dijadikan hantaran dan hadiah perkahwinan selain hamper.

Bakul rombong dijual pada harga antara RM2 hingga RM350 setiap satu bergantung kepada saiz.

Bentuk sukar

Rombong paling sukar untuk dihasilkan ialah rombong berbentuk empat segi yang berukuran 27x20 inci. Tempoh sebulan akan diperlukan untuk menyiapkannya bagi mereka yang kurang mahir.

Begitupun, Amnah mampu menghasilkannya dalam tempoh 10 hingga 15 hari.

Seni anyaman rombong yang memperlihatkan keindahan dan kehalusan seni khazanah Melayu sememangnya dikagumi dan diminati masyarakat setempat dan pelancong asing.

Tidak hairanlah rombong mendapat permintaan yang menggalakkan setiap tahun.

Pengarah Kraftangan cawangan Melaka, Aididah Ibrahim berkata, produk kraf tangan khususnya rombong sentiasa mendapat permintaan pasaran ekoran nilai estetiknya.

Beliau bagaimanapun memberitahu, permintaan tinggi terhadap hasil kraf tangan tersebut tidak mampu dipenuhi berikutan jumlah produk yang dihasilkan terlalu sedikit kerana kekurangan penganyam rombong. – Bernama

Himpunan kisah seram

Posted:

Himpunan kisah seram

MAHU lari daripada tema yang tipikal dalam setiap penghasilan buku di arena penulisan tanah air? Lejen Press kini tampil dengan sebuah karya yang bertajuk Ketakutan.

Hanya dengan melihat kepada muka depan dan tajuknya, pembaca pasti sudah dapat mengagak tema yang ditonjolkan dalam buku ini.

Ketakutan merupakan sebuah buku antologi cerpen gabungan 15 penulis tempatan menggunakan tema seram dan suspen. Garapannya juga dilihat berbeza dengan cerpen-cerpen yang menggunakan tema sama di pasaran.

Antara cerpen yang terkandung dalam buku ini ialah Pesan Lisa, Coro, Sketsa Maya Rumah Kedai Nyonya Jun, Korban Judas , Teddy Bear Kuning dan Pisang.

Keseluruhan gaya bahasa dalam setiap cerpen juga mudah difahami dan terus kepada kisah yang ingin disampaikan. Namun, pembaca akan menemui elemen-elemen seram dan suspen ketika membaca di tahap klimaks dan peleraian kisah dalam setiap cerpen.

Kisah seram yang ditonjolkan dalam buku ini tidak menceritakan kisah seram yang tipikal dialami oleh nenek moyang daripada keturunan Melayu seperti puntianak, pocong dan penanggal malah terdapat mitos serta cerita hantu daripada kaum lain.

Rangkuman kisah seram daripada pelbagai jenis aspek seperti agama, hantu, mitos dan kepercayaan masyarakat di Malaysia ini merupakan kekuatan utama himpunan cerpen yang telah berada di pasaran pada awal September lalu.

Mengambil contoh salah satu cerpen yang bertajuk Rose dan Laila karya Izwan Hafifi, ia mengisahkan tentang sebuah keluarga yang mempunyai saka warisan turun-temurun. Saka itu sering mengganggu kehidupan mereka kerana mahu mendampingi anak perempuan dalam keluarga itu.

Kita sememangnya sering membaca kisah-kisah sebegini dalam kehidupan seharian malah melalui tulisan cerpen atau novel. Namun, kisah yang melibatkan saka dalam cerpen ini mampu memberikan gambaran sebenar situasi seseorang itu apabila diganggu oleh makhluk halus.

Lebih menyeramkan, sebelum menjengah ke setiap bab, karya fotografi hitam dan putih menggambarkan cerita yang bakal dibaca nanti turut memberi mood seram sebelum membaca kisah di sebalik cerpen itu.

Selain Izwan, penulis-penulis yang terlibat dengan cerpen seram ini ialah Aisa Linglung, Hasrul Rizwan, Amirul Bozu, Nash Azly, Amal Hassan dan Wan Shafiq.

Mereka juga disertai Ophan Bunjos, The Best Pecil, Shafiq Helmi, Fikri Misti, Razman, Syahid Abdullah dan Khrlhsym.

Bagi peminat tegar buku-buku keluaran syarikat penerbitan buku alternatif urban Malaysia ini, Ketakutan merupakan salah satu karya yang harus ada dalam koleksi anda.

Anda dapat merasai perbezaan mood apabila membaca Ketakutan jika dibandingkan dengan judul-judul lain keluaran Lejen Press seperti Lelaki Eksistensial, Awek Chuck Taylor dan Kitab Terfaktab.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Dunia

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Dunia


Syria didakwa guna bom berangkai

Posted:

Syria didakwa guna bom berangkai

SEORANG kanak-kanak yang cedera selepas terkena bedilan tentera Syria mendapat rawatan di sebuah hospital di Homs kelmarin. - Reuters


AMMAN - Sebuah kumpulan hak asasi antarabangsa semalam menyatakan ia mempunyai bukti baharu bahawa tentera Syria menggunakan bom berangkai.

Bom itu diharamkan secara meluas kerana penggunaannya memberi risiko yang besar terhadap manusia.

Ia boleh digunakan di sebuah kawasan yang besar dan hanya akan meletup jika disentuh penduduk.

Seorang pegawai pertubuhan Human Right Watch (HRW) Steve Goose menyatakan, bom tersebut telah diharamkan di kebanyakan negara.

Menurutnya, Syria sepatutnya menghentikan penggunaan bom tersebut yang boleh menyebabkan ramai orang terbunuh.

"Sebelum ini, HRW melaporkan tinggalan bom berangkai ditemui di Homs dan kawasan berdekatan Hama pada musim panas," katanya.

Sementara itu, Menteri Luar Turki, Ahmet Davutoglu mengumumkan bahawa pihaknya melarang penerbangan awam Syria memasuki ruang udara negaranya.

Tindakan itu dilakukan sehari selepas Syria melarang pesawat awam Turki memasuki negaranya.

Davutoglu berkata, larangan itu dilaksanakan selepas sebuah pesawat awam Syria membawa peralatan ketenteraan ketika menggunakan ruang udara Turki.

Pada minggu lalu, Turki memaksa sebuah pesawat penumpang Syria yang berlepas dari Moscow mendarat di sebuah lapangan terbang negara tersebut.

Anggota-anggota pihak berkuasa kemudian merampas peralatan ketenteraan dari pesawat tersebut yang dalam penerbangan ke Damsyik.

Bagaimanapun, Rusia menyatakan pesawat berkenaan membawa peralatan ketenteraan.

Insiden itu berlaku selepas tentera Turki dan Syria saling berbalas bedilan meriam di kawasan sempadan.

Sebuah akhbar melaporkan, Turki menambah bilangan kapal tentera laut di sepanjang pantai negaranya di utara Syria.

Menurut akhbar Hurriyet, kapal-kapal itu dilengkapi meriam dan sistem pertahanan antipeluru berpandu serta antikapal.

Pergolakan di Syria masih belum berakhir apabila kumpulan pemberontak masih berjuang menentang tentera Presiden Bashar Al-Assad.

Para pemberontak itu mahu Bashar meletakkan jawatan kerana gagal melakukan pembaharuan politik dan kebebasan bersuara.

Kebangkitan rakyat di Syria bermula pada Mac lalu dan lebih 30,000 orang dilaporkan terbunuh sejak para pemberontak bertempur menentang tentera Syria. - Agensi

Warga Jerman ditahan kerana cuba seludup dadah RM2.2j

Posted:

Warga Jerman ditahan kerana cuba seludup dadah RM2.2j

SCHWEIKERT (kiri) yang memakai penutup kepala dikawal oleh seorang pegawai kastam di Mataram semalam.- AFP


MATARAM, Indonesia - Seorang warga Jerman ditahan di sebuah resort di Lombok kerana cuba menyeludup 3.7 kilogram (kg) dadah jenis kanabis yang bernilai kira-kira AS$739,000 (RM2.2 juta), kata beberapa pegawai semalam.

Seorang ketua pegawai kastam wilayah, Listrijono memberitahu, warga Jerman itu, Rolf Oskar Josef Schweikert, 57, ditahan selepas dia mendarat di sebuah lapangan terbang di Lombok kelmarin.

Dia menaiki pesawat penumpang Silk Air dari Singapura.

"Kami menahan lagi seorang warga asing yang cuba menyeludup dadah ke Pulau Lombok," katanya.

Listrijono berkata, dadah itu disembunyikan di dalam beg pakaiannya.

"Suspek mungkin dikenakan hukuman mati berdasarkan undang-undang Indonesia," kata seorang ketua detektif polis wilayah, Ricky Simon Paays.

Pada Khamis lalu, pihak berkuasa Indonesia memberkas seorang wanita warga Afrika Selatan kerana cuba menyeludup dadah methamphetamine seberat 2.6kg bernilai kira-kira AS$500,000 (RM1.5 juta). - AFP

Perlumbaan lembu di sawah padi

Posted:

Perlumbaan lembu di sawah padi

SEJUMLAH penonton menyaksikan pertandingan perlumbaan Pacu Jawi. - Agensi


PADANG PANJANG, Sumatera Barat – Satu perlumbaan lembu di kawasan sawah padi diadakan di sini kelmarin.

Sukan itu dikenali sebagai Pacu Jawi dalam kalangan penduduk Minangkabau.

Ia diadakan selepas musim menuai padi berakhir. Pada perlumbaan itu, seorang lelaki akan berdiri di atas sekeping papan yang ditarik dua ekor lembu.

Lelaki itu turut memukul ekor haiwan itu supaya berlari dengan lebih pantas untuk menewaskan pesaingnya. – Agensi

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online


Malaysia sambut Aidiladha pada 26 Oktober

Posted:

Malaysia sambut Aidiladha pada 26 Oktober

15/10/2012 9:11pm

KUALA LUMPUR 15 Okt - Umat Islam di Malaysia akan menyambut Aidiladha pada 26 Oktober, demikian diumumkan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Datuk Syed Danial Syed Ahmad.

"Bagi menyempurnakan titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, setelah diperkenankan oleh Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-raja, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja mengisytiharkan bahawa 1 Zulhijah, 1433 Hijrah ialah pada 17 Oktober, 2012.

"Oleh demikian, Hari Raya Qurban (10 Zulhijah) bagi negeri-negeri seluruh Malaysia ditetapkan pada hari Jumaat, 26 Oktober, 2012" katanya dalam kenyataan di sini. - BERNAMA

Format Kejohanan Hoki Piala Razak akan dikaji

Posted:

Format Kejohanan Hoki Piala Razak akan dikaji

15/10/2012 6:09pm

KUANTAN — Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) akan mengkaji format Kejohanan Hoki Piala Razak bagi memperkasa serta mengembalikan status terbaik kejohanan itu seiring dengan usianya yang kini sudah 50 tahun.

Presiden KHM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah, berdasarkan persembahan beberapa pasukan pada edisi ke-50 kali ini, baginda lihat terlalu jauh jurang persembahan yang dipamerkan dalam kalangan pasukan yang bertanding.

"Pasukan tewas seakan tidak bersedia sehingga akur dengan kekalahan besar seperti kemenangan Kuala Lumpur 6-1 ke atas Perak semalam.

"Oleh itu, kejohanan yang tertua di negara ini diharapkan dapat menghidupkan kembali kegemilangan sukan hoki berdasarkan kemudahan gelanggang bertaraf antarabangsa," titahnya kepada pemberita di sini, hari ini.

Sehubungan itu, Tengku Abdullah meminta semua pasukan yang bertanding pada kejohanan kali ini dapat mempamerkan mutu permainan membanggakan dan berkualiti tinggi.— BERNAMA

APMM Wilayah Maritim Utara rekod 2,012 tangkapan

Posted:

APMM Wilayah Maritim Utara rekod 2,012 tangkapan

15/10/2012 5:56pm

LANGKAWI — Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Maritim Utara mencatatkan 2,012 kes tangkapan dan 22,777 pemeriksaan bagi pelbagai kesalahan maritim di utara Semenanjung Malaysia sejak 2007.

Ketua Penguat kuasa Maritim Wilayah Utara, Laksamana Pertama Maritim Tan Kok Kwee berkata, untuk sembilan pertama tahun ini sahaja sebanyak 222 tangkapan dan 5,779 pemeriksaan dilakukan.

"Antara tangkapan yang kita buat melibatkan kes penyeludupan rokok, minyak subsidi, dadah, pistol, lanun dan pencerobohan nelayan asing. Sebanyak 24 tangkapan dilakukan bagi kes minyak, masing-masing satu bagi kes minyak masak, syabu, rokok, pistol dan halang tugas penjawat awam.

"Untuk kes ganja, kita membuat dua tangkapan, lanun tiga tangkapan, pendatang tanpa izin sembilan dan pencerobohan nelayan asing 11," katanya kepada pemberita sempena Hari Bersama Media, di sini semalam.— BERNAMA

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Hiburan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Bangkit mengejar impian

Posted:

Bangkit mengejar impian

SUNYI daripada kontroversi buat seketika selepas isu bergaduh di disko dan dikatakan terlantar di hospital selepas didakwa cuba membunuh diri dengan meminum bahan peluntur pada April tahun ini, nama Dira Abu Zahar tiba-tiba kembali diperkatakan apabila dia terbabit dengan kes 'drama' dalam kapal terbang yang dinaikinya.

Semuanya tercetus daripada laman sosial Twitter miliknya berkenaan kejadian yang berlaku di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, Selangor pada Ahad lepas.

Ia berlaku apabila kapal terbang yang dinaikinya ketika dalam penerbangan menuju ke Alor Setar tidak dapat berlepas mengikut jadual asal sehingga para penumpang diarah keluar ke terminal.

Mengulas mengenai perkara itu, Dira yang dihubungi memberitahu, ia sekadar masalah teknikal ketika dia hendak berlepas ke Alor Setar, Kedah.

"Ketika itu saya dalam penerbangan hendak ke Alor Setar untuk menyambung penggambaran filem Lari. Tiba-tiba penerbangan yang saya naiki terpaksa ditangguhkan atas masalah teknikal dan tiada kejadian buruk pun yang berlaku," ujarnya.

Itu secebis kisah terbaharu Dira yang mungkin dianggap perkara biasa bagi golongan umum.

Namun, disebabkan dirinya bergelar artis sementelah pernah menimbulkan kontroversi hangat sehingga heboh satu negara sebelum ini, justeru apa sahaja yang dilakukan pelakon ini akan diikuti dan menjadi bualan ramai.

Sebenarnya, Dira kini dalam proses kebangkitan semula selepas terjerumus ke lembah kontroversi sebelum ini. Banyak impiannya yang kini digapai pemilik nama sebenar Khaidirah Abu Zahar ini.

Menggali niat dan tekad di hatinya itu, Dira yang ditemui semasa penggambaran filem Lari di Kuala Perlis, Perlis baru-baru ini menegaskan, dia masih lagi mahu meneruskan kerjayanya sebagai seorang pelakon.

Tidak mahu lagi dikaitkan dengan kisah hitam yang pernah dilaluinya dahulu, pelakon berusia 28 tahun itu enggan menoleh ke belakang lagi.

Dia kini mahu memberi fokus kepada bidang yang diceburinya sekarang.

AKSI lakonan Aaron dan Dira ketika menjalani penggambaran filem Lari di Alor Setar, Kedah baru-baru ini.


"Setelah apa yang berlaku memang saya agak jarang tampil menerusi drama dan telefilem serta media.

"Namun, ia tidak ada kena-mengena dengan kontroversi yang pernah dilaluinya sebelum ini. Sebenarnya saya lebih banyak memberikan tumpuan terhadap perniagaan, pelajaran dan tanggungjawab sebagai seorang ibu. Jadi, kini sudah tiba masanya saya kembali aktif dalam dunia seni," jelasnya.

Selain berlakon dan bergelar usahawan, Dira memberitahu jadual hariannya juga agak padat sejak bergelar pelajar di Universiti Teknologi Kreatif Lim Kok Wing (Limkokwing) dengan mengambil bidang Sarjana Filem Digital dan Televisyen.

Ditanya apa yang membuatkan dia menyambung pelajaran dalam bidang berkenaan memandangkan dia merupakan pelajar lepasan undang-undang, pelakon itu menyatakan ia sebagai langkah jangka panjang dalam karier seninya.

"Sepanjang bergelar seorang pelakon ternyata dunia lakonan sudah sebati dengan diri saya dengan pelbagai watak yang telah dibawakan. Jadi, lama-kelamaan timbul pula minat untuk menjadi seorang pengarah.

"Setakat ini saya sudah belajar serba sedikit terutamanya selok-belok kerja belakang tabir. Saya banyak bertanya dengan kru produksi setiap kali menjalani penggambaran drama atau telefilem," ujarnya.

AHMAD IDHAM (tengah) bersama empat pelakon filem Lari (dari kiri), Hazama, Dira, Erin Malik dan Aaron.


Dalam usaha memantapkan lagi ilmu pengetahuannya dalam dunia lakonan, akhirnya dia membuat keputusan untuk menyambung pelajaran dan kini tinggal setahun lagi untuk meneruskan pengajiannya.

"Kalau boleh saya tidak mahu menjadi pengarah yang sekadar bersandarkan kepada pengalaman semata-mata. Jadi, dengan cara sebegini pastinya ia dapat membantu saya memahami kerja-kerja lakonan dengan lebih mendalam.

"Saya akui pernah mendapat tawaran untuk menjadi pengarah, namun saya terpaksa menolaknya kerana merasakan masih belum bersedia buat masa sekarang dan masih dalam proses pembelajaran lagi," ujarnya.

Biarpun mengakui terpaksa memikul tanggungjawab yang besar kerana perlu memikul beberapa tugas dalam satu masa, namun isteri kepada pengarah fotografi, Helmi Yusof ini langsung tidak tertekan dengan situasinya sekarang.

Menurut Dira, setakat ini diari kehidupannya tetap berjalan seperti biasa dan berasa sangat beruntung kerana memiliki seorang suami yang begitu memahami dan sentiasa memberikan sokongan.

Walaupun sibuk dengan kerjaya lakonan, menguruskan perniagaan dan menyambung pelajaran, saya tidak akan melupakan tanggungjawab sebagai isteri dan ibu kepada anak yang kini semakin membesar," ujar ibu kepada Tengku Anggun Deandra yang kini berusia lima tahun.

Masih minat

Selain bergelar pelakon, nama Dira Abu Zahar juga tercatit sebagai seorang pengacara. Malah, dia juga pernah muncul sebagai pengacara rancangan Melodi dan bergandingan dengan Zizan Razak.

Bagaimanapun, ketika dia dilihat semakin serasi dengan rancangan tersebut, akhirnya Dira membuat keputusan drastik dengan menarik diri sebagai pengacara dan tempatnya digantikan dengan Awal Ashaari.

Menurut Dira, biarpun kelibatnya kini tidak lagi kelihatan sebagai pengacara selepas kali terakhir bersama Melodi, dia mengakui masih lagi berminat untuk mengacara.

"Buat masa sekarang saya bersedia mempertimbangkan sebaran tawaran menjadi pengacara. Cuma saya tidak lagi berminat mengacarakan program hiburan, sebaliknya saya lebih suka kepada program dokumentari atau pelancongan.

"Setakat ini belum ada lagi sebarang tawaran yang diterima, tetapi saya sedia mempertimbangkannya jika bersesuaian. Itupun kalau saya mempunyai kelapangan atau tidak terikat dengan kerja-kerja yang lain," ujarnya.

Meskipun masih lagi berminat menjadi pengacara, Dira menegaskan keutamaan tetap diberikan kepada bidang lakonan, manakala mengacara pula sekadar mengisi kekosongan jadual sekiranya tidak terlibat dengan pekerjaan yang lain.

Lari

Setelah tampil dengan filem Untuk Tiga Hari yang sudah ditayangkan di pawagam sejak 20 September lalu, kini Dira sedang sibuk menjalani penggambaran filem berjudul Lari terbitan Excellent Pictures.

Menurut Dira, dia tertarik untuk menerima tawaran berlakon filem berkenaan kerana tertarik dengan jalan cerita yang dipaparkan dan secara kebetulan tempoh penggambaran berlangsung semasa dia sedang cuti semester.

"Ini merupakan filem pertama lakonan saya dengan membawakan watak yang agak besar. Walaupun ia merupakan sebuah filem aksi, namun saya cuma terbabit dengan satu babak yang memerlukan saya melakonkan watak aksi.

"Berkenaan dengan gandingan bersama Aaron Aziz pula memang langsung tiada masalah untuk mencari keserasian kerana kami pernah berlakon bersama sebelum ini menerusi telefilem Akinabalu dua tahun lepas," jelasnya.

Pada masa yang sama, pelakon itu juga memberitahu bahawa dia memang sudah lama berhasrat bekerja di bawah arahan Ahmad Idham serta menimba pengalaman lebih banyak dengan pengarah tersebut.

Lari mengisahkan tentang Khalif (lakonan Aaron Aziz), seorang bekas askar yang sudah tujuh tahun tidak pulang ke kampung telah mendapat berita mengejutkan tentang kematian bapanya yang mati dibunuh, manakala adiknya iaitu Ina (Erin Malek) pula telah dilarikan oleh sindiket penyeludupan manusia.

Dalam masa yang sama KJ (Ery Putra) tidak menyenangi kepulangan Khalif kerana masih berdendam memandangkan isterinya, Maya (Dira Abu Zahar) merupakan bekas teman wanita Khalif.

Kutcher bikin Moore pengsan

Posted:

Kutcher bikin Moore pengsan


ASHTON KUTCHER dan Mila Kunis kini didakwa menuju ke gerbang perkahwinan.


PASANGAN selebriti, Ashton Kutcher dan Demi Moore sekali lagi menghangatkan dunia hiburan Hollywood. Jika sebelum ini kisah perpisahan mereka kerana kecurangan Kutcher menjadi tajuk utama selama beberapa bulan, kali ini aktor kacak tersebut sekali lagi mencetuskan kontroversi.

Menurut satu sumber, Kutcher telah membuatkan bekas isterinya, Moore jatuh pengsan selepas mendengar permintaan lelaki tersebut.

"Moore pengsan selepas mendengar Kutcher meminta izin untuk berkahwin dengan kekasihnya, Mila Kunis," ujar sumber tersebut.

Berita tentang Moore pengsan tersebut bagaimanapun belum dapat disahkan lagi.

Namun ada pihak yang percaya, Moore sememangnya pengsan sebaik mendengar permintaan yang sepatutnya tidak perlu diajukan kepadanya itu.

Ini kerana selepas berpisah dengan Kutcher, Moore mengalami masalah tekanan yang cukup hebat sehingga berat badannya turun mendadak.

Pada masa yang sama, sewaktu Kutcher dan Kunis kini berada di alam percintaan penuh bahagia, Moore sebaliknya pula semakin tertekan. Ini kerana selain putus hubungan dengan Kutcher, dia juga sudah lama tidak berlakon.

Era transformasi Soulstar 2012

Posted:

Era transformasi Soulstar 2012

Oleh MULLER ASEN
muller.asen@kosmo.com.my

SELAIN mampu menyanyi dengan baik, fizikal dan penampilan diri menjadi elemen utama untuk seseorang peserta Soulstar 2012 memikat hati juri dan penonton.


PROGRAM realiti nombor satu di Sarawak, Soulstar kini memasuki era transformasi ke arah pembentukan fenomena baharu dalam empayar hiburan di negeri tersebut.

Biarpun baru memasuki musim ketiga sejak diperkenalkan mulai tahun 2006, Soulstar 2012 yang berkonsepkan mirip Akademi Fantasia itu tidak ketinggalan daripada memiliki penangan dan keistimewaan tersendiri.

Perkara itu diakui sendiri oleh Pengasas Soulstar, Zaini Zainuddin yang optimis Soulstar 2012 bakal mendapat pengiktirafan dari seluruh rakyat Malaysia dan Bumi Kenyalang amnya menerusi penganjuran konsert yang lebih bertenaga dan menggemparkan.

Malah jelasnya, menerusi publisiti meluas akhbar Kosmo!, reputasi Soulstar 2012 pasti berada dalam kelasnya tersendiri.

Begitu juga dengan gandingan mantap kru produksi daripada E-One Dasri Talent Management dan Kampung Budaya Sarawak, populariti program realiti terbabit dilihat mampu mengalami lonjakan berganda.

Tambah Zaini, sebelum sesi uji bakat yang bermula pada 22 September lalu, Soulstar 2012 telah bersedia untuk menampilkan kelainan baharu selain episod kejutan yang sukar diramal.

Ujarnya, jika sebelum ini sesi uji bakat hanya dijalankan di pusat bandar raya Kuching, namun kini segala-galanya akan berubah. Begitu juga dengan siri penganjuran konsert mingguan.

"Saya bersama pasukan produksi akan menjelajah ke beberapa kawasan luar bandar terpilih mencari bakat-bakat sensasi baharu untuk mewarnai dunia seni hiburan negara.

"Kami tidak kisah sama ada mereka terdiri daripada orang kampung atau bandar. Jika mereka mempunyai bakat dan kebolehan selain kemantapan vokal, kami bersedia menerima mereka sebagai pelajar Soulstar 2012," katanya yang turut memberitahu Soulstar musim ketiga ini turut membuka penyertaan kepada para pencinta seni hiburan dari Semenanjung dan Sabah.

Zaini juga memberitahu antara kelainan yang diperkenalkan ialah menggunakan khidmat penuntut Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) untuk membuat rakaman setiap kali konsert berlangsung.

CUBA NASIB. Seorang peserta perempuan memperdengarkan vokalnya dalam uji bakat Soulstar 2012 baru-baru ini.


"Pembabitan sulung pelajar dari Fakulti Seni Gunaan dan Kreatif ini pasti meluaskan lagi publisiti rancangan realiti Soulstar yang akan memuat turun video konsert berkenaan dalam YouTube dan laman sosial Facebook.

"Ini merupakan antara pendekatan terbaharu kita untuk memudahkan proses undian pelajar. Undian boleh dibuat secara atas talian menerusi laman sesawang dan laman sosial rasmi Soulstar," katanya.

Zaini turut memberitahu, Soulstar 2012 bakal mencipta satu fenomena kerana buat pertama kalinya program realiti TV itu menjalinkan kerjasama dengan akhbar kompak Kosmo!.

Langkah itu pasti memberikan impak yang lebih, khususnya bagi sesebuah ahli keluarga yang menonton konsert dan kemudian bersama-sama mengalirkan air mata serta bergelak ketawa bersama pelajar-pelajar yang bertanding.

"Kita bagai satu keluarga besar. Walaupun pada hakikatnya, mereka bukan ahli keluarga kita. Kita boleh turut mengalami apakah perasaan yang dialami pelajar-pelajar ini.

"Kita boleh sedih bersama-sama pelajar tersebut. Kita boleh ketawa dengan telatah mereka dan kita boleh sama-sama melalui detik-detik debaran bagi mengetahui siapa bakal tersingkir. Itulah magis rancangan ini yang boleh menyatukan seisi keluarga menerusi Kosmo!," katanya.

Sementara itu, Iwan Dasri yang dikekalkan untuk menyandang kerusi panas pengetua Soulstar memberitahu setiap musim Soulstar terdapat lapan konsert termasuk minggu akhir.

Katanya, setelah pelajar-pelajar siap dipilih kelak, mereka (kru produksi) merancang untuk menempatkan mereka di sebuah pusat yang dikenali sebagai Akademi Soulstar.

Para pelajar akan menghabiskan sepenuh masa mereka dengan berlatih menyanyikan lagu tugasan, berlakon, dan menari, serta aktiviti lain yang berkaitan dengan seni persembahan selama lapan minggu di dalam Akademi.

SEORANG peserta sedang ditemu bual dalam sesi pemilihan Soulstar 2012.


"Kelas-kelas tersebut akan dikendalikan oleh tenaga pengajar yang bertauliah (yang dipanggil 'cikgu'), yang mana mereka sememangnya telah diiktiraf menerusi karier mereka dalam industri hiburan," jelasnya.

Bagi Iwan, selepas diberi kepercayaan buat kali kedua menerajui tenaga-tenaga pengajar lain, dia yakin Soulstar 2012 akan memberi impak maksimum kepada semua pelajar terpilih selain peminat dan pengundi setia Soulstar.

Tambahnya, banyak perkara yang perlu dia lakukan bersama tenaga pengajar seperti guru vokal dan guru drama untuk membentuk para pelajar Soulstar menjadi seorang yang serba lengkap dalam bidang nyanyian dan lakonan suatu hari nanti.

"Kita tidak mahu melahirkan penyanyi yang hanya merdu dalam studio dan rakaman tetapi apabila berada di atas pentas mereka gagal. Terus terang, saya tidak pernah berasa puas ketika memberikan tunjuk ajar sepanjang Soulstar musim kedua lalu.

"Saya akan sentiasa mencari kesalahan pelajar dan berusaha menambah kaedah lain untuk memperkuatkan kelemahan dan mengangkat kekuatan mana-mana pelajar yang memerlukannya," katanya.

Ditanya sama ada dia berpuas hati dengan perjalanan konsert mingguan musim kedua tahun lalu, jelas Iwan, dia amat berpuas hati meskipun pada konsert pengenalan agak kurang lancar perjalanannya.

Namun bagi Iwan, itu semua lumrah kerana sesebuah program realiti tidak akan dapat lari daripada kesilapan. Begitu juga dengan pelajar-pelajar Soulstar kerana ada yang tidak menepati gagal dan lemah ketika mengadakan persembahan, tetapi ia tidak mencacatkan konsert.

Kredit: www.kosmo.com.my
 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved