Sabtu, 6 Oktober 2012

Kosmo Online - Rencana Utama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Boleh dilombong 1,000 tahun lagi

Posted:

Boleh dilombong 1,000 tahun lagi

PADA 125 tahun dahulu, nama Sungai Lembing dikenali Barat sebagai perkampungan berbukit yang sangat kaya dengan bijih timah.

Reputasi lombong bawah tanahnya yang pernah diangkat sebagai pengeluar bijih terbesar dunia menjadikan pekan kecil yang terletak 42 kilometer di barat laut Kuantan ini lebih maju dan terkenal berbanding kawasan lain di Pahang.

Malah, ada yang menyifatkan Sungai Lembing lebih dikenali berbanding Kuantan manakala popularitinya sama seperti Singapura ketika itu.

Menurut fakta, lombong bijih bawah tanah di Sungai Lembing dibuka oleh lelaki Cina, Lim Ah Sam pada tahun 1868. Ia kemudian diusahakan secara intensif oleh syarikat yang dikuasai British iaitu The Pahang Corporation Limited pada tahun 1887.

Bagaimanapun, kegiatan perlombongan bijih timah dilakukan secara besar-besaran pada tahun 1906 sebaik sahaja pengurusan lombong diambil alih oleh sebuah syarikat British, The Pahang Consolidated Company Limited (PCCL).

Pada zaman kegemilangannya, Sungai Lembing dilengkapi kemudahan asas seperti sekolah, hospital, balai polis, kediaman tersusun, sistem pengangkutan yang baik dan banyak lagi.

Ikat perut

Namun, harga bijih di pasaran yang jatuh merudum pada tahun 1985 menyebabkan lombong bawah tanah sepanjang 322 kilometer dengan kedalaman sehingga 700 meter itu terpaksa ditutup pada September 1986.


BAHAGIAN muzium yang dibina khas menyerupai keadaan di dalam lombong bijih timah.


"Bila harga bijih jatuh, PCCL tanggung banyak kerugian dan terpaksa hentikan operasinya.

"Bila lombong ditutup dan orang British balik ke England, aktiviti ekonomi di Sungai Lembing yang dahulunya berkembang maju, mula merosot.

"Ramai pekerja lombong terpaksa menganggur dan berpindah ke kawasan lain demi kelangsungan hidup.

"Ketika lombong masih beroperasi, ada lebih kurang 10,000 penduduk di Sungai Lembing dan sebahagian besarnya bekerja di lombong.

"Apabila lombong ditutup, ramai yang hilang pekerjaan dan terpaksa mengikat perut sebelum mendapat kerja baru.

"Hidup pada masa itu memang susah hinggakan ada keluarga yang terpaksa berbuka puasa dengan air kosong dan buah jambu batu," ujar bekas pekerja lombong, Hussin Gapor, 77.

Beliau bagaimanapun sudah berhenti kerja beberapa tahun sebelum PCCL menghentikan oeprasinya.

Lahir dalam keluarga pelombong, Hussin memberitahu, arwah bapanya, Gapor Abu Bakar, merupakan anak kelahiran Sarawak yang merantau ke Sungai Lembing untuk bekerja di situ.

"Menurut cerita bapa yang datang ke sini sekitar tahun 1920-an, selain orang tempatan, ramai orang Sarawak yang datang bekerja di sini, sama ada di lombong, di kilang atau bekerja di pejabat sebagai budak suruhan," ujarnya yang sempat bekerja di empat jabatan berbeza selama 10 tahun berkhidmat di lombong tersebut.

Mendengar pengalaman lelaki ini bekerja di lombong bawah tanah pada tahun 1950-an, rasa kagum menjalar dalam diri.

"Ketika itu, semua pekerja lombong hidup mewah. Makanan, pakaian, ubat-ubatan, malah rokok pun semuanya datang dari England. Kami membelinya di sebuah kedai bebas cukai yang dibina dalam kawasan perkampungan British di sini. Harganya jauh lebih murah daripada yang dibeli di Kuantan.

"Kalau kami ke Kuantan, orang luar memang mudah mengenali orang Sungai Lembing. Kami pakai baju Burdle atau Arrow, seluar Dobi, kasut John White atau Clarks dan menyalakan rokok import.


TEROWONG asal yang menjadi laluan masuk para pekerja lombong suatu masa dahulu.


"Memang bergaya habis. Kalau ada anak dara Sungai Lembing yang dipinang orang, hantarannya juga lebih tinggi berbanding tempat lain," katanya yang diberi gaji 34 dolar British sebulan pada awal tahun 1950-an.

Sebagai hiburan pula, sebuah panggung wayang dibina betul-betul di pekan bagi memberi peluang pekerja dan keluarga menonton filem dari Britain dan Hollywood.

Jawatan terakhir Hussin ialah jurutinjau bawah tanah yang bertanggungjawab memantau keadaan struktur terowong dan memastikan ia selamat dilalui.

"Teknologi perlombongan bawah tanah British memang sangat maju. Mereka sangat peka dengan keselamatan pekerja.

"Keadaan di dalam lombong tidak ubah seperti satu menara yang sangat tinggi, yang dimasuki melalui bahagian atasnya.

"Terdapat lebih 20 tingkat lombong di dalam tanah dan jarak setiap tingkat ialah 30 meter. Di setiap tingkat pula, terdapat banyak cabangnya.

Enam jam

"Empat tahun saya kerja di bawah. Setiap hari, saya akan turun dan meninjau keadaan struktur dan trafik di dalam terowong.

"Namun, seorang pekerja hanya boleh berada di bawah tanah tidak lebih daripada enam jam kerana kekurangan oksigen dan hawanya yang panas boleh menyebabkan pekerja pengsan.

"Disebabkan itu, kami memakai seluar pendek sahaja ketika bekerja di bawah," katanya.

Bagi penyelia letupan terowong, Lee Yon, 71, pengalaman bekerja selama 23 tahun di lombong berkenaan meninggalkan kesan mendalam dalam jiwanya.

"Ia adalah kenangan yang sangat mahal nilainya. Sebagai penyelia letupan terowong, saya ditugaskan hanya untuk meletupkan terowong.

"Tetapi sebelum itu, saya perlu pastikan struktur batunya kuat dan tiada pekerja berada di kawasan berhampiran.

"Selepas meletupkan batu untuk dijadikan terowong, saya dan seorang rakan British akan memastikan struktur bekas letupan kukuh bagi mengelakkan risiko runtuhan," katanya.

Sebagai pengabdian memorinya sebagai bekas pekerja lombong, Yon menebuk bukit kecil di belakang rumahnya untuk dijadikan terowong mini.

"Saya buat sendiri menggunakan tukul besi dan pahat batu. Terowong yang kecil itu mengambil masa lima bulan untuk disiapkan sementara terowong yang lebih panjang saya habiskan masa setahun untuk menebuknya," ujarnya yang membuka galeri kristal di rumahnya.

Sepanjang lebih 100 tahun beroperasi, dianggarkan lombong ini telah mengeluarkan sebanyak 3 bilion tan bijih timah.

Hussin percaya, berdasarkan pemantauannya semasa bekerja dahulu, masih terdapat banyak bijih yang tersimpan di terowong bawah tanah.

"Saya yakin, jika dilombong 1,000 tahun lagi, bijih di Sungai Lembing belum tentu habis. Percayalah," katanya.

Lombong yang terbiar itu sudah lama ditenggelami air dan tidak boleh dimasuki lagi.

BADRUL Hisham di hadapan terowong yang satu masa dahulu dibina khas untuk mengalirkan air yang dipam dari bawah tanah.


"Di bawah ini, terdapat khazanah bumi Pahang yang tidak ternilai jumlahnya. Sayang sekali, dengan keadaannya sekarang, ia hampir mustahil untuk dikeringkan dan dibuka semula.

"Saya harap, kawasan lombong warisan sejarah ini dapat terus dipelihara untuk tatapan generasi akan datang," ujar Hussin.

Vanessa si penggerudi

Posted:

Vanessa si penggerudi

Oleh MEGAT LUTFI MEGAT RAHIM


VANESSA terus memulakan perniagaan sebaik sahaja tamat pengajian di Britain.


VANESSA TSHAI, 31, selesa mengenakan seluar jean serta baju-T ringkas semasa bekerja mahupun berlibur. Malah, pada usia yang masih muda, dia sudah pun memiliki perniagaan sendiri dalam bidang hiasan dalaman.

Walaupun bergelar bos wanita, dia tidak menyerahkan segala urusan bulat-bulat kepada pekerjanya.

Ketika ditemui di pejabatnya yang terletak di Kajang, Selangor baru-baru ini, alat penggerudi elektrik sentiasa ada di tangannya. Vanessa menggunakan alat itu untuk menyiapkan rekaan berasaskan kayu seperti almari dan dinding untuk hiasan dalaman rumah pelanggannya.

"Jangan sangka wanita tidak boleh buat kerja-kerja berat serta rumit yang selalunya dilakukankan kaum lelaki. Saya sebenarnya mahir menggunakan gerudi ini sejak berumur lapan tahun lagi.

Nasi Arab

"Bukan itu sahaja, saya juga boleh menggunakan mesin pemotong serta gergaji elektrik," katanya.

Ternyata, Vanessa teliti dalam kerja menyiapkan rak perhiasan itu.

"Cuma kini saya mempunyai 10 pekerja yang membantu melakukan kerja-kerja sebegini. Jadi, saya boleh menumpukan perhatian pada rekaan serta berhubung dengan pelanggan," katanya.

Keberanian Vanessa berbaloi apabila dia mendapat kepercayaan ramai pelanggan termasuk yang datang dari Singapura dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Tutur Vanessa, projek rumah mewah di Dubai merupakan yang paling mencabar untuk dirinya.

Ini kerana dia perlu menyiapkan kelengkapan dan hiasan dalaman kediaman yang dibina di padang pasir.

"Selain itu, kos pergi dan balik ke negara itu menelan belanja yang tinggi, jadi hasilnya harus pada tahap maksimum.

"Ini juga dapat membina reputasi syarikat saya kerana Dubai dikenali dengan kemasukan pelbagai pelabur asing dari seluruh dunia. Dengan bantuan rakan-rakan, projek itu dapat disiapkan mengikut jadual," cerita Vanessa.

Mengimbau kembali kenangan menyiapkan projek itu pada tahun 2009, Vanessa berkata, dia tertarik dengan kepelbagaian makanan serta kecanggihan struktur bangunan di negara Arab itu.

"Saya gemar makan nasi Arab. Boleh dikatakan hampir setiap hari.

"Tetapi ia tidak menggemukkan. Rasanya juga enak," katanya.

Wanita ini secara jujur menceritakan bahawa dia bagaimanapun tidak tertarik dengan lelaki Arab yang agak kacak penampilannya walaupun dirinya masih bujang.

Tidak lengkap berbicara dengan Vanessa sekiranya tidak berbual mengenai perniagaannya kini.

Dia menceritakan, perniagaannya bermula sebaik sahaja menamatkan pengajian di Universiti Metropolitan Manchester, Britain pada tahun 2004.

Sebelum itu, dia memperoleh pengalaman berguna kerana membantu menyiapkan bangunan Royal Bank of Scotland semasa menjalani latihan praktikal dengan Sheppard Robson yang merupakan antara 10 firma arkitek terkenal di London.

"Sebaik sahaja tamat pengajian, saya menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan di rumah bermodalkan sebuah komputer riba.

"Saya berhubung dengan pelanggan yang diperkenalkan oleh rakan-rakan menggunakan e-mel," ujarnya.

Todak

Bercerita mengenai hiasan dalaman, Vanessa berkata, ia tidak memerlukan perbelanjaan yang besar.

"Apa yang penting ialah ruang, pencahayaan selain pemilihan warna yang betul untuk hiasan dalaman yang menarik," ujarnya.

Vanessa turut berkongsi mengenai kegemarannya melancong khususnya ke negara seperti Perancis, Itali, Singapura dan negara-negara Asia Barat.

"Melancong bukan sekadar untuk menenangkan fikiran. Saya mempelajari rekaan terkini hotel dan kediaman mewah di negara yang dilawati," katanya.

Jarang sekali wanita gemar memancing tetapi tidak bagi Vanessa yang tidak lepas daripada senyuman ini.

"Saya mula serius dengan hobi memancing sejak setahun yang lalu. Selalunya saya memancing di laut bersama rakan-rakan.

"Kebiasaannya, kami akan menyewa bot untuk tujuan itu. Ia mengambil masa selama beberapa hari di laut. Ikan yang gemar dipancing pula ialah ikan todak dengan lokasinya biasanya di Pulau Pangkor, Perak.

"Ikan todak sifatnya lebih agresif dan gemar melompat tinggi sekali gus membuatkan adrenalin si pemancing memuncak," cerita Vanessa.

Selain itu, dia juga gemar memancing di kolam ikan sewaan sekitar rumahnya.

"Memancing adakalanya memenatkan dan membosankan kerana kita perlu menunggu lama sebelum umpan dimakan ikan ," terang Vanessa.

Genderuwa suami hantu kopek

Posted:

Genderuwa suami hantu kopek

Susunan SYALMIZI HAMID


GENDERUWA dikatakan memiliki fizikal yang besar, berbulu dan berwarna hitam.


TANAH Jawa, Indonesia dikatakan satu-satunya lokasi untuk menemui makhluk halus yang dikenali sebagai genderuwa. Dalam bahasa masyarakat Sunda, ia dipanggil genderuwo.

Menurut catatan orang tempatan, makhluk tersebut merupakan jelmaan jin yang terdapat di kawasan Slogohimo dan Wonogiri, Jawa Tengah serta Kulon Progo di Jogjakarta, Indonesia.

Ia gemar mendiami kawasan sunyi terutamanya tempat berbatu dan berair, pokok besar, bangunan lama dan tempat yang jauh daripada manusia.

Fizikal makhluk ini sering diterjemah seperti manusia atau monyet tetapi saiznya lebih besar, memiliki kulit berwarna hitam kemerahan dan badannya ditumbuhi bulu.

Sering menjadi bahan cerita orang tua untuk menakutkan kanak-kanak dan anak gadis agar mendengar kata di Jawa, genderuwa juga dikatakan boleh berubah rupa.

Selain itu, sesetengah rakyat Indonesia percaya genderuwa merupakan jelmaan orang yang mati yang mayatnya tidak diuruskan dengan sempurna.

Penulis kisah misteri Indonesia, R. P. Suyono dalam bukunya yang berjudul Dunia Mistik Orang Jawa menjelaskan bahawa genderuwa memiliki sifat yang boleh menampakkan diri dalam pelbagai bentuk.

Pada waktu siang makhluk tersebut boleh menonjolkan dirinya seperti ular, buaya, burung pemangsa atau haiwan ganas lain yang sering ditakuti manusia.

"Pada malam hari pula genderuwa boleh berubah menjadi seperti lelaki dan menganggu wanita yang suka berjalan sendirian di kawasan sunyi," ujar Suyono mengenai makhluk kepercayaan agama Hindu dan Buddha itu.

Genderuwa terkenal dengan sifatnya yang gemar menganggu manusia. Masyarakat Jawa percaya bahawa apabila kedengaran seperti sesuatu dicampakkan di atas bumbung rumah, itu adalah angkara genderuwa.

"Makhluk itu memang suka mengganggu manusia dengan cara melempar batu ke atap rumah penduduk kampung atau meludah pada orang dan haiwan dengan air liur sirih.

Isteri

"Orang Jawa percaya apabila lampu yang terpadam dan hidup kembali juga merupakan kerja genderuwa. Ia turut mengetuk dan menggoncang pintu dan tingkap rumah penduduk," katanya lagi.

Biarpun menurut Suyono bahawa genderuwa tidak merbahaya dan sekadar muncul untuk menganggu ketenteraman manusia, namun makhluk tersebut boleh menyebabkan kematian.

Dipercayai bahawa mereka yang terserempak dengan genderuwa akan terkejut kerana ketakutan sehingga akhirnya menemui ajal.

Tambahnya juga, genderuwa mempunyai isteri yang dikenali sebagai wewe gombel. Ia digambarkan sebagai makhluk yang berupa orang tua yang menakutkan.

"Badan wewe kurus dan kerepot. Buah dadanya panjang dan tergantung hingga mencecah lantai. Makhluk itu mencari kanak-kanak pada waktu senja dan disembunyikan di bawah dadanya," jelas Suyono mengenai makhluk yang mempunyai sifat sama dengan hantu kopek yang popular di negara ini.

Menurut versi cerita masyarakat tempatan, genderuwa merupakan lembaga yang memiliki nafsu seksual yang tinggi.

Ia boleh menyamar sebagai suami kepada seorang wanita yang ingin ditidurinya dan melakukan hubungan intim dengan wanita tersebut.

Dikhabarkan genderuwa juga boleh menyebabkan seseorang wanita yang kesepian hamil apabila bersekedudukan dengannya.

"Ia sering mencari wanita kesepian untuk bersama," kata seorang penduduk di Kebumen, Jawa Tengah, Indonesia, Didik Budi.

"Genderuwa berupaya menarik wanita untuk melakukan seks dengannya. Menurut cerita, makhluk itu boleh memberikan kepuasan yang lebih kepada wanita terbabit.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Negara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Negara


Bahaya mandi wap melampau

Posted:

Bahaya mandi wap melampau

Oleh MUHAMMAD IZWAN MOHD. ISA
berita@kosmo.com.my

RAMAI pengunjung gimnasium tidak sedar rawatan mandi wap selepas bersenam boleh melemahkan sistem pembiakan mereka. - Gambar hiasan


KUALA LUMPUR - Seorang pakar kesuburan lelaki mendakwa, mandi wap yang menjadi kegilaan golongan itu di bandar-bandar besar selepas bersenam di gimnasium boleh melemahkan fungsi sel sperma yang terkandung dalam testis (buah zakar) mereka.

Lebih menggerunkan, statistik perubatan membuktikan kira-kira 40 peratus masalah tidak boleh hamil yang dihadapi oleh wanita yang berkahwin berlaku akibat ketidaksuburan kaum lelaki.

Dr. Eeson Sinthamoney yang merupakan pakar Perbidanan, Sakit Puan dan Kesuburan di Hospital Pantai di sini berkata, rawatan tersebut yang memerlukan kepanasan wap antara 60 darjah Celsius hingga 100 darjah Celsius menyebabkan tubuh seseorang terdedah pada suhu yang terlalu tinggi.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Rayu susu formula bayi jadi barangan kawalan

Posted:

Rayu susu formula bayi jadi barangan kawalan

Oleh ZULKIFLI MANZOR
zulkifli.manzor@kosmo.com.my

SEBAHAGIAN susu formula bayi yang dijual di sebuah pasar raya di Kuala Lumpur.


KUALA LUMPUR - Orang ramai terutama golongan ibu bapa meminta kerajaan menjadikan susu formula bayi sebagai barangan kawalan bagi mengawal harga susu itu yang semakin meningkat akhir-akhir ini.

Pegawai sebuah syarikat swasta, Wanda Mohd. Rashid, 38, berkata, langkah menjadikan susu formula bayi sebagai barangan kawalan juga membolehkan golongan ibu bapa membeli susu yang lebih berkualiti untuk bayi mereka.

"Saya harap harga susu bayi jadi barangan kawalan supaya harganya dapat direndahkan. Jika harga susu murah, saya boleh beli susu yang lebih berkualiti untuk anak saya," katanya ketika ditemui Kosmo! Ahad di sini semalam.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

PM harap dapat mandat besar PRU-13

Posted:

PM harap dapat mandat besar PRU-13

NAJIB menepung tawar pasangan pengantin, Mohd. Hafiz dan Nur Asdayana pada majlis persandingan pasangan itu di Kijal, Kemaman semalam.


KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berharap beliau akan diberikan mandat yang besar pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) akan datang untuk terus berkhidmat kepada rakyat dan menjadikan Malaysia sebuah negara maju menjelang tahun 2020.

Bercakap dalam satu temu bual dalam program CNBC Conversation yang dihoskan oleh pengacara terkenal, Martin Soong yang disiarkan melalui Astro CNBC (Saluran 518) semalam, Najib berkata, tempoh lima tahun akan datang adalah sangat penting bagi kerajaan untuk menunaikan janji dan komitmen yang dibuat oleh pemimpin-pemimpin terdahulu kepada negara.

"Saya ingin mendapat mandat yang besar, Martin, kerana bagi mencapai visi kami menjadi sebuah negara maju menjelang 2020, tempoh lima tahun akan datang ini akan menjadi sangat penting. Sangat penting kerana anda bercakap mengenai pusingan akhir.

"Anda bercakap mengenai bahagian terakhir ini dan ia adalah bahagian paling penting kerana kami benar-benar perlu untuk melaksanakannya," kata beliau.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Sukan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Gol semangat

Posted:

Gol semangat

ANGKATAN Tentera Malaysia (ATM) menarik nafas lega apabila berjaya mengikat Lions XII dengan keputusan seri 1-1 pada aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Jalan Besar, Singapura malam tadi.

Jaringan penyerang import, Marlon Alex James pada minit ke-52 boleh dianggap 'gol semangat' buat ATM sebelum melayan kunjungan Lions XII pada aksi separuh akhir kedua di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, 11 Oktober ini.

Pada aksi malam tadi, kedua-dua pasukan menampilkan corak permainan secara menyerang ke kubu lawan masing-masing.

ATM terlebih dulu menghukum tuan rumah apabila Marlon bijak menggunakan kelebihan fizikalnya untuk melepasi tonggak pertahanan Lions XII, Baihakki Khaizan sebelum melepaskan rembatan untuk menewaskan penjaga gol, Mohamad Izwan Mahbud.

Bagaimanapun, kedudukan itu tidak bertahan lama apabila Lions XII memperoleh gol penyamaan menerusi Muhammad Safuwan Baharuddin pada minit ke-80.

Gol tersebut berpunca daripada sepakan percuma sebelum Safuwan menanduk masuk bola ke gawang ATM yang dikemudi penjaga gol, Farizal Harun.

Biarpun gagal meraih kemenangan, pujian harus diberikan kepada ATM yang tampil buat kali pertama di atas padang rumput tiruan.

Pada masa yang sama, pengendali ATM, B. Sathianathan juga tidak dapat menurunkan barisan terbaik selepas penyerang kebangsaan, Zaquan Adha Abdul Radzak menjalani penggantungan satu perlawanan.

Bagaimanapun, Zaquan akan kembali memperkuat cabaran ATM bagi menghadapi aksi separuh akhir kedua nanti.

Sasaran baharu Azizulhasni

Posted:

Sasaran baharu Azizulhasni


AZIZULHASNI kini mahu memberi tumpuan bagi menghadapi dua kejohanan utama pada awal tahun depan.


SELEPAS gagal menyumbang pingat pada Sukan Olimpik 2012 di London, pelumba sensasi negara, Mohd. Azizulhasni Awang kini mahu memberi persiapan bagi menghadapi Kejohanan Trek Dunia Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) di Minsk, Belarus.

"Sebelum menghadapi Kejohanan Trek Dunia UCI di Belarus, saya akan sertai Piala Dunia di Mexico.

"Bagaimanapun, saya tidak letak sasaran tinggi pada Piala Dunia nanti," kata Azizulhasni pada sidang akhbar selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang peraduan Olympic Games Spend & Win anjuran Visa di Menara Maxis, Kuala Lumpur semalam.

Piala Dunia dijadual berlangsung pada 17 hingga 19 Januari 2013, manakala Kejohanan Trek Dunia UCI (20 hingga 24 Februari 2013).

"Selepas Olimpik, saya ada dua tiga kali tengok balik video (perlumbaan akhir keirin), saya rasa sedih. Kalau ikutkan hati, saya memang tidak mahu tengok balik video itu kerana saya memang ada peluang untuk menang tetapi tidak ada rezeki walaupun telah cuba buat yang terbaik.

"Saya sudah memulakan latihan di Ipoh selepas Hari Raya. Latihan saya banyak dijalankan di jalan raya dan juga gimnasium. Setakat ini masih belum buat latihan di velodrom," katanya.

Selain kedua-dua kejohanan berprestij itu, fokus Azizulhasni juga tertumpu kepada temasya Sukan Asia di Incheon, Korea Selatan dan Sukan Komanwel di Glasgow, Scotland, masing-masing berlangsung pada 2014.

"Saya teruja untuk kembali bersaing dengan jaguh dunia, Chris Hoy yang dijangka beraksi pada Sukan Komanwel. Ia sebahagian daripada motivasi untuk saya. Saya berazam untuk cuba kalahkan dia," katanya.

Menurut Azizulhasni yang terkenal dengan gelaran The Pocketrocketman, dia akan kembali menyambung latihan di Melbourne, Australia pada Disember depan.

"Sekembali ke sana, saya akan sertai karnival berbasikal di Tasmania pada penghujung Disember. Saya sertai kejohanan itu sebagai sebahagian daripada program latihan saya," katanya.

Dalam perkembangan lain, Azizulhasni menyambut baik pengumuman Bajet 2013 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung peruntukan untuk persediaan atlet bagi menghadapi Sukan Olimpik Rio de Janeiro 2016 dan pembinaan velodrom tertutup di Seremban, Negeri Sembilan.

"Bila Perdana Menteri umum belanjawan untuk Olimpik Rio dan velodrom tertutup itu, saya memang teruja sangat dan terus saya tweet ucap terima kasih kepada PM.

"Saya memang gembira sangat, saya memang tunggu dari dulu akan sebuah velodrom tertutup. Dulu saya pernah suarakan perkara ini di laman media sosial dan mana-mana wawancara dengan media sebelum ini.

"Ia adalah sesuatu yang bagus untuk arena berbasikal di negara ini," katanya.

Gergasi Merah tekad benam ego Kelantan

Posted:

Gergasi Merah tekad benam ego Kelantan

Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
fazli.yadi@kosmo.com.my


SKUAD Selangor sudah bersedia mencalar reputasi Kelantan
di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu malam ini.


STADIUM Sultan Muhammad IV di Kota Bahru dianggap gelanggang keramat buat Kelantan.

Ini kerana stadium yang mempunyai kapasiti 30,000 tempat duduk itu sentiasa menjadi igauan kepada pasukan pelawat.

Sebagai rekod, kali terakhir Kelantan tumbang di gelanggang sendiri ialah ketika tewas 1-2 kepada T-Team pada aksi Liga Super, musim lalu.

Malam ini, Kelantan akan melayan kunjungan Selangor bagi menghadapi aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia.

Atas kertas, Kelantan masih lagi dilihat memiliki kelebihan berdasarkan kepada rekod cemerlang skuad The Red Warriors itu apabila beraksi di gelanggang sendiri.

Kehadiran ribuan penyokong fanatik Kelantan pastinya menghadirkan rasa gerun buat Sang Gergasi Merah yang berazam mencalarkan reputasi cemerlang The Red Warriors.

Menyedari anak-anak buahnya bakal menghadapi ranjau berliku malam ini, jurulatih Selangor, Irfan Bakti Abu Salim tidak mahu Gergasi Merah beraksi dalam keadaan tertekan sehingga mengundang padah buat mereka.

"Kami mahu bermain secara enjoy. Kita semua sudah tahu bahawa Kelantan cukup kebal beraksi di Stadium Sultan Muhammad IV tetapi kami sudah bersiap sedia menghadapi setiap cabaran yang mendatang.

"Saya tidak mahu mempedulikan apa yang berlaku di luar padang kerana fokus kami adalah 11 pemain sahaja.

"Ada 180 minit untuk perlawanan ini (separuh akhir). Jadi kami mahu peluang 90 minit pertama dengan sebaik mungkin untuk merobek gawang Kelantan.

"Ia amat penting sebagai bekalan terbaik sebelum kami beraksi di Stadium Shah Alam pada 12 Oktober ini (bagi aksi separuh akhir kedua).

"Paling mustahak, saya mahu pemain-pemain mengekalkan prestasi terbaik mereka selepas beraksi cemerlang sepanjang kempen Piala Malaysia sebelum ini," kata Irfan kepada Kosmo! semalam.

Dalam masa yang sama, Irfan menegaskan bahawa barisan pemainnya terutama benteng pertahanan harus memberikan tumpuan dan lebih berdisiplin bagi mengekang asakan Kelantan.

"Ketenangan paling mustahak tetapi kami juga tidak boleh terlalu santai.

"Sikap agresif itu harus ada dan seperti yang saya katakan tadi, kami sudah bersedia dari segi fizikal dan mental bagi menghadapi Kelantan," katanya.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Varia

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Varia


Futsal Neon Dashing

Posted:

Futsal Neon Dashing

DASHING jenama terunggul untuk produk dandanan lelaki membawakan Futsal Neon Dashing 2012 bermula Oktober ini.


PERNAHKAH anda terfikir bermain futsal di dalam gelap sambil disinari lampu neon? Kini anda boleh merasainya.

Dashing, jenama terunggul bagi produk dandanan diri lelaki akan menjadikan cabaran itu lebih menarik menerusi kejohanan futsal neon yang pertama seumpamanya di Malaysia.

Dalam pertandingan mencabar itu, futsal akan dimainkan di bawah cahaya lampu neon bersama pemain-pemain yang turut menyarungkan pakaian sukan neon agar mereka tampak bercahaya.

Bermula daripada bola, jersi sehinggalah tiang gol, semuanya akan disediakan dalam lampu neon yang pasti menjanjikan pengalaman unik kepada para peserta.

"Futsal adalah sukan yang digemari majoriti lelaki Malaysia. Kami mahu membawakan permainan yang menarik kepada pelanggan, namun dengan sedikit pengubahsuaian yang tidak hanya seronok, malah penuh cabaran. Konsep futsal neon membolehkan mereka menonjolkan keyakinan diri, sama seperti kualiti yang dipegang Dashing," kata Christina Yong, Pengurus Besar (pemasaran) bagi Wipro Unza (M) Sdn. Bhd.

Siri jelajah

Katanya lagi: "Kami telah mencipta Cabaran Skor Dashing sebagai kejohanan yang menyeronokkan bagi pelanggan Dashing yang mencintai sukan futsal. Kejohanan di seluruh negara akan dilaksanakan mengikut kawasan di Kuala Lumpur, Kluang, Johor, Kuala Terengganu, Terengganu dan Pulau Pinang. Setiap pemenang kawasan akan bertarung dalam pertandingan akhir di Kuala Lumpur."

Perlawanan setiap kawasan akan bermula pada bulan November dengan pertandingan akhir bakal berlangsung pada 8 Disember 2012.

"Bagaimanapun, proses merekrut pasukan akan bermula pada bulan Oktober ini. Selain daripada pengalaman menyeronokkan, para peserta juga berentap bagi memenangi hadiah bernilai lebih RM20,000. Ganjaran utama bagi juara kejohanan selain wang tunai berjumlah RM7,000 adalah lawatan ke studio ESPN di Singapura. Ini merupakan pengalaman yang unik dan pasti tidak dapat dilupakan," jelas Dwakara, Pengurus Pemasaran Dashing.

Sekiranya anda teruja dengan cabaran itu dan mahu mencuba nasib dalam futsal neon bersama kumpulan anda seramai tujuh orang, ikuti langkah-langkah berikut.

Beli produk Dashing bernilai RM200 dalam satu resit tunggal atau maksimum tujuh resit berasingan dalam bulan Oktober 2012.

Langkah itu hanya memerlukan setiap pemain melaburkan sebanyak RM30 bagi kelayakan penyertaan. Kemudian, daftar kumpulan anda dengan mengisi borang yang disediakan di semua kaunter-kaunter utama Dashing.

Borang itu juga boleh didapati di lokasi jelajah Dashing yang akan dijalankan di beberapa lokasi dan kolej (maklumat lanjut boleh didapati di laman Facebook Dashing www.facebook.com/dashingformen).

Serahkan semula borang penyertaan kepada jurujual kaunter atau poskan kepada Wipro Unza berserta resit pembelian.

Bagi memudahkan urusan, borang juga boleh dimuat turun melalui laman Facebook Dashing For Men dan kembalikan borang yang telah diisi bersama-sama salinan imbasan resit bukti pembelian kepada cabaranskordashing@gmail.com.

Bagi menunjukkan kesungguhan dan penghargaan terhadap pelanggan, Dashing turut menawarkan hadiah menarik seperti beg kasut gim menerusi pembelian RM40 dalam satu resit.

Untuk maklumat lanjut berhubung lokasi kru Cabaran Skor Dashing dan informasi berkaitan kejohanan, layari laman facebook Dashing for Men pada www.facebook.com/dashingformen.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online


PPM rampas barang elektrik cuba diseludup

Posted:

PPM rampas barang elektrik cuba diseludup

06/10/2012 7:54pm

TAWAU – Pasukan Polis Marin (PPM) merampas pelbagai barangan elektrik, dipercayai cuba diseludup masuk ke Tawau, di kawasan pesisir Batu-Batu, Sabindo di sini hari ini.

Pemangku Pegawai Pemerintah PPM Tawau, ASP Krishnan A/L Ramasamy berkata, barangan itu, termasuk dua set penerima satelit digital, daripada sebuah lori kontena dalam Op Payung di kawasan Batu-Batu pada 10.35 pagi.

"Kesemua barangan dan sebuah lori kontena itu dianggarkan bernilai RM130,315. Siasatan awal mendapati barangan itu dibawa masuk secara seludup dari negara jiran," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pihaknya turut menahan dua lelaki, seorang daripadanya rakyat tempatan, berumur lingkungan 24 hingga 44 tahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam. – BERNAMA

Persepsi awam jadi cabaran besar kepada polis

Posted:

Persepsi awam jadi cabaran besar kepada polis

06/10/2012 6:32pm

KUCHING – Persepsi awam berikutan kebimbangan orang ramai daripada menjadi mangsa jenayah masih merupakan cabaran besar kepada pasukan polis di negara ini, kata Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani.

Beliau berkata, usaha untuk mengubah pemikiran orang ramai adalah suatu cabaran kerana mereka menuntut polis menjadi penguat kuasa undang-undang yang berorientasi komuniti, walaupun menangani suspek yang berpotensi melakukan jenayah merupakan 10 peratus sahaja daripada tugas penguat kuasa.

"Anggota dan pegawai polis digalak menunjukkan imej tegas tetapi bertimbang rasa sejajar dengan perubahan masa yang telah menunjukkan impak positif daripada segi menurunnya indeks jenayah seperti dilaporkan khususnya di Sarawak dengan kes-kes berkurangan kepada 6,853 daripada Januari hingga Ogos tahun ini berbanding 7,411 kes bagi tempoh yang sama tahun lepas," katanya.

Beliau berkata demikian dalam majlis Dialog Media Sarawak 2012 yang dirasmikan oleh Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Joseph Salang di sini, hari ini.

Semasa membentangkan kertas kerja bertajuk "Senario Jenayah di Sarawak: Isu dan Cabaran", beliau berkata, aliran menurun dalam indeks jenayah itu menunjukkan kes-kes harian juga berkurangan kepada 28 bagi tempoh lapan bulan pertama tahun ini berbanding 30 kes dalam tempoh yang sama di negeri ini tahun lepas, yang berada pada kedudukan kesembilan di seluruh negara berbanding dengan 101,295 kes di seluruh negara daripada 112,000 kes. – BERNAMA

TSG naik status kepada pasukan pro continental

Posted:

TSG naik status kepada pasukan pro continental

06/10/2012 4:34pm

KUALA TERENGGANU, 6 Okt (Bernama) — Pasukan Terengganu Pro Asia Cycling Team (TSG) mendapatkan suntikan semangat apabila bakal dinaikkan taraf status "pro continental" (prokontinental) tahun depan, kata ketua pegawai eksekutifnya, Hadi Hasan.

Beliau berkata, kenaikan status pasukan benua itu adalah berikutan pencapaian gelaran juara benua dengan mengumpul 500 mata sepanjang penyertaan dalam pelbagai kejohanan tahun lepas.

"Pada kejohanan tahun depan, TSG berazam untuk mengekalkan kejuaraan itu sekali lagi," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata, sesuai dengan kenaikan status itu juga TSG, yang ditubuhkan tahun lepas itu, akan menambah jumlah pelumba daripada 12 orang kepada 14 orang seperti yang disyaratkan.

Hadi berkata, pasukan itu juga sedang mencari beberapa pelumba baru dari dalam atau luar negara bagi persediaan menghadapi jelajah Le Tour de Langkawi (LTdL) tahun depan. – BERNAMA

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Dunia

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Dunia


Tentera Syria terus bedil Homs, Aleppo

Posted:

Tentera Syria terus bedil Homs, Aleppo

KERETA kebal Turki berkawal di sempadan negara itu dengan Syria di Akcakale semalam.


DAMSYIK - Sejumlah jet pejuang Syria yang dibantu unit meriam dan kereta kebal membedil kubu pemberontak di bandar raya Homs, tengah negara berkenaan semalam, kata beberapa aktivis.

Serangan tersebut adalah yang paling hebat ke atas kedudukan pemberontak yang dikenali sebagai Tentera Pembebasan Syria (FSA) sejak beberapa bulan lalu.

Bedilan meriam dan kereta kebal serta jet pejuang itu dilancarkan serentak dengan serangan ke atas kedudukan FSA di bandar raya Aleppo, utara Syria.

Tindakan tentera Presiden Bashar Al-Assad memperhebatkan serangan ke atas FSA menunjukkan Damsyik tidak menghiraukan ketegangan yang kian memuncak dengan jirannya, Turki.

Semalam, Parlimen Turki meluluskan operasi ketenteraan di luar sempadan negara berkenaan jika keadaan memerlukan selepas sebutir peluru meriam Syria tersasar ke kawasan penduduk awam di Turki.

Seramai lima orang awam maut dalam insiden tersebut kelmarin.

Dalam perkembangan berkaitan, Kumpulan Pemerhati Syria Untuk Hak Asasi Manusia yang berpangkalan di Britain melaporkan, serangan tentera Syria kali ini mengenai beberapa kawasan penempatan awam di Khaldiya, dalam bandar raya Homs.

"Sekitar waktu subuh, tentera Bashar seperti menggila, mereka menghujani kawasan ini dengan peluru meriam," kata seorang aktivis di Homs yang dikenali sebagai Abu Rami kepada agensi berita Associated Press (AP) melalui satu panggilan video semalam.

"Sebanyak lima peluru meriam atau roket mengenai kawasan ini pada setiap minit," tambahnya.

Lelaki tersebut berkata, bedilan roket dan artileri itu disasarkan ke atas beberapa kedudukan FSA di kawasan Homs Lama, Khaldiya, Qusour dan Jouret El-Shayah di bandar raya berkenaan.

Katanya, masih belum ada laporan berhubung angka kecederaan atau kematian akibat serangan terbaharu itu.

Kebangkitan rakyat Syria menentang pemerintahan Bashar yang bermula pada Mac tahun lalu merebak menjadi perang saudara.

Menurut kumpulan pemerhati berkenaan, lebih 30,000 orang terbunuh sejak penentangan tersebut tercetus. - Agensi

Carey dakwa Minaj mahu menembaknya

Posted:

Carey dakwa Minaj mahu menembaknya

Mariah Carey


NEW YORK - Penyanyi bersuara lantang, Mariah Carey yang kini menduduki kerusi penjurian rancangan pencarian bakat terkenal, American Idol menuduh Nicki Minaj yang juga merupakan juri pertandingan tersebut mengancam mahu menembaknya.

Dalam satu temu bual bersama Barbara Walters untuk rancangan The View yang disiarkan di saluran ABC, Carey mengadu kepada Walters bahawa dia berasa terancam dengan ugutan itu lalu bertindak mengupah beberapa orang pengawal keselamatan tambahan.

Tidak lama selepas kenyataan tersebut disiarkan, Minaj menyelar Carey melalui satu status di laman sosial Twitter miliknya.

Dia menulis: "Tiada sebarang bukti yang mengatakan saya mahu menembaknya. Tetapi semua orang akan percaya kenyataan tersebut kerana saya seorang penyanyi berkulit hitam."

Khabar angin mengenai pertelingkahan antara dua penyanyi itu bertiup kencang sebaik sahaja nama-nama panel juri diumumkan bulan lepas.

Musim baru American Idol bakal disiarkan pada Januari 2013. - Agensi

Guna darah sendiri sebagai dakwat lukisan

Posted:

Guna darah sendiri sebagai dakwat lukisan


VINCENT CASTIGLIA bergambar bersama beberapa lukisan yang dihasilkan dengan darahnya di Galeri Sacred, New York.


NEW YORK - Seorang pelukis Amerika Syarikat, Vincent Castiglia menggunakan darah sendiri untuk menghasilkan karya lukisannya.

Pelukis berkenaan melancarkan pameran lukisan terbaharunya, Resurrection yang dibuka kepada orang ramai sejak semalam hingga akhir bulan ini.

Pameran tersebut menampilkan sejumlah lukisan Castiglia yang dihasilkan sejak sepuluh tahun lalu.

Semua karya tersebut dihasil menggunakan darahnya sendiri. - Reuters

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Hiburan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Kembara jenama No Doubt

Posted:

Kembara jenama No Doubt

TAHUN ini, usia Gwen Stefani, vokalis No Doubt sudah mencecah 43 tahun. Namun, angka tersebut bagai tidak membayangi ibu kepada dua orang anak ini.

Muzik dan fesyen yang dibawakannya membuat khalayak masih melihat sosok Gwen sewaktu muda yang lincah di atas pentas mengalunkan muzik ska punk, perjuangan band mereka.

Tahun ini juga, selain mencapai usia 43 tahun, Gwen bersama anggota No Doubt yang lain teruja kerana mereka kini kembali berkarya selepas kali terakhir muncul dengan album penuh pada tahun 2001.

Push and Shove, itu judul album yang dipasarkan pada bulan lalu dengan mengangkat lagu Settle Down sebagai single pertama mereka.

Ternyata, kembalinya No Doubt bersama Settle Down membuahkan hasil. Mereka menerima banyak komen positif terhadap penghasilan karya yang telah lama dinantikan itu.

"Ia sebuah album yang bersifat untuk memberi kepuasan kepada diri sendiri. Ya, ia kedengaran seperti mementingkan diri," ujar Gwen mengenai penghasilan album penuh selepas 11 tahun tidak mempunyai material baharu.

Tidak sampai sebulan album tersebut berada di pasaran, No Doubt telah menerima tempahan untuk muncul dalam banyak persembahan bertaraf lima bintang.

Antaranya, mereka bakal membuat persembahan di 2012 MTV European Music Award pada 11 November bertempat di The Festhalle, Frankfurt, Jerman yang akan disiarkan secara langsung menerusi saluran MTV.

Menambah satu lagi kredit yang baik terhadap kemunculan semula mereka, No Doubt dicalonkan dalam kategori Best Pop di 2012 MTV EMA.

Ironi, akui Gwen, sewaktu menubuhkan No Doubt lebih 28 tahun lalu, dia tidak pernah terfikir untuk menjadi popular, jauh sekali membina empayar muzik yang begitu utuh di seluruh dunia.

Pada waktu band tersebut ditubuhkan, misi mereka hanya ingin bermain muzik. Ujar pemilik nama sebenar Gwen Renée Stefani yang dilahirkan di California, Amerika Syarikat ini: "Kami tak pernah bermain muzik untuk menjadi terkenal. Malah saya juga tidak menyangka bahawa mempunyai bakat yang bagus dalam penulisan lirik.



"Saya bermula daripada seorang yang tak punya apa-apa, malah boleh dianggap sebagai gadis polos kepada seorang wanita berkuasa."

Lebih parah, ujar Gwen, oleh kerana dia merupakan satu-satunya anggota wanita di dalam band tersebut, tiada siapa yang ambil peduli terhadap penampilannya.

"Saya melakukan semua perkara sendiri. Saya mencipta imej sendiri, menyolek wajah sendiri serta mencari kostum sendiri. Semua saya lakukan sendiri," ujarnya tentang survival vokalis wanita yang 'hidup' di dalam sebuah band lelaki.

Bagaimanapun semua yang dilakukan Gwen berbaloi. Bersama No Doubt dan album-album mereka (biar ironi album sulung gagal menarik perhatian), mereka yang terkenal dengan hit seperti Don't Speak, Ex-Girlfriend dan Just A Girl kini dijulang sebagai antara band terbaik yang pernah wujud di dalam dunia muzik antarabangsa.

Solo

Seiring dengan kejayaan No Doubt, Gwen tidak mahu melepaskan peluang untuk bereksperimen dengan muzik solo. Maka pada tahun 2004, tepatnya pada November 2004, bermulanya perjalanan solo Gwen dengan terbitnya album solo pertama yang berjudul Love.Angel.Music.Baby (L.A.M.B).

Bergerak solo, Gwen bermain dengan variasi dan memberi suntikan muzik moden campuran zaman 80-an dan 90-an iaitu genre new wave dan elektro dan meneruskan dengan muzik pop.

Ternyata kejayaan menyebelahinya apabila album tersebut menduduki carta US Billboard 200 di tempat yang ketujuh serta jualan minggu pertama mencecah sehingga 309,000 unit. Album tersebut bukan sahaja diiktiraf di Amerika malah seperti di United Kingdom, Australia serta Kanada.

Selain itu, Gwen juga berjaya tercalon dalam beberapa kategori anugerah berprestij Grammy Awards pada tahun 2005 dan 2006 melalui single What You Waiting For? Bukan itu sahaja, single tersebut juga berjaya menduduki carta 10 teratas (top 10) di beberapa carta muzik.

Single kedua yang menampilkan dirinya berduet bersama penyanyi rap wanita Eve berjudul Rich Girl yang diterbitkan oleh Dr Dre, juga menemui kejayaan cemerlang apabila single tersebut juga berjaya menduduki tempat 10 teratas dalam carta muzik di Amerika Syarikat dan United Kingdom dan beberapa format yang lain.

Kejayaan demi kejayaan dikecapi oleh Gwen menerusi album sulungnya. Single-single lain seperti Hollaback Girl, Cool, Luxurious serta Crash namun, Gwen tidak sempat merakamkan single keenam album L.A.M.B kerana sedang mengandung.

Tidak terhenti setakat itu, Gwen meneruskan semula perjalanan solonya dengan mengeluarkan album kedua yang berjudul The Sweet Escape dan mula dilancarkan pada Disember 2006.

Malangnya, sambutan yang diterima tidak sehangat kemunculan album pertama. The Sweet Escape menerima kritikan termasuk dilabelkan sebagai sebuah album yang kurang bertenaga.

Ia cukup bertentangan daripada segi penjualan single daripada album tersebut apabila lagu seperti Wind It Up, Yummy, 4 In The Morning, Now You Got itu serta Early Winter menemui kejayaan yang luar biasa di beberapa negara.

Biarpun baru mempunyai dua buah album solo, Gwen membuat pengakuan bahawa dia tidak lagi ingin meneruskan karier solonya.

Ujarnya yang memberitahu dia tidak begitu serius dalam penghasilan album solo: "Ia merupakan pengalaman indah buat saya walaupun ia mengambil masa lebih daripada apa yang dijangkakan dan dirancangkan.

"Ia merupakan sesuatu yang sangat memberi inspirasi dan anda harus mengikut perjalanan hidup yang dikurniakan. Namun, saya boleh katakan, semuanya berjalan dengan lancar."

Jenama

Selain mempunyai karier yang berjaya menerusi bidang muzik, Gwen juga mengecapi kejayaan lain di luar bidang yang menaikkan namanya sebagai seorang penggiat muzik.


SAYANG keluarga. Gwen bersama suaminya, Gavin Rossdale dan anak sulung mereka, Kingston James McGregor Rossdale.


Antara dua perniagaan yang dijalankan Gwen ialah minyak wangi yang diberi nama L sebagai sebahagian dari jenama pakaian dan aksesori miliknya, L.A.M.B. Setelah itu, Gwen melancarkan satu lagi jenama minyak wangi yang juga merupakan sebahagian daripada jenama pakaian iaitu Harajaku Lovers.

Bagi jenama pakaiannya pula, kebanyakan fesyen yang dijual ialah busananya semasa persembahan pentas bersama No Doubt. Jenama pakaian L.A.M.B banyak mengambil inspirasi dari pelbagai negara termasuk Guatemalan, Jepun dan Jamaica.

Ternyata ia mendapat sambutan, malah fesyen tersebut sangat popular dan digayakan oleh selebriti terkenal seperti Teri Hatcher, Nicole Kidman dan Gwen sendiri.

Pada tahun 2007, dia mengembangkan perniagaan fesyennya iaitu Harajaku Lovers. Harajaku Lovers ialah sebuah produk yang dijual dengan harga yang agak murah berbanding L.A.M.B. Produk tersebut bukan sahaja tertumpu kepada pakaian, tapi juga kamera, hiasan telefon bimbit serta pakaian dalam.

Selain itu, pada lewat tahun 2006, Gwen juga melancarkan patung fesyen edisi terhad, fesyen yang disarungkan oleh patung tersebut diinspirasi oleh pakaian yang dipakai oleh gadis Harajaku semasa konsert jelajah yang diberi nama, Love.Angel.Music.Baby Fashion Dolls.

Bercakap mengenai kecintaan terhadap fesyen, jelas Gwen: "Mempunyai rangkaian fesyen merupakan impian saya jika saya kaya. Nampaknya, apabila saya kaya, ini perkara yang saya lakukan dan ia sukses."

Saya tak pernah ada tatu! - Amanda Imani

Posted:

Saya tak pernah ada tatu! - Amanda Imani

Oleh SITI KAMILAH MUSTAPHA


AMANDA bakal menghabiskan pengajiannya di Universi SEGi, Kuala Lumpur menjelang hujung tahun ini.


DIA pernah dikritik kerana berpakaian seksi dengan menyarung gaun terdedah bahagian belakang ketika majlis perkahwinan pelakon Norman Hakim dan Memey Suhaiza tahun lalu.

Terbaharu, penyanyi Amanda Imani, 20, terpalit lagi dengan kontroversi apabila dikatakan mempunyai tatu pada kakinya ketika membuat kemunculan pada majlis pembukaan sebuah butik terkenal luar negara di ibu kota Kuala Lumpur baru-baru ini.

Tidak melatah gosip berkenaan, figura bertubuh montok dan berbibir seksi ini menganggap isu dia dikatakan mempunyai tatu adalah satu gurauan dan asam garam sebagai anak seni yang sedang membina nama.

"Saya tak pernah ada tatu. Tatu pada kaki saya semasa majlis itu adalah pelekat tatu sahaja, ia pemberian seorang kawan dari Amerika Syarikat, saya letak di pergelangan kaki hanya untuk suka-suka," ujarnya ketika ditemui Kosmo! di Carcosa Seri Negara, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Amanda yang ditemu bual ketika sedang menjalani penggambaran video muzik single terbaharunya, Fobia Cinta mengakui dia tidak langsung tidak menyangka perbuatannya meletakkan pelekat tatu di kakinya akan menjadi buah mulut ramai.

"Saya terkejut apabila ada peminat tanya saya di akaun Twitter, selepas itu ada wartawan hubungi saya untuk minta penjelasan, saya tidak sangka ia akan jadi isu besar pula," jelasnya.

Tidak tersinggung gosip berkenaan, Amanda menganggap, kontroversi tersebut sebagai satu lumrah yang terpaksa ditempuhi dirinya selaku anak seni.

Pemenang Vokal Terbaik Artis Baru Wanita Anugerah Planet Muzik tahun lalu itu juga memberitahu, selepas ini dia akan lebih berhati-hati dengan sensitiviti masyarakat agar ia tidak disalah anggap nanti.

Dia mengakui baki pelekat tatu itu masih banyak lagi dalam simpanannya.

"Pelekat tatu itu ada banyak lagi, tak tahu hendak buat apa selepas ini. Mungkin nak lekat di tangan pula selepas ini," ujarnya berjenaka.

Bercerita lanjut mengenai dirinya pula, Amanda yang sudah tidak sabar-sabar lagi untuk menghabiskan pengajiannya di Universiti SEGi, Kuala Lumpur yang dijadualkan pada akhir tahun ini.

Dia yang mengambil ijazah dalam bidang psikologi itu sudah empat tahun mengikuti pengajian tersebut dan kini menunggu masa menamatkan pengajian untuk menumpukan perhatian dalam bidang nyanyian.

"Sebelum ini, aktiviti seni saya terbatas. Jika ada jemputan ketika peperiksaan dan tugasan, saya akan tolak. Selepas ini bila tamat belajar, saya bebas untuk atur jadual menyanyi," jelasnya yang meminati drama penyiasatan CSI: Crime Scene Investigation.

Amanda juga bertekad selepas ini mahu dirinya lebih dikenali peminat dengan lebih menonjol dalam acara sosial yang melibatkan ramai artis lain.

"Saya rasa nama Amanda hanya dikenali oleh kelompok tertentu, mungkin sebab banyak terima undangan majlis tertutup untuk syarikat korporat. Jadi, selepas ini saya akan menonjolkan diri dalam acara lain yang lebih mudah dikenali peminat," katanya.

Tambah Amanda, setakat ini dia juga banyak berinteraksi dengan peminat melalui akaun Twitter dan Facebook dan menganggap perkara itu masih tidak memadai untuk dia lebih dikenali.

Disoal mengenai kebolehannya dalam menulis lirik ketika berusia 16 tahun lagi, dia berkata, semua itu hasil tunjuk ajar komposer terkenal, Ajai yang memberi keyakinan terhadapnya untuk menulis lagu sendiri ketika usia itu.

"Kalau Ajai tidak yakin dengan kebolehan saya pada ketika itu, saya tidak akan berada pada tahap sekarang dan saya juga tidak tahu sikap yang suka tulis isi hati dalam sebuah buku boleh menjadi sebuah lirik lagu pula," ujarnya.

Kata Amanda lagi, dia sebenarnya yang suka memendam rasa jika kecewa dan marah dengan mencatat dalam sebuah buku.

"Ketika kecewa, marah dan sebagainya perasaan itu membuahkan idea untuk saya tulis lirik pula sekarang, idea itu juga datang untuk lirik lagu Fobia Cinta hasil perasaan saya putus cinta akhir tahun lalu," jelasnya.

Dia mengakui, biarpun perit akibat putus cinta berkenaan, dia tidak mahu lagi menoleh ke belakang dan mahu menumpukan sepenuh jiwa dan raga terhadap dunia nyanyian kini.

Rossa doa jodoh

Posted:

Rossa doa jodoh


ROSSA terbuka hati untuk mengerjakan haji di Mekah pada tahun ini.


BAKAL mengerjakan haji bermula 12 Oktober hingga 1 November ini, penyanyi Rossa memberitahu media Indonesia, selain berdoa untuk selamat dunia akhirat, dia juga mahu berdoa agar diberikan jodoh lelaki yang baik buatnya kelak.

Mantan isteri pemain drum grup Padi, Yoyo itu berkata: "Mudah-mudahan, saya mendapat jodoh yang terbaik daripada Allah S.W.T."

Penyanyi genit tersebut menunaikan haji secara bersendirian. Pulang daripada menunaikan rukun Islam kelima itu, Rossa juga berhajat untuk tidak tampil terlalu seksi.

Kredit: www.kosmo.com.my
 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved