Isnin, 3 September 2012

Kosmo Online - Rencana Utama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Pilih warna, fabrik, tapak dan rekaan

Posted:

Pilih warna, fabrik, tapak dan rekaan

Jenama kasut You, Me and Shoes (YMS) yang boleh ditempah secara talian diasaskan oleh gadis muda, Nur Ayuni. Dia menyifatkan dirinya seorang yang gila kasut dan gemar membeli-belah di ruang siber.

"MAAF, tiada saiz anda untuk kasut jenis ini". Pasti ramai yang pernah berhadapan dengan situasi tersebut apabila mengunjungi kedai kasut.

Kecewa rasanya apabila kasut yang berkenan di hati tidak dapat dimiliki gara-gara tiada saiz dan warna yang diingini.

Kepada mereka yang kerap melalui pengalaman tersebut, ada alternatif lain untuk memenuhi keinginan anda. Anda boleh mendapatkan kasut secara tempahan.

Sejak dua tahun lalu, penuntut Management and Science University (MSU), Nur Ayuni Azri, 22, menawarkan perkhidmatan tersebut. Walaupun tiada pengetahuan asas mengenai pembikinan kasut, anak bongsu daripada tiga beradik ini menerima tempahan kasut secara talian dengan membawa jenama You, Me and Shoes (YMS).

"Di YMS, pelanggan bukan sahaja boleh memilih warna tetapi berpeluang menentukan jenis fabrik, ketinggian tapak dan rekaan mengikut cita rasa mereka sendiri.

"Lazimnya, kami menerima tempahan untuk kasut kahwin, kasut untuk saiz yang terlalu kecil dan terlalu besar," kata pelajar jurusan Sains Komputer itu.

Sebelum serius menjalankan perniagaan tempahan kasut secara talian, Nur Ayuni bermula dengan menjual kasut dari China ketika usianya mencecah 19 tahun. Namun, ia tidak bertahan lama kerana masalah saiz dan material.

Menyifatkan dirinya sebagai seseorang yang 'gila' kasut, Nur Ayuni juga gemar membeli-belah di ruang siber.

"Saya lihat ramai menjual beg dan baju secara talian tetapi bilangan mereka yang menjual kasut sebegini boleh dibilang dengan jari.

"Pada peringkat awal, saya mencuba pasarannya sahaja. Bagaimanapun selepas mendapat permintaan yang tinggi, saya terus serius dalam perniagaan ini," ujarnya yang mengambil masa setahun untuk membuat perancangan.


NUR AYUNI hanya menerima 20 tempahan kasut seminggu.


Rekaan kasut

Berbekalkan modal permulaan sebanyak RM800, anak gadis ini mempunyai dua orang pekerja yang bertanggungjawab mengambil pesanan pelanggan melalui e-mel dan membuat janji temu dengan pelanggan.

Berikutan sambutan menggalakkan, modal yang dipertaruhkan berjaya diperoleh semula pada bulan kedua.

"Kami membuat semua jenis kasut mengikut rekaan yang diminta oleh pelanggan. Pilihan di tangan mereka.

"Jika ada pelanggan yang tidak tahu untuk memilih rekaan, kami ada meletakkan gambar-gambar pelbagai rekaan kasut baik kasut lelaki mahupun wanita di laman Facebook YMS," jelasnya.

Bahan mentah untuk membuat kasut seperti aksesori dan kayu dibeli dari China manakala material kain pula diperoleh dari Indonesia dan Malaysia.

Pada awal pembabitannya, Nur Ayuni melakar sendiri rekaan kasut mengikut kehendak pelanggan. Kebanyakan idea rekaan diilhamkan selepas membuat rujukan rekaan dari luar negara, televisyen, majalah dan pertunjukan fesyen.

Setiap rekaan kasut pelanggan akan diberikan kepada tukang kasut yang terdiri daripada orang tempatan dan orang luar yang dibuat di rumah atau bengkel masing-masing.

"Pelanggan boleh mendapatkan kasut masing-masing dalam tempoh antara dua minggu hingga dua bulan bergantung kepada rekaan.

"Jika sesuatu rekaan kasut itu rumit, ia akan mengambil masa lebih lama manakala rekaan yang ringkas boleh siap dalam masa dua minggu sahaja," katanya yang membuat pelbagai jenis kasut seperti kasut tapak rata, kasut baji (wedges), loafer, kasut tumit tinggi, kasut kulit dan sebagainya.


RAKAN Nur Ayuni, Sharifah Noor Syakila Syed Abdul Hamid menunjukkan cara mengambil ukiran saiz kasut pelanggan.


Kasut baharu

Menurut Nur Ayuni, jika ada pelanggan yang tidak berpuas hati, pihaknya akan baiki semula kasut tersebut sehingga mereka berpuas hati.

Andai kasut yang ditempah tidak muat, Nur Ayuni akan membuat kasut baharu. Lazimnya kes sedemikian terjadi kepada pelanggan yang mengukur sendiri saiz kaki mereka buat kali pertama.

Menurut Nur Ayuni, majoriti pelanggannya terdiri daripada wanita. Selain kasut biasa, ada juga dalam kalangan pelanggannya merupakan pesakit diabetes.

"Kasut untuk pesakit diabetes biasanya akan diletakkan span tambahan bagi memberikan lebih keselesaan.

"Harga kasut dijual antara RM90 hingga RM200. Kasut tapak rata murah sedikit berbanding kasut tumit tinggi. Semakin tinggi kasut itu, semakin mahal harganya," ujarnya yang mengambil 20 tempahan kasut seminggu.

Apakah kelainan kasut jenama YMS berbanding jenama lain di pasaran? Nur Ayuni memberitahu, pelanggan boleh menghantar kembali kasut mereka jika tidak muat, atau tidak berpuas hati dan YMS akan membuat kasut baharu.

Pekerja YMS pula akan berjumpa dengan pelanggan untuk mendapatkan ukuran kaki di sekitar Lembah Klang. Bagi pelanggan yang jauh, YMS menyediakan garis panduan untuk membuat ukuran yang betul.

Setiap kasut yang siap akan dihantar melalui pos, diambil sendiri oleh pelanggan dan dihantar terus oleh pekerja YMS kepada pelanggan.

Dorongan keluarga

"Permintaan yang sangat menggalakkan daripada pelanggan menyuntik semangat saya untuk membuka bengkel, kilang dan menambahkan bilangan pekerja supaya pengeluaran dapat ditingkatkan.

"Buat masa ini, tempahan yang diterima terpaksa ditolak kerana khuatir ia lambat siap dalam tempoh yang dijanjikan," katanya yang bercadang membuka kedai kasut dalam tempoh sedekad.

Penglibatannya dalam perniagaan tempahan kasut dalam talian turut mendapat dorongan ibu, ayah dan kakaknya.

Mereka terlibat dalam kerja-kerja pembungkusan dan penghantaran pos.

Ibunya, Fauziah Abdullah, 53, memberitahu, anak bongsunya yang berjinak-jinak dalam perniagaan kasut itu merahsiakan perkara tersebut daripadanya.

"Saya tidak tahu mengenai hal ini sehinggalah kakaknya bocorkan rahsia. Bukan tidak suka dia berniaga tapi khuatir pelajarannya terganggu.

"Kini kami sekeluarga merestui apa yang dilakukannya asalkan tidak mengganggu kuliah," katanya sambil memberitahu, walaupun bergelar tauke kasut, anaknya itu lebih selesa berselipar Jepun.

Yakin dengan percaturan yang dibuat, Nur Ayuni tidak mahu menoleh ke belakang lagi dan optimis perniagaan yang diusahakannya berpotensi untuk pergi jauh.

Membuktikan keseriusannya terhadap pembikinan kasut, Nur Ayuni mahu melanjutkan pelajarannya dalam bidang rekaan kasut.

Dalam pada itu, Pakar Ortotik MyOrtho, Edmund Lee memberitahu pemilihan kasut sangat penting dan ia perlu dilakukan mengikut saiz kaki.


PELAPIK kaki yang sesuai mampu mengurangkan kesakitan kaki yang dialami seseorang.


"Jika pemilihan dibuat tidak mengikut saiz dan dipilih berdasarkan fesyen dan warna semata-mata, ia akan menyebabkan kesakitan serta berdepan dengan masalah penjajaran kaki.

"Apabila masalah kesakitan dan penjajaran berlaku ia perlu ditangani dengan pelapik kasut yang sesuai dengan kaki," ujarnya sambil memberitahu tidak semua pelapik kasut sesuai dengan setiap orang kerana keperluan yang berbeza-beza.

Tambahnya, seseorang yang mengalami kesakitan pada kaki juga tidak semestinya menempah kasut tempahan khas kerana ia (kesakitan) boleh diatasi dengan menggunakan pelapik kaki yang bersesuaian berdasarkan struktur kaki mereka.

Edmund memberitahu, kaki umpama tayar. Jika sudah digunakan lama, ia memerlukan penjajaran semula supaya dapat memberikan sokongan yang lebih baik.

Kegagalan memilih kasut yang baik akan menyebabkan seseorang itu berhadapan dengan masalah sakit kaki, sakit lutut, sakit belakang, hallux valgus (bunion) dan sebagainya.

Ukur kaki

"Ramai wanita di Malaysia mengalami Hallux Valgus. Ia berpunca daripada pemakaian kasut tumit tinggi yang terlalu lama dan sempit.

"Majoriti orang di Malaysia cenderung memilih kasut tanpa mengukur kaki mereka terlebih dahulu. Apa yang mereka lakukan ialah menyarungkan kaki terus ke dalam kasut," jelasnya.

Ceritanya lagi, sebulan lalu ada seorang wanita berjumpa dengannya mengadu mengenai kesakitan kaki yang dialami.

"Saya tanya kepadanya, pernah tak orang ukur saiz kakinya apabila hendak membeli kasut? Dia kata tiada. Saya ukur kakinya dan dia sepatutnya memakai saiz 6, tetapi selama ini dia memakai saiz 4.

"Apabila memilih kasut, jangan pilih kasut yang muat-muat dengan kaki sahaja. Sepatutnya pilih saiz longgar sedikit supaya satu jari boleh dimasukkan di bahagian belakang kasut dan jari-jemari kaki masih boleh digerakkan," katanya sambil berpesan kepada orang ramai supaya elakkan memakai kasut yang tapaknya terlalu lembut.

Ujarnya, dia tidak boleh melarang orang yang mahu bergaya, namun tempoh pemakaian kasut tinggi perlu dihadkan kepada beberapa jam sahaja selain memilih saiz kasut yang betul.

Gelombang sekolah di rumah

Posted:

Gelombang sekolah di rumah

QIAOFENG (kiri) tekun menjadi guru kepada anak lelakinya, Zhang Hongwu, 8, di rumah mereka di Beijing.


MELEPASKAN karier sebagai ketua kepada sebuah firma perubatan bagi meluangkan masa di rumah membacakan buku cerita kanak-kanak merupakan pilihan sukar bagi seorang bapa, Zhang Qiaofeng.

Qiaofeng adalah sebahagian kecil daripada kelompok ibu bapa di China yang menolak sistem persekolahan berasaskan peperiksaan negara mereka. Kumpulan tersebut merasakan mereka tiada pilihan.

"Sistem pendidikan China mempunyai masalah serius. Saya mahukan anak saya menerima pembelajaran yang lebih kepada penyertaan murid-murid dan bukan sekadar mendengar guru bercakap. Kebanyakan waktu anak lelaki saya kini digunakan bagi mengikuti minatnya atau bermain," ujar Qiaofeng yang merupakan graduan di sebuah universiti terkemuka negara tersebut.

Dari sebuah apartmen kecil yang terletak di pinggir Beijing, Qiaofeng mengajar anaknya, Hongwu selama empat jam setiap hari. Ia berbeza dengan pembelajaran enam jam yang wajib dijalani majoriti murid sekolah rendah berumur tujuh tahun.

Di ruang tamu rumahnya yang menjadi bilik darjah, Qiaofeng menyenaraikan satu persatu kelemahan sistem pendidikan China yang dianggap terlalu obses terhadap keputusan peperiksaan. Hal tersebut menjurus kepada stail pembelajaran bersifat autoritarian.

China menunjukkan pencapaian membanggakan dalam penawaran pendidikan universal ke serata negara dengan kawasan urban seperti Shanghai dikatakan sebagai sekolah terbaik dari segi nisbah pendaftaran.

Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyatakan China memiliki kadar celik huruf golongan muda sebanyak 99 peratus.

Walaupun perkembangan itu positif, ramai ibu bapa merungut tentang fokus kepada pembelajaran berbentuk menghafal dan lulus peperiksaan yang bermaksud murid-murid perlu meluangkan masa yang panjang di dalam kelas.

Berdasarkan kajian yang dijalankan Pusat Penyelidikan Belia dan Kanak-kanak China pada tahun 2007, kanak-kanak China berada di sekolah kira-kira 8.6 jam sehari secara purata dengan segelintir daripada mereka meluangkan 12 jam masa mereka di dalam kelas.

SISTEM pendidikan di sekolah China yang berteraskan peperiksaan semata-mata menyebabkan ramai ibu bapa mengajar anak mereka di rumah.


Semakin bertambah

Penyelidik polisi pendidikan di Universiti Beijing Normal, Lao Kaisheng mengatakan ibu bapa China yang tidak berpuas hati terhadap sistem pendidikan negara kian bertambah.

"Terdapat peningkatan pantas terhadap sekolah di rumah terutamanya sejak beberapa tahun lepas. Ibu bapa yang memilih sekolah di rumah mempunyai keperluan ketat terhadap pendidikan anak-anak mereka," jelas Kaisheng kepada AFP.

Tiada data rasmi bagi menunjukkan jumlah ibu bapa China yang mengajar anak mereka di rumah, namun Kaisheng menganggarkan ia kurang daripada satu peratus.

Salah seorang individu yang paling menonjol dalam perjuangan sekolah di rumah ialah Xu Xuejin. Beliau sanggup berpindah dari kawasan hab perkilangan di Zhejiang ke kawasan terpencil di barat daya bandar Dali, semata-mata mahu memberikan suasana terbaik untuk anak-anaknya belajar.

"Anak-anak China memang diajar untuk bersaing sejak kecil. Murid-murid yang tidak mampu bersaing akan disingkirkan," kongsi Xuejin menerusi perbualan telefon .

Tambah Xuejin, beliau mahu memberikan pendidikan berteraskan agama Kristian yang tidak diterima di sekolah biasa. Menurutnya, ia menjadi penggerak kepada kejayaan sama seperti ibu bapa di Amerika Syarikat (AS) yang semakin galak menjalankan sekolah di rumah.

"Kementerian Pendidikan China bagaimanapun masih berbelah-bahagi dalam sistem persekolahan tersebut. Sebahagian mereka mahu memaksa kanak-kanak dimasukkan ke sekolah, sementara sebahagian lagi memilih untuk meluluskan sekolah di rumah menyebabkan tiada penguatkuasaan baharu diumumkan," ujar Kaisheng.

Persoalan berkenaan pengesahan sekolah di rumah yang belum menemui kepastian bagaimanapun tidak menggugat pendirian Qiaofeng yang berharap anak lelakinya tidak akan kembali ke sekolah China.

"Skil Bahasa Cina dan Bahasa Inggeris anak saya lebih tinggi berbanding kanak-kanak seusianya," ujar Qiaofeng sambil menunjukkan rak buku yang dipenuhi bahan bacaan untuk anaknya.

"Saya bercadang untuk mengajar anak saya di rumah sehingga dia bersedia untuk masuk ke universiti. Saya berharap dia boleh memasuki universiti yang hebat seperti Harvard, Oxford atau Cambridge. Saya yakin 95 peratus dia boleh menggapainya." - AFP

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Negara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Negara


Tidak kekok pikul tugas baharu

Posted:

Tidak kekok pikul tugas baharu

SAMSIAH (kiri) bersama ahli keluarganya di rumah mereka di Kampung Jalan Kamaruddin, Kuala Terengganu semalam.


KUALA TERENGGANU - Seorang pegawai agama, Samsiah Awang mencatat sejarah sebagai wanita pertama di negara ini yang menerajui jabatan agama apabila dilantik sebagai Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) sejak 26 Ogos lalu.

Bernama melaporkan, Samsiah, 54, ibu tunggal kepada sembilan anak dan memiliki sembilan cucu itu berazam untuk memberikan khidmat terbaik bagi membuktikan wanita juga berkemampuan memimpin jabatan yang menjadi tradisi diterajui lelaki.

"Saya berharap mendapat sokongan daripada semua kakitangan jabatan ini untuk sama-sama memastikan khidmat kita terus cemerlang demi memastikan kemaslahatan (kesejahteraan) umat Islam negeri ini terus terjaga.

"Saya juga bersyukur dengan pengiktirafan ini dan akan meminta petunjuk daripada Allah sekiranya terdapat masalah dan cabaran besar untuk bergerak seiring dengan hasrat kepimpinan kerajaan negeri yang mahu Terengganu terus maju dengan syiar Islam," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Samsiah sebelum ini memegang jawatan Ketua Penolong Pengarah JHEAT menggantikan Mohd. Rozali Saleh yang kini memegang jawatan Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu.

Katanya, walaupun ia satu tanggungjawab besar yang perlu digalas, beliau yakin mampu menyumbang khidmat cemerlang menerusi semangat kerja berpasukan.

Pengalaman luas Samsiah dalam bidang keagamaan bermula sejak kecil dan hasrat beliau kini ialah meneruskan impian ibu bapanya dalam menegakkan syair Islam di Terengganu.

"Arwah ayah saya, Datuk Awang Ismail adalah bekas Imam Masjid Negeri dan guru agama kepada Almarhum Sultan Mahmud, ayahanda kepada Sultan Terengganu sekarang, iaitu Sultan Mizan Zainal Abidin," katanya.

Arwah suaminya, Rozali Awang pula bekas ketua penolong pengarah di JHEAT yang meninggal dunia tiga tahun lalu.

Sementara itu, dalam pertemuan dengan Kosmo! di rumahnya di sini semalam, Samsiah berkata, beliau sama sekali tidak menyangka akan diberi tugas baharu itu walaupun selepas 30 tahun berkhidmat dengan JHEAT.

"Secara ikhlas, saya tidak pernah sangka akan memikul tugas Pengarah JHEAT. Insya-Allah saya tidak kekok dalam menjalankan kepercayaan yang diberikan dan akan berusaha memenuhi amanah dipertanggungjawabkan.

"Ia juga satu pengiktirafan kepada golongan wanita. Ini bukan tugas mudah dan penuh cabaran apatah lagi JHEAT mempunyai tujuh jabatan yang kesemuanya diterajui lelaki," katanya.

Samsiah memberitahu, sepanjang tempoh bekerja di JHEAT, beliau tidak berdepan masalah dengan kakitangan malah mengenali mereka dengan rapat.

Beliau berharap lebih 500 kakitangan di tujuh bahagian dalam JHEAT dapat bersatu hati untuk meningkatkan prestasi jabatan itu.

Dalam pada itu, wanita yang berasal dari Kampung Tanjung, Kuala Terengganu ini memberitahu, beliau banyak mendapat inspirasi daripada bapanya.

"Arwah ayah banyak berpesan agar anak-anak sentiasa mempunyai sifat bersabar dan tidak sombong," ujarnya.

Sementara itu, anak beliau, Noor Fadhlina Ghazali, 25, mengaku terkejut apabila mendapat tahu ibunya menggalas tugas sebagai Pengarah JHEAT.

"Bagaimanapun, bila difikir balik, ibu mampu memikul tugas itu kerana beliau mempunyai pengalaman luas di jabatan tersebut," katanya.

Siasatan siap sebulan lagi

Posted:

Siasatan siap sebulan lagi

Oleh ZAINI SAMSU HADI
berita@kosmo.com.my

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mengakui terdapat keraguan dan kekeliruan ketika melakukan siasatan melibatkan kes Suara Rakyat Malaysia (Suaram) dan Suara Inisiatif Sdn. Bhd. yang bermula sejak Julai lepas.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, siasatan tersebut mendapati berlaku transaksi dana antara kedua-dua pihak.

Beliau berkata, Suara Inisiatif Sdn. Bhd. yang didaftarkan dengan SSM di bawah Akta Syarikat 1965 telah menyalurkan dana kepada Suaram yang merupakan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

"Siasatan SSM mendapati ada kekeliruan dan keraguan dari segi kerjasama dan hubungan antara Suaram dan Suara Inisiatif.

"Kita tidak boleh dedah lebih apa jenis hubungan itu, cukup setakat ini. Kita perlu siasat lebih terperinci.

"Kita bukan siasat dari mana wang itu datang tetapi adakah ia mengikut peruntukan Akta Syarikat. Kewangan syarikat tidak boleh digunakan untuk kepentingan pihak lain," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar bagi menjelaskan perkembangan terkini siasatan SSM ke atas Suaram dan Suara Inisiatif di sini semalam.

Sebelum ini SSM dikritik oleh beberapa NGO kerana didakwa gagal bertindak terhadap Suaram yang mengaku menerima dana dari negara asing dan individu dari seluruh negara.

Kritikan itu susulan ada laporan mendakwa Suaram bukan NGO tapi sebuah syarikat dikenali Suara Inisiatif Sdn. Bhd.

SSM kemudian mengesahkan Suara Inisiatif berdaftar dengan mereka di bawah Akta Syarikat 1965 sebagai syarikat perbadanan pada 24 Oktober 2001.

Ia dianggotai dua pengarah berdaftar iaitu Kua Kia Soong dan Yeoh Seng Gua.

Kia Soong merupakan Pengarah Suaram yang dilapor mengesahkan NGO itu menerima dana dari negara asing.

Menjawab kritikan itu, Ismail Sabri berkata, aktiviti Suaram tidak tertakluk di bawah bidang kuasa SSM, namun institusi tersebut bertanggungjawab menyiasat sama ada berlaku pelanggaran terhadap peruntukan Akta Syarikat oleh Suara Inisiatif.

"Seterusnya, pihak Bank Negara dan Kementerian Dalam Negeri yang akan mengambil tindakan dan keluarkan kenyataan jika berlaku penyelewengan," katanya sambil menambah siasatan dijangka siap dalam tempoh sebulan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SSM, Mohd. Naim Daruwish turut menyifatkan tindakan sesetengah pihak mendesak beliau meletak jawatan ekoran isu Suaram dan Suara Inisiatif sebagai tidak bertanggungjawab.

"Ia telah memburukkan nama SSM dan diri saya sendiri. Tiada keperluan untuk saya meletak jawatan tapi saya bersedia melakukannya jika SSM di pihak yang salah," tegasnya.

Sultan Brunei hadiri majlis perundingan tahunan

Posted:

Sultan Brunei hadiri majlis perundingan tahunan

SULTAN Hassanal Bolkiah (dua dari kanan) tiba di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia di Subang untuk menghadiri Majlis Perundingan Tahunan Pemimpin Malaysia-Brunei Darussalam di Putrajaya semalam.



KEBERANGKATAN TIBA. Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah tiba di Malaysia semalam bagi menghadiri Majlis Perundingan Tahunan Pemimpin Malaysia-Brunei Darussalam ke-16 selama dua hari di Putrajaya. Kementerian Luar dalam satu kenyataan menyatakan, pemimpin kedua-dua negara dijadual membincangkan kemajuan kerjasama yang sedang berlangsung dan meninjau potensi baharu bagi mempertingkatkan perkongsian yang dapat memanfaat rakyat Malaysia dan Brunei. Perundingan itu juga merupakan acara paling penting dalam takwim tahunan kedua-dua negara yang menjadi mekanisme bagi perbincangan meliputi pelbagai isu kepentingan bersama bilateral, serantau dan global.
Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Stailo

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Stailo


Rejim Kecantikan Selebriti

Posted:

Rejim Kecantikan Selebriti

SELEBRITI muda ini seorang yang cukup ringkas. Bibirnya tidak lekang membutirkan kata-kata yang mengundang gelak tawa sehingga memecah kesunyian spa Tanamera yang terletak di Sooka Sentral, Kuala Lumpur.

Dia hadir dalam persalinan kaftan rona putih bertatah perincian manik dan batu permata di bahagian dada baju. Wajahnya pula dirias solekan tipis yang menggunakan pembayang mata warna coklat, pemerah pipi dan gincu palet coklat.

Namun, gaya anggun yang ditatapi sebentar tadi serta-merta bertukar ranggi apabila dia membaluti tubuh genitnya itu dengan seluar jean potongan tirus, blaus terdedah di bahagian lengan dan sepatu tinggi rona hijau gelap.

"Inilah diri saya yang sebenar. Selesa berbaju T atau blaus yang dipadankan bersama seluar jean. Saya tak suka memakai gaun atau skirt. Hanya menyarungkannya bagi memenuhi watak dan kehendak penata gaya sesi fotografi.

"Di dalam almari pun tak banyak busana tradisional dan gaun. Saya seorang yang ringkas dan lasak sebab itu meminati pakaian yang memudahkan saya bergerak," jelas pelakon Siti Zaqyah Abdul Razak, 25, atau popular dengan nama Tiz Zaqyyah.

Mula menceburkan diri dalam bidang lakonan sekitar tahun 2007 menerusi drama Gol & Gincu, Impian Ilyana, Bernafas Dalam Lumpur dan Puaka Topeng Putih, namun popularitinya melonjak selepas menjayakan watak Nur Amina untuk drama bersiri Nur Kasih. Nur Kasih merupakan sebuah drama yang menggabungkan elemen kekeluargaan, agama dan cinta yang disiarkan di TV3 sekitar tiga tahun lalu.

Sejak itu, nama Tiz semakin laris dan dia sibuk dalam pentas seni tanah air. Dalam setahun ada saja produksi yang memerlukan khidmat lakonannya yang cemerlang. Namun kesibukan itu menyebabkan waktu rehat Tiz terhad sehingga mencuri sebahagian besar waktu tidurnya.

"Istilah tidur lapan jam tiada dalam jadual hidup saya buat masa ini. Setiap hari saya sibuk di set penggambaran dan memenuhi undangan sesi fotografi. Saya akui sesekali badan rasa tidak bermaya, malah nak berdiri pun terasa letih tetapi lazimnya saya curi-curi tidur sekitar 15 minit di set penggambaran.

"Namun, jika ada kelapangan saya akan bercuti di dalam atau di luar negara. Saya gemar meneroka destinasi yang sarat dengan kebudayaan, sejarah dan seni bina bangunan," jelas Tiz yang menyukai Rom, Itali dan merancang untuk berkunjung ke negara itu semula.


TIZ dilantik menjadi duta sabun mandian May.


Sambil menikmati urutan yang ditawarkan di Spa Tanamera, anak tunggal itu sempat bercerita perihal dirinya. Bekas pelajar Sekolah Menengah Subang Jaya, Subang Jaya, Selangor itu memenuhi masa hujung minggunya ke spa sebagai terapi untuk menenangkan tubuh yang keletihan.

Tiz yang memiliki ketinggian 158 sentimeter menyifatkan setiap bulan dia akan mendapatkan khidmat urutan di spa. Biasanya, dia memilih spa yang berkonsepkan Thai kerana urutan yang kuat membantu melegakan otot.

Gemar ke spa

"Saya kurang gemar buat rawatan wajah kerana selesa melakukannya sendiri di rumah. Di spa saya hanya memilih servis urutan seluruh badan untuk tempoh dua jam.

"Selain ke spa, sesi mandian juga salah satu cara terbaik untuk merehatkan minda dan fizikal selepas penat bekerja. Berada di dalam kamar mandi selama 30 minit sudah memadai memberi kesegaran semula. Pada masa yang sama, saya gemar menjadikan kamar mandi tempat untuk menjiwai watak dan mengimbas memori pahit dan manis," jelas Tiz yang menikmati sesi mandian dengan krim mandian May koleksi Diamond Dazzle.

Kata pencinta rona hitam dan putih itu, krim mandian May Diamond Dazzle membantu melembutkan kulit badan. Ia tidak melekit dan harumannya memberi ketenangan yang menakjubkan.

Jika definisi kecantikan dan keyakinan Tiz Zaqyah terletak pada terapi mandian sabun May, Nurul Huda Abdul Wahab, 35, pula memilih sesi merias wajah dengan rangkaian produk Skinz Infinite.

Isteri kepada lelaki Perancis, Eric Daniel Depp, 47, itu menjelaskan, peningkatan usia sentiasa mengingatkannya tentang kepentingan menjaga kulit wajah. Apatah lagi, pada usia lewat 30-an kulit wajah mudah rosak, kusam dan tidak bermaya jika tidak dijaga dengan baik.

Apabila kerosakan kulit wajah semakin kronik maka ia menyukarkan proses penyembuhan terutamanya setelah menginjak usia antara 40 hingga 50 tahun.


Pada usia 35 tahun Nurul masih kekal cantik dan menawan.


Rutin wajib Nurul

"Saya seorang yang cukup menitikberatkan soal tata rias wajah dan menjaga kesihatan badan. Bukan kerana saya seorang selebriti tetapi saya fikir ia antara rutin wajib yang perlu dilaksanakan dengan baik oleh semua wanita.

"Sama seperti wanita lain, saya turut mengalami penambahan berat badan. Jadi, saya menurunkan berat dengan bersenam di gimnasium dan mengamalkan pemakanan seimbang," jelas ibu kepada Ayu Nazirah, 14, itu ketika ditemui Stailo pada majlis pelantikannya sebagai duta produk Skinz Infinite yang berlangsung di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Bercerita tentang keistimewaan Skinz Infinite, pelantun lagu Kerana Terluka itu menyifatkan produk tersebut membantu memulih dan menyerikan kulit wajahnya dalam tempoh dua minggu.

Nurul yang mula dikenali dalam persada seni tempatan selepas menghasilkan album pertama pada tahun 1995 memberitahu, sikapnya yang suka ketawa telah menyebabkan kedutan di bahagian mulutnya. Kesan kedutan itu semakin ketara sekiranya dia tidak mempamerkan sebarang reaksi seperti bercakap atau ketawa.

"Selepas dua minggu menggunakan produk Skin Infinite terutama serum, kedutan kesan ketawa itu hilang sedikit demi sedikit. Malah, rakan jurusolek saya juga menyedari perubahan ini. Lebih menggembirakan, ton kulit wajah semakin sekata dan masalah pigmentasi dapat diatasi.

"Wajah saya sentiasa disolek dan terdedah pada simbahan lampu studio serta persekitaran yang tidak menentu. Justeru, jika tidak dibersihkan dengan baik dan melapisi kulit wajah dengan sapuan krim pelembap, serum serta krim pelindung cahaya matahari maka ia akan menyebabkan masalah bintik-bintik hitam, kulit kotor dan pori-pori tersumbat," ujar Nurul yang menyukai serum Youth Recall Skinz Infinite dan krim terapi mata Skinz Infinite.

Nurul yang menikmati roti bagi menggantikan nasi dan kurang mengambil daging menyatakan, kandungan formula Bio-Stem Cell Activator di dalam produk Skinz Infinite efektif memelihara kulit wajah Asia.

Baju T khat kufi

Posted:

Baju T khat kufi

Oleh ALIF ABU BAKAR


FRASA yang dicetak pada setiap baju T ini membawa mesej dakwah berbentuk moden.


MELAHIRKAN imej berteras Islamik kebiasaannya memerlukan pakaian berkonsep tipikal. Jubah dan baju Melayu antara item wajib seorang lelaki yang mahukan penampilan Islamik.

Namun, pengenalan baju T dengan cetakan kaligrafi jawi menerusi teknik khat kufi, kaum Adam berupaya melebarkan lagi pilihan gaya mereka. Biarpun ringkas berbaju T, tulisan khat kufi yang terpampang pada pakaian itu mudah memikat anak-anak muda.

Menerapkan konsep dakwah secara moden, baju T keluaran Kufi Art Resources itu masih berada di peringkat pengenalan. Lima rekaan pertama mereka sudah mula dijual secara dalam talian bermula Jun lalu.

Frasa seperti Jom Solat, Peace Be Upon You, Muslim By Name Muslim By Nature dan mencerminkan konotasi positif yang dirasakan sesuai dengan ciri-ciri golongan belia tempatan.

"Kebanyakan remaja hari ini gemarkan baju T yang mengandungi cetakan dan tulisan yang tidak berfaedah. Kami cuba menyampaikan mesej yang baik melalui baju T sebegini dan berharap ia mampu mencipta trend tersendiri kelak.

"Setakat ini sambutan yang kita terima memang datang daripada kelompok muda berusia 30 tahun ke bawah. Kami tidak menggunakan ayat-ayat al-Quran sebaliknya mengolah ayat-ayat bahasa Melayu dan bahasa Inggeris ke dalam bentuk khat kufi.

"Buat masa ini, kami hanya mengeluarkan baju T berwarna hitam dengan paduan warna bersesuaian bagi membentuk tulisan," jelas pengasas Kufi Art Resources, Ahmad Shah Heezam Abu Bakar, 38.

Menggunakan 100 peratus fabrik kapas, baju T tersebut hanya disediakan dalam lengan pendek, manakala saiz bermula dari M (Medium) sehingga XXL (Double Extra Large). Setiap helai baju T itu dijual pada harga RM30.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Dunia

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Dunia


Sami Buddha tuntut etnik Rohingya dihantar ke negara lain

Posted:

Sami Buddha tuntut etnik Rohingya dihantar ke negara lain

SEJUMLAH sami Buddha berarak dalam perhimpunan anti-Rohingya di Mandalay, Myanmar semalam.


YANGON, Myanmar – Beratus-ratus sami Buddha di Myanmar semalam menyertai perhimpunan bagi menyokong cadangan Presiden Thein Sein untuk menghantar etnik Rohingya yang beragama Islam ke negara lain.

Perhimpunan yang berlangsung itu merupakan petunjuk terkini sentimen anti-Rohingya yang mendalam di negara ini. Ia berlaku selepas satu keganasan melibatkan pergaduhan antara etnik Rakhine yang bergama Buddha dengan Rohingya pada bulan Jun lalu.

Dalam kejadian itu, seramai 80 orang terbunuh dan puluhan ribu penduduk hilang tempat tinggal. Pada Julai lalu, Sein mencadangkan agar Myanmar menghantar semua etnik Rohingya ke negara yang berminat menerima mereka. Cadangan tersebut ditentang sebuah agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Myanmar menyifatkan etnik Rohingya sebagai pendatang haram dari Bangladesh.

Namun, Bangladesh juga didakwa tidak menerima etnik tersebut sekali gus menyebabkan mereka tiada kerakyatan. PBB menganggarkan kira-kira 800,000 masyarakat Rohingya tinggal di Myanmar. Keganasan yang berlaku pada Jun lalu adalah disebabkan dakwaan bahawa seorang wanita etnik Rakhine telah dirogol oleh penduduk Rohingya. – Agensi

Gadis 16 tahun jadi datuk bandar dua bulan

Posted:

Gadis 16 tahun jadi datuk bandar dua bulan

BASHAER menggunakan cop datuk bandar di atas dokumen di pejabatnya di Allar, Tebing Barat pada 25 Ogos lalu.


ALLAR - Seorang gadis berusia 16 tahun, Bashaer Othman (gambar kecil) kembali semula ke sekolah selepas beliau menamatkan perkhidmatan sebagai datuk bandar selama dua bulan di sebuah bandar kecil di Tebing Barat, Palestin.

Beliau menjadi Datuk Bandar Allar yang mempunyai 8,000 penduduk.

Beliau menjadi datuk bandar pada 2 Julai lalu semasa usianya 15 tahun.

Bashaer menjadi datuk bandar menerusi program projek parlimen muda yang dikendalikan Forum Pemuda Sharek.

Tujuan program itu diperkenalkan adalah untuk melibatkan golongan muda dalam pentadbiran tempatan Palestin.

"Saya datang ke pejabat pada setiap pukul 8 pagi dan meneliti banyak fail, menandatangani dokumen selain bertemu dengan anggota-anggota majlis perbandaran.

"Saya juga melakukan banyak lawatan untuk menyelesaikan masalah dengan segera," katanya.

Menurutnya, dia berasa takut memegang tanggungjawab yang terlalu banyak namun menganggapnya sebagai satu cabaran.

Selepas enam jam bekerja, Bashaer pulang ke rumah dan melakukan rutin harian sebagai seorang gadis termasuk bermain permainan komputer.

Terdapat 11 anggota majlis perbandaran, enam daripadanya dari parti Fatah, lima lagi mewakili pergerakan Hamas yang menguasai Genting Gaza.

Menurut Bashaer, semua anggota majlis tersebut memberikan sokongan kepadanya.

Gadis itu diberikan kuasa penuh sebagai datuk bandar.

Bagaimanapun, dia hanya dibenarkan utnuk menandatangani kelulusan kewangan setakat AS$75 (RM52.92).

Menurutnya, dia berharap akan menjadi datuk bandar sekali lagi. - AFP

Bekas pelumba cipta kereta sport

Posted:

Bekas pelumba cipta kereta sport

KERETA Renovatio T500 yang dicipta Tusek. - AFP


PTUJ, Slovenia - Seorang bekas pelumba kereta, Aljoas Tusek berjaya menghasilkan beberapa buah kereta sport, Renovatio T500.

Hanya dalam tempoh enam bulan selepas mempamerkan prototaip Renovatio pertamanya di majlis Monaco Top Marques, Tusek, 46, telah dijemput secara eksklusif menghadiri pamerkan kereta Salon Prive London yang berlangsung dari hari Rabu sehingga Jumaat ini.

Selain itu juga beberapa pelanggan dari serata dunia kerap menelefonnya untuk membuat tempahan.

Kereta Renovatio T500 itu telah dihasilkan di sebuah garaj milik rakannya di sini.

Ia dihasilkan dengan bantuan 10 orang rakannya sejak beberapa tahun lalu.

Kereta itu menggunakan enjin V8 FSI dengan keupayaan enjin 450 kuasa kuda.

Harga kereta tersebut ialah AS$375,000 (RM1.16 juta).

Setakat ini, dia telah menjual dua buah kereta tersebut.

Dia menjual kereta itu pada harga yang murah dengan tujuan untuk memperkenalkan namanya dan bagi membolehkannya menembusi pasaran. - AFP

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online


Polis siar 11 foto Himpunan Janji Bersih di Facebook

Posted:

Polis siar 11 foto Himpunan Janji Bersih di Facebook

03/09/2012 10:01pm

KUALA LUMPUR — Polis Kuala Lumpur melalui laman Facebook hari ini menyiarkan 11 keping gambar yang dirakam pada Himpunan Janji Bersih di Dataran Merdeka pada 30 Ogos lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, orang ramai yang mengenali individu dalam gambar tersebut diminta tampil menyalurkan maklumat kepada polis.

Mereka boleh berbuat demikian kepada mana-mana pegawai polis, balai polis atau Hotline Polis Diraja Malaysia di talian 03-20319999 atau Hotline Polis KL di talian 03-21159999.

"Mereka juga boleh berhubung terus dengan ASP Azmi Abd. Azizi di talian 019-2602344," kata Ku.

Ketika perhimpunan ambang merdeka, Khamis lalu sekumpulan peserta perhimpunan itu dilihat memijak gambar pemimpin negara, membawa bendera 'baru' sebagai pengganti Jalur Gemilang dan ada yang menunjukkan punggung di khalayak ramai. — BERNAMA

Dua pelajar Malaysia dalam kemalanagan di Russia

Posted:

Dua pelajar Malaysia dalam kemalanagan di Russia

03/09/2012 9:48pm

VLADIVOSTOK, Russia – Dua pelajar Malaysia terbunuh dan lima yang lain cedera dalam kemalangan jalan raya di Russia lewat malam tadi, demikian menurut duta besar Malaysia, Datuk Zainol Abidin Omar, hari ini.

Beliau berkata pelajar itu dikenalpasti sebagai Hanisah Muhd. Shah, pelajar tajaan Mara dari Dungun, Terengganu; dan Adzreen Binyati, pelajar tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam dari Putrajaya.

Penuntut itu, kedua-duanya pelajar tahun lima dari Akademi Perubatan Negeri Nishny Novgorod, sedang dalam perjalanan menaiki sebuah van dengan lima rakan lain universiti itu dari lapangan terbang Moscow ke Vladimirskaya bila kemalangan berlaku, kata beliau.

Beliau berkata pelajar itu baru saja pulang dari Malaysia selepas cuti Hari Raya untuk memulakan semester baru. Zainol Abidin berkata Hanisah mati di tempat kejadian sementara Adzreen dalam perjalanan ke hospital. — BERNAMA

Dibelasah kerana samun dan cuba rogol jurujual

Posted:

Dibelasah kerana samun dan cuba rogol jurujual

03/09/2012 6:41pm

MELAKA — Seorang lelaki dibelasah orang ramai selepas menyamun dan cuba merogol seorang jurujual di sebuah bilik hotel bajet di Jalan Melaka Raya 3 di sini hari ini.

Kejadian berlaku pada 11.45 pagi di mana lelaki sekitar 20-an tersebut dipercayai menceroboh bilik mangsa ketika mangsa keluar untuk makan di sebuah restoran berhampiran.

Wong Siew Hong, 38, dari Johor Baharu berkata dia hanya menyedari kehadiran lelaki terbabit selepas pulang ke biliknya di tingkat dua hotel berkenaan.

"Sebaik tiba di bilik hotel, saya lihat kunci mangga bilik saya telah dipecah dan pintunya terbuka sedikit," katanya ketika ditemui.

Siew Hong berkata dia yang kemudiannya masuk ke biliknya terkejut apabila mendapati seorang lelaki di dalamnya.

Mangsa berkata lelaki berkenaan yang berpakaian serba hitam dan bertutup mulut lantas menerpa ke arahnya dan cuba membuka pakaiannya.

Dia berkata lelaki tersebut turut menumbuknya beberapa kali di pipi kiri sehingga bengkak apabila dia cuba melawan lelaki itu sambil menjerit meminta tolong.

Siew Hong berkata lelaki terbabit kemudian melarikan diri bersama beg duitnya yang sempat dirampas darinya.

Katanya dia mengejar lelaki terbabit sambil menjerit meminta tolong sebelum beberapa orang menangkap dan bertindak memukul lelaki itu, kira-kira 50 meter dari hotel berkenaan.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, ACP Salehhudin Abd Rahman mengesahkan kejadian itu dan berkata suspek telah dihantar ke Hospital Melaka untuk menjalani rawatan akibat cedera dipukul.

Kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana menyamun sehingga mendatangkan kecederaan. — BERNAMA

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Hiburan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Baru berkahwin sudah berpisah

Posted:

Baru berkahwin sudah berpisah



PERKAHWINAN mereka masih baharu, namun ujian getir menanti apabila mereka terpaksa berpisah. Itu takdir yang melanda pasangan pengantin baharu, aktres Izreen Azminda dan suaminya, jurukamera, Muhammad Riza Baharudin atau Riza.

Belum pun puas bermesra sebagai suami isteri selepas dinikahkan pada 30 Ogos lepas, pasangan ini sudah pun diuji apabila terpaksa berpisah selama 13 hari dek tuntutan kerjaya masing-masing.

Izreen terbang ke Seoul, Korea Selatan kira-kira 24 jam selepas majlis persandingan pada sebelah malam 31 Ogos bagi mengikuti kru produksi untuk penggambaran drama bersiri, Julia.

"Pada pukul 11.30 malam 1 September (lalu) saya berangkat ke Korea Selatan. Tipu jika saya kata tidak sedih meninggalkan suami. Pertama kali kahwin dan baru mahu merasai hidup berumah tangga terpaksa 'berpisah','" ujar Izreen.

Biarpun terpaksa melalui ujian getir itu, namun tanggal 30 Ogos 2012 sebenarnya telah menjadi detik istimewa dan bersejarah bagi pemilik nama Izreen Azminda Aznam. Jika pada tahun-tahun sebelum ini, aktres penuh karakter ini menyambut hari lahir dengan hanya menerima hadiah seperti coklat, bunga dan anak patung, namun pada ulang tahun ke-27 pada tahun ini, 'hadiah' yang diperoleh amat berbeza dan istimewa.

Bak bait lagu nyanyian kumpulan Ungu, Kau Tercipta Untuk Ku yang berkumandang sejurus sebelum ketibaan Izreen bersama pasangannya, Muhamad Riza Baharudin atau Riza di Dewan Gemilang, Darulaman Golf & Country Club, Jitra, Kedah yang menjadi lokasi pernikahan mereka, nyata Riza pula 'dicipta' Tuhan untuk Izreen.

Mereka disatukan menerusi simpulan tali suci pernikahan yang mahu diikat kuat hingga nafas terakhir. Dengan dua kali lafaz penuh berkat, ijab dan kabul maka termeterai janji setia bagi membina bahtera bahagia bergelar suami isteri.

"Ini hadiah ulang tahun kelahiran paling besar dan cukup istimewa bagi saya. Riza sudi mengahwini saya. Bukan mudah untuk mencari lelaki yang mahu memberi komitmen," tutur Izreen.

Pemilihan tarikh ini juga cukup istimewa bagi Izreen kerana ia ditetapkan sendiri ibunya, Azizah Hasan dan siapa lagi, kalau bukan Riza.

"Saya seorang yang sangat pelupa, tidak ingat tarikh penting. Jadi ibu dan Riza memilih 30 Ogos bagi mudah saya ingat kerana ia tarikh kelahiran saya dan kini menjadi tarikh pernikahan kami," tutur Izreen yang cukup terkenal menerusi drama rantaian Juvana dan Tentang Dhia itu.

DENGAN dua kali lafaz, Muhammad Riza Baharudin atau Riza berjaya memperisterikan pelakon Izreen Azminda.


Debaran berakhir

Pasangan raja sehari itu selamat diijab kabul bapa Izreen sendiri, Mohd. Aznam Mohd. Noor tepat pukul 9.50 malam sambil bersaksikan Zakaria Abd. Rahman, 61, dan Mohamad Abdullah, 55. Dengan sembilan dulang hantaran dari Riza berbalas 11 dulang dari Izreen, termaktub juga janji setia mereka hingga akhir hayat.

Wang hantaran RM19,001 berserta mas kahwin RM999 mengukuhkan lagi ikrar mereka untuk melayari bahtera rumah tangga.

Mengakui begitu berdebar menanti detik bergelar isteri Riza, kata Izreen bukan sehari dua dia menanggung 'beban' itu, tetapi ia bermula sejak dari tarikh menerima lamaran Riza pada akhir tahun lalu.

"Selagi majlis (perkahwinan) tidak selesai, selagi itu saya berdebar-debar. Dan rasa sebagai orang baharu, jika sebelum ini bujang sekarang sudah berdua dan ada tanggungjawab sebagai isteri," tutur Izreen yang merupakan anak kedua dari tiga beradik itu.

Dalam pada itu disebabkan inilah pertama kali bergelar isteri, Izreen yang begitu teruja melihat ikatan perkahwinannya itu sebagai pengalaman baharu yang amat mencabar.

"Ketika Riza mula melamar dan saya menerimanya, bermakna saya sedia memikul tanggungjawab sebagai isteri. Riza seorang yang romantik bagi perempuan macam saya yang kasar dan ada kala agresif.

"Saya kuat memberontak tetapi Riza tenang sahaja. Saya berharap Riza dapat menjaga saya dengan penuh tanggungjawab dan sebaik mungkin serta menyayangi saya dengan sepenuh hati," bicara Izreen sambil menguntum senyuman manis.

Riza yang cukup mesra ketika ditemui wartawan usai majlis akad nikah, pantas berkata: "Apabila tiba tarikh ini (di masa hadapan) saya kena beri dua hadiah kepada Izreen. Lagipun kami dapat meraikannya serentak sebagai ulang tahun kelahiran dan perkahwinan."

Riza pula mengakui dia juga turut dilanda debaran, terutama sejurus sebelum upacara akad nikah dijalankan.

"Saya amat bersyukur kerana debaran menjadi suami berakhir dengan baik. Ini tanggungjawab Allah kepada saya,"' ujar jurukamera yang sudah enam tahun bergiat aktif dalam industri perfileman itu.

Bagi lelaki berusia 29 tahun itu, ini bukan perkahwinan kali pertamanya kerana 'masjid' yang dibina sebelum ini tidak ke penghujung.

"Saya akan menjaga Izreen seperti saya jaga diri saya dan menyayangi dia lebih dari sayang diri sendiri. Saya tidak mahu ulang apa yang berlaku sebelum ini iaitu bernikah dan bercerai. Kalau boleh biar perkahwinan ini sampai akhir hayat," ujar Riza yang berasal dari Sabak Bernam, Selangor.

Mengulas mengenai sikap kasar Izreen pula, kata Riza, isterinya itu tetap menyerlah sisi kelembutan dalam dirinya dan itulah yang nyata telah berjaya memikat hatinya.

"Saya nampak sifat keibuan Izreen apabila melayan kanak-kanak. Moga Izreen menjadi isteri solehah, untuk mendidik dan menjaga anak-anak saya sampai pandai dan jangan cepat marah," seloroh Riza yang mengimpikan tiga orang cahaya mata.

IZREEN ditakdirkan terpaksa menjalani ujian getir berpisah dengan Riza kira-kira 24 jam selepas berlangsungnya majlis persandingan mereka ini pada malam Jumaat lepas.


Hikmah kontroversi

Apabila menyebut nama Izreen dan Riza, sejarah 'hitam' tidak boleh lari dari diari hidup mereka dengan himpitan kontroversi. Izreen diuji gara-gara pernah mendakwa bercinta dengan aktor Johan As'ari yang bergandingan dengannya dalam drama Juvana, sedangkan Johan tidak mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai perkara itu.

Justeru apabila perancangan Izreen dan Riza untuk bertunang dicium media, timbul pula kontroversi pada pihak Riza. Seperti biasa laman internet menjadi medan yang kononnya cuba membogelkan kisah sebenar Riza sekali gus dilihat sebagai percubaan dalam menghalang pertunangan mereka.

Kononnya dalam salah sebuah blog gosip ada individu tertentu yang didakwa menghantar emel menampilkan kenyataan pencetus daripada seorang pengurus produksi yang hanya dikenali sebagai Rafeda. Dakwa Rafeda, dia merupakan tunangan Riza dan Izreen pula dilabelkan sebagai perampas tunangan orang.

Tidak cukup dengan itu, Riza juga didakwa pernah berkahwin dengan bekas isteri pelakon Badrul Muhayat, Julia Daud yang mana kes mereka juga pernah menjadi isu panas apabila Badrul meninggalkan Julia yang ketika itu sarat mengandung anak pertama mereka.

Rafeda juga mendakwa dia dan Riza pernah bercuti ke luar negara dan masih menyimpan segala bukti yang berupa gambar-gambar dan rakaman video sepanjang percutian mereka itu. Rafeda turut didakwa pernah mengandung anak luar nikah daripada benih Riza, tetapi Riza telah mengambil keputusan untuk menggugurkan kandungan Rafeda kerana ketika itu Riza masih bergelar suami kepada Julia.

Dari sudut pandang Izreen, kontroversi itu banyak mengajarnya supaya lebih berhati-hati pada kemudian hari dan percaya apa yang berlaku itu ada hikmah.

"Ia mengajar saya menjadi lebih baik. Saya berjumpa dengan orang yang lebih baik. Fikir positif ke depan, kontroversi mengajar saya sebagai pendatang baharu dalam industri," tutur Izreen.

Menurut Izreen, ketika mengharungi kontroversi tersebut, dia menerima banyak sokongan serta semangat daripada keluarga, rakan-rakan dan peminat sekali gus dapat mengharungi tahun 2012 dengan 'bersih'.

"Tahun ini membuatkan saya boleh bernafas dengan tenang sebab tahun lepas nak buat kerja pun tidak boleh. Apa pun, tahun ini saya banyak dekatkan diri dengan penonton menerusi karakter dalam lakonan dan banyak fokus kepada kerjaya. Peminat mengenali saya dengan lakonan, bukan lagi kontroversi.

"Apa yang berlaku, kita perlu selidik dahulu. Harap dengan pernikahan ini dapat menutup kontroversi lalu dan mendatang. Saya minta peminat doakan yang terbaik untuk kami," ujar Izreen yang membintangi dua buah filem pada tahun depan iaitu Pecah dan Pak Pong.

Riza yang turut menjadi 'watak utama' dalam pakej kontroversi itu sudah tidak mahu lagi mengingatinya kerana telah menjelasnya sebelum ini dan meminta pihak terbabit tampil dengan bukti.

"Tiada pun pihak yang tampilkan bukti. Nyata perkara ini fitnah dan tidak wujud sebaliknya sengaja diada-adakan. Kami harus saling mempercayai," ujar Riza yang terlibat dalam penggambaran drama bersiri 13 episod, Monumen Cinta untuk slot Lestari selepas ini.

Boleh elak maksiat - Nadia

Posted:

Boleh elak maksiat - Nadia

Oleh SITI KAMILAH MUSTAPHA

NADIA kini sedang bahagia menjalin cinta dengan penyanyi Indonesia, Sammy Simorangkir.




SAMMY SIMORANGKIR akan berkunjung ke Malaysia jika punya waktu terluang untuk bertemu kekasihnya, Nadia.


PERSONALITI TV3, Nadia Shahrul Annuar yang merupakan buah hati kepada bekas vokalis kumpulan Kerispatih, Sammy Simorangkir mengakui dia kini sedang mengulit bahagia bersama lelaki kelahiran republik Indonesia itu. Walaupun Sammy pernah terlibat dengan najis dadah serta dipenjarakan selama enam bulan, Nadia menganggap semua itu tidak menjadi masalah baginya kerana semua orang mempunyai kisah gelap sendiri.

Kredit: www.kosmo.com.my
 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved