Isnin, 3 September 2012

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Pilih warna, fabrik, tapak dan rekaan

Posted:

Pilih warna, fabrik, tapak dan rekaan

Jenama kasut You, Me and Shoes (YMS) yang boleh ditempah secara talian diasaskan oleh gadis muda, Nur Ayuni. Dia menyifatkan dirinya seorang yang gila kasut dan gemar membeli-belah di ruang siber.

"MAAF, tiada saiz anda untuk kasut jenis ini". Pasti ramai yang pernah berhadapan dengan situasi tersebut apabila mengunjungi kedai kasut.

Kecewa rasanya apabila kasut yang berkenan di hati tidak dapat dimiliki gara-gara tiada saiz dan warna yang diingini.

Kepada mereka yang kerap melalui pengalaman tersebut, ada alternatif lain untuk memenuhi keinginan anda. Anda boleh mendapatkan kasut secara tempahan.

Sejak dua tahun lalu, penuntut Management and Science University (MSU), Nur Ayuni Azri, 22, menawarkan perkhidmatan tersebut. Walaupun tiada pengetahuan asas mengenai pembikinan kasut, anak bongsu daripada tiga beradik ini menerima tempahan kasut secara talian dengan membawa jenama You, Me and Shoes (YMS).

"Di YMS, pelanggan bukan sahaja boleh memilih warna tetapi berpeluang menentukan jenis fabrik, ketinggian tapak dan rekaan mengikut cita rasa mereka sendiri.

"Lazimnya, kami menerima tempahan untuk kasut kahwin, kasut untuk saiz yang terlalu kecil dan terlalu besar," kata pelajar jurusan Sains Komputer itu.

Sebelum serius menjalankan perniagaan tempahan kasut secara talian, Nur Ayuni bermula dengan menjual kasut dari China ketika usianya mencecah 19 tahun. Namun, ia tidak bertahan lama kerana masalah saiz dan material.

Menyifatkan dirinya sebagai seseorang yang 'gila' kasut, Nur Ayuni juga gemar membeli-belah di ruang siber.

"Saya lihat ramai menjual beg dan baju secara talian tetapi bilangan mereka yang menjual kasut sebegini boleh dibilang dengan jari.

"Pada peringkat awal, saya mencuba pasarannya sahaja. Bagaimanapun selepas mendapat permintaan yang tinggi, saya terus serius dalam perniagaan ini," ujarnya yang mengambil masa setahun untuk membuat perancangan.


NUR AYUNI hanya menerima 20 tempahan kasut seminggu.


Rekaan kasut

Berbekalkan modal permulaan sebanyak RM800, anak gadis ini mempunyai dua orang pekerja yang bertanggungjawab mengambil pesanan pelanggan melalui e-mel dan membuat janji temu dengan pelanggan.

Berikutan sambutan menggalakkan, modal yang dipertaruhkan berjaya diperoleh semula pada bulan kedua.

"Kami membuat semua jenis kasut mengikut rekaan yang diminta oleh pelanggan. Pilihan di tangan mereka.

"Jika ada pelanggan yang tidak tahu untuk memilih rekaan, kami ada meletakkan gambar-gambar pelbagai rekaan kasut baik kasut lelaki mahupun wanita di laman Facebook YMS," jelasnya.

Bahan mentah untuk membuat kasut seperti aksesori dan kayu dibeli dari China manakala material kain pula diperoleh dari Indonesia dan Malaysia.

Pada awal pembabitannya, Nur Ayuni melakar sendiri rekaan kasut mengikut kehendak pelanggan. Kebanyakan idea rekaan diilhamkan selepas membuat rujukan rekaan dari luar negara, televisyen, majalah dan pertunjukan fesyen.

Setiap rekaan kasut pelanggan akan diberikan kepada tukang kasut yang terdiri daripada orang tempatan dan orang luar yang dibuat di rumah atau bengkel masing-masing.

"Pelanggan boleh mendapatkan kasut masing-masing dalam tempoh antara dua minggu hingga dua bulan bergantung kepada rekaan.

"Jika sesuatu rekaan kasut itu rumit, ia akan mengambil masa lebih lama manakala rekaan yang ringkas boleh siap dalam masa dua minggu sahaja," katanya yang membuat pelbagai jenis kasut seperti kasut tapak rata, kasut baji (wedges), loafer, kasut tumit tinggi, kasut kulit dan sebagainya.


RAKAN Nur Ayuni, Sharifah Noor Syakila Syed Abdul Hamid menunjukkan cara mengambil ukiran saiz kasut pelanggan.


Kasut baharu

Menurut Nur Ayuni, jika ada pelanggan yang tidak berpuas hati, pihaknya akan baiki semula kasut tersebut sehingga mereka berpuas hati.

Andai kasut yang ditempah tidak muat, Nur Ayuni akan membuat kasut baharu. Lazimnya kes sedemikian terjadi kepada pelanggan yang mengukur sendiri saiz kaki mereka buat kali pertama.

Menurut Nur Ayuni, majoriti pelanggannya terdiri daripada wanita. Selain kasut biasa, ada juga dalam kalangan pelanggannya merupakan pesakit diabetes.

"Kasut untuk pesakit diabetes biasanya akan diletakkan span tambahan bagi memberikan lebih keselesaan.

"Harga kasut dijual antara RM90 hingga RM200. Kasut tapak rata murah sedikit berbanding kasut tumit tinggi. Semakin tinggi kasut itu, semakin mahal harganya," ujarnya yang mengambil 20 tempahan kasut seminggu.

Apakah kelainan kasut jenama YMS berbanding jenama lain di pasaran? Nur Ayuni memberitahu, pelanggan boleh menghantar kembali kasut mereka jika tidak muat, atau tidak berpuas hati dan YMS akan membuat kasut baharu.

Pekerja YMS pula akan berjumpa dengan pelanggan untuk mendapatkan ukuran kaki di sekitar Lembah Klang. Bagi pelanggan yang jauh, YMS menyediakan garis panduan untuk membuat ukuran yang betul.

Setiap kasut yang siap akan dihantar melalui pos, diambil sendiri oleh pelanggan dan dihantar terus oleh pekerja YMS kepada pelanggan.

Dorongan keluarga

"Permintaan yang sangat menggalakkan daripada pelanggan menyuntik semangat saya untuk membuka bengkel, kilang dan menambahkan bilangan pekerja supaya pengeluaran dapat ditingkatkan.

"Buat masa ini, tempahan yang diterima terpaksa ditolak kerana khuatir ia lambat siap dalam tempoh yang dijanjikan," katanya yang bercadang membuka kedai kasut dalam tempoh sedekad.

Penglibatannya dalam perniagaan tempahan kasut dalam talian turut mendapat dorongan ibu, ayah dan kakaknya.

Mereka terlibat dalam kerja-kerja pembungkusan dan penghantaran pos.

Ibunya, Fauziah Abdullah, 53, memberitahu, anak bongsunya yang berjinak-jinak dalam perniagaan kasut itu merahsiakan perkara tersebut daripadanya.

"Saya tidak tahu mengenai hal ini sehinggalah kakaknya bocorkan rahsia. Bukan tidak suka dia berniaga tapi khuatir pelajarannya terganggu.

"Kini kami sekeluarga merestui apa yang dilakukannya asalkan tidak mengganggu kuliah," katanya sambil memberitahu, walaupun bergelar tauke kasut, anaknya itu lebih selesa berselipar Jepun.

Yakin dengan percaturan yang dibuat, Nur Ayuni tidak mahu menoleh ke belakang lagi dan optimis perniagaan yang diusahakannya berpotensi untuk pergi jauh.

Membuktikan keseriusannya terhadap pembikinan kasut, Nur Ayuni mahu melanjutkan pelajarannya dalam bidang rekaan kasut.

Dalam pada itu, Pakar Ortotik MyOrtho, Edmund Lee memberitahu pemilihan kasut sangat penting dan ia perlu dilakukan mengikut saiz kaki.


PELAPIK kaki yang sesuai mampu mengurangkan kesakitan kaki yang dialami seseorang.


"Jika pemilihan dibuat tidak mengikut saiz dan dipilih berdasarkan fesyen dan warna semata-mata, ia akan menyebabkan kesakitan serta berdepan dengan masalah penjajaran kaki.

"Apabila masalah kesakitan dan penjajaran berlaku ia perlu ditangani dengan pelapik kasut yang sesuai dengan kaki," ujarnya sambil memberitahu tidak semua pelapik kasut sesuai dengan setiap orang kerana keperluan yang berbeza-beza.

Tambahnya, seseorang yang mengalami kesakitan pada kaki juga tidak semestinya menempah kasut tempahan khas kerana ia (kesakitan) boleh diatasi dengan menggunakan pelapik kaki yang bersesuaian berdasarkan struktur kaki mereka.

Edmund memberitahu, kaki umpama tayar. Jika sudah digunakan lama, ia memerlukan penjajaran semula supaya dapat memberikan sokongan yang lebih baik.

Kegagalan memilih kasut yang baik akan menyebabkan seseorang itu berhadapan dengan masalah sakit kaki, sakit lutut, sakit belakang, hallux valgus (bunion) dan sebagainya.

Ukur kaki

"Ramai wanita di Malaysia mengalami Hallux Valgus. Ia berpunca daripada pemakaian kasut tumit tinggi yang terlalu lama dan sempit.

"Majoriti orang di Malaysia cenderung memilih kasut tanpa mengukur kaki mereka terlebih dahulu. Apa yang mereka lakukan ialah menyarungkan kaki terus ke dalam kasut," jelasnya.

Ceritanya lagi, sebulan lalu ada seorang wanita berjumpa dengannya mengadu mengenai kesakitan kaki yang dialami.

"Saya tanya kepadanya, pernah tak orang ukur saiz kakinya apabila hendak membeli kasut? Dia kata tiada. Saya ukur kakinya dan dia sepatutnya memakai saiz 6, tetapi selama ini dia memakai saiz 4.

"Apabila memilih kasut, jangan pilih kasut yang muat-muat dengan kaki sahaja. Sepatutnya pilih saiz longgar sedikit supaya satu jari boleh dimasukkan di bahagian belakang kasut dan jari-jemari kaki masih boleh digerakkan," katanya sambil berpesan kepada orang ramai supaya elakkan memakai kasut yang tapaknya terlalu lembut.

Ujarnya, dia tidak boleh melarang orang yang mahu bergaya, namun tempoh pemakaian kasut tinggi perlu dihadkan kepada beberapa jam sahaja selain memilih saiz kasut yang betul.

Gelombang sekolah di rumah

Posted:

Gelombang sekolah di rumah

QIAOFENG (kiri) tekun menjadi guru kepada anak lelakinya, Zhang Hongwu, 8, di rumah mereka di Beijing.


MELEPASKAN karier sebagai ketua kepada sebuah firma perubatan bagi meluangkan masa di rumah membacakan buku cerita kanak-kanak merupakan pilihan sukar bagi seorang bapa, Zhang Qiaofeng.

Qiaofeng adalah sebahagian kecil daripada kelompok ibu bapa di China yang menolak sistem persekolahan berasaskan peperiksaan negara mereka. Kumpulan tersebut merasakan mereka tiada pilihan.

"Sistem pendidikan China mempunyai masalah serius. Saya mahukan anak saya menerima pembelajaran yang lebih kepada penyertaan murid-murid dan bukan sekadar mendengar guru bercakap. Kebanyakan waktu anak lelaki saya kini digunakan bagi mengikuti minatnya atau bermain," ujar Qiaofeng yang merupakan graduan di sebuah universiti terkemuka negara tersebut.

Dari sebuah apartmen kecil yang terletak di pinggir Beijing, Qiaofeng mengajar anaknya, Hongwu selama empat jam setiap hari. Ia berbeza dengan pembelajaran enam jam yang wajib dijalani majoriti murid sekolah rendah berumur tujuh tahun.

Di ruang tamu rumahnya yang menjadi bilik darjah, Qiaofeng menyenaraikan satu persatu kelemahan sistem pendidikan China yang dianggap terlalu obses terhadap keputusan peperiksaan. Hal tersebut menjurus kepada stail pembelajaran bersifat autoritarian.

China menunjukkan pencapaian membanggakan dalam penawaran pendidikan universal ke serata negara dengan kawasan urban seperti Shanghai dikatakan sebagai sekolah terbaik dari segi nisbah pendaftaran.

Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyatakan China memiliki kadar celik huruf golongan muda sebanyak 99 peratus.

Walaupun perkembangan itu positif, ramai ibu bapa merungut tentang fokus kepada pembelajaran berbentuk menghafal dan lulus peperiksaan yang bermaksud murid-murid perlu meluangkan masa yang panjang di dalam kelas.

Berdasarkan kajian yang dijalankan Pusat Penyelidikan Belia dan Kanak-kanak China pada tahun 2007, kanak-kanak China berada di sekolah kira-kira 8.6 jam sehari secara purata dengan segelintir daripada mereka meluangkan 12 jam masa mereka di dalam kelas.

SISTEM pendidikan di sekolah China yang berteraskan peperiksaan semata-mata menyebabkan ramai ibu bapa mengajar anak mereka di rumah.


Semakin bertambah

Penyelidik polisi pendidikan di Universiti Beijing Normal, Lao Kaisheng mengatakan ibu bapa China yang tidak berpuas hati terhadap sistem pendidikan negara kian bertambah.

"Terdapat peningkatan pantas terhadap sekolah di rumah terutamanya sejak beberapa tahun lepas. Ibu bapa yang memilih sekolah di rumah mempunyai keperluan ketat terhadap pendidikan anak-anak mereka," jelas Kaisheng kepada AFP.

Tiada data rasmi bagi menunjukkan jumlah ibu bapa China yang mengajar anak mereka di rumah, namun Kaisheng menganggarkan ia kurang daripada satu peratus.

Salah seorang individu yang paling menonjol dalam perjuangan sekolah di rumah ialah Xu Xuejin. Beliau sanggup berpindah dari kawasan hab perkilangan di Zhejiang ke kawasan terpencil di barat daya bandar Dali, semata-mata mahu memberikan suasana terbaik untuk anak-anaknya belajar.

"Anak-anak China memang diajar untuk bersaing sejak kecil. Murid-murid yang tidak mampu bersaing akan disingkirkan," kongsi Xuejin menerusi perbualan telefon .

Tambah Xuejin, beliau mahu memberikan pendidikan berteraskan agama Kristian yang tidak diterima di sekolah biasa. Menurutnya, ia menjadi penggerak kepada kejayaan sama seperti ibu bapa di Amerika Syarikat (AS) yang semakin galak menjalankan sekolah di rumah.

"Kementerian Pendidikan China bagaimanapun masih berbelah-bahagi dalam sistem persekolahan tersebut. Sebahagian mereka mahu memaksa kanak-kanak dimasukkan ke sekolah, sementara sebahagian lagi memilih untuk meluluskan sekolah di rumah menyebabkan tiada penguatkuasaan baharu diumumkan," ujar Kaisheng.

Persoalan berkenaan pengesahan sekolah di rumah yang belum menemui kepastian bagaimanapun tidak menggugat pendirian Qiaofeng yang berharap anak lelakinya tidak akan kembali ke sekolah China.

"Skil Bahasa Cina dan Bahasa Inggeris anak saya lebih tinggi berbanding kanak-kanak seusianya," ujar Qiaofeng sambil menunjukkan rak buku yang dipenuhi bahan bacaan untuk anaknya.

"Saya bercadang untuk mengajar anak saya di rumah sehingga dia bersedia untuk masuk ke universiti. Saya berharap dia boleh memasuki universiti yang hebat seperti Harvard, Oxford atau Cambridge. Saya yakin 95 peratus dia boleh menggapainya." - AFP

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved