Kosmo Online - Rencana Utama |
Subash pengarahfilem 1Malaysia Posted: Subash pengarahfilem 1MalaysiaSEBUT sahaja filem Pensil, ramai yang sudah terbayang kelibat seorang lelaki kelainan upaya (OKU) bernama Badrul yang amat mencintai ibu bapanya walaupun sering dibuli. Dibintangi M. Subash Abdullah selaku watak utama yang juga bertindak sebagai pengarah, filem tersebut juga dibarisi pelakon handalan lain seperti Maimun Mutalib, Ruminah Sidek, Khatijah Tan dan Jalil Hamid. Malah, karya itu diiktiraf menerima Anugerah Khas Juri pada Festival Filem Malaysia 2008 kerana mengangkat martabat. "Sebahagian filem ini, ada kebenarannya. Maksud saya, dari segi watak lelaki OKU itu. Tetapi saya mengubah demi memberi nilai tambahan," kata Subash menceritakan kembali memori pengarahan pertama beliau. Persoalannya, siapakah Subash dan mengapa lelaki itu dianggap bak mutiara yang bersinar di persada seni filem tanah air. Sebenarnya menyorot profil karya seni Subash, jika wujud satu anugerah iaitu pengarah 1Malaysia, lelaki berusia 42 tahun itu paling layak menggondolnya. Kenapa? Ketika orang ramai khususnya penggemar filem memuji filem Pensil yang diarahkan oleh lelaki berketurunan India itu, dia juga menambahkan senarai filemografinya apabila membikin filem berbahasa Mandarin dan Kantonis. Dua buah filem berbahasa Cina arahannya, You Believe In Ghost? dan Karma Returns yang masing-masing dikeluarkan pada tahun ini, tentu sekali menjadi satu testimoni yang cukup tebal bagi pengarah itu. Sebelum ini, dia sudahpun menempa nama dalam bidang industri hiburan Tamil dan Melayu. Bahkan, jika cita-citanya untuk menghasilkan sebuah filem berbahasa Thai tahun depan berjaya direalisasi, maka beliau menjadi pengarah Malaysia pertama membikin filem Thai untuk pasaran di Malaysia dan Thailand sendiri. "Kami kini sedang mengusahakan projek pembikinan filem berbahasa Thai. Kami mempunyai kenalan, tetapi bukan dalam bidang produksi. Oleh itu selepas saya mendapat seorang pembantu pengarah tempatan Thai, saya akan memulakan penggambaran," kata Subash yang terkenal dengan membikin penggambaran dalam masa sangat singkat.
Demikian filemografi ringkas Subash yang membuatkannya lambang anak Malaysia sejati yang berkarya tanpa membataskan diri dengan kaum, bahasa dan agama. Namun, untuk mencapai semua itu, ternyata jalan yang perlu dilaluinya bukan mudah, apatah lagi Subash tidak mempunyai sedikit pun latar belakang perfileman baik dari segi kelulusan atau ahli keluarga yang berlakon. Dia cuma mempunyai bakat dalam bidang nyanyian yang membolehkan beliau banyak terlibat dalam program-program tempatan Tamil seperti Nadaria dan Nadasuara yang ditayangkan secara mingguan di RTM2 lebih dua dekad lalu. Lelaki kelahiran Bukit Besi, Dungun, Terengganu itu mengakui, minat dan keterujaan terhadap seni hiburan sememangnya sudah ada sejak beliau muda lagi. "Sebaik tamat pelajaran, saya menjadi pensyarah dan mengajar bidang Pentadbiran Perniagaan di Kolej Stamford," katanya yang menamatkan ijazah dalam bidang sains dan ijazah lanjutan dalam bidang Pentadbiran Perniagaan di Universiti Malaya. Bahkan, naluri sebagai guru turut menyebabkan dia membuka kelas tuisyen mengajar Sains untuk pelajar sekolah menengah. "Selepas beberapa tahun bergelar pensyarah saya berjumpa Suurya Murugaya, 27, di sebuah majlis keramaian pada tahun 2002. "Mengetahui saya pernah terlibat dengan beberapa rancangan hiburan Tamil tempatan, dia bertanya kalau-kalau kami boleh bekerjasama dalam menerbit filem. Dari situlah saya mula tergerak untuk memikirkan secara serius mengenai dunia perfileman," cerita Subash yang merangkak dari bawah untuk bergelar pengarah dengan belajar sendiri selain mendapat tunjuk ajar pengarah fotografi, Indra Che Muda dari segi sudut teknikal. Sejak itu, keserasian Suurya dan Subash dalam setiap filem tidak dapat dinafikan. Walaupun Suurya masih muda ketika itu kerana baru tamat sekolah menengah, namun Subash melihat potensi dan kesungguhan pada Suurya. Hasilnya, selain menjadi penerbit, Suurya juga mula dikenali sebagai hero dalam filem-filem Tamil, Subash. Menceritakan onak ranjau bergelar pengarah yang cuba mempelbagai bukan sahaja genre, bahkan bahasa dan khalayak penonton, beliau mengakui ia menuntut kesabaran tinggi. Subash menceritakan bagaimana untuk filem pertama Pensil, dia hampir berputus asa. Sewaktu di set rakaman Pensil di Batang Berjuntai, Selangor dia terpaksa mengendalikan sekumpulan pengarah fotografi dan rakan-rakannya yang berkelakuan tidak senonoh. Oleh kerana tidak berpuas hati dengan amaran Subash, mereka melarikan filem-filem rakaman penggambaran. SUBASH (dua dari kanan) dalam set filem Aku Shah Rukh Khan. "Nasib baik saya tidak berputus asa. Saya segera menghubungi pengarah fotografi baharu, selain merakamkan semula shot selama dua hari yang telah dilarikan itu," kata Subash menceritakan detik hitam berkenaan selain menambah, demi Pensil Suurya terpaksa menjual apartmennya. Daripada detik itu hingga kini, dia sudah mengarah dan berlakon dalam beberap filem Tamil, Melayu dan Cina. "Saya pernah mempunyai pengalaman menghasilkan filem Cina dalam bahasa Kantonis, iaitu satu bahasa yang saya sendiri tidak mahir. "Saya menulis skrip dalam bahasa Inggeris dan diterjemah. Jadi kaedah yang sama boleh diaplikasi," katanya yang bagaimanapun boleh menulis dan bercakap bahasa Mandarin kerana pernah belajar di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Yuk Chi di Batang Berjuntai. Penguasaan dalam bahasa Mandari sdikit-sebanyak memudahkan Subash menyerap elemen kebudayaan dan cita rasa masyarakat Cina. "Filem pertama saya dalam bahasa Mandarin berjalan lancar tanpa banyak masalah. Ia banyak dibantu oleh rakan-rakan berbangsa Cina seperti Rabbit Chen. "Saya memilih filem bergenre seram kerana melihat potensi dalam genre itu," kata anak bongsu daripada enam beradik tersebut. Kejayaan filem pertama berbahasa Cina, membuatkan dia menghasilkan pula Karma Returns yang sedang ditayangkan di pawagam sekarang. "Saya dapati filem Cina mampu menarik kutipan yang lebih tinggi. Malah, You Believe In Ghost? yang berjaya membuat kutipan RM600,000 adalah kutipan tertinggi filem saya buat masa ini," katanya. Filem-filem Melayu arahan beliau selepas Pensil ialah Syirik (dijangka ditayang tahun ini), Jomlah C.I.U.M, Mannan dan Sumpahan Puaka selain telefilem Aku Shah Rukh Khan. Filem dan telefilem Tamil arahan Subash pula termasuklah Maruthani, Garuda dan Vajram. | ||
Jasa pemandu pelancong veteran Posted: Jasa pemandu pelancong veteranMESKIPUN sudah mencecah usia 95 tahun, Ponce sentiasa bersemangat melakukan tugas sebagai pemandu pelancong di pusat peranginan The Breakers. TIADA tempat yang dapat menandingi kisah kebangkitan pusat peranginan The Breakers dan tiada siapa yang tahu mengenai resort itu lebih daripada James Augustine Ponce. Selepas 60 tahun berkhidmat sebagai petugas kaunter hadapan, Ponce, 95, masih setia dengan kerjaya itu. Sebagai orang yang arif mengenai sejarah resort tersebut, dia muncul pada setiap hari Selasa untuk mengiringi tetamu menjelajah kawasan berkenaan. Ponce mengenakan pakaian sesuai dengan peredaran zaman iaitu blazer merah, topi Panama dan tongkat berkilat. Berbekalkan pengalaman yang ada, dia akan membawa pengunjung meneroka keseluruhan destinasi percutian terkenal di Florida, Amerika Syarikat (AS) itu. Seni bina Roman Pusat peranginan yang juga dilengkapi Hotel The Breakers itu dibina pada kurun ke-15. Ia memiliki siling fresco dan lantai berjubin yang dipengaruhi seni bina Roman. Menghabiskan banyak waktu dalam hidupnya di sana, Ponce mengakui sejarah bangunan itu seolah-olah mewakili keseluruhan hidupnya. "Ia lebih daripada sebuah hotel buat saya," kata Ponce yang kini bertugas sebagai pemandu pelancong di pusat peranginan berkenaan. Sambil membawa sekumpulan pengunjung mengelilingi dewan, ruang khas dan lorong The Breakers, Ponce akan menceritakan lebih daripada sekadar siling dan lampu candelier. THE BREAKERS pernah dikunjungi figura ternama termasuk Puteri Diana dan mantan wanita pertama AS, Eleanor Roosevelt. Selain itu, dia turut bercerita tentang kisah bintang legenda seperti Bette Davis hinggalah ke mantan Wanita Pertama AS, Eleanor Roosevelt. "Kami gemar meninggalkan nama," ujarnya. Hotel The Breakers dibuka buat pertama kali pada tahun 1896 dengan nama lain oleh Henry Flagler yang merupakan taikun minyak dan landasan di selatan perairan Florida. Nama Flagler tidak terlepas daripada mulut Ponce sepanjang lawatan tersebut dan dia akan bertafakur sebentar apabila melalui potret lelaki itu. "Itulah Flagler," katanya dengan nada perlahan dan sayu. Kawasan pusat peranginan The Breakers pernah terbakar dua kali pada tahun 1903 dan 1925. Ponce memberitahu, punca kebakaran itu berlaku apabila isteri Datuk Bandar Chicago ketika itu terlupa untuk menutup suis seterika di bilik hotel. "Wanita Chicago sering diingatkan mengenai kejadian itu," seloroh Ponce sambil disambut hilai ketawa kira-kira 30 pelawat. Ponce memberitahu, kejadian itu berlaku ketika dia masih kanak-kanak namun The Breakers dibangunkan semula dengan seni bina yang lebih menarik dalam tempoh setahun. Ponce mula berkhidmat di hotel itu pada tahun 1952 selepas menamatkan khidmatnya selaku tentera laut pada Perang Dunia Kedua. Lelaki itu melakukan pelbagai kerja di situ sehingga dia menjadi pengurus hotel pada tahun 1977. Walaupun bersara pada tahun 1982, tetapi dia bagaikan tidak boleh berpisah dengan pusat peranginan tersebut. PONCE (berdiri) tidak jemu memberi penerangan tentang kehebatan hotel tersebut kepada pengunjung. "Dia mempunyai perspektif yang tidak dimiliki oleh orang lain. Dia mengetahui sejarah orang besar yang datang ke sini seperti pihak istana, presiden, pelakon filem dan lain-lain," ungkap Pengurus Hotel, Kirk Bell. Tanyalah apa sahaja mengenai pusat peraginan atau hotel itu, Ponce pasti boleh menjawabnya. Namun, apabila ditanya mengenai kawasan yang paling digemari di pusat peranginan berkenaan, dia mempunyai masalah untuk menjawabnya. "Kecantikan bangunan di sini sangat klasik dan ia begitu sukar untuk dikatakan," tuturnya. Setiap kali melangkah ke ruang lain, Ponce sentiasa mempunyai anekdot yang berlainan walaupun penjelajahan itu tiba di penghujungnya. "Adakah anda mempunyai masa untuk mendengar cerita pendek saya?" soalnya. Bagi pengunjung yang sentiasa teruja dengan ceritanya, mereka cuma perlu berdiri atau bersandar sebentar untuk mengetahui sejarah bangunan itu lebih lanjut. - AP |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Rencana Utama To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |