Selasa, 2 Oktober 2012

Kosmo Online - Dunia


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Dunia


Bangladesh kerah anggota tentera ke Cox's Bazaar

Posted:

Bangladesh kerah anggota tentera ke Cox's Bazaar

ANGGOTA tentera Bangladesh mendirikan khemah berhampiran kuil Buddha Lal Ching di Ramu semalam.


DHAKA - Pihak berkuasa Bangladesh semalam telah menghantar pasukan tenteranya untuk menjaga keselamatan kawasan penempatan penganut Buddha selepas kumpulan perusuh Islam menyerang beberapa buah kuil dan rumah berikutan timbulnya gambar yang menghina kitab al-Quran di Facebook.

Sekurang-kurangnya enam buah kuil diserang di wilayah Cox's Bazaar kelmarin dengan beribu-ribu penunjuk perasaan memecahkan patung Buddha sebelum polis antirusuhan menyuraikan orang ramai.

Keganasan itu tercetus selepas terdapat dakwaan seorang budak lelaki penganut Buddha memuat naik gambar menghina al-Quran di Facebook.

"Kami menembak peluru getah bagi menyuraikan orang ramai," kata timbalan ketua polis wilayah tenggara, Faruk Ahmed.

Polis berkata, seramai 107 orang telah ditahan berhubung keganasan yang berlaku pada hari Sabtu dan malam kelmarin.

"Ini merupakan satu serangan yang dirancang. Kami tidak akan melepaskan sesiapa pun yang didapati bertanggungjawab," kata Ahmed.

Jelas Ahmed lagi, semua anggota tentera ditugaskan untuk melakukan rondaan di kawasan penempatan penganut Buddha dan kuil di Cox's Bazaar bagi mencegah keganasan baharu. - AFP

Terminator simpan banyak rahsia daripada isteri

Posted:

Terminator simpan banyak rahsia daripada isteri

ARNOLD Schwarzenegger dan isterinya, Maria Shriver (kanan) meninggalkan satu upacara pengebumian di Potomac dekat Washington pada 22 Januari 2011.


SACRAMENTO - Bekas Gabenor Negeri California, Arnold Schwarzenegger menyatakan, sikapnya yang gemar berahsia dan kebolehannya menyembunyikan emosi membolehkan dia menyimpan banyak rahsia daripada isterinya, Maria Shriver.

Namun, perangainya membawa kepada keruntuhan rumah tangga mereka apabila beliau akhirnya terpaksa mengaku mempunyai seorang anak luar nikah hasil hubungan sulit bersama pembantu rumah keluarganya beberapa tahun lalu.

Sepanjang 25 tahun mereka berkahwin, Schwarzenegger berkata, beliau tidak mahu memberitahu Shriver tentang beberapa keputusan penting yang pernah dibuat dalam hidupnya seperti menjalani pembedahan jantung dan bertanding untuk jawatan Gabenor California.

Menurut Schwarzenegger, beliau berbuat demikian kerana bimbang isterinya akan memberikan reaksi keterlaluan dan mendedahkan perkara itu kepada keluarga dan rakan-rakannya.

Dalam buku biografi baharunya, Total Recall: My Unbelievably True Life Story dan wawancara bersama program televisyen 60 Minutes, bekas Gabenor California itu mengakui kesukarannya untuk bersikap jujur melukakan perasaan mereka yang paling rapat dengannya.

Temu bual tersebut disiarkan di Amerika Syarikat kelmarin.

"Beginilah cara saya menangani sesuatu perkara dan ia sentiasa berjaya. Sebenarnya, maksud saya, ia tidak berjaya kerana cara ini bukan terbaik buat mereka yang paling rapat dengan saya kerana ada beberapa perkara saya tidak akan memberitahu mereka," kata Schwarzenegger kepada wartawan, Lesley Stahl dalam program televisyen 60 Minutes.

Bekas penyandang gelaran bina badan Mr. Universe itu menyatakan, sikap berahsia sudah lama diamalkannya iaitu sejak beliau berkecimpung dalam sukan tersebut.

Menurutnya, pendedahan emosi akan membawa kegagalan kepada seseorang atlet.

"Justeru, saya menjadi pakar dalam hidup dalam penafian," kata bintang filem Terminator dan bekas gabenor berkenaan.

Schwarzenegger memuji Shriver dalam buku biografi tersebut sebagai pasangan dan rakan yang penting untuk kejayaannya.

Namun, pada masa yang sama, beliau turut mengakui merahsiakan banyak keputusan tentang kerjayanya daripada pengetahuan Shriver.

Wanita itu memohon perceraian pada Julai lalu.

Walaupun beliau menimbang untuk bertanding jawatan Gabenor selama lebih setahun, Schwarzenegger hanya memberitahu Shriver tentang hasratnya beberapa hari sebelum tempoh penyerahan borang penamaan calon untuk pilihan raya pada 2003 itu berakhir. - Agensi

Mahkamah tangguh keputusan rayuan Pussy Riot

Posted:

Mahkamah tangguh keputusan rayuan Pussy Riot



MOSCOW - Sebuah mahkamah di Rusia semalam menangguhkan rayuan keputusan mahkamah terhadap tiga anggota wanita kumpulan muzik punk, Pussy Riot (gambar) selepas seorang anggotanya memecat para peguamnya.

Penangguhan dibuat sehingga 10 Oktober ini.

Yekaterina Samutsevich membuat pengumuman memecat tiga peguamnya itu pada perbicaraan pertama semalam ekoran satu percanggahan yang tidak dinyatakan.

Samutsevich, berkata, dia telah menemui peguam lain, tetapi gagal menandatangani perjanjian.

Pihak pendakwa mengutuk langkah itu sebagai taktik untuk melengahkan perbicaraan.

Samutsevich, 30, Nadezhda Tolokonnikova, 22, dan Maria Alekhina, 24, ditahan sejak Mac lalu kerana mencemuh Presiden Vladimir Putin semasa mengadakan persembahan di sebuah gereja utama di sini.

Mereka sebelum ini dijatuhkan hukuman penjara selama dua tahun. - Agensi

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved