Selasa, 2 Oktober 2012

Kosmo Online - Stailo


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Stailo


Item berkualiti harga berpatutan

Posted:

Item berkualiti harga berpatutan

Oleh MOHAMMAD HAFIZ AHMAD
rencana@kosmo.com.my

GEMERLAPAN lampu yang diiringi alunan muzik rancak melatari suasana meriah di pusat beli-belah Lot 10, Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

Kelibat selebriti terkenal dan orang-orang penting dunia fesyen menyusuri satu persatu permaidani merah yang sedia memberi gaya terbaik di hadapan lensa kamera jurugambar.

Kehadiran figura-figura ini menambahkan lagi kehangatan acara prapembukaan butik pakaian antarabangsa, Hennes & Mauritz AB (H&M) yang berasal dari Sweden baru-baru ini.

Kehadiran jenama ini sememangnya dinanti-nantikan oleh pencinta fesyen tanah air apabila ia mula digembar-gemburkan sekitar penghujung tahun 2011.

Berlandaskan prinsip item berkualiti pada harga yang berpatutan, ia menjadi sandaran utama H&M untuk bersaing dengan jenama fesyen antarabangsa sedia ada.

Jika sebelum ini, ada yang terpaksa mendapatkan koleksi terbaharu dari luar negara, kini mereka tidak perlu gusar lagi.

Turut menzahirkan keterujaan pembukaan H&M di Kuala Lumpur ialah pelakon Siti Shahriza atau Eja, 40.

"Saya memang meminati produk-produk H&M kerana rekaannya yang minimalis dan paling penting harganya yang berpatutan.

"Disebabkan itu, saya sangat teruja dengan pembukaan butik ini di Malaysia yang juga terkenal sebagai destinasi terbaik untuk membeli-belah,"ujarnya yang memakai persalinan hitam pada malam itu.

SELEBRITI tempatan turut hadir memeriahkan acara prapembukaan butik H&M.


Pelakon yang semakin meningkat naik, Nadia Nissa, 27, turut gembira dengan kemunculan H&M di Malaysia.

"Sebelum ini saya diperkenalkan dengan H&M oleh adik saya yang banyak membeli barangan butik ini ketika dia berada di luar negara. Saya terus jatuh cinta kerana ia kena dengan stail saya yang ringkas malah ia mudah untuk disuai padan dengan baju lain.

"Saya memang jarang membeli-belah, jadi saya mengambil kesempatan ini untuk mencari koleksi jaket dan blazer untuk kegunaan saya nanti," ujar pelakon yang hangat menerusi drama Adam & Hawa ini.

Dekorasi moden

Bagi vokalis band Hujan, Noh, 27, pembukaan H&M menghangatkan lagi perkembangan fesyen di Malaysia. Tambahnya, golongan remaja kini mempunyai banyak pilihan dan tidak terhad pada satu stail.

"Fesyen remaja sekarang sangat pantas berubah dan ia banyak dibantu dengan wujudnya butik-butik baharu seperti H&M," jelasnya.

Kemeriahan acara tersebut turut dihadiri oleh beberapa nama besar seperti Yuna Zarai, Awal Ashaari, Scha Al-Yahya, Elfira Loy, Mizz Nina, Soo Wincci dan ramai lagi.

Butik H&M Lot 10 mempunyai keluasan 3,340.5 meter persegi terbahagi kepada tiga tingkat utama. Dekorasi moden dengan susun atur rapi membuatkan pengalaman membeli-belah lebih tenang dan mudah.

VARIASI stail dan warna oleksi terbaharu musim luruh 2012.


Ia menawarkan himpunan koleksi pakaian dan aksesori untuk wanita, lelaki, remaja dan kanak-kanak. Variasi item bergaya boleh didapati di H&M termasuklah baju T, jean, kasut, dres mini, sarung kaki, aksesori dan banyak lagi.

Setiap tingkat dibahagikan mengikut seksyen. Tingkat paling bawah khas untuk aksesori dan deretan pakaian wanita yang lebih formal.

Tingkat tengah pula untuk koleksi kasual wanita seperti jean, baju sukan, pakaian dalam dan tingkat paling atas khusus untuk lelaki dan kanak-kanak.

Pengurus H&M untuk China, Singapura dan Malaysia, Lex Keijser berkata, H&M menawarkan fesyen terkini yang berkualiti pada harga yang amat berpatutan. Pada masa yang sama, fesyen tersebut khusus untuk mereka yang prihatin dengan perkembangan aliran fesyen terkini.

Pasaran Asia Tenggara

"Kami sangat gembira dengan pembukaan H&M di Malaysia dan mengembangkan perniagaan kami di pasaran Asia Tenggara. Kami tidak sabar untuk membawa fesyen-fesyen segar dan terkini kepada penggemar fesyen di Kuala Lumpur," ujarnya.

Bersempena dengan pembukaan rasminya baru-baru ini, seramai 1,500 orang telah beratur seawal pukul 7 pagi untuk melihat sendiri koleksi-koleksi yang terdapat di H&M.

H&M turut menghadiahkan wang tunai sebanyak RM500 kepada pengunjung pertama iaitu Michelle Tan, 20. Pengunjung kedua dan kelima turut mendapat baucar RM200.

H&M pernah menjalankan kolaborasi dengan pereka-pereka antarabangsa bagi menghasilkan rekaan edisi terhad. Antara nama-nama besar tersebut ialah Karl Lagerfeld, Jimmy Choo, Sonia Rykiel, Stella McCartney, Viktor and Rolf, Kylie Minogue, Madonna, Roberto Cavalli, Comme des Garçons, Versace dan Marni. Terbaharu, jenama ini mendapatkan khidmat Ketua Pengarang majalah Vogue Jepun, Anna Dello Russo, untuk mereka koleksi aksesori yang bakal muncul pada bulan Oktober ini.

Momen paling menarik ialah kerjasama antara selebriti bola sepak terkenal, David Becham yang mereka pakaian dalam lelaki untuk H&M. Suami kepada Victoria Becham itu turut menjadi model untuk koleksi istimewa ini.

Memilih penyanyi sensasi, Lana Del Rey sebagai model utama untuk koleksi terbaharu musim luruh 2012, H&M kini mempunyai lebih daripada 2,600 butik di 45 negara.

Khabar gembira buat pengumpul setia koleksi H&M, butik kedua jenama ini bakal dibuka sekitar Oktober 2012 di pusat beli-belah Setia City Mall, Shah Alam, Selangor.

Denim pengembara tegar

Posted:

Denim pengembara tegar

KELINCAHAN karakter pasangan kembara dapat diserlahkan menerusi pemakaian jean tahan lasak ini.


INDIVIDU yang melakar pelan untuk mengembara ke beberapa tempat menarik tidak hanya membayangkan kemanisan pengalaman yang bakal ditempuhi. Mereka tidak mahu ketinggalan mahu bergaya dalam persalinan serba selesa dan memukau pandangan.

Jiwa pengembara sememangnya sinonim dengan ciri kental ketika mengharungi sesebuah perjalanan yang penuh cabaran. Berasaskan prinsip hidup tersebut, mereka senang menyarungkan pakaian yang mampu membebaskan sisi semangat seorang penjelajah tegar.

Jean adalah pilihan tepat buat golongan tersebut. Disebabkan itu, salah satu daripada jenama jean berkelas antarabangsa, Wrangler memilih untuk mengangkat daya keramat si pengembara di serata dunia.

Berpandukan kempen Find Your Edge - Boundless Traveller menerusi koleksi musim luruh/sejuk 2012 Wrangler, mengajak pencinta aktiviti kembara meneroka ke lebih banyak destinasi.


JEAN efek pudar yang digabungkan bersama kemeja berkotak dan jaket denim ini sesuai untuk lelaki yang gemarkan gaya ringkas yang tidak terlalu menonjol.


Wrangler Find Your Edge membantu si pemakai menyerlahkan keyakinan tatkala melangkah sekali gus membentuk imej ranggi dan tahan lasak.

Kempen tersebut meminjam penceritaan tentang dua orang yang mengembara dari sebuah bandar menuju ke pinggir laut sambil menunggang motosikal.

Dua pengembara Wrangler itu bebas menjelajah ke setiap pelosok kawasan tanpa sekatan dan tidak sabar untuk merasai keterujaan di destinasi berikutnya.

Lasak si lelaki

Maskulin si lelaki pasti ketara dalam item-item seperti baju bersama cantuman penutup kepala (hoodie) kalis air dan jaket yang boleh diterbalikkan (reversible). Item yang utama sudah pasti deretan jean pelbagai rona dengan potongan menarik.

Sementara itu, karakter lincah bagi si gadis mampu ditonjolkan melalui skirt detachable, seluar tali cerut (drawstring) dan jean sendat moden dan klasik.

Bagi memulakan perjalanan, sarungkan persalinan vintaj moden daripada material denim luntur atau jean efek pudar. Ia menjadi bukti sempurna kehebatan stail ikonik jenama Amerika itu.


LENGKAPKAN penampilan santai bersama aksesori bersesuaian seperti rantai, gelang tangan dan cincin.


Pakaian praktikal moden ialah pendamping terbaik saat pengembaraan berlangsung. Siri produk baharu Wrangler yang kemas, mudah dikancing dan diterbalikkan mencipta gaya luaran kontemporari yang didominasi jean.

Selain itu, si pemakai juga boleh membentuk imej rock menerusi variasi denim dengan elemen-elemen bumi seperti buah-buahan, mineral, batu permata dan batu-batuan yang bertaburan di bumi.

Koleksi pakaian lelaki Wrangler dijual pada harga bermula RM109 bagi baju T lengan pendek dan RM209 ke atas untuk sehelai jean denim.

Persalinan wanita pula ditawarkan pada harga RM119 ke atas bagi baju T manakala skirt denim dijual bermula harga RM199. Aksesori boleh dimiliki pada harga RM39 ke atas.

Kulit lebih anjal berseri

Posted:

Kulit lebih anjal berseri

DUTA Kose, Amy Mastura bersama rangkaian produk terbaharu Infinity Kose Prestigious.


WALAUPUN telah menginjak usia 41 tahun, penyanyi dan pelakon terkenal, Amy Mastura masih kelihatan jelita. Lebih menakjubkan, masih ada yang menyangka ibu kepada dua orang anak itu sebagai gadis belasan tahun.

Mungkin kerana dikurniakan bentuk tubuh yang kecil molek, salah tanggapan itu sering berlaku. Ditambah pula dengan penampilan Amy yang anggun bergaya selain kekal aktif dalam dunia seni tanah air.

Atas kecantikan semula jadi dan personaliti yang ceria, Amy terus diangkat oleh jenama-jenama antarabangsa untuk mewakili produk mereka. Antara yang terus menggunakan khidmat Amy ialah produk kecantikan keluaran Jepun, Kose.

Menurut Amy, produk itu banyak membantu kulitnya untuk terus kekal segar dan anjal.

"Proses penuaan memang tidak dapat dielakkan, namun ia boleh dilambatkan dengan memilih produk yang bersesuaian.

"Saya amat bertuah kerana proses itu banyak dibantu oleh produk Kose," ujar Amy ketika pelancaran produk terbaharu Infinity Kose Prestigious baru-baru ini di Kuala Lumpur.

BUAH jambu batu mempunyai khasiat untuk keserian wajah. - Gambar hiasan


Tambah beliau, produk terbaharu itu dapat menghilangkan garis-garis halus di sekitar mata melalui penggunaan setiap malam.

Koleksi Prestigious khusus buat wanita berumur 45 tahun dan ke atas mengandungi formula yang dirumus khas menggunakan bahan terpilih.

Antaranya, air lavender dan kepekatan fosfolipid yang dapat memberi nutrien kepada kulit. Selain itu, ia turut diadun dengan ekstrak daun jambu batu dan aloe vera yang memulihkan sel kulit dari dalam.

"Ia nyata berkesan kepada kulit saya. Jika ada yang bertanyakan rahsia kecantikan selama ini, saya sarankan anda menggunakan produk Kose," ujarnya.

Koleksi Prestigious terdiri daripada Lotion Prestigious (160ml), Serum Prestigious (120ml) dan Cream Prestigious (50g). - HAFIZ AHMAD

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved