Kosmo Online - Rencana Utama |
Posted: Kenderaan baik dan sempurnaOleh AMMAR JAZLAN MAD LELA SUASANA di sekitar Kompleks Proton Center of Excellence (COE) yang terletak di Shah Alam, Selangor tampak agak sesak dengan aliran kenderaan yang keluar dan masuk. Bagi Aminuddin Yaacob, itu bukan kali pertama dia menjejakkan kaki ke pusat servis yang sinonim dengan jenama pertama kereta nasional berkenaan. Sejak membeli kenderaan pelbagai guna (MPV) Exora kira-kira tiga tahun lalu, di kompleks itulah kenderaannya dihantar setiap kali menjalani pemeriksaan secara berkala. Sebaik selesai melakukan pendaftaran dan menyerahkan kunci kenderaan, lelaki yang berasal dari Batu Gajah, Perak itu berehat di ruang menunggu berhawa dingin yang disediakan. Matanya liar memerhatikan sekeliling. Agak ramai juga pengguna kenderaan yang sedang menunggu giliran masing-masing. Bagi pengurus syarikat teknologi maklumat dan telekomunikasi (ICT) itu, senario itu tidak menghairankan memandangkan Aidilfitri bakal menjelma beberapa hari saja lagi. Kata Aminuddin, lazimnya jumlah kenderaan yang dihantar ke pusat servis akan meningkat mendadak berbanding hari-hari biasa. "Saya sendiri terpaksa membuat temujanji beberapa hari lebih awal untuk membolehkan kenderaan dihantar menjalani pemeriksaan mengikut tempoh yang ditetapkan. "Bukan saya tidak boleh menghantarnya ke bengkel biasa yang banyak terdapat di luar sana, ia lebih pantas dan murah, namun, saya lebih percaya sekiranya kenderaan diselia oleh pusat servis yang berdaftar," katanya yang menetap di USJ 1, Subang Jaya. Lelaki berusia 40 tahun itu memberitahu, dia banyak mendengar kisah daripada rakan-rakannya yang pernah menjadi mangsa penipuan pemilik bengkel tidak bertanggungjawab disebabkan mahu mencari keuntungan berganda pada musim perayaan. Antaranya penyelenggaraan yang dilakukan secara ala kadar, penggunaan alat ganti yang tidak tulen di samping pengubahsuaian yang boleh menjejaskan tempoh jaminan kenderaan. "Pastinya paparan kisah-kisah itu boleh menjadi satu pengajaran berguna, lagi pun bukan semua pengguna arif mengenai aspek teknikal kenderaan. "Di sini, saya tidak perlu bimbang kerana kenderaan akan diperiksa secara sistematik dan menyeluruh oleh tenaga profesional. "Jika terdapat masalah pada kereta, pengguna akan diberitahu terlebih dahulu sebelum kerja-kerja pembaikan atau penukaran alat ganti dilakukan," kata bapa kepada dua cahaya mata itu. Bakal pulang ke Perak pada dua atau tiga hari sebelum Syawal, Aminuddin menjelaskan pemeriksaan kenderaan penting bagi memastikan kenderaan yang dipandu berada dalam keadaan baik dan sempurna. Kemalangan meningkat PEMERIKSAAN menyeluruh kenderaan penting bagi mengelak tragedi pada musim perayaan. "Saya tidak pernah berkrompomi tentang hal keselamatan khususnya di jalan raya, biarlah berhabis masa dan wang ringgit sedikit, asalkan saya berasa yakin semasa pulang ke kampung halaman nanti," ujarnya ketika ditemui baru-baru ini. Saban tahun, pelbagai promosi dan kempen dianjurkan oleh kebanyakan pengeluar kenderaan di negara ini sebagai usaha membantu kerajaan menangani kadar kemalangan yang semakin meningkat. Tidak terkecuali peneraju industri automotif negara, Proton Holding Berhad (Proton) yang menjalankan Kempen Keselamatan Proton 1Malaysia bermula sejak 15 Julai lalu hingga 15 September ini. Pengarah Urusan Kumpulan Proton, Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir berkata, kempen yang dianjurkan adalah hasil kerjasama beberapa agensi seperti Jabatan Keselamatan Jalan Raya, PLUS Expressway Berhad (PLUS), MTD InfraPerdana Berhad, Agensi Anti Dadah Kebangsaan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM). Katanya, melalui kempen itu, Proton menawarkan perkhidmatan pemeriksaan keselamatan 18 komponen utama secara percuma di semua pusat servis Proton Edar di seluruh negara dan empat lokasi Rehat dan Rawat (R&R) utama di lebuh raya Plus dan Lebuh Raya Pantai Timur (LPT). "Kesemua lokasi terbabit ialah di Ayer Keroh, Melaka, Dengkil, Selangor, Gunung Semanggol, Perak dan Temerloh, Pahang. "Promosi itu merangkumi pemeriksaan bagi mengenal pasti bahagian-bahagian kenderaan lain yang mungkin memerlukan perhatian tetapi tidak disedari pengguna seperti minyak pelincir, bateri, tekanan tayar, brek dan lampu brek," jelasnya. Aspek keselamatan Syed Zainal berkata, Proton sentiasa memastikan keutamaan pelanggan terutamanya berhubung aspek keselamatan dan penyelengaraan kenderaan. "Keselamatan di jalan raya merupakan sesuatu yang perlu dititikberatkan, terutamanya pada musim perayaan ini. "Pemanduan berhemah sahaja tidak mencukupi, kereta yang dikendalikan juga perlu berada di dalam keadaan yang baik. "Kami berharap melalui kempen ini ia dapat memberi kesedaran kepada pelanggan tentang kepentingan aspek penyelengaraan kenderaan sekali gus dapat mengurangkan risiko kemalangan yang meningkat saban tahun," katanya yang berharap pengguna Proton dapat menggunakan peluang yang diberikan itu sebaik mungkin. Tambah Syed Zainal, bagi menampung bilangan kenderaan yang dijangka meningkat, Proton Edar telah melanjutkan waktu operasinya bermula 1 hingga 29 Ogos nanti. "Waktu operasi pusat servis kini dilanjutkan kepada tujuh hari seminggu bermula dari pukul 8 pagi hingga 5 petang setiap hari. PENGGUNA dinasihatkan supaya menyelenggara kenderaan sebelum memulakan perjalanan jauh pulang ke kampung. Inisiatif itu dijangka akan dapat membantu pelanggan yang menghadapi kesulitan dalam merancang masa yang sesuai untuk menyelenggara kenderaan mereka terutama pada saat-saat akhir. Pada masa yang sama katanya, sepanjang bulan Ogos pelanggan yang menghantar kenderaan mereka ke pusat servis juga berpeluang mendapat pelbagai promosi yang ditawarkan. Antaranya ialah penjimatan promosi Pakej Servis Raya ProCare Basic Plus bagi penukaran minyak enjin, penyelarasan enjin dan pemeriksaan lengkap. "Di samping itu, pelanggan juga berpeluang berbuka di beberapa pusat servis yang terpilih dan berpeluang untuk menyertai pertandingan dan memenangi pelbagai hadiah lumayan seperti Ipad 2 dan kamera SLR dengan berbelanja sebanyak RM300 ke atas servis yang dilakukan," ujarnya. Sementara itu, Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd. (Perodua) juga tidak terkecuali dalam mengadakan promosi istimewa sempena Aidilfitri ini. Pada 28 Julai lalu, buat julung kali ia melancarkan program Tweckbot yang memberikan kemudahan pemeriksaan awal kepada pelanggan Perodua melalui laman sosial Twitter Perodua iaitu @MYPerodua. Pengarah Urusan Perodua, Datuk Aminar Rashid Salleh berkata, program selama dua minggu itu melibatkan lima skuad Tweckbot membabitkan 14 lokasi di sekitar Lembah Klang. Pemeriksaan percuma Aminar Rashid berkata, Perodua turut bekerjasama dengan Petronas Dagangan Berhad melalui program Petronas Coffee Break yang dilancarkan baru-baru ini. Program kali kedua itu dianjurkan itu membolehkan pelanggan-pelanggan Perodua dan kenderaan lain menikmati pemeriksaan percuma 15 komponen utama di dua stesen servis di lebuh raya PLUS dan LPT bermula dari 26 hingga 29 Ogos ini. Katanya, perkhidmatan yang bermula dari pukul 9 pagi hingga 6 petang itu disediakan di stesen servis Petronas kawasan R&R Tapah, Perak dan Bentong, Pahang. "Ia meliputi pemeriksaan enjin, transmisi, sistem penyejuk dan sistem elektrik yang akan dilakukan tiga mekanik di setiap stesen servis berkenaan. "Pemilik kenderaan Perodua akan dinasihatkan pergi ke cawangan servis terdekat mekanik ini sekiranya kenderaan mereka didapati perlu dibaiki," jelasnya. Pemilik kenderaan persendirian juga mempunyai pilihan untuk menghantar kenderaan mereka menjalani pemeriksaan percuma yang ditawarkan oleh Puspakom Sdn. Bhd. (Puspakom) di seluruh negara bermula dari 22 Ogos hingga 26 Ogos ini. Pemeriksaan itu merupakan salah satu daripada komitmen dan tanggungjawab sosial Puspakom dalam usaha untuk memastikan kenderaan berada di tahap selamat untuk dipandu semasa musim perayaan. |
Pandu secara berhemah elak tragedi Posted: Pandu secara berhemah elak tragediSIKAP manusia penyumbang terbesar kepada kemalangan jalan raya. - Gambar hiasan FAKTOR kemalangan jalan raya khususnya setiap kali pada musim perayaan seakan tiada penghujungnya. Biarpun pelbagai kempen keselamatan jalan raya dilakukan pelbagai pihak sebelum ini, namun kemalangan dan angka korban yang dicatatkan terus meningkat saban tahun. Sebagai perbandingan statistik kematian akibat kemalangan jalan raya pada tahun 2010 ialah sebanyak 6,260, meningkat sebanyak 42 orang berbanding tahun 2009. Begitu juga peningkatan kadar kemalangan yang meningkat kepada 414,421 berbanding 397,330 pada tahun yang sama. Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Gerald Leslie Leon berkata, peningkatan kenderaan di atas jalan raya pada musim perayaan antara punca kepada peningkatan kadar kemalangan yang dicatatkan. "Apabila bilangan kenderaan bertambah sehingga dua hingga tiga kali ganda di atas jalan raya, ia pasti meningkatkan risiko kemalangan," katanya semasa pelancaran Kempen Keselamatan Proton 1Malaysia baru-baru ini. Katanya, usaha untuk mengatasi masalah ini tidak seharusnya terletak di bahu kerajaan semata-mata sebaliknya harus dipikul semua pihak. Tambah beliau lagi, berdasarkan statistik Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros), terdapat tiga faktor yang menyumbang kepada kemalangan jalan raya. "Pertama ialah sikap manusia iaitu sebanyak 67 peratus, faktor jalan raya (28 peratus) dan kenderaan (lima peratus). "Jelas sekali sikap manusia menjadi faktor utama. Oleh yang demikian, pengguna jalan raya yang ingin pulang ke kampung semasa musim perayaan ini dinasihatkan supaya mengamalkan sikap berhemah dan tidak terburu-buru untuk tiba ke destinasi," ujarnya. Katanya, beliau memuji beberapa usaha yang dilakukan oleh pihak pengeluar kenderaan yang mengadakan kempen keselamatan jalan raya terhadap pengguna sempena ketibaan Aidilfitri nanti. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Rencana Utama To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |